Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 7

September 20, 2012

Cuti

Menghargai nikmat Allah.


Saya mengajar 6 jam seminggu. Hari Sabtu sejam, tiga jam pada hari Ahad, tiada kelas pada hari Isnin dan sejam pada setiap hari Selasa dan Rabu.


Ia nikmat kelapangan masa.


Allah…. Allah… minggu ini kami bercuti 5 hari terus menerus bersekali dengan cuti hujung minggu Khamis, Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin (tiada kelas) kerana hari kebangsaan yang jatuh pada hari Ahad.


Bahasa mudah… best. Kerajaan mudahkan suasana lalu diberi cuti pada hari Ahad.


Cuti haji pula yang terpanjang dalam sejarah. Kami semua memperolehi 18 hari cuti. Begitulah, nikmatnya berbeza-beza mengikut tempat dan keadaan.


Lalu nikmat Allah ini saya gunakan sepenuhnya dengam menghabiskan masa di Haram. Hari ini sahaja saya memberi tiga tazkirah. Pertama, buat kali pertama kepada sekumpulan jemaah dari Thailand. Ia agak menyeronokan kerana dapat bercakap menggunakan Melayu Golok. Ia terlangsung selepas solat Asar.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 20, 2012 13:36

September 19, 2012

Bermula lagi…..

Masjid Nawabi selepas tiga hari menerima tetamu Allah


Ia hari ke 3 Madinah menerima tetamu Allah.


MasyaAllah, tiga subuh terakhir yang sangat berbeza. Hari ini saya tertolak ke saf yang ke belakang. Alasannya, saya masih menggunakan jadual lama. Begitulah hakikatnya. Masa dan suasana yang berbeza memerlukan kita bersegera mengubah rutin kehidupan.


Namun saya suka dan teruja suasana sebegini. Saf menjadi lebih padat. Malah rasa seronok menyaksikan pelbagai tingkah laku tetamu Allah terutamanya bagi mereka yang pertama kali berada di sini.


Usai subuh tadi saya menyaksikan tiga rakan kelihatan bermasalah.


“Haji, macam ada masalah aje,?” saya menyapa memikirkan tidak perlu tergesa-gesa pulang ke rumah.


“Kami kehilangan selipar?”


“Nombor berapa rak?”


“42″


“Haji, di sini nombornya 300 ke atas. Betul di kawasan ini?,” saya memerhatikan kawasan sekitar pintu King Fahd, pintu di kawasan belakang Masjid Nabawi.


“Saya letak di rak begini,” ditunjuknya rak kasut bertingkat.


“OK… haji dari hotel mana?”


“Al-Haram….”


“OK, jika itu hotelnya, InsyaAllah pintu inilah yang paling hampir. Ada kemungkinan Haji letak di kawasan dalam masjid. Mari kita ke hadapan sedikit”


MasyaAllah, letak di dalam dikatakan di luar. Tersengih mereka bertemu kembali selipar kesayangan.


Ketiga-tiganya mahu mencium tangan saya. Allah… cepat-cepat saya tarik tangan sambil tersenyum memikirkan ada suatu perkara yang tidak mereka ketahui, “sudah berpasang-pasang saya dan Amirul hilang selipar di sini”.


Tetamu Allah

Kumpulan pertama berkunjung ke rumah kami di Jabal Uhud


Nurul dan suami (Amir) menghantar e-mel untuk berkunjung ke rumah kami. Mereka orang yang pertama. Tahun lepas, saya terus mencatatkannya ke dalam kalendar.


Tahun ini sistemnya berbeza. Saya membalas e-mel dan menyatakan, “sampai sahaja di Madinah, telefon saya. InsyaAllah saya akan maklumkan bila masa dan ketikanya saya akan jemput Nurul ke rumah”.


Pengalaman mengajar saya sesuatu. Ia lebih mudah begitu. Notis sehari-dua mengatasi masalah kelewatan pernebangan, logistik dan perubahan keutamaan jemaah.


“Prof, kami sudah sampai di Madinah”.


“OK, besok malam selepas Isya tunggu kami di parking 11A”.


