Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 11
August 18, 2012
Kak Mie
Ada 4 watak utama Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman.
Penulisnya, Roza, Kak Mie dan Adik Na. Alahai…. saya fikir ia pengembaraan kerohanian yang paling hebat.
Kini hampir 7 tahun berlalu. Usia kami semakin meningkat. Sedikit-sedikit Allah memberi peringatanNya. Allah… Allah…. semalam, doktor sudah membuat keputusan untuk melaksanakan pembedahan segera kepada Kak Mie.
Terdapat dua ketumbuhan di dalam rahim yang perlu dirawati. Hanya kepadaMu kami berdoa agar ia dipermudahkan.
Selamat Hari Raya

Semoga Allah merahmati dan memberkati semua khalayak KRTS. Terima kasih kerana menceriakan hidup kami sekeluarga.
Teruja saya melihat masing-masing berpelukan setelah usai solat maghrib di masjid Nabawi. Agak saya…. kegembiraan menyambut kemenangan setelah 30 hari berpuasa.
Ia pengalaman baru kami di sini.
August 17, 2012
Zuriat

InsyaAllah kita bertemu semula
Sukar mencari manusia yang tidak kasihkan isteri dan anak-anak. Jika ada maka perbandingan dengan haiwan akan dilakukan. Katanya, “haiwan pun sayangkan anak-anaknya”. Namun ada juga haiwan yang memakan anak-anaknya.
Subhanallah. Allah akan kumpulkan zuriat mereka yang beriman di syurga. Nanti – InsyaAllah – kita akan bertemu semula di sana. Dan jika benar kita kasih dan cintakan anak-anak, isteri dan keluarga yang lain maka apa sahaja yang kita lakukan terhadap mereka biarlah membawa pertemuan semula di syurga.
Misalnya, ajak dan ajarlah anak-anak lelaki kita solat berjemaah di masjid. Ajak dan Ajarlah anak-anak perempuan menutup aurat dengan sempurna. Cara yang paling mudah ia dengan kedua ibu bapanya memberi teladan yang terbaik.
Mudah-mudahan kita juga menjadi anak yang soleh dan solehah agar zuriat ayah kita – juga – dapat dihimpunkan bersama cucu-cucunya.
Selamat Hari Raya, maaf zahir bathin.
August 16, 2012
Gila
Ia kemungkinan hari terakhir Ramadhan untuk 1433.
Allah…. Allah…. kesemua tempat parking bawah masjid Nabawi penuh. Kereta tidak tersusun. Allah… Allah…. padat sungguh di setiap ruang solat.
Saya fikir seluruh jalanan, hotel dan di mana ada tempat kosong akan ada jemaah yang bersolat terawih berimamkan imam masjid Nabawi. Pembesar suara ditalakan sehingga di luar kawasan masjid.
Gila, ia sangat bertentangan dengan hari-hari sebelumnya yang saya lalui di bulan Ramadhan pada tahun-tahun lepas.
Namun kegilaan yang pastinya akan saya ingati sepanjang hayat!
Kenangan
Islam itu mudah dan menyeronokkan. Mudah kerana syariat Islam itu sendiri lengkap dan sempurna. Mudah bukan bermakna ambil senang. Mudah tidak bererti mengelak daripada melakukan suruhan atau meninggalkan laranganNya.
Mudah kerana kita memahami dan mahu melakukannya.
Saya terkenang ujian hari raya terutamanya untuk kekal solat berjemaah di masjid. Ketika itu saya menjawat jawatan Pengarah UiTM Johor dan tinggal di dalam kampus.
10 minit sebelum waktu solat zuhur, muncullah beberapa buah kereta serentak. Allah… Allah saudara-mara yang datang berziarah. Bila azan berkumandang saya nyatakan,
“Minta maaf, saya perlu ke masjid. Jika saya tidak hadir tiada solat jemaah di sini. Jangan balik lagi. Lepas zuhur kita makan nasi,” ajakan paling santai yang boleh saya lakukan.
Saya rasa ia suatu kenyataan yang sangat mudah saya lafazkan kerana saya memahami Allah menguji kita dengan sedikit kegembiraan menyambut hari raya. Kita tidak boleh tewas.
Allah… Allah… akhirnya saya keseronokan melihat kesemua tetamu berada di belakang saya di masjid.
Saya juga terkenang betapa mudah dan seronoknya berhari raya di kampung halaman. Saya boleh jamak dan qasar. Allah memudahkan dengan memberi hadiah yang lebih bermakna daripada sebarang hadiah yang boleh kita fikirkan.
Solat tetap solat. Ia tidak boleh ditinggalkan.
Namun kegilaan paling besar pernah saya lakukan ialah mengajak seluruh khalayak program anak angkat UiTM untuk ke masjid bagi solat zuhur berjemaah. Ketika itu azan zuhur berkumandang dari masjid yang hanya bersebelahan dengan balairaya saya sedang berucap. Lalu saya nyatakan,
“Tuan-tuan, azan sedang berkumandang, saya hentikan ucapan ini. Mari kita sama-sama ke masjid dan saya sambung kembali ucapan selepas solat”.
Allah… Allah… saya rasa seronok melihat hampir kesemuanya bergerak ke masjid.
Bilal di sebelah bertanya saya, “dari mana ramai-ramai ni?,” agaknya gila melihat masjid yang dipenuhi lebih luar biasa dari hari-hari biasa.
Kadangkala kena ada sedikit sifat “gila-gila” dalam melaksanakan sesuatu yang kelihatan sukar. Jangan malu untuk mengajak orang ke masjid ketika mereka tidak malu untuk tidak ke masjid.
Ramai yang barangkali tidak terfikir untuk mengajak pengantin – adik ipar – untuk sama-sama ke masjid solat zuhur berjemaah ketika sampai ketikanya.
Saya lakukan kerana memikirkan ia lebih utama di sisi Allah. Allah… Allah ia sangat mudah kerana masjid sangat hampir dan tidak mengambil masa yang lama.
Lalu ada orang mengirim e-mel bertanya (nota: setelah membaca kisah bagaimana saya mengaturkan perkahwinan melalui majalah ANIS), “Prof, bolehkah beri saya cadangan untuk memasukkan solat zuhur di dalam aturcara perkahwinan yang akan saya anjurkan. Saya tidak nampak jalan”.
Ia kelihatan sukar. Lalu saya memberi 4 jawapan gila yang mudah. Pertama, lakukan majlis perkahwinan bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari.
Kedua, timbangkan majlis bermula selepas solat zuhur sehingga sebelum Asar.
Ketiga, Laksanakan majlis selepas waktu Asar sehingga waktu Maghrib. Atau keempat, biarlah kita lakukan majlis perkahwinan mulai jam 9.30 malam sampailah – tidak mengapa – ke fajar.
Itulah, letakkan keutamaan di paras yang betul. InsyaAllah makna mudah dan menyeronokkan dalam Islam akan kita kecapi. Soalnya, mahukah kita berubah melangkaui norms dan adat?
Ya Allah, aku mohon keampunanMu ya Allah.
August 15, 2012
Selamat Hari Raya
Barakallahu Fikum.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin. Itulah ucapan yang sering dilafazkan. Tentu sekali kita berharap dosa-dosa sesama manusia akan terhapus. Saya juga tidak terkecuali. Hampir lapan bulan saya bersama khalayak pembaca Majalah I, pasti ada kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan melalui penulisan atau pemikiran. Ia mungkin melukakan hati para pembaca.
Maafkan saya. Sungguh, saya tidak bermaksud begitu. Kesemua tulisan-tulisan yang telah tersiar merupakan pinjaman Allah yang diberikan kepada insan kerdil seperti saya. Saya bersyukur. Namun saya sentiasa berdoa agar ia menjadi satu amal ibadat yang diterimaNya. Malah saya berjiwa besar agar ia boleh menjadi ilmu yang bermanfaat.
Hakikatnya, setiap perbuatan termasuklah penulisan perlu dilakukan dengan niat semata-mata kerana Allah. Ia selari dengan tuntutan surah Surah Adh-Dhariyat ayat 56. Ia ayat yang diulang-ulang dibaca dan disebut melalui ceramah dan kuliah agama dipelbagai pentas. Maksud saya, ia ayat popular di pasaran ceramah. Terjemahan ayat tersebut bermaksud,
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu
Hari raya adalah hari yang menggembirakan. Kami sekeluarga tentunya terselit sedikit rasa sedih – terutamanya anak-anak – kerana tidak dapat menyambut hari bermakna ini bersama kaum keluarga yang ramai. Buat pertama kali kami – insyaAllah – menyambut hari lebaran di Tanah Suci Madinah. Ia perbandingan sambutan yang akan saya ceritakan pada bulan-bulan seterusnya.
Sesungguhnya kami sangat teruja. Kami merancang akan menunaikan umrah pada hari raya ketiga. MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar, ia sesuatu yang tidak pernah saya mimpikan. Berhari raya di Masjid Nabawi dan di Masjidil Haram bersama isteri, anak-anak dan ibu mertua. Jika diberi kesempatan, kami mungkin dapat menyambut hari yang penuh makna ini bersama rakan-rakan di Madinah, Mekah dan Jeddah.
Namun ada beberapa perkara yang sering saya sampaikan kepada sanak-saudara, para pelajar dan mereka yang hampir tentang ujian menyambut hari raya di Malaysia. Ia ujian yang sangat besar. Ramai yang tertipu dengan “adat-istiadat” menyambut hari raya yang sudah menjadi rutin amalan.
Misalnya, ziarah-menziarah atau kunjung–mengunjung merupakan amalan yang sangat mulia. Namun jika ia dilakukan sehingga mengabaikan solat berjemaah di masjid pastinya merupakan satu tragedi besar. Saya fikir begitu. Ia menjadi tidak apa dalam keadaan masyarakat yang tidak menjadikan amalan solat berjemaah ke masjid sebagai satu amalan besar yang perlu dipatuhi.
Barangkali tiada getar di jiwa membaca hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud,
“…sesungguhnya memang aku bercadang untuk menyuruh diiqamahkan sembahyang dan aku suruh seseorang untuk mengimami para jemaah, dan aku pula keluar dengan beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka beberapa ikatan kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak hadir kepada solat berjemaah, lalu aku bakarkan rumah-rumah mereka”
Mahukah kita membayangkan begitu, rumah kita dibakar ketika menyambut hari kemenangan? Allah… Allah… Allah… itulah yang saya maksudkan dengan tragedi besar yang perlu difikirkan secara bersungguh-sungguh.
August 14, 2012
InsyaAllah
Salah satu amalan yang kami pelajari di sini ialah penggunaan perkataan InsyaAllah di dalam perbualan. Setiap kali bercakap sesuatu yang berkait dengan perancangan dan masa depan pastinya diiringi dengan ucapan tersebut.
Ia kata-kata penting. Dalilnya begini,
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”.
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.
Ia tegasan Allah melalui ayat 24 surah Al-Khafi.
Lalu kami cuba – InsyaAllah – mengamalkannya melalui tutur kata dan juga penulisan. Sesekali bila bersama dengan penduduk tempatan mereka menyambung kata-kata kami dengan sebutan tersebut.
Ia mengambil sedikit masa untuk menghampiri 100% perbualan, InsyaAllah.
August 13, 2012
Iktiqaf

Mereka yang bertuah
Inilah suasana di Masjid Nabawi.
Ia pandangan yang hampir serupa pada setiap penjuru masjid kecuali di kawasan saf-saf hadapan dan yang berjiran dengan kawasan Raudhah.
Mereka bersungguh mencari keredhaan Allah.
Jika dilihat secara kasar, saya percaya kebanyakan mereka datangnya daripada India, Pakistan, Bangladesh dan Afrika. Merekalah yang mendominasikan keadaan.
Namun secara keseluruhan, jemaah yang berada di sini semakin menyusut. Petanda yang paling mudah ialah kedudukan di dalam saf ketika berjemaah.
Ia sudah longgar dan terpaksa bergerak ke hadapan untuk mengisi ruang-ruang lompang. Ruang pejalan kaki di dalam masjid juga lebih mudah untuk dilalui.
Maknanya, hari raya sudah semakin hampir. Kami menanti raya pertama di bumi Madinah.
Berbuka puasa

Juadah berbuka
Inilah juadah berbuka semalam. Hari sebelumnya juga begitu. Besok – InsyaAllah – seharusnya begitu.
Namun saya suka memaparkannya berulang-kali. Saya percaya tidak ada yang kecur air-liornya menyaksikan juadah ini sehingga mengurangkan pahala berpuasa.
Mesejnya sangat mudah. Boleh… boleh sangat berbuka secara ala kadar mengikut standard orang Malaysia. Dan kepuasannya hanya Allah sahaja yang tahu.
Travelog Haji: Mengubah sempadan Iman

Membaca Travelog Haji
Saya tidak pernah bertanya anak-anak samada mereka sudah membaca buku Travelog Haji.
Semalam saya melihat Amirul begitu ralit membacanya di Haram.
“Amirul tidak pernah membaca buku ini?,” saya bertanya.
Kepalanya mengeleng.
Oh…
August 12, 2012
Saya tidak tahu

Sebulan bersama kami sekeluarga, Tok Gajah ini melangkah sejauh 4550 KM. Ia perjalanan yang panjang.
Salam Prof,
Semoga Ramadhan yg berbaki dapat kita sama2 manfaatkan – MERINTIH UNTUK PERLEPASAN DARI API NERAKA!
InsyaAllah.
2. Alahamdulillah, mengikut rekod … SAB2111A telah menjelajah bersama Prof sejauh 4,550 km – semoga Allah merekodkan kebajikan sekecil itu sebagai sesuatu yang signifikan… Saya amat teruja dan bersyukur di atas peranan kecilnya itu!
Saya tidak tahu kami telah mengembara sejauh itu sehinggalah saya mendapat e-mail ini.
Itupun tidak termasuk perjalanan ke Kuching yang dihantar oleh Tok Gajah ke KLIA. Ia tidur di parking C sehingga kami pulang. Mudah-mudahan ia mencapai tujuan kenapa Tok Gajah diberi guna.
Sepanjang perjalanan 4550 km kami telah singgah di pelbagai tempat. Ia bermula di Shah Alam dan berakhir juga di Shah Alam. Kami telah melalui Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Perak serta Wilayah Persekutuan.
Kehadiran kami ke hampir semua ceramah, kuliah dan tazkirah menaiki Tok Gajah ini. Malah dialah yang bertugas tanpa ragam.
Terima kasih. Kami menghargainya.
August 11, 2012
Hukuman

Bersahur
Saya selalu tersenyum bila orang menulis atau menyebut ”sesungguhnya tidak layak kita menghukum orang lain” apabila ada yang menegur atau menyebut sesuatu isu yang perlu diperbetulkan.
Misalan mudah, jika kita bertanya ”kenapa berjudi ketika bersukan?”
Benar, dulu saya juga terjebak dalam kegiatan ini. Malah ia isu besar (nota: buat saya) apabila mahu menunaikan fardhu haji. Mengikut aturan, tentu sekali kita tidak boleh dikelaskan mendapat haji mabrur jika masih meneruskan dosa-dosa besar.
Allah.. Allah… itu aturanNya. Namun Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia yang Maha Berkuasa. Jika Dia mahu menganugerahkan haji mabrur walaupun kita masih berjudi, terpulanglah kepadaNya.
Maka saya selalu berpesan dengan rakan-rakan yang hampir tentang isu ini. Sama sekali tidak menghukum apatah lagi untuk mencerca. Lagi, jika sering diperingatkan maka secara semulajadi ramai yang tidak senang.
Jalan pintas untuk menghilangkan gundah gulana di hati ialah dengan menyebut, “sesungguhnya tidak layak kita menghukum orang lain”. Malah ditambah lagi dengan kenyataan, “tegurlah dengan cara berhemah”.
Maka kita sipi-sipikan pula dengan mengutarakan soal riyak dan takbur kerana “mentang-mentanglah dia sudah berubah”.
Ia jadi lebih sukar apabila berhadapan dengan mereka yang hampir terutamanya orang-orang yang kita sayangi. Malah – akhirnya – hukuman terjatuh kepada yang mengajak kepada kebaikan kerana yang berasa tidak sedap hati itulah yang ramai.
Itulah ujian berdakwah.
Maka sentiasalah memohon pertolongan Allah. Usah disebut sesuatu yang tidak kita amal. Malah pastikan ia dilakukan semata-mata keranaNya. InsyaAllah, hakikat sebenar berdakwah ialah menyeru dan memperingati diri sendiri.
Saya fikir begitu. Ya Allah, kami mohon keampunanMu.
August 10, 2012
ANIS September
Ada sesiapa yang menunaikan umrah dalam masa terdekat? Kirim...
Hampir dua tahun saya menulis di ANIS.
Ia tempoh yang panjang. Ikut tabiat saya, memadai setahun di satu-satu tempat. Suka atau tidak, lebih baik begitu.
Saya gembira di ANIS. Editornya bagus.
Namun saya sukakan cabaran baru. Oktober nanti merupakan siri terakhir di ANIS. Disember pula siri terakhir di Majalah i. Saya berterima kasih kepada kedua-dua majalah yang telah memberi peluang untuk saya berinteraksi dengan khalayak mereka.
Mudah-mudahan saya sudah menunaikan tanggungjawab sebagai penulis tamu mereka.
Pendelela
Tahniah untuk anak gadis Bidayuh ini yang telah melakar sejarah sukan Malaysia.
Saya adalah penggemar sukan. Namun corak kehidupan sekarang menjauhkan diri saya daripada kegiatan sukan. Akhir sekali, saya tinggalkan golf secara semulajadi.
Dulu, saya mengenali kesemua nama-nama pemain bola Malaysia. Malah hampir semua sukan saya amati. Dan saya fikir, secara purata setiap permainan sangat mudah untuk saya ikuti.
Lalu sesekali saya mengintai perkembangan sukan tanahair.
Tahniah.
Istimewa
Istilah “rumput jiran sentiasa lebih hijau” merupakan pandangan semulajadi manusia.
Kita melihat orang lain sentiasa lebih istimewa. Banyak kes begitu. Dan keistimewaan orang lain ini tiada penghujung jika tidak ditangani dengan betul. Malah – kadangkala juga – ia tidak membawa damai di hati.
Ketika tiada kenderaan, kita dianugerahkan basikal maka kita berasakan “alangkah baiknya jika mempunyai motorsikal”. Ia lebih istimewa. Akhirnya, jika diberi kesempatan membawa Kancil, maka Honda pula yang dilihat lebih istimewa.
Ia tidak berakhir di situ.
Saya sering menaiki pesawat. Dahulu, saya melalui kawasan kelas perniagaan sebelum sampai ke tempat duduk sendiri di kelas ekonomi. Di dalam hati berkata, “aduh… istimewanya yang berada di hadapan”.
Kemudian saya diberi kesempatan untuk merasai kawasan tersebut. Perasaan istimewa itu mengensot hilang. Ia jadi biasa-biasa. Kita memandang sesuatu yang belum terjangkau.
Kita mendongak.
Jika kita membuat senarai keistimewaan yang dimiliki oleh orang lain maka ia tidak akan ada nokhtah. Ia permainan hati. Tambah-tambah lagi jika ia dikaitkan dengan keistimewaan harta benda.
Namun ada sesuatu menarik tentang keistimewaan yang ada pada manusia lain. Nun jauh di sudut hati kita beranggapan ia sukar untuk dimiliki.
Misal mudah, saya pernah dijemput ke kediaman sesorang yang mempunyai penyaman udara lebih daripada 20 unit. Saya fikir – dengan kemampuan sedia ada – tidak mampu untuk saya miliki.
Saya melihat Jaguar di rumah kenalan. Tidak… juga saya tidak mampu mempunyainya.
