Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 65
April 13, 2011
Segera: A atau B
April 12, 2011
Nasihat
Saya mempunyai hampir 100 pelajar diploma semester akhir yang akan menamat pengajian.
Partner saya memberi kuliah sepanjang 1 1/2 tahun yang lepas, Puan Siti Maznah. Beliau pensyarah muda yang Allah anugerah kepada saya. Setiap kali semester bermula, semuanya sudah tersedia di atas meja. Tugas saya hanya ke kuliah dan mengajar.
Hubungan kami dengan para pelajar juga istimewa. Saya dapat merasainya. Kebiasaannya, pada penghujung semester, saya dan puan Siti Maznah akan mengadakan majlis BBQ di rumah saya bagi meraikan mereka yang akan bergraduat. Kebiasaannya juga, saya akan menyampaikan tazkirah atau pesanan terakhir sebagai seorang pelajar sebelum jamuan bermula.
Semester ini, saya tidak berkesempatan menjemput mereka di rumah. Semalam, kami mengadakan sedikit jamuan makan tengahari di UiTM sambil saya menyelitkan sedikit pesanan.
Pertama, jadikan amalan untuk mengambil wuduk dan solat sunat setiap kali kita menghadapi ujian. Kecil atau besar. Mengadulah kepadaNya terlebih dahulu. Kata saya "hari-hari yang saudara-i akan tempuhi selepas ini akan dipenuhi dengan ujian dan cubaan. Ia ujian kecil dan besar yang tidak akan sama sebagaimana kita belajar".
Kedua, saya merenung siswi-siswi yang jauh lebih ramai daripada pelajar siswa dan berkata, "jaga maruah diri sebagai seorang wanita. Jangan serahkan kehormatan diri sebelum berkahwin. Inilah cabaran besar yang saudari-saudari akan hadapi".
Panjang lebar saya beranalogi supaya mereka memahami betapa pentingnya menjaga perhubungan dengan mereka yang tidak sejenis. Saya mahu mereka selamat di dunia dan akhirat.
Dan itulah doa-doa yang sering saya pohon kepadaNya.
April 11, 2011
Tumbuk
"Ayah, kenapa mereka bertumbuk?," soal Sofea apabila kami meninggalkan padang bola UiTM. Saya tergamam. Sukar untuk menerangkan peristiwa yang berlaku di hadapan mata.
Hakikatnya, emosi mengatasi kewarasan berfikir. Ia berlaku dalam kehidupan seharian.
Misalnya, jika saya tidak berpuas hati dengan layanan terhadap manuskrip buku, maka tidaklah pula saya menumbuk editor atau pengurus syarikat penerbitan. Dalam keadaan beremosi saya mungkin menyatakan, "inilah manuskrip terakhir yang saya hantar kepada penerbit ini".
Dalam konteks yang berbeza, emosi yang mengatasi kewarasan berfikir telah banyak menimbulkan huru-hara dalam kehidupan. Terdapat perceraian yang berlaku akibat isu yang terlalu kecil, malah mungkin tidak masuk dek akal sama sekali. Lalu mengawal emosi merupakan satu keperluan yang sangat penting.
Saya fikir, mengawal emosi ini perlu dikaitkan pula dengan kesabaran. Bila di timpa ujian, ayat 45, surah Al-Baqarah boleh dijadikan panduan, "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".
"Pernah awak bergaduh di padang bola?," Roza bertanya saya. Dulu-dulu saya mewakili pasukan sekolah dan daerah. Ko-kurikulum di UiTM juga bolasepak. Dan sememangnya saya sangat aktif bermain bolasepak.
"Tidak. Saya seorang yang penakut. Kalau orang bergaduh, saya duduk jauh-jauh," saya menjawab spontan.
Kedua-dua pemain yang bertumbuk dilayang kad merah walaupun ia berlaku selepas wisel penamat. Mereka yang berada di sekeliling saya berkata, "padan muka, dua-dua sudah tidak boleh bermain lagi".
