Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 33

January 27, 2012

Al-Ula

Al-Ula bermaksud atas, tinggi... kami berada di puncak bandar.


Dua malam kami berada di Al-Ula, lebih 300 km ke utara Madinah. Ia bandar terhampir dengan Madain Saleh yang dikatakan tempat kaum Thamud yang dibinasakan oleh Allah SWT melalui bunyi satu pekikan.


Namun tempat sebenar di mana kumpulan ini  – Al-Hijr – tetap merupakan satu rahsia yang hanya di ketahui Allah SWT. Masih ada tempat-tempat baru yang ditemui mempunyai kesan peninggalan kaum ini.


Saya membaca satu artikel yang menarik,


The prophet Muhammad (peace be upon him) through his teachings and experiences had taught Muslims to avoid being in such places simply because God's wrath had fallen on such places.


At the same time during his visits, he also pointed out in those places the lessons that others can learn from such historical places and events.


The Prophet (saws) said, "Do not pass through the dwelling place of those who wronged themselves without crying….". The crying out of reflection refers to thinking about denying and violating Allah's message and the punishment that may be caused by it.


Ia bukan kawasan untuk bersuka-suka, bergelak ketawa dan melancong sebagaimana berada di tempat lain. Kami mohon keampunan Allah agar kami tidak termasuk dalam golongan sebagaimana kaum Thamud yang sombong dan angkuh.


Namun kami banyak menghabiskan masa di bandar Al-Ula itu sendiri bagi menyaksikan bagaimana proses tamadun Arab Islam berkembang.


MasyaAllah… kami melihat kebesaran Allah SWT. Mudah-mudahan ia mampu menjadikan kami manusia yang lebih hampir kepadaNya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 27, 2012 06:07

January 24, 2012

Kakak Fatimah

You are like my sister


Fatimah adalah salah seorang guru Sofea dan Amirul di sekolah pagi.


"Ayah, besok birthday kakak Fatimah. Sofea hendak beli hadiah." begitulah hubungan baik mereka bertiga.


Di sekolah, Sofea dan Amirul diberi layanan istimewa. Mereka mendapat personal tusyen bahasa Arab daripada guru-guru di sini. Hasilnya, Amirul sudah boleh bertutur dalam bahasa Arab dengan agak pantas. Beliaulah yang akan ke hadapan terutamanya ketika berada di kedai.


Jika pemandu lewat sampai, Sofea dan Amirul di bawa pulang oleh Fatimah ke rumahnya. Bila sampai di rumah kedua-duanya sudah kenyang dijamu oleh keluarga Fatimah.


Hakikatnya, saya selalu berasa sebak dengan pelbagai nikmat yang diberi Allah. Ramai orang yang tidak saya kenali berlaku baik dengan kami sekeluarga.


Ia kelihatan kecil tetapi menjadi signifikan bila kita berada di negara asing. Kami mohon keampunanMu ya Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 24, 2012 11:50

January 23, 2012

Bab 30: Tunggulah….

Saya mengarang buku ini dengan ilham dan bantuan Allah setelah mengalami pelbagai ujian duka yang Allah kurniakan secara berturut-turut dalam tempoh yang sangat hampir. Saya mengalami kemusnahan harta-benda, kehilangan orang tersayang dan bencana badan yang serius.


Saya fikir Allah sengaja memberi isyarat yang ajal saya semakin hampir. Ia bukan satu kepelikan. Tanda-tanda saya menerima stroke serentak dengan kematian abah dan Ayu nyata memberi kesan emosi yang mendalam. Saya mengingati kematian.


Kita akan mati. Allahu Akbar. Roza selalu menegur saya kerana menggunakan perkataan mati. Meninggal dunia, katanya lebih sopan. Mati bunyinya kasar dan menakutkan. Itulah bezanya antara orang Terengganu dengan Johor.


