Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 16

July 5, 2012

Cameron Highland

Kami hanya duduk-duduk menanti mereka melihat kehijauan daun teh.


Kami tiba di CH sebelum jam 1 tengahari.


Ia perjalanan yang panjang. Di mana datangnya tenaga memandu beratus batu bermula 25hb Jun yang lalu tidak dapat saya telah. Barangkali saya tidak mahu menyusahkan Roza yang sudah setahun dimanja tanpa perlu memandu di Saudi. Azrai pula bergilir-gilir dengan Mr Khalid.


Agak saya begitu.


Kami melawat ladang teh, taman rama-rama dan memakan strawberry. Di sebelah petang, saya dikunjungi oleh Tuan Haji Omar dan isteri (nota: dari Melaka). Di sebelah malam, Encik Mohd Kholid dan isteri menjamu kami dengan soto, roti jala dan spagetti.


Dan pagi ini – InsyaAllah – saya akan menyampaikan kuliah subuh yang terhad. Ia hari bekerja!


Cuaca di sini sangat nyaman. Suhunya 18 darjah celcius. Saya fikir ia sesuai untuk berehat tubuh dan minda. 21 hari pulang bercuti, saya telah mengisi lebih 30 slot tazkirah, kuliah dan ceramah.


Barangkali saya tidak dapat berbohong betapa kesemuanya boleh menyebabkan kelesuan yang amat sangat. Malah jarak perjalanan yang panjang merentasi lebuhraya, jalan A dan B boleh menyebabkan tubuh bertambah letih.


Hakikatnya, kesukaan melakukan sesuatu menyebabkan ia hilang begitu sahaja. Setiap hari yang perlu dilalui merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan.


Malah Allah teramat adil dan bijaksana. Memang benarlah juga Dia Maha Pengasih lagi Maha Pemyayang. Keletihan atau kelesuan hanyalah satu ujian pada satu tahap tertentu.


Ia berombak-ombak dan berselang-seli dengan kecerian dan keterujaan yang bertukar begitu pantas sekali.


Begitulah. Saya memahami yang tanggungjawab kepadaNya tidak akan terhenti sehinggalah bibir tidak boleh lagi berkata. Jari jemari tidak lagi berfungsi.


Pada ketika apa yang ada tidak lagi bererti kecuali ilmu yang bermanfaat, amal jariah dan anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.


Kuliah Subuh di Tanah Rata


Saya sentiasa menggemari kuliah subuh meskipun jemaahnya paling sedikit berbanding dengan lain-lain kuliah. Ia paling mudah untuk memberi motivasi bagaimana mahu menjadi “golongan terpilih” mengikut aturanNya.


Pagi tadi tidak terkecuali. Jumlah yang hadir tidak genap pun 30 orang. Namun saya sangat bertenaga. Bagi saya, inilah mereka yang benar-benar luar biasa.


“Tuan-tuan hadir kerana Allah. Tidak ramai yang mampu solat subuh berjemaah. Dalam konteks ini, ia sangat jelas sebagaimana ayat Surah Waqi’ah (10 – 14) yang menyatakan golongan yang sedikit”.


Tinggal lagi, mari kita lakukan amalan lain yang mudah-mudahan diterima Allah sebagai golongan terpilih”.


Ia sejuk di sini namun bagi mereka yang bersyukur dengan nikmat Allah, panas dan sejuk mereka akan tetap ke masjid!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 05, 2012 10:47

July 4, 2012

Kota Bharu

Gambar yang belum bersedia. Di sebelah kiri saya Cikgu Norbibi. Di sebelah kanan, Cikgu Wan Nasihah.


Di sini zaman remaja saya.


Lima tahun di MRSMKB (Kini dikenali sebagai MRSMPC) banyak membentuk watak kehidupan saya sebagai seorang insan. Guru-guru MRSM mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan para pelajarnya.


Cikgu Norbibi tidak terkecuali. Allahu Akbar, semalam saya membuat kunjungan – temu janji yang telah ditetap dua bulan lepas – selepas mengetahui yang beliau diuji Allah dengan kanser pankreas tahap 4.


Saya mahu melawat Cikgu Norbibi. Beliau pula – melalui Dato’ Roslan, juga Alumni MRSMKB – mengumpulkan anak-anak murid beliau yang lain agar hadir sama ketika saya ke rumahnya.


Allah… Allah… hadir sama Cikgu Wan Nasihah yang baru saja menjalani pembedahan tumor otak. Beliaulah yang telah menemuduga saya pada tahun 1995.


Cabar beliau, “cuba jadi pencadang untuk tajuk Sains dan Teknologi memberi kebaikan kepada masyarakat“. Hampir 3-4 minit saya mengemukakan hujah-hujah yang saya fikir memberangsangkan untuk pelajar yang berusia 11 tahun.


Bila habis berhujah beliau berkata, “cuba jadi pembangkang”.


Allah… Allah… saya terus mengemukakan hujah-hujah sebagai seorang pembangkang kepada tajuk tersebut bak peluru penabor.


Akhirnya saya terpilih dan memilih ke MRSM walaupun mempunyai pilihan untuk ke SMS dan STAR. 5 tahun kemudian saya dinobatkan pemidato terbaik MRSM.


Allah… Allah… saya terpandang Cikgu Nik Faridah guru bahasa Inggeris. Beliau bukan main lagi mahu bergambar dengan saya. “Cikgu, saya student, cikgu adalah cikgu saya… jangan begitu,” saya malu dan segan.


Saya tidak berkesempatan untuk berbual-bual dengan cikgu Norbibi kerana diminta untuk menyampaikan tazkirah. Kemudian bergegas pula berjumpa dengan 600 – 700 pelajar MRSMPC.


Ia pertemuan yang diatur pada saat-saat akhir yang tidak mampu saya tolak. Lalu saya nyatakan pada Roza, “Yang, awak kena take-over aturcara bersama Khalid dan Keluarga. Nanti kita bertemu semula selepas Zuhur”.


Cikgu Norbibi bertanya, “Di mana Roza?”. Allah… Allah.. terdapat beberapa naskah buku Bukan Sekadar Resepi yang mahu ditandatangani. Allahu Akbar, ramai rupanya peminat setia Roza.


“InsyaAllah cikgu, sebelum pulang ke Besut – petang nanti – saya kembali ke sini. Saya bawa roza sekali,” sambil berfikir yang ia ruang untuk kami bersendirian bersama beliau.


Nikmat Seorang Guru


Di sebelah petang, saya mendengar bicara Cikgu Norbibi.


Bila beliau disahkan diuji Allah dengan penyakit tersebut, ramai pakar-pakar dalam pelbagai bidang perubatan berkumpul di rumah beliau. Allah… Allah…. kesemuanya adalah anak-anak murid beliau di MRSM.


Ajal maut di tangan Allah. Kesembuhan penyakit juga bergantung sepenuhnya kepadaNya. Namun Allah memberikan kasih-sayang anak-anak murid kepada cikgu Norbibi. Ia nikmat rasa yang tidak dapat didustakan.


Beliau bercerita lagi. Salah seorang dari mereka yang akan melakukan pembedahan bergetar jiwanya apabila ia melibatkan guru sendiri. Beliau bersolat 40 rakaat memohon daripada ALLAH SWT sebelum memasuki teater pembedahan.


Allah… Allah panjang cerita keriangannya tentang kisah anak-anak murid yang turun dari pelbagai negeri. Allah, saya sangat sebak melihat kebesaran Allah dalam pelbagai segi kehidupan.


Moga Allah merahmati, memberkati dan memberi kesudahan yang baik kepada semua guru-guru kami.


Kembali


Bergetar jiwa saya apabila melangkah masuk ke Dewan Besar MRSMKB. Di kiri, separuh dewan dipenuhi dengan pelajar-pelajar putera. Di kanan, separuh lagi dipenuhi pelajar puteri.


Jumlahnya di antara 600 – 700 pelajar.


Saya nampak perbezaan ketara. Dulu, majoriti pelajar puteri tidak bertudung. Sekarang, 100% bertudung. Alhamdulillah.


Namun saya lebih teruja dan ceria melihat mereka kekal bersama saya hampir 1 1/2 jam ketika sepatutnya mereka berehat.


Kami bergerak ke Cameron Highland meninggalkan pelbagai kenangan menarik.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2012 14:13

Hanya gambar

Petang semalam, dua jam di SMK Putra


Di sebelah malam kuliah Maghrib di Masjid Machang

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 04, 2012 05:32

July 2, 2012

Alor Lintang

Bergambar kenangan sebelum bertolak ke Besut. UiTM Kuala Terengganu.


Alhamdulillah, kami tiba di Kg. Alor Lintang, Besut, Terengganu. Halaman rumah pertama yang kami tuju adalah rumah Kak Yah, kakak sulung daripada 12 adik beradik. 


Kak Yah menyediakan nasi dagang berlaukkan ikan tenggiri, udang dan telur. Lalu saya memberi penerangan ringkas kepada tetamu kami dari Arab Saudi.


“Nasi ini dimasak dengan menggunakan campuran 1 beras pulut dan 2 beras biasa. Ia perlu dimasak dua kali……,” pandai-pandai saya menjadi pemandu pelancung.


“Cuba. Jika tidak mampu menerimanya, tidak mengapa. Kakak saya menyediakan sedikit ayam goreng, roti dan tuna untuk dibuat sandwich”.


Begitulah. Namun saya tertarik dengan kata-kata Kak Yah, “Yah berdoa agar mereka boleh makan. InsyaAllah mereka boleh makan”.


Benar sekali. Kami tinggalkan mereka sekeluarga makan di meja utama. Saya dan Roza beredar ke dapur untuk makan di sana. Alhamdulillah, ia menu tradisi kami di Besut yang dapat dirasai dan dinikmati oleh tetamu kami.


Menginap di rumah Kak Ma, kakak nombor 3.


Mereka ditempatkan di rumah kakak ke tiga saya yang hanya beberapa ratus meter dari rumah Kak Yah. Di sini – barangkali – mereka dapat menyaksikan sendiri bagaimana perhubungan adik-beradik yang sangat akrab.


Kak Mie dari Setiu berkunjung untuk mengenali mereka.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 02, 2012 09:01

NOTIS: MAJLIS KESYUKURAN 14 JULAI 2012


Alhamdulillah, ia sudah siap dicetak. Dan ia boleh diperolehi semasa hari pelancaran.


Majlis akan bermula jam 8.30 pagi di INTEKMA RESORT. Jika tidak keberatan, datanglah lebih awal bagi memudahkan pengendalian majlis. Jamuan ringan disediakan.


SEMUA DIJEMPUT HADIR



Kuliah di Kuching


Kuliah Maghrib di Puchong


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 02, 2012 00:53

IKLAN

Kuliah di Tanah Rata


Kuliah di Kuching

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 02, 2012 00:53

July 1, 2012

Kuala Terengganu

Bergambar kenangan di UiTM Kampus Dungun


Alhamdulillah, kami selamat sampai di Kuala Terengganu.


Perjalanan Dungun – KT tidak sukar. Jalannya lengang. Kami terus menuju ke Pasar Payang. “Di sini dua jam sahaja,” saya memberi arahan.


Kami berpecah. Saya mahu berehat. Hakikatnya, saya membiarkan Roza memandu mereka di kawasan ini. Agak saya, mereka akan berlama dari satu kedai ke satu kedai.


Kemudian kami – saya, Azrai dan Amirul – berpatah balik ke tempat letak kereta. Saya sengaja mengambil teksi (beca roda tiga) untuk perjalanan yang tidak sampai pun 200 meter.


“Sudah berapa lama pak cik mengayuh teksi nih?,” saya bertanya.


“sejak 1965″.


“Umur saya setahun pak cik. Sekarang, berapa umur pak cik?”


“lebih 70 tahun”


“Anak pak cik berapa orang”


“seorang tetapi serupa tiada anak,” kata-kata yang mungkin terkeluar dari lubuk hati. Saya tidak mahu menyambung topik perbialan. Saya fikir beliau orang tua yang sepatutnya berehat di rumah.


Saya menghulurkan upah beliau tanpa bertanya berapa yang perlu dibayar.


“Banyak sangat ni anak,” beliau kelihatan tidak sanggup menerimanya.


“Hadiah dari saya. Ambillah pak cik. Semoga Allah memberkati hidup pak cik”.


Saya menunggu teksi yang membawa Azrai dan Amirul. “Azrai sudah bayar?,” saya bertanya. Beliau menganggukkan kepala. “Berapa?,” saya bertanya lagi.


Lalu saya memberi wang tambahan. Beliau kelihatan lebih tua. Rasanya tidak adil beliau diberi upah yang lebih kecil sedangkan beliau mengayuh 100 kg lebih muatan.


Beliau benar-benar terkedu. Terketar-ketar beliau bersalam dengan saya.


Saya terkenang seorang kenalan yang bapanya pengayuh beca. Beliau berjaya sehingga ke universiti. Berjawatan tinggi. Namun untuk menghulur sedikit bantuan pun terpaksa berkira-kira.


Isterinya yang jelita menjadi penghalang. Agaknya mungkin ada sebab yang hampir serupa untuk mereka terus berkayuh di kala usia yang sangat lanjut.


Mudah-mudahan tidak begitu.


Lapan Saf


“MasyaAllah, Tabarakallah, MasyaAllah,” berulang-ulang Sheikh Khalid menyebutnya. “Pekan kecil tetapi ramainya orang yang berjemaah”. Saya hanya tersenyum.


Kami sudah solat subuh dipelbagai masjid. Namun masjid kali ini nyata berbeza. Ia terletak paling hampir dengan chalet penginapan. Ketika kami tiba, jumlah jemaah boleh dikira dengan jari.


Ketika pulang, jemaahnya lapan saf yang panjang.


Di mana?


Klik DI SINI untuk melihat wajah masjid tersebut.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 01, 2012 09:58

June 30, 2012

Makanan

“Tiada makanan yang halal tidak lazat. Cuma ia tidak sesuai dengan kita. Ia rezeki Allah. Jangan sekali-kali mencebek rezeki Allah”.


Itulah sebahagian daripada tazkirah ringkas yang saya sampaikan kepada anggota rombongan kami apabila tiba di pantai Cherating. Saya katakan juga,


“ketika pertama kali saya minum Qahwah Arab, saya dapat rasakan yang ia satu minuman yang sangat teruk. Cuma saya berfikir, kenapa orang Arab menyukainya? Tentu sekali ada sesuatu yang istimewa.Jika mereka boleh minum, kenapa tidak saya?”


Lalu saya mencuba kali kedua. Rasanya tidaklah seteruk kali pertama. Saya cuba kali ketiga. Ada tanda-tanda yang rasa teruk semakin berubah. Saya cuba kali keempat… dan ia menjadi sejarah!


Saya terangkan lagi,


“Apabila ada rezeki di hadapan kita, bersyukurlah. Jika kita tidak menyukainya, senyum dan beristifarlah kepada Allah. Katakan kepadaNya, Ya Allah aku mohon kemaafanMu, aku tidak mampu menelan makanan ini ya Allah. Ia tidak sesuai dengan ku. Permudahkanlah daku”.


Kemudian, sambil ketawa-ketawa saya nyatakan, “ramai yang tidak mampu menerima makanan sebagaimana yang kita perolehi ini. Allah… Allah…. nikmat makna lagi yang hendak kita dustakan”.


Akhirnya saya membuat sedikit kesimpulan, “begitulah dalam amal ibadat. Ia kelihatan sukar, berat dan tidak masuk akal untuk kita mahu melakukannya secara istiqamah pada peringkat permulaannya. Lakukanlah. Apabila kita sudah merasai nikmatnya, InsyaAllah ia seumpama bagaimana saya ketagih dengan Qahwah Arab yang begitu teruk rasanya”.


Saya berasa lega kerana dapat menyampaikan sesuatu yang terlalu sukar.


Solat Berjemaah


Alhamdulillah. Saya bertegas kepada semua ahli rombongan dengan menyatakan, “kita diberi kemudahan untuk jamak dan Qasar, Namun solat subuh tiada jamak dan Qasar. Kita perlu ke masjid untuk solat berjemaah”.


Semalam, kami tiba di perhentian rehat Gambang ketika waktu Dhuha. Kami mahu berehat seketika. Rehat yang paling aman dan damai ialah dengan mengadapNya. Lalu saya bisikkan kepada anak-anak agar mengambil wudhu dan bersolat Dhuha.


Iman bertanya, “di mana mereka?”


“Solat Dhuha”.


Ringkaskan cerita, kesemua anggota rombongan kami berada di ruangan solat dan menunaikan solat sunat tersebut. Saya bertanya Amirul, “Amirul berdoa?”


“Ya…”


“Apa yang Amirul minta dari Allah SWT?”


“Supaya perjalanan kita selamat”.


Itulah makna rehat dan rawat (R&R) yang mahu saya terapkan selain daripada buang air kecil atau besar, makan dan minum.


Mudah-mudahan apabila selesai kembara ini akan ada sesuatu yang lebih bermakna yang dapat kami perolehi untuk dibawa pulang ke Madinah.


Agaknya begitu


Selepas 10 hari Sheikh Khalid sudah boleh mengikat pelikat. Masjid UiTM Dungun.


Solat subuh di Masjid UiTM Dungun yang baru diubahsuai. Setiap kali bersolat di sini, saya sering diminta untuk menyampaikan sedikit tazkirah kepada jemaah yang hadir.


Kali ini juga saya bersedia. Malah saya telah nyatakan kepada Azrai, “kita bawa dua kereta, takut-takut ayah diminta untuk bercakap”.


Agaknya itulah yang dikatakan perasan!


Namun hakikat sebenar, UiTM Dungun sentiasa hampir dengan saya. Saya pernah belajar di sini. Berjumpa, bertunang dan berkahwin dengan pelajar UiTM Dungun.


Ketika menjawat jawatan Pengarah UiTM Johor, saya pula dilantik sebagai pengerusi perlantikan pensyarah baru untuk kampus ini. Juga, setiap kali pulang ke Besut, saya tentukan bermalam di Hotel UiTM Dungun.


Banyak lagi sebab-sebab yang boleh saya senaraikan kenapa saya menyukai UiTM Dungun.


Saya fikir tidaklah terlalu pelik untuk saya berasa sebak dan pilu apabila melihat hanya beberapa kerat yang muncul untuk solat subuh berjemaah di masjid yang sebesar ini.


Sheikh Khalid berkata kepada saya, “mungkin mereka tidak berkenderaan”.


“Bagaimana mereka ke kuliah? Adakah tuan fikir kuliah itu lebih penting dari solat berjemaah di masjid? Jika mereka boleh ke kuliah, agak saya ia tidak bermasalah untuk ke masjid”


Rasa sayang membuat kita pilu. Rasa cinta membuat kita sebak. Namun saya tahu, saya akan melupakan suasana ini apabila beredar pergi. Saya doakan agar masjid seindah ini akan sentiasa dikunjungi oleh ramai orang.


Junita Musliha


Adik Nombor 10


Kami makan tengahari di Kemaman.


Allah… Allah… Junita Musliha (pewaris jemput-jemput Wan) menyediakan Nasi Arab, Ayam Ketumbar, Kambing, Colek Buah dan banyak lagi….. Dicelah-celahnya terselit Ketupat Sotong yang memang sangat istimewa.


Makanannya memang lazat kerana ia sesuai dengan tekak kami. Namun seronoknya bertemu adik-beradik mengatasi keinginan merasai juadah yang tersedia.


“Ta, kereta Exora bercium sedikit di belakang. Abang tