Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 58

June 14, 2011

Wahai jellyku

Melalui FB, Puan Ainon menulis tip manis mulut. Ramai peminat tulisan-tulisan ringkas beliau. Di antara tip yang dinyatakan ialah bagaimana mahu memanggil isteri dengan panggilan manja. Saya petik tulisan beliau. 


Tip manis mulut: Apabila memuji isteri yg masih muda usianya, pilih 1 ciri yg cantik pada mukanya dan pujilah ciri itu. Jadikan ciri itu nama panggilan manja.


 Contoh, (a) Hidungnya mancung, lalu panggillah dia, "wahai si hidung mancung, kanda sayang padamu." (b) Pipinya merah apabila kepanasan, panggillah, "wahai si pipi merah, ambilkan kanda air sejuk segelas." Teknik ini jangan digunakan kepada isteri yg sudah tua, nanti dituduh buang tebiat!


Tentu sekali selama ini saya tersilap memanggil Roza. Saya memanggil, "wahai jellyku…. tolonglah buka stokin di kaki ku". Beliau masih melaksanakan permintaan tersebut. Saya fikir beliau OK dengan panggilan manja tersebut.


"Ayah mengata mama," itulah pemahaman Sofea apabila  mendengar saya memanggil Roza dengan panggilan tersebut.


"Prof, bolehkah saya usulkan panggilan manja lain untuk Puan Roza?," puan Ainon bertanya. Tentu sekali saya mahu mendengarnya.


"Panggillah wahai si putih kuning".


Petang semalam saya mencuba, "wahai si putih kuning, abang belikan nasi beringin berlaukan ayam kurma dan ikan tenggiri". Roza tersenyum dan berkata, "ha… panggilan itukan lebih baik…..".


Saya cuma cuak, apakah beliau gembira kerana dipanggil "siputih kuning" ataupun kerana saya membawa pulang "nasi beringin".


Saya fikir nasi beringin lebih mustahak kerana tidak perlulah beliau memasak.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 14, 2011 11:22

June 13, 2011

Fit

Akhirnya doktor mengesahkan kami berempat – saya, Roza, Amirul dan Sofea – fit untuk berhijrah ke Madinah. Kesemua ujian kesihatan berada di dalam parameter atau limit yang menjadi rujukan.


Namun ia bukannya berakhir tanpa sebarang debaran. Hampir setiap malam saya berdoa supaya dipermudahkan, tiada sebarang masalah terutamanya memohon agar tekanan darah dan bacaan diabetes saya berada pada paras yang sepatutnya.


Saya risaukan diabetes. Bacaan ketika berpuasa berada pada paras 7 – 10.  Lalu saya mula melakukan diet secara lebih serius hampir sebulan lamanya. 10 jam berpuasa sebelum melakukan pemeriksaan kesihatan. Hasilnya, bacaan gula saya 4.8 sesuatu yang sudah lama tidak dapat dicapai.


InsyaAllah, saya sudah bertekad untuk menjadikan penghijrahan ini sebagai pemulaan baru kepada pengawalan diabetes. Saya merenung dan mengkaji balik amalan dan jenis-jenis pemakanan yang telah saya ambil sehingga menjadikan paras gula stabil untuk tempoh "ketakutan" tersebut.


Benar, saya lebih risaukan diabetes tetapi yang menyebabkan ujian pemeriksaan tidak sempurna buat kali pertama adalah tekanan darah. Setiap kali mesin membuat bacaan, darah saya naik ke kepala. Bunyi mesin tersebut membuatkan saya berdebar-debar.


MasyaAllah, ia stabil pada 170/105. Rehat, ambil bacaan, rehat, ambil bacaan dan ia masih menyebabkan mesin mengeluarkan bunyi amaran. Saya balik ke hotel, berehat dan kembali semula ke hospital. Tetap juga ia begitu.


"Ya Allah, aku mohon kepada Mu, kawallah tekanan darah ku. Kaulah yang Maha Berkuasa ya Allah," saya merayu-rayu kepada Dia yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Akhirnya, pegawai bertugas berkata, "Encik balik dulu ke Segamat, kita akan review result pada hari Isnin nanti, doktor akan buat pemeriksaan semula. Di Segamat, encik berjumpa dengan doktor dan buat pemeriksaan setiap hari".


