Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 56
July 3, 2011
Lalai
"Mesti ayah salah bawa laptop!," itulah kata-kata terpantul keluar daripada mulut Sofea ketika bertemu di kereta selepas kuliah Maghrib.
"Mana Sofea tahu?," tanya saya. Tentu sekali saya bersungguh bertanya kerana memikirkan ia agak mustahil untuk beliau nampak laptop tersebut daripada ruang solat wanita.
"Sofea tahulah, Sofea genius" (nota: saya terbayang sifat lampau yang sangat yakin dengan keupayaan sendiri. Nampaknya menurun kepada anak yang satu ini).
Terlintas perasaan buruk sangka. Mungkinkah Sofea bergurau dengan menukarkan laptop tersebut? (Nota: Beliau pernah menyorok buku Travelog Impian Abadi yang sedang diedit oleh Roza. Kata beliau, "Mama, mama tak usahlah baca buku Impian tu.. asyik-asyik nangis, asyik-asyik nangis".
Benar, itulah yang berlaku. Saya menyimpan nota-nota ringkas, ayat-ayat al-Quran dan hadis di dalam laptop bagi kuliah Maghrib di Masjid Kg Jawa.
Ia ibarat memori sementara yang diperlukan walaupun ia tidak sering saya lakukan. Kebiasaannya saya hanya bercakap berdasarkan nota-nota ringkas yang sudah bermain-main di fikiran.
Bila saya membuka beg sandang, mengambil laptop dan meletakkan di atas meja terus saya terkesan yang ia bukan laptop yang sepatutnya dibawa.
Mata saya terkelip-kelip memandang ke arah laptop tersebut sambil menarik nafas panjang.
Ia jarang berlaku tetapi benar-benar berlaku ketika saya tergopoh-gopoh menyiapkan persiapan untuk memberi kuliah dan seterusnya keperluan berada di Shah Alam.
"Ya Allah permudahkanlah penyampaianku, lembutkanlah lidahku, kuatkanlah daya ingatanku dan lembutkanlah hati khalayak pendengar untuk menerima apa yang ingin aku sampai. Ia semata-mata keranaMu ya Allah".
Itulah yang mampu saya lintaskan setelah menyedari apa yang sedang saya hadapi.
Hakikat sebenar, kelancaran bercakap dan berhujah adalah dengan bantuan Allah. Tiada manusia yang boleh mendabek dada dengan menyatakan beliau "bijak dan pandai" berhujah. Jika Allah membisukan manusia, kita tidak dapat berbuat apa-apa.
Namun ia ada aturan tertentu. Seseorang yang tidak biasa menjadi imam, apabila diminta ke hadapan, surah al-fatihah yang biasa dibaca pun boleh terlupa.
Begitu juga bercakap di hadapan khalayak. Jika disuruh berucap meraikan teman yang akan meninggalkan kita, lidah bisa menjadi kelu. Akhirnya yang keluar, "minta maaf, saya terlampau sebak untuk mengeluarkan kata-kata".
Alhamdulillah, saya dapat menyampaikan apa yang ingin saya ucapkan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Saya agak begitu. Pastinya ia datang dengan pertolongan Dia yang Maha Berkuasa.
Dalam konteks inilah saya sering berpesan kepada siswa-siswi UiTM,
"apabila melangkah ke dewan peperiksaan, berdoalah kepadaNya supaya dipermudahkan. Kadangkala kita tidak berpeluang mengulangkaji topik-topik tertentu tetapi soalan yang berkaitanlah yang telah dijawab dengan baik.
Tanpa sedar, ingatan kita tertumpu kepada apa yang dikuliahkan oleh pensyarah. Mungkin orang yang tidak berdoa juga mendapat nikmat yang sama. Allah berkuasa memberi nikmatnya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Akhirnya mereka yang berdoa akan mengucapkan syukur Alhamdulillah dan mereka yang tidak berdoa akan berkata – mujur aku ingat….".
Ia perbezaan yang sangat signifikan.
Bag dan pasport
Salah satu pengalaman yang menyusahkan ialah kehilangan pasport.
