Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 2

November 2, 2012

Selamat kembali

NotaMKI: Artikel ini telah disiarkan pada 30.10.2010


Selamat kembali.


Tumpuan jemaah haji hampir 100% ketika sebelum berangkat ke Tanah Suci. Persediaan selepas kembali dipinggirkan. Jarang ada manusia yang resah, risau dan gundah gulana setelah mendarat di KLIA.


Bayangkanlah kegembiraan kerana menunaikan fardhu haji. Bayangkanlah bagaimana leganya hati setelah berjaya menunaikan rukun Islam yang ke lima. Agaknya lengkaplah titik-titik perjalanan seorang muslim jika rukun Islam dijadikan asas.


Kegembiraan inilah yang terbawa-bawa sepanjang perjalanan pulang sama ada melalui Jeddah – KLIA atau Madinah – KLIA. Tubuh lesu setelah hampir [melebihi] 40 hari memberi tumpuan beramal ibadat di Mekah dan Madinah mula menguasai diri. Namun keseronokan mendarat di bumi Malaysia mula hadir.


Jangan kosongkan fikiran.


Tips kami, sebutlah nama-nama Allah. Berzikirlah. Bacalah ayat-ayat suci al-Quran. Bermunajatlah di dalam hati. Berfikirlah tentang kehidupan pasca-haji. Jangan biarkan semangat Mekah dan Madinah menginsut pergi. Bertahanlah, bertahanlah, bertahanlah.


Bila kapalterbang mendarat, saya dapat merasakan keseronokan jemaah yang berjalan beriring-iringan. Riuh-rendah menuju ke tempat bagasi. Tiada lagi yang tunduk ketakutan, tiada lagi wajah gelisah, gundah gulana dan hati hanya ingin melakukan satu perkara, mencari bagasi dan menolak keluar untuk berjumpa sanak saudara yang sedia menanti.


“Ya Allah kami mohon keampunanmu”


Bertahanlah…. bertahanlah… bertahanlah….


Cuba-cubalah melihat di kiri-kanan perjalanan di terminal KLIA. Pasti jemaah akan berjumpa dengan tanda “SURAU LELAKI” dan “SURAU WANITA”. Berhentilah seketika di sini. Bertenang. Jika mahu berwuduk [nota: mengikut Imam Syafie, lain-lain Imam tidak perlu) ambillah wuduk dan bersujudlah. Ia dinama sujud syukur. Bersujudlah dan ingatlah kasih-sayang Allah betapa dengan izinnya kita berjaya menunaikan fardhu haji, selamat pergi dan selamat kembali.


Hilangkanlah rasa “riang-ria yang melampau” sehingga bibir dan hati sudah mula melupai “Allah, ya Allah, ya Allah, Subhanallah, Subhanallah”.


Bertahanlah…. bertahanlah… bertahanlah… Ibadat haji kita sebenarnya baru bermula di KLIA!


MENGHADAPI UJIAN


Daripada blog Prof, saya dapat tahu yang salah satu topik ceramah kegemaran Prof adalah “Menghadapi Ujian”. Anak sulung saya akan menghadapi peperiksaan SPM pada minggu hadapan. Saya igin tahu samada Prof ada last minute tips untuk anak-anak sebegini. Mungkin Prof ada website/facebook berkenaan dengan tips ini.


Betul juga…. SPM itu ujian! Jika ada yang bertanya soalan yang sama, maka inilah jawapan saya. Mudah-mudahan ada manfaatnya.


Salam sejahtera,


Ada.


Doa ibu bapa sangat mustajab.


Bangunlah pada 1/3 malam tersisa dan berdoalah sebagaimana hadis berikut,


Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya? (Terjemahan dari hadis sahih Bukhari dan Muslim)


Juga doa mereka yang berpuasa juga dimakbul Allah. Berpuasa sunat dan berdoalah untuk kejayaan anak-anak kita.


InsyaAllah, berdoalah untuk mereka mendapat yang terbaik di sisi Allah dan bukannya semata-mata 10 atau 11 A.


Kepada anak-anak yang akan menghadapi UJIAN SPM, kami doakan kejayaan yang cemerlang di sisi Allah SWT. Jangan lupa solat, berdoa dan minta pada ibu bapa, “mama, ayah, doakan saya. Moga Allah permudahkan saya”.


Saya ingat ia dakwah berkesan untuk ibu bapa sendiri!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 02, 2012 09:01

November 1, 2012

Teringat

Diam-diam saya selalu bertanya diri sendiri, “kenapa jadinya begitu?”


Misalnya saya berkata pada Roza, “tahun ini tiada bekas pelajar PhD saya yang bertanya khabar pada hari raya”.


Tiada seorang.


Mereka sibuk. Itulah alasan mudah.


Namun saya bertanya, “adakah saya bertanya khabar kepada guru sendiri?”


Tidak. Sudah lama saya tidak berhubung dengan Stuart, penyelia PhD yang sangat saya kasihi. Lalu cepat-cepat saya menghantar e-mel kepada beliau. Ia e-mel yang sangat ringkas,


Stuart,


Roza berkata kepada saya, “saya teringatkan Stuart dan Heather”. Lalu saya tidak boleh bertangguh lagi, saya hanya mahu bertanya, apa khabar?


Kamil


Sekejap sahaja saya menerima balasan,


Kamil, Betapa terujanya saya mendengar khabar. Saya selalu terkenangkan kamu berdua terutamanya layanan istimewa yang kami terima ketika di Malaysia.


Juga kenangan ketika kamu berdua melawat Bangor……


Saya telah dilantik sebagai Profesor di Universiti Sydney setelah bersara di UK. Ia untuk tempoh 3 tahun. Jemputlah datang ke sini…..


