Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 12
August 9, 2012
Masa

Masa ini hanyalah seketika. Alangkah terujanya bila sekeluarga berkumpul di Masjid Nabawi.

Masa juga telah berubah. Saya tidak dapat membayangkan SAYA pada masa mereka membaca al-Quran atau terjemahan sementara menunggu berbuka puasa.
Saya memerlukan masa untuk menulis entri ini.
Malam di sini terlalu singkat dan pantas berlalu. Jika dilebih-lebihkan huraiannya ia seolah-olah tiada malam.
Namun sejurus sahaja usai solat subuh – di sekitar 5 pagi – bermulalah waktu siang yang panjang. Banyak perkara yang boleh dilaksanakan. Namun segala-galanya berubah jika waktu siang itu dipenuhi dengan tidur yang panjang.
Di sini, inilah perbezaan amalan yang ketara.
Seminggu berpuasa di Madinah banyak perkara yang saya teliti, amati dan pelajari. Pada setiap kawasan masjid ada ilmu (tacit knowledge) yang boleh dipertimbangkan.
Misal nyata, kawasan parking kereta saya mempunyai pelbagai proksi kisah kehidupan. Ketika Terawih dan Qiam langsung tiada ruang kosong. Masuk sahaja solat subuh, separuh daripada ruang sudah tidak berpenghuni.
Kisah ini terus berlanjutan untuk 11 bulan yang lain. Suasana di kawasan parking ini sememangnya sunyi sepi. Ia satu perlambangan yang tidak dapat saya hurai dengan tepat.
Pada sudut yang berbeza, seorang jemaah berbisik dengan saya, “suasana ini tiada di Malaysia”. Beliau merujuk kepada malam di Masjid Nabawi. Saya tersenyum sambil memberi pendapat,
“Ada… masjid negeri Shah Alam – insyaAllah – suasana amalannya juga begitu. Namun banyak perkara boleh dilaksanakan bersendirian walaupun ia kelihatan sukar. Ia bergantung kepada individu”.
Itulah ujian kepada mereka yang telah hadir ke masjid Nabawi atau Masjidil Haram pada bulan Ramadhan. Mereka terkenangkan amalan di sini. Bila pulang, kenangan itulah yang diulang-ulang.
Bukankah perjalanan itu sendiri sebagai satu tanda atau cara bagaimana Allah memberi ilmu kepada manusia?
Mereka dapat merasakan keseronokan qiam di tengah malam di sini. Bila pulang – saya fikir – teruskanlah bangun malam di Malaysia, di rumah sendiri. Lakukan dengan penuh harapan agar ia mendapat keredhaan Allah SWT.
Insyaallah, nikmat bangun malam akan diberi oleh Allah SWT. Ia bukan lagi rindu semata-mata pada tempat tetapi kepada amalan tersebut.
Dan – saya berpendapat - tidak salah untuk mengumpul dana bagi kembali semula ke Madinah dan Mekah. Sehingga hari itu tiba, jangan pula meminggirkan apa yang terpandang di mata dan tersemat di hati.
August 8, 2012
0502127721
Kad Sim telefon ini tercicir di Cameron Highland.
Saya telah membayar denda SR25 untuk membolehkan ia digunakan semula. Jadi nombor ini telah diaktifkan kembali. Saya mohon maaf jika ada yang telah SMS atau membuat panggilan tetapi tidak berjawab.
Jika SMS atau panggilan dari Malaysia gunalah +966502127721.
Jadi nombor Malaysia 0193154444 akan ditutup sehinggalah kami kembali ke Malaysia pada 2013, InsyaAllah.
Nombor Roza masih nombor yang sama.
Masjid KRTS

