Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 34
January 16, 2012
Gula-gula
Hampir kesemua kanak-kanak yang melalui kawasan kami belajar al-Quran akan berhenti dan bersalam dengan Tok Sheikh. Beliau akan memegang kepala atau bertanya soalan.
Kemudian Tok Sheikh akan menghulurkan gula-gula kepada mereka.
Begitu juga dengan kanak-kanak baru yang melintas di kawasan tersebut akan dijerkah oleh Tok Sheikh. Beliau akan memanggil kanak-kanak tersebut yang biasanya datang dalam keadaan berdebar-debar.
Ia berakhir dengan pemberian gula-gula.
Kami juga diberi gula-gula apabila menamatkan bacaan.
Muntaz… muntaz… muntaz… dicampaknya gula-gula.
Gula-gula itu tidaklah mahal harganya. Saya fikir kanak-kanak tersebut biasa menikmati gula-gula yang lebih baik daripada apa yang dihulur oleh Tok Sheikh.
Namun mereka tetap datang. Ertinya, ia bukan kerana gula-gula tetapi lebih kepada kasih-sayang kepada Tok Sheikh.
Begitulah…. sedikit tindakan yang kelihatan kecil memberi kesan yng sangat signifikan.
Wanita oh Wanita

Jangan bertolak-tolak!
Zuhur tadi saya solat di Raudhah.
Kemudian kawasan tersebut dipagari bagi memberi laluan untuk wanita berada di Raudhah. Saya memerhatikan keadaan. Ada dua atau tiga banner yang dinaikkan agar mereka tidak berebut dan bertolak-tolak.
Sabar…. sabar… sabar…
Raudhah dikatakan taman syurga. Biarlah tingkah-laku menggambarkan kita adalah ahli syurga!
January 15, 2012
Terlupa
Usai kelas bahasa Arab, saya bersetuju dengan Hearsi (rakan Somalia) dan Walid (guru) untuk minum petang di luar pagar Haram. Saya bertanya Hearsi,
"Tuan hadir solat fajar semalam?"
"Kenapa?"
"Imam Salah sebak….. Beliau tersedu"
"Allahu Akbar…. saya solat di masjid sebelah hotel. Saya tidur lewat. Abang saya ada di sini. Cuaca pula sejuk. Saya sudah lama menunggu saat-saat seumpama ini".
Saya dan Walid ketawa. Kini hubungan kami sangat rapat yang meyakinkan saya untuk berkata,
"Jangan salahkan abang atau cuaca, salahkan diri sendiri…"
"Emmm… memang saya bertekad mahu solat lima waktu di Haram… tetapi ….. alahai saya sudah jadi macam penduduk Madinah, selalu terbabas. Saya fikir solat berjemaah di masjid sudah mencukupi".
"Tidak… kita di Madinah. Bukan di Canada, bukan di Malaysia dan bukan di Somalia… jika tidak bersebab kita perlu hadir ke Haram. Nanti bila kita pulang, kita akan menyesali apa yang telah kita lalui di sini," spontan saya memberi jawapan.
Saya teruja mendengar Walid menyebut,
"Ramai orang terlupa yang mereka berada di Madinah sebab itulah mereka jalani kehidupan mereka seolah-olah Haram tiada di sini".
Ia perbualan santai kami bertiga di luar Haram. Namun ia sangat signifikan, sekurang-kurangnya kami saling ingat-mengingati betapa kehadiran kami di sini adalah atas nikmat Allah.
SubhanaAllah.
Dalam diam saya berdoa moga saya tidak terlupa yang saya masih sihat tubuh-badan, akal fikiran, bertenaga, mempunyai kemampuan kewangan dan masih lagi bernyawa untuk melakukan yang terbaik di sisiNya.
Rumah Besar
"Dr mahu membina rumah di syurga?," tanya Walid pada hari yang lain.
Lalu beliau bercerita kaedah yang dinyatakan melalui hadis-hadis yang dipelajarinya. Ada yang mudah untuk dilakukan dan ada yang kelihatan sukar (InsyaAllah…. ada caranya).