Saya terus menghubungi beliau kerana Roza menyebut ingatannya kepada Stuart dan Heather. Kenapa? Ia ada DI SINI


Namun itulah realiti perhubungan. Ia terasa jauh bila sudah lama tidak berkomunikasi.


Begitu jugalah dengan Dia yang Maha Berkuasa. Kita akan berjauhan jika tidak bersungguh berhubungan. Ia lebih berbekas bila kita bersusah payah keranaNya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 01, 2012 09:01

October 31, 2012

Zaman berlalu

Dulu, saya melihat pengurusan kanan UiTM sebagai insan luar biasa. Mereka kelihatan hebat ketika saya mendaftar diri sebagai pensyarah baru perakaunan.


Kemudian, saya juga mendaki tangga kerjaya yang telah mereka lalui. Malah merasai jawatan kanan sehingga sangat hampir dalam membuat keputusan dasar universiti.


Satu persatu mereka yang saya kenali pergi meninggalkan dunia ini. Terbaru, Prof Muhammad Muda bekas Pengarah UiTM Terengganu. Alfatihah.


Kini, baya saya juga sudah mulai beredar. Tiada yang kekal. Ramai yang mahu kekal berjawatan juga sukar mempertahankannya. Hukum alam begitu.


Pastinya, bila tidak berjawatan lagi maka selangkah lagi kita hampir dengan saat-saat kematian.


Semalam, saya mendapat khabar Dr Halim Kadri – bekas pelajar PhD saya – dilantik sebagai Timbalan Pengarah UiTM Johor. Ia tanda zaman saya telah berlalu. Generasi baru sudah ke hadapan.


Lalu saya ucapkan tahniah kepada Halim dengan satu pesanan,


Halim, sentiasalah solat malam.


Ketika saya jadi Pengarah, setiap Kali saya berdiri hendak solat berjemaah saya berdoa, ya Allah, terima kasih kerana menganugerah jawatan ini tetapi aku tidak pandai ya Allah.


Berikan daku ilham ya Allah. Mudahkan daku ya Allah.


Setiap waktu berdiri untuk memulakan solat, itulah bisikan hati….

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 31, 2012 11:34

Saya doakan bertemu di Jannah

Pertemuan di Meru



NotaMKI: Beliau pergi buat selama-lamanya. Di bawah, warkah yang telah diutuskan melalui FB beliau pada tahun 2010. Warkah ini disua kembali oleh isteri beliau setelah 2 tahun berlalu.

Warkah buat Prof MKI

Apa khabar prof? Masih ingat kami lagi? Dah lama saya tak menulis pada Prof. Saya hendak memanjatkan rasa syukur pada Allah kerana prof dan Kak Roza merupakan salah seorang insan yg dipilih Allah untuk mendorong saya lebih mendekatiNya.


April, 2009 saya diperkenalkan dengan buku “Travelog Haji Merentasi Sempadan Iman” oleh seorang sahabat, yang juga banyak membantu dalam usaha saya untuk mendekatkan diri dengan Allah. Saya tidak tahu sekiranya sempadan itu telah saya rentasi atau tidak walaubagaimanapun Jun,2009 dengan izin Allah saya dan isteri telah selamat mengerjakan umrah.


Sepulangan saya dari tanah suci, perasaan meluap2, dada berdebar2 , Kaabah masih terasa2 didepan mata.


Hari itu dalam sejarah, tanggal 6Julai2009 saya buka buku tabung haji dan terus daftar bermodalkan RM1800. Saya dimaklumkan oleh pegawai yg bertugas, “Encik punya giliran pada tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi”.


Kata-kata itu keluar seolah-olah tanpa perasaan, tapi saya yang mendengarnya terasa seperti ada kapalterbang terhempas di dalam kepala, sesak nafas dibuatnya. Tapi saya yakin, yang menentukan pergi atau tidak bukan pihak tabung haji tapi Allah. Saya tawakkal, jejak langkah prof saya ikut. Berpucuk surat rayuan saya tulis.


Ketetapan Allah tidak ada siapa yang dapat menghalang. Tanggal 20 August 2010, dalam perjalanan ke Melaka, saya diberitahu “Encik, alhamdulillah, tahniah, Encik suami isteri telah terpilih untuk mengerjakan Haji tahun ini 1431 Hijrah / 2010 Masihi”.


Airmata saya berjurai, tidak hirau saya pada kereta sebelah menyebelah. Siapa sangka, saya yang baru buka akaun tahun lepas berbekalkan duit RM1800 telah terpilih mengerjakan haji, malahan dibawah kelolaan muassasah pula.”Aja, kita terpilih untuk pergi Haji tahun ni…” tersekat suara saya dikerongkong. “Betul ke ni bang? Ya Allah, Alhamdulillah…” Isteri seperti tidak percaya.


Tangan saya terus mendial nombor sorang sahabat ni.” Din, aku dapat pergi Haji tahun ini, terima kasih banyak2, berkat doa ko, aku terpilih…”.


Suara tersekat, talian terputus seolah-olah memberi ruang kepada kami berdua untuk bertafakur dan bertahmid.Tak lama kemudian SMS berbunyi. Pesanan ringkas dari sahabat.. “Sukanya aku, menitik air mata aku. syukur alhamdulillah”.


Rupanya tuhan mahu menduga, pihak majikan tidak membenarkan saya pergi atas alasan makluman yang terlalu suntuk, kekurangan staff, pembukaan syarikat dan produksi baru.


Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami. Rayuan saya ke tabung haji untuk menunda ke tahun hadapan juga gagal. Saya pasrah, Allah yang memberi , Allah juga yang mengambilnya semula.


Sebelum surat penolakan saya serahkan, dengan kaki longlai, tersandar di dinding kaca tingkat 30 bangunan tabung Haji, tangan menekan nombor tel bimbit majikan.