Ya Allah, pemeriksaan setiap hari dengan doktor kebiasaan saya menunjukkan tekanan darah saya normal, 120/80, 140/85, 110/80 dan seterusnya. Dr Foong, Segamat membuat catatan ringkas untuk diserahkan kepada doktor bertugas di Hospital KPJ Selangor.


Itulah yang saya lakukan, menyerahkan catatan tersebut kepada pihak hospital. OK, sebelum berjumpa doktor sekali lagi tekanan darah saya diambil, ya Allah bacaannya kembali meningkat sebagaimana minggu lepas.


Lalu doktor melakukan pemeriksaan kepada Roza dan anak-anak terlebih dahulu sementara saya berehat. Bila berjumpa doktor, bertanya itu dan ini, beliau melakukan pemeriksaan darah secara manual. Tiada lagi bunyi mesin. Ia dalam suasana yanag aman damai. Beliau tersenyum kepada saya dan berkata, "tekanan darah awak normal".


"Itulah doktor, saya memang fobia dengan bunyi mesin. Kuat sangat mengepam darah saya," sambil tersenyum dan ketawa saya melahirkan isi hati.


Ia selesai. Namun dalam tempoh seminggu tersebut, permohonan dan pergantungan kepada Allah ternyata sangat-sangat terasa. Bila pegawai bertugas berkata, "lapuran akan siap dalam tempoh sejam," saya mengajak Roza dan anak-anak beredar ke Masjid Negeri.


Saya mahu sujud syukur dan menyatakan kepadaNya, "Alhamdulillah ya Allah, aku mohon keampunanMu ya Allah, sesungguhnya nikmat yang Kau berikan kepada kami sekeluarga tidak sepadan dengan apa yang kami lakukan kepadaMu".


Terima kasih atas doa-doa semua khalayak pembaca FB dan KRTS. Fasa seterusnya adalah kelulusan VISA dan clearance Lembaga Hasil dalam Negeri.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 13, 2011 14:04

June 12, 2011

Umur tua

Pencen adalah rujukan usia tua. Kemudian, pencen atau bersara dalam dunia pekerjaan sering dikaitkan dengan permulaan alam baru. Misalnya, alam masjid, masa berehat-rehat dan masa untuk berubah.


Bahasa mudah – umur tua. Umur untuk mengingatkan yang kita – sangat-sangat hampir – akan berhadapan dengan kematian. Di sana-sini, mereka yang dipanggil pulang tidak semestinya berusia tua.


Ada yang muda belia, kanak-kanak, bayi atau kandungan yang belum sempat dilahirkan sudah merasai bagaimana rasanya mati. Cuma ia bukanlah satu kejadian yang mengatasi normal kematian di waktu manusia berusia.


Keluarga saya – 12 adik beradik – Allah memberi peringatan kepada kami melalui adik Haniza yang telah meninggalkan kami ketika usianya 35 tahun. 11 yang lain masih terus bernafas.


Roza – 7 adik beradik – juga diberi peringatan yang sama melalui pemergian adik Ayu ketika usianya juga 35 tahun. 6 adik beradik yang lain masih meneruskan rutin kehidupan biasa mereka.


Namun manusia sangat berani mempertaruhkan usia mereka untuk menunggu usia pencen atau bersara sebagai titik permulaan  usia tua lalu ingin melakukan perubahan diri.


"Nantilah, bila pencen barulah saya ke masjid," kenyataan perlambangan bagaimana usia tua dikaitkan dengan "menyembah dan beramal ibadat" kepada Allah.


Ironinya, bila sudah pencen, sudah sampai usia tua yang dinanti-nantikan, masjid masih tidak dapat menyambut kedatangan mereka. Jika Melayu Islam pencen distatistikkan, maka saya fikir masjid-masjid tidak dapat menampung bilangan mereka yang sudah bergelar "orang tua".


Saya cuba melihat dari pandangan sisi. Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), purata umur kematian rakyat Malaysia di sekitar 74 tahun. Secara lebih spesifik, wanita 76 tahun dan lelaki 74 tahun. Saya ambil mudah usia tua dengan mengambil separuh umur kematian 7a tahun, iaitu 37 tahun.


Acap kali saya ucapkan di majlis-majlis, "sesiapa yang umurnya melebihi 37 tahun, maka usia yang tinggal lebih pendek daripada usia yang telah kita lalui jika statistik PBB diambil kira. Maka bagi saya 37 tahun adalah usia tua untuk orang Malaysia".


"Siapa di kalangan pembaca KRTS yang sudah melebihi umur 37 tahun?, kita sudah dikira sebagai orang tua. Jika ditakdir dipanggil Allah pada usia sekarang, apakah amalan kita sudah memadai?"


Saya fikir kumpulan 37 – 47 tahun merupakan usia tua tahap l, 48 – 57 tahun merupakan usia tua tahap ll, 58 – 67 tahun merupakan usia tua tahap lll dan selebihnya merupakan tahap kritikal.


Kita tidak perlu menunggu saat pencen untuk berubah ke arah kebaikan. Masa yang tinggal pastinya akan berjalan pantas tanpa kita sedari. Jika usia 37 tahun dianggap penting, maka ia bukan usia pencen dan melakukan sesuatu hanya untuk ibadat khusus semata-mata.


Seluruh kehidupan adalah untuk Allah SWT.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 12, 2011 15:54

June 11, 2011

Jaja

Tahniah buat Jaja


Perkahwinan membawa banyak kesan buat pengantin dan ahli keluarga yang lain. Buat kami, saya dan Roza menerima ahli keluarga baru. Dalam konteks ini, kedatangan Jaja kami sambut dengan rasa hormat dan gembira yang "sungguh-sungguh".


Namun saya tidak dapat menahan ria melihat "Mat Akram" anak saudara kami yang melanggar adat. Mereka berkahwin di Cheras seminggu yang lalu. Kebiasaannya, pengantin lelaki

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 11, 2011 10:06

June 10, 2011

Sakit

Kalau orang bertanya saya, "sakit apakah yang paling sakit?", maka saya akan terarah untuk menyebut "batu karang".


Ia pengalaman tahun 2005. Ia menyebabkan saya terasa masa bergerak terlalu perlahan. Roza kelihatan terlalu lambat bangun dari tidurnya. Lambat untuk memicit tubuh saya. Lambat segala-galanya.


Namun ada juga penyakit yang sangat sakit selain batu karang yang pernah dan sedang saya alami. Sakit gigi.


Ia boleh sampai ke otak. Akibatnya, semalam saya tidak mampu menulis di sini. Cuma ia tidak terasa apabila menyampaikan kuliah Isya di Masjid Apal.


Sakit oh sakit…. ia juga satu ujian!


NotaMKI: Malam tadi ada sepasang suami-isteri yang hadir datangnya sejauh Kota Bharu. Mohon hubungi saya di 0193154444.


Lembu

Anak-anak dan anak saudara yang lain berkumpul di Besut. Kenduri menyambut menantu anak saudara yang pertama. Maksudnya, inilah perkahwinan sepupu mereka yang pertama.


Semalam, seekor lembu ditumbangkan. Ya Allah, tiada seorang pun di antara mereka yang berminat melihat lembu disembelih. Mereka lebih suka berkumpul sesama mereka, bersembang dan bermain komputer.


Lembu bukan permainan yang menarik!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 10, 2011 15:34

June 8, 2011

Ar-Raudhah

Laman Ar-Raudhah


Malam tadi kami telah membuat keputusan yang sangat signifikan. Kami menyerahkan Ar-Raudhah untuk dijadikan rumah PERKIM Segamat. Ia keputusan Roza yang tidak terlalu sukar. Malah ia sangat-sangat menggembirakan.


Rumah PERKIM ini akan digunakan sebagai pejabat kecil mereka, ruang tamu akan digunakan sebagai tempat mengajar al-Quran dan kuliah agama untuk para Muaalaf di sekitar daerah Segamat terutamanya yang telah mendaftar dengan kami.


Malah majlis-majlis ilmu anjuran PERKIM – InsyaAllah – akan turut diadakan di sini. Perpustakaan yang sedia terbina dengan beratus-ratus buku dan kitab sesuai menjadi ruang rujukan.


"Gunalah selagi kami berada di Arab Saudi. Itulah keputusan kami setakat ini. Apa yang kami minta mudah sahaja, tolong bayar cukai pintu dan cukai tanah yang berjumlah RM500/setahun (nota: ada sesiapa yang mahu menyumbang kepada PERKIM Segamat?). Dan jaga halaman rumah".


Semalam juga saya telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PERKIM Segamat. Seronoknya saya kerana dapat "meletakkan jawatan" sambil menyerahkan cek derma bernilai RM5000.