Saya catatkan tiga perkara terlebih dahulu. Pertama, mengamalkan solat sunat 12 rakaat yang dikenali sebagai sunat rawatib, 2 rakaat sebelum fajar, 4 rakaat sebelum zuhur, 2 rakaat sebelum asar, 2 rakaat selepas Isya dan 2 rakaat sebelum subuh.
InsyaAllah ia boleh dilakukan dengan mudah.
Kedua, bacalah al-ikhlas 10 kali nescaya Allah bina sebuah rumah di syurga. Saya tersenyum mendengar kenyataan ini kerana ia merupakan bacaan rutin saya. Ia bukan kerana nilai rumah di syurga tetapi saya ingin berzikir dan memilih satu surah al-Quran yang saya sukai.
Saya pilih – dengan izin Allah – surah ini.
Ketiga, binalah masjid. Menurut pendapat, menyumbang kepada masjid, kegiatan masjid dan pelbagai kaitan lain dengan masjid boleh dikategorikan sebagai membina masjid.
Emmmm…. orang kaya-kaya boleh membina sebuah masjid untuk mereka. Patutlah…. itulah yang dilakukan oleh tokoh-tokoh terkenal di negara kita.
Saya menanam cita-cita untuk mendirikan sebuah masjid. Namun saya mahu membina masjid berdasarkan taqwa, tiada tiang-tiang yang banyak dan di tempat yang mereka tidak mampu untuk melakukannya.
Bagaimana caranya?
Saya melihat jalan yang bercahaya. Nanti saya khabarkan! InyaAllah agar ia dipermudahkan.
Dan, mudah-mudahan saya tidak terlupa.
January 14, 2012
Bergetar di dada
14 Januari 2012.
Saya berpeluang berada di saf-saf hadapan solat subuh di Masjid Nabawi. Inilah bacaan Imam Sheikh Salah Budayr. Ruangkanlah sedikit masa untuk mendengar audio melalui link di bawah.
Atau boleh melihat videonya di SINI.
Ia bacaan surah Surah 'Araaf 40-52. Kemudian perhatikan makna dua ayat terakhir yang menggetarkan jiwa dan perasaan,
(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).
Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.
Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayat petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.
Bagaimana kita?
Ya Allah ampunilah kami.
Arahan
Memberi sumbangan mudah bagi yang berkemampuan. Namun mengurus sumbangan orang ramai bukan perkara yang senang. Ia melibat soal-jawab di Padang Masyar.
Jika satu sen yang diberi orang tersalah guna maka ia sangat-sangat signifikan. Apatah lagi jika ia melibatkan anak yatim, mereka yang fakir dan kegunaan yang sangat spesifik.
Saya mahu membuat kebaikan tetapi tidak pula mahu kebaikan itu menjadi beban di akhirat besok. Di dalam mengurus sumbangan ini saya sangat spesifik. Jika untuk pakaian sekolah anak yatim maka itulah kegunaannya. Jika ia untuk rumah anak yatim maka itulah yang diserahkan.
Jika jumlah yang diperlukan hanya RM10,000 maka jumlah yang akan saya kutip di sekitar RM9000. Selebihnya menjadi tanggungan saya dan Roza.
Jika yang berjanji mahu membayar tetapi tidak melunaskannya, ia tidak menjadi masalah kerana saya tidak pernah ambil tahu siapa yang bayar dan siapa yang tidak. Janji, jumlah RM10,000 itu perlu dilunaskan.
Saya mahu selamat dunia dan akhirat.
Kenapa? Saya hanya mempunyai satu akaun. Saya tidak mahu membuang masa saya menyemak jumlah yang saya kutip. Saya tahu jumlah yang disumbang kurang daripada jumlah yang bakal saya serahkan.
Juga, sebab itulah setiap projek mempunyai masa dan tarikh tutup. Dan akaun Maybank saya sangat aktif!
Maka tiada satu sen pun yang akan terlebih dan tidak saya serahkan kepada yang berhak atas tujuan kutipan tersebut.
Jika kita berkata saya hanya mahu RM120.10 seorang maka ia tentunya bersebab. Ia memudahkan saya. Ia menyenangkan fikiran saya.
Jika saya berkata e-mail, maka ia juga bersebab kerana itulah satu-satunya yang menjadi rekod saya. Saya minta maaf jika ada yang berkecil hati bila saya nyatakan "ikut arahan, ia sangat mudah".
