Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 6
September 29, 2012
Datang dan pergi

Ia bakal ditutup
Ini kawasan bumbung Masjid Nabawi. Inilah kali kedua saya berada di kawasan ini. Kali ini ia sunyi sepi. Karpet masih bergulung.
Kini sudah ramai jemaah yang sudah meninggalkan Madinah. Pantasnya masa berlalu.
Benar, terasa jemaah kali ini sangat kurang berbanding tahun sebelumnya.
Ia berkait dengan keputusan tiada kuota tambahan kepada semua negara.
Bagaimana dengan tahun hadapan? Agak saya ia semakin meruncing. Masjid Nabawi akan dibesarkan. Banyak hotel-hotel di kawasan sekitar akan dirobohkan.
Arahan sudah dikeluarkan agar pembinaan ini disegerakan bermula sejurus jemaah haji terakhir meninggalkan Madinah. Bila siap (dalam tempoh dua tahun), Masjid Nabawi akan menampung – InsyaAllah – 1.2 juta jemaah di dalam masjid dan 800,000 di kawasan dataran.
Moga kami dapat menyaksikan pembangunan terbesar dalam sejarah pembesaran Masjid Nabawi.
Membaca
Usai solat Asar saya berada di perpustakaan Masjid Nabawi untuk menyambung penulisan buku terbaru. Ramai jemaah haji yang kaki buku berada di sini. Mereka membaca.
Saya terkenang arwah Abah. Saya fikir beliau salah seorang daripada ratusan jemaah haji Malaysia yang bercerita tentang perpustakaan ini.
Ia agak logik kerana beliau sememangnya individu yang suka membaca. Malah beliaulah orang pertama yang membaca beberapa manuskrip buku saya dan Roza.
Namun Abah gagal menghabiskan bacaan manuskrip Travelog Cinta Abadi tulisan anak perempuan keduanya. Saya tahu beliau sangat sebak.
Membaca adalah sumber ilmu yang sangat berharga. Namun bacalah dengan nama Tuhanmu. Bacalah kerana ingin mencari keredhaan dan kerahmatanNya.
Membaca sangat mudah. Ke mana sahaja kita pergi biarlah ada buku di tangan atau di kereta atau di dalam beg tangan. Membaca bukan perlu menghabiskan satu bab sekali hadap.
Jika berada di bank atau klinik yang memerlukan menunggu giliran maka bacaannya bergantung kepada masa menunggu. Seminit membaca – kadang-kala – memberi ilmu yang boleh diamal selamanya.
MasyaAllah….
September 28, 2012
Ia mudah sahaja

Kami berkenalan di Dundee pada 1992. 20 tahun yang lampau!
Inilah pasangan Shahidan dan Norlia yang menjadi tetamu kami di RKDJU.
Ia kisah pagi semalam di Movienpick ketika saya menyampaikan ceramah motivasi haji.
Kami bertemu Shahidan dan Norlia yang sama-sama berada di Dundee, 1992-93. Katanya, kami ingin mengeluarkan wang dari Movenpick. Terdengar suara orang sedang berceramah. Dengar. Semakin hampir. Lalu melekat. Rupanya orang yang dikenali.
Kini hampir 20 tahun berlalu.
“Abang Shahidan?,” Roza menegur beliau.
“Kenal lagi…”
“Apa khabar?”
“Sihat, sudah tua….”
Benar, usianya sudah 55 tahun. Ketika kami bertemu bertandang ke rumah di Tayworks (?) usianya baru 35 tahun. Roza pula 25 tahun. Saya 28 tahun.
MasyaAllah, cepatnya masa berlalu. Benarlah, sudah tua!.
Buku Sekadar Resepi ada menyebut, “Roza buat rempah kari tidak susah… campur, campur itu, campur ini,”. Kakak itu adalah Kak Norlia yang kami bertemu kembali di sini.
Ceritanya mudah, bagi Roza ia kelihatan sukar tetapi tidak bagi Kak Norlia.
Wajahnya hampir tidak bertukar.
“Di sini, tugas akak menolak ibu-ibu yang berkerusi roda ke Raudhah. Ada anak sendiri yang tidak mahu menolak ibunya. Allah… mereka tidak tahu Allah bagi anugerah pada Kak Norlia. Kami ada laluan khas. Solat dan berdoa lebih aman di sini.
Begitulah. Ia mudah untuk Kak Norlia tetapi tidak buat si anak!
Hidup ini mudah. Membancuh kari dan ke Raudhah sama sahaja jika dipermudah Allah. Allah… kita sudah tua!
September 27, 2012
Memujuk
Saya tidak pernah mengajar kanak-kanak kecil. Khalayak saya pelajar Diploma, sarjana muda, sarjana dan PhD. Di luar bidang, saya berhadapan dengan mereka yang dewasa.
Mengajar kanak-kanak sangat berbeza. Kita adalah mereka. Bersama dengan tingkah-laku, pemikiran dan keinginan dalaman seorang kanak-kanak.
