Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 4

October 15, 2012

Haram

Faris, tuan rumah kami muncul di rumah.


Beliau tidak tahu berbahasa Inggeris dan saya pula tidak pandai berbahasa Arab. Apa yang saya ketahui tidak memadai untuk menyelesaikan masalah.


Beliau kelihatan serius. Akhirnya saya memohon bantuan Uzair, pelajar universiti Islam Madinah.


Ceritanya mudah. Dua minggu lepas saya membayar sewa rumah. Saya sudah sediakan SR20000. Lalu saya serahkan jumlah tersebut kepada beliau.


Beliau mengira dengan pantas. 39 keping not SR500. Tidak cukup SR500. Lalu saya bergegas mengambil bakinya. Habis cerita.


Hari ini beliau memberitahu yang bila pulang ke rumah dikira semula wang tersebut. Ia jadi 41 keping. Maknanya saya terlebih bayar. Itu sahaja yag mahu dijelaskan sejelas-jelasnya kepada saya.


Haram…. jika saya ambil wang ini. Itulah kata penutup yang tidak perlu diterjemahkan.


Ceramah di Cairo


1. Pada 20.10.2012, Sabtu jam 8 malam di Rumah Wilayah Persekutuan, Hayyu Sabiek.


2. Pada 21@22.10.2012, di Rumah Negeri Selangor, Hayyu Asyir. (masa dan tarikh akan dimuktamadkan tidak lama lagi).

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 15, 2012 11:33

October 14, 2012

Ujian

Ada satu soalan atau kenyataan menarik yang ditujukan kepada saya, “kehidupan prof seolah-olah tiada masalah, bagaimana ya?”


Salah.


Kehidupan saya sentiasa bermasalah. Ujian duka hadir setiap hari kalau pun tidak setiap saat. Ujian suka juga silih berganti. Namun tulisan di blog selalu nampak gembira.


Agak saya itulah yang dinamakan Bersyukur Saat Diuji.


Satu misal yang menarik. Masjid KRTS dirancang bertiga. Kini kami tinggal berdua. Ia perjalanan sukar. Namun ia tidak pernah diceritakan kerana saya anggap ia ujian dalam melakukan sesuatu kerja kebajikan.


Namun ada ujian berdebar yang seronok dicerita. Saya diamkan kerana belum sampai masanya. Ketika itu saya bercuti di Malaysia. Saya mendapat SMS daripada Waled, “Dr kami perlukan USD50,000 untuk pastikan masjid dibuat tanpa tergendala selama sebulan”.


“Saya di Malaysia. Bagaimana saya mahu serahkan wang tersebut?”


“Saya ada kawan Somalia di UIA….. Dr boleh serahkan kepada beliau dan dia akan hantar ke Somalia”


Saya berada di Kuantan. Wang yang mahu diserah berjumlah RM200 000. Allah ya Allah.


Saya juga tidak mahu menyusahkan Waled. Lalu saya bank-in jumlah tersebut kepada adik yang tinggal di Kuala Lumpur dengan pesan, “telefon nama ini…. XYZ dan serahkan RM2000000″


Besoknya saya mendapat SMS, “Abe duit dah bagi….”


“Tengok muka, boleh percaya Pu?” itulah pertanyaan spontan.


“Boleh…” lalu disertakan gambar yang diambil semasa mereka bertemu.


Itu berdebar menyerahkan wang. Bagaimana pula dengan rasa gelodak di hati berkira-kira samada ia sampai atau tidak ke Somalia. Lalu ubatnya sangat mudah, “sabar dan solat”.


24 jam kemudian saya sudah mendapat SMS, “kami sudah terima wang sebanyak……” daripada Waled di Somalia.


MasyaAllah…. bila dilapor bangunan yang sudah berdiri tegak! Kisah debaran ditinggalkan, Akhirnya saya hanya memohon agar khalayak mendoakan agar projek ini dapat disempurnakan.


Tidak usahlah bertanya, “mana laporan masjid… dah lama tak ada khabar berita”. Bahasanya sedap. Itu juga ujian yang sekali-sekala saya terima.