Kemudian Syukur dan Isteri juga membuat panggilan, “Prof kami sudah sampai di Madinah”. Maka saya memberi jawapan yang serupa. Genap 4 orang yang membenarkan Dodge mengisi penumpang.


Lebih awal, seorang pelajar Madinah yang berkenderaan memohon untuk membawa tetamu ke rumah. Akhirnya mereka berlima.


Beberapa jam sebelum tiba waktunya, kedua pasangan [Nurul dan Amir serta Syukur dan Liza (?)] menghantar SMS dan bertanya, “ada kawan kami ingin turut serta ke rumah prof, boleh tak?”


Maka saya memberi jawapan, “mohon maaf, tidak boleh. Saya sudah mempunyai tetamu lain”.


Allah… Allah… terujanya hati saya menerima kembali tetamu Allah. Lebih gembira lagi kerana dapat menyampaikan sedikit ilmu yang mungkin boleh difikirkan oleh mereka.


“Besok hari Khamis. Mari kita mulakan puasa Isnin-Khamis di sini. Kita belajar bagaimana para Nabi dan Anbiya berpuasa”.


Mudah-mudahan ada di antara mereka yang mahu melakukannya. Allahu Akbar… SubhanaAllah… Kami hanya menyampai dan memberi motivasi, Engkaulah ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Buka dan lembutkanlah hati mereka untuk menjadi manusia yang lebih hampir kepadaMu.


Kami mohon keampunanMu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 19, 2012 21:35

September 18, 2012

Marah atau ketawa?

Di mana Raudhah, beliau bertanya usai beliau selesai berdoa. Agaknya apa jawapan saya....


Saya pilih untuk ketawa!


Begitulah. “Haji, bila sampai,” saya bertanya beliau yang tersenyum ketika melangkah ke Masjid Nabawi.


“Baru sampai. Saya tidak tahu di mana mahu dituju”.


“Baik, ikut saya”.


Lalu saya membawa beliau ke kawasan saf di belakang Raudhah.


“Di sana bilik jenazah, itu makam Baginda SAW, tempat Imam dan di situ Raudhah. Nanti lepas solat kita ke sana”,


Ia usai solat Asar. Saya membawa beliau ke Raudhah dan Alhamdulillah berjaya meletakkan beliau di kawasan yang strategik.


“Duduk di sini dan berdoa”.


Saya berdiri di belakang beliau. Nampak sangat beliau berdoa main-main.


Beberapa ketika kemudian saya mengajak beliau keluar untuk menunjukkan beberapa tempat penting sebelum memberi sedikit panduan.


Tiba-tiba beliau bertanya, “Di mana Raudhah?”.


Komen subscriber Update FB


Pehin Seri Kadangkala, kita yang diberikan kelebihan kefahaman Islam dan kehidupan Islam ini lemas dalam kelebihan kita hingga merendah-rendahkan orang lain yang tidak mendapat nikmat yang sama, orang lain yang tidak memahami fikrah seperti kita.Semoga kita semua dijauhkan Allah drp berperasaan begitu.


Jawapan saya

Muhd Kamil Ibrahim Salam sejahtera Pehin Seri, saya tidak dapat mengelak daripada tersenyum membaca komen tuan. Saya sudah menjangkakan akan ada yang mengaitkan begitu.


Ketawa atau marah, begitulah pertanyaan spontan apabila ditanya “Di mana Raudhah?” apabila baru keluar dari Raudhah seumpama tuan berfikir dengan entri di atas.


Jadi terpaksalah saya tulis sedikit lagi memandangkan ada yang silap faham memikirkan saya merendah-rendahkan beliau itu. Tidak. Kami sama-sama ketawa selepas itu.


Saya menghabiskan 1 1/2 jam memberi tazkirah khas kepada beliau tanpa terlintas sedikit pun untuk merendah-rendahkan beliau.


Moral cerita saya mudah sahaja, jangan fikir semua orang tahu. Ia berlaku begitu. Itulah kisah yang boleh diteladani.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 18, 2012 11:54

September 17, 2012

Bab 1: Bertahankah Rindu?

Hujung 2006.


Kami mendarat dengan selamat di Terminal Haji, Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, Arab Saudi. Ia perjalanan panjang ke Luar Negara yang sangat berbeza berbanding dengan perjalanan menuju Dundee, Scotland pada 1992. Ketika itu saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana. Seisi keluarga, Roza (isteri), Sara (anak pertama) dan Azrai (anak kedua) ikut serta.


Itulah pengalaman pertama berada di Luar Negara. Berdebar. Namun ia hanya rasa biasa-biasa menempuh sesuatu yang baru. Apatah lagi pertama kali berada jauh dari suasana dan budaya lazim. Debar di hati tidak melarat jauh kerana ia diimbangkan dengan kehadiran keluarga hampir terutamanya Siputih Kuning – Roza – yang sentiasa berada di sisi.


Maksud saya, sesuatu tindakan atau suasana bodoh dan jahil boleh bertukar menjadi pengalaman melucukan. Realitinya, saya dan Roza sentiasa berada di dalam perasaan teruja kerana kami seolah-olah berbulan madu di Luar Negara walaupun usia perkahwinan sudah menghampiri tiga tahun.


Malah sesi berbulan madu yang tertunggak hadir bersama sepasang anak kecil. Ia sesuatu yang dinanti-nantikan. Lalu berada di United Kingdom ketika usia galak beradventure nyata tidak menakutkan. Debaran di dada yang sesekali melintas di hati bukanlah rasa kronik. Ia berlaku atas sifat kelemahan manusia. Datang dan berlalu. Ia tidak kekal lama.


Ketika mendarat di Heathrow, kami sekeluargalah yang paling lambat beredar meninggalkan kapalterbang. Sara baru berusia duaa tahun dan Azrai pula masih belum pandai berjalan. Ia membataskan pergerakan kami sekeluarga. Apatah lagi dengan kamera di bahu, bekal keperluan bayi dan anak kecil serta beg dokumen di kedua-dua pasang tangan juga tidak membantu kami bergerak pantas.


Kami berjalan mengikut arus. Kesemuanya berjalan pantas-pantas. Agaknya kebanyakan mereka sudah biasa dengan London. Dan kami tertinggal. MasyaAllah, panjangnya barisan pemeriksaan imigresen. Terasa sangat sukar. Ia tentu sekali melemaskan terutamanya selepas menempuh perjalanan hampir 13 jam. Kami bergilir-gilir mendukung Azrai. Sara pula walaupun mampu berdiri sendiri perlu diawasi pergerakannya. Beliau kelihatan sangat aktif.


Namun suasana tiba-tiba bertukar. Kami hanya perlu berdiri seketika. Kesemua mereka yang bersama kanak-kanak diminta ke hadapan. Laluan imigresen panjang menjadi singkat kerana Sara dan Azrai – anak yang masih kecil – diberi keutamaan. Alhamdulillah, pertimbangan kemanusiaan berada di London. Mereka menyambut tetamu dengan perasaan.


Alahai…. dalam suasana kelam-kabut dan mahu cepat kami tertinggal kamera mahal yang dibeli semata-semata kerana ke United Kingdom. Allah… Allah… ketika berpatah balik ia masih disimpan oleh pegawai bertugas.


Kami bersyukur malah teruja dengan sikap jujur mereka. Begitulah rasa kami sekeluarga. Lalu perjalanan tambahan London – Edinburgh – Dundee sehingga kami diberi kemudahan rumah universiti tanpa karenah birokrasi nyata melegakan. Ia pengalaman indah di bumi asing. Kami jatuh cinta serta merta.


Malah rasa cinta ini terus melebar sepanjang tempoh kami di sini. Ia pengalaman hidup yang tidak mahu kami lupakan. Itulah perasaan yang dapat disimpul kemas ketika mengucapkan, “selamat tinggal Dundee” dan kembali ke Kuala Lumpur pada hujung 1993.


Kini, sudah hampir 15 tahun kami meninggalkan Dundee. Kerinduan tercipta ketika tahun pertama kami pulang ke Malaysia susut sepantas masa berlalu. Kami sangat-sangat menghargai pengalaman tersebut namun jika ditanya, “mahukah kamu kembali ke Dundee?,” maka jawapan kami tidaklah terlalu sukar. “Terima kasih, cukuplah. Biarlah sisa baki masa yang ada – jika berpeluang – kami ingin melihat keindahan bumi Allah di kawasan yang berbeza”. Lebih pantas kami menjawab TIDAK jika ditanya mahukah kami bermukim lagi di sana.


Akhirnya kami mengerti betapa itulah erti rindu kami pada Dundee. Ia tersimpan kemas pada sudut kecil memori kehidupan yang pastinya akan terpadam jua. Hanya masa menentukannya.


Di Jeddah ia sangat berbeza. Kehadiran kami berempat – saya, Roza, Adik Na dan Kak Mie – menyambut panggilan illahi adalah untuk menunaikan ibadat haji. Ia pengalaman pertama berada di Tanah Haram Mekah dan Madinah. Hati berdebar. Sangat berdebar. Ia suasana yang sangat-sangat berbeza, hati dan perasaan.


Jika saya dapat mengulas dengan satu patah perkataan untuk menggambarkan rasa debar tersebut, maka saya memilih perkataan KRONIK. Debar yang sangat kronik. Pengalaman ini telah dibukukan melalui Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.


Tentu sekali ia sepatutnya begitu. Kami tiba dalam keadaan berihram. Dua helai kain putih yang tidak berjahit itu sendiri membawa pelbagai perlambangan. Kami tertakluk kepada 13 pantang larang besar. Ia perintah Allah SWT. Lalu kami tidak banyak bercakap sesama sendiri.


Banyak memikirkan perjalanan yang bakal ditempuh. Allah… Allah hati menyebut, “Subhanallah, Subhanallah, ya Allah permudahkanlah, ya Allah permudahkanlah. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami. Kami datang ke sini semata-mata kerana Mu ya Allah”. Tanpa kami sedari, airmata mengalir di pipi. Pipi kering dan basah silih berganti.


MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Di sini juga laluan imigresennya sesak. Kelihatan, jemaah haji dari pelbagai negara beratur panjang. Kaunternya banyak namun tidak bergerak. Kami beratur di kaunter tertentu. Tiba-tiba tanpa sebarang notis pegawainya beredar begitu sahaja. MasyaAllah, berpindahlah kami ke kaunter lain. Begitulah, urusan singkat menjadi sangat panjang.


Kami beratur lama. Kurang lebih tiga jam. Kemudian menunggu lagi sebelum di bawah ke Mekah. Bayangkanlah bagaimana kami tiba di sekitar dua-tiga pagi, beratur di kaunter imigresen dan terpaksa berbaring-baring di kawasan lapang jemaah sebelum menaiki bas yang hanya berlepas pada jam 9.00 pagi.


Ia pengalaman awal yang getir dan mencabar. Perasaan di hati tentunya bergelodak. Malah ia mungkin dipenuhi dengan perasaan keloh kesah, gundah gulana dan sumpah-seranah kecuali mereka yang diberi rasa kusyuk, sabar dan tenang dalam menghadapi ujian menunaikan fardhu haji.


Begitulah gambaran kehidupan bermukim di Mekah dan Madinah selama 46 hari. Ia dipenuhi dengan cabaran dan ujian jasmani serta rohani. Hari-hari yang dilalui beremosi. Airmata sentiasa gugur walaupun hanya memandang kaabah atau ketika berada di dalam masjid Nabawi.


Apatah lagi ketika sujud merendahkan diri kepadaNya, memohon keampunan di atas dosa-dosa lampau. MasyaAllah, segala kesulitan fizikalberganti dengan damai di hati sehingga – pada suatu ketika – tercetus kata-kata berikut kepada adik Na bersaksikan Roza dan Kak Mie,


“Ya Allah Na, jika abang ada peluang mahu rasanya menetap di Mekah ataupun Madinah. Mana-mana abang tidak kisah. Kedua-dua tempat yang barakah. Hati jadi seronok, tenang dan damai. Insyaallah, abang akan datang kembali untuk menetap di sini selepas Sofea berumur 20 tahun”


Ia rasa rindu ketika masih berada di sana. Malah rasa rindu tersebut makin terasa ketika mahu meninggalkan Madinah menuju Kuala Lumpur. Bergenang air mata. Sejuknya tetap sama, semasa mendarat dan ketika berlepas pergi. Allah ya Allah, ia rindu yang tidak mungkin sama dengan kerinduan ketika meninggalkan Dundee walaupun kehidupan fizikal di sana nyata lebih selesa, teratur dan sistematik berbanding dengan kehidupan Mekah dan Madinah yang dipenuhi dengan pelbagai dugaan dan ujian.