Ia nada memujuk berbanding menyampaikan.
Kesemuanya perlu dipadukan bagi memberi input baru yang bakal menjadi bekal seumur hidup.
Selain Amirul, tiada seorang pun anak-anak murid saya mengetahui rukun Islam yang lima secara lengkap. Semalam, setelah tamat sesi kedua, kesemuanya mungkin sudah ada sedikit ilmu berkaitan dengan asas penting ini.
Agak saya mereka sudah boleh bercerita kenapa kita perlu kepada rukun Islam. Mungkin setelah pulang ke rumah, mereka melupainya tetapi input tersebut sudah terekod di dalam kotak memori.
InsyaAllah dua minggu lagi saya akan bertanya kembali. Saya seronok, teruja dan menanti-nanti pertemuan seterusnya.
Pengerusi dan Bilal masjid Bukit Siput Segamat

Mereka dihidangkan dengan nasi Arab dan Teh Nak-Nak serta Pulut Mangga
Hampir dua tahun saya memberi kuliah Maghrib di Masjid Bukit Siput, Segamat.
Inilah masjid pertama yang memberi ruang untuk saya menyampaikan sedikit ilmu secara berkala. Peraturan berceramah di masjid sangat ketat. Ia banyak peraturan yang perlu dipatuhi.
Hampir kesemua jemputan saya ke masjid berlindung di sebalik ceramah motivasi. Ia lebih mudah begitu. Namun hampir kesemua mufti di negeri-negeri di Malaysia membenarkan saya berceramah bersandarkan permohonan yang telah saya ajukan secara rasmi pada tahun 2008-2009.
Ia berkisar kepada buku-buku yang telah saya hasilkan.
Begitulah. Saya mempunyai hubungan yang agak rapat dengan khalayak Masjid Siput. Setiap kali mereka berkunjung ke sini – InsyaAllah – mereka akan menghubungi kami.
Semalam giliran pengerusi dan bilal masjid berada di RKDJU. Kami doakan mereka senua akan mendapat haji mabrur.
Motivasi Pagi TV3
Besok dan lusa (Sabtu dan Ahad) – jam 7 pagi – bersambung siri Bersyukur Saat Diuji. Selamat menonton dan semoga ada manfaatnya.
September 26, 2012
Gambar kenangan

Mak pesan suruh cari Prof sampai jumpa, kata Rizal. Allah... Allah mereka tiga beradik menunaikan fardhu haji. Bergambar bersama pembaca Travelog Haji dari Thailand.

Tetamu Allah yang singgah di rumah kami di Jabal Uhud.
Bab 3: 20 minit 250 riyal
Kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah ketika waktu Maghrib. Suasana sangat berbeza berbanding ketika mendarat di Heathrow, London. Dulu kami berempat. Kini jumlahnya tetap sama.
Bezanya, kali ini kami bersama Amirul yang sudah berusia 13 tahun dan Sofea lapan tahun. Dulu, kami mendarat di Heathtrow bersama Sara dan Azrai yang baru berusia dua dan setahun. Dulu, pergerakan kami sangat terbatas. Kini, kami boleh berjalan cepat-cepat tanpa terbeban.
Dulu, kami di penghujung barisan. Kini kami berada di barisan paling hadapan pemeriksaan imigresen. Namun kami terpaksa berdiri lama. ia mengambil masa lebih daripada sejam. Cuma kami tidak mengeluh atau merasai ia proses yang lembab dan sukar.
Allah… Allah… kami masih segar membayangkan bagaimana terpaksa menunggu 2-3 jam ketika menunaikan fardhu haji pada 2006. Agak saya, tidak mungkin sistem pemeriksaan imigresen di sini mampu bertukar pantas dalam tempoh empat tahun.
Lalu tempoh sejam berbanding tiga jam berurusan yang pernah kami lalui merupakan tahap cemerlang.
Saya yang memberi markah!
Kami datang dengan visa dan permit kerja. Aturannya berbeza. Pertama, kesemua 10 jari kami diimbas sebagai rekod keselamatan. Kedua, kami perlu menghadap kamera.
Akhirnya barulah kami ketahui foto inilah yang digunakan dalam setiap urusan rasmi di Arab Saudi. Bayangkanlah wajah mereka yang baru mengakhiri masa perjalanan dan persiapan melebihi 10 jam.
Namun kegembiraan dan keterujaan mendarat di Madinah tidak dapat dilindungi atau dibohongi. Wajah yang dirakamkan melalui kamera imigresen Arab Saudi menceritakan sejuta makna. Tiga minggu kemudian kami menerima iqamah, permit kerja dan tanda pengenalan sebagai mereka yang bermukim di sini.
Kami ketawa melihat betapa cerianya wajah saya yang tersengeh besar apabila dihadapkan kamera di lapangan terbang.