Lalu saya menjawab, bacalah laporan terakhir… google Masjid KRTS. Kalau ada-adalah… kalau tak ada, saya pun serupa dengan tuan tidak ada khabar berita”


Waled juga berdebar. Setiap orang berdebar. Saya dapat merasainya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 14, 2012 13:02

October 13, 2012

Saprah KRTS

Berkemas selepas berbuka di Tiang Malaysia



Ramai khalayak KRTS menyumbang membiayai majlis berbuka puasa Isnin – Khamis serta puasa 13, 14, 15 hijrah pada setiap bulan.

Kini, sumbangan ini disalurkan kepada 3 saprah utama yang dikendalikan di tiang Malaysia. Saya gembira melihat buah tamar yang dihidangkan gemuk-gemuk sekali.


Anak-anak muda ini juga menyediakan teh dan pudina sebagai air minuman. Ia nampak mudah tetapi hanya mereka yang benar-benar terpilih mampu mengendalikan saprah ini secara konsisten.


Kedua, saprah dikendalikan oleh Sheikh Ridzuan di suatu penjuru ruang tengah Masjid Nabawi. Beliau memberi makan tamar, teh dan roti setiap hari, sebelum dan selepas solat maghrib. Puasa atau tidak, itulah kerja-kerja rutin beliau.


Di kawasan ini beliau membentuk disiplin yang sangat tinggi. Kesemua jemaah perlu membetulkan barisan. Sering jemaah dimarah kerana bercakap. “Doa… Doa… Doa…”. Ketika jemaah berdiri sebelum solat, beliau akan membetulkan saf dan mencalit minyak wangi ke tangan.


Wang sumbangan akan tamat pada bulan Disember nanti. Saya tidak bercadang untuk meneruskan kutipan untuk saprah ini.


Saprah ketiga disalurkan di kawasan wanita. Asalnya ia hanya saprah kecil. Kini – dengan sumbangan warga KRTS – ketika bukan musim haji, saprah ini menjadi dua saprah yang panjang.


Alhamdulillah. Kami bersyukur kerana dapat memanjangkan sedekah-jariah kepada mereka yang berpuasa di masjid Nabawi.


Kami mohon keampunan Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 13, 2012 09:55

October 12, 2012

Terkini Masjid KRTS

Mudah-mudahan ia dapat disempurnakan


Kerja-kerja plaster masjid KRTS sedang dijalankan, di dalam dan luar bangunan. Saya bersyukur kerana ia sudah sampai ke tahap ini.


Ramai yang bertanya bagaimana menguruskan pembinaan masjid ini?


Pertama, kami melantik seorang jurutera yang bertanggungjawab penuh terhadap projek ini. Beliau sudah membina banyak masjid sebelumnya. Gaji beliau USD6000 sehingga projek siap sepenuhnya.


Kedua, kesemua pekerja dibayar harian. Alhamdulillah, ada syarikat yang membekal bahan-bahan mentah atas dasar kepercayaan yang ia projek amal.


Penghantaran wang merupakan suatu yang leceh. Banyak akaun terlibat. Alhamdulillah, Allah permudahkan.


Jika orang bertanya, bagaimana rasanya mengurus wang derma seumpama ini? Saya hanya mampu berdiam diri.


Ia mendebarkan!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 12, 2012 11:30

October 11, 2012

Pembaca Manuskrip

NOOR AZMA MOHD KHASSIM

Universiti Al Quran Al Karim wa Al Ulum Al Islamiyyah

Sudan


Anekdot Madinah: Benar, DIA Maha Mendengar adalah cetusan hati tawadhuk Prof MKI. Ia tanaman – InsyaAllah – bakal dituai hasilnya di akhirat nanti. Karya ini membuatkan saya melihat usia manusia yang sedikit tetapi diguna sepenuhnya bagi mendapat keuntungan berlipat ganda pada hari pertimbangan. Ia bakal memberatkan timbangan.


Sekurang-kurang Prof MKI sudah melabur pada tiga perkara yang dijanjikan; ilmu bermanfaat melalui kata-kata kepada jemaah haji dan umrah, ilmu yang disampai di universiti, dan ilmu yang dibukukan. Kedua, membekalkan anak-anak agar menjadikan anak soleh dan solehah supaya nanti mendoakan ibubapanya. Ketiga, sedekah dan amal jariah melalui wakaf masjid, saprah berbuka puasa serta madrasah yang bakal didirikan di Somalia nanti, InsyaAllah. Ia tersurat namun tersirat tidak mampu saya selak sepenuhnya.


