Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 8
September 12, 2012
Sisi berbeza
Perpustakaan Masjid Nabawi
Kelas pertama disampaikan kepada pelajar wanita Universiti Taibah.
Tiada pengajar lelaki yang mahu mengajar mereka jika dberi pilihan Pertama, ia sukar tanpa melihat khalayak. Guru berada di dalam studio dan anak murid di dalam bilik yang tidak diketahui di mana.
Kedua, tanda-tanda mereka faham atau tidak nyata tidak dapat dikesan. Barangkali tiada kepuasan.
Terdapat tiga pilihan yang boleh saya laksanakan.Saya boleh memilih untuk menunjukkan wajah saya kepada mereka. Kedua, saya boleh menekan butang dua untuk menunjukkan apa yang ingin ditulis melalui projektor.
Butang tiga memberi pilihan untuk menayangkan powerpoint atau skrin komputer.
Menarik!
Begitulah jika mendengar cerita orang maka banyak benda yang tidak menyeronokkan. Alamilah sendiri dan cuba melihat daripada sisi yang berbeza.
Namun ada langkah penting yang perlu dilakukan. Mohonlah padaNya agar ia dipermudahkan. Malah saya meminta kepadanya, “Ya Allah berikanlah rasa kasih-sayang di antara kami. Mudahkanlah pemahaman anak-anak murid ku ini. Tajamkanlah pemikiran mereka…..”.
Saya mempunyai 15 pelajar. “Assalamualaikum…” Kuat sekali mereka menjawab salam. “Ana Ma Fi…. Laughatul Arabia”.
“OK Dr, no problems”.
Allahu Akbar, suara mereka sangat ceria. Malah ketawa bila saya membuat jenaka bodoh! Mereka terperangkap apabila bercerita tentang harga Abaya yang dipakai.
Mungkin saya tidak boleh membuat kesimpulan mutlak. Namun selepas berakhir kelas pertama, saya nyatakan kepada koordinator kursus, “jika tiada siapa yang mahu mengajar pelajar siswi pada semester depan, serahkan kepada saya”.
Saya tidak bergurau. Saya bersungguh.
Ramai yang tidak tahu, “di sebalik kesusahan pasti ada kemudahan”.
NotaMKI: Saya tidak nampak mereka. Bagaimanapun saya tahu salah seorang pelajar memakai abaya yang berharga SR1000. MasyaAllah!
September 11, 2012
Tiada kos

Perpustakaan Masjid Nabawi (lelaki) boleh dimasuki melalui pintu 10A.
Suatu perkara yang paling mudah untuk dilakukan ialah menyalahkan orang lain.
Anak tidak menutup aurat, anak lelaki yang tidak berjemaah di masjid atau apa sahaja yang dikaitkan dengan kegagalan mendekatkan diri kepada Allah SWT lebih mudah untuk tidak menyalahkan diri sendiri.
Benar, ujian persekitaran membantu daya tahan manusia. Namun persekitaran yang mencabar mempunyai nilainya yang tersendiri.
Terdapat situasi yang di luar kemampuan kita, sekurang-kurangnya untuk tempoh tertentu.
Kini, sedikit sebanyak saya memahami bagaimana Allah memberi ujian kepada kita, anak-anak, kaum keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya. Cabarannya berbeza namun cara penyelesaiannya tetap sama, kembali kepada Allah SWT.
Namun – secara hakikat – biarlah menyalahkan orang lain atau mengharapkan orang lain untuk melakukan sesuatu berada pada tingkat tercorot. Misalnya, mengajar anak-anak menutup aurat boleh dilakukan bermula dari rumah.
Melatih anak-anak lelaki bersolat berjemaah di masjid boleh diteladani melalui ayahanda tersayang. Kedua ibu bapa boleh bangun 1/3 malam yang tersisa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan anak-anak.
Kesemuanya tidak memerlukan sekolah yang canggih dan mahal bayarannya. Atau tidak perlu menunggu pihak universiti untuk menyarankannya. MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar, ia ada dalam genggaman kita.
Namun ujian tetap ujian. Ia perlu dilepasi dengan kembali kepadaNya. Mudah-mudahan kita melepasi ujian “menyalah dan mengharapkan” orang lain.
September 10, 2012
Pemandangan