Sekadar makluman, saya tidak pernah menyemak detail akaun saya. Jadi bantulah saya dengan kekangan masa yang ada untuk bersama-sama kita bergembira melakukan amal ibadat.
Terima kasih kepada semua!
Petang tadi saya telah menyerahkan SR1000 kepada Tuan Redzuan yang akan menguruskan sumbangan ini. Saya nyatakan secara jelas, SR300 untuk kegunaan tuan, SR700 untuk membeli makanan berbuka. Ia sumbangan rakan-rakan saya.
Rupa-rupanya setiap petang beliau memberi makan kepada 20-25 orang selepas azan Maghrib terutamanya mereka yang membaca dan belajar al-Quran di kawasan beliau.
Jika berada di Masjid Nabawi carilah wajah ini dan sila berbuka bersama beliau, InsyaAllah ia mungkin hasil sumbangan rakan-rakan KRTS.

32 tahun tidak pernah meninggalkan Madinah
January 13, 2012
Saprah Malaysia
TUTUP: 50 e-mel pertama sudah diterima!!!!!
Salam sejahtera,
Apa yang tersirat melalui tulisan "bagaimana ia boleh berlaku?" ialah keinginan saya mengajak rakan-rakan KRTS untuk sama-sama menyumbang terhadap majlis berbuka puasa sunat di Masjid Nabawi.
Namun saya tidak mahu meminta. Ya Allah, ya Karim, segala puji bagi Dia yang memberi rezeki. Sejak sebelum subuh (waktu Saudi) saya sudah menerima SMS dan e-mel yang mahu turut menyumbang.
Asalnya saya sudah bersedia untuk menyumbang SR1000/sebulan, SR700 untuk pembelian makanan dan SR300 untuk belanja Sheikh Ridzwuan yang menguruskan saprah tersebut.
Kemudian, saya bercadang untuk memilih hanya 10 orang yang sudah menghantar e-mel dan SMS untuk bersama-sama menyumbang. Kini saya fikir, bilangan 50 orang dengan jumlah RM20/sebulan setiap orang menjadikan ia lebih istimewa.
TUTUP: 50 e-mel pertama sudah diterima!!!!!
Marilah kita lakukan secara istiqamah dan saya berharap ia dapat disumbangkan setiap enam bulan bagi memudahkan urusan saya mengawal urusan keluar-masuk wang. Saya akan serahkan wang ini setiap bulan kepada Sheikh Ridzwuan.
Jika masih ada yang sud mahu menyumbangi, sila e-mel saya di muhdkamiltaibah@gmail.com. Saya akan maklumkan bagaimana mahu menyalurkan sumbangan ini dan saya hanya menerima 50 e-mel yang pertama sahaja.
Saya mohon keampunan Allah dan mudah-mudahan ia menjadi amal ibadat yang diterima Allah.
Saya menjadi semakin exited!
TUTUP: 50 e-mel pertama sudah diterima!!!!!
Bagaimana ia boleh berlaku?

Hidangan berbuka
Isnin, Khamis, hari putih dan beberapa hari puasa sunat yang lain memeriahkan suasana masjid Nabawi dengan majlis berbuka puasa.
Ramai orang membuka saprah, menghidangkan kurma (kebanyakannya jenis rottab), roti, air zam-zam, laban, Qahwah dan teh. Mereka yang sama, penjuru yang sama, susun atur yang sama dan makanan yang sama ini berganti minggu, bulan dan tahun.
Mereka percaya memberi makan kepada yang berbuka puasa tinggi ganjarannya.
Saya kagum dan sangat teruja dengan mereka yang mahu bersedekah, meluangkan masa dan melaksanakan rutin ini secara konsisten.
Saya pernah terfikir untuk melakukan perkara yang sama. Namun ia tidak semudah mata memandang. Hanya yang terpilih mampu melakukannya.
Allahu Akbar.
Hari ini saya ditemukan dengan seseorang yang begitu. Tempatnya di satu penjuru. Katanya, sudah 32 tahun beliau berada di kawasan tersebut setelah berhijrah dari Syria. Beliau tidak pernah sesaat pun meninggalkan Madinah.