Pertama, saya tidak melaporkan kehilangannya di balai polis sejurus menyedari kehilangan tersebut. Ia sikap sambil lewa yang menyusahkan diri sendiri. Tiga tahun kemudian, saya ingin melanjutkan pelajaran ke UK di peringkat PhD dan saya memerlukan pasport.
Akhirnya, saya telah menjalani beberapa siri temubual. Soal siasat dijalankan bagi memastikan ia benar-benar merupakan satu kehilangan dan bukannya dijual kepada sindiket. Agak saya begitu.
Proses meluluskan pasport baru diperlambat-lambatkan. Saya tahu ia satu hukuman di atas kecuaian yang saya sendiri lakukan.
Tinggal seminggu lagi kami sekeluarga akan berlepas namun pasport saya masih belum diluluskan. Stress dan tension merupakan dua perkataan yang digabungkan menyebab rahang saya kesakitan.
Saya tidak tahu pasportlah puncanya. Akhirnya, dua hari sebelum berangkat barulah dokumen tersebut diserahkan kepada saya dengan hukuman hanya lulus untuk "satu tahun" sahaja.
Saya dibekalkan dengans satu surat lain untuk membolehkan saya melanjutkan tempoh pasport tersebut di pejabat kedutaan Malaysia London. Adoh… ia pengalaman yang menyebabkan saya sangat berhati-hati dengan dokumen yang akan saya gunakan untuk berhijrah ke Madinah.
Dan kesakitan di rahang hilang serta merta.

Ada beg di dalam beg....
sudut yang lain, kegembiraan untuk berjalan jauh sudah bermula. Pagi tadi kami di Makhota Parade, Melaka khusus untuk membeli beg pakaian. Ia rutin yang sama.
Kesemua beg-beg lama musnah akibat banjir besar yang melanda rumah kami. Perjalanan kali ini sangat sederhana. Kami hanya bercadang membawa beberapa helai pakaian sahaja.
Proses membersihkan Ar-raudhah juga sudah bermula.
Dan masa akan berjalan pantas. Ia semakin pantas sekarang!
July 1, 2011
Ia berbekas

Mereka meraikan saya.....
Sesuatu yang tidak diduga pastinya berbekas di hati.
Begitulah, saya tidak menduga yang Fakulti Perakaunan, Shah Alam meraikan pesaraan saya. Sudah lama saya tidak "berkhidmat" secara langsung dengan fakulti.
Tempoh 23 tahun perkhidmatan, banyak masa saya dihabiskan dengan pelbagai jawatan pentadbiran akademik di luar fakulti. Ia tidak termasuk dengan khidmat di kampus-kampus cawangan. Maka dicampur-campur jumlah tahun perkhidmatan di Fakulti, ia terlalu singkat.
Malah tahun-tahun akhir di UiTM saya berada di UiTM Johor hampir 4 tahun. Tidak layak rasanya untuk diraikan dengan penuh penghormatan.
Namun itulah yang saya terima. Ramai yang hadir berdoa dan mengucapkan "terima kasih dan semoga berjaya". Di antara mereka merupakan bekas pelajar yang sudah bergelar pensyarah, staf yang pernah berkhidmat secara langsung, mereka yang pernah menerima khidmat nasihat percuma dan ada juga yang merupakan kenalan semata-mata.
Saya terharu, sebak dan rasa dihormati. Dan sememangnya ia berbekas di hati.
Kuliah Maghrib
Hari Ahad, malam Isnin (mengikut cakap orang Melayu), saya akan menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Jamek Kg Jawa selama 4 minggu berturut-turut.
Buat saya, ia merupakan majlis perpisahan khas untuk penduduk setempat. Setelah hampir 2 tahun berada di dalam kariah ini, peluang untuk menyampaikan sedikit ilmu merupakan satu penghormatan besar buat saya dan keluarga.
Slot hari Ahad malam Isnin ini adalah waktu rehat saya sekembali daripada bermusafir. Namun berehat sambil memberi kuliah di kawasan sendiri lebih bermakna buat saya. Jadi ia bukan satu bebanan yang tidak mahu digalas. Saya sangat teruja.
