Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 54
July 23, 2011
Nikmat Allah

Daftar dan terus mendengar ceramah
Kehidupan adalah nikmat Allah. Nikmat untuk "menyembah dan beramal ibadat" semata-mata keranaNya. Malah nikmat yang Allah berikan hendaklah disebut-sebut sebagai tanda bersyukur kepadaNya sebagaimana yang dinyatakan melalui Ad-Dhuha ayat 11 yang bermaksud,
"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya"
Namun kehidupan juga adalah ujian Allah. Sama ada manusia mampu menjalani kehidupan terarah kepada "menyembah dan beramal ibadat" kepadaNya merupakan persoalan yang memain-main di fikiran manusia.
Dalam konteks nikmat – pada hujung minggu ini – saya bersyukur kerana diberi kelapangan masa, nikmat kesihatan dan kekuatan fizikal dan emosi untuk menyampaikan sedikit ilmu kepada ramai khalayak.
Pertama, saya diminta mengulas dan menyampaikan pendapat di atas tajuk "Bagaimana solat yang kusyuk membentuk keperibadian manusia" di hadapan 500 peserta seminar anjuran Puteri Islam Malaysia.
Saya bertanya kepada khalayak, "jika para hadirin mahu mempelajari aspek teknikal, bio mekanik atau terapi solat yang dikatakan boleh membawa kepada nilai kusyuk, maka banyak buku-buku yang boleh dibaca.
Mahukah para hadirin melihat soal kusyuk dalam solat dalam perspektif yang berbeza?"
"Orang selalu mencadangkan, fahamilah ayat-ayat al-Quran yang dibaca untuk menambahkan kusyuk di dalam solat. Saya ingin bertanya, pernahkah kita menangis atau menitiskan airmata ketika kita membaca al-quran walaupun kita tidak memahami ayat-ayat yang kita baca?.
Pernahkah kita berasa kusyuk apabila solat - pada pandangan diri sendiri – sepanjang kita menjalani kehidupan di dunia ini?
Pernahkah kita "kusyuk" bila melakukan perkerjaan di pejabat?
Pernahkah kita "kusyuk" apabila bersukan?
Pernahkah kita "kusyuk" apabila menonton filem atau TV?
Apakah yang membezakan antara "kusyuk" atau "lara"?
Saya tidak menunggu mereka untuk memberi jawapan kerana ia soalan yang saya sudah di dalam minda sendiri. Jawapan saya, ya saya pernah sebak dan menitiskan air mata ketika membaca surah ar-Rahman. Pada ketika itu saya tidak tahu pun makna ayat-ayat yang sedang saya baca.
Ya, saya pernah merasa kusyuk bersolat. Pertama kali ketika solat malam sebelum menunaikan fardhu haji. Ketika itu saya menyerahkan seluruh pergantungan kepada Dia yang Maha Berkuasa.
Ya, kebiasaannya saya masuk mengajar, tidak sedar pun masa berlalu, alih-alih dua jam sudah berakhir. Saya kusyuk dengan kuliah yang saya sampaikan.
Ya, saya kusyuk memukul bola golf untuk selama 4-5 jam dalam permainan 18 lubang.
Ya, dulu-dulu saya ralit menonton wayang di pawagam. Sangat kusyuk sehingga terlupa isu-isu dunia yang lain.
Maksud saya, setiap individu pasti merasai bagaimana rasa kusyuk dalam konteks yang berbeza.
Dalam kesemua keadaan, ia mempunyai satu persamaan ia itu nilai "cinta" kepada apa yang ingin kita lakukan. Dalam konteks inilah saya cuba mengulas bagaimana boleh kusyuk dalam solat melalui "Travelog Kehidupan" yang telah saya lalui.
Saya fikir khalayak lebih mudah menghadam apa yang ingin saya sampai. Saya mohon keampunan Allah.

Wanita yang hadir
Kedua, saya bersama dengan hampir 150 bakal jemaah haji di Surau Al-Furqan, Puncak Alam. Saya menyampaikan Tip Motivasi Haji. Program terlangsung melebehi 3 jam.
Apa yang tertulis dan tersirat melalui buku 50 Tip Motivasi Haji dijelaskan secara lisan. "Ya Allah, jadikan ia ilmu yang bermanfaat".

Mudah-mudahan sempat bersama mereka ketika VIVA
Ketiga, selesai di Puncak Alam, para pelajar PhD saya meraikan saya di Hotel Bluewave. Shatari dan isteri muncul dari Perak yang melibatkan perjalanan hampir tiga jam. Jun pula turun dari Pahang semata-mata untuk bersama saya dan keluarga. Arun dan Radziah yang sedia ada di Shah Alam juga turut serta.
Ia pertemuan yang menyebabkan saya tersentuh. Arun, ketika berucap menyatakan, "Prof mengajar kami untuk bergantung kepada Allah. Kami akan terus ingat dan – insyaAllah – kami akan teruskan selepas menamatkan pengajian".
Saya tahu mereka sedihdan terasa tidak ketentuan dalam menghadapi hijrah yang bakal saya lalui jika dikaitkan dengan penamat PhD pengajian mereka. Namun sesuatu yang pasti, mereka berjaya melihat ia sebagai satu "rahmat" daripada Allah SWT.
4 daripada mereka telah berjaya menghantar tesis untuk dipertahankan dan dua lagi hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai.
Akhirnya, di sebelah malam saya berkejar ke Taman Sri Keramat, Ulu Kelang bersama beberapa teman persekolahan di MRSM yang mahu meraikan saya dan sekeluarga.
Alhamdulillah, saya sempat menyampaikan sedikit tazkirah kepada mereka yang hadir. Terima kasih kepada Nadiyah dan Nora yang turun dari Sintok, Hamidah dan Amir, Hashimahton dan Nushan yang menjadi tuan rumah.
Dua hari yang berlalu pada hujung minggu merupakan nikmat Allah yang tidak mahu saya dustakan.
July 21, 2011
Buku 50 Tip Motivasi Haji Percuma
Besok – 23hb Julai 2011 – saya mempunyai slot 4 jam ceramah khas haji di Surau Al-Furqan, Puncak Alam. Ia bermula jam 8.00 pagi.
Hadiah istimewa, sesiapa yang membeli buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (120 naskah pertama) akan diberi hadiah percuma buku 50 tip Motivasi Haji yang dihadiahkan oleh beberapa hamba Allah yang tidak mahu dikenali.
Ia majlis terbuka kepada sesiapa yang berminat. Gratis!
Mata yang tenang
Beberapa minggu yang lampau saya menziarah keluarga yang baru menerima kematian. Arwah bukanlah seseorang yang rapat dengan kami sekeluarga. Seingat saya, kami hanya bercakap hanya beberapa patah perkataan sepanjang saya mengenali beliau.
Mungkin jika bertentang mata di luar kawasan, saya tidak dapat mengecam beliau. Itulah kadar pertemuan kami yang terlalu sedikit. Di takdirkan, saya tergerak hati untuk singgah sebentar ke rumah arwah apabila dimaklumkan beliau telah dijemput oleh Allah SWT.
Ketika saya sampai urusan jenazah telah diselesaikan. Arwah telah dikapankan. Seluruh jenazah telah ditutupi dengan kain kapan. Tiba-tiba Imam bertanya, "anak-anak mahu melihat buat kali terakhir?". Lalu wajahnya dibuka kembali. Saya menjenguk dan kelihatan mata arwah masih terbuka dan tidak terkatop.
Saya fikir ia telah diusahakan tetapi tidak berjaya. Saya pula bukannya seorang yang berilmu dalam urusan jenazah, apatah lagi sekali pun tidak pernah menguruskan jenazah sepenuhnya kecuali membantu memandikan arwah abah dan mengusung jenazah ke kubur.
Namun saya mahu membantu. Tiba-tiba saya teringat perbualan mak dengan kaum keluarga ketika musim kami menerima ujian pemergian Abah dan Ayu. Saya terdengar mak berkata, "ada orang matanya sukar ditutup. Tidak rapat. Ada caranya yang mak pelajari. Selawatlah beberapa kali dan sapukanlah ke mata jenazah, InsyaAllah Dia akan perkenankan".
Cukupkah dengan ilmu yang setakat dengar-dengar itu?
Saya malu mahu mencuba. Saya tahu seluruh mata khalayak akan memandang saya. Allah ya Allah, saya duduk di sisi jenazah berdoa kepadaNya, "Ya Allah tenangkanlah matanya, Kau rapatlah matanya, Kau yang Maha Berkuasa ya Allah".
Saya berselawat, meraut dan menekan matanya dengan penuh debaran. Saya mulakan dengan mata kanan. Alhamdulillah ia tertutup. Lega. Saya ulang lagi di sebelah kiri, Alhamdulillah.
Ia kelihatan ringkas namun sangat signifikan.
KEPUASAN

Mereka tekun mendengar

Berdisiplin dalam kerja dan perlu lebih berdisplin semasa menunaikan fardhu haji
Tugas rasmi saya di UiTM Tapah. Saya diminta bercakap selama 6 jam dalam tempoh 24 jam. Di sebelah malam, saya mohon kepada pihak penganjur supaya mencari jika ada masjid atau surau yang mahu saya memberi kuliah maghrib. Entah… saya fikir itulah yang mampu saya sumbangkan kepada masyarakat.
Akhirnya, saya diberi kesempatan untuk berkunjung ke surau Kg Tersusun, 2-3 km daripada UiTM. Tentu sekali mereka tidak menyangka yang penceramah kali ini seorang "profesor", pernah masuk TV dan seorang penulis buku. Penceramah yang merayu untuk diberi peluang bercakap.
Alhamdulillah, ruang solat dipenuhi tetamu. Saya dapat merasai kepuasan kerana dapat bersama-sama mereka.
Di dalam perjalanan pulang saya singgah dua jam di TUDM Subang. Puan Seri, isteri Panglima Tentera Udara benar-benar memohon supaya saya dapat memberi sedikit motivasi kepada ahli BAKAT yang akan menunaikan fardu Haji.Lalu Tan Sri Panglima mengarahkan anggotanya turut serta. Jadilah ruang kuliah dipenuhi oleh anggota TUDM dan sebahagian lagi kaum wanita isteri kepada mereka, agaknya!
Itulah kepuasan yang tidak terhingga.
July 20, 2011
Travelog Kehidupan Abadi: Kedewasaan
Ia sangat teruja apabila sesuatu manuskrip siap untuk dihantar kepada penerbit. Begitulah, saya tumpang gembira apabila melihat, membaca dan merasai deraf buku terbaru Roza.
Roza sangat beruntung kerana tugas beliau hanyalah menulis. Tugas-tugas pentadbiran terhadap manuskrip beliau menjadi tanggungjawab "pengurusnya". Namun ia tugas yang saya suka. Sangat suka!
Di antara ketiga-tiga buku beliau – Travelog Cinta Abadi, Travelog Impian Abadi dan Travelog Kehidupan Abadi – saya dapat menyaksikan perubahan besar fizikal dan emosi yang telah beliau lalui. Misalnya, melalui ruangan "Apa kata Mereka", Junita Musliha menulis,
"Roza memang pandai bercerita. Ia kelihatan lebih mudah dan berkesan di hati kerana ia merupakan kisah kehidupan sebenar yang dilalui oleh semua orang. Travelog Kehidupan Abadi: Kedewasaan sangat-sangat berbeza dengan Travelog Cinta Abadi: Masa yang Berlalu dan Travelog Impian Abadi: Itu yang tertulis.
Pertama, khalayak pembaca sangat bersimpati dengan Roza melalui kisah-kisah remaja beliau melalui travelog yang pertama. Ia melambangkan dunia awal manusia yang tidak ternoda dengan hawa nafsu yang melampau. Dunia kanak-kanak adalah saat yang indah untuk dikenangkan tetapi ia lebih bermakna jika ia dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT.
Kedua, saya menjangkakan para pembaca akan mula melihat kehidupan sebenar seorang manusia melalui travelog yang kedua. Gelombang perasaan remaja yang ditakluki perasaannya nyata memberi kesan kepada perjalanan kehidupan seterusnya. Roza berkahwin muda dan membawa bersama cabaran sebagai seorang isteri, ibu dan anak.
Saya ketawa, tersedu malah ada ketikanya geram dan menyampah apabila membaca catatan-catatan yang disampaikan melalui Travelog Kehidupan Abadi: Kedewasaan. Unsur-unsur geram dan menyampah inilah yang membezakan dengan siri yang terdahulu.
Bila saya menamatkan helaian terakhir – akhirnya – para pembaca mula menyedari yang mereka membaca kisah mereka sendiri melalui perjalanan kehidupan Roza. Kesemuanya terkandung dalam sebuah buku yang sangat bermanfaat.
Namun jauh di sudut hati saya masih beranggapan yang Roza belum cukup dewasa. Saya pasti ternanti-nanti travelog beliau yang seterusnya yang bakal membawa ke usia dewasa yang hakiki."
Saya sendiri – sebagai suami dan seorang lelaki – sealiran dengan pendapat Prof Madya Dr Mohd Nizam Said yang turut berada dalam sebahagian travelog tersebut. Dr Nizam menulis,
"Saya adalah seorang lelaki.
Membaca buku travelog Kak Roza – seorang wanita – yang terbaru ini memberikan refleksi kepada setiap lelaki yang bergelar suami dan bapa tentang bagaimana besarnya pengorbanan seorang wanita terhadap suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Ia perlambangan sifat-sifat kesabaran dan kesungguhan yang tinggi dalam melayari kehidupan bersama keluarga bagi mendapatkan kehidupan berkeluarga yang terbaik.
Ia kisah yang sarat dengan pengalaman dan pengajaran yang mungkin boleh dijadikan panduan buat mereka yang bakal melalui alam kedewasaan.
Sayalah, rakan yang dijanjikan untuk berada di padang golf ketika Kak Roza memerlukan suaminya menghantar beliau untuk pemeriksaan kesihatan ketika sarat mengandung.
Sayalah jua yang bersama suaminya bermain golf ketika ribut salji kuat melanda St. Deiniol Golf Club. Kak Roza mungkin tidak mengetahui betapa kami berpelukan menahan ribut tersebut daripada melayangkan kami daripada jatuh bergulingan di atas green no 7 yang akan kekal dalam ingatan saya buat selamanya.
Malah, saya dan suami beliaulah yang melanggar pembahagi jalan lebuhraya Manchester – Bangor yang menyebabkan kereta Mazda 626 kami turn-turtle. Spontan pada saat ini, kami mengingati pengorbanan dan kasih-sayang isteri ketika kami berfikir yang saat-saat kematian sangat hampir.
Terima kasih Kak Roza. Travelog Kehidupan Abadi: Kedewasaan membenarkan saya untuk berfikir dan merenung kembali sebagai seorang lelaki, ayah dan insan yang sedang menuju kedewasaan yang hakiki.
Ia sebuah buku yang tidak khusus buat wanita semata-mata."
Hari ini, saya menguruskan penghantaran manuskrip Roza – Travelog Kehidupan Abadi – kepada Tuan Imran, editor PTS Islamika. InsyaAllah, beberapa bulan lagi ia akan berada di pasaran.
July 19, 2011
3 minutes, sir!
Pengalaman bekerja di Arab Saudi bermula belum pun kaki berpijak di sana. Perlahan-lahan saya mula menyuaikan diri. Ia budaya baru beserta dengan cabaran baru. Namun yang pasti, ia sangat-sangat menyeronokkan.
Sudah dua minggu kami membuat tempahan tiket penerbangan KUL – Madinah. Hari ini adalah hari terakhir. Jika tiket tidak dibayar, maka tempahan tersebut akan dibatalkan dan saya terpaksa membuat tempahan semula. Ia proses yang berulang.
Semalam saya membuat panggilan kepada pejabat kedutaan Arab Saudi (cultural section) yang menguruskan pemergian kami ke sana. Akhirnya, diberi nombor telefon pejabat agen di Jeddah.
Emmm… sayalah yang perlu membuat panggilan. Menarik, nada deringan berbunyi tetapi tiada yang menjawab panggilan. Setelah berkali-kali mencuba, seorang pemuda menjawab dengan ramah, "kawan saya menguruskan Malaysia, beliau masuk pejabat sejam lagi".
Pukul 12 (waktu Arab Saudi) saya membuat panggilan semula. Opps…. terdengar mesin memberi jawapan, "waktu solat, sila hubungi semula". Saya suka mendengar jawapan ini kerana saya dapat membayangkan yang saya tidak sukar untuk berjemaah di Masjid Nabi.
Wah… saya terus membuat semakan waktu solat di sana. Zuhur jam 12.28, jika waktu rehatnya bermula jam 12 tengahari, maka saya sempat bergegas ke Masjid Nabi daripada universiti. Waktu Asar pula bermula jam 3.52 petang, maka InsyaAllah, kuliah (difahamkan) akan tamat pada jam 3.00 petang.
Kemudian – maklumat awal – saya dan Amirul akan mula menghafal al-Quran yang katanya bermula selepas waktu Asar sehinggalah waktu Isya di dalam masjid bersama guru-guru yang perlu dipilih.
Subuhnya pula jam 4.17 dan InsyaAllah waktu dhuha akan bermula di sekitar 6.40 pagi. Saya sudah membayangkan suasana kehidupan kami di Madinah yang berkisar kepada Masjid Nabi.
Waktu solat di Madinah untuk hari ini mengikut susunan, subuh, syuruk, zuhur, asar, Maghrib dan Isya.
20
Wed
4:17
5:44
12:28
3:52
7:12
8:42
Akhirnya jam 2 petang (waktu Arab Saudi), pemuda yang menguruskan tiket penerbangan saya berkata, "Nombor order?". Jawapan saya, "G2005″. Lalu beliau memberitahu saya, "3 minutes, sir. Please check your e-mail after 3 minutes".
Alahai…. saya menunggu dua minggu untuk urusan yang boleh diselesaikan secepat itu. Dan benar, beberapa minit kemudian saya sudah menerima e-mel beliau yang mahu saya membuat pengesahan terakhir sebelum dikeluarkan e-tiket.
Aneh, saya melihat suasana seperti ini akan lebih merapatkan saya dengan Allah SWT. Agaknya saya kena banyak beristifar, berdoa supaya dipermudahkan dan melihat ketenangan kehidupan yang tidak berkejar-kejar dengan masa.
Agaknyalah… bila saya melalui realiti berada di sana akan saya catatkan di sini.
July 18, 2011
Rindu
Absence makes the heart grow fonder, pepatah Inggeris yang mahu saya terjemahkan menjadi, "Kehilangan membuat hati bertambah rindu". Ia mungkin tidak tepat tetapi bersesuaian dengn apa yang kami sekeluarga alami.
Percutian ke Selatan bersama Roza dan anak-anak adalah bersama Mak. Kebiasaannya, susunan tempat duduk mengikut keadaan saya dan Roza, Mak dan Abah, Sara dan Amirul serta Sofea dan Azrai.
Kali ini ia nyata berbeza. Saya duduk berseorangan. Kami kehilangan Abah yang sentiasa "bersetuju" untuk mengikut kami berjalan-jalan. Ia sentiasa genap. Tidak ganjil.
"Ayah, kalau atok ada, pagi-pagi lagi Atok akan berjalan x-plore kawasan hotel. Lepas tu dia tunjuk terror dengan Azrai dan kakak," Azrai mengingati Atoknya apabila sama-sama bercuti.
Mak dan Abah agak kerap berjalan dengan kami sekeluarga. Mereka pernah berkunjung ke Amsterdam, London, Dublin, Medan, Doha serta beberapa tempat lain di Malaysia.
Saya teruja melihat mereka berdua gembira sesuatu yang tidak dapat saya lakukan kepada Wan dan Ayah.
"Mak, kalau abah ada, sudah pasti dialah yang paling suka kami berhijrah ke Madinah. Dan saya yakin mak dan abah akan berulang-alik ke Madinah macam pergi KL," saya tuturkan ingatan ini kepada Mak.
Benar, kami semua merinduinya.
"Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa ayah, Wan dan Abah dan kaum keluarga kami dan kaum muslimin dan muslimat yang sudah dipanggil oleh Mu. Perluaskan kubur mereka ya Allah dan temukan kami semua di syurga Firdaus".
TAPAH
Saya tiba di sini di sekitar jam 4.00 petang. Ia undangan UiTM Kampus Tapah. Besok dan lusa saya akan memberi pendapat selama 6 jam. Di sebelah malam saya akan menyampaikan kuliah maghrib – InsyaAllah – sebagaimana maklumat berikut:
Surau al-Mustaqim, Kampung Tersusun Batu 4, Tapah Road.
Inilah kali pertama saya bermalam di sini.
July 17, 2011
Kekuatan
Semalam saya menyampaikan ceramah di kawasan masjid. Bukan di dalam dewan solat!
Jadualnya menyebut: 2.50 hingga 5.00 petang.
Bila hampir waktu asar – 4.40 petang – saya menyebut, "jika tuan-tuan terkesan dengan apa yang saya sampaikan, bila azan berkumandang, tuan-tuan pergilah solat berjemaah. Kemudian datang balik, saya sambung hingga jam 5.20 petang"
100% khalayak lelaki meninggalkan oditorium masjid dan mudah-mudahan berada di dewan solat.
InsyaAllah, mereka mahu menunaikan fardhu haji!
Seronok
Hujung minggu yang sangat seronok.
Pertama, anak-anak berkumpul. Kami biarkan mereka dengan agenda sendiri terutamanya ketika saya menyampaikan ceramah. Kami biarkan mereka berkelana di kota Singa melawat Universal Studio.
Pesan kami satu, "pulang sebelum jam 4.00 petang dan terus ke masjid tempat ayah berceramah. Solat"
Kakak dan Abang, kedua-duanya pernah mengunjungi Disneyland Paris. Kini tiba pula giliran Sofea dan Amirul. Sepanjang menunggu ketibaan keretapi di JB Sentral yang terlewat dua jam, mereka tidak henti-henti bercerita pengalaman baru.
Kedua, Ar-Raudhah menerima tetamu. Suria sekeluarga dan Wan Li bersama isteri dan anak-anak mahu berziarah. Kami pula berada di luar kawasan. Adohh…
"Suria, rumah kami tidak berkunci. Nanti tengah malam kami pulang. Tidur di bilik hadapan. Saya sudah order durian yang terbaik. Nanti cari di dapur dan makanlah sepuasnya. Separuh untuk Wan Li dan keluarga," saya memberi arahan.
"Li, saya sudah booking hotel Pegasus dekat dengan rumah. Minta maaf tidak dapat ajak tidur di rumah. Ada Suria dan keluarga".
Keduanya rakan sekelas di peringkat pengajian sarjana muda. Mereka saling kenal-mengenali tetapi ia perancangan berasingan untuk muncul di Segamat.
Saya pula mempunyai hubungan yang berbeza. Kedua-duanya rakan baik. Wan Li rakan serumah. Suria pula pelajar yang saya selia tesisnya di peringkat sarjana.
Hari ini barulah dapat bersama-sama meraikan mereka di rumah. Ia kelihatan aneh, tetamu menunggu tuan rumah. Itulah masa yang luang untuk bertamu dan bertemu dengan saya dan keluarga yang asyik-asyik sibuk memanjang.
Roza menyediakan sarapan pagi, menjamu selera dengan tiga-empat guni durian Segamat yang berkelas. Alahai… tidak sampai lima biji mereka sudah mengalah.
"Bahagi dua dan bawa pulang. Saya tidak makan durian," saya memaksa mereka menggalas baki berguni yang tinggal.
Datanglah ke Segamat. Durian menggila banyak. Durian Kunyit, IOI dan pelbagai D yang kelihatan lazat. Kali terakhir saya "menjamah" sebiji dua, akhirnya mulut herot sebelah diserang Bell's Palsy.
Emmmm…. ia hanya penyebab sahaja. Hari ini saya jadi tersangat lemah namun beralasan, "melayani tetamu!".
July 15, 2011
Erti doa buat Sofea
Sofea masih lagi seorang anak kecil. Umurnya lapan tahun. Kami mengajarnya untuk sentiasa berdoa dan menyebut alhamdulillah. Jika inginkan sesuatu, "berdoalah, nanti InsyaAllah Allah akan makbulkan".
Saya fikir kerana asuhan tersebut, beliau sering menyebut, "Alhamdulillah, Allah makbulkan doa Sofea".
Kini beliau selalu memberitahu guru dan kami, "Sofea suka pergi ke Madinah tetapi Sofea tidak pandai bahasa Arab. Mama, bolehkah Sofea bercakap bahasa Inggeris?"
Lalu kami memujuk beliau, "berdoalah supaya Allah memudahkan Sofea belajar bahasa Arab. Nanti cepat pandai. Sebelum pergi, ayah akan minta cikgu ajar Sofea betul-betul".
Dalam kebanyakan kes, kami mencipta "sesuatu yang luar biasa" apabila beliau mahukan sesuatu. Misalnya, hari ini kami sekeluarga bercuti di sekitar Johor Bharu. Ia sudah dirancang buat sekian lama.
Sofea sayangkan abang Ngah (nota: sedang belajar di Penang) dan kakak Sara (nota: sedang belajar di Shah Alam). Beliau sering menyebut, "kalau abang Ngah adakan best….".
"Sofea berdoalah semoga abang Ngah dengan kakak sempat pulang untuk bersama-sama kita bercuti," saya dan Roza berulang-ulang berpesan kepadanya.
Dan itulah yang dilakukannya. Usai bersolat lima waktu beliau pasti berdoa. "Ya Allah, bagilah Abang Ngah balik untuk…..".
Selepas solat Asar – dalam perjalanan ke stesyen keretapi – saya bertanya beliau, "sofea minta doa untuk abang Ngah?". Beliau mendiamkan diri. Kemudian menggelengkan kepala. Beliau tahu doanya tidak menjadi kenyataan.
Kami sudah mahu bertolak dan Abang Ngah dan Kakak Sara tidak muncul-muncul.
Akhirnya, apabila mereka menaiki gerabak, saya terdengar suara kuat berkata, "Abang Ngah….. Kakak……" Mereka berpelukan!
Dan apabila keadaan reda, kami ingatkan Sofea, "Allah makbulkan doa-doa Sofea".
Beliau tersengih dan berkata "Alhamdulillah".
(Nota: Di belakang tabir, saya telah mengaturkan agar anak-anak kami dapat berkumpul. Saya telah menempah tiket perjalanan Ekspress Rakyat bermula dengan Abang Ngah bertolak dari Butterworth, diikuti oleh kakak Sara di KL Sentral dan kami – Saya, Roza, Amirul dan Sofea – di Segamat.