Ringkasnya, beliau mempunyai sedikit masalah dan bertanya saya, "mahukah ya Mohd menyediakan peruntukan sedekah untuk orang berbuka puasa?".
Tentu sekali ia sangat mudah. Saya keluarkan wang dan beliau menguruskannya.
Allahu Akbar, sukanya hati saya. Akhirnya saya mempunyai saprah sendiri di masjid Nabi!
Selamat berbuka puasa.
January 12, 2012
Peluang
Tazkirah dan Makan. Suka saya melihat anak muda makan. Sihat sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kambing, sotong, ikan masin, rojak, dan sambal belacan epal. Makanlah ketika OK.
Peluang datang dan pergi.
Banyak ketikanya kita tidak menyedari peluang yang sedang berada di tangan sehinggalah ia berlalu pergi. Misalnya, para pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Madinah berpeluang berada di daerah yang menjadi idaman jutaan manusia.
Ramai orang sanggup membayar ribuan ringgit untuk berada di sini untuk tempoh yang singkat. Mereka pula dibayar hampir SR1000 sebulan supaya berada di sini.
Namun kehadiran mereka berjadual. Apabila sampai masanya mereka perlu beredar. Pada ketika itu peluang berada di Madinah dalam keadaan yang ada sekarang – dibayar, dalam tempoh yang lama dan ketika muda, sihat dan berakal – akan ditarik balik pada ramai orang.
Dan pada ketika itu dalam diam-diam mereka akan merenung kembali apakah yang telah dilakukan semasa diberi peluang tersebut.
Begitu juga dengan mereka yang diberi Allah untuk berada di sini bekerja dan mencari rezeki beribu batu jauhnya daripada negara tercinta.
Rata-rata rakyat Malaysia dibayar puluhan ribu sebulan untuk berada hampir dengan dua tempat yang menjadi idaman ramai orang, Mekah dan Madinah.
Ia juga mempunyai titik nokhtah. Ia peluang yang diberi Allah kepada segelintir orang. Namun ramai terlupa apa yang mereka ada. Barangkali ketika nikmat ini ditarik balik barulah mereka sedar yang ia pernah berada di tangan.
Lalu saya panjangkan sedikit dengan beberapa sifat sepert sihat, muda, kelapangan, kaya dan nyawa merupakan sesuatu yang sememangnya ada di tangan.
Ia memberikan kita peluang untuk melakukan perkara yang bermanfaat. Namun kerap kita lupa sehinggalah kita terlantar kerana tua, sakit, miskin dan sibuk. Jika kita sudah mati, ia tidak perlu difikirkan lagi. Ia sudah terlambat.
Saya tidak nyatakan secara khusus tetapi apa yang tersirat itulah yang ingin saya sampaikan kepada Khairul, Azmi, Hafiz dan Abdul Rahman yang berkunjung ke rumah kami malam tadi.
"Marilah kita jadi golongan terpilih. Kalau kita belajar hadis, kita tahu Allah sukakan sesuatu perkara, mari kita laksanakannya. Kalau kita menghafal al-Quran, kita usaha kekalkan hafalan kita jangan sampai ia hilang bila berada di Malaysia. Jangan suatu hari nanti kita menyebut, aku pernah menghafal al-Quran".
Saya mengingati diri sendiri supaya menjadi manusia yang lebih baik. Allahu Akbar.
January 11, 2012
Cuti musim panas
Setiap tahun Universiti Taibah membenarkan staf mereka bercuti selama dua bulan ketika musim panas. Ia cuti bergaji penuh berserta dengan tiket penerbangan pergi balik Madinah – Kuala Lumpur – Madinah untuk kami sekeluarga.
Alhamdulillah, kami bercadang untuk pulang bercuti mulai pertengahan Jun sehinggalah ketibaan bulan Ramadhan. Saya fikir mahu berpuasa sebulan di Madinah. Ia pengalaman yang tidak mahu saya lepaskan.
Kami merancang tetapi Allah sahaja yang bakal menentukan sama ada ia terlaksana atau pun tidak.
Terima kasih kepada Amir daripada Labuan yang telah menjemput saya untuk menyampaikan ceramah di sana pada bulan Jun nanti.
Ia lawatan kami yang pertama di Labuan. InsyaAllah akan saya hadir.