Premis bercakap di masjid sangat mudah. Mereka yang hadir merupakan "orang baik-baik" yang perlu ditingkat agar menjadi insan terpilih. Dan cabaran mahu menjadi manusia "baik-baik" di sisi Allah bukan kepalang hebat.
Misalnya, mereka yang tidak datang ke masjid sering mencari-cari sesuatu kepada orang masjid.
Kata-kata negatif seperti, "kaki masjid tetapi busuk hati", "kaki masjid tetapi suka mengumpat", "kaki masjid suka berdengki" atau "kaki masjid tetapi bakhil" kebiasaan yang boleh didengari.
Hakikatnya yang mengata itu "bukan kaki masjid tetapi mengumpat", "bukan kaki masjid tetapi busuk hati" dan seterusnya. Lalu bercakap dengan orang masjid memerlukan pendekatan yang berbeza. Mereka adalah sekumpulan manusia yang mahu mencari kebaikan yang hakiki. Ia soal hati.
Dalam tempoh yang terbatas, kuliah-kuliah ini akan membicara soal tersebut dalam konteks kehidupan manusia yang bernoktah. Ia bukan soal "orang masjid" atau bukan "orang masjid".
Mudah-mudahan kami pergi dalam keadaan "meninggalkan ilmu yang bermanfaat" kepada jiran tetangga.Dan biarlah ia ringkas tetapi berbekas di hati.
June 30, 2011
Puasa
Mereka yang berpuasa tetapi tidak langsung terfikir tentang juadah berbuka puasa mungkin termasuk dalam golongan "puasa kelas tertinggi" sebagaimana yang disarankan oleh Imam Ghazali.
Itulah yang dianalogikan bagi golongan yang berpuasa semata-mata kerana Allah. Jika dihurai secara mendalam, maka puasa sehebat para wali dan rasul ini akan membawa seluruh pancaindera manusia berpuasa.
Malamnya akan terisi dengan qiamullail, siangnya tiada perkara yang sia-sia terlaksana dan tidak akan berlaku "berbuka puasa bersama keluarga" dengan meninggalkan solatmaghrib berjemaah di masjid.
Saya tersentuh mengingati bulan Ramadhan apabila terpandang kempen berbuka puasa di Bluewave, Shah Alam. Sementara menunggu check-in, saya terbaca "RM89++ untuk buffet berbuka puasa".
Berpuasa dan berbuka di hotel merupakan sebahagian daripada gaya hidup lampau yang pernah saya lalui. Saya pernah berbuka di PJ Hilton yang kos berbukanya melebih RM100++. Paling tidak, hotel UiTM yang menawarkan harga murah dengan masakan sedap dan istimewa menjadi pilihan keluarga.
Dulu-dulu, lebih separuh bulan Ramadhan dibelanja oleh rakan-rakan yang mempunyai lebihan wang yang banyak. Natijahnya, solat terawih bukanlah ibadat yang menjadi keutamaan. Apatah lagi untuk memikirkan solat maghrib berjemaah di masjid!
Tahun 2008 dan 2009 merupakan Ramadhan yang paling saya ingati. Kenapa? Hampir sebulan penuh kami sekeluarga berbuka di masjid As-Syakirin, solat maghrib dan Isya berjemaah bersama-sama lebih 500 orang pelajar.
Kemudian, dewan solat akan dipenuhi lebih 1000 siswa-siswi yang kadang kala melimpah hingga ke luar masjid untuk melaksanakan solat terawih berjemaah.
Saya terkenang – di sana-sini – terdapat siswa-siswi yang bangun malam dan bersolat di masjid As-Syakirin bermula jam 4.00 pagi. Ia bukan soal 10 malam terakhir tetapi lebih kerana mahu melakukan amal-ibadat di bulan Ramadhan yang mulia. Ia dilakukan hampir setiap hari.
Tentu sekali saya terfikir, mereka inilah ibarat pohon-pohon yang merimbuni dan memberi teduh kepada seluruh kawasan kampus. Ia tidak ramai tetapi memadailah untuk menjadikan mereka sebagai golongan terpilih.
Bulan Ramadhan sangat istimewa.