Bangsa Melayu yang sama tetapi tutur kata yang berbeza. Namun mati atau meninggal dunia akan membawa orang yang dipanggil Allah ke alam kubur. Ia rumah baru setelah sekian lama menjalani kehidupan yang mengasyikkan.


Jika mereka takut dan mahu melarikan diri daripada kematian, nyata mereka melakukan pekerjaan yang sia-sia. Kematian tidak akan lambat atau cepat sesaat. Ia tidak mengira sama ada Perdana Menteri atau tukang sapu sampah di jalanan. Jika kita berada di Malaysia ataupun di Madinah. Allah telah berfirman melalui surah al-Baqarah ayat 243 yang bermaksud,


Tiadakah engkau perhatikan orang-orang yang keluar dari rumahnya, beribu-ribu banyaknya, kerana takut mati, lalu Allah mengatakan kepada mereka: "Matilah" Kemudian mereka itu dihidupkan Allah kembali, sesungguhnya Allah itu Pemurah terhadap manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih


Secara relatif, lama atau sekejap berada di alam kubur berbeza-beza di antara individu dengan individu yang lain. Keluasan kubur juga dikatakan tertakluk kepada amal mereka di dunia. Ada yang teruja dan pasti ada yang berdukacita. Malah – secara statistik – hampir 80 peratus penduduk dunia bukan beragama agama Islam.


Pada ketika dan saat ini mereka adalah golongan kafir yang akan berdukacita. Mereka adalah golongan yang ingkar tetapi yang saya takut dan berfikir-fikir bagaimana dengan mereka yang beragama Islam tetapi menyerupai golongan yang tidak beragama Islam.


Allahu Akbar, mudahan-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi. Allah menyatakan kehidupan yang sempit – ditafsirkan sebagai azab kubur oleh para ulamak – melalui surah al-Taha ayat 124 yang bermaksud,


 Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.


Kemudian dibangkitkan di hari pembalasan. Saya impikan masuk syurga tanpa dihisab. Hampir setiap malam saya berdoa agar isteri dan anak-anak juga ikut serta bersama ayah dan wan, abah dan mak, adik-beradik, ipar-duai, guru-guru, anak-anak murid dan seluruh kaum muslimin dan muslimat.


Saya tidak mempedulikan jika orang berkata, "siapalah kita yang mahu meminta-minta dengan Allah, biarlah Allah yang menentukan segalanya. Tugas kita hanya beramal-ibadat kepadaNya".


Saya fikir dan berpendapat, meminta kepadaNya juga merupakan amal ibadat yang sangat signifikan. Ia menjauhkan diri daripada amalan syirik atau menduakanNya. Malah jika manusia bergantung dan bertawakal kepadaNya (mengikut aturanNya), ia boleh membawa manusia ke arah syurga tanpa dihisab.


Tentu sekali – sekurang-kurangnya 17x sehari semalam – secara wajib saya berikrar dan beriktikad, "Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan". Malah surah al-Ikhlas yang sering di bibir juga mengajar kita supaya meminta sebarang hajat kepadaNya.


Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.


Benar, saya sangat-sangat berhajat untuk memasuki syurgaMu tanpa dihisab ya Allah. Sungguh ya Allah, aku sungguh-sungguh mahu bersama dengan Rasululullah, para sahabat, alim ulamak dan mereka yang berjuang mempertahankan agama Islam ya Allah. Ia impian, doa dan harapan yang datangnya jauh dari hati sanubari.


Saya percaya hari kiamat pasti datang sebagaimana surah al-Haj ayat 7 yang bermaksud,  "Dan sesungguhnya kiamat pasti datang, tiada keraguan padanya, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan orang yang dalam kubur".


Saya sangat-sangat yakin betapa padang Masyar itu benar-benar wujud. Saya yakin majoriti manusia akan dihisab sebelum di bawah ke syurga atau neraka. Hanya mereka yang benar-benar istimewa akan terus ke syurga tanpa dihisab.