Pegawai KTM nampak kegembiraan adik-beradik tersebut dan memutarkan tempat duduk supaya mengadap di antara satu sama lain. Ia peristiwa main-main tetapi sangat signifikan buat anak kecil bernama Sofea)
July 14, 2011
Tidak mampu
Di UiTM kami mengajar siswa-siswi untuk menguruskan event. Misalnya, jika mahu mengadakan ceramah agama, merekalah yang akan menyediakan kertas-kerja memohon bajet, menguruskan tempat, mencari penceramah dan menyediakan makan-minum.
Ada juga program agama yang diurus sepenuhnya oleh pihak universiti.
Dua hari lepas saya mendapat khabar bagaimana seorang pelajar menghubungi penceramah terkenal untuk dibawa ke UiTM Segamat. Penceramah tersebut bertanya,
"Awak mampu ke tidak untuk panggil saya….."
Benar, kini ceramah agama merupakan satu industri besar. Saya sendiri pernah berhubung dengan seorang penceramah dalam urusan yang sama. Saya bertanya, "Ustaz, berapakah yang perlu kami bayar…".
Jawapannya sangat tertib, "saya tidak menjual agama tetapi kebisaannya saya dibayar RM1000 hingga RM1500″.
Berceramah sebagai satu kerjaya atau punca sumber pendapatan sangat-sangat berbeza dengan berdakwah. Namun kerjaya itu pula adalah satu ibadat jika dilakukan dengan cara yang betul. Isu ini sangat menarik untuk dibahaskan.
Misalnya, seorang penceramah yang melihat bayaran sebagai faktor utama pilihannya, sanggup membatalkan ceramahnya di satu tempat yang telah dipersetujuinya akibat menerima tawaran yang lebih lumayan. Ia tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi jika mereka terdiri daripada golongan yang berilmu.
Dalam soal ini, pandangan saya agak mudah. Mereka yang menubuhkan syarikat untuk berdakwah maka layanan yang sama harus diberikan sebagaimana wujudnya syarikat-syarikat perniagaan yang lain.
Jika isu utamanya soal bayaran, maka perbincangan dan persetujuan di antara syarikat dengan pengguna atau pembeli produk perlu mencapai kata sepakat. Jika katanya RM3000, jika tidak bersetuju maka pilihan berada di tangan pengguna atau pembeli.
Namun berdakwah dalam Islam mempunyai manualnya yang tersendiri. Perhatikan ayat 20 dan 21 surah Yaa Siin,
"Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu. Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayat petunjuk"
Dalam konteks yang berbeza, saya berkali-kali dihubungi oleh pegawai sebuah syarikat untuk menghadiri kursus anjuran mereka dengan percuma. Malah mereka sanggup memberi beberapa keistimewaan tertentu sehingga ke majlis makan malam bersama Perdana Menteri.
Soalan saya mudah, "adakah ini usaha dakwah atau apa?"
"Tidak, kami bukan badan dakwah tetap sebagai training provider"
"Lalu apa bezanya dengan sebuah syarikat lain yang memberi percuma sesuatu ketua jabatan dalam usaha mendapatkan kontrak atau supaya menyalurkan bajet latihan kepada syarikat tersebut. Adakah itu bukan sebahagian daripada rasuah?"
Mudah-mudahan Allah menerima segala apa yang kita lakukan sebagai satu amal ibadat. Dan ia berperaturan!
July 13, 2011
Kata Pengantar oleh Prof Hatta Azad Khan
Travelog Kehidupan Abadi
KEDEWASAAN
Kehidupan ini adalah suatu perjalanan. Dalam perjalanan kita mengutip pengalaman. Pengalaman itu jika dikongsi bersama akan menjadi panduan hidup yang sangat berguna. Kita melihat manusia dengan berbagai ragam dan gaya, menunjukkan sikap dan tindakan dalam menjalankan tugas, peranan dan tanggung-jawab yang diamanahkan.
Kita akan bertemu keberkatan serta juga kemungkaran yang diselindungi dalam peristiwa suka-duka, pahit manis dan hilai ketawa. Manusia yang peka terhadap persekitaran yang ditempuhinya akan menjadi seorang pemerhati yang tajam. Pemerhatian itu jika dapat dirakam akan menjadi sangat berguna kepada orang lain yang mungkin pernah melalui liku kehidupan yang sama tetapi tidak pernah pula merakamnya dalam ingatan.
Roza mempunyai pengalaman yang panjang dan pemerhatian yang tajam. Pengalaman itulah yang mahu dikongsinya bersama pembaca. Dia adalah pemerhati kepada berbagai budaya kehidupan yang berbeza dari berbagai bangsa dan sempadan negara. Di samping belajar, mendidik dan menganalisis diri sendiri, segala pengalaman itu dirakam untuk suatu perkongsian yang ikhlas dan murni.
Tanpa sebarang rasa terpinggir, Roza menggelar dirinya budak perempuan kampung – Kampung Paya Jakas dan sangat teruja dengan sekeping poskad kota London. Anak Melayu mana yang tidak mahu menaiki pesawat terbang jauh ke luar negara? Itu idaman, itu cita-cita, itu mimpi semua anak kampung yang bersemangat dan bercita-cita besar.