Jika ada wanita yang bertanya, "Prof, bagaimana mahu istiqamah bangun malam," maka saya memberi jawapan yang sangat realistik, "nanti di bulan Ramadhan, puan-puan pasti akan menyediakan sahur untuk suami dan anak-anak. Bangun awal sedikit dan mulakan penyediaan sahur dengan melakukan solat tahajud dan witir".
"Amalkan sebulan. InsyaAllah, selepas bulan Ramadhan ia akan menjadi lebih ringan kerana kita hanya bangun semata-mata untuk solat malam dan bukannya untuk menyediakan sahur!"
"Tidak begitu puan?, Allah bagi keistimewaan buat kaum wanita, InsyaAllah".
89++, ia sudah tidak menarik minat saya.
June 29, 2011
Pos Laju
Alhamdulillah, saya sudah banyak menerima mesej yang pesanan buku-buku telah mula diterima. Pembayaran juga mula diterima.
Sebagaimana perjanjian "jual-beli", bayaran hanya dibuat setelah buku-buku diterima, maka tidak usahlah bersusah-hati menghantar e-mel atau SMS untuk menyatakan "bayaran telah dibuat".
Saya tidak akan membuat semakan samada pembeli telah membayar atau tidak.
Tinggal 16 bungkusan yang belum dihantar. Ia kumpulan terakhir yang membuat pesanan. InsyaAllah, hari ini atau selewat-lewatnya besok saya atau pembantu akan menguruskan penghantaran tersebut.
Selamat membaca!
Ada juga yang bertanya, "satu buku bayaran pos laju RM5.00/buku, jika banyak buku kenapa harganya tetap?". Wah… ada juga yang begitu. Biarlah saya jelaskan maksud "kos penghantaran".
Pertama, saya bukanlah penjual buku. Khalayak pembeli boleh mendapatkan buku-buku ini di MPH atau Popular. Harganya lebih murah dan tidak perlu membayar "kos penghantaran".
Namun biarlah saya jelaskan secara terperinci nilai RM5/buku. Kos pos laju minimum ialah RM5.80. Saya tidak melakukan sendiri urusan pembungkusan, menulis di borang pos laju, mengangkat dari boot kereta ke wakil pos dan lain-lain lagi.
Tugas saya hanyalah menandatangani buku-buku tersebut.
Kesemua urusan lain dibayar dengan kadar yang lumayan [per buku] daripada bayaran RM5.00 tersebut. Ia hanya OK apabila order melebihi senaskah. Jika tidak, kira saya belanjalah tu…
Malah ada yang menerima bungkusan yang menggunalkan sampul surat bernilai RM1.00/sekeping. Maka jadilah nilai RM5 itu sesuatu yang tidak bermakna buat saya yang bukannya penjual buku.
Tentu sekali penjelasan ini bersebab!
June 28, 2011
Pandangan sisi
Saya diberi masa 40 minit untuk memperkatakan tentang Israk-Mikraj. Dan Masjid Kg Jawa merupakan qariah saya. Ia undangan yang sekian lama saya nanti-nantikan.
Lalu topik Israk-Mikraj: Pandangan Sisi, saya fokuskan anugerah Allah kepada Nabi Muhammad (selawat dan salam kepada baginda, keluarga dan para sahabat) dan umatnya iaitu, solat 50 waktu. Perintah ini yang dirayu supaya diturunkan sehinggalah diperkenan Allah menjadi lima waktu.
Pandangan sisi, apakah ikhtibar daripada peristiwa ini? Ia bukan soal kepentingan solat semata-mata. Bagi saya, ia melangkaui soal tauhid dan isyarat bagaimana Allah menunjukkan sifat Maha Pengasih lagi Maha penyayang.
Bayangkan begini, Allah perintahkan kita melakukan amal ibadat khusus, kemudian kita membuat permohonan supaya ia dikurangkan, permintaan yang berulang-ulang sebanyak 9 kali. Ya Allah, Dia perkenankan permohonan tersebut. Begitulah Allah yang sangat "sayang dan kasih" kepada hambaNya.