Maghrib di Masjid Nabawi
Manusia sukakan kecantikan. Namun cantik sangat abstrak. Ia berbeza-beza di antara individu. Cantik di mata kita mungkin tidak indah di mata orang.
Inilah di antara dua kawasan berpayung di tengah-tengah masjid Nabawi. Bila payung di katop di kala senja, suasana di langit memberi rasa sebak yang menusuk jiwa.
Saya rasa begitu.
Setiap kali melalui kawasan ini saya mendongak ke atas. Entah apa yang saya cari. Tiada jawapan. Mungkin Allah memberi rasa betapa melalui pertukaran siang dan malam itu ada tanda-tanda kekuasaanNya,
Hati yang sebak – barangkali – mengenangi betapa kami dibenarkan berada di sini melihat permandangan cantik ini hampir setiap hari. Lalu tidak mahu bersyukurkah dengan nikmat ini?
Ya Allah, kami mohon keampunanMu.
September 9, 2012
Pengalaman Baru

Dr Abu Bakar - rakan sejawat - dari Sudan mengajar OB kepada siswi U Taibah
Minggu pertama mengajar siswi di Universiti Taibah.
Saya bersama rakan sejawat mempelajari bagaimana mahu mengajar anak-anak murid yang tidak berada di dalam kelas yang sama.
Kami ketawa apabila mengetahui yang beliau mengajar kepada kumpulan pelajar yang salah setelah hampir 30 minit menerangkan silibus dan kaedah penilaian.
He…. he…. kelas saya bermula hujung minggu ini.
September 8, 2012
Motivasi Pagi TV3
Kami meraikan genap setahun di Madinah dengan menunaikan umrah. Kami mohon pada Allah agar dikekalkan di Madinah – jika itu yang terbaik di sisiNya – sehinggalah kami dibangkitkan bersama Baginda SAW.
Namun ia bukan tanpa halangan. Berapa lama kami diperlukan di Universiti Taibah bergantung kepada dasar sistem pengajian samada menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.
Kini, lobi sedang dijalankan bagi mengembalikan bahasa pengantar kepada bahasa ibunda. Jika ditanya pendapat saya, maka jawapan saya tanpa memikirkan keperluan diri, “gunalah bahasa Arab.
Ia lebih membantu para pelajar Saudi. Kemudian, ajarlah bahasa kedua, ketiga atau keempat secara bersungguh-sungguh”.
Itulah jawapan saya apabila ditanya oleh rakan sejawat dari negara Arab yang lain. Tentu sekali saya bersikap sangat positif. Pertama, saya yakin – sangat yakin – betapa rezeki itu datangnya dari Allah SWT.
Kedua, ia tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Jika ia sekalipun ia perlu membenarkan kumpulan pelajar yang ada sekarang menamatkan pengajian mereka mengikut kaedah sedia ada.
Ketiga, jika begitu, ia mengambil masa sekurang-kurangnya 4-5 tahun untuk diselesaikan. Pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh tersebut.
Tentu sekali masa beredar sangat pantas. Semalam di Malaysia, hari ini di Madinah dan besok tidak dapat ditelah dengan sempurna. Namun satu hakikat yang sangat penting – buat saya dan keluarga – ialah menghargai dan bersyukur dengan apa yang ada di tangan.
Lalu padaNya kita mohon keampunan, panduan dan belas kasihan.
September 7, 2012
Alahai beliau polis……