Pembinaan syiling tingkat satu sudah sempurna

Ia masih dalam pembinaan. Doa khalayak diperlukan.
Niat
Zuraeda dan suami bersahur di RKDJU. Inilah tetamu yang paling singkat berada di rumah kami. Bersahor dengan pilihan nasi putih dan Shawarma. Moga mereka mendapat umrah yang mabrur.
Segalanya bermula dengan niat!
Lalu jangan dipertikaikan apa yang dilaku orang dengan menghukum riyak, takbur atau ujub. Cukuplah dengan menyatakan, “apa sahaja yang kita lakukan bergantung kepada niat. Betulkan niat. Lakukan sesuatu semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah”.
Lalu saya masih menerima ujian pertanyaan, “bagaimana dengan niat saya melakukan sesuatu kerana inginkan kebaikan tetapi kaedahnya salah di sisi Allah?”
Lalu saya menjawab, “niat itu bukan atas kebaikan, niat itu kerana Allah. Bohong kita berniat baik tetapi berlawanan dengan apa yang disuruh dan ditegah olehNya”.
Acap kali Allah memberi ilmu dengan menempuh pengalaman kehidupan. Cuma mahukah kita berfikir? Misal, malam tadi bermula qiam di Masjid Nabawi. Ia bermula jam 1.00 dan berakhir di sekitar 2.30 pagi.
Saya ingin memasuki kawasan parking. Allah… Allah kereta di hadapan tidak dapat melepasi palang automatik. Saya menyaksikan beberapa kali beliau memasukkan kad masuk ke dalam mesin.
Tidak berjaya.
Kereta di belakang panjang dan tradisi Arab bergema dengan bunyi hon. Gemanya umpama di dalam stadium. Saya turun kereta, masukkan kad saya dan palang terangkat.
Selesai masalah. Niat saya hanya ingin membantu orang dalam kesusahan.Tambah-tambah di bulan Ramadhan.
Tiba pula giliran saya. Opps… kad itu sudah tidak lagi berfungsi. Saya pula bermasalah. Saya tidak tahu yang ia hanya boleh digunakan semula dalam tempoh tertentu, mungkin setiap 30 minit.
Ketika pulang bersahur bersama Zureda dan suami (tetamu sahur saya di Jabal Uhud) saya bercerita kisah ini. Komen beliau mudah, “prof diberi amanah. Kad itu untuk prof dan tidak boleh digunakan untuk orang lain”,
Saya merenung dalam makna dari pengalaman sekecil itu. Niat tidak membolehkan kita melakukan sesuatu yang salah. Ia terhukum begitu.
Ia pengajaran yang sangat signifikan.
August 7, 2012
30 tahun Istiqamah

Mereka meraikan saya, Aziz dan Majid.

Ia kelihatan simple tetapi MasyaAllah rasa nikmat yang tidak terhingga.
“Dr berbuka di mana?,” Majid – pelajar saya di Universiti Taibah membuat penggilan.
“Haram”
“Saya mahu jumpa Dr. Besok boleh Dr?,” beliau kelihatan mendesak.
Akhirnya kami – saya, Amirul dan Azrai – berjumpa Majid di pintu 21A. Beliau mencium pipi tiga kali.
“Dr kita berbuka di saprah keluarga kami. Saya kenalkan dengan ayah dan abang-abang saya”.
“Kamu membuka saprah ini setiap Ramadhan?”
“Ya, sudah lebih 30 tahun ayah saya menguruskannya”
MasyaAllah, saya fikir ia sesuatu yang konsisten.
Kami diberi layanan istimewa. Seorang anak murid yang menghargai gurunya. Tidak kira apa bangsanya, mereka yang tertentu mempunyai perasaan yang sama. Ia sesuatu yang tidak diceritakan tentang pelajar Arab Saudi.
Kata orang, “mereka tidak mempedulikan apa-apa….”
Ia lebih bermakna kerana beliau melayani saya setelah tidak lagi mempunyai subjek accounting yang perlu diajar.
Saya tersenyum melihat Majid bersungguh. Roti tidak dipotong dua. Rempah khas diberi dua bekas. Kuih berasaskan tamar sebekas dan tidak perlu berkongsi. Qahwah bertambah.
Allah… Allah… saya tahu yang ia perlu dipulangkan kembali usai berbuka. Saya yakin yang ia tidak perlu begitu. Namun saya menghargainya dengan rasa syukur betapa ada anak murid Saudi yang kasihkan saya.
Ia nikmat rasa yang idak dapat ditukar-ganti.
Terima kasih Majid dan Aziz yang sudi sepetang bersama saya dan anak-anak.
Jejak Rasul

Beliau tidak putus-putus menceritakan pengalaman manis berada di Malaysia.
Azlan dan Fedtri serta krew Jejak Rasul meneruskan penggambaran mereka di rumah Sheikh Khalid. Agak saya, mereka ingin memaparkan bagaimana bangsa Arab meraikan tetamu bersekali dengan maklumat di bulan Ramadhan.
“Iman, masak sedap-sedap,” saya bergurau beberapa bulan yang lepas apabila dimaklumkan keinginan pihak TV3 untuk hadir di Madinah. Namun ia tidak perlu diperingatkan.
Iman memang pandai memasak. Namun yang lebih penting beliau tidak berasa kekok atau berat untuk meraikan tetamu. Ia menjadi lebih menarik apabila melihat sendiri bagaimana masyarakat Malaysia meraikan mereka.
Allah… Allah… kami dihidangkan dengan Nasi Gidra yang sangat istimewa. Semalam, Roza menghidangkan mereka dengan nasi Maqlubah yang saya fikir paling menjadi sejak kami tiba di Madinah setahun yang lepas.
Tentu sekali ia merupakan pengalaman menarik team TV3 di Madinah. Kami harap begitu.