Jadi apalah yang ada jika kita melakukan permohonan supaya lulus peperiksaan, dipermudahkan perjalanan, hijrah dan sebagainya. Atau mohon kepadanya supaya istiqamah dalam melakukan amal ibadat, menjadi manusia yang tidak bakhil atau memaafkan orang lain.
Perlukah kita kepada "bomoh alih hujan" apabila tiba musim kenduri kendara? Dan dengan bangganya menyebut, "nasib baik ada Pak Mat yang pandai alihkan hujan".
Entah, Israk-Mikraj mengajar saya supaya memohon kepadaNya daripada sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar isu. Bangunlah solat malam pada 1/3 hujung malam yang tersisa dan bermunajatlah kepadaNya.
Hanya Dia yang kita sembah dan minta pertolongan!
Ketika dijamu makan, pengerusi masjid berkata, "saya mewakili penduduk Kg Jawa memohon supaya prof dapat menyampaikan kuliah di sini bagi sisa-sisa masa yang tinggal….."
Tentu sekali saya tidak menolak kerana hampir dua tahun saya menunggu peluang ini, menyampaikan ilmu di kariah sendiri. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar!
June 27, 2011
Israk Mikraj
InsyaAllah, malam ini saya akan menyampaikan ceramah ringkas (kuliah maghrib) Israk-Mikraj di Masjid Jamek Kg Jawa, Segamat.
Tajuk, Israk-Miraj: satu pandangan sisi.
Kenaikan Pangkat
Semalam saya tidak sempat menulis. Ada 83 pesanan, hampir 250 naskah buku yang perlu ditandatangan.
Kemudian, awal-awal pagi (5 pagi) saya sudah bertolak ke UiTM Shah Alam bagi mempengerusikan proses kenaikan pangkat profesor dan profesor madya peringkat gugusan perniagaan.
Semalam, ramainya yang memohon untuk ke jawatan profesor madya. Nampak benar mereka berkejar mengejar masa. Kenapa? Bulan depan kriteria baru akan mula dilaksanakan.
Barangkali ia lebih sukar. Entah, saya sendiri tidak dapat menelah kerana ia mempunyai kelebihan dan kekurangan. Pasti ia tidak boleh memuaskan hati semua pihak.
Pangkat adalah rezeki.
Jika rezeki itu milik kita, bagaimana sukar sekali pun ia akan berakhir dengan kejayaan. Jangan pula "mengutuk-ngutuk" orang yang dinaikkan pangkat apabila kita sendiri tidak berjaya.
Ia merupakan satu ujian yang sangat besar!
June 26, 2011
Tetamu

Di antara 6 keluarga yang hadir

Terima kasih kerana sudi melawat kami
Temubual Majalah i

Barangkali interview perpisahan
June 25, 2011
Ayah Wa
Hari ini saya mengingati Ayah Wa. Beliau adalah bapa saudara yang paling tua di sebelah ayah. Ayah Wa seorang guru dan sebelum bersara beliau merupakan guru besar di salah sebuah sekolah di Besut. Selain itu, beliau merupakan salah seorang seorang Imam di Masjid Alor Lintang, tempat kediaman saya dan keluarga.
Rumah beliau sering dikunjungi terutamanya apabila ditimpa penyakit yang sukar dirawat dengan kaedah perubatan moden misalnya, anak menangis malam dan terlekat tulang ikan. Malah banyak lagi "penyakit-penyakit" yang boleh dirawatnya.
Namun ada sesuatu yang luar biasa buat Ayah Wa. Beliau menolak segala bentuk pemberian apabila dikaitkan dengan perubatan yang beliau lakukan. Tiada pengeras, tiada yuran dan tiada apa-apa walaupun ditukar apa label niat pemberi setelah selesai urusan perubatan yang kelihatan cepat dan mudah.
Beliau pernah berkata kepada saya, "Ayah Wa mohon daripada Allah untuk membantu sesama manusia". Pernah, pada satu ketika yang lain saya bertanya, "apa yang ayah wa lakukan apabila orang datang berubat?"