Allahu Akbar. Ia penentuan yang tiada mempunyai hari-hari belakang yang boleh ditoleh. Saya ketakutan memikirkan bagaimana penerimaan Allah terhadap tingkah-laku saya semasa menghadapi ujian kehidupan.


Perlukah saya beratur panjang? Luluskah saya? Cemerlangkah saya? Tangan manakah yang akan menerima keputusan yang bakal menentukan syurga atau neraka? Allahu Akbar, memikirkan soal-soal ini sahaja sudah cukup untuk membuat jiwa dan perasaan bergetar. Lalu ia diterjemah melalui doa-doa yang menggambarkan perasaan bergantung harap kepada Dia yang Maha Berkuasa.


Menulis buku ini dilakukan bersekali dengan saya membaca terjemahan kisah-kisah yang dijadikan iktibar oleh Allah SWT melalui terjemahan al-Quran.


Berulang-ulang Allah memujuk Nabi Muhammad SAW betapa tugas baginda hanyalah untuk mengkhabarkan berita kegembiraan buat mereka yang beriman dan memberi peringatan kepada mereka yang ingkar dengan perintah Allah.


Akhirnya Dialah yang akan menentukan  sesiapa yang akan diberi taufik dan hidayahNya (mengikut aturan tertentu). Malah banyak surah menceritakan secara berulang-ulang bagaimana kaum musyrik tidak atau sengaja berpura-pura tidak mempercayai hari pembalasan dan hari akhirat.


Ia menjadi lebih mendukacitakan lagi kerana mereka mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan Baginda SAW. Malah melalui surah Yasin ayat 77 – 78, Allah telah menjawab ejekan seorang kafir yang menghancurkan tulang-tulang di hadapan baginda dan seterusnya menaburkannya ke udara sambil bertanya, "apakah Allah akan membangkit semula tulang ini?".


Ayat tersebut bermaksud,


"Dan Apakah manusia tidak memperhatikan bahwa Kami menciptakannya dari setitik air (mani), Maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata! Dan ia membuat perumpamaan bagi kami; dan Dia lupa kepada kejadiannya; ia berkata: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang, yang telah hancur luluh?".


Hakikatnya, suasana seperti ini masih wujud di kalangan umat Islam akhir zaman yang mengambarkan seolah-olah mereka tidak mempercayai hari pembalasan.


Inilah ujian terbesar buat mereka yang mengaku Islam Saya fikir, begitulah hakikatnya mereka yang secra sengaja tidak mahu menunaikan solat, tidak mahu menutup aurat, berlaku khianat sesama manusia, melakukan perzinaan, seks di luar tabie, tidak berlaku adil bila diberi kuasa dan melakukan pelbagai kezaliman terhadap perintah Allah.


Sebenarnya  - pada hakikatnya – mereka sedang mengejek-ngejek dan mempersendakan perintah-perintah Allah SWT. Nafsu jahat menguasai pemikiran dan tindakan.


Saya berhenti sejenak apabila membaca terjemahan Surah Taha, ayat 135 yang bermaksud,


Katakanlah (wahai Muhammad): "Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk".


Tunggulah…. Kita semua sedang menunggu. Apakah keputuan ujian kehidupan yang telah kita lalui? Bagi mereka yang tidak mengetahui yang mereka sedang diuji, ia tidak membawa sebarang erti yang signifikan.


Buat mereka yang tidak mempercayai atau berpura-pura tidak mengetahui yang adanya kehidupan selepas kematian, mereka tidak akan menunggu hari tersebut. Jika ada yang menyangka mereka belum diuji, mungkin ujian tersebut berlalu tanpa mereka sedari.


Tunggulah…. Tunggulah…. Tunggulah. Hari itu pasti tiba. Dan buat saya dan Roza, ia sangat hampir. Biarlah kami lulus ujian kehidupan ini dengan bergaya di sisi Allah. Moga-moga kita dibangkitkan bersama dalam barisan yang panjang mengikut kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.