Dua bulan kemudian, saya menerima lesen memandu. MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Ia masih menggunakan gambar yang sama. Gambar ketika hari tiba di Arab Saudi. Tentu sekali wajah terpampang menggambarkan perasaan pada ketika itu.
Itulah rakaman pertama dan ia – agak saya – menjadi begitu signifikan dalam perjananan panjang di Madinah ini.
Urusan selesai ketika azan Isya berkumandang. Allahu Akbar, hampir kesemua petugas meninggalkan kaunter untuk menunaikan solat Isya berjemaah. Saya mungkin dapat menelah perasaan mereka yang berada di belakang kami yang sudah menunggu lebih sejam. Tiba-tiba masa menunggu perlu ditambah lagi. Darah mungkin naik ke kepala.
Itulah sistem di sini. Solat berjemaah diutamakan dalam apa jua keadaan. Baik atau buruk, benar atau salah, kami berada di Tanah Haram di mana kesemuanya – petugas dan tetamu – merupakan orang Islam.
Allah, Allah, Allah, kami melihat mereka yang sudah biasa dengan keadaan ini mengambil kesempatan untuk solat sementara menunggu kaunter dibuka kembali. Solat bukan sesuatu yang sukar. Ia boleh dilakukan di mana-mana!
Urusan lain berjalan lancar. Kami sempat berkenalan dengan beberapa pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah yang baru pulang dari bercuti musim panas. Kami keluar ke balai ketibaan.
Tentu sekali saya menjangka akan ada sepanduk di luar terminal tertulis dengan nama Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim atau sekurang-kurangnya TAIBAH UNIVERSITY kerana kesemua maklumat ketibaan kami sekeluarga telah dimaklumkan.
Malah kami telah dimaklumkan akan ada kenderaan universiti menunggu untuk dibawa ke tempat penginapan sementara. Saya fikir ia tradisi universiti di Malaysia.
Tidak. Ia tidak begitu. Kami menunggu dan menunggu. Minit berganti minit. Kemudian ia berganti jam. Masa pantas berjalan kerana mereka yang bersama kami di dalam penerbangan terus KL – Madinah hampir kesemuanya sudah beredar.
Para pelajar Malaysia yang menuntut di sini juga hampir kesemuanya mahu bersegera pulang ke asrama setelah menempuh perjalanan panjang.
Allah… ia ujian pertama. Kami tidak tahu berbahasa Arab. Tiada alamat yang boleh dituju. Nombor telefon yang boleh kami hubungi adalah Timbalan Dekan. Beliau pula tidak fasih berbahasa Inggeris. Subhanallah. Namun masih ada anak-anak muda yang kelihatan mahu membantu.
Ia bukan dirancang tetapi mereka bersedia atas dasar persaudaraan. Lalu sedikit kesukaran dapat diatasi dengan bantuan mereka. Beberapa nama yang melekat di minda – Aizat dan Nasiri – serta beberapa yang lain akan saya kenang seumur hidup.
Alhamdulillah, merekalah yang menjadi jurubahasa, berhubung dengan Timbalan Dekan dan menguruskan pemergian kami ke hotel. Akhirnya kami diminta menaiki teksi terus ke hotel.
“Prof, dulukan wang tambang, nanti kami akan uruskan pembayaran balik,” janjinya begitu. Namun sehingga ke hari ini ia masih belum berganti. Saya tidak kisah dan ia sudah tidak terlalu mustahak.
Kami ingin bersegera ke hotel, mencampak bag pakaian dan berniat mahu terus ke masjid Nabawi. Itulah yang kami doakan.
SR150.
Itulah tambang dari lapangan terbang ke hotel. Minda terus mencongak jauh perjalanan dengan harga perjalanan KLIA – Shah Alam di sekitar RM58.00.
Ya Allah, saya fikir ia perjalanan jauh, melebihi 100 km. Tentu sekali ia mengambil masa di antara satu hingga satu setengah jam.
SR250.
Tiba-tiba sahaja kadar tambang meningkat sebelum kami bertolak. Saya tidak marah, tidak kisah dan segera bersetuju. Pertama, jangka saya ia akan dibayar semula oleh universiti.
Kedua, saya mahu menghabiskan kesemua wang yang dihadiahkan oleh rakan-rakan yang menghantar kami sekeluarga di KLIA. Salah seorang berkata, “Prof, ini sedikit belanja perjalanan”. Saya melihat beberapa keping not 100 yang dimasukkan ke dalam tangan ketika bersalam.
Alahai…. tentu sekali beliau mengetahui yang saya tidak memerlukan belanja tambahan. Namun saya menghargai ingatan beliau. Saya tidak menolak, senyum dan mengucapkan terima kasih.
Lalu bila sampai di Madinah saya boros menguruskan belanja perjalanan saya. Ia rezeki mereka yang berada di Madinah.
Malah kesemua wang tersebut saya habiskan kepada mereka yang telah membantu kami sekeluarga. Tidak sekali-kali saya mahu menjadikan ia harta yang boleh di simpan.