Sujud di Hijir Ismail
Gambar ini saya upload di FB mengundang lebih 1000 like dan lebih 100 komen. Saya membuat catatan ringkas,
“Alhamdulillah. Setiap orang diberi keistimewaan oleh Allah SWT. Beliau solat berseorangan di Hijir Ismail”
Keistimewaan itu datangnya dalam keadaan yang berbeza-beza.
Namun saya sangat tertarik dengan beberapa komen yang menulis, “polis…. memang dia bertugas di situ”… menggambarkan tidak perlu berasa hairan.
Hakikatnya, ada yang mencari-cari kenapa beliau boleh solat dalam keadaan begitu dan bukannya melihat beliau MAHU melakukannya. Itulah keistimewaan yang mahu saya nyatakan secara tersirat!
Lalu saya terkenang beberapa cleaner wanita bertugas di UiTM Johor di kawasan Masjid As-Syakirin. Bila tiba waktu solat mereka beredar mencari kawasan terlindung. Roza selalu mengajak mereka dengan kata-kata,
“Jom solat, rugi kita tidak ambil kesempatan ini”
“Saya uzur…”
Minggu seterusnya juga begitu. Akhirnya Roza memberitau,
“Puan kena pergi buat pemeriksaan doktor kerana uzur sepanjang masa. Nanti penyakit!”.
Begitulah. Ramai orang diberi peluang untuk melakukan sesuatu. Tubuh sihat untuk solat berjemaah di masjid tetapi tidak melakukannya. Masjid di hadapan rumah tetapi kaki terasa berat sekali.
Tentu sekali Allah memberi kita peluang untuk bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa untuk solat malam dan mengadapNya. Namun ia tidak jadi istimewa selagi kita menolak peluang tersebut.
Memang benar polis yang sujud di Hijir Ismail itu bertugas di kawasan sekitar. Benar juga kawasan Hijir Ismail di kosongkan 40 – 50 minit sebelum waktu solat.
Namun tidak semua polis mahu bergilir-gilir melakukannya. Lalu mempunyai peluang belum tentu menjadikan ia sesuatu yang istimewa. Peluang harus diterjemahkan menjadi kenyataan.
Dua hari lepas kami berada di Mekah. Kami diberi peluang oleh Allah SWT kerana berada di Madinah. Beginilah suasana Hijir Ismail. Ia tiada bezanya ketika ia dikosongkan yang membolehkan petugas itu bersolat berseorangan.
Setiap orang boleh bersolat sunat dan berdoa dengan kusyuk, InsyaAllah.
Allah… Allah… kami bersyukur dengan peluang yang diberi Mu ya Allah. Ampunilah kami ya Allah dan jadikanlah kami manusia istimewa di sisiMu.

Hijir Ismail sentiasa kosong. Bersolat dan berdoalah..... berjam-jam ia ada ruang kosong...... lihat dengan mata hati
Motivasi Pagi TV3
Ia bermula pagi tadi sehinggalah 5 minggu seterusnya pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula jam 7.00 pagi.
5 siri pertama khusus untuk bakal jemaah haji. Emmm…. mereka yang sudah bergelar haji juga – jika ada masa – boleh menyaksikannya.
Jika mereka pernah mendengar saya memberi tazkirah di masjid Nabawi pada musim haji, itulah juga – kurang-lebih – isi yang saya sampaikan kepada khalayak TV3.
Kemudian, 5 siri berikutnya berpandukan apa yang saya tulis melalui buku Bersyukur Saat diuji.
Selamat menonton dan moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
September 4, 2012
Syawal di Madinah
Ini kisah sepetang di Masjid Nabawi di bulan Syawal.
Sebenarnya kami sedang bersiap-siap untuk menunaikan umrah, menanti kepulangan Amirul dan Sofea dari sekolah. Terasa malas menulis. Lalu saya uploadkan gambar-gambar yang dirakamkan semalam melihat suasana masjid Nabawi yang begitu lengang sekali.
MasyaAllah, kami semua menanti tetamu Allah.

Kami tiba ke masjid hanya beberapa minit sebelum azan Asar berkemundang. Inilah suasana sepanjang minggu ini.

Alahai... ia jarang berlaku. Tempat wudhu di lokasi 11A, pintu King Fahd (21).

Inilah kawasan belakang makam Baginda SAW. Katanya pelantar Fatimah. Solat Asar di kawasan ini. Ia berada di belakang Raudhah.

Usai solat Asar, melangkah masuk ke Taman Syurga.

Berjalan melintasi makam Rasulullah SAW begitu hening sekali dalam suasana damai.

Inilah kawasan di belakang Imam sejam sebelum solat Maghrib

Majlis berbuka puasa sepanjang bulan Syawal. Bersama saprah ini di tengah-tengah Masjid Nabawi. Atapnya dibuka. Ia cukup syahdu.

Kata Amirul, inilah Imam Qassim. Mengadap jemaah usai solat Maghrib.