Maha suci Allah, siapa sangka majikan Jepun yang tidak percayakan tuhan dan agama itu boleh berkata ” Saya tidak tahu bertapa pentingnya perjalanan haji ini kepada seorang muslim, saya bagi kebenaran tapi sebelum pergi, kamu kena pastikan semua kerja berjalan lancar”


…Labbaikallah, Labbaikallah, Labbaikallah…lidah saya kelu, hanya talbiah itu bergema di dalam hati. Hambamu datang Ya Allah, hambamu datang Ya Allah, air mata saya menitis, hilang malu pada pandangan orang lalu lalang.


“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan”, makna surah Ar-Rahman yang kerap prof ungkapkan dlm buku Travelog Haji terngiang-ngiang di telinga.


Di sini, saya ingin berkongsi kegembiraan ini bersama-sama prof, salah seorang insan yang Allah datangkan kepada saya bagi membuka mata hati yang telah lama tertutup dek karat dosa ini, supaya datang kepadanya, dan merasai sendiri dengan seluruh anggota badan ini betapa agung, besar dan mulianya Allah. Dan bertapa hinanya saya sebagai hambanya.


Ada sahabat mengatakan perjalanan haji saya mirip prof. Saya terpilih atas koata menteri. Seperti juga prof, bila ditanya, saya menjawab “Saya memang kenal menteri itu, tapi dia tidak kenal saya”. Saya juga tidak sempat mengikuti kursus bersiri dan intensif. Hanya berbekalkan pembacaan sendiri dan ilmu yang diajar oleh ayah, ibu dan sahabat2 yang pernah ke sana.


Dan saya juga bakal masuk ke Mekah dahulu. Dan saya pergi dengan pakej muassasah. Saya malu disamakan begitu, prof telah pergi jauh meninggalkan saya, dimana saya masih merangkak mendekati Allah.


Tapi percayalah, tidak ada perkara yang berlaku secara kebetulan, semuanya atas ketentuan Allah dan hanya Dia yang tahu hikmah disebaliknya.


Cuma yang saya tahu, setiap rentetan peristiwa di dalam Travelog Haji, saya hayati betul betul, dan kami suami isteri amat amat mendambakan agar terpilih sebagai tetamuNya yang paling paling paling istimewa. Insya Allah.


Perjalanan haji kami masih jauh, apa2 pun boleh berlaku, doakan agar kami diberi kelapangan masa yang secukupnya, dipermudahkan urusan haji dan dikurniakan haji yang mabrur.


Wassalam

Muzaffar Bin Hj Adnan

Nor Hafizah Binti Hj Mohd Nor

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 31, 2012 00:12

October 29, 2012

Kata Pengantar Anekdot Madinah



NotaMKI: Terima kasih kepada mereka yang telah memberi pandangan dan melakukan pembetulan. InsyaAllah dalam teks akhir akan diambil maklum.


Madinah seperti Makkah, tidak pernah tidur. Negeri yang digemari Allah SWT dan Rasul-Nya ini sentiasa hidup.


Makkah dan Madinah bukan sahaja menjadi tumpuan ketika musim haji, tetapi juga waktu lain ketika umat Islam dari seluruh dunia bertumpu ke tanah haram itu untuk mengerjakan umrah.


Meskipun pahala solat di Masjid Nabawi, Madinah tidaklah sebanyak pahala ketika mengerjakan solat di Masjdilharam, Makkah, namun pahala yang diperoleh di Masjid Nabawi tidaklah kurang hebatnya.


Jika di Masjidilharam pahalanya ialah seratus ribu kali, namun di Masjid Nabawi pahalanya ialah seribu kali. Maksudnya, satu solat di Masjidil Haram sama dengan solat selama 55 tahun, enam bulan dan 20 hari berbanding dengan di masjid lain. Manakala riwayat menyatakan bahawa solat di Masjid Nabawi pula seperti seribu kali solat di masjid lain. Jika dihitung, maksudnya sekali solat di dalamnya melebihi enam bulan solat di masjid lain. Ibnu Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW, beliau bersabda, ”Solat di masjid ku ini lebih utama daripada seribu kali solat di masjid lain, kecuali Masjidil Haram.”


Bagi saya yang mengerjakan umrah pada awal bulan Mei 2012, selain kehebatan tersebut, terdapat banyak lagi kehebatan lain yang terdapat di Madinah yang hanya mampu dirasai jika kita benar-benar menghayati degup jantung dan getar rasa kota itu dengan kalbu. Tidak hairanlah penulis buku ini, Profesor MKI mengambil keputusan untuk berhijrah dan menetap di kota ini.


Sejak urusan memohon pencen awal lagi beliau berdepan dengan pelbagai dugaan. Bagi memungkinkan segalanya berjalan dengan lancar, hampir setiap malam beliau merayu dan memohon kepada-Nya agar segala urusan berkaitan dipermudah, dipercepat dan disudahi dalam keberkatan dan kerahmatan-Nya. Malah air mata sentiasa mengalir memohon keampunan Allah agar hijrah berkenaan menjadi hijrah yang diterima-Nya.


Keputusan berpindah ke tempat lain yang serba asing bukannya mudah. Kita bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan cuaca, budaya dan amalan hidup yang jauh berbeza, tetapi juga perlu mendapatkan kalangan teman dan jiran yang serba baharu. Namun, penghijrahan dan keputusan nekad yang diambil oleh penulis adalah istimewa. Beliau sanggup pencen awal dengan jawatan dan gaji yang lumayan, serta keselesaan di tanah air.


Beliau, isteri dan anak-anak sanggup berkorban dan melepaskan segalanya di tanah air kerana yakin bahawa Allah SWT mempunyai perancangan yang jauh lebih hebat yang sukar diramalkan oleh manusia kerdil. Ternyata, segala pengorbanan dan cabaran yang diharunginya, berakhir dengan kemanisan dan kenikmatan.