Hasil tangan Chef Iman

Chef Bukan Sekadar Resepi melayani Azlan, Fedtri dan Krew TV3 dengan nasi Terbalik
August 6, 2012
Jejak Rasul

Bersahur bersama Fedtri dan krew Jejak Rasul di RKDJU
“Itu Fedtri MHI?,” tanya mak.
Saya ketawa kerana buta huruf. Rupanya selama ini saya berurusan dengan selebriti TV terkenal. Wajahnya dekat di ingatan apabila beliau turun GMC bersalam dan memperkenalkan diri.
Saya mengingati wajahnya ketika detik awal beliau dengan TV3. Ketika itu – anak muda ini – nampak tidak sesuai apabila mengendalikan rancangan sukan. Saya fikir beliau lebih sesuai dengan rancangan pop-remaja!
Penggambaran siri Jejak Rasul 2013 bermula dari kami bersalam dan bergerak menuju ke rumah. Saya sendiri tertanya-tanya kenapa kami di Jabal Uhud? Apa kaitannya siri ini dengan kehidupan kami di Madinah?
Saya ditanya, “bagaimana mahu membesarkan sahur?”
Maka jawapan saya tanpa skrip lancar kecuali gangguan penyaman udara yang dikatakan merendahkan mutu audio. Ulang soalan dan jawapan. Itulah kisah penggambaran TV. Soalan yang sama, jawapannya mungkin sedikit berbeza apabila dilakukan kali kedua.
“Sahur bukan hanya membantu berpuasa pada siang hari. Ia mengandungi seribu rahsia. Bayangkan bagaimana jika sebulan kita bangun sahur, ambil wudhu terlebih dahulu, solat 4-6 rakaat, berdoa, bertaubat dan meminta denganNya.
Allah.. Allah… kita melatih diri untuk bangun malam bagi tempoh 11 bulan yang akan datang. Pada hujung bulan Ramadhan, mudah-mudahan kita merasai nikmat bangun malam, bersahur dan berpuasa. Lalu teruskanlah dengan puasa Nabi Daud apabila tamat bulan Ramadhan”.
Agak saya, sahur menjadi amalan yang boleh memberi natijah besar. Ia bermula dengan sahur, merebak pada soal bangun malam, berpuasa nabi Daud dan akhirnya menjadi amalan golongan terpilih.
Kemudian saya dan Roza diminta berlakun beberapa shot menggambarkan beberapa kegiatan kami di rumah. Emmm.. ia penggambaran yang memakan masa hampir dua jam.
Akhirnya – he, he, he – ia akan ke udara untuk selama 2 minit!
Bahagia