"He… he… (saya ketawa), ini bukan duit saya. Ada seorang hambaAllah berjumpa dengan saya dan berkata, "baru ini saya dapat duit lebih sedikit, saya hendak menyumbang kepada PERKIM Segamat", jadi saya hanya tukang sampai sahaja".


Semalam, saya menjeling cek tersebut, "Ya Allah RM5000, agaknya berapa banyak duit terlebih tersebut," hati saya berbisik. Orang KL menyumbang kepada daerah Segamat. Alhamdulillah.


Satu ketika nanti kami akan berada jauh daripada PERKIM Segamat. Namun saya berharap Ar-Raudhah menjadi penyambung usaha-usaha dakwah kami berdua di bumi Segamat, InsyaAllah.


Ceramah di Masjid Apal, Besut

Hujung minggu nanti, kami sekeluarga akan berada di Besut, meraikan majlis menyambut menantu Kak Yah dan Abang Jali.


Petang semalam saya mendapat e-mel daripada Kak Ma (kakak no 3) yang berbunyi, "Salam. Ceramah 10 Jun, Jumaat malam Sabtu, lepas Isya, Masjid Apal".


InsyaAllah, saya akan hadir.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 08, 2011 15:15

June 7, 2011

Muktamad

Terima kasih kepada semua


Semalam, saya menerima surat rasmi UiTM yang menyatakan permohonan bersara awal telah diterima dan diluluskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Kakitangan dan Lembaga Pengarah UiTM. Ia juga menyatakan secara jelas yang keputusan tersebut adalah keputusan muktamad.


Saya insan biasa. Terasa sebak. Cinta dan kasih saya pada UiTM terlalu tebal. Hampir 30 tahun saya berada di dalam UiTM, sebagai pelajar dan pengajar. Di sinilah tempat saya melalui sebahagian besar ujian kehidupan.


Dalam tempoh tersebut saya telah belajar dan berkhidmat di UiTM Terengganu, UiTM Jalan Othman, UiTM Shah Alam, UiTM Sarawak dan UiTM Johor. Saya juga bersyukur kerana dalam tempoh 23 tahun berkhidmat hampir sentiasa berada di dalam pasukan pengurusan UiTM.


Ia kenangan yang menggetarkan jiwa dan perasaan.


Di antara anugerah Allah yang diberi melalui UiTM ialah biasiswa tenaga pengajar muda, peluang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan PhD di Luar Negara. Ia pengalaman yang sangat berharga.


Malah melalui UiTM, saya berkesempatan berjumpa dengan ramai nama-nama terkenal, rakan-rakan, orang biasa-biasa yang mengharapkan bantuan dan pertolongan dan ribuan anak-anak murid yang mungkin sudah saya lupai kewujudan mereka. Mudah-mudahan mereka sentiasa mengingati saya apabila bersua muka.


Kami menunaikan fardhu haji ketika berkhidmat di sini. Ia menjadi sejarah dan titik permulaan yang sangat berbeza.


Namun anugerah berjumpa dengan Roza terlalu bernilai. Beliau pula melahirkan anak-anak kami, Sara, Azrai, Amirul dan Sofea. Roza sentiasa berada di sisi ketika senang dan susah.


Ketika saya mencari-cari arah kehidupan, beliau sentiasa berdoa kepadaNya supaya saya menjadi suami, ayah dan insan yang diredhaiNya.


UiTM adalah kisah kehidupan saya. Ia bukan kisah ringkas tetapi sangat signifikan. Terima kasih, UiTM sentiasa di hatiku.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 07, 2011 16:14

June 6, 2011

Rasa hati

Saya bercerita dengan bakal doktor pengalaman saya berada di wad 3 di sebuah hospital kerajaan.


"Hampir kesemua pesakit – rasa saya – tidak menunaikan solat subuh. Inilah realiti kehidupan manusia apabila ditimpa ujian bencana kesihatan. Itu ujian untuk pesakit.


Doktor juga berhadapan dengan ujian kerana mereka bertanggungjawab kepada pesakit tersebut. Mereka perlu mengingatkan pesakit mereka untuk solat walaupun berada di hospital".


Bakal doktor tersebut berkata, "Doktor tidak sempat memikir soal tersebut. Dia kena memikirkan ubat apa yang patut diberi, keadaan pesakit yang ramai……"


Dalam senyum dan ketawa saya nyatakan, "inilah yang membezakan kita sebagai seorang doktor beragama Islam yang melakukan kerja semata-mata kerana "menyembah dan beramal ibadat" kepadaNya".