Saya tidak menjawab soalan Sofea!
April 10, 2011
Hadiah ulangtahun perkahwinan
Majlis Akad Nikad kami bermula pada 29hb Julai 1989 dan berakhir pada keesokannya. Juru Nikah – Tok Kamal – tidak sihat dan terpaksa menggagahkan diri untuk hadir. Itulah tugasnya yang terakhir sebagai jurunikah. Beliau pergi buat selama-lamanya. Al-Fatihah.
Jadi, bila sebut tarikh ulangtahun perkahwinan, saya tidak kisah sama ada ia jatuh pada 29 atau 30hb. Alahai… ia hanya angka semata-mata.
Semalam, saya menerima hadiah ulangtahun perkahwinan awal, jemputan untuk menyampaikan ceramah di Bandar Seri Bengawan, Brunei. Seorang hamba Allah menulis "cadangan tarikh ialah pada Hari Sabtu 30 Julai 2011 Insya Allah. Amal ikhlas saya. Saya akan menyediakan return tickets dan hotel untuk Prof dan Roza ka Brunei".
Bruneilah satu-satunya negara yang ingin saya lawati tetapi masih belum berkesempatan.
[bersambung selepas solat subuh......]
April 9, 2011
Bertunang
Nabi Muhammmad ada mengingatkan kepada kita:
"Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan" (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil).
Itulah yang saya baca apabila google "pertunangan dalam Islam". Ia tulisan di blog saifulislam.com. Malah banyak lagi jumpaan saya tentang konsep petunangan, mas kahwin dan perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam.
Maksudnya, pertunangan harus dilakukan dengan cara yang cukup sederhana. Dan itulah yang saya lakukan sebagai wali kepada adik perempuan saya yang telah memberi keizinan untuk saya membuat keputusan tentang masa depannya. Lalu pendirian saya mudah, "mudah, ringkas dan tidak berdosa".
Seorang pemuda yang baik budi pekerti muncul di rumah. Saya tahu beliau mempunyai hubungan dengan adik saya.
"Bagaimana hubungan dengan adik saya?," saya memulakan perbualan.
"Baik," jawapan ringkas. Saya tahu beliau seorang yang pemalu.
"Adakah hubungan ini dengan niat untuk berkahwin?"
"InsyaAllah"
"Mak dengan ayah sudah tahu?"
"Sudah. Mereka pun sudah berjumpa dengan adik-beradik prof. Mereka ingin sangat berjumpa prof di sini"
"Nanti bawa mereka jumpa saya, InsyaAllah. Bagi saya, ia sudah memadai dengan pertemuan ini. Inilah majlis pertunangan. Kita tidak usah membazir waktu dan wang ringgit. Saya ingin menikahkan sendiri adik saya…."
Beliau tahu yang kemungkinan besar saya akan meninggalkan Malaysia. Maksudnya, saya telah memberi isyarat agar majlis ini perlu dilakukan sebelum bulan September.
Akhirnya, kami bersetuju agar majlis berlangsung pada tiga hari raya idil-fitri.
Mas Kahwin? Saya teringat satu hadis yang bermaksud, "Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya." Malah dalam satu hadis yang lain ada menyebut, "Setengah daripada berkat perempuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya."
Mas kahwin adalah hadiah suami kepada isteri. "Sediakan setakat yang termampu," saya memberi pengesahan. Khabarnya, setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah (salam dan selawat kepada baginda, keluarga dan para sahabat hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumah baginda.
Saya membiarkan untuk beliau membuat keputusan.
Beberapa jam kemudian saya membuat panggilan kepada adik saya, "Na sudah menjadi tunang XYZ. Jaga adab-adab sebagai orang yang sudah bertunang".
"Terima kasih Abang. Inilah doa Na semasa di Mekah dan Madinah. Na mahu Abang yang menikahkan Na," sebak beliau menyatakan keinginannya.