Bukan sahaja beliau dan keluarga dapat menambahkan pengalaman, tetapi yang jauh lebih penting ialah mendekatkan diri kepada-Nya dengan berusaha untuk menambahkan ilmu keagamaan, mempelajari al-Quran dan bahasa Arab. Tidak banyak yang bersedia untuk melakukan pengorbanan sedemikian dan memulakan kehidupan baharu di tempat asing.


Penulis berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan pada hari-hari dan minggu-minggu awal beliau di Madinah. Beliau tidak menganggap itu sebagai masalah. Dengan ketakwaan, kesabaran dan sifat tawaduk, beliau menyerahkan dirinya kepada Allah SWT. Baginda SAW pernah berpesan, yang bermaksud, “Sesiapa yang bersabar dengan kesukaran tinggal di Madinah, maka aku akan memberi syafaat dan menjadi saksi kepadanya pada hari kiamat”.


Prinsip inilah yang dipegang kukuh oleh penulis. Ketika menghadapi ujian, beliau sentiasa sabar dan solat. Hakikat ini berkait rapat dengan tujuan utama beliau, isteri dan dua orang anaknya datang ke Madinah, iaitu semata-mata kerana Allah. Faktor kesabaran inilah yang menjadi tonggak kehidupan mereka di Madinah melalui pendekatan yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan cara bersolat, bangun malam dan bermunajat.


Beliau mengadu kepada Allah agar setiap ujian boleh dilepasi dengan bantuanNya, kerana beliau percaya Allah SWT sentiasa mendengar. Berdasarkan keyakinan dan kepercayaan bahawa Allah mendengar, maka beliau tidak putus-putus berdoa. Doanya sering kali berjawab. Cabaran yang dihadapi sering kali berjaya diatasi, tentu dengan bantuan dan pertolongan-Nya.


Memperkata tentang kehebatan Makkah dan Madinah tidak akan pernah habis. Mereka yang pernah menjejakkan kaki di bumi Allah itu pasti berasa rindu untuk kembali. Dalam buku ini, penulis memilih anekdot-anekdot menarik yang dilaluinya dari detik, hari dan minggu-minggu awal berada di Madinah.


Apa yang kelihatan biasa di tanah air, tidak sama dengan pengalaman yang dilalui di Madinah. Bagaimanakah pengalaman beliau ketika mula-mula menjejakkan kami di lapangan Terbang Antarabangsa Madinah, universiti, membuka akaun bank, melalui ujian memandu kereta, membeli kereta, memohon tempat khas parkir kereta di Masjid Nabawi, menyaksikan hukuman qisas dilaksanakan, solat jenazah di Masjid Nabawi, berpuasa, berada di Raudhah dan sebagainya? Berapakah pendapatan yang diperolehnya? Berbaloikah meletakkan jawatan untuk menjadi pensyarah di tempat baharu? Berapakah harga kereta, sewa rumah dan sebagainya?


Bagi saya, buku ini menarik bukan sahaja kerana penulisnya bijak memilih episod dan peristiwa penting yang dilaluinya, tetapi anekdot berkenaan disampaikan dengan cara terus terang dan ikhlas dengan teknik penyampaian yang menarik. Beliau bagai berbicara secara langsung dengan khalayaknya dengan bahasa mudah sehingga anekdot berkenaan mampu mencengkam pembaca.


Saya membaca buku ini dari perkataan, ayat dan perenggan pertama tanpa mahu menamatkannya. Saya membaca terus-menerus selama sekitar tiga jam. Bagai besi berani, Prof. MKI mencengkam minda dan jiwa saya sehingga saya sama sekali tidak mahu berhenti membacanya.


Bagai membaca sebuah novel yang memaparkan kisah menakjubkan bersalutkan mesej ketuhanan dan kebesaran Ilahi, struktur binaan karya ini diadukan dengan teknik pengisahan dan dialog yang penuh dengan unsur saspens dan dramatik.


Turut diterapkan ialah teknik imbas kembali sehingga di perenggan dan bab tertentu diselitkan peristiwa silam, terutama dalam kaitan dengan perkembangan beliau pada hari ini, dan sebagai perbandingan apa-apa yang dilaluinya kini. Dengan itu, anekdot dalam buku ini mampu memperkaya pengalaman kerohanian dan menyedarkan kita tentang kebesaran-Nya.


Bukan sahaja pengalaman yang dipaparkan menarik, tetapi detik yang dilaluinya kadangkala begitu dramatik dan mendebarkan. Disebabkan beliau berbicara dari lubuk hatinya secara terbuka, dengan menyedari kebesaran-Nya, maka setiap kali beliau berbicara dan berdoa, sandarannya adalah kepada ungkapan dan kepercayaan, Benar, Dia Maha Mendengar. Sesungguhnya, buku ini perlu dibaca oleh setiap mereka yang hendak tahu tentang kehidupan di Madinah, dan mereka yang mahu menunaikan umrah dan haji.


Saya percaya, buku ini bukan sahaja dapat memberi kita perspektif dan pengalaman lain tentang Madinah, serta cebisan kehidupannya yang penuh dengan kisah human interest yang menarik, tetapi mampu membuka mata hati dan menggetarkan emosi dan kalbu kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Singkatnya, buku ini diadunkan dengan ramuan atau resepi penulisan yang sesuai sehingga enak dibaca, sarat dengan peristiwa dan anekdot menarik yang sering dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT.


Bagi khalayak pembaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok, 50 Tip Motivasi Haji dan Bersyukur Saat Diuji atau pembaca blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan dan Hidup itu Indah atau penonton rancangan TV3, TV9 dan ASTRO, Prof MKI tentu bukan asing lagi. Malah, beliau dapat dianggap selebriti dan tokoh penting dan berpengaruh sejauh yang berkaitan dengan persoalan keagamaan di Malaysia ketika ini.