Malah kami terfikir, bertahankah rindu ini sehingga kami pergi buat selamanya?


Kami mohon keampunanMu ya Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 17, 2012 20:52

September 16, 2012

Doa buat semua

2 jam lagi di sekitar jam 8.00 pagi waktu Madinah, jemaah KT01 Malaysia akan tiba di hotel masing-masing.


Saya berdoa dan berharap akan ada jemaah yang sangat bersemangat terutamanya mereka yang berpendidikan, biasa ke Luar Negara dan mahu yang terbaik mencampakkan beg mereka dan terus ke Masjid untuk menunaikan solat Dhuha di Raudhah dan bergerak melintasi makam Baginda SAW.


Namun ajakan ini terpakai buat semua yang tidak perlu bergantung kepada yang lain.


Barang siapa yang membaca catatan ringkas ini melalui HP mereka, percayalah, kawasan masjid masih kosong. Sekejap tadi, ketika solat subuh tiada tanda-tanda yang musim haji sudah bermula.


InsyaAllah, saya dan Roza juga akan melakukan perkara yang sama. Suasana seperti ini hanya akan dialami atau dinikmati semula oleh kami ketika hari Wuquf di Arafah dan selepas musim haji.


Selepas beberapa jam lagi Madinah akan berubah wajah dalam sekelip mata. Misalnya pada hari yang sama, 3 lagi penerbangan dari Malaysia akan sampai iaitu, KT02 sehingga KT04.


Ya Allah berikanlah kemudahan kepada kesemua khalayak KRTS, rakan FB dan kesemua yang mengenali kami dan mereka yang menunaikan fardhu haji pada tahun ini agar diberi kemudahan, bantuan dan ilham untuk melakukan yang terbaik sehingga Engkau menganugerahkan haji yang mabrur kepada mereka.


Kami mohon keampunan Mu ya Allah.


Doa dan Harapan

Moga mereka menjadi insan terpilih


11 pelajar universiti Islam Madinah menziarahi saya dan keluarga.


Alhamdulillah, saya selalu berdoa agar mereka ini akan menjadi golongan terpilih apabila pulang ke Malaysia. Peluang berada di Madinah, belajar dan menimba ilmu di sini merupakan satu nikmat anugerah Allah SWT.


Pesan saya sangat mudah, ambil dan rebutlah peluang ini sebaik mungkin. Nanti kita akan merinduinya bila tiada lagi di sini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 16, 2012 20:05

September 15, 2012

Doanya makbul

Jam 9.26 pagi


Dari kejauhan saya melihat beliau berdiri di sisi jalan di dalam kawasan universiti. Langsung tiada niat untuk saya memberhentikan kereta dan bertanya, “boleh saya bantu?”


Bila hampir, secara automatik kaki menekan brek. Lalu saya turunkan cermin sisi dan berkata, “tuan mahu ke mana?”


“Saya mahu mengambil gambar. Ke studio… saya pun tidak tahu di mana”.


“Oh… minta maaf. Saya hanya mahu ke kolej perempuan. Di hadapan itu sahaja”.


“OK… jika hantar saya ke jalan utama pun tidak mengapa. Saya boleh ambil teksi”.


Akhirnya beliau berada di sisi kanan saya.


“Jadid Taibah University”


“Saya baru sampai semalam. Hari ini lapor diri dan mereka meminta gambar pasport”.


“Dari mana? Fakulti”


“Saya dari Sudan. Fakulti Perubatan”.


“Sudan? Orang Sudan baik-baik. Saya ramai kawan Sudan. Anak-anak saya pun belajar di sekolah Sudan”.


Lalu saya terkenangkan kisah sebulan pertama di Madinah. Terbayang bagaimana Ayub – rakyat Sudan – yang membantu hampir setiap ketika.