Kemudian, saya hubungi adik-beradik untuk memaklumkan urusan yang telah selesai. Dan beberapa jam kemudian kesemua urusan tempahan majlis perkahwinan telah diuruskan oleh kakak yang tua.
Kami hanya mahu bersederhana dan memudahkan. Seluruh adik-beradik sudah sepakat untuk menyediakan kos pengendalian majlis. Hari ini, saya merayu dan berdoa kepadaNya, "Ya Allah jadikanlah mereka pasangan yang diredhaiMu, biarlah mereka berkasih-kasihan sehingga ke syurgaMu dan berikankah keampunan kepada mereka berdua".
Maha Suci Engkau ya Allah yang telah memudahkan urusan kami.
April 8, 2011
Pulih
Pasca banjir.
Hampir dua bulan rumah kami tidak di datangi burung-burung pipit. Barangkali pipit-pipit ini berserabut melihat laman rumah yang bersepah-sepah dengan komputer, carpet, alat-alat letrik yang berlumpur dan tidak berusik. Mereka tahu yang tuan rumah masih belum OK sepenuhnya.
Pohon-pohon yang berlumpur kesemuanya dicantas oleh Roza. Ia kelihatan seolah-olah masa hayatnya sudah berakhir. Rumput juga tidak terjaga. Kesan lumpur menyebabkan saya tidak ada upaya untuk membetulkannya.
Banjir merupakan ujian Allah. Dia juga yang maha berkuasa untuk memulihkannya.
Hampir dua bulan hujan turun berselang hari. Namun hujan kali ini tidak pula membawa air yang melebihi paras sungai Segamat. Ia sekadar mencuci segala-gala yang tinggal akibat ujian tersebut.
Kini, sudah dua hari bunyi pipit yang lapar mula mewarnai rumah kami. Pohon-pohon yang dicantas kembali bertunas. Kesan lumpur pada rumput tidak berbekas lagi.
Allah sering bertanya di dalam al-Quran, "tidakkah kau memerhatikan kekuasaanKu melalui apa yang ada di langit dan bumi?". Misalnya, pagi tadi saya membaca surah Al-Ghaasyiyah ayat 17 hingga 20 yang bermaksud,
(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?
Suka dan duka silih berganti. Namun di sisi mereka yang beriman, ia kelihatan tiada sempadan. Di sebalik kesusahan sudah pasti ada kemudahan.
Selamat berhujung minggu!
April 7, 2011
Rezeki
Tuan guru haji Omar menyatakan melalui kuliah maghribnya, "ada peniaga yang berkata, hari ini rezeki saya sedikit sahaja….. Ia satu kenyataan yang tidak menggambarkan kita bersyukur kepadaNya. Allah menjanjikan rezeki pada setiap hambanya. Dia tidak pernah berjanji jumlahnya…. namun Allah mengetahui jumlah kecukupan untuk setiap hambaNya".
Hijrah yang ingin kami lakukan – InsyaAllah – menuntut beberapa keputusan penting dalam hidup kami sekeluarga. Ia berkait dengan rezeki Allah. Pertama, permohonan kami untuk bekerja di Universiti Taibah, Madinah adalah permohonan bersama. Saya dan Roza.
Sistem di sana sangat menarik. Jika saya dan Roza masing-masing berkelulusan PhD, maka jika saya dipilih, hampir secara automatik Roza juga akan diterima sebagai tenaga pengajar.
Roza berkelulusan sarjana. Maka jawapannya jelas, "kami hanya menerima mereka yang berkelulusan PhD. Isteri tuan perlu menghantar permohonan berasingan dan perlu dinilai secara berasingan. Sila hantar mock-teaching bersekali dengan borang permohonan".