Kami mohon keampunanMu ya Allah.


(Petikan buku Menghadapi Ujian yang dalam proses penerbitan)

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 23, 2012 10:40

January 22, 2012

Lagu

Lagu tidak dapat dipisahkan dari anak remaja. Dan Sofea semakin membesar. Sebulan lagi beliau akan berusia 9 tahun. Dan bibirnya seolah-olah menyanyi-nyanyi lagu kesukaannya.


Dan "penyanyinya" adalah idola Sofea. Dia mahu jadi seumpamanya.


Ia mengejutkan saya dan Roza. Klik link di bawah jika sama-sama mahu melagukannya.


Lagu kesukaan Sofea


Pak Sheikh


Bersama Tok Sheikh


Jika diminta izin beliau tidak akan membenarkan kami mengambil gambar. Dr Ibrahim dari Mesir berkata, "Dr duduk di sebelahnya dan saya akan ambil gambar. Jangan khuatir, saya akan bertanggungjawab".


Pelajar nakal.


Begitulah pelajar tua belajar. Hubungan sesama kami sangat rapat. Setiap kali Tok Sheikh menerangkan sesuatu menggunakan bahasa Arab, sudah pasti ada yang akan memberi penjelasan dalam bahasa Inggeris.


Bila ditanya "fahim?" saya pasti menjawab "fahim…" walaupun saya tidak pernah dapat menangkap apa yang diucapkan oleh Tok Sheikh.


Teknik belajar quran sangat konvensional. Alif Fatahah A, Alif Kasrah I, Alif dohmah U.  A… I…. U. Apalah bendanya….. Ooooo Alif atas A, Alif bawah i, Alif atas U.


Sekali-sekali Tok Sheikh balik kepada perkara asas.


Hari ini kami bertanya, "Tok Sheikh ada berapa anak?"


Beliau termenung sejenak berfikir. "18 tetapi 4 sudah meninggal". Anak-anak yang meninggal dikebumikan di perkuburan Baqi'. Allahu Akbar.


Salah seorang anaknya juga seorang hafiz merupakan guru Amirul yang mengajar pada tiang yang lain. Lalu saya memberanikan diri bertanya,


"Anta saujah, wahid, Istnin?," soalan bahasa Arab yang pecah!


Beliau ketawa….. "Isthnin".


Kini beliau sudah tua dan pelupa. Peliknya, ayat-ayat quran masih diingati dengan jelas.


Saya mencatat sedikit kenangan yang sangat signifikan dalam hidup. Pengalaman belajar Quran di Haram!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 22, 2012 13:07

January 21, 2012

Tetamu dari Jeddah

Makan pagi di Jabal Ohud. Nasi lemak berlauk kambing, ayam dan telur. Saya menambah. Sedap tu...


Keluarga pertama yang bermalam di Jabal Uhod


Madinah sudah mulai sibuk. Di jalan raya sekitar Haram dan di ruang solat. Namun ia masih jauh suasana kesibukan berbanding musim haji.


Kami juga sudah mulai menerima tetamu. Semalam, Tuan Haji Hasnan dan keluarga. Mereka tinggal di Jeddah. Bersama mereka dua anak perempuan yang sedang menuntut di UIA.


Khabarnya cuti semester.


"Haji, mahu berdoa di Raudhah…?," saya bertanya beliau usai solat subuh. "Inilah ketika yang paling mudah memasuki Raudhah kalau berpandukan pengalaman saya di sini, InsyaAllah".


Kenapa?


Usai solat subuh orang tidak solat sunat. Jadi mudah untuk kita bergerak. Kedua, mereka yang bertumpu di kawasan Raudhah sejak 3-4 pagi akan memulakan hari baru.


Mereka akan beredar pergi.