Lega.
Itulah satu perkataan yang dapat menghuraikan perasaan kami apabila MPV yang kami naiki bergerak meninggalkan lapangan terbang. Saya melihat kiri dan kanan. Laluan lapangan terbang bercahaya.
Malah ia dipenuhi dengan lampu-lampu sepanjang jalan. Allah…. Allah… kami dapat melihat menara Masjid Nabawi ketika pemandu mencari-cari hotel penginapan.
“Ya Allah, dekatkanlah kami dengan Masjid Nabawi ya Allah. Dekatkanlah kami ya Allah. Dekatkanlah kami ya Allah. Kami berhijrah ke sini semata-mata kerana Mu ya Allah”.
Itulah permohonan kepada Allah SWT di sepanjang perjalanan. Malah ia semakin kencang di dada apabila melihat menara masjid semakin hampir.
Saya fikir ia permintaan yang munasabah kerana – secara zahirnya – Masjid Nabawilah kami sanggup meninggalkan anak-anak, kaum keluarga dan sahabat handai. Kami mahu berhampiran dengan salah satu masjid yang disyariatkan untuk bermusafir dan beramal ibadat. Ia bandaraya Nabi Muhammad SAW.
Allah… Allah… MPV kami berhenti di hadapan hotel. Menara Masjid amat jelas kelihatan di sebelah kanan kami. Ia tidak terlalu hampir seumpama hotel-hotel bersebelahan dengan pagar masjid tetapi perjalanan berjalan kaki kami tidak sampai pun 10 minit.
Ia hanya lima minit Jika kami berjalan laju-laju dan beria-ia ingin cepat sampai. Kami lebih teruja mendengar khabar yang kami dibenarkan menginap di sini selama 10 hari dengan diberi kemudahan dua bilik dan internet. MasyaAllah, setiap bilik mempunyai empat katil.
Rasa letih dan lesu sudah mula menguasai diri. Namun mata masih sempat memerhati jam besar yang tergantung di kaunter masuk hotel. MasyaAllah, perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah ke hotel Raudah hanya mengambil masa tidak sampai pun 20 minit. Dan kosnya SR250.
Ahlan Wa Sallan, Madinah.
September 25, 2012
Raudhah di kemuncak
Hari ini saya dikejut untuk bertahajud lebih awal dari biasa.
Sayup-sayup saya terdengar deringan telefon. Saya bingkas bangun. Maklumlah, bila berjauhan phone saya sentiasa on.
Ia sentiasa di dalam mode deringan kecuali ketika berada di Haram. Namun sesekali saya terlupa untuk kembali menukar kepada mode dengar tersebut apabila usai solat.
Ia begitu memandangkan saya berjauhan dengan anak-anak, Sara dan Azrai. Juga, takut-takut mendapat khabar keluarga yang hampir dipanggil Allah.
“Prof, prof ingat saya yang minta prof doakan saya supaya dapat menunaikan fardhu haji?”
MasyaAllah, Subhanallah, Allahuakbar. Rupanya ada orang ingin menyampai berita gembira di kala tersebut.
“Puan tahu pukul berapa sekarang?,” saya bertanya.
Roza juga terjaga. “Kenapa yang?,” begitulah kerisauan bila mendapat panggilan di tengah-tengah malam.
“Orang dapat pergi haji kot,” saya memberitahu.
Tahniah kerana terpilih menjadi tetamu Allah. Dan mata saya terus berjaga!
Ia berlapis-lapis
Saya bercadang mahu berehat seketika menulis perkembangan di Masjid Nabawi. Banyak isu lain yang mahu saya tulis.
Namun realiti – ketika ini – kehidupan ini benar-benar berkisar kepada Jemaah Haji. Setiap hari ada sahaja perkara haji yang mahu disampaikan.
“Prof, MasyaAllah…. jumpa prof,” begitulah saya terdengar suara yang biasa didengari.
“Ustaz, bila sampai?”
Saya bertemu Ustaz Kamaruzaman, bekas rakan sejawat di UiTM Johor yang baru beberapa jam tiba.
“Hish…. ustaz tidak perlu ini semua,” saya memegang buku rujukan yang tergantung di leher. Beliau ketawa.
“Sudah masuk Raudhah?,” saya bertanya. Orang terlampau sesak. “Tidak ustaz, InsyaAllah. Jika mahu menunggu ia benar-benar kosong mengikut mata tentu sukar”.
Lalu sekali lagi saya menjadi penunjuk arah. “InsyaAllah, Raudhah sentiasa kosong,” saya menerangkan teori yang menjadi pegangan saya.
MasyaAllah, buat pertama kali saya melihat Raudhah begitu padat. Setiap ruang kelihatan dipenuhi oleh jemaah haji. Ada yang berdiri dan ada yang duduk berdoa dan membaca quran. Tiada saf!
“Ya Allah, berikanlah ruang kepada sahabat kami ini ya Allah. Permudahkanlah ya Allah, permudahkanlah ya Allah”.