Ia ibarat perniagaan yang tidak pernah rugi. Semua insan pasti dipanggil Allah. Namun saya berdoa agar usia Prof MKI dan keluarga akan terus kekal – InsyaAllah – kerana amalan dan kebaikan tidak putus-putus semasa di dunia. Ia tindakan cerdik dan bijaksana. Prinsip yang dipegang oleh Prof MKI untuk mewakafkan dirinya selari dengan tugas para anbiya’. Mereka hanya mengharapkan anugerah Allah seperti surah Hud ayat 29 yang bermaksud, “dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata………”.


Mereka yang mewakafkan diri untuk khidmat iman hanya menjalankan tugas menyampaikannya tanpa masuk campur di dalam urusan Allah termasuk samada khalayak memahami, menghayati atau tidak. Namun para ulama ada mencatatkan, “kata-kata dari lidah hanya singgah sekejap di telinga, kata-kata yang datang dari hati akan masuk ke hati dan kata-kata dari ruh akan masuk ke dalam ruh”. Mudah-mudahan Prof. MKI tergolong di kalangan istimewa ini.


Anekdot Madinah bukan setakat menambah kerinduan kepada Madinah Munawwarah malah sekaligus menambah cinta kepada Baginda Nabi Muhammad sallallahu ‘alihi wasallam. Pelbagai usaha melaksanakan saranan Allah SWT berpandu al-Quran dan Hadith dapat dikutip melalui buku ini.


Di tangan Prof MKI, amalan seperti berlaku benar, bersyukur, berdoa dan tawakkal, bersabar, berpuasa sunat dan solat berjemaah, menghidupkan malam, bersedekah dan menjamu makan, saling membantu, bersangka baik, melayani dan menghargai tetamu, mengingati kematian, bertasbih dan memuji Allah kelihatan tidak terlalu sukar untuk dilaksanakan. Hakikatnya, buku ini – tersirat dan tersurat – mengajak mengikuti satu-satunya jalan kebahagiaan iaitu jalan sunnah Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.


Bukankah hanya dengan cara ini manusia akan mendapat cinta Allah yang hakiki serta keampunanNya seperti firman Allah melalui surah Ali ‘Imran ayat 31 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.


Saya bermukim di Sudan. Umumnya, sangat benar orang Sudan hatinya lembut dan baik. Orang seperti Ayub – berkulit hitam tetapi putih hatinya – sering kami temui di sini. Allahu Akbar. Bila dikaitkan kisah Ayub, kerisauan Prof MKI terhadap pelbagai isu di Madinah lalu mengadulah mereka kepadaNya menyebabkan hati saya benar-benar terkesan. Misalnya, soal persekolahan anak-anak amat menyentuh naluri keibuan saya. Subhanallah, mudah-mudahan anak-anak ini dimudahkan mengingati al-Quran dan menguasai bahasa Arab serta menguasai ilmu yang lain.


Prof MKI menghayati secara jelas konsep tafakkur dengan membaca segala kejadian dan taqdir kehidupan lalu dipalingkan kepada Allah yang Maha Esa sehingga hati semakin sedar tentang keesaanNya. Itulah jalan menjadi Ulil Albab seperti di dalam surah Ali Imran ayat 190 dan 191 yang bermaksud,


Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.


(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.


Buku ini menampar saya!


Namun pedihnya tidak menyebabkan saya menjeling Prof MKI dan meninggalkan beliau pergi. Ia sangat sesuai untuk diri saya yang sangat lalai. Anekdot Madinah – Benar, DIA Maha Mendengar memberi inspirasi menjadi mukmin bertaqwa. Semoga ia antara penyebab Prof MKI dan keluarga dirahmati, dikasihani dan dikasihi Allah untuk memasuki syurga tanpa hisab, InsyaAllah.


Amin.


NotaMKI: Blog Noor Azma boleh dilayari di SINI.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2012 13:01

Bersemangat

Dua para petikan dari satu bab Anekdot Madinah…..


MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar, saya tegaskan dengan jelas dan nyata dengan kata-kata berikut, “mungkin inilah ziarah tuan-tuan yang pertama dan terakhir di masjid Nabawi ini. Inilah salah satu tempat yang disyariatkan untuk bermusafir kerana ingin beramal ibadat. Ia di dalam masjid.