Moga Mak gembira di sini
“Mak mahu ke Raudhah?,” saya terdengar Roza bertanya.
Itulah kegiatan kami sejak 2-3 hari yang lalu. Setiap pagi di sekitar jam 8 pagi, kami akan kembali untuk solat dhuha di Masjid Nabawi setelah berehat sekitar usai solat subuh.
Di sebelah petang – InsyaAllah – Mak juga akan solat Asar, berbuka puasa, Isya dan berterawih di Haram. Ia tempoh yang sangat panjang.
“Mak OK?,” kami sentiasa bertanya. Kami mahu beliau gembira dan teruja mengisi masa sebulan di sini.
Saya tidak pernah bercerita betapa laluan Mak ke Madinah dipenuhi dengan ranjau. Ia ujian Allah untuk “bersabar dan bersolat”.
Allah.. Allah… saya sudah menguruskan pengeluaran visa ziarah keluarga untuk Mak, Sara dan Azrai hampir dua bulan sebelum pulang bercuti. Beberapa minggu kemudiankami menerima keputusan yang visa ziarah diluluskan untuk Sara dan Azrai sahaja.
“Kenapa?,” saya bertanya
“Permohonan ibu mertua tidak boleh dilakukan dalam satu borang permohonan,” jawab pegawai yang menguruskan urusan ini.
Apa yang hendak saya ucapkan? Saya sudah melalui suasana seperti ini dalam banyak keadaan yang lain. Lalu saya bertanya, “apa yang perlu saya lakukan?”
Beliau menyerahkan borang baru. Allah… Alah… sekali lagi. Masa untuk pulang bercuti kian hampir.
Tiga hari sebelum berangkat tiada tanda-tanda permohonan saya diluluskan. Saya bertanya dan jawapannya, “besok”. Saya pergi lagi, masih jawapannya, “besok”.
Allah.. Allah… hari terakhir dan saya sudah nyatakan kepada Allah SWT, “Ya Allah Kaulah yang Maha Berkuasa, kami redha dengan segala ketetapanMu ya Allah”.
Namun saya masih ke universiti bertanya khabar. Beliau melambai-lambaikan tangan dan menyerahkan salinan kelulusan Visa Ziarah buat Mak. Hati saya dan Roza berbunga-bunga.
Hanya tinggal formaliti di kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.
“Prof ada sedikit masalah, kami tidak dapat key-in visa ziarah Mak prof kerana bangsa yang direkodkan di dalam sistem bukan Malaysia. Etopia,” jelas agen yang menguruskan permohonan kami.
“MasyaAllah…”
Dan ia kekal begitu kerana saya tidak mampu membuat permohonan baru dari Shah Alam. Ia kekal begitu walaupun diusahakan bersungguh-sungguh oleh agen kami untuk menukarkan sedikit kesilapan yang mereka sendiri lakukan.
Dan kami semakin berdebar apabila melihat Mak sudah bersedia dengan beg besarnya 10 hari lebih awal dari tarikh penerbangan.
Allah.. Allah.. benarlah, Dialah yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya.
Mak berada bersama kami di sini.
Madinah

Shahad mahu Roza membetulkan tudungnya pada jam 2 pagi sejurus tiba di Madinah.

Ruang solat lelaki dipenuhi dengan mereka yang melelapkan mata setelah berjaga di sebelah malam.

Ruang masjid dipenuhi dengan jemaah untuk berbuka, solat maghrib, Isya dan Terawih
Kami sudah selamat tiba di Jabal Ohud. Banyak yang ingin saya kisahkan namun masa berjalan tersangat pantas. Banyak benar peristiwa yang berlaku dalam tempoh beberapa jam yang lalu.
Ia kisah bagaimana matahari tidak turun-turun sepanjang perjalanan sehingga kami tiba di Jeddah dan ketibaan di Madinah yang disambut dengan jamuan bersahur oleh Keluarga Sheikh Khalid.
Kemudian, perasaan berada di masjid Nabawi setelah 50 hari berada di Malaysia, menyaksikan kereta yang diclamp, pengalaman pertama berpuasa, berbuka, berterawih dan berada di Masjid Nabawi pada bulan Ramadhan.
Ia nampak simple tetapi terkandung pelbagai tanda kebesaran Allah SWT.
Akhirnya, tidak satu pun yang dapat dikongsi bersama khalayak pada ketika ini. Cuma hanya yang dapat kami khabarkan, ia pengalaman yang mengujakan.
August 4, 2012
Alhamdulillah, tiba di Jeddah

Menanti penerbangan ke Madinah. 5 jam transit di Jeddah.
Ia penerbangan yang lebih singkat berbanding dengan perjalanan 11 bulan yang lampau ketika mahu melaporkan diri ke Universiti Taibah. Kali ini sangat teruja melihat mak, Sara dan Azrai di sisi.
Allah… Allah… ia nikmat Allah yang tidak dapat kami dustakan meskipun mereka hanya akan bersama kami bagi tempoh yang amat singkat. Segalanya dipermudahkan Allah, alhamdulillah.
Wajah saya ceria, hati saya sebak melihat sanak saudara di lapangan terbang. Adik Nor terbang dari KK tiba di sebelah pagi dan terus pulang di sebelah petang.
Selainnya, Junita dan keluarga dari Kemaman, Azlina dan Razali bertolak dari Chenor, Kak Ma dan keluarga dari Besut dan selebihnya yang berada di Lembah Kelang termasuk Shaiful dan keluarga serta keluarga ipar termasuk Roshiha, Ratna, Razif dan Raihan.
Benar, ramai yang turun kerana mengucapkan selamat jalan kepada Mak.

Ia pertemuan yang meriah

Pilihan pasangan, Sara dan Amirul manakala Azrai sentiasa bersama Sofea.
Kami juga berjumpa dengan teman-teman yang turut bersama di KLIA misalnya Mamaju dan keluarga, Azmir, Wati dan Dato’ Zakee. Alhamdulillah, kami sangat-sangat menghargainya.
August 3, 2012
Pot-Luck

Inilah Hafizi, guru quran yang disebut melalui buku Travelog Haji. Semalam beliau memperdengarkan bacaan surah al-Qiyama sebelum berbuka puasa di Kondo Kemuncak.

Sebahagian daripada mereka yang hadir

Masing-masing membawa sedikit juadah, akhirnya ia lebih dari mencukupi.
August 2, 2012
Tahun ke 2

Kereta yang ditinggalkan 50 hari di parking 11A, Masjid Nabawi. Mudah-mudahan baterinya masih utuh.
[image error]
Berbuka puasa bersama Khairul dan Zuraidah. Sebelum menyampaikan Tazkirah di surau Seksyen 10 Shah Alam.
Kami membilang tahun.
Besok - Sabtu jam 3.00 petang - kami sekeluarga – saya, Roza, Sara, Azrai, Sofea, Amirul dan Mak – akan meninggalkan KLIA menuju Madinah, InsyaAllah.
Bermulalah tahun baru berada di Tanah Haram, Madinah. Benar, Sara, Azrai dan Mak hanya pergi buat seketika tetapi ia pastinya membawa pengalaman baru buat mereka terutamanya anak-anak kami sebelum perancangan seterusnya di buat.
Banyak benar ujian dan halangan untuk membawa Mak ke sana. Namun kami bersyukur kerana – akhirnya – Allah memberi keizinanNya. Mudah-mudahan perjalanan ini dipermudahkan.
Inilah bakal pengalaman pertama kami – InsyaAllah – untuk melaksanakan ibadat berpuasa Ramadhan di Madinah. InsyaAllah baki 14 hari terakhir akan kami manfaatkan sepenuhnya.
Tambah-tambah lagi kami masih lagi mempunyai baki cuti kurang-lebih 20 hari.
InsyaAllah, jika perancangan kami menjadi kenyataan, seisi keluarga akan menunaikan umrah pada 4 syawal.
Terima Kasih
Itulah dua patah perkataan yang sangat signifikan yang mahu kami tujukan kepada kesemua rakan-rakan terutamanya khalayak FB, KRTS, RKDJU dan pembaca buku-buku yang telah menyerikan percutian ini.
Kami terasa seperti mempunyai keluarga yang sangat besar. Sungguh, kami benar-benar terasa begitu. Ia memberi rangsangan luar biasa untuk terus bersama khalayak.
Allahu Akbar.
InsyaAllah akan ada sebaris permohonan kepadaNya agar kesemuanya diberkati dan dirahmati Allah. Kami sangat-sangat menghargai.
Hari ini, rumah kami di 36-12-04, Kondo Kemuncak akan dikunjungi – InsyaAllah – oleh rakan-rakan yang mahu bersua sebelum kami beredar. Team Majalah i (saya merupakan kolumnis mereka) akan bersama keluarga berbuka puasa.
“Jemputlah, kita pot-luck!”
Rempah Briyani
Kami dibekalkan dengan 5kg rempah briyani oleh Dr Zaharah. Kata beliau, “kami hanya menyampaikan sahaja….”. Agak saya ia sumbangan dari JM Briyani.
Jadi, jemputlah ke rumah kami di Jabal Ohud. InsyaAllah, rumah kami akan menerima tetamu seperti biasa selepas bulan Ramadhan. Jika ada yang ingin melawat kami sebelumnya, kita boleh aturkan pertemuan di waktu Dhuha.
Ia tidak mengganggu amal ibadat khusus yang lain.
August 1, 2012
Rindu?