Itulah Roza – anak kampung yang melengkapi dirinya dengan ilmu dan melangkah berani mendepani dunia baru yang sentiasa menduga dan mencabar. Sesekali sebagai manusia biasa dia turut dihanyut dan dibuai angan-angan dengan segala sifat dan keinginan duniawinya. Siapa yang tidak teruja memiliki set silverware Queen Anne, pinggan mangkuk Royal Doultan, kasut dan beg tangan Bally atau Clarks? Itu idaman semua manusia tambah lagi bila harganya turun sehingga 70%!
Roza tidak terkecuali.
Buku ini memulakan bicara dengan bab yang diberi tajuk 'Mulut Berasap' – suatu fenomena yang berlaku bila manusia bernafas dalam cuaca sejuk. Ia bermula dengan Dundee di Scotland, kemudian kembali ke Kuching, Sarawak dan kembali semula ke Wales, United Kingdom. Tiga kali penulis mengikut suami belajar, bertugas dan belajar semula di luar negara dan di luar Semenanjung Malaysia.
Setiap kali berada di luar negara Roza dan suami memilih untuk tinggal berjiran dengan masyarakat tempatan dan sentiasa mencari peluang untuk mengenali hatibudi mereka. Roza berpegang pada prinsip – kita baik, orang lagi baik, kita berkira orang lagi bakhil dan kita sombong orang lagi sombong!
Mereka sentiasa bersedia menghadapi apa saja pengalaman baru dengan sifat dan pemikiran yang terbuka. Roza berpegang pada pepatah Melayu, "Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak" dan amarannya, jangan masuk kandang harimau atau singa…."Nanti kita dingapnya!!" seperti kata Aziz Sattar dalam siri filem Bujang Lapok (P. Ramlee).
Roza dan keluarga sering berpindah kandang dan kadang-kadang tinggal menumpang di kandang orang. Tapi sikap ikhlas dan keterbukaannya tidak mendatangkan masaalah. Mereka sanggup belajar menyesuaikan diri hingga belajar dialek daerah sewaktu di Kuching, di Scotland dan Wales. Manusia itu di mana-mana pun sama sahaja, baik di Scotland atau Sarawak.
Mereka boleh menerima kehadiran kita asal saja kita bersedia merubah diri dan menyesuaikan keadaan dengan budaya hidup mereka. Suami Roza misalnya di panggil Pok oleh orang Sarawak. Panggilan itu suatu petanda keakraban dan setiakawan yang sangat ikhlas dan mesra. Namun pengalaman yang dilalui tidak selamanya manis dan indah.
Kita sentiasa menyangka atau menggambarkan bahawa keadaan di luar negara itu semuanya teratur dan mewah. Tapi rupanya kecelakaan dan penderitaan sama sahaja, baik di Scotland, di Wales atau pun di Kuching. Dalam mendaki tangga kejayaan dan kemewahan akan sentiasa ada manusia-manusia yang jatuh tertiarap dan perlu menjalani kehidupan seadanya.
Katie yang ditemui dan menjadi rapat sewaktu di Dundee, Scotland adalah golongan tidak berpendidikan tinggi dan bekerja sebagai pencuci tandas. Pakcik Bebait di Kuching yang juga tidak sekolah tinggi, hanya membawa bot penambang merentasi sungai Sarawak. Mereka sama-sama menghadapi masaalah dalam rumah tangga yang berpunca dari sikap yang tidak saling memahami.
Katie dan isteri Pakcik Bebait sama-sama menjadi wanita yang mencurigai titik-peluh suami yang mencari nafkah hidup. Akhirnya mereka sama-sama menanggung beban penyesalan. Roza turut menyelitkan kelucuan yang pahit dari watak-watak yang ditemuinya supaya ia memberi kesan dan pengajaran kepada pembaca.
Ramona dan isteri Pakcik Bebait dengan mudah menipu suami untuk mencari nikmat dunia mereka sendiri. Ramona menipu majikan untuk mengambil cuti hujung minggu kononnya untuk bersama suami dan anak-anak, tetapi si suami memarahi pejabat kerana sering menghantar isterinya berkursus pada hunjung minggu.
Isteri Pakcik Bebait sentiasa menunggu dan mengira pendapatan suaminya dan mengamuk bila suaminya ditegur perempuan muda. Tapi akhirnya…."Lapan orang anak yang dilahirnya mempunyai rupa paras dan warna kulit yang berbeza-beza (????)!". Pun begitu ia masih diterima suaminya.
Di Wales kita dipertemukan dengan Si Norman yang mencari orang Melayu kerana isteri Melayunya yang berasal dari Kelantan amat kesunyian. Kita juga bertemu Jasmin yang juga bersuamikan lelaki kulit putih tetapi mengaku sudah mula lupa bacaan dalam sembahyang. Kemudian kita jumpa kak Anna yang bercerai tetapi mengahwinkan anak lelakinya di gereja.
Cinta itu buta! Mereka mengikut suami tetapi akhirnya merindui segala-galanya tentang tanah air tercinta. Kesemuanya mereka memulakan perkongsian hidup dengan satu perkataan – 'cinta'. Perkataan yang sangat indah tapi rupanya tak 'bermata'. Sewaktu bercinta banyak pertimbangan yang hilang.
Emosi mengatasi akal fikiran dan perhitungan. Masa depan dilihat semuanya indah dan gemilang. Soal perbezaan bangsa, persekitaran yang janggal dan luarbiasa, batas agama dan sempadan budaya tidak pernah diperhitung dengan teliti. Akhirnya jadilah mereka manusia-manusia yang terperangkap dan sering menyesali diri dalam situasi yang sudah sangat terlambat!