Atau, saya senyum-senyum mendengar pendapatan rakan-rakan yang bersara dan menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Wah, istimewanya mereka dengan kesenangan tersebut. Tidak… saya tidak fikir saya mampu mencapainya.
Saya pernah ditanya tentang kehidupan. Jawab saya mudah, “saya tidak meninggalkan dunia yang serba indah ini tetapi yang lebih saya mahu amati ialah kehidupan yang kekal abadi”.
Pertanyaan tersebut dijawab dengan pertanyaan yang lain, “apa sahaja yang kita lakukan mesti menjawab satu soalan asas yang paling mudah, “adakah ia mendekatkan diri kepada Allah SWT?”.
Jika jawapannya “YA”, maka belilah kapalterbang untuk meneroka dunia. Ia tidak mengapa.
Maksud saya, kita mesti menjadi manusia istimewa di sisi Allah. Bagaimana? Cubalah solat berjemaah di masjid setiap waktu. Ia sungguh istimewa. Perhatikan waktu subuh. Lihatlah bagaimana Allah mengasingkan nilai keistimewaan tersebut di sisiNya.
Kita boleh jadi manusia istimewa dengan konsisten bangun malam, sesuatu yang kelihatan sukar di sisi manusia. Ia tidak perlu melihat orang lain. Miskin, kaya, berkuasa atau tidak, pengurus, Perdana Menteri, Raja, profesor, tukang sapu jalan atau sesiapa sahaja berhak mendapat keistimewaan ini.
Banyak lagi yang boleh dilakukan yang InsyaAllah, menjadikan kita manusia istimewa.
Alahai… akhirnya keistimewaan ini menjadikan kita semakin kerdil di sisi Allah sehingga terhapus segala rasa tersebut. Air mata sentiasa mengalir di pipi menginsafi betapa kehidupan dunia hanyalah ujian yang perlu dilepasi.
Dan tentunya kita akan mengatitkan kisah kehidupan dan kematian sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah SAW. Hadis ini direkodkan oleh Ibnu Abid Dunya dan Tirmizi. Ia bermaksud,
Aku dapati perumpamaan anak Adam [manusia yang meninggal dunia seperti seorang bayi yang keluar dari rahim ibunya yang sempit dan gelap ke dunia yang terbuka luas. Sebelum datang ke dunia, rahim ibu dianggap sebagai tempat yang sangat selesa].
Selepas menyaksikan keselesaan dan kenikmatan dunia tiada seorang pun yang mahu kembali ke sana. Begitu juga, semasa hidup di dunia ini ia takutkan akhirat tetapi selepas pergi ke sana tiada seorang pun yang ingin untuk kembali [bagi mereka yang beriman]
Saya mohon keampunan Allah.
ANIS Ogos
Ada sesiapa yang menunaikan umrah dalam masa terdekat? Kirim...
Hampir dua tahun saya menulis di ANIS.
Ia tempoh yang panjang. Ikut tabiat saya, memadai setahun di satu-satu tempat. Suka atau tidak, lebih baik begitu.
Saya gembira di ANIS. Editornya bagus.
Namun saya sukakan cabaran baru. Oktober nanti merupakan siri terakhir di ANIS. Disember pula siri terakhir di Majalah i. Saya berterima kasih kepada kedua-dua majalah yang telah memberi peluang untuk saya berinteraksi dengan khalayak mereka.
Mudah-mudahan saya sudah menunaikan tanggungjawab sebagai penulis tamu mereka.
Pendelela
Tahniah untuk anak gadis Bidayuh ini yang telah melakar sejarah sukan Malaysia.
Saya adalah penggemar sukan. Namun corak kehidupan sekarang menjauhkan diri saya daripada kegiatan sukan. Akhir sekali, saya tinggalkan golf secara semulajadi.
Dulu, saya mengenali kesemua nama-nama pemain bola Malaysia. Malah hampir semua sukan saya amati. Dan saya fikir, secara purata setiap permainan sangat mudah untuk saya ikuti.
Lalu sesekali saya mengintai perkembangan sukan Tanahair.
Tahniah.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
