Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 9

August 31, 2012

Tip Haji: Tandas

Ia untuk difikirkan.


Tandas merupakan isu besar kepada ramai jemaah terutamanya semasa mereka bermalam di Mina. Ramai bercerita yang hampir sepanjang masa mereka terpaksa beratur panjang. Ada pula yang menggigil-gigil menahan diri.


Jika orang bercerita begitu, saya hanya mendiamkan diri kerana – dengan izinNya – sepanjang tiga malam di sana saya boleh memilih untuk menggunakan tandas yang menjadi kesukaan.


Setahun saya berdoa agar isu tandas ini tidak menjadi masalah besar kepada kami sekeluarga. Allah memberi kekuatan kepada saya untuk bangun awal, seawal dua pagi untuk mandi, berwudhu dan qiyam di dalam khemah. Pada ketika ini, majoriti ahli khemah masih menarik selimut.


Ramai yang bangun 30 minit sebelum waktu solat subuh. Mereka terpaksa beratur panjang!


Kemudian, sarapan pagi akan diedarkan serentak. Ahli khemah juga makan serentak. Janganlah kita berborak-borak, makan dalam keadaan santai dan bermain-main dengan makanan tersebut. Berniatlah agar kita yang pertama berjaya menyudahkan sarapan tersebut.


Kenapa?


Dalam sekelip mata, tandas menjadi tumpuan ramai orang setelah bersarapan. Biarlah kita orang yang pertama sampai.


Gunakanlah akal fikiran untuk menghadapi isu-isu yang kelihatan remeh tetapi memberi kesan besar kepada ibadah haji kita.


“Ya Allah permudahkanlah kami….,” berdoalah sentiasa!


Cikgu Norbibi


Semoga Allah menempatkan cikgu di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. InsyaAllah, kita berkumpul dan bertemu kembali di syurgaMu ya Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 31, 2012 09:10

Beraya

Malam tadi kami berhari raya di rumah Syeikh Khalid dan keluarga. Hidangan utamanya nasi Maqlubah atau nasi terbalik. Kenapa terbalik? Lihatlah gambar-gambar ini…..


Nasi dimasak dengan lauknya di bawah.


Tengok... begini caranya....


Inilah rupanya setelah diterbalikkan


Bersama menyambut hari raya dengan nasi Maqlubah

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 31, 2012 00:37

August 30, 2012

KT 1

Ia suatu nikmat yang tidak tertulis atau dapat diceritakan, InsyaAllah


Ia akan berlepas pada 17 September 2012.


Itulah khabar yang saya dengar. Alhamdulillah, bermulalah musim haji untuk tahun ini. Perjalanan menunaikan fardhu haji tidak akan sama dengan mana-mana perjalanan ke Luar Negera.


Ia sangat-sangat bersifat holistik.


Perjalanan ini merupakan pemulaan kepada perjalanan yang lebih panjang. Namun ada yang terhenti sejurus sahaja melangkah masuk ke pesawat di Jeddah atau Madinah.


Atau mungkin ia terhenti sejurus sahaja selesai menunaikan rukun dan wajib haji.


Saya fikir – pada saat ini – jemaah KT 1 sudah jelas dengan asas-asas menunaikan fardhu haji. Mungkin juga sudah bersedia dengan apa yang ingin mereka bawa (serunding, sambal ikan bilis atau tempe goreng rangup) sepanjang puluhan hari berada di Mekah dan Madinah.


Lumrah, persiapan untuk pergi dan berada di kedua Tanah Haram menjadi keutamaan.


Setahun yang lepas, setiap kali berjumpa dengan jemaah, saya sering bertanya – “Apakah lima perkara yang bersungguh mahu kita laksanakan setelah pulang dari menunaikan fardhu haji?”


Konsepnya sangat mudah. Setiap jemaah mahukan haji mabrur. Haji mabrur tiada balasan kecuali syurga. Maksudnya – mengikut aturan – haji mabrur bukanlah ukurannya berdasarkan apa yang telah kita laksanakan semasa musim haji tetapi melangkaui seluruh usia kita.


Bahasa ringkas, ia hanya bermula sejurus meninggalkan Jeddah ataupun Madinah.


Natijahnya, sepanjang berada di sini, istiqamahlah dengan apa yang ingin dibawa pulang.


Pertama, jika bercita-cita mahu solat berjemaah di masjid, usahlah di sini menjadi culas dan cepat tewas dengan cuaca, jarak atau pengaruh rakan sebilik.


Kedua, jika pulang nanti mahu kekal bangun malam, maka di sinilah latihan yang perlu disemai biar nikmat bangun malam itu meresap ke seluruh jiwa dan perasaan.


Jangan lupa, waktu Mekah dan Madinah lewat 5 jam daripada waktu Malaysia. 2 pagi di sini bersamaan jam 7 pagi di Malaysia. Usah besarkan tidur!


Ketiga, jika mahu memahami al-Quran, tanamkan niat untuk membacanya dan membaca terjemahan al-Quran. InsyaAllah, al-Quran akan menjadi teman kita sepanjang hayat.


Keempat, belajarlah puasa sunat terutamanya puasa hari Isnin dan Khamis kalaulah puasa nabi Daud itu terlalu sukar. InsyaAllah, Allah akan berikan rasa nikmat sebenar-benar berpuasa.


Lalu bila pulang ke Malaysia – InsyaAllah – kita tidak akan memilih berbuka puasa di rumah dengan meninggalkan solat Maghrib berjemaah di masjid.


Allah… Allah… Allah… biar kita menjadi golongan yang sedikit daripada jemaah yang berjuta.


Kelima, bersihkan hati sanubari. Sesungguhnya tiada sekutu bagi Allah, tiada sekutu bagi Allah. Lakukan segala-galanya kernaNya. Banyakkan berdoa, bertaubat dan meminta kepadaNya. Dan rutin inilah yang mahu dibawa pulang diamalkan sepanjang hayat.


Maafkan saya menulis pandangan yang menjadi keinginan sendiri. Jika baik, jadikan panduan. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup jemaah yang bakal tiba.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 30, 2012 09:05

August 29, 2012

Ia tidak sama

20 tahun yang lampau saya pernah menulis,


Kita berseloka, orang kata mengata

Kita memberitahu, orang kata menunjuk

Kita tersenyum, orang kata menyindir


Malah – 1980 – ketika mahu meninggalkan MRSM, saya menulis kata-kata berikut,


Perpisahan adat hidup

Kenangan cerita diri


Kedua-dua keadaan tersebut berulang-ulang berlaku dalam perjalanan kehidupan. Pandangan orang sentiasa tidak sama dengan apa yang tersirat dan tersurat.


Namun ia juga pasti beredar. Ada yang berlalu begitu sahaja, tidak meninggalkan parut apatah lagi menjadi kenangan diri yang abadi. Namun banyak juga yang berbekas di hati.


Lalu saya teruja menyebut kata-kata berikut ketika mahu menutup setiap kali bersyarah atau berpidato,


Apa ada pada ubat, kalau pesakit mahu menderita

Apa ada pada tongkat, kalau sibuta mahu meraba

Apa ada pada syurga jika manusia mahu ke neraka


Manusia membuat pilihan. Pastinya ia tidak sama. Saya dan dia tentu sekali berbeza.


Akhir sekali, apa sahaja perbezaan kita, biar berakhir di tempat yang satu.


Makan Malam


Nasi Bukhara, Homus, sambal belacan peach dan telur dadar


Hampir setiap malam kami menjamu mak dan anak-anak makan malam samada di restoran ataupun di rumah. Kami cuba sedaya upaya memperkenalkan apa juadah yang ada di Madinah.


Barat dan Timur.


Alhamdulillah, paling saya gembira melihat mak sangat berselera. Hampir semuanya dicuba. Dan ia tidak memberi kesan sampingan yang memudaratkan usianya.


Hem… syukur sangat-sangat!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 29, 2012 11:52

Kelas Fardhu Ain dan Kisah-Kisah dari Quran

Khusus buat rakyat Malaysia di Madinah termasuk Yanbo.