Dengan hidayat-Nya, penulis menggunakan bakat, pengalaman, kemahiran dan anugerah Allah SWT untuk mengongsikan pengalaman dan pengetahuannya dalam buku ini. Anekdot yang dipaparkan dihasilkan berdasarkan pengalaman peribadi, pemerhatian dan pengamatan beliau sepanjang berada di Madinah.


Namun, berbeza daripada buku lain di pasaran baik yang dijual di negara ini mahupun yang terdapat di Arab Saudi, buku ini cuba masuk ke dalam jantung Madinah dari sudut pandangan orang luar. Jadi, perspektif yang diberi oleh penulis adalah berbeza daripada perspektif orang dalam atau penduduk tempatan.


Melalui ketajaman pemerhatian dan kepekaannya, Prof. MKI mengadunkan pengalaman seharian dan cebisan kehidupan yang dilaluinya dengan adunan pengisahan dan pencerekaan yang memiliki keunikan dan kekuatan yang tersendiri. Kisah-kisah yang dipaparkan itu diselitkan dengan hadis dan ayat-ayat al-Quran yang relevan sehingga pembaca tidak sekadar memperkaya pengalaman, tetapi daripada pembacaan itu, kalbu mereka akan terusik.


Atas keyakinan bahawa Allah itu Maha mendengar doa dan sesuatu yang dilafazkan serta bisikan kalbu dan hati nurani yang ikhlas, serta sesuatu yang terlintas di sanubari, maka beliau sentiasa mengabdikan dan mewakafkan dirinya kepada Allah SWT. Beliau sentiasa sujud dan memohon keampunan atas segala macam kesombongan dan kelalaian diri. Doa menjadi amalan harian beliau.


Anekdot Madinah: Benar Dia Mendengar menghidangkan kepada kita kisah yang kelihatan biasa, tetapi signifikan. Anekdot Madinah itu merupakan pengalaman berharga yang dikongsikan oleh penulisnya. Pengalaman dan anekdot itu saya percaya dapat dijadikan panduan dan iktibar kepada kita ketika berada di Madinah dan juga ketika menjalani kehidupan seharian.


Pengalaman hidup di Madinah merupakan pengalaman yang menarik bagi penulis. Tidak ramai yang diberi peluang dan kesempatan untuk menjadi ahli Madinah. Sesuai dengan hakikat perbezaan budaya, sudah pasti, banyak yang dianggap pelik dan aneh, jika kita menggunakan ukuran budaya dan amalan di negara kita. Bagi beliau, ini bukan soal benar ataupun salah, baik atau buruk, tetapi semata-mata pelik pada pandangan mata.


Sebaliknya, ia merupakan amalan berbeza antara dua kawasan yang berbeza, perbandingan antara tinggal di Malaysia dan Arab Saudi dengan sejarah, penduduk dan budaya yang berbeza. Misalnya, cabaran awal ialah beliau tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Arab, manakala hampir kesemua pegawai universiti tidak mampu bertutur atau memahami bahasa Inggeris.


Kata orang, lain padang lain belalang. Maka, kita dianjurkan apabila masuk ke kandang kambing kita perlu mengembek, masuk ke kandang kerbau kita perlu menguak. Di mana bumi dipijak di situlah langit di junjung. Maksudnya, kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan di tempat asing, bukannya merungut dan asyik mengatakan bahawa semuanya tidak betul dan tidak baik. Inilah yang dialami dan dilakukan oleh penulis ketika berada di Madinah, membabitkan urusan melapor diri, membuka akaun bank dan sebagainya.


Berkat kesabaran dan doa, Insya-Allah ada sesuatu yang akan berlaku kerana ia benar-benar dengan izin Allah. Hidup bagi beliau sepatutnya tenang dan damai. Akhirnya, beliau percaya dengan pendekatan itu, banyak isu selesai secara semula jadi.


Mereka yang berada di Madinah, baik kerana hendak mengerjakan haji atau umrah, perlu memanfaatkan sebaik-baiknya masa ketika di kota Baginda itu. Memasuki Raudhah di Masjid Nabawi memang besar ujiannya kerana kawasan kecil itu kelihatan sentiasa penuh dengan manusia yang ingin mengabdikan diri kepada-Nya Hakikatnya, Raudhah sentiasa berada dalam jangkauan.


Dari segi sejarah, Nabi Muhammad SAW menjejakkan kaki di madinah, baginda terus mendirikan sebuah masjid yang kini dikenali sebagai Masjid Nabawi. Masjid ini didirikan selepas baginda bersama sahabat membina masjid Quba. Masjid ini pernah menyaksikan pelbagai kejadian penting yang mengubah perjalanan sejarah dunia.


Masjid itu juga pernah berperanan sebagai pusat pemerintahan dan tempat pertemuan majlis al-syura dalam kalangan para sahabat. Peluasannya telah banyak kali dilakukan, yang meliputi kamar dan pemakamam Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar al-Shiddiq dan Umar bin Khattab. Itulah sebabnya, masjid itu dan Madinah pada amnya mempunyai erti dan makna tersendiri kepada umat Islam yang bertakwa.


Penulis mengakui bahawa rutin harian di kota Madinah banyak berkisar dengan niat kehadiran mereka di bumi yang penuh barakah itu. Sewajarnyalah, rutin dan aktiviti harian bertumpu kepada Masjid Nabawi, termasuk solat lima waktu berjemaah jika tidak membabitkan kerja-kerja hakiki di universiti sebagai seorang profesor. Apatah lagi rumah mereka di kaki Jabal Ohud hanya sekitar10 minit perjalanan berkereta ke masjid.


Berpuasa sunat di Madinah sangat istimewa sebagai cara untuk mengasuh diri supaya dapat berpuasa – tahap tiga – sebagaimana yang disarankan oleh Imam Ghazali, puasa semata-mata kerana Allah. Berpuasa di Madinah atau Mekah ketika menunaikan ibadat haji dan umrah nyata berbeza. Di sini mengikut penulis, kehidupan harian dipenuhi dengan amal ibadat. “Bibir dan hati basah dengan berzikir dan menyebut nama Allah.


Malah kita sentiasa memohon keampunan Allah. Itulah amalan berpuasa yang sebaik-baiknya. Sehinggakan kita langsung tidak memikirkan juadah berbuka puasa kerana bersedia untuk berbuka di masjid Nabawi. Ramai – penduduk Madinah – membuka saprah, menghidangkan kurma (kebanyakannya jenis rottab), roti, air zam-zam, laban, Qahwah (kopi Arab) dan teh. Mereka percaya memberi makan kepada yang berbuka puasa tinggi ganjarannya.” Bagaimanakah pengalaman penulis membuka saprah di Masjid Nabawi?


Bagi mereka yang pernah ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi, boleh dikatakan hampir setiap waktu solat jenazah diadakan, menandakan setiap waktu, pagi, tengah hari, petang, dan malam, sentiasa ada orang yang meninggal dunia. Kematian adalah sesuatu yang pasti, dan setiap kematian itu sepatutnya memberi kesedaran kepada kita tentang hakikat kehidupan bahawa suatu hari kita juga akan mati.


Tetapi, berapa orangkah yang mengambil kesempatan melakukan sembahyang jenazah dan mengusung jenazah ketika di Makkah dan Madinah? Jika ada kesempatan, mengapa tidak cuba mengusung jenazah ke arah perkuburan Baqi’ di luar Masjid Nabawi, tempat 10,000 sahabat dimakamkan, termasuklah isteri Nabi Muhammad, kecuali Maimunah dan Khadijah, dan anak-anak baginda.


Dalam buku ini penulis turut memaparkan tentang hasratnya membina masjid dan bagaimana akhirnya hasrat itu menjadi realiti. Namun, beliau mahu membina masjid berdasarkan taqwa, tiada tiang-tiang yang banyak dan di tempat yang mereka tidak mampu untuk melakukannya. Beliau berdoa dan berharap semoga Allah memberi ilham bagaimana orang yang tidak bertaraf jutawan seperti beliau mahu mendirikan masjid.


Akhirnya, hati beliau digerakkan untuk mengajak khalayak pembaca blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan (KRTS) bersama-sama untuk merealisasikan impian berkenaan. Kini, masjid di Somalia itu hampir siap. Kita doakan usaha Prof MKI tidak berakhir di sini. Kita doakan agar lebih banyak masjid lain di negara lain yang memerlukannya dapat dibina oleh beliau dengan sokongan umat Islam di negara ini.


Buku ini bukanlah buku biasa mengenai Islam atau catatan biasa tentang pengalaman harian di kota Madinah. Ini merupakan sebuah buku yang ditulis berdasarkan kesedaran diri tentang kebesaran Allah SWT, dan kebesaran itulah yang membuka pintu hati penulis untuk mengongsikan pengalaman hidupnya supaya pembaca sentiasa berdoa, sabar, tawakal dan tawaduk, serta berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.


Buku ini memberi pengalaman intelektual dan tafakur kepada pembaca. Buku ini merupakan satu pengembaraan kerohanian penulis yang serba mencabar, tetapi dengan keyakinan akan pentingnya doa, sabar dan usaha mewakafkan dan mengabdikan diri kepada-Nya, penulis percaya Insya-Allah, Allah akan memberi ganjaran yang sewajarnya.


Buku motivasi keagamaan ini saya percaya mampu membawa pembaca menyedari kekerdilan dan kelemahan diri, dan seterusnya berusaha mentransformasi diri untuk lebih banyak mendekatkan diri kepada-Nya ketika kesempatan masih ada sebelum dipanggil ke terminal abadi.


Dr Jeniri Amir

Universiti Malaysia Sarawak

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 29, 2012 09:05

October 28, 2012

Kubah Hijau

Bergambar di bahagian hadapan Masjid Nabawi


Semalam sesi bergambar di hadapan masjid Nabawi.


Jika benar, rencana ini akan disiarkan melalui akhbar KOSMO pada 15 November.


Inilah suasana 10-15 minit sebelum azan Zuhur. Ketika ini tiada peraturan ketat dikenakan. Masuklah mengikut mana-mana pintu yang terbuka.


Namun tidak sedikit yang tidak berminat untuk masuk ke dalam masjid. Mereka lebih suka menikmati angin luar masjid terutamanya di bahagian hadapan sebelah kanan (mengadap kiblat).


Namun suasana ini hanya tinggal beberapa hari lagi. Rombongan pertama dari Mekah akan segera tiba. Senarai tetamu yang sudah berhubung untuk bertamu ke rumah kami juga sangat panjang.


Yalah… ibadat haji sudah selesai!


Isunya, bagaimana mahu menghadapi pasca haji?


Petikan Artikel 29 November 2010


Selamat kembali.


“Prof, saya rindukan Kaabah,” kata-kata dan SMS yang diterima. Rakan-rakan baru pulang daripada Mekah dan Madinah bercerita dan melahirkan rasa teruja di atas pengalaman yang baru mereka lalui. Bahasa mudah, di sana mereka telah berjumpa dengan kekasih hati dan percintaan tersebut sangat berbekas di hati.


Ia percintaan yang berlangsung hampir dua bulan dalam kebanyakan kes.