Saya sangat bersyukur kerana Roza tidak kisahkan sama ada beliau boleh bekerja atau tidak. Ia bukan soal utama. Kami sudah bersetuju tentang beberapa perkara. Pertama, Roza boleh jadi penulis sepenuh masa. Kedua, beliau mempunyai masa untuk menerima tetamu Malaysia yang bakal melawat kami di sana. Ketiga, beliau boleh menuntut ilmu.
Gaji?
InsyaAllah saya akan membayarnya RM5500 sebulan. Itulah janji saya. Bagaimana caranya? Rencana kami, Mekah akan kami kunjungi setiap bulan. Maka itulah kos yang perlu dibayar jika kami menggunakan pakej umrah dan bertolak dari KLIA. Dan itulah pula yang akan kami perolehi apabila berada di Madinah.
Di atas segalanya, kami menyerahkan kepada Allah untuk mengatur kehidupan kami di sana. Dan semalam kami menerima satu lagi e-mel yang ditujukan kepada Roza,
"I can say, initially, we might find an opening during the coming months, but in any case, and since you will be accompanying Prof Ibrahim we will contract you as part timer to do certain tasks in our academic program, but we leave this to look at after arrival to Madinah"
Maha Suci Allah, ia sudah memadai dan jauh lebih baik daripada apa yang kami fikirkan.
April 6, 2011
Ujian kesukaan
Pagi semalam, saya membuka peti masuk e-mel sebelum ke pejabat. Hati saya berdebar-debar apabila melihat ada mesej yang baru masuk daripada Dekan Dr Adnan, Universiti Taibah, Madinah.
"Yang – yang, saya sudah dapat offer dari Madinah," kegembiraan yang tidak dapat dibendung. Kenapa tidak, itulah cita-cita, impian dan doa yang terkandung dalam hati sanubari sejak sekian lama.
Namun ia lebih menggoncang rasa kerana pantasnya perubahan nikmat anugerah yang Allah berikan. Saya mengutuskan e-mel kepada universiti pada minggu lepas bertanya tentang kekosongan jawatan. Ia berjawab dengan meminta saya mengisi borang permohonan dengan perlu menghantar video presentation.
Dan semalam sebahagian daripada proses berhijrah sudah terlaksana dengan penerimaan surat tawaran tersebut. 1/2 lagi, saya berdoa agar Allah lembutkan hati pihak pengurusan UiTM untuk membenarkan saya dan Roza bersara awal.
"Yang, sujud syukur," Roza mengingati saya.
Itulah ujian Allah. Ujian suka atau duka, akhirnya kepada Allah jualah tempat kita bersyukur dan melihat betapa Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pemurah.
InsyaAllah, jika segalanya berjalan lancar, saya akan meninggalkan Malaysia pada September, 2011. Doakan saya dipermudahkan.
MENARIK
Semalam, hari yang sangat gembira. saya maklumkan kepada sebahagian daripada ahli keluarga, rakan sepejabat dan mereka yang saya temui di pejabat atau di dalam majlis.
Di antaranya – spontan – terus bertanya, "berapa gaji?"
Saya tidak berahsia, "2-3 ribu lebih baik daripada apa yang saya dapat di sini tetapi setelah mengambil kira exchange-rate, ia kembali seperti sedia kala".
Lalu saya panjangkan sedikit, "ia bukan soal $$$$, universiti ini di Madinah. Sangat dekat dengan Masjid Nabi. Cuma ada 5 keluarga Malaysia di sana yang bekerja. Selebihnya terdapat lebih sedikit 100 "ustaz" yang sedang belajar di Universiti Madinah".
Saya membayangkan begini, "jika sebulan sekali saya berkunjung ke Mekah dengan Roza dan anak-anak bagi menunaikan umrah, maka gaji saya bertambah lebih RM20,000. Kenapa? Ia mengambil kira pakej umrah RM5000/seorang yang perlu saya bayar jika bertolak dari Malaysia"
Tidak, ia bukan kerana $$$$$$. Ada rasa halus yang menolak-nolak untuk ke sana.