Peperiksaan
Minggu ini minggu peperiksaan untuk pelajar sepenuh masa di sini. Setiap penyarah hanya perlu mengawas kelas mereka sendiri. Setiap hari ada dua sesi, jam 8 – 10 pagi dan sesi kedua bermula jam 1 tengahari dan berakhir jam 3 petang.
Bermakna, cuti semester pertama akan bermula tidak lama lagi.
January 10, 2012
Selamat Jalan

Breakfast pertama dan moga tidak yang terakhir bersama Ayub
Sekejap lagi Ayub akan meninggalkan Jeddah dan pulang ke Sudan selepas lebih 14 tahun di Arab Saudi. Namun 2 bulan terakhir beliau dihabiskan di penjara.
Begitulah laluan kehidupan beliau. Namun saya sangat-sangat menghormati beliau.
Ayublah yang menjadi pemandu kami sekeluarga ketika mula sampai di Madinah. Hampir tiga bulan. Beliau jugalah yang menjadi pengisi borang. Beliaulah yang membawa saya ke Haram.
Beliau jugalah yang menghantar jemaah haji yang berkunjung ke rumah kami pulang ke hotel ketika saya tidak berkereta.
Alahai…. hampir 100 peratus urusan kami diuruskan oleh beliau.
Saya terkenang beberapa hari sebelum beliau ditahan polis. "Mahu Dr ke rumah saya… kita minum teh dengan xyzm (alahai… saya lupa namanya)," beliau bertanya ketika beliau menghantar saya ke pejabat. Beliau tahu saya tidak mempunyai kelas pada ketika itu.
"OK….," saya tahu bukan senang untuk beliau menjemput seseorang ke rumah. Beliau sering nyatakan yang rumah beliau tidak terurus dengan baik, tiada langsir dan tidak sesuai untuk menerima tetamu.
Bila beliau menjemput kami sekeluarga makan petang/malam, beliau membawa ke rumah kakaknya kerana mahu menjaga keselesaan kami.
Begitulah Ayub… yang akan tetap saya kenang sepanjang hayat atas keluhuran budinya.
Terima kasih kepada khalayak pembaca KRTS yang tidak putus-putus mendoakan beliau dipermudahkan.
Solat Jenazah

Di sinilah Imam mengetuai solat jenazah. Di bilik inilah jenazah diletakkan.
30-40 meter di sebelah kanan tempat Imam mengetuai solat fardhu terdapat satu pintu. Di sinilah jenazah diletakkan untuk disembahyangkan.
Apabila usai solat fardhu, bilal akan mengumumkan samada jenazah rajuli (lelaki) atau mariati (perempuan) yang akan disempurnakan sebelum di bawah ke perkuburan Baqi'.
Pintu bilik ini akan dibuka menanti imam yang berjalan daripada tempat solat. Di sinilah beliau akan mengetuai solat jenazah dan 10-20 jemaah berpeluang untuk masuk ke dalam bilik berdiri di belakang imam (nota: biasanya kaum keluarga).
Ketika menunaikan fardhu haji tahun 2006/2007, inilah tugas saya hampir setiap waktu, berada di dalam bilik ini untuk solat jenazah di belakang iman, kemudian terus mengusung jenazah untuk diserahkan kepada mereka yang sedia menanti di luar.
Ia mengingatkan saya dengan saat-saat kematian yang bakal tiba!
January 9, 2012
Pelajar Cemerlang

Pemandangan Jabal Uhud dari rumah kami. Buku Pelajar Cemerlang sedang ditulis di kawasan ini.
Orang selalu berkata, hanya mereka yang cemerlang boleh menceritakan bagaimana mahu jadi pelajar cemerlang. Lalu saya perlu bertanya, adakah saya cemerlang? untuk menulis buku Pelajar Cemerlang.
Saya tidak tahu.
Jadi saya tidak mahu menulis tips atau petua bagaimana mahu jadi cemerlang kerana saya sendiri tidak tahu sama ada saya termasuk atau tidak dalam kategori tersebut.
Bagaimanapun saya yakin telah melalui kisah-kisah kehidupan yang jika dibukukan boleh menjadi panduan kepada mereka yang membaca kisah ini.