Jika ajal tuan mengikut purata kematian bangsa Melayu di Malaysia – di sekitar 75 tahun – bermakna tuan hanya tinggal di sini selama 0.029 peratus daripada usia sebenar. Lebih jelas, tuan hanya tinggal 8 hari berbanding 27 375 (75 tahun x 365 hari) hari yang tuan-tuan akan lalui di tempat-tempat lain di dunia. Mungkin sebahagian besarnya di Malaysia. Tidak bolehkah tuan-tuan gunakan masa yang sedikit ini dengan melaksanakan atau memulakan sunnah Baginda SAW? Bukankah kita berada di bumi Madinah”.


Lalu masa yang singkat itu perlulah bersemangat untuk berada di dalam masjid. Pagi semalam, saya tiba 2 minit sebelum azan subuh. Padat pada satu penjuru di LUAR MASJID dengan jemaah.


Inilah pilihan mereka


Benar, di bahagian belakang juga kelihatan padat. Inilah suasana di ruang tengah Masjid Nabawi pada ketika yang sama.


Bahagian tengah masjid juga kelihatan penuh


Namun realitinya, di kedua sayap masjid masih banyak ruang kosong. Ketika jemaah bangun untuk memulakan solat, saf-saf hadapan yang kosong semakin ketara.

Ruang Baqi, di sebelah sayap kiri (mengadap kiblat) banyak ruang kosong


Wahai khalayak KRTS yang mahu menunaikan haji, gunakan lapan hari berada di Madinah dengan semaksimum mungkin. Jagalah saf solat kita….

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 11, 2012 12:25

October 10, 2012

Madrasah El-Huda

Inilah rakan-rakan Sofea di Madrasah El-Huda


Hampir setahun Sofea dan Amirul bersekolah di sini. Bahasa pengantarnya Bahasa Arab. Mereka mula ke sekolah pada jam 6.00 pagi dan pulang di sekitar jam 12.30 tengahari.


Hari ini kami menerima keputusan peperiksaan rasminya yang pertama. Sofea mengambil 4 matapelajaran, matematik, pengajian Islam, English dan Arab. 40, 38, 40, 38 daripada markah penuh 40.


Amirul pula lapan subjek, Arab, English, Mekanikal, Sains, Pengajian Islam, Matematik, Sejarah dan Geografi. Bezanya, Amirul belajar seorang sama seorang, 7 hari seminggu kerana akan mengambil peperiksaan utama pada tahun hadapan. Tiada ujian untuk Amirul.


Kemudian, mereka akan menyambung kelas pengajian al-Quran di Haram. Alhamdulillah, Sofea sudah “hafizah” juzuk 30. Amirul pula bermula dengan belajar sebutan, mengeja dan tajwid. Kini beliau sudah memasuki fasa kedua.


Alhamdulillah, Amirul dan Sofealah yang menjadi jurucakap, tukang terjemah dan sentiasa ke hadapan apabila bahasa Arab diperlukan.


Roza juga tinggal satu surah lagi untuk menghafal juzuk 30. Saya? He…. he…. he….!!! (lambat lagilah dapat jadi Imam masjid Nabawi),


Setahun berlalu, sentiasa ada yang baru.


Tiada Jemaah Malaysia


Kesemua jemaah Malaysia – agak saya – sudah berada di Mekah sejak beberapa hari yang lalu. Jadi, saya pun jadilah tidak berapa sihat kerana terapi utamanya sudah hilang.


Sakit tekak. Seram sejuk dan badan lenguh-lenguh.


Hari ini saya bertemu dengan pegawai perubatan Malaysia yang masih bertugas di Madinah. Khabarnya mereka menunggu ketibaan Agong dan rombongan yang akan tiba pada 19hb nanti.


Moga segalanya selamat.


Meraikan Pelajar Baru

Mereka dijamu dengan Nasi Arab dengan sedikit pesanan


Pesan saya ringkas, “jadi golongan terpilih”.


Maksud saya, nanti bila pulang di Malaysia kita berbeza dengan yang ramai. Saya petik satu hadis yang bermaksud “sesungguhnya iman akan berkumpul di Madinah sebagaimana berkumpulnya ular ke sarangnya”.


Hadis riwayat Bukhari dan Muslim mempunyai pengertian yang mendalam.


MasyaAllah, jangan sia-siakan anugerah yang Allah berikan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 10, 2012 09:01

October 9, 2012

Buku untuk KRTS

Aneh!