Kemudian, Raudhah akan disiap-siapkan untuk menerima kaum wanita. Jadi, ia kelihatan akan ditutup. Hakikatnya ia masih ada 1 jam sebelum ia ditutup sepenuhnya.


Allahu Akbar, Dia izinkan. Tuan Haji Hasnan terus ke saf hadapan ruang wanita. Gembira saya melihat beliau teruja!


Anak Murid


Moayad, Faizal dan Mohamed


Sheikh Mater dari Yanbu


Malu bila mahu diambil gambar


"Terima kasih kerana menjadi anak murid yang baik," itulah ucapan ringkas saya kepada anak-anak murid yang berkunjung ke rumah di Jabal Ohud.


Saya meraikan 11 pelajar yang baru menamatkan pengajian dengan saya, subjek Financial Accounting. Saya tahu mereka OK dengan saya.


Mereka menangguhkan cuti semata-mata  mahu menerima jemputan makan malam yang saya sampaikan kepada mereka. Prinsip saya mudah, "kita sayang orang, orang akan sayang kita".


Mudah-mudahan hubungan kami berkekalan selamanya!


Tetamu dari Riyadh


Saya tidak kenal prof… akui Maz dari Riyadh.


Namun suami beliau pernah membaca buku Travelog Haji.


Kenal atau tidak ia bukan soal utama tetapi kena habiskan briyani JM yang telah dimasak oleh Roza. Usai makan, saya menyampaikan sedikit tazkirah untuk dijadikan renungan.


Saya mengingatkan diri agar lebih hampir kepadaNya.


Di hujung malam, lega setelah berjaya meraikan 22 tetamu dalam tempoh 22 jam.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2012 06:17

Simbol

Kehidupan kita dipenuhi dengan simbol.


Ketika saya berada dalam kelompok elit bermain golf, rupa bentuk baju, seluar, sarung tangan, kasut, topi, bola golf dan pelbagai kaitan dengan gaya golfer terkenal menjadi ikutan.


Kayu pemukulnya juga harus setanding dengan Tiger Wood, Ernie Els atau mengikut gaya atau pilihan golfer yang menjadi pujaan. Namun pada ketika itu, apa yang dilakukan oleh Tiger Wood menjadi ikutan nombor wahid.


Realitinya, saya langsung tidak sehandal Tiger Wood. Permainan saya buruk dan hodoh sekali. Kata mudah, "kosong dan tidak berisi, gaya sahaja lebih!".


Namun tiada yang peduli. Ia rasa syok sendiri. Ia simbol saya berada di dalam golongan elit.


Ada juga rakan-rakan yang menyimbolkan diri mereka sebagai liberal, rugged dan sempoi. Pakaian tidak menentukan keimanan. Mereka solat dengan seluar jeans, t-shirt yang bergambar atau sempoi-sempoi sahaja.


Kenapa perlu berkopiah. Tidak perlu berjubah. Ia simbol begitu buat mereka. Dan mereka juga syok dengan simbol tersebut. Namun tiada siapa peduli dengan simbol mereka!


Ada juga manusia yang mahu berubah dan dekat dengan Allah SWT. Tiba-tiba mereka memakai jubah. Mula menyimpan janggut. Ia simbol yang mereka rasa seronok berada dalam kelompok tersebut.


Tiba-tiba ada yang berkata, "ah… bukannya pun berilmu…. kosong dan tidak berisi".


Simbol seumpama ini sering mendapat kritikan ramai. Simbol pemain golf tidak begitu. Simbol menjadi manusia rugged tidak diusik.


Ia untuk difikirkan!


Cemburu


Menadah kitab di Haram. Bila buta Arab ia satu kekurangan


Beginilah suasana mereka yang menadah kitab di Haram. Sheikh duduk di kerusi dan dipenuhi dengan ramai orang. Mereka membuka kitab, menyalin nota-nota penting dan mudah-mudahan mengamalkannya.