Saya berkeyakinan betapa dalam keadaan sebegini rupa, mereka yang berada di dalam tidak akan bertahan lama. Bukankah Allah itu Maha Pengasih lagi Penyayang?
Saya cuba membawa Ustaz melalui laluan sisi. Gagal. Polis yang bertugas menghalang jemaah baru untuk masuk.
“Ustaz, ikut saya. Kita cuba melalui jalan belakang”.
Benar, Allah memberi jalan. Tidak sampai lima minit kami sudah dapat berdiri di atas karpet hijau. Lalu saya bisikkan kepada Ustaz, “ini sudah dikatakan sebagai kawasan Raudhah namun kita mencuba berada di dalam tiang yang berbingkai emas”.
“Berdoalah Ustaz…” saya tahu kami akan lama di sini. Ia seolah-olah tiada jalan keluar.
Saya sering berada di sini. Namun tidak selalunya saya beremosi. Hari ini terkecuali. Bila saya menyebut-nyebut doa Nabi Yunus terasa hati sayu dan sebak. Himpitan jemaah di kiri dan kanan nyata tidak menghalang saya merasai getaran di dada.
Barangkali saya sangat teruja melihat kenalan ini diperkenan Allah merasai berada di dalam Raudhah. Agaknya saya sebak melihat beliau dapat berlama di sini ketika pandangan mata menunjukkan tiada ruang kosong di dalam.
Allah…. Allah…. Itulah Kekuasaan dan Kehebatan Allah SWT!
September 24, 2012
Wajah-Wajah

Ia pandangan yang mengujakan. Pandangan sebenar sangat berbeza.
Saya lebih bertenang menghadapi musim haji tahun ini. Maksud saya, saya dapat melihat wajah-wajah dengan jelas dan lebih fokus dalam memberi bantuan kepada mereka yang memerlukannya.
Tahun lepas sangat berbeza. Pertama ia tahun pertama saya menetap di Madinah. Kami sekeluarga masih terawang-awang kerana baru tiba.
Kedua, banyak isu-isu domestik masih belum diselesaikan.Tidak berkenderaan. Anak-anak masih belum bersekolah dan terlalu bergantung kepada pihak lain.
Allah… Allah…. ramai yang datang mencari saya di Masjid Nabawi. Lalu hampir setiap waktu terluang diisikan dengan memberi sedikit panduan, pandangan dan pendapat. Ada yang rasa teruja tetapi ada juga yang terperangkap.
Dengar sakit telinga, mahu tinggalkan tidak tergamak!
Barangkali ulasan seorang jemaah yang bertemu saya menjelaskan situasi,
“Saya tidak mengenali profesor. Namun saya cam prof sedang bercakap dengan 2-3 orang jemaah. Dari kejauhan saya nampak seolah-olah mereka sedang dimarahi oleh prof.
Hati saya bertanya, kenapa pula? Hari ini saya memahami betapa semangatnya prof memberi motivasi kepada mereka”
Entah. Saya bercakap dari hati sanubari. Saya menangis jika ada yang kelihatan cuba melawak dengan ibadat haji mereka.
Malah saya tersangat sebak jika ada yang menyebut, “ini haji kedua saya. Biarlah saya duduk di hujung-hujung”.
Tentu sekali saya bersungguh-sungguh menerangkan falsafah haji kepada mereka yang tidak tahu pun makna talbiah yang sepatutnya dilaungkan semasa berada di dalam ihram.
Allah…. Allah…. setakat ini tiada seorang pun yang saya temui dapat menyatakan bagaimana kita berikrar sebanyak dua kali, “tiada sekutu bagi Mu, tiada sekutu bagi Mu,” dalam talbiah yang ringkas itu.
Mudah-mudahan bantuan yang sedikit ini memberi manfaat kepada mereka yang bersua muka dengan saya di Masjid Nabawi.
Menu Hari Ini

Inilah pilihan makan malam bila tiada tetamu. Gulai kawah kambing, telur dadar tomato, sambal belacan peach dan timun. Saya sukakannya.
September 23, 2012
Memerhati

Agaknya masjid yang paling simple di dunia. Namun ia berpadan dengan kosnya yang juga simple. Semoga Allah merahmati mereka yang telah memberi sumbangan untuk pembinaan masjid ini.
Pemerhatian atau observation adalah sebahagian daripada metod penyelidikan di peringkat PhD. Namun sokongan kepada kaedah ini diperlukan bagi memastikan ia memberi kesimpulan kajian yang adil dan saksama.
Tentu sekali ia perlu disokong dengan teori dan dapatan terdahulu. Namun ia boleh juga menjadi gagasan atau temuan baru yang perlu dipertahan.
Namun al-Quran telak meletakkan pemerhatian sebagai satu kaedah meningkatkan iman yang besar peranannya sehingga boleh membentuk akidah yang nyata lagi jelas.
Allahu Akbar. Perhatikan terjemahan ayat Al-Imran ayat 190 yang bermaksud,
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulil Albab (orang yang berakal)”
Orang yang berakal di sisi Allah tidak semesti bergelar profesor. Malah berkelulusan daripada universiti tersohor juga tidak semestinya bergelar Ulil Albab.
Misal yang paling mudah, bagaimana saya tersangat bodoh dan dungu kerana bertahun-tahun memilih untuk berbuka puasa di rumah sehingga meninggalkan solat maghrib berjemaah di Masjid. Ia pilihan yang sangat mudah bagi mereka yang berakal.
Allah… Allah… ketika itu pun saya sudah bergelar Profesor Madya, menjawat jawatan Dekan dan berkelulusan PhD yang dapat disempurnakan dalam tempoh 32 bulan.
Kelihatan saya begitu bijak dan hebat dengan segala percapaian tersebut. Hakikatnya – di sisi Allah – saya adalah manusia yang sangat lebam sifatnya.
Saya sering menyebut betapa Allah mengurniakan ilmuNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki tidak kira keturunan, darjat atau bangsa. Bagi mereka yang berkehendak maka – InsyaAllah – mereka akan dikurniakan ilmu tersebut.
Namun tentu sekali ia ada aturan tertentu. Berulang kali dinyatakan betapa dalam setiap kejadian terjadi mengikut aturannya. Namun Allah Maha Berkuasa. Ia boleh melakukan apa sahaja.
Barangkali itulah hasrat saya menyampaikan tazkirah kepada 4 tetamu kami di RKDJU. Pertama, pasangan Tuan Haji Zakaria dan isteri bekas staf saya ketika menjawat jawatan Pengarah UiTM Johor.
Kedua, pasangan adik-beradik wanita yang hadir menunaikan fardhu haji tanpa kehadiran suami. Berdasarkan pemerhatian tingkah laku, saya mempunyai beberapa dapatan tertentu. Namun saya tidak berani untuk membuat kesimpulan tertentu.
Akhirnya ketika mengadap Nasi Arab – apa yang bermain-main di fikiran menjadi nyata – beliau menyatakan, “saya datang tanpa suami. Suami saya……”.
Lalu saya memotong cakap beliau. “Suami puan teruk…. sudah… jangan sampai ke Madinah mahu menceritakan kisah buruk suami sendiri. Adakah suami puan seteruk Firaun? Siti Asiah isteri Firaun. Beliau dijanjikan mahligai yang besar di syurga”.
Allah… Allah… saya tidak suka berhujah ketika berhadapan dengan makanan. Tambah-tambah lagi Nasi Arab yang masih panas berlaukkan Ayam panggang dan Ayam Briyani JM.
Apatah lagi melihat Shawarma yang perlu dimakan dengan salad dan carikan ayam.
Lebih utama, saya tidak gemar mendengar isteri memburuk-burukkan suami di rumah kami yang berada di Tanah Haram. Apatah lagi ketika menunaikan fardhu haji.
Kami mohon keampunan Allah. Moga kita mendapat haji yang mabrur.
Masjid KRTS
Alhamdulillah. 80 peratus telah disiapkan dengan yang terakhir sekali pembinaan atap/siling.
Kini, fasa terakhir akan bermula esok yang melibatkan kegiatan memplaster bangunan dan beberapa perkara yang kelihatan kecil.
Ia akan mengambil masa sebulan.
Walid bertanya, “Dr mahu ke Galkayo bila masjid ini siap?”
Saya tersenyum tanpa memberi jawapan.
“InsyaAllah, kita boleh guna masjid ini selepas musim haji”.
“Ada majlis pembukaan?,” saya cuba membandingkan dengan kaedah di Malaysia.
“Ada. Biasanya kita buat kenduri. Jemput orang kampung datang dan bersolat di masjid baru”.
Duit lagi. Itu yang saya fikirkan. Namun jauh di sudut hati saya bersyukur dengan kemudahan yang Allah berikan dalam pembinaan masjid ini. Biarlah mereka mahu meraikannya.
Alhamdulillah.
September 22, 2012
Bab 28: Air Zam-Zam

Ini air minuman di luar Masjid Nabawi. Namun ia bukan air Zam-Zam.
Artikel ini adalah Bab 28 buku terbaru (Update dari entri terdahulu)
Air Zam-Zam bukan lagi terlalu sukar didapati.
Kita tidak perlu ke Mekah atau Madinah untuk mendapatkan air ini. Di Kelana Jaya terdapat bekalan air Zam-Zam. Terdapat bekas pelajar Madinah melihat air ini sebagai komoditi perniagaan telah menjalankan perniagaan perkhidmatan door to door penghantaran air ini.
Maksud saya, air Zam-Zam sudah boleh diperolehi melalui kemudahan internet. InsyaAllah dengan satu panggilan telefon barangkali 5 atau 10 liter air Zam-Zam akan muncul di muka pintu.