Dalam diri saya ada dua laluan. Saya mempunyai kisah budak pandai dan juga kisah budak bodoh. Kisah orang yang gagal dan juga kisah orang yang berjaya. Lalu siapa yang membaca buku ini sehingga tamat perlu berfikir dan memilih untuk menjadi pelajar cemerlang atau pelajar biasa-biasa.
Ia bukan petua atau tip tetapi kisah yang mungkin sesuai untuk dijadikan panduan.
Saya sudah pandai membaca ketika usia 5 – 6 tahun. Pada usia tersebut saya tinggal di kawasan sekolah rendah. Setiap pagi saya bermain-main di kawasan sekolah, mengikut tukang kebun membersihkan kawasan dan bila kebosanan berdiri pada tingkap kelas memerhatikan murid-murid belajar.
Ia rutin harian.
"Kamu mahu belajar?," seorang guru bertanya. Saya teruja. Akhirnya saya mempunyai tempat di dalam kelas tersebut. Bila pulang ke rumah, saya ceritakan kepada Wan (panggilan kepada ibu) apa yang berlaku di sekolah. Saya mahu uniform sekolah. Saya mahu kasut putih. Saya mahu belajar dan saya mahu serupa dengan mereka yang lain.
Saya masih ingat beberapa detik penting ketika itu. Pertama, saya mahu pandai. Di rumah saya pastikan saya membaca buku-buku, melakukan kerja rumah dan bersiap sedia untuk ke sekolah. Tiada siapa yang memaksa.
Kedua, saya mahu mengatasi pelajar-pelajar lain. Saya budak kecil tetapi mahu mengatasi mereka. Imbasan-imbasan kenangan ini melekat – datang dan pergi – bersama kenangan-kenangan lain yang agak kabur.
Hasilnya – ketika memasuki sekolah rendah – saya sudah dikira cemerlang. Ukuran saya sendiri. Sudah pandai membaca, menulis, mengira dan bukan pelajar yang berwajah takut-takut dan gelisah ditinggalkan oleh ibu bapa mereka pada hari awal persekolahan.
"Mil, bila cikgu tanya siapa yang mahu jadi ketua kelas, angkat tangan. Angkat tinggi-tinggi," pesan ayah sebelum meninggalkan perkarangan Sekolah Rendah Tengku Mahmood. Ia pesan yang saya patuhi.
Namun guru kelas tidak berminat dengan saya. Ada pelajar lain yang kelihatan lebih pandai, cergas dan aktif. Akhirnya saya dilantik hanya sebagai penolong ketua darjah.
Saya kecewa tetapi akur. Apa yang boleh saya lakukan dengan jawatan tersebut? Cita-cita saya mahu menyebut, "selamat pagi cikgu," yang diikuti oleh 40 pelajar lain pastinya tidak kesampaian.
Hanya ketua kelas yang boleh melakukannya. Ada sekali saya cepat-cepat bangun dan menyebut ucapan tersebut walaupun ketua kelas tidak sakit ataupun hilang suara.
Puas hati saya!
Saya melangkau kelas dengan beberapa rakan yang lain. Darjah dua dan tiga hanya setahun. Kelas kami dinamakan kelas X-Press. 2X, 3X dan 4X.
Kemudian kami digabungkan dengan pelajar tidak X-Press untuk menghadapi peperiksaan penilaian darjah 5 yang akan menentukan sama ada berjaya ke sekolah berasrama atau pun tidak. Kelas terbaik dinamakan kelas 5A. Ia diikuti dengan kelas 5B, 5C dan 5D.
Saya suka sukan. Kepandaian utama bermain bolasepak. Buktinya, saya satu-satunya pemain sekolah yang berjaya mewakili daerah Besut ke pertandingan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) ketika di dalam darjah enam. Pasukan kami menjadi juara seluruh Terengganu.
Selain bolasepak, saya mewakili pasukan sepak takraw sekolah. Ia tidak cemerlang. Begitulah sukan-sukan lain yang hanya berada pada paras purata. Boleh bermain tetapi tidak menyerlah.
Saya suka bermain ping pong, badminton dan mahu terbabit dalam sukan olahraga. Ia tidak membawa saya ke mana-mana.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