Kami – saya dan Roza – akan mengajar anak-anak kami – Amirul dan Sofea – Fiqah dan Kisah-Kisah dari Al-Quran dengan mengadakan kelas dwi-mingguan mulai 13hb September, 2012. Jika ada yang mahu anak-anak (7 tahun ke atas) mereka turut serta, dipersilakan.


Lokasi: Rumah kami di Jabal Ohud


Tarikh Mula: 13hb September 2012 (dan setiap dua minggu seterusnya, hari Khamis)


Masa: 8.30 – 9.30 (Feqah) dan 10.00 – 11.00 (Kisah dari Al-Quran).


Alat tulis: Disediakan


Makan pagi: Disediakan


Bayaran: Percuma


Bilangan: Terhad (15 orang…. tinggal 6 tempat sahaja)


Topik-topik besar Fiqah yang akan dibincangkan secara umumnya adalah seperti berikut:


1. Bersuci

2. Mandi

3. Sembahyang

4. Zakat, Sedekah dan Jual Beli

5. Puasa

6. Pakaian dan Perhiasan

7. Makanan

8. Nikah

9. Jenazah dan beberapa topik lain yang difikirkan sesuai.


Ia hanya topik-topik asas yang akan disampaikan dalam bentuk mudah dan ringkas buat anak-anak remaja.


Jika berminat, sila hubungi saya – 0502127721 atau Roza (Guru Besar) – 0537261088


Moga ia jadi ilmu yang bermanfaat.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 29, 2012 00:43

August 28, 2012

Bertanya

Bagaimana mahu bekerja di Madinah?


Maksud yang lebih mendalam ialah bagaimana mahu memenuhi keinginan untuk berada di sini, Madinah atau Mekah.


Ada juga yang bertanya, bagaimana mahu melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Madinah?


Maka jawapan saya agak rutin, “maaf banyak-banyak, ia di luar kemampuan saya”.


Beginilah…. biarlah saya berterus-terang. Kehidupan kami sekeluarga di sini sangat low-profile berbanding ketika berkhidmat di UiTM.


Pengetahuan saya tentang universiti yang sedang saya bekerja sangat minimum. Wajah presidennya pun saya tidak tahu.


Cuma saya tahu beliau seorang yang baik hati. Gaji kami dijangka akan dinaikkan melebihi 50 peratus bermula syawal ini.


Alhamdulillah.


Rutin harian saya sangat fokus dengan apa yang ingin saya lakukan. Bangun di sekitar 3.00 pagi, bertolak ke Masjidil Haram 30 minit sebelum waktu subuh.


Usai subuh, kami – saya dan Roza – mengadap komputer menanti anak-anak ke sekolah diambil pemandu di sekitar jam 7.00 pagi.


Lalu kami tidur seketika sebelum ke kuliah. Itu pun jika jadual waktunya begitu. 12.00 tengahari, sekali lagi kami ke Haram.


Jika tidak berpuasa, kami menikmati makan tengahari bersama anak-anak yang pulang dari sekolah pagi.


20 minit sebelum Asar, kami sekeluarga bertolak ke Haram. Sofea dan Amirul memasuki madrasah di sana. Kami pula mengadap Tok Syeikh dan Abla selepas solat Maghrib.


Usai Isya, masa diperuntukkan untuk meraikan jemaah Umrah atau Haji yang mahu menziarahi kami di Jabal Uhud.


Itu saja…. Di antaranya kami menunaikan umrah dan melayani kehendak anak-anak yang masih remaja.


Jadi, kami mohon maaf jika pengetahuan kami agak terbatas. Maaf juga jika tidak dapat membantu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 28, 2012 11:39

August 27, 2012

Hotel di Menara Jam

Petikan dari tulisan Rumah Kecil di Jabal Ohud


Entri asal di SINI.


Menemui adikku Ratna, sanak-saudara dan rakan-rakan yang dikasihi,

Semuga di dalam rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa.


Ratna,

Salam aidil Fitri dari kami di Madinah al-Munawarrah. Kami tahu emak rindukan anak menantu serta cucu-cucunya yang ramai di kampung halaman apatah lagi hanya di hari raya sahaja lah mereka dapat berkumpul bersama. Emak berulang-ulang kali menyebutnya.


Barangkali ada sebak di dada kerana kebiasaannya setiap kali berhari raya salah satu agenda yang tidak boleh tidak adalah menziarahi pusara mereka yang telah pergi dahulu menemui illahi.


“Anak-anak arwah Ayu balik raya tahun ini. Kasihan Zaini… jauh-jauh datang. Memandu seorang…”


Dalam masa yang lain pula emak berkata,


“Agaknya di pagi raya mereka pergi beramai-ramai ke kubur abah dan Ayu…”


Kami hanya mampu mendengar keluh kesahnya tanpa dapat melakukan apa-apa.


Ratna,


1 Syawal kami sekeluraga sudah berada di masjid Nabawi seawal 4.00 pagi. Itu pun kami terpaksa duduk di dalam saf tanpa permaidani. Kasihan emak, dia kesejukan.


Kami bergegas pulang ke rumah sebaik selesai sembahyang aidil fitri. Tambahan pula ada rakan-rakan dari sekitar Saudi yang sudi berhari raya bersama kami sekeluarga.


Pada 1 Syawal juga kami menyempurnakan hajat aqiqah bagi anak bungsu arwah Ayu dan Zaini. InsyaAllah, kata ustaz yang menguruskannya, daging aqiqah itu mereka jamu fakir miskin dan jemaah di sekitar Makkah.


2 Syawal kami membawa emak dan anak-anak ke Makkah. Kami menyambut Syawal di sana. Barangkali kemeriahan berhari raya tidaklah semeriah di kampung halaman.


Namun terpancar keceriaan dan kebahagiaan setiap wajah yang ada di sana. Sungguh, persona rumah Allah amat ketara perasaannya. Cubalah.. rasai sendiri sebagaimana yang kami rasa.


Ratna,


Memimpin tangan emak ketika membuat umrah bersama Ayu pada tahun 2009 sudah tidak sama seperti yang baru berlalu.


Emak semakin tidak yakin jika ditinggalkan bersendirian apatah lagi jika ke tandas berseorangan. Setiap kali kami masuk dan keluar dari pintu yang berlainan, emak sudah hilang arah.


Allahu Akbar!


Masa sudah berubah. Dahulu, emak yang memimpin tangan kita, kini giliran emak pula. Semakin sesak masjidil haram dengan jemaah yang datang beribadat, pautan emak ke lengan tangan kak Ngah semakin erat.


“Awak jangan jalan cepat-cepat. Nanti dirempuh orang ramai, kita terlepas… emak tidak tahu jalan pulang.”


“InsyaAllah mak.. saya jaga mak. Saya jaga..”


Allahu Akbar! Tidak sedar ada takungan air mata.


Ratna,


Kami menginap di hotel Rayhaan yang diuruskan oleh Rotanna berhampiran Bin Dawood. Emak sangat gembira kerana katanya itu nama kaum keluarga kita. RAIHAN – RATNA – BIN DAUD!


Suatu pagi selepas subuh – ketika kami berjalan pulang ke hotel – emak berkata,


“Ya Allah cantik betul menara jam makkah tu. Masa buat haji tahun 2010 dulu abah pernah berkata siapalah agaknya yang menyewa hotel di situ..


Tiba-tiba emak terdiam… btetapi menyambungnya semula,


“Ya Allah.. siapa sangka emak merasa berada di situ. Kalaulah abah ada..”


Sungguh. Ada getaran suara yang disembunyikan. Sungguh. Barangkali jauh kenangan yang tersimpan dalam ingatan..


Ratna,


Setiap insan yang dicipta Allah, dilahirkan, menjalani kehidupan dan akhirnya mereka pergi menemui illahi. Tiada yang kekal di sisi. Hanya cinta Allah yang abadi.


Salam sayang dari kami di Madinah al-Munawarrah.


- Rumah kecil di Jabal Uhod –

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 27, 2012 21:16

Ketenangan

Jiwa yang tenang adalah petanda mereka sangat hampir dengan Allah SWT.


Kenapa tidak? Bukankah Allah telah nyatakan melalui surah Al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud,


“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu. Masuklah ke dalam syurgaKu”


Janjinya begitu…. setiap kali membaca ayat ini hati menjadi sangat sebak. Ajakan Allah untuk manusia mencari ketenangan jiwa yang hakiki mendayu-dayu.


Cubalah bangun 1/3 malam yang tersisa. Berdoa, bertaubat dan memintalah padaNya. Tidak terasakah ketenangan di jiwa? Cubalah solat berjemaah di masjid. Bila melangkah keluar, tidak terasakah jiwa yang tenang lagi tenteram.


Allah ya Allah….. akhirnya “mengingatiNya” dengan melakukan sesuatu “semata-mata keranaNya” akan membersihkan hati supaya aman damai sepanjang masa.


Subhanallah, tidak tersentuhkah kita?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 27, 2012 20:09

August 26, 2012

Gelisah

Gelisah menyebabkan manusia mencari damai di hati.


Realitinya, manusia akhir zaman – rata-ratanya – berkedudukan dalam keadaan gelisah. Ia pasti begitu kerana akhirnya hanya segelintir sahaja yang bangkit untuk dihisab berada dalam kelompok Rasulullah SAW.


Kegelisahan jiwa sangat terasa. Saya melalui rasa gelisah hampir sepanjang masa. Saya mungkin melalui pengajian akademik sehingga ke peringkat PhD, namun saya tidak boleh berbohong dengan menyatakan yang saya tersangat damai di hati semata-mata kerana kejayaan tersebut.


Ada sesuatu yang hilang.


Tidak mungkin seorang wanita muslim yang tidak meutup aurat dengan sempurna akan di damai di hatinya. Senyumlah. Ketawalah… nun jauh di sudut hati akan ada rasa sesuatu kehilangan.


Malah tidak mungkin seorang ustaz yang belajar tentang agama akan damai di hatinya jika tidak mengamalkan apa yang dipelajarinya. Apatah lagi mereka yang tidak berilmu.


Ramai juga yang kelihatan beramal ibadat tetapi gelisah jiwa. Tandanya mudah, Jika rakan sejawat dinaikkan pangkat, rasa getar dengki muncul di hati. Kita sering berasa cemburu dengan kejayaan orang lain.


Gelisah jiwa juga muncul kerana kekurangan diri. Berapa ramai yang tidak mempunyai zuriat berkeluh-kesah dengan keadaan tersebut. Jiwanya tidak tenteram.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 26, 2012 20:00

August 25, 2012

Doa

Jika berpeluang, di sinilah tempat kegemaran untuk bersolat fardhu. Biar paling hampir dengan imam. Musim sebelum haji memungkinkan keinginan tersebut dengan suasana yang lebih tenang.


Pagi-pagi lagi kami membawa Sara dan Azrai ke Masjid Nabawi. InsyaAllah, inilah waktu Raudhah yang paling lengang. Pengalaman tahun lepas mahu kami manfaatkan kepada anak-anak.


Di antara keduanya, Sara lebih sempoi. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.


“Sara, semua orang bersungguh mahu ke Raudhah. Dikatakan ia taman syurga. Dikatakan juga ia salah satu tempat berdoa yang paling mustajab.


Allah Maha Mendengar tidak kira di mana kita berdoa. Kita diberi keistimewaan untuk berada di sini. Doalah untuk Sara, keluarga dan jangan lupan kawan-kawan. Ayah tahu kawan Sara tidak ramai. Doakan untuk mereka”


Benar sekali. Saya dan Azrai boleh memilih tempat untuk bersolat dan berdoa. Malah terdapat anggota keselamatan yang turut bersolat sunat.


“Ya Allah tunaikan permintaan dan permohonan doa rakan-rakan kami ya Allah. Sesungguhnya Engkau yang Maha Berkuasa lagi Maha Pengasih”.


MasyaAllah ia langsung tiada gangguan.


Memahami erti rindu


Hanya tinggal seminggu lagi mereka akan bersama di Madinah.


“Sofea sedih tak Abang Ngah dengan Kakak akan balik ke Malaysia?”


“Sedih…”


“Nangis tak?”


“Nangis…”


Setiap kali bergambar akan ternampak tanda-tanda tersebut. Allah… Allah… biarlah mereka berkasih-sayang sehingga ke Firdaus.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 25, 2012 23:32

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.