Saya sendiri gemar air Zam-Zam. Rasanya luar biasa. Namun saya suka meminumnya di dalam masjid Nabawi atau pun Masjidil Haram. Pernah saya singgah sekejap ke Masjid Nabawi di luar waktu solat kerana terlalu haus. Niat asalnya hanya mahu merasai kesejukan air tersebut mengalir tenang hingga ke seluruh urat saraf.
Bayangannya begitu. Malah ia menjadi amalan untuk berselawat, membaca surah al-Ikhlas dan berdoa ringkas kepadaNya agar ia menjadi penawar menyembuh segala penyakit. Namun amalan ini tidak terhenti di situ. Ia sering diucapkan ketika menyuap makanan lain.
Lalu saya tersenyum bila ada yang menulis, “prof, minum air Zam-Zam banyak-banyak. Ia boleh jadi penawar” bila saya sesekali bercerita tentang sakit tekak, demam dan rasa tidak sihat ketika berada di sini.
Alhamdulillah, saya bermukim di sini. Minuman harian kami sekeluarga adalah air Zam-Zam. Setiap kali masuk masjid Nabawi – InsyaAllah – saya akan minum 3-4 gelas air Zam-Zam. Usai solat 1-2 gelas. Di antara solat minum lagi….. Bayangkanlah jika saya bersolat 5 waktu sehari semalam di Masjid Nabawi.
Secara bergurau saya bertanya, “berapa banyak lagi yang perlu saya minum untuk menghilangkan rasa tidak sihat tersebut?
Ada yang bercerita bagaimana beliau mengisi air Zam-Zam di dalam botol mineral dan akan membawanya bersama setiap kali tawaf Kaabah. Katanya lagi, air mineral ini dibawa pulang ke Malaysia dan jika anak-anaknya demam-demam maka beliau akan memberi minum air zam-zam ini.
Sembuh!
Tentu sekali saya mempercayai dan yakin betapa air Zam-Zam ini merupakan anugerah Allah yang tidak terhingga kepada hambaNya. Malah sudah terbukti ia mempunyai khasiat yang luar biasa.
Pelbagai kajian telah dilakukan secara ilmiah atau melalui catatan pengalaman mereka yang soleh dan solehah tentang kehebatan, keberkatan dan betapa mujarabnya air ini.
Namun untuk mempercayai kehebatan air Zam-Zam melangkaui betapa Allahlah yang menyembuhkan segala penyakit tentu sekali sangat membahaya bila ia berada di tangan mereka yang lemah akidahnya.
Saya lebih suka menyatakan, “tuan sakit?, bersabar dan banyakkan solat. Mohon padaNya supaya disembuhkan agar tidak berbekas lagi. Jika berkesempatan, minumlah air Zam-Zam dan mohon padaNya agar ia boleh jadi penyebab untuk menyembuhkan”.
Air Zam-Zam hanyalah satu ikhtiar yang dianjurkan.
Begitulah…. juga, bila bertawaf dengan mempunyai pelbagai niat menyebabkan saya sedikit khuatir. Perbetulkan niat, InsyaAllah dengan memberi minum air Zam-Zam, membaca Fatihah dan berdoa kepadaNya – saya fikir – Dia boleh menyembuhkan dengan RahmatNya.
Malah jika berikhtiar dengan memakan panadol atau antibiotik pun kita perlu memohon kepadaNya agar ia dijadikan penyebab untuk menyembuhkan. MasyaAllah, Subhnallah, Allahu Akbar, pelbagai ikhtiar perlu dijalankan sebelum berserah dan bertawakal kepadaNya.
Malah proses mencari ubat itu sendiri sebahagian daripada usaha yang perlu mendapat keredhaan Allah.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
Hakikatnya, air Zam-Zam sangat sinonim dengan tetamu Allah yang berkunjung ke Mekah dan Madinah. Hampir kesemuanya mengambil kesempatan untuk menjadikan air Zam-Zam sebagai minuman harian. Mereka minum di dalam masjid lalu mengisi botol mineral untuk di bawa pulang ke hotel. Itulah minuman utama semasa di Tanah Haram.
Terdapat juga jemaah mengambil kesempatan yang lebih mudah dengan mengambil minuman menggunakan pili di luar kawasan masjid. Ramai yang menyangka ia juga telah diisi dengan air Zam-Zam.
Lalu setiap kali saya melalui kawasan ini akan saya maklumkan kepada jemaah yang faham berbahasa Melayu. Pada satu ketika ada saya memberitahu seorang jemaah yang sangat segak penampilannya,
“Minta maaf Haji. Air ini boleh diminum tetapi jika tuan Haji fikir ia air Zam-Zam, saya dimaklumkan ia bukan air Zam-Zam. Minumlah di dalam masjid”
Saya anggap ia sebagai satu amal ibadat.