Ajakan untuk mendekati diri kepada Allah SWT dengan bijak pandai mempunyai dua aliran yang sangat kuat. Pertama, kumpulan yang cepat dapat memahami dan bersedia menerima pandangan.


Kedua, mereka cuba mencari jalan untuk mempermain-mainkan ajakan atau pandangan tersebut dengan hujah-hujah yang kelihatan logik pada diri mereka. Pada satu-satu ketika, mereka berhujah seolah-olah bersedia untuk melakukannya tetapi terhalang dengan sesuatu yang tidak dapat dikawal.


Yalah… mereka diberi Allah dengan sedikit ujian "kepandaian".


Saya melalui peristiwa "bodoh sombong" ini. Ketika Roza mengajak saya menunaikan fardhu haji, saya mainkan beliau dengan pelbagai kenyataan misalnya, "Yang, kita masih muda, lambat lagi nak mati" dan "Yang, kalau kita pergi haji awal, balik nanti payah hendak buat dosa".


Pada ketika yang lain, Roza pernah berkata, "Yang, anak-anak kita semakin besar, Ustaz-Ustazah mengajar di sekolah supaya solat berjemaah, marilah kita solat berjemaah, awak jadi imam, kami semua jadi makmun". Lalu saya berhujah, "anak-anak kita masih belum akil-baligh, awak saja yang jadi imam".


Pernah saya mempermain-mainkan Roza apabila beliau mengajak saya untuk solat terawih di surau Kondo Kemuncak, "Yang awak pergilah solat di bawah, mereka buat 8 rakaat sahaja. Saya mahu solat di rumah. Saya mahu solat 23 rakaat".


Hakikatnya, saya tidak berbuat apa-apa.


Inilah fasa yang sedang dilalui oleh bakal doktor tersebut. Ketika saya berkata, "bagi seorang doktor, bangunlah solat malam. Mintalah pada Allah supaya Dia memperkuatkan hati dan minda kita. Supaya Allah memberi jalan bagaimana mahu berhadapan dengan pesakit-pesakit kita".


Ketika saya fikir beliau akan memberi jawapan "InsyaAllah, saya akan cuba" atau hanya berdiam diri, beliau berkata, "saya sentiasa terjaga pada pukul 4.00 pagi tetapi tidak tergerak untuk solat tahajud".


Saya telah melalui fasa tersebut dan sangat memahami tutur kata mereka. Itulah, saya berdoa dengan penuh kasih-sayang agar bakal doktor muda ini akan menjadi golongan terpilih yang tidak sama dengan doktor-doktor lain yang ramai di pasaran.


Biarlah beliau menjadi golongan kanan, bersyukur dengan nikmat "ilmu" kedoktoran yang dianugerah Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 06, 2011 16:02

June 5, 2011

Pilu di hati

Medical Check-up

Ia satu lagi proses yang perlu kami lalui dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Ia sangat-sangat mendebarkan hati. Roza dan anak-anak – rasanya – mempunyai tahap kesihatan terbaik. Mungkin mereka tidak akan mempunyai masalah yang besar.


Saya?


Tahap kesihatan saya bukanlah berada dalam kedudukan yang terbaik. Namun saya sentiasa berdoa, bergantung harap dan memohon belas kasihan Allah SWT supaya saya fit dan dibenarkan untuk berhijrah.


Pagi ini, kami sekeluarga akan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh. Saya mohon doa khalayak pembaca agar segalanya berjalan lancar.


Masjid UiTM

Photo oleh Mohd Fauzi


Hati tergerak untuk solat subuh di Pusat Islam, di dalam kampus UiTM Shah Alam.


Masjid yang sudah diubahsuai, cantik, canggih dan berhawa dingin ini memang menjadi kebanggaan warga kampus. Saya agak begitu. Kalau sejarah lampau diingati, masjid ini didirikan hasil usaha warga UiTM yang mahu melihat masjid wujud di dalam kawasan kampus.


Ketika bangunan menara UiTM Shah Alam (keseluruhan kampus menerima pelajar), pembina kampus terlupa untuk menbina masjid. ia dianggap tidak penting. Mungkin juga dengan bajet yang terhad, maka masjidlah yang biasanya akan diketepikan.