Saya duduk jauh-jauh, membuka al-Quran dan berdoa agar suatu hari nanti saya akan memahami apa yang sedang Tok Guru sampaikan.


Tok Sheikh Hadis


Sheikh Hadis di Universiti Madinah


Perjalanan waktu subuh ke Haram.


Kuasa Allah saya memberhentikan kenderaan apabila melihat seorang berdiri di tepi jalan utama di kawasan persekitaran rumah kami di Jabal Uhod.


"Haram?,' beliau bertanya.


Melalui bahasa Arab yang terbatas saya mengetahui beliau Profesor Dr Abdul Rahman, bertugas di Kuliah Hadis, Universiti Madinah. Wah… saya tumpangkan Tok Sheikh Hadis.


Keretanya rosak dan beliau tetap mahu ke Haram.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 21, 2012 01:03

January 19, 2012

Doa

RM23373 dalam tempoh enam jam!


Saya menunggu hari Jumaat untuk melancarkan Tabung Masjid KRTS. Ia penghulu segala hari.


Jam Arab Saudi menunjukkan hampir 12 tengah malam ketika saya menekan punat Publish. 4 jam kemudian saya melihat jumlah terkumpul sudah melebihi angka RM15000.


Allahu Akbar.


Kini selepas 6 jam ia sudah menghampiri RM25000. Saya semakin berdebar dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.


Saya memikirkan, adakah saya masih ada untuk menyaksikan rancangan ini menjadi kenyataan, "berikanlah daku sedikit masa untuk menyudahnya ya Allah".


"Ya Allah permudahkanlah kami untuk membina rumah Mu ya Allah. Kami lakukan ini semua semata-mata kerana Mu ya Allah. Kau permudahkanlah, permudahkanlah ya Allah.


Jauhilah kami dari mereka yang ingin mengambil kesempatan di atas rancangan ini ya Allah. Temukanlah kami dengan mereka yang berhati jujur, tulus, ikhlas dan mahu melakukannya semata-mata kerana Mu ya Allah.


Jadikanlah masjid yang terbina nanti terbina di atas dasar taqwa. Makmurkanlah masjid ini ya Allah.


Kami mohon keampunanMu ya Allah".


Tiada apa yang dapat saya offer kepada kesemua penyumbang kecuali doa tulus ikhlas – setiap kali saya memohon kepadanya – agar kita semua mempunyai rumah sendiri di Jannah nanti.


Mereka yang telah menghantar e-mel ke mki@muhdkamil.org, saya tidak akan membalasnya dalam masa terdekat kerana sedang menyusun group e-mel agar mudah untuk kita berkomunikasi.


Jangan khuatir tiada limit 100. Sesiapa pun boleh menyumbang sehingga tarikh 19.1.2014.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 19, 2012 20:14

Masjid KRTS

Pelancaran Tabung Masjid KRTS


Jika anda sudi menjadi 100 penyumbang RM100/sebulan selama 24 bulan, sila maklumkan kepada saya di mki@muhdkamil.org bagi tujuan rekod dan peringatan yang anda mempunyai komitment.


Tuan/puan boleh membayar RM2400 dengan sekali bayar atau dibayar setiap bulan.


Bagi mereka yang lain, sumbanglah setakat mana yang termampu. Di takdirkan saya meninggal dunia, Roza akan meneruskan usaha-usaha ini – insyaAllah – sehingga berjaya.


Saya mohon dimaafkan.


Sumbangan boleh dibayar melalui akaun maybank Raudzah Roslan: 112102080097 yang sudah kosong dan dikhaskan untuk projek ini semata-mata.


Jumlah Terkumpul 20 Januari 2012: RM35000


Sasaran: RM300 000 (19.1.2014)


Lokasi: Di kawasan yang sangat-sangat memerlukan sebuah masjid yang akan ditentukan kemudian.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 19, 2012 09:09

Menghargai

Jika mereka dari keluarga yang sama, pastinya mereka adalah keturunan Nabi Muhammad SAW. Mereka beratur menyambut tetamu yang hadir.