Kemudian berpisah. Rindu dendam membara. Maka tidak hairanlah jika ungkapan-ungkapan yang dikemukakan berkait rapat dengan rasa cinta semasa di sana dan bersambung dengan rasa rindu akibat perpisahan tersebut.


Rindukan Kaabah, suasananya dan rutin kehidupan di sana selalu dinyatakan. Alangkah kejamnya saya jika saya terus memotong cakap dan berkata, “itu adalah nolstagia, mari kita menghadapi realiti sebenar kehidupan…”. Bahasa anak-anak muda, “potong stim”.


Mari kita sama-sama fikirkan bagaimana mahu mengubat rasa rindu tersebut. Biar kita menangis mengingati rasa cinta tersebut dan berterusan merasainya sehingga ke akhir hayat. Perjalanan yang masih berbaki inilah yang perlu kita tempuhi agar menjaga istilah “sesuci bayi” hasil ibadat yang telah kita lalui dengan jayanya.


Perspektif yang utama, adakah kita merindui kaabah atau merindui kekasih hati yang hakiki? Kalau kita rindukan Kaabah, kumpullah wang dan tunaikanlah umrah. InsyaAllah, 3-4 kali setahun kita boleh melakukannya. Inilah yang dilakukan oleh majoriti rakan-rakan.


Namun saya percaya, rindu-dendam itu tidak akan terubat sepenuhnya kerana suasana dan keadaannya pasti berubah. Pertemuan pertama sentiasa tidak akan sama dengan pertemuan seterusnya.


Jika kita merindui Allah, kunjungilah masjid-masjid untuk solat berjemaah lima waktu sehari kerana itulah yang kita pelajari semasa 40 hari di Masjidil Haram. Tidak perlu kos yang besar. Cukup dengan kelapangan waktu, sedikit kos minyak kereta atau motosikal atau keletihan berjalan kaki.


Rindu-dendam inilah yang mahu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.


Lalu saya memberikan sedikit tips, “bertahanlah, bertahanlah, bertahanlah”.


Lepasilah minggu pertama selepas kembali dengan meneruskan amalan-amalan yang telah dilakukan secara berterusan semasa di Mekah dan Madinah. Jaga solat lima waktu berjemaah di Malaysia. Jangan pula solat subuh pertama sudah terbabas. Itukah kerinduan yang mahu diucapkan?


Inilah minggu yang paling getir mencabar nilai sebenar di antara mereka yang mendapat keistimewaan atau tidak daripada perlaksanaan haji mereka. Kemudian, cuba pula minggu kedua, ketiga dan keempat sehinggalah genap-genap atau seiras dengan tempoh menunaikan fardhu haji.


Masih lagi rasa rindu?


Jika ya, teruskanlah amalan ini sehingga mata dikatop.


Cinta memerlukan pengorbanan. Ibadat haji mengajar kita tentang erti pengorbanan. Pengorbanan melawan hawa nafsu. Cinta bukan hanya di bibir. Ia wajib ke hati. Mudah-mudahan Allah memberi keampunan kepada saya dan keluarga di dalam menyampaikan catatan ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 28, 2012 10:26

October 27, 2012

Adab

Beradab bersifat relatif.


Ia tidak beradab di sana tetapi OK di sini.


Ada orang sangat beradab bila membuat kritikan. Misalnya – terbaru – ada yang menghantar e-mel dan berkata, “saya melihat Prof membuat kenyataan yang tidak konsisten tentang Rindu Madinah. Saya terfikir dan tidak dapat mencari jawapan. Boleh prof jelaskan”.


Saya kagum dengan gaya bahasa dan ia memudahkan saya membuat penjelasan.


Pada sisi yang lain mungkin ada juga yang menyebut, “saya menyampah dengan kenyataan Prof yang tidak konsisten”.


Jika dibuang perkataan menyampah dan diganti dengan “tidak dapat mencari jawapan” ia terus bertukar nada.


Dua isu yang sama tetapi berbeza adab.


Adab ini bergantung kepada banyak faktor. Namun ia menjadi sulit apabila ia timbul kerana faktor emosi. Saya juga tidak terkecuali.


Ada masanya kita jadi tidak beradab berpandukan maklumat yang tidak lengkap. Juga, saya tidak terkecuali.


Kadangkala kita jadi tidak beradab kerana kebodohan sendiri. Saya sering begitu!


Begitulah manusia sering terkhilaf namun menyedari akan kesilapan, memohon maaf dan bersungguh tidak mahu mengulanginya menjadikan orang itu kembali beradab.


Jika tidak, kita mungkin kekal tidak beradab.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 27, 2012 12:02

October 26, 2012

Tidur

Saya anggap tidur merupakan salah satu ujian terbesar manusia.


Tidur juga bersifat pelik. Tidur sedikit boleh menyebabkan pening kepala. Terlebih tidur juga boleh menyebabkan rasa yang sama.


Namun bagi sesetengah orang, lebih baik tidur banyak daripada tidur sedikit.


Dikatakan juga tidur boleh memberi kesan kepada emosi. Bos berang kerana kurang tidur. Anak menangis kerana tidak cukup tidur. Malah penyakit kronik yang melanda tubuh dikaitkan dengan tidur yang tidak cukup. Lalu stress!


Maka tidur perlu dijaga.


Saya pulang dari Cairo pada awal pagi Khamis. Kemudian berpuasa sunat. Besoknya – hari raya – saya dan Amirul bertolak ke masjid Nabawi jam 3.00 pagi.


Subhanallah, kereta kami sudah dihalang untuk memasuki parkir yang sudah dibayar untuk setahun. Di bahu jalan sudah banyak kenderaan yang ada.


“OKlah Amirul, kita solat subuh dan hari raya di masjid Qiblatain,” saya memberi saranan.


“Tahun hadapan kita kena datang awal lagi ayah”.