Saya melihat jam. Janji saya dengan Roza di sekitar jam 10.00 pagi, “saya fikir saya sempat menghantar tuan ke studio tetapi tuan perlu mengambil teksi untuk kembali ke sini. Tidak jauh”.


Beliau tidak henti-henti mengucapkan syukur. Malah beliau sempat bercerita bagaimana ajaibnya beliau mendapat tawaran bekerja di Madinah.


MasyaAllah, Subhnallah, Allahu Akbar.


Lalu saya melihat semula peristiwa pagi tadi dengan pandangan mudah. Doanya dimakbul Allah. Kaedahnya adalah melalui saya yang tidak pernah berniat untuk berhenti dan bertanya.


Begitulah, Allah tidak terhitung bala tenteraNya untuk membantu manusia yang sentiasa berdoa dan bergantung harap.


Di sebelah mana kita berada, lihatlah dengan pandangan mata hati betapa Allah itu Maha Berkuasa. Tiada satu pun yang mustahil.


Kami mohon keampunanMu ya Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 15, 2012 11:27

September 14, 2012

Solat Jenazah

Inilah bilik tempat jenazah diletakkan. Sesiapa sahaja boleh masuk ke sini usai solat jenazah untuk memulakan pengusungan jenazah.


“Mama, mama, di sini memang orang mati setiap kali lepas solat?,” tanya Sofea, anak kami yang baru berusia 9 tahun.


“Ya… tiap-tiap saat ada yang meninggal. Di sini kita nampak kerana ada solat jenazah hampir setiap waktu solat,” Roza memberi jawapan.


“Mama, bagaimana kita tahu yang meninggal itu lelaki atau perempuan (wanita)?”


“Kalau Sofea dengar mu’azim menyebut macam rajoli, itu lelaki. Kalau bunyinya marhati… ti.. ti…, itu wanita. Kalau bunyinya tifli, maknanya kanak-kanak. Jika disebut rajoli wa tifli, maknanya lelaki dan kanak-kanak,” penjelasan orang yang buta bahasa Arab. Namun itu sudah memadai untuk anak kecil yang ingin tahu.


“Mama, budak kecil pun mati?”


“Semua orang akan meninggal. Ajal maut di tangan Allah. Sofea tengok sendiri, hari-hari kita melakukan solat jenazah di sini. Kerap kali kita dengar Tifli, Tifli. Lagilah kalau kita sudah tua macam mama dan ayah. Tentu tidak lama lagi ayah dan mama juga akan mati”.


Begitulah. Sofea menggunakan istilah mati. Ia agak kasar. Namun mati dan meninggal membawa pengertian yang sama. Cuma kematian buat mereka yang solat di masjid Nabawi kelihatan lebih hampir. Ia berlaku hampir setiap waktu solat. Lalu pada hari yang lain saya bercerita tentang kebaikan solat jenazah bersumberkan hadis riwayat Muslim yang bermaksud,


Sesiapa menyembahyangkan jenazah maka baginya satu qirat pahala. Dan apabila beliau turut serta menyaksikan pengebumiannya, maka baginya dua qirat pahala. (Ditanya baginda: Apakah itu qirat wahai Rasululullah?) Sedangkan satu qirat itu seperti besarnya gunung Uhud.


Akhirnya, Sofea tidak pernah meninggalkan solat jenazah di Masjid Nabawi. Dan saya pasti – InsyaAllah – jika beliau berjauhan dari Madinah atau Mekah, Sofea akan merindui saat-saat beliau solat jenazah yang mengingati beliau dengan kematian.


Barangkali bagi mereka yang pernah hadir di Masjid Nabawi, solat jenazah merupakan salah satu pengalaman yang melekat di minda. Ia peluang yang sukar diperolehi di Tanah Air sendiri. Malah lapan hari di sini – agak saya – pasti mengalahkan jumlah solat jenazah seumur hidup tinggal di kampung halaman.