Saya sangat-sangat menghargai setiap kali mendapat pengalaman baru. Begitu jugalah halnya malam tadi apabila menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Profesor Dr Ali….


Ia perkahwinan yang diadakan di Madinah.


Ketibaan saya dan Amirul (nota: Roza dan Attie pula sudah saya tinggalkan lebih awal di kawasan khusus untuk wanita) dalam keadaan berdebar-debar. 


Saya selalu terfikir bagaimana rasanya berada di dalam majlis yang ganjil, tiada siapa yang mengenali diri dan yang lebih parah lagi kerana tidak pandai berbahasa Arab. 


Namun ia terlerai serta-merta apabila melalui laluan saudara-mara Dr Ali yang bersiap menyambut tetamu. Saya lebih selesa apabila Dr Ali menerpa dan memeluk kiri dan kanan, mengucup pipi dan kepala sambil menyatakan rasa terharu dengan kedatangan saya.


Allahu Akbar, saya hanya baru pertama kali berjumpa dengan beliau dan terus seolah-olah seperti ahli keluarga. Ia rasa di hati pada ketika dan saat tersebut.


Jam 10.30 malam.


Lalu saya dan Amirul bersantai di sofa. Kami dihulurkan Qahwah (kopi Arab) dan manisan-manisan yang berasaskan coklat dan buah tamar.


Tiba-tiba terdengar paluan kompang Arab yang kuat. Ia perarakan kecil pengantin lelaki dan kaum keluarga yang hampir ke dalam dewan. Saya dan Amirul ikut serta.


Mahu mendengar paluan kompang tersebut? Ia ada di SINI.


Kami hanya duduk di sofa memerhatikan mereka bergembira. Kompang, berlagu (agaknya Qasidah) dan mula menari. Sekali lagi kami dihidangkan dengan Qahwah, jus dan manisan.


Tiba-tiba Dr Ali menarik saya untuk diperkenalkan kepada pengantin dan kaum keluarga. Beliau mahu saya menyertai apa yang sedang mereka lakukan.


Emmmm…. saya senyum dan berundur selangkah ke belakang. Selangkah lagi ke belakang. Akhirnya kembali ke sofa.


Terima kasih Sheikh kerana mengundang saya dan keluarga.


12.00 malam.


Dr Ali menjemput kami ke dewan makan. MasyaAllah sudah ramai tetamu yang lain berada di sini. Ia hidangan buffet tetapi pada setiap meja sudah ada sedulang besar nasi Arab.


Beginilah saki-baki setelah dimakan oleh kami berenam pada satu meja.


Nasi Arab berlaukkan Kambing, makan malam jam 12.00. Banyak juga Amirul dan ayahnya makan!


Hampir jam 1.00 pagi.


"Yang, saya dah sudah. Nak balik tak?," saya membuat panggilan.


Tiada jawapan.


Saya telefon lagi.


Ia bunyi yang sangat meriah. Di pihak wanita majlis baru sahaja bermula. Lalu saya mengajak Amirul ke kereta dan beliau menonton Laskar Pelangi.


Saya pula menyediakan skrip peperiksaan yang perlu ditanda.


Ringkasnya, kami tiba di rumah jam 3.00 pagi. Ia majlis yang tidak mengganggu solat kami di Haram, terus berqiamullail dan bersambung terus ke solat fajar.


Tinggal lagi blog hari ini terlambat di update.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 19, 2012 03:15

January 17, 2012

Tidak begitu

13 tetamu umrah. Dr Zaharah 3 dari kanan.


Nama Dr Zaharah sering muncul di KRTS dan RKDJU. Beliau e-mel saya menyatakan akan menunaikan umrah pada 15 Februari. Alih-alih 15 Januari beliau sudah muncul.


Beliau ada bertanya, "apa yang mahu dikirim?"