Lalu kami beredar. Di sepanjang jalan sudah ada kereta yang parking untuk ke masjid Nabawi. Terlintas di hati, “mereka berjalan sejauh ini, kenapa tidak aku?”. Saya terus memberhentikan kereta dan parking di hujung sekali.


Lalu saya dan Amirul berjalan. Jaraknya hampir 15 minit. 30 minit pergi dan balik.


Bila pulang, sepanjang hari langsung tidak dapat melelapkan mata kerana meraikan tetamu. Tambah-tambah lagi perlu bersolat di masjid. Lalu ia jadi penghalang mata. Mengantuk tetapi bila sampai waktunya harus ke masjid.


Ringkaskan cerita, akibat keletihan saya tidur di sekitar 9.30 malam. Terjaga jam 12.30 malam. Saya lihat jam dan memilih untuk menyambung tidur. Tup…. saya tersedar jam 4.00 pagi.


Bermakna saya tidur hampir tujuh jam. Namun – secara hakikatnya – Allah telah memberi signal setelah 3 jam tidur iaitu jumlah tidur kebiasaan di malam hari. Saya boleh melihat jam dan memilih untuk menyambung tidur.


Kesannya ia terlajak sehingga jam 4.00 pagi.


Allahu Akbar. Ujian tidur sangat menarik untuk difikirkan. Kegagalan solat subuh sering disebabkan oleh tidur. Tidak pada solat lain. Gagal untuk solat subuh berjemaah di masjid kerana tidur. Ramai yang terjaga selepas jemaah pulang ke rumah.


Ia akan terus begitu jika tidur menjadi raja. Hakikatnya biarlah kita menjadi Raja dan tidur itu menjadi hamba. Hamba tidak boleh menderhaka kepada raja.


Allahu Akbar.


Era dan Taib

Era melayani anak-anak


Mereka masih muda.


Ketika mereka sampai di rumah kami di Jabal Uhud, saya memerhatikan dengan tekun. Taib keluar dan mendukung anaknya. Kemudian Era mengawasi anak-anak yang keluar dari kereta besar mereka. Satu… satu… satu… belum habis-habis lagi.


Hati saya berdetak. Ramainya anak-anak mereka. Ia barisan tentera kecil.


“Kakak tidur?,” saya bertanya Taib. Belum sempat beliau memberi jawapan saya terus berkata, “Oh.. kakak anak istimewa. Boleh dukung menaiki tangga atau mahu menggunakan lif? Rumah kami di tingkat satu”.


“Ini semua anak Era,” Roza bertanya dengan wajah serius. Era ketawa dengan wajah kemerahan.


“Kenapa kakak? Semuanya anak Era…”


“Alhamdulillahlah Era, tidak ramai orang muda sekarag mahukan anak yang ramai”.


“Soalan Kak Roza ini berlainan sedikit. Orang selalu bertanya saya, anak berapa? Tetapi kak Roza bertanya direct, Kenapa?”


Lalu saya memberi jawapan, “takut-takut sebahagian daripada anak-anak ini kepunyaan isteri yang satu lagi… kira Era hebatlah kalau begitu”.


Era tersenyum sambil memandang suaminya.


Allah ya Allah, pada wajah mereka ada keistimewaan yag luar biasa. Membesarkan anak istimewa dan anak-anak yang lain merupakan ujian besar daripada Allah SWT.


Kesemua mereka sangat ceria. Mudah bahasa, sangat tenang.


Kami mendoakan mereka sekeluarga akan bertemu kembali di Jannah dalam keadaan yang jauh lebih ceria daripada pertemuan semalam.


Dan kami ingin bersama mereka!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 26, 2012 21:13

October 25, 2012

Catatan di FB: Solat subuh di Cairo

Di kejar anjing di Cairo. Ia kenangan yang tidak dapat dilupakan. Semalam, berbuka puasa si Masjid Nabawi. Hari Wuquf.


Cabaran solat subuh di sini.


Saya dan Amirul melalui kawasan yang dipenuhi dengan anjing. Hari pertama, anjing menyalak kuat, Amirul lari dan dikejarnya.


Saya menjerit, jangan lari… berhenti… berhenti!


Manakan boleh otak berfikir ketika dalam ketakutan. Alhamdullah muncul orang Mesir datang menyelamat. Balik, separuh jalan naik kereta kuda.


Hari kedua, saya mengajar tentang kebergantungan kepada Allah. Minta Allah lindungi dengan berdoa. Kita tidak boleh mengalah dengan anjing kerana solat subuh.


Kami jalan berpimpinan tangan dan membaca ayat Kursi sedikit kuat. Saya mahu Amirul bersemangat. Anjing-anjing semua tunduk ke bumi.


Hari ketiga, Amirul kelihatan yakin. Kami berjalan sambil membaca ayat Kursi…. Anjing menyalak dan menuju ke arah kami. Makin kuat Amirul membaca ayat Kursi dan saya terasa tangannya semakin erat menggenggam.


Sesak nafasnya. Saya juga berdebar kencang. Namun saya tahu kami tidak akan diapa-apanya.


Alhamdulillah… kami melalui jalan ke masjid pergi dan balik tanpa miss solat subuh berjemaah. Ia satu kemenangan buat Amirul.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 25, 2012 10:55

October 24, 2012

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Kami selamat mendarat di Madinah di sekitar 12 malam. Namun hanya dapat beredar ke rumah bila jarum jam hampir 1 pagi. Alhamdulillah, rumah kami hanya 10 minit perjalananan.


Besok hari raya. Kami mohon maaf jika ada tersalah dan tersilap terutamanya semasa menulis di sini. Semoga hari yang penuh makna ini memberi peluang untuk kita merenung kembali apa yang kita kehendaki di dalam menghabiskan sisa kehidupan.


Allahu Akbar.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 24, 2012 19:50

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.