Selepas Isya, meraikan 10 pelajar universiti Madinah berhari raya di RKDJU
September 3, 2012
Masjid KRTS

Keseluruhan dinding hampir siap

Bahagian bawah masjid
Saya dikhabarkan yang kerja-kerja pembinaan masjid KRTS ini sudah kembali bermula selepas bulan Ramadhan. Fasa seterusnya adalah untuk menaikkan bumbung.
Ya Allah Kau permudahkanlah urusan ini. Jauhilah kami dari mereka yang mahu mengambil kesempatan di atas projek membina rumahMu ini ya Allah. Permudahkanlah.
Kami mohon keampunan Mu.
September 2, 2012
Sepi

Jamuan selamat berangkat
Itulah satu perkataan yang menghuraikan kepulangan Mak, Sara dan Azrai ke Malaysia.
Usai pasport mereka dicop imigresen Saudi, kami saling melambai-lambai tangan tanda “sehingga bertemu lagi”.
Sepi bila meninggalkan lapangan terbang Madinah. Apatah lagi Amirul dan Sofea tidak ikut serta menghantar Nenek, Kakak dan Abang Ngah.
Agaknya mereka juga kesepian ketika bersama kumpulan halaqah di Haram.
“Yang, barangkali beginilah perasaan bila usia semakin meningkat. Hati mudah sebak”.
Hampir sebulan saya bersama mereka. Berpesan dan berpesan terutamanya dengan Azrai ketika bersama di Haram.
Barangkali saya sebak dan terharu kerana ruang masa bersama mereka agak terbatas. “Azrai, lindungi kakak. Walaupun adik, Azrai adalah lelaki. Azrai perlu bertanggungjawab”.
Pada ketika yang lain saya nyatakan secara jelas, “jaga solat. Orang lelaki kena solat di masjid. Paling tidak pun di surau. InsyaAllah, jika kita menjaga solat berjemaah, damailah hati”.
Petang tadi saya berterus-terang dengan Sara, “Ayah paling risau dengan aurat Sara. Aurat bukan hanya menutup rambut. Aurat dengan sepupu-sepupu. Jaga aurat kita dengan sempurna”.
“Jika ada yang melamar kakak – jika hati kakak berkata ya – sebutlah kepada beliau, hubungilah ayah saya,” saya serius tetapi disambut dengan ketawa oleh beliau.
Alahai…. benar umur saya semakin meningkat. Banyak perkara yang hendak difikirkan. Namun hati damai dengan mengadu dan meminta kepadaNya,
“Ya Allah, aku tidak upaya menjaga anugerahMu ini ya Allah. Lindungilah anak-anak kami ini. Jadilah mereka anak yang soleh dan solehah. Anak yang mahu mengikut perintahMu ya Allah”.
Benar – hari ini – saya sepi ketika berada di saprah berbuka puasa di Haram. Hampir sebulan di sini, Amirul dan Azrai mengapit saya menjamah Ruttab, Duqah, Roti, Qahwah dan mengedarkan cheese kepada jemaah yang lain.
Benar juga kami sepi bila berangkat pulang dari Haram ke Jabal Ohud. Ia kasih sayang di antara keluarga. Moga ia bersambung di syurga Firdaus.
Kami memohon kepadaMu ya Allah.
September 1, 2012
Sanjungan buat Cikgu Norbibi
Agaknya, kasih guru-pelajar tidak berkesudahan.
Doa untuk guru-guru sentiasa terucap ketika memohon keampunan Allah. Kemudian, permintaan khusus untuk anak-anak murid agar mereka menjadi insan yang soleh dan solehah. Kaitan ini jelas terjalin secara holistik.
Misalnya, hadis bertaraf sahih ini menyatakan secara jelas betapa manusia – jika dipanggil pulang – hanya meninggalkan tiga perkara, amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh dan solehah yang mendoakan ibu bapanya.
MasyaAllah, berbahagialah guru-guru yang telah menurunkan segala ilmu kepada anak-anak muridnya dengan penuh keikhlasan. Benar, mereka bergaji besar tetapi ada bezanya jika ilmu yang disampaikan penuh dengan perasaan ingin mencari keredhaan Allah.
InsyaAllah ia disambut DIA sebagai amal jariah. Lalu jika ilmu yang ditadah oleh anak-anak ini digunakan sebaik mungkin pastinya ia akan menjadi ilmu yang bermanfaat.
Ilmu yang disampaikan dari hati akan sampai ke hati jua. Selayaknya guru dan murid ini – mudah-mudahan – bertemu di syurga Firdaus.
Dan bersemadilah dengan aman wahai Cikgu Norbibi. Moga Allah mengampunkan segala dosamu, diperluaskan kubur, dijauhkan dari azab kubur dan mudah-mudahan akan bertemu kembali dengan zuriat, kaum keluarga, rakan-rakan, para pelajar dan muslimin dan muslimat di syurga yang tertinggi.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