Roza juga merasakan dirinya turut terhimpit dalam keadaan yang hampir sama. Dia turut terperangkap dalam dunia kerjaya dan sentiasa harus memilih antara menjadi suri-rumah sepenuh masa membesarkan anak-anak dan menjaga makan-pakai suami atau kenaikan pangkat dan gaji lumayan.
Dua kali dia berhenti kerja kerana mengikut suami berangkat ke luar negara menyambung pengajian dan waktu mahu pulang ke tanah air setelah suami mendapat gelar doktor (PhD). Dia pernah mencapai status orang korporat yang berjaya dan mengetuai sebuah cawangan di peringkat negeri, pernah juga menjadi jurujual dan kemudian eksekutif di bahagian khidmat pelanggan sewaktu di luar negara.
Kita dapat merasakan sedu-sedan seorang isteri yang sentiasa berkejaran ke tempat kerja, menghadiri kuliah separuh masa, mengambil anak-anak dari sekolah, bergegas pulang untuk menyediakan makan malam di rumah. Pengalaman Roza memberikan pembaca banyak peringatan tentang betapa sukarnya mengimbangi antara kerjaya dan keluarga.
Roza juga menggambarkan dengan jujur tentang hubungan keluarga, antara suami isteri dan anak-anak, menyampaikan perasaan hati seorang isteri bila terpaksa berdepan dengan keadaan dan waktu yang merubah kasih sayang dan pemerhatian. Bagaimana tersentuhnya perasaan bila suami hanya menumpukan masa pada kuliah dan padang golf.
Bagaimana seorang isteri yang menangis dalam diam atau melinangkan airmata sendirian bila ditinggalkan suami pada saat-saat yang paling diperlukan. Menjadi isteri seorang calon tajaan pengajian peringkat Phd di luar negara bukanlah suatu dunia yang mewah, tambah lagi apabila seluruh dunia menghadapi kegawatan ekonomi.
Badan korporat antarabangsa turut membuang pekerja. Ramai rakan-rakan yang hilang pekerjaan. Pelajar tajaan juga terpaksa berjimat, bahkan sampai terpaksa mengikat perut Pengalaman Roza memberikan indeks pembelian sabun dan beras: beli sabun paling murah asalkan berbuih, gantikan beras dengan kentang – sepuluh kilo beras 20 pound sterling tetapi sepuluh kilo kentang cuma 2 pound.
Selain itu suami juga terpaksa turut bekerja di restoran, mengupas bawang atau mencuci pinggan di ceruk dapur. Jadinya kehidupan di luar negara itu tidaklah semuanya indah, mudah dan mewah. Mujurnya Roza turut memahami bahawa seorang pelajar calon doktor falsafah itu sentiasa berada dalam kesunyian, kebingungan dan penuh kebimbangan.
Tetapi hakikat sebenarnya tidak semua begitu. Ramai yang sentiasa melenggang ke sana sini dan ceria sepanjang masa. Ramai yang boleh membendung rasa malu apabila pengajian terbantut atau gagal. Tak kisah! Kerana biaya pengajian bukan dibayar sendiri. Ramai yang beli kereta mewah dan membawa pulang berbagai macam barangan berjenama, kecuali ijazah PhD.
Rakaman pengalaman dan peristiwa suka-duka dalam buku ini mengambil tempuh masa yang panjang. Tempuh masa hampir tiga tahun yang membawa kedewasaan. Segala kepiluan, kesepian dan keterbatasan hidup, berkesudahan dengan kebahagian yang abadi. Cuma ia memerlukan banyak kesabaran, ketabahan dan kecekalan hati serta pemikiran yang tajam untuk memandang jauh ke hadapan dan mengambilkira setiap strategi atau percaturan.
Sepanjang tempuh tersebut, Roza bercerita dengan gaya yang sangat bersahaja, jujur pada dirinya dan jujur pada Allah yang sentiasa melihat dan melindunginya. Kejujuran inilah yang membuatkan kita terasa mudah mendekatinya. Terasa kita sangat dekat dengan setiap perlukisan yang dipaparkan. Kejujuran dan keterbukaan inilah yang membuatkan rakaman ini menjadi begitu halus, ikhlas dan murni.
Roza tidak pernah mahu menjadi seorang jaguh atau seorang wirawati. Secara sedar dia mengganggap dirinya sebagai insan yang tidak mustahak dan rakaman pengalamannya adalah kisah biasa-biasa yang dilalui oleh seorang yang juga biasa-biasa. Tapi yang biasa-biasa itulah menjadi menarik dan luarbiasa sehingga kita ketawa dan menitiskan airmata sambil tertanya-tanya akan peranan dan kehadiran diri kita di dalamnya.
Buku ini adalah bahagian ketiga dari siri travelog Roza selepas Cinta Abadi dan Impian Abadi. Anda perlu membaca ketiga-tiganya untuk melihat suatu kembara kehidupan yang mengajar banyak erti cinta, kasih, dan sayang antara sesama manusia dan manusia dengan Penciptanya yang sentiasa memberi dan menyediakan berbagai ragam panduan dan ujian, tanpa kita menyedari bahawa di akhir perjalanan itu akan ditemui rahmat dan keberkatanNya.
Allah sentiasa hadir dengan segala kebesaran, kekuasaan dan kebijaksanaanNya melimpahkan rahmat kepada hambaNya yang sedar, taat dan bersyukur. Bacalah dengan minda yang terbuka!
Prof. Dr Hatta Azad Khan
Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik
UiTM Kampus Puncak Perdana Shah Alam, Selangor.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