Itulah satu perkataan besar yang mampu saya tulis apabila bercerita tentang Anekdot: Madinah – Benar, Allah Maha Mendengar. Namun jika bertenang sejenak, aneh itu tentulah ketentuan Allah. Itulah ketetapan yang telah dijanjikan olehNya. Tiada keanehan jika segalanya dikaitkan dengan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Lalu rasa aneh itu jika disambut dengan rasa syukur yang menusuk hati, pastinya menjadi amal ibadat yang membawa kita ke alam yang kekal abadi.


Madinah tanpa jemaah haji dan umrah sunyi sepi. Ia dirujuk kepada suasana di Masjid Nabawi. Ada dua ketika yang ketara. Pertama, bulan Syawal ketika menunggu ketibaan jemaah haji. Kedua, selepas jemaah haji terakhir pulang dan ketika visa umrah belum dikeluarkan.


Ia dua suasana yang diraikan oleh mereka yang bermukim di sini. Sekurang-kurangnya kami – saya dan isteri – merasai begitu. Kenapa? Kawasan parking berbumbung yang sedia dilanggan hampir tiada penghuni. Jalannya tidak tersangkut walaupun azan sedang berkumandang.


Tandas dan tempat berwudhu ada ketikanya tiada pengguna. Langsung tidak perlu berbaris. Tandas boleh dipilih samada mahu yang duduk atau pun bercangkung. Jika nampak satu tandasnya tidak cukup bersih beralihlah ke tandas yang lain. Agak saya, ia pilihan yang sangat mewah!


Raudhah – taman syurga dunia – kebiasaannya sentiasa menjadi tumpuan jemaah mempunyai ruang kosong. Penghuninya sangat baik hati. Diam. Tenang dan bersopan santun. Tiada kepala yang mahu dilangkah. Bergilir memberi ruang yang lebih mustajab dengan senyum manis. Hilang rasa tamak haloba.


Bagi wanita, banyak ruang baru yang dapat dilihat – misalnya – Pelantar Fatimah. Tiada hiruk-pikuk, tolak-menolak dan boleh pula mengelilingi 3/4 ruang makam Baginda SAW dan dua sahabat, Abu Bakar As-Siddiq dan Omar Al-Khatab. Ia rasa kusyuk ketika solat dan berdoa yang sukar dicapai pada hari-hari biasa.


Malah kawalan keselamatan juga sangat longgar. Tiada juga gesaan petugas yang meninggikan suara, “cepat ibu, cepat ibu, cepat ibu!”. Pada saat inilah mereka dapat bertenang-tenang di Raudhah sambil membaca al-Quran dengan anak kecil di sisi. Ia memberi kepuasan yang tidak terhingga terutamanya bagi kaum ibu (wanita) yang sentiasa penuh emosi.


“Yang, jom kita ke Raudhah,” ia ajakan semudah itu.


Lalu pagi itu – di sekitar jam 7.30 pagi – saya melangkah ke Raudhah untuk mengadap dan menyembah Allah melalui solat sunat, berdoa dan berzikir. Ia suasana ketika masjid Nabawi kelihatan aneh sekali. Lengang dan sepi. Salah satu permohonan yang sering saya ucapkan – ia tidak terkecuali pada hari ini – adalah seperti berikut:


“Ya Allah, Kau permudahkanlah penulisan-penulisan kami. Pinjamkanlah ilmu Mu untuk kami persembahkan kepada khalayak pembaca. Berikanlah kami ilham ya Allah. Ya Allah, kami mohon pada Mu, jadikanlah ia sebagai ilmu yang bermanfaat. Jadikanlah ia sebagai penyebab untuk khalayak pembaca lebih hampir kepada Mu ya Allah”


Aneh. Perasaan saya sangat aneh sekali.


Saya merenung Raudhah. Lalu berjalan melintasi kawasan makam Baginda SAW, terkedu dan sebak melihat hanya beberapa orang yang berada di situ. Kemudian, saya menyandar pada salah satu tiang mengadap tempat solat Imam. Saf pertama tiada penghuni. Ia luar biasa berbanding ketika ada jemaah haji dan umrah. Malah ia terlalu padat ketika bulan Ramadhan terutamanya pada 10 malam terakhir. Hampir setiap ketika begitu.


Allah…. Allah… Allah… saya berada di sini ketika suasananya sangat aneh. Terasa ia suatu anugerah yang tidak ternilai. Saya terbayang rakan-rakan di Malaysia terpaksa membayar ribuan ringgit untuk hadir di sini sedangkan saya dan keluarga pula dibayar untuk menikmati suasana yang jauh lebih aman dan damai.


MasyaAllah, Subhnallah, Allahu Akbar.


Namun saya cepat sedar. Ketika saya sentiasa berdoa mahu bangkit bersama Baginda SAW, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui bila dan di mana saya bakal dipanggil pulang. Ditakdirkan saya terpaksa meninggalkan Madinah tanpa bersemadi di Baqi, sudah pasti saya akan merindui setiap detik yang terhidang di hadapan mata.


Allah… Allah… Allah… kami telah menyaksikan ratusan jemaah haji dan umrah yang berkunjung ke rumah kami di Jabal Uhud menyatakan rasa rindu Madinah sejurus sahaja mendarat pulang. Malah ramai yang menitiskan airmata menceritakan kerinduan mereka apabila bertemu usai majlis ilmu atau kuliah yang disampaikan oleh kami ketika pulang bercuti ke Malaysia.


Saya terfikir, jika mereka yang datang dua minggu berumrah dan sebulan lebih menunaikan rukun Islam kelima boleh merindui pengalaman berada di sini, bagaimana pula dengan kami yang menghabiskan sebahagian besar waktu harian di Masjid Nabawi ini?


Aneh. Benar ia aneh sekali. Hati saya terus terfikir untuk merakamkan kisah-kisah ringkas benar bersekali dengan sedikit tazkirah ilmu berserta dengan rakaman pelbagai gambar yang sepatutnya menjadi kenangan pengubat rindu jika kami meninggalkan Madinah. Jika ia dilihat sebagai ilham Alah, maka saya pohon kepadaNya agar ia ilham benar yang boleh menjadi ilmu yang bermanfaat.


Aneh.


Saya tidak lagi bertangguh. Saya tinggalkan manuskrip lain yang sedang ditulis. Hati rasa teruja untuk memula dan menyudahkan Anekdot: Madinah – Benar, Allah Maha Mendengar. Lalu saya melihat simpanan foto Madinah yang melebihi 1000 petikan di dalam dan luar Masjid Nabawi serta di kawasan sekitar.


Namun ia terakam bukan dengan kamera canggih dan bukan pula dengan niat untuk penerbitan buku. Juga, walaupun tidak pernah dihalang untuk merakamkan suasana dan peristiwa di dalam masjid, saya sangat berhati-hati agar tidak mengganggu jemaah yang sedang beramal ibadat terutamanya hak peribadi mereka. Maka tentu sekali foto-foto yang dirakam bukan dalam posisi dan keadaan terbaik.


Juga, saya bukan jurukamera profesional. Langsung tiada kreativiti dan nilai artistik. Saya hanya bersandarkan kepada kamera handphone jenama Samsung Galaxy II, 8.0 megapixels. Mungkin benar pepatah Melayu yang menyebut, tiada rotan, akar pun berguna. Lalu – saya fikir – biarlah gambar-gambar ini hanya menjadi penyeri dan watak tambahan kepada anekdot atau tazkirah yang mahu saya catatkan.


Namun saya berdoa mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang bermanfaat, sesekali boleh menjadi pengubat rindu kepada mereka yang pernah mengunjungi Madinah dan “sedikit-sedikit” boleh menjadi panduan kepada mereka yang sedang bersiap-siap untuk hadir ke sini.


Entah, saya tidak tahu samada ia perlu dibaca secara bersungguh atau pun secara santai. Niat saya mudah. Di sebelah mana buku ini dilihat, anggaplah ia sebagai tambahan ilmu yang boleh membantu perasaan sebelum, ketika dan sesudah berada di Madinah. Ia mungkin kecil tetapi biarlah signifikan.


Benar, kami sering menyebut,


“Jika rindukan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, ia hanya ada di Mekah dan Madinah. Kumpullah wang, insyaAllah Mekah dan Madinah boleh dihampiri. Jika rindukan Allah, kunjungilah rumahNya, ia ada di mana-mana. Lalu lakukan apa sahaja semata-mata keranaNya, laksanakan segala perintah serta meninggalkan laranganNya.


Jika rindukan Baginda SAW, ikutlah sunnahnya. Lakukan solat berjemaah, bangun malam, puasa sunat dan perbanyakkan selawat dengan penuh rasa kasih sayang. InsyaAllah, terubat segala rindu”


Lalu saya hulurkan Anekdot: Madinah – Benar, Allah Maha Mendengar khas buat warga blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan (KRTS) dan rakan serta pelanggan kemaskini Facebook yang berjumlah hampir 30000. Mudah-mudahan hubungan terjalin akan terus berkekalan sehingga ke Jannah.


InsyaAllah, kita ke sana – biarlah – tanpa dihisab. Itulah doa yang sering saya panjatkan ketika berada di Raudhah ataupun di kala bersunyi-sunyian menginsafi dan mensyukuri atas segala nikmat yang dianugerahNya. Tataplah dengan hati dan minda terbuka.


Kami mohon keampunan Mu ya Allah.


MUHD KAMIL IBRAHIM

Profesor Perakaunan

Universiti Taibah

Madinah Al-Munawwarah


www.muhdkamil.org

mki@muhdkamil.org

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 09, 2012 13:21

October 8, 2012

Durian

Bayangan Arwah Atoknya


Ia perspektif yang berbeza.


Jika kami di Segamat, maka durian bukanlah sesuatu yang mewah. Abah mempunyai beratus-ratus pohon durian. Ia diusahakan atas alasan mahu melihat anak-cucu menikmati durian yang di kala itu sangat mewah dan mahal.


Namun anak-anak dan cucu tidak melihat begitu. Durian hanya dimakan seulas dua. Paling banyak pun setengah biji. Itupun sudah dikira hebat.


Harga durian yang abah jual berbeza-beza mengikut gred dan musim. Saya pernah terdengar yang abah menyebut harga durian kampungnya pernah jatuh sampai 25 sen sekilo.


Namun durian bergred di antara RM2.00 hingga RM10.00 sekilo.


Di sini, durian boleh didapati sepanjang tahun – InsyaAllah – tetapi bukanlah setiap hari. Ia dijual di Pasaraya Mandarin. Tidak banyak. Sekali tiba di sekitar 3-4 biji sahaja.


Semalam Amirul berkeinginan memakan durian. Di sebelah pagi saya membawa SR100. Lalu saya ambil sebiji yang paling besar tanpa melihat tandaharganya.


Bila ditimbang, kurang-lebih 2.60 kg. “Berapa harganya Pak,?” saya bertanya staf berasal dari Indonesia.


“45 sekilo Pak. Jadi, 116 riyal”


“Ooooo…. tidak mahu saya Pak,” memikirkan saya hanya ada SR100.


Lalu beliau berbisik, “berapa bapak mahu? 80 riyal boleh?”


Allah… Allah… Allah… saya tidak mahu begitu. Saya tersenyum dan berkata, “tidak mengapa Pak. Terima kasih”. Saya terkenang al-Mutaffifin dalam konteks yang berbeza.


Di sebelah malam saya hulur pada Amirul SR200. Amirul pilih dan beli sendiri. Barangkali beliau memilih buah yang lebih kecil. Harganya SR108.


MasyaAllah kedua-duanya sangat berselera makan. Saya dan Roza hanya menjamah sahaja. Mudah-mudahan ia menjadi makanan yang halal di sisiNya.


Alhamdulillah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 08, 2012 20:40

October 7, 2012

Anekdot: Madinah

Lega!


Deraf 1 buku yang diberi nama sementara, Anekdot: Madinah – Benar, Allah Maha Mendengar dapat disiapkan sebelum solat Isya sebentar tadi.


Anekdot bermakna kisah ringkas yang benar. Ia bukan bayangan minda semata-mata. Itulah kisah yang telah kami lalui di Madinah setelah lebih setahun di sini.


Madinah merujuk kawasan kehidupan kami di Jabal Uhud, Masjid Nabawi dan Universiti Taibah. Ia juga kisah bersama Jemaah Haji dan Umrah. Malah ia kisah bersama rakan KRTS dan FB.


Benar, Allah Maha Mendengar. Itulah sifat Allah apabila hambaNya meminta dan berdoa. Kami banyak meminta. Dan saya tahu Dia Maha Mendengar.


Akhirnya, bukan Mencari Damai Di hati yang bertemu nokhtah. Namun itulah – Anekdot Madinah – yang mendamaikan.


Alhamdulillah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 07, 2012 11:33

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.