Jawapan beliau mudah, "ayat-ayat al-Quran adalah penawar kepada banyak perkara tetapi kita sentiasa perlu memohon kepadaNya. Biasanya, Ayah Wa solat mohon Allah sembuhkan penyakit mereka dan jika tidak mampu, ayah Wa mohon kepada Allah supaya mereka ditemukan dengan orang yang pandai berubat"
Namun ada kenyataan yang terkesan di hati. Kini, ia mengingatkan saya kepada beliau, "Mil, masing-masing mempunyai peranan dalam dakwah. Jangan kita anggap dakwah kita yang terbaik. Biarlah masing-masing dengan cara mereka, mudah-mudahan Allah membantu kita".
Ia kenyataan berpuluh tahun lampau ketika saya di peringkat persekolahan menengah ketika saya tidaklah berminat dengan urusan agama. Namun ia kekal begitu tersusun di celah-celah ribuan maklumat yang pernah melintasi kotak minda saya walaupun beliau sudah lama meninggalkan kami.
Mudah-mudahan Allah perluaskan kubur beliau, bercahaya dengan nur kasih-sayang Allah dan dapat pula bertemu di syurga Firdaus.
Surat JPA
Allah Maha Berkuasa.
Semalam, saya dan Roza menerima surat penerimaan permohonan bersara pilihan yang telah disampaikan kepada JPA melalui UiTM. Menurut surat tersebut, mulai 1hb September maka kami berstatus "pesara" dan ia adalah keputusan muktamad.
Saya bersara dengan kerajaan ketika usia 47 tahun. Roza pula 44 tahun. Secara spesifik, saya telah berkhidmat selama 23 tahun dengan UiTM berbanding dengan Roza yang baru berkhidmat 11 tahun.
Namun saya fikir – kedua-dua kami – mempunyai ingatan mendalam sepanjang perkhidmatan tersebut untuk menjadi kenangan yang tidak dapat kami lupakan.
SK Belimbing Dalam

Mudah-mudahan jadi Dr Fatin Najwa
"Apakah impian anda?"
Lalu saya bertanya, "siapa yang mahu tampil ke hadapan dan menjawab soalan di skrin?"
Seorang pelajar perempuan – darjah enam – bangun dan tampil ke hadapan. "Saya mahu dapat 5A dan saya mahu jadi doktor. Saya mahu berjaya dunia dan akhirat".
Lalu saya hadiahkan buku "Travelog Cinta Abadi" sambil bertanya, "siapa penulis buku ini?" dan beliau menjawab, "Roza Roslan".
"Ini hadiah kedua, saya bawa penulis buku ini kepada Fatin Najwa, nanti minta tandatangan puan Roza Roslan".
Dan saya katakan kepada khalayak, "lihat dengan sedikit keberanian, Fatin Najwa tampil ke hadapan. Beliau insan terpilih untuk mendapat hadiah daripada saya, dapat pula berjumpa dengan penulis buku yang saya hadiahkan ini….."
Ia satu contoh yang mudah mereka fahami.
June 24, 2011
Enaknya

Makan di Masjid Paya Bungor
1. Ikan patin buah dimasak dengan belimbing
2. Daging masak kicap
3. Sambal belacan mangga
4. Gulai nenas ikan kering
5. Udang Kunyit
6. Ikan Goreng
7. Tembikai
8. Ulam
"Lepas ceramah ada jamuan makan?," saya bertanya Cikgu Fazlin.
"Ada Prof".
"Saya minta maaf. Kami tidak dapat turut serta. Kalau boleh bungkus sahaja. Saya terpaksa balik segera. Besok – di sebelah pagi – ada satu lagi program di Melaka," saya berterus terang.
Beliau meninggalkan kami supaya dapatlah saya berehat setelah menempuh perjalanan hampir 2 1/2 jam. Sekejap sahaja saya menerima panggilan, "Prof, pihak masjid masih mahu menjamu prof dan isteri. Saya ambil prof jam 6.30″
Lalu itulah yang dijamu kami sebelum solat maghrib.
Mereka bersungguh-sungguh dan saya berasa amat istimewa. Kesungguhan ini boleh dirasai tanpa perlu dinyatakan. Dan saya masih mendapat bekal untuk dibawa puilang.
Kami tidur di Ar-Raudhah di sekitar jam 1.30 pagi!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