Kami pernah disoal, "mahu bilik kuliah atau masjid?". Lalu saya bertanya kembali, "kenapa ditanya begitu?. Boleh kita tukar soalan tersebut kepada sesuatu yang menggambarkan kita seorang yang beragama Islam? Misalnya, mahu air panjut atau bilik kuliah?, Mahu padang bola atau bilik kuliah?. Tidak usahlah membuat pilihan dengan masjid".  


Ketika saya menuntut di sini – 1986 hingga 1988 – saya masih menunai solat Jumaat di kawasan berjalan kaki di bahagian tingkat bawah bangunan utama.


Membina masjid yang cantik, indah dan nyaman merupakan satu perjuangan. Memenuhi masjid ini pula merupakan satu perjuangan yang lain. Ia perjuangan yang lebih sukar. Ia perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan berterusan. 


UiTM Kampus Shah Alam masih belum menerima pelajar-pelajar sepenuhnya. Bilangan pelajar diploma yang sedang belajar di sini mungkin sangat-sangat berkurang. Majoriti penghuninya daripada pelajar di peringkat pengajian sarjana muda dan kampus hanya akan beroperasi sepenuhnya pada bulan September.


Namun saya tetap berasa pilu apabila melihat hanya imam, bilal dan seorang makmun hadir untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Saya yakin ramai lagi penghuni tetap berada di dalam kampus tetapi terkhilaf untuk tidak mahu ke masjid.


Masjid secantik itu perlukan lebih ramai jemaah. Dan solat subuh merupakan ujian besar.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 05, 2011 16:05

June 4, 2011

Tren


Kami menaiki tren dari Segamat – KL Sentral – Ipoh – KL Sentral. Di Ipoh, kami dijemput oleh saudara Mohamad Abas staf Tabung Haji yang berkhidmat di Madinah. Beliau juga baru mendarat dari KLIA kerana pulang bercuti.


Beliau jugalah yang menghantar kami ke stesyen keretapi Ipoh untuk pulang. Saya tahu hatinya sebak. Matanya berkaca apabila menyatakan kepada saya, "kawan-kawan bertanya, bagaimana saya boleh menjemput prof, adakah saya mengenali prof?"


Tentu sekali saya juga tidak mengenali beliau. Beliau menghantar jemputan, menyebut secara jelas beberapa alternatif tarikh dan akhirnya saya mencadangkan tarikh yang selari dengan kehadiran saya ke KL kerana meraikan anak saudara yang melangsungkan majlis perkahwinan.


Realitinya, itulah ketentuan Allah yang paling nyata. Kita merancang tetapi Allahlah yang menentukan sama ada perancangan itu menjadi kenyataan ataupun tidak. Beliau tidak menyangka semudah itu saya memberi persetujuan untuk hadir.


Saya selalu perhatikan betapa ada yang sangat mudah dalam urusan menjemput saya menyampaikan ceramah. Ada yang cuba bertahun tetapi sentiasa terhalang dengan pelbagai sebab yang tidak mampu saya jelaskan.


Ada juga yang membuat jemputan tetapi dengan gaya yang sangat sukar untuk saya penuhi, misalnya dengan berkata, "Sudah lama saya ingin menjemput prof berceramah dan kalau prof terlanjur datang ke sini, bagitahulah saya nanti supaya saya boleh aturkan program…"


Menunggu saya "terlanjur datang" bukanlah satu kaedah menarik. Sebutan ini sentiasa diulang-ulangkan. Dan sehingga ke hari ini saya masih belum terlanjur sampai ke kawasan beliau!


Kami memilih untuk menggunakan tren kerana masalah kesihatan. Saya demam dan batuk-batuk yang agak teruk. Saya fikir tiada upaya untuk saya memandu sejauh itu.


Malah ketika menyampaikan syarahan, saya tidak dapat mengawal batuk yang tiba-tiba muncul pada penghujung kuliah. Ia tidak selesa tetapi – alhamdulillah – Allah membenarkan saya bercakap hampir dua jam. 


Cuma saya sedikit terkilan kerana tidak mengetahui kewujudan tren pantas yang menghubungkan KL Sentral – Ipoh – KL Sentral yang dapat menjimatkan 1 jam masa perjalanan berbanding dengan tren yang saya naiki.


Saya teruja bertamu di Ipoh. Saya bertemu dengan ramai rakan baru. Ia terpahat di hati.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 04, 2011 14:35

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.