Rumah kecil di Jabal Uhud. Bagaimana setelah hampir 50 hari ditinggalkan?
Di sini tempat tinggal kami. Lalu bila orang bertanya, “tidak rindu Madinah?”. Sejujurnya, saya sukar memberi jawapan yang tepat.
50 hari di Malaysia dipenuhi dengan pengisian yang tidak memberi ruang untuk mengenangi sesuatu yang abstrak. Masa sangat pantas beredar. Siang dan malam silih berganti.
Rindu. Sesekali terasa kehilangan suasana Masjid Nabawi. Namun saya selalu berpegang kepada apa yang saya ucapkan kepada khalayak. Jika benar-benar kita merindui Masjid Nabawi atau Masjidil Haram, ia hanya ada di Madinah dan Mekah.
Jika kita merindui Allah, InsyaAllah, rumah Allah ada di mana-mana. Bertemulah denganNya pada setiap waktu dan ketika.
Di Madinah – kebiasaannya - jika kita bangun di sekitar jam 3 pagi, seumpama jam 8 pagi di Malaysia.
Ia beza waktu yang sering saya ucapkan kepada jemaah haji dan umrah dari Malaysia, “ia nikmat Allah kepada orang Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Tiada sebab untuk tidak solat malam ketika berada di Madinah. Ia waktu yang bertenaga”.
Di Malaysia, jika kita masih bangun di sekitar 3 pagi seumpama jam 10 malam di Madinah. MasyaAllah ia waktu saya sedang menyampaikan tazkirah kepada jemaah haji dan umrah yang berkunjung ke rumah kami di Jabal Uhud.
Allah… Allah… Allah… begitulah Allah mengubat rasa rindu dengan tidak menghilangkan apa yang menjadi kebiasaan di Madinah dan Malaysia.
Tersirat, jangan terlalu melihat rumput jiran tetangga. Suburkan apa yang menjadi milik sendiri. Juga, jangan yang dikendung keciciran, yang dikejar tidak terjangkau.

Berdoa dan bersolat di sini merupakan satu keistimewaan
MasyaAllah ramai yang berkata, “kami rindukan Raudhah”. Ia taman syurga. Lalu ketika bercuti, saya mahu amalkan sesuatu yang saya pelajari sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang direkodkan oleh Tirmidzi yang bermaksud,
”Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyaklah berzikir.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman syurga itu?” Beliau menjawab, “Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)”
Allahu Akbar, dikatakan juga ribuan para malaikat akan turut serta bersama-sama mengikuti majlis-majlis ilmu tersebut. Akal bodoh saya memikirkan dengan cara yang mudah dan ringkas, “rupanya ia tidak susah untuk menjemput para malaikat bersama kita”.
Setiap orang mampu membina taman syurga di rumah. Paling tidak, bacalah sepotong ayat kepada anak-anak di rumah. Luangkan masa 10-15 minit untuk menyampaikan tazkirah ringkas.
Ia mungkin tidak setanding berada di Raudhah namun ia lebih baik daripada hanya merinduinya tanpa melakukan apa-apa.
Allahu Akbar. Mudah-mudahan perjalanan pulang kami dipermudahkan.
July 31, 2012
Nikmat berkeluarga

Terima kasih Ros dan Shaiful serta adik-adik yang lain kerana meraikan kami

5 beradik daripada 12
Kesemua adik-beradik yang berada di Lembah Kelang berkumpul di Bandar Hussein Onn. Lima beradik kesemuanya.
Tentu sekali saya menghargai kesungguhan mereka untuk turut hadir dalam keterbatasan waktu terutamanya pada bulan Ramadhan. Itulah ikatan kekeluargaan yang sangat-sangat kami hargai.
Barangkali lanjutan pertemuan seumpama ini adalah permohonan doa agar kami dapat terus berkumpul di Jannah. Ia lumrah semulajadi. Keluarga yang rapat akan sentiasa berdoa untuk ahli keluarganya.
Saya tidak terkecuali. Adik beradik seramai 12 orang merupakan anugerah Allah yang disyukuri. Hubungan kami sangat rapat.
Tentu sekali saya bersyukur kerana kesemuanya memahami betapa kami sekeluarga – saya dan Roza – merupakan milik masyarakat. Jalan yang telah kami pilih dan lalui begitu.
Kadang kala masyarakat mendahului keluarga. Percutian kali ini nyata begitu. Hampir seluruh masa kami ditumpukan untuk bertemu dengan masyarakat.
Mereka langsung tidak bersungut.
Saya rasa terharu kerana adik-beradik sangat-sangat memahami. Masa luang kami yang terbatas dicari. Dan ia diisi dengan penuh kasih-sayang.
Allah… Allah… setulus hati saya memohon kepadaNya agar kesemua mereka diberi taufik dan hidayah, berkasih sayang sehingga ke syurga Firdaus. Kami mohon keampunanMu ya Allah.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