KULIAH RABU
Semalam juga saya menghadiri dua majlis ilmu. Pertama di UiTM, tazkirah mingguan yang disampaikan oleh Ustaz Zainuddin, guru Bahasa Arab saya dan Roza.
Hadirinnya semua wanita minus saya. Kami membaca surah Al-Balad dan Ustaz menerangkan tafsirnya. Kemudian beliau membaca hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi tentang pemakaian serban.
Mengikut riwayat ini, kesemua sarban Rasulullah berwarna hitam dan ada ekor di bahagian belakang. Ekor ini pula tidak di tepi dan kanan. Ia di tengah-tengah [nota: riwayat lain menerangkan pelbagai warna serban yang dipakai oleh baginda].
Sebagai penutup, diterangkan pula fadhilat solat malam.
Ketika kami pulang dari solat, Ustaz memaklumkan kepada saya, "prof, biasanya mereka akan bertanya banyak soalan. Hari ini mereka malu dengan prof…"
Ia satu isyarat. Minggu depan saya tidak perlu hadir. Saya perlu memberi ruang kepada semua kaum wanita bertanya bila mereka sesama mereka. Ia perlu.
Di sebelah malam, saya menghadiri kuliah Tuan Haji Omar di Masjid Kg Jawa. Kami mendengar beliau menjelaskan kitab Hikam. Ia kitab yang sukar untuk difahamai kerana nilai falsafahnya yang sangat tinggi.
Saya sendiri mempunyai bebarapa kitab hikam yang sudah diterjemahkan. Percubaan untuk membacanya selalu terkandas. Saya fikir ia perlu mengadap guru.
Satu petikan, "bila kita diberi nikmat atau dimakbulkan doa-doa kita, maka kita berasa dekat dan diberi kasih sayang oleh Allah SWT. Dan kita memuji-muji Allah. Jika Allah tidak memakbulkan doa-doa kita, kita berasa Allah tidak sayang dan kasih kepada kita"
Mari kita melihat analogi berikut. Seorang ayah sedang bercukur misai dan jambangnya. Pisau cukurnya sangat tajam. Tiba-tiba anaknya yang baru berusia 4 tahun berkata, "ayah, nak pisau cukur tu…."
Ayah tidak membenarkan permintaan anak tersebut. Adakah ayah tidak sayang kepada anaknya?
Begitulah perumpamaannya apabila kita meminta sesuatu daripada Allah SWT. Namun janji Allah, jika tidak di dunia, Dia akan kabulkan doa-doa tersebut di akhirat dengan memberi kemuliaan kepada hambaNya.
April 5, 2011
O yang OK
Dalam tempoh dua minggu yang lepas saya akan ucapkan OOOOO…. apabila mengadap cermin bilik air. Onya tidak penuh. Lalu saya lintaskan di dalam hati, "Ya Allah kau sembuhkanlah penyakit ku ini hingga tidak berbekas lagi. Kaulah yang berkuasa di atas segala-galanya".
Kawasan bibir inilah yang mengingatkan betapa saya telah mengalami perubahan fizikal yang amat ketara. Segala kecantikan dan keindahan yang menjadi milikNya pastinya tidak kekal selama-lamanya. Sekurang-kurangnya saya telah diberi isyarat betapa manusia tersangat lemah.
Saya suka mencatatkan apa yang telah saya alami untuk dikongsi bersama tentunya bersebab. Ia tacit knowledge yang hanya ada pada mereka yang telah mengalami masalah yang sama.
Ya Allah, rupa-rupanya ramai yang telah mengalami pengalaman unik ini. Ada yang sebak dan menangis apabila bercerita,"Prof, selepas melahirkan anak, ada yang menyebut mulut saya herot. Saya sama sekali tidak sedar. Menangis saya prof….". Itulah penerimaan awal apabila menerima sesuatu ujian yang tidak disangka-sangka.
