Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 51

August 18, 2011

Mukhriz

Saya pernah berdosa dengan beliau.


Ia kisah 30 tahun yang lampau. Semalam saya berpeluang memohon maaf secara terbuka dan mudah-mudahan beliau menerimanya.


Kenapa?


Kami seMRSM. Beliau junior setahun. Sebagai anak Timbalan Perdana Menteri, hampir setiap minggu – perasan saya – beliau menerima hamper daripada kenalan ayah beliau.


Saya budak kampung. Tidak pernah menjamah cornflakes. Apatah lagi untuk merasa coklat yang sedap-sedap. Tambah-tambah lagi makanan ringan yang kelihatan berbeza dengan yang biasa-biasa kami beli di kedai.


Sesekali kami mengambil makanan tersebut tanpa izin. Kalau istilah biasa "mencuri". Kalau istilah budak yang hanya mahu merasai sesuatu yang baru, kita panggil "mencuba".


"Datuk, saya mohon maaf di atas apa yang telah saya dan kawan-kawan lakukan," serius saya ucapkan. Hampir sedewan ketawa berdekah-dekah. Alahai… saya tahu masing-masing juga mempunyai pelbagai kisah lampau yang boleh menyebabkan setiap orang menjadi muda kembali.


Benar, saya serius memohon maaf.


Semalam saya meyampaikan tazkirah kepada sekumpulan "budak-budak pandai". Akhirnya, saya sampaikan hadiah buku Travelog Haji kepada Datuk Mukhriz, presiden kepada kumpulan ini. Apa katanya?


"Saya sudah ada buku ini".


Oppps!


Masjid Wilayah Persekutuan


Besarnya!


Itulah reaksi pertama saya melihat masjid yang luas tanpa tiang. Jemaahnya pula nyata ramai berbanding dengan lokasinya. Bertambahlah satu lagi masjid yang pernah saya kunjungi.


Ia masjid yang aman.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 18, 2011 03:57

August 16, 2011

Jaguar dan bubur lambuk

"Mak hendak berasa naik Jaguar?"


Itulah soalan yang saya kemukakan kepada mak dalam perjalanan berbuka puasa di rumah sahabat "dato dan datin" di Petaling Jaya.


"Nanti saya minta pada Dato' untuk bawa Mak solat terawih dengan Jaguar".


Mata saya tidak pula terpandang Jaguar apabila melangkah masuk ke perkarangan rumah. Saya melihat Alphad, Mercedes dan dua kenderaan yang lain. Saya buta kereta. Bagi saya, asal ia bergerak ke hadapan, ia sudah memadai.


"Dato', mana Jaguar? Mak saya teringin benar hendak merasa menaiki Jaguar".


Dato tersenyum dan tidak memberi sebarang jawapan.


Ketika dalam perjalanan menunaikan solat maghrib, beliau bercerita,


"Jaguar tu ada cerita. Menurut spesifikasinya, jika tayar pecah atau meletup, ia masih boleh di bawa sehingga 100 km. Hari itu, ayah saya nazak. Saya berkejar dengan Jaguar tersebut.


Ketika berada di dalam Smart Tunnel, tayar meletup. Saya cuba meneruskan perjalanan. Gagal. Seluruh sistem rosak. Saya terpaksa berjalan  jauh untuk keluar terowong dan mengambil teksi untuk pulang.


Saya tidak sempat…"


Ada yang tersirat melalui pengalaman ini. Ia tentang "harapan dan doa" manusia. Bagaimana Allah memakbulkan doa-doa hambanya pelbagai. Kesusahan yang Dato' alami adalah sebahagian daripada doa dan harapan yang pernah terlintas di hatinya.


Masakan Jaguar secanggih itu tiba-tiba meletup pada ketika dan saat tersebut?


Jamal, juga sahabat pasca haji turut serta berbuka di rumah Dato dan Datin. Beliau membawa bersama bubur lambuk masakan isterinya.


"Prof, kami memasak bubur lambuk setiap hari dan dibawa ke masjid untuk jemaah berbuka puasa. Hari-hari kami sekeluarga berbuka di masjid".


Wah… suka hati saya mendengar cerita beliau. Agaknya sama dengan istilah "piknik di masjid" sebagaimana saya dan Roza amalkan.


"Prof, cuba sarangkan kepada khalayak prof yang mampu untuk mengambil cuti bagi 10 hari terakhir bagi meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadhan. Orang-orang Arab buat begitu prof…"


Emmm… tahun ini memang saya bercuti!


………………… mohon beredar ke Putra Jaya!


Wanita menguasai khalayak


 


Juga wanita.....

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 16, 2011 16:24

August 15, 2011

Idea yang tidak terlaksana

Idea asal, kami bercuti seminggu, tinggal di Kondo Kemuncak, solat terawih di Masjid Negeri, menulis dan pastikan beberapa urusan perpindahan dapat diselesaikan.


Kita merancang, Allah menentukannya.


Akhirnya, jadual saya penuh sehinggalah hari terakhir mahu meninggalkan Terengganu. Kakak saya berkata, "Mil, penuhilah harapan orang Besut". Beliau bercerita bagaimana seorang pengetua berkata, "ikutlah masa mana, asalkan dia mahu datang ke sekolah kita".


Maka siapalah saya untuk menolak permintaan tersebut hanya berdasarkan mahu "berehat-rehat" sebelum meninggalkan Malaysia. Niat untuk "berehat-rehat" di Besut tidak diizin Allah. Dia mahu saya melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat.


Ajaib, bila Nazir Masjid Puchong Perdana menulis SMS, "……. para jemaah tersangat rindu untuk menemui prof, diharap prof tidak menghampakan permintaan ini," saya terus mahu menjawab, "mohon maaf, saya dalam kesibukan yang amat sangat".


Namun yang tertulis di SMS, "saya hanya free pada 15 atau 16hb. Pilihlah di antaranya".


Subhanallah, itulah aturan Allah SWT. Ramai orang berkata, "rezeki yang hampir ke mulut pun boleh tumpah ke lantai jika Allah tidak izinkan" dan sebaliknya, "kalau Allah izinkan, yang sukar menjadi tersangat mudah".


Dewan solat penuh. Mereka mahu solat terawih tetapi terpaksa mendengar tazkirah saya. Mudah-mudahan ia memberi manfaat.


Dalam konteks yang berbeza, saya bercadang untuk bersara lebih awal. Saya berkira-kira mulai 1hb Ogos. Namun bila jari jemari menaip surat permohonan bersara awal, saya menulis agar ia bermula pada 31hb Ogos 2011.


Berapakah nilai perbezaan tarikh tersebut? RM20000. Kenapa? Kerajaan menetapkan mereka yang layak menerima bonus hari raya sektor awam ialah bagi mereka yang bekerja sehingga 7h Ogos 2011.


Itulah rezeki yang dianugerah Allah. Ia bukan soal mujur atau nasib baik. Saya membuat perancangan tetapi Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 15, 2011 17:28

August 14, 2011

Demi masa

Saya sudah memulakan cuti persaraan. Roza pula masih bertugas sehinggalah besok. Jadi, Roza dan anak-anak masih di Segamat manakala saya pula berada di Shah Alam.


Selama tiga – empat hari saya berpeluang berdua bersama Sara. Kami berbuka puasa, bersahor dan tinggal bersama di Kondo Kemuncak. Ia masa yang sangat singkat berbanding dengan hari-hari yang telah mereka – Sara dan Azrai – lalui secara bersendirian.


Alahai… demi masa… masa yang singkat inilah yang mahu saya manfaatkan bersama puteri sulung kami, kakak kepada adik-adik yang lain.


"Sara, jaga solat tahu. Jaga aurat kita," dua perkara yang menjadi ingatan yang berulang-ulang.


"Kita ingat Allah, Allah akan ingat kita. Ingat bagaimana Allah tolong Sara. Kenapa Sara isi minyak RM20 sedangkan kebiasaannya Sara masukkan RM10? Sebab Allah tahu yang Sara akan terperangkap dalam trafik," saya mengingatkan kisah beliau terperangkap 5-6 jam ketika perhimpunan Bersih tempohari.


"Nanti selalulah e-mel Sofea, Amirul. Mereka pasti rindukan Sara dengan Azrai. Sekarang pun mereka selalu menyebut-nyebut Kakak dengan Abang Ngah"


Banyak yang dapat kami bualkan dalam masa yang singkat itu. Hanya kepada Mu tempat kami mengadu dan berserah.


Hafizi


Semalam, guru Quran pertama saya bersama di Kondo Kemuncak. Beliau menjadi imam solat terawih di USJ 2.


"Prof, saya selalu terkenangkan saat-saat bersama Prof dengan Kak Roza. Ia satu pengalaman yang tidak boleh saya lupa". Tentu sekali saya juga begitu. Ia akan terpahat sebagai detik penting dalam hidup kami berdua.


Beliau adalah guru Quran saya. Saya pula menjadi guru beliau di dalam urusan dunia yang lain.


"Hafizi masih ingat saya marahkan Hafizi?"


Beliau ketawa. Ketika itu usianya baru 19 tahun. Beliau baru keluar daripada "budaya pondok" yang hanya memberi tumpuan 100% kepada penghafalan al-Quran.


Hubungan kami tidak pernah terputus. Beliau adalah guru saya dan beliau pula menganggap saya – juga – guru beliau.


Tahniah Hafizi, moga anak yang bakal dilahirkan nanti akan turut menjadi seorang hafiz atau hafizah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 14, 2011 14:01

August 13, 2011

Penyelesai segala ujian

Saya tertarik dengan satu kenyataan, "bagi mereka yang beriman, kematian merupakan penamat kepada segala ujian".


Ia sangat benar. Mereka yang beriman – InsyaAllah dengan rahmatNya – dipermudahkan hisab mereka dan terus masuk syurga yang kekal abadi. Tiada lagi ujian. Ia kehidupan yang sangat-sangat berbeza dengan kehidupan dunia.


Saya cuba membayangkan begitu. Namun akal manusia - sampai bila-bila pun – tidak dapat menelah dengan tepat kehidupan syurga. Namun saya simpulkan dengan cara yang paling mudah, ia kehidupan yang sangat indah.


Apa yang terbaik di dunia tentunya langsung tidak setara dengan apa yang bakal diperolehi di Firdaus. Agakan yang barangkali 100% tepat.


Tentu sekali di syurga tiada lagi perasaan "mencemburui" apa yang diperolehi oleh orang lain. Sesekali saya berfikir, mungkinkah ada kebarangkalian mereka yang berada di syurga tahap bawah mencemburui mereka yang berada di syurga yang lebih baik?


Di sini, dunia sementara ini, manusia sentiasa melihat  rumput jiran lebih hijau daripada rumput sendiri. Bola hijau (kepunyaan teman) kelihatan lebih baik daripada bola biru (kepunyaan sendiri).


Ujian untuk mengejar apa yang jiran atau teman miliki tiada penghujung. Akan sentiasa ada rumput yang lebih hijau. Malah jika bola hijau diperolehi, tiba-tiba sahaja bola merah menjadi lebih menarik.


Saya merenung seksyen 9 daripada tingkat 12 Kondo Kemuncak. Di bahagian belakang, saya ternampak rumah berkembar yang harganya melebihi sejuta ringgit. Di bahagian hadapan, beberapa buah banglow yang sayup-sayup kelihatan hanya seperti penjaga kepada kondo yang saya diami.


Di sebelah kanan bahagian belakang, rumah-rumah teres bersusun-susun. Lebih jauh lagi kelihatan banglo-banglo yang kelihatan sangat eksklusif. Banyaknya bola-bola yang pelbagai warna.


Dulu, saya mempunyai impian yang sangat besar tentang warna bola yang saya inginkan. Kini, ia sangat berbeza!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 13, 2011 16:09

Jadual kegiatan dan Tazkirah Ramadhan

Alhamdulillah, saya bersama sebahagian daripada barang-barang Ar-Raudhah dan bag-bag yang bakal di bawa ke Madinah selamat sampai. Kami akan menginap di Kondo Kemuncak selama seminggu.


Alhamdulillah juga kerana ada masjid dan surau yang berhampiran memanjangkan jemputan apabila mengetahui kehadiran saya di sini. Berikut saya sertakan jadual tazkirah Ramadhan yang telah diatur:


1. Tazkirah selepas Isya pada 15/8/11, di Masjid As-Salam, Puchong Perdana. Hubungi Nazir Masjid di talian 0193567133


2. Kuliah pada 17/8/11, jam 9 pagi di Kementerian Sumber Asli, Putra Jaya, hubungi Marzulina, 0162536153


3. Kuliah Sebelum Berbuka (6 petang) di Masjid Wilayah Persekutuan, 17/8/11 (Program untuk ahli Ansara, tempat terhad)


4. Kuliah pada 18/8/11, jam 2 petang di Dewan Kuliah C, Kompleks Kejuruteraan, Menara S&T, Tower 2 UiTM Shah Alam. Hubungi Ros Shilawani, 0162202593


5. Kuliah pada 19/8/11, jam 10 pagi di Jabatan Perancang Bandar, Tingkat 18, Bangunan Darul Ehsan. Hubungi Suzanah, 0132623428


6. Tazkirah selepas Isya pada 19/8/11 di Surau Nur Hidayah, USJ 9. Hubungi Sabirin, 0193165251


7. Rakaman pada 20/8/11 VCD Tips Motivasi Haji, 10 pagi di Studio TTDI


8. Tazkirah Asar pada 20/8/11, Masjid Al-Ridhuan, Ulu Kelang, hubungi 0193401998


9. Kuliah pada 23/8/11, jam 9 pagi di Universiti Malaysia Terengganu, hubungi Dr Akmalia 0199118584


10. Seminar Keibubapaan pada 25/8/11 bersama Roza di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Timur, Besut (1/2 hari), hubungi Narawi 0199364100


Kuliah Kecemerlangan Anak-Anak Besut, Terengganu


1. SMTM 2, Pelajar Tingkatan 5, 4/9/11 jam 10 pagi


2. SMKA Wataniah, Pelajar Asrama, 4/9/11 jam 9 malam


3. SM Agama Setiu, Semua Pelajar, 5/9/11 jam 11 pagi.


Sila hubungi pihak sekolah jika ingin turut serta.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 13, 2011 07:51

Jadual Tazkirah Ramadhan

Alhamdulillah, saya bersama sebahagian daripada barang-barang Ar-Raudhah dan bag-bag yang bakal di bawa ke Madinah selamat sampai. Kami akan menginap di Kondo Kemuncak selama seminggu.


Alhamdulillah juga kerana ada masjid dan surau yang berhampiran memanjangkan jemputan apabila mengetahui kehadiran saya di sini. Berikut saya sertakan jadual tazkirah Ramadhan yang telah diatur:


1. Tazkirah selepas Isya pada 15/8/11, di Masjid As-Salam, Puchong Perdana. Hubungi Nazir Masjid di talian 0193567133


2. Kuliah pada 17/8/11, jam 9 pagi di Kementerian Sumber Asli, Putra Jaya, hubungi Marzulina, 0162536153


3. Kuliah Sebelum Berbuka (6 petang) di Masjid Wilayah Persekutuan, 17/8/11


4. Kuliah pada 18/8/11, jam 2 petang di Dewan Kuliah C, Kompleks Kejuruteraan, Menara S&T, Tower 2 UiTM Shah Alam. Hubungi Ros Shilawani, 0162202593


5. Kuliah pada 19/8/11, jam 10 pagi di Jabatan Perancang Bandar, Tingkat 18, Bangunan Darul Ehsan. Hubungi Suzanah, 0132623428


6. Tazkirah selepas Isya pada 19/8/11 di Surau Nur Hidayah, USJ 9. Hubungi Sabirin, 0193165251


7. Tazkirah Asar pada 20/8/11, Masjid Al-Ridhuan, Ulu Kelang, hubungi 0193401998


8. Kuliah pada 23/8/11, jam 9 pagi di Universiti Malaysia Terengganu, hubungi Dr Akmalia 0199118594


9. Seminar Keibubapaan pada 25/8/11 bersama Roza di ILIM, Besut (1/2 hari), hubungi Narawi 0199364100

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 13, 2011 07:51

August 12, 2011

Tidur

Tazkirah Mingguan Terakhir di UiTM Johor


Kurangkan tidur.


Barangkali inilah kesimpulan yang ingin saya sampaikan kepada khalayak yang menyertai tazkirah mingguan. Kurangkan sedikit waktu tidur untuk bangun solat malam. Ia sumber kekuatan dalaman dan luaran insan yang bergelar muslim.


Kurangkan sedikit waktu tidur untuk solat berjemaah subuh di masjid. Kurangkan sedikit waktu tidur untuk menyediakan juadah bersahur supaya dapat juga menunaikan solat tahajud.


Rasailah rasa kusyuk bermunajat ketika insan-insan lain berselimut. InyaAllah, ia akan menyelesaikan banyak ujian-ujian kehidupan yang lain. Sekurang-kurangnya, Allah memberi rasa lega yang luar biasa.


Semalam, waktu tazkirah diperpanjangkan mengambil masa waktu jamuan yang biasa disediakan. Selamat tinggal semua, moga pada ketika dan masa yang ditentukanNya kita akan bertemu lagi.


Jaga Ujian PhD


Saya merupakan ahli keluarga fakulti perakaunan. Di UiTM Johor, peranan sebagai seorang profesor merentasi disiplin sendiri. Bertugas pula sebagai pentadbir akademik, menyebabkan masa yang diperuntukkan bagi fakulti sendiri sangat terbatas. Namun sedikit masa yang ada biarlah masa yang signifikan.


Saya fikir begitu! 


Fakulti Perakaunan: Pesanan Terakhir?


 Fakulti perakaunanlah yang saya fikir paling pantas perkembangan menerima lulusan di peringkat PhD. Muda-muda lagi. Malah di UiTM Johor, pemegang kelulusan ini akan bertambah secara mendadak dalam tempoh setahun dua ini.


Sambil-sambil ketawa saya berpesan dan bercerita, "mereka yang lulus PhD ramai yang akan pastikan name tag mereka bertulis "Dr Muhd Kamil Ibrahim". Bila pulang, rasa hati berombak-ombak mahu orang tahu yang "saya sudah ada PhD". Panggilah aku Dr…"


Itulah ujian pertama. 


Merenung sisa-sisa kehidupan

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 12, 2011 14:01

August 11, 2011

Rumah Perkim Segamat

Rumah Perkim Segamat


Papan tanda dipasang lewat petang semalam. Ia hasil sumbangan hamba Allah yang diberi nikmat "teramat banyak" di luar dari jangkauan pemikirannya.


"Ya Allah, Kau permudahkanlan kehidupan Tuan Haji ini di dunia dan akhirat. Temukanlah kami, beliau, keluarga beliau dan seluruh khalayak KRTS di syurga Firdaus tanpa dihisab ya Allah. Temukanlah kami dengan rahmatMu ya Allah".


Asalnya, bajet setakat papan tanda di rumah, kini ada enam papan tanda lain yang menunjuk arah ke arah rumah ini agar tiada yang sesat. Kos keseluruhannya RM750. Alhamdulillah, saya sudah menerima sumbangan tersebut lama sebelum papan tanda ini siap terpaku di sini.


Ia kelihatan kecil tetapi memastikan sumbangan orang dilaksanakan adalah – rasanya – sangat berat tanggungjawabnya. Alhamdulillah, saya lega!


JEMPUTAN MAJLIS KESYUKURAN


Allah temukan jodohnya


Jika ada yang berkesempatan, jemputlah ke majlis kesyukuran perkahwinan adinda saya, Azlina Ibrahim (disebut adik Na melalui Travelog Haji) pada hari Raya Kedua di Jalan Batu Tumboh, Alor Lintang, Besut, Terengganu. Dari Masjid Alor Lintang – melalui Jalan Batu Tumboh – lebih kurang 1.5 KM.


Kalau nampak orang ramai, singgah dan perkenalkan diri kepada ahli keluarga, sebut kod rahsia "sahabat Muhd Kamil Ibrahim". InsyaAllah, saya akan persilakan menikmati jamuan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 11, 2011 09:10

August 10, 2011

Terima kasih, ya Allah

Agaknya begitu. Bila masa kelapangan, ada permintaan untuk menyampaikan kuliah, maka sukar untuk menyatakan "maaf, saya kepenatan".


Begitulah, sehari lagi saya akan menamatkan perkhidmatan di UiTM, khususnya di UiTM Kampus Segamat. Besok, 12hb Ogos, hari terakhir dan saya mula bercuti pada 13hb dan akan berada di Shah Alam sehingga 20hb.


Sebagai penutup tugas di UiTM Segamat, saya akan menyampaikan tazkirah mingguan terakhir kepada mereka yang sering bersama saya terutamanya bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri serta unit Kualiti pada jam 9.00 pagi.


Jam 12.00 tengahari – InsyaAllah - rancangan untuk menyampaikan sedikit tazkirah kepada Jabatan Perakaunan dapat dilaksanakan.


Di celah-celah waktu tersebut, saya mempunyai beberapa tugas rasmi. Pertama, 17hb, menyampaikan syarahan di sebuah Kementerian (nanti saya semak) di Putra Jaya.


Di sebelah petangnya, saya akan menyampaikan tazkirah sebelum berbuka puasa di Masjid Wilayah Persekutuan. Ia anjuran Ansara, alumni MRSM.


Kedua, mesyuarat terakhir sebagai pengerusi kenaikan pangkat profesor dan profesor madya UiTM pada 18hb. Di sebelah petang, majlis berbuka puasa bersama rakan sejawat yang baru pulang daripada Luar Negara dengan ijazah kedoktoran.


Bestnya, kami akan berbuka di Masjid Negeri dan solat sunat teraweh. Kemudian, janjinya kami akan dijamu dengan nasi Arab di Restoran yang berada di dalam kawasan masjid.


Keesokkannya (19hb), saya telah diminta untuk menyampaikan syarahan 2 jam di salah sebuah jabatan kerajaan di Shah Alam.


Pada 20hb, tazkirah asar akan berlangsung di Masjid Ar-Ridhuan, Ulu Kelang. Ia terbuka kepada orang ramai.


InsyaAllah, kami akan berlepas pulang ke Besut pada pagi 21hb dan akan bermalam di Dungun selama 2 malam. Mudah-mudahan Allah lancarkan perjalanan pulang kami.


25hb, saya dan Roza akan menyampaikan syarahan di Bukit Kluang, Besut di dalam seminar kekeluargaan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), cawangan Timur.


Di antara jam-jam yang terluang saya berdoa kepadaNya, "Ya Allah, berikan luang masa untuk aku menyudahkan manuskrip Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian".


Ramai-ramai tolong ameenkan!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 10, 2011 13:54

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.