Beliau kelihatan terperanjat. Namun bila beliau reda seketika beliau menyatakan, “saya haus. Air ini pun sudah di tapis”. Saya senyum. Barangkali di pejabat beliau seorang bos besar. Kemudian saya beredar kepada sekumpulan jemaah yang lain. Mereka bertiga.
Gambaran umumnya mereka golongan biasa-biasa. Saya sebut perkara yang sama. Secara spontan salah seorang daripada mereka menyebut, “Allah… terima kasih haji. Kami tidak tahu. Mati-mati kami ingat air Zam-Zam”.
Namun ada persoalan yang lebih besar. Setiap kejadian yang berlaku membuatkan saya berfikir. Ada pengajaran di sebalik yang tersurat. Lalu saya mengaitkan dengan kelemahan diri. Kejahilan menyebabkan saya berterus-terusan melakukan perkara yang sama.
Misalnya dalam konteks melaksanakan amal ibadat, betapa kita menyangka telah dan sedang melakukan sesuatu yang betul berdasarkan amalan tradisi keluarga.
Hakikatnya, bertahun-tahun kita melakukan sesuatu yang salah. Lalu apabila kita dimaklumkan, kita berasa kecewa dengan apa yang sedang kita amalkan dan mencari jalan untuk melegakan hati sendiri. Sebaliknya, ada juga yang terus mahu berubah ke arah kebaikan.
Allah… Allah… lalu saya bisikkan kepada diri sendiri betapa kita sudah berada di dalam Masjid Nabawi atau Masjidil Haram. Air Zam-Zam ada di kawasan berhampiran. Seramai mana pun jemaah di dalamnya – InsyaAllah – kita boleh meminumnya tanpa sebarang masalah.
Lalu tidakkah mahu kita berfikir, itulah bezanya air zam-zam di Kelana Jaya atau Door to Door Service yang ada di Malaysia. Tentu sekali air Zam-Zam yang di minum di dalam Masjid Nabawi berbeza dengan yang di minum di hotel atau di rumah.
Bezanya bukan pada airnya tetapi tempat di mana kita berada. Ia lokasi yang disyariaatkan bermusafir bagi menjalankan amal ibadat.
Namun di mana sahaja kita berada, minumlah semata-semata kerana Allah!
Allah… Allah… ya Allah aku mohon keampunanMu ya Allah.

Tugas 24 jam mengisi dan menghantar air Zam-Zam ke dalam masjid

Di dalam masjid, beginilah susunannya di sepanjang laluan penjalan kaki dan di kawasan saf. Jika ada yang berada di belakang kita, isi dan hulurkan kepada beliau. Buatlah kebaikan. Apa yang hendak dikejar sangat!
September 21, 2012
Mata
Ia bahasa badan yang sangat mudah ditelah.
Mata mempunyai banyak rahsia. Ia melihat sesuatu, juga ia bersifat memberi. Pandangan mata membenarkan rasa ia diamati atau dihargai.
Ia juga menunjukkan rasa kasih-sayang. Malah mata juga boleh menceritakan kebosanan.
Ada mata yang mahu melihat dengan tekun dengan apa yang mahu disampaikan. Ada mata yang terperangkap kerana keadaan.
Ada bola mata yang berpusing-pusing jauh. Tidak tetap kedudukannya. Ada yang tidak mampu melihat satu.
Ada mata yang kelihatan bercahaya dan segar bugar.
Saya bertemu dengan banyak pasangan mata. Ia berbeza-beza. Ada yang bersatu dengan hati lalu bergelar mata hati. Ia mempunyai pandangan yang berbeza.
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
Saya berdoa agar penglihatan saya tidak seumpama ayat 7 surah al-Baqarah ini, tertutup pandangan walaupun sepatutnya ia kelihatan jelas, mudah dan logik.
Kami mohon keampunan Mu ya Allah.
Puasa Nabi Daud
“Mulai sekarang Amirul mahu berpuasa Nabi Daud,” inilah kejutan paling besar yang kami – saya dan Roza – terima.
Benar, mereka – Amirul dan Sofea – sudah konsisten berpuasa Isnin dan Khamis tetapi mahu mengamalkan puasa Nabi Daud adalah suatu keajaiban.
Pagi tadi kami bertiga bersahur. Entah berapa lama bertahan, saya pastinya menunggu dengan sabar. Lalu saya akan tambah doa saya buat Amirul, “Ya Allah berikanlah kekuatan padanya untuk meneruskan puasa sunat yang Engkau paling sukai ini ya Allah”.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
Tetamu Haji
Malam tadi kami menerima 4 lagi tetamu haji di RKDJU. Naza dan suami serta Roslina dan suami.
Alahai… terlupa mahu merakamkan kehadiran mereka. Saya ketawa mendengar permintaan Roslina, “ada rakan kami sangat meminati Roza dan Prof. Beliau minta kalau ada lebih nasi Arab yang Roza masak, minta bungkus”.
Bagus tu…. maka nasi Arab malam tadi licin sampai ke kerak. Langsung tidak membazir!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