Seorang teman yang hampir berkata, "Mil, kawe sudah kena macam ni dah lama dulu, InsyaAllah ia akan sembuh". Seorang kenalan yang lain juga bercerita, "Prof, anak saya pun kena… ada satu ubat tu harganya RM300 diberi doktor di hospital….."
Malah ada sesorang yang telah mendengar ceramah saya di Besut memberitahu kakak sendiri, "bawalah prof balik ke Besut, ada klinik di Setiu yang terkenal dengan rawatan untuk penyakit seperti ini".
Barulah saya tahu yang ubat yang saya makan selama 7 hari berturut-turut (12 biji sekali makan) merupakan high-dose streoid.
Malah saya bersyukur kerana ada tetamu yang travel sejauh 8 jam perjalanan semata-mata untuk menzirahi saya dan mengajar bagaimana perlu melakukan latihan saraf terutamanya di kawasan bibir.
Ia mudah tetapi memberi impak yang besar.
Dinihari tadi saya melihat O saya hampir bulat sepenuhnya. Doa saya dimakbul Allah. Dan sebab dan kaedahnya pelbagai!
Cordyceps
Roza pula mempelajari sesuatu. Beliau belajar bagaimana menyediakan Cordyceps bagi membantu pengaliran oksigen dalam darah yang boleh membantu merangsang urat saraf. Ia ramuan yang mahal.
Catatan tentang cordyceps boleh dibaca di sini.
April 4, 2011
Tukang gunting
Di tengah-tengah pekan Jementah terdapat seorang tukang gunting Melayu. Hampir 35 tahun beliau bergunting rambut. Itulah satu-satunya kerja beliau. Kerjaya inilah yang telah menyara kehidupan beliau sekeluarga.
"Berapa anak pak cik?," saya bertanya. Agaknya Melayu yang busy-body.
"Lapan, tiga perempuan, lima lelaki"
"Anak yang bongsu masih belajar?"
"Tidak, semuanya sudah bekerja"
"Alhamdulillah, tentu sekali kesemuanya membantu pak cik," saya cuba memikirkan yang beliau sudah sepatutnya bersara ketika 1/5 sisa usia. Namun tidak begitu. Beliau masih meneruskan rutin yang sama, masuk pejabat jam 9.00 pagi dan pulang ketika hampir solat maghrib.
Cuma beliau tidak terikat dengan waktu tersebut secara mutlak.
"Encik orang Melayu?"
"Ya, kenapa?"
"Saya minta maaf, orang Melayu kita tidak sama dengan orang Jawa. Anak-anak orang Jawa majoritinya membantu ibu bapa mereka. Lapan anak saya, hanya yang perempuan yang boleh saya tumpang…".
Saya ketawa sambil berkata,
"Pak cik, orang sekarang sentiasa tidak cukup wang untuk diberi kepada ibu bapa kerana mereka mengharapkan wang sisa. Ibu bapa yang akhir sekali. Sepatutnya bila dapat gaji, keluarkan dulu untuk ibu bapa mereka, barulah duit cukup"
Alahai….saya terbayangkan semasa mula-mula bekerja. Gaji RM13oo. Sewa rumah RM400, kereta RM500… terasa-rasa tiada sisa yang boleh dihulurkan kepada keluarga di Besut.
Realitinya, jika sedikit bagilah sedikit. Ayah saya hanyalah seorang guru lulusan darjah lima yang gaji akhirnya hanya RM810. Dengan jumlah itulah beliau menyara 12 adik beradik sehingga masuk universiti. Sedikit sumbangan tentu sekali menyejukkan hati dan perasaan.
Saya fikir Mak dan Abah mertua saya seorang yang berwang. Mereka tidak memerlukan sumbangan anak-anak untuk terus hidup. Namun hadiah daripada anak-anak mempunyai nilai yang sangat berbeza.
Sebanyak mana pendapatan – jika tidak bersyukur – ia sentiasa tidak mencukupi. Nanti, wang ibu bapa yang sedikit itupun mahu diminta.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