"Entah, sudah puas saya memaksa diri untuk memikirkan apa yang kami mahu tetapi tidak muncul-muncul".


Akhirnya saya menulis, "jika tidak kesusahan, Roza inginkan rempah briyani…. dan kerana 12 orang yang akan datang saya akan fikirkan 12 perkara lagi.."


Tentu sekali saya berseloka. Jangan…. jangan begitu…. tidak begitu…. saya tidak boleh bergurau dengan tetamu yang akan datang menunaikan umrah dan haji. Kami tidak memerlukan apa-apa.


Sungguh, jika kami benar-benar memerlukan sesuatu akan kami bertanya di blog atau di FB.


Beliau menulis lagi, "Saya sudah dapatkan rempah briyani… boleh saya tahu 12 perkara yang prof inginkan?".


Saya tahu beliau serius. Lalu saya membalas dengan kenyataan, "cukuplah tu… terima kasih".


Allahu Akbar, beliau bukan sahaja membawa rempah briyani JM Bariani House yang terkenal itu tetapi dengan towkeynya sekali ke rumah.


Benar, kami sekeluarga sering berkunjung ke JM Brariani House di TESCO Shah Alam.


Subhanallah…. MasyaAllah…. entah berapa kilo rempah briyani yang dibawanya. Maka untuk beberapa bulan yang akan datang Nasi Arab Roza untuk tetamu Umrah kami ditaja oleh JM Briyani House.


Ramai yang akan mendapat manfaatnya


Huru-Hara


"Sheikh, kenapa beliau tidak menyimpan janggut?," tangan beliau menunjuk ke arah teman yang berada di sebelah saya.


Mukanya serius.


"None of your business!," merah padam teman Mesir menjawab pertanyaan yang dituju kepada Sheikh.


Sebelumnya beliau menegur Hearsi kerana menarik baju kanak-kanak yang mahu bersalam dengan Sheikh. Hearsi bergurau. Teguran yang beliau terima berserta dengan bola mata yang bulat. 


Hearsi memalingkan mukanya ke arah lain kerana tidak mahu bersenggeta.


Suasana menjadi tegang. Emosi. Mereka yang lain terus berkata-kata dalam bahasa Arab yang tidak saya fahami.


Begitulah suasana baru yang kami terima bersama dengan pelajar yang baru mendaftar. Niat yang baik jika tidak dilakukan dengan cara yang tertib, beradab dan berhemah tentunya tidak berkesan.


Saya mohon keampunan Allah agar tulisan-tulisan yang saya hadirkan di sini tidak menyinggung sesiapa. Mudah-mudahan begitu.


Menghadapi Ujian


Setiap kali menulis buku akan saya mohon keampunan Allah agar ia menjadi ilmu yang bermanfaat. Malah saya berdoa agar editornya akan membaca manuskrip dengan penuh perasaan.


Biarlah hatinya berdetik agar buku yang dieditnya juga dapat membantu manusia lain berubah menjadi manusia yang lebih baik. Bukan semata-mata sebagai satu kerjaya bagi mendapat gaji setiap hujung bulan.


Ia sukar tetapi Allah Maha Hebat lagi Maha Bijaksana.


Alhamdulillah, buku Menghadapi Ujian sudah siap diedit dan memasuki fasa seterusnya. Saya dapat merasai suasana sebagaimana ketika proses menulis buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.


Kerinduan itu terubat. Saya menulis kerana kasih-sayang dan biarlah buku ini hadir bersama kasih-sayang!


Sudan


Nombornya sangat pelik.


"Ayub, Doktor. Ayub… Ayub!"


"Allahu Akbar…. saya gembira mendengar suara kamu, Khaifa haluk?," terkejut saya menerima khabar dari Sudan.


Saya doakan beliau dipermudahkan kehidupannya di sana. InsyaAllah, suatu hari nanti kita akan berjumpa lagi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 17, 2012 20:28

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.