Namun saya lebih bergembira jika kaum keluarga dan rakan-rakan mengaitkan kerinduan ini dengan sesuatu yang pasti mereka tempuhi, iaitu KEMATIAN. Bukan semata-mata peluang utuk melaksanakan solah jenazah yang dijanjikan berpuluh qirat sewaktu berada di Mekah ataupun di Madinah. Mereka yang mengingati mati – InsyaAllah – menjadi lebih hampir dengan Allah SWT.


Saya fikir, tiada tempat yang paling sesuai untuk mengingati kematian melainkan di masjid Nabawi atau Masjidil Haram. Benar, ia hampir setiap waktu akan ada solat jenazah. Jika dikenangi dengan mata hati, sudah pasti ia ingatan yang boleh membawa manusia menjadi insan yang mahukan kebaikan di sisiNya. Mudah-mudahan ingatan kepada kematian menjadikan manusia tidak sombong, riyak dan takbur.


Ia juga menjauhi kita dari perasaan hebat sehingga melupakan sifat manusia yang terlalu fakir, kerdil dan tidak mempunyai kudrat berbanding dengan Kehebatan, Kekuasaan dan Kekuatan Allah SWT. Misalnya dalam surah Al Anbiya, ayat 35 dinyatakan dengan tegas betapa kehidupan ini pasti bernoktah. Allah telah berfiman yang bermaksud,


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan yang sebenarnya dan hanya kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.


Malah ingatan kepada kematian seolah-olah sinonim dengan keberadaan saya di Madinah.


Saya fikir begitu.


Ia benar-benar menggamit ingatan ketika berada di Madinah semasa menunaikan fardhu haji pada 2006-2007. Kenapa? Hampir setiap waktu saya menunaikan solat jenazah, kemudian menyelinap masuk ke bilik jenazah dan seterusnya membantu mengangkat jenazah keluar ke Baqi. Kali pertama – tanpa sedar – air mata mengalir perlahan membasahi pipi. Ia tidak dipaksa-paksa.


Saya terkenangkan betapa saya sendiri tidak dapat menguruskan jenazah ayah dan ibu. Kemudian, minda terbayang – satu masa nanti – akan sampai masanya yang saya sendiri akan disolat, diusung dan dibawa ke tanah perkuburan yang bakal menjadi tempat rehat sementara. Ia bayangan ringkas sehingga dibangkitkan pada hari penghakiman yang akan menentukan samada ke syurga atau neraka.


MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Ia cukup menggetarkan jiwa dan perasaan. Lalu saya bertanya hati sanubari, “cukupkah amalan ku bagi mengadapMu ya Allah?”. Kesannya, airmata menitis tanpa sedar. Ia menyentap kalbu.


Di sini, solat jenazah disempurnakan usai solat fardhu. Ada sedikit ruang masa sementara menunggu Imam berwirid, bergerak ke bilik jenazah dan memulakan takbir pertama menandakan bermulanya solat tersebut.


“Kenapa Azrai solat sunat selepas solat fardhu tanpa menunggu solat jenazah?,” saya bertanya anak lelaki yang sedang bercuti di Madinah. Matanya memandang saya tanpa sebarang jawapan. Barangkali beliau berfikir, “apa yang salah? Solat sunat biasa dan solat jenazah masih dapat dilaksanakan”.


“Ayah tahu kita sempat solat jenazah jika kita solat sunat cepat-cepat. Jangan bohong dengan ayah, tentu sekali kita berkejar-kejar mengejar solat jenazah. Mengadap Allah tidak boleh begitu. Kita kena tenang, bersabar dan tidak berkira denganNya,” saya terus berkhutbah.


Begitulah.


Saya menyaksikan terdapat jemaah haji atau umrah yang terus menunaikan solat sunat selepas solat fardhu dan kemudiannya berhambat-hambat mengejar solat jenazah. Lebih rugi lagi ada juga yang meninggalkan terus masjid tanpa mengambil peluang untuk melaksanakan solat jenazah. Lalu rindu yang dibawa pulang hanyalah sekadar melihat solat jenazah dilaksanakan tanpa mengetuk pintu hati sehingga berbekas. Ia akhirnya berlalu tanpa kita sedari.


Ya Allah, kami mohon keampunan Mu ya Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 14, 2012 09:01

September 13, 2012

e-Book

Alhamdulillah.


Buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman dan buku 50 Tip Motivasi Haji boleh diperolehi melalui versi e-Book. Harganya jauh lebih murah berbanding dengan versi buku biasa.


Harga e-Book Travelog Haji hanya RM12.00. Manakala buku 50 Tip hanya RM9.99. Ia boleh dicapai melalui laman e-Book PTS di SINI.


Saya gembira kerana ia boleh menyebabkan khalayak pembaca yang lebih besar.


Mudah-mudahan ia boleh memberi manfaat.


Motivasi Pagi TV3


Besok, sambungan siri ke 3 akan disiarkan, InsyaAllah pada jam 7.00 pagi.


Selamat menonton.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 13, 2012 21:28

Iqra’

Roza mengajar Rukun Iman


Ia hanya bermula kerana kegagalan anak sendiri menjawab beberapa soalan asas tentang Islam. Kalau di Malaysia, tentu sekali saya boleh menyalah orang lain untuk menyedapkan hati sendiri.


Saya merenung Amirul dan Sofea. Mereka kain putih yang belum tercalar. Sofea belum akil-baligh. Namun sekejap lagi masanya akan tiba. Amirul juga kian meningkat remaja.


Akhirnya, wujudlah tusyen main-main bernama Iqra. Kami hanya mahu mengajar anak sendiri tetapi tenaganya tidak luak jika dipanjangkan kepada yang lain.


Kami bersungguh-sungguh dalam main-main. Roza menyediakan silibus apa yang ingin kami sampaikan. Namun pendekatan kami juga main-main kerana mereka masih suka bermain-main.


Roza bersungguh menyediakan makan pagi merangkap makan tengahari untuk anak-anak yang hadir. Akhirnya, hilang segala kepenatan setelah usai dua jam bersama mereka.


Moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat.


Tamu dari Jubail


“44 tahun hidup, saya tidak pernah puasa sunat Isnin dan Khamis. Saya mencuba setelah membaca blog prof. Ya Allah, ia tidak sukar dan seronok”


Ia hanya penyebab.


“Itulah nikmat beramal ibadat,” saya memberi response.


Beliau seorang yang gigih. Perjalanan ke Madinah hampir 13 jam. Selang sebulan beliau berada di sini. Bulan yang lain beliau berada di Mekah.


Allah memberi nikmat lalu digunakan nikmat tersebut dengan bersungguh-sungguh.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 13, 2012 09:39

Al-Iqra

Roza mengajar Rukun Iman


Ia hanya bermula kerana kegagalan anak sendiri menjawab beberapa soalan asas tentang Islam. Kalau di Malaysia, tentu sekali saya boleh menyalah orang lain untuk menyedapkan hati sendiri.


Saya merenung Amirul dan Sofea. Mereka kain putih yang belum tercalar. Sofea belum akil-baligh. Namun sekejap lagi masanya akan tiba. Amirul juga kian meningkat remaja.


Akhirnya, wujudlah tusyen main-main bernama Al-Iqra. Kami hanya mahu mengajar anak sendiri tetapi tenaganya tidak luak jika dipanjangkan kepada yang lain.


Kami bersungguh-sungguh dalam main-main. Roza menyediakan silibus apa yang ingin kami sampaikan. Namun pendekatan kami juga main-main kerana mereka masih suka bermain-main.


Roza bersungguh menyediakan makan pagi merangkap makan tengahari untuk anak-anak yang hadir. Akhirnya, hilang segala kepenatan setelah usai dua jam bersama mereka.


Moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat.


Tamu dari Jubail


“44 tahun hidup, saya tidak pernah puasa sunat Isnin dan Khamis. Saya mencuba setelah membaca blog prof. Ya Allah, ia tidak sukar dan seronok”


Ia hanya penyebab.


“Itulah nikmat beramal ibadat,” saya memberi response.


Beliau seorang yang gigih. Perjalanan ke Madinah hampir 13 jam. Selang sebulan beliau berada di sini. Bulan yang lain beliau berada di Mekah.


Allah memberi nikmat lalu digunakan nikmat tersebut dengan bersungguh-sungguh.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 13, 2012 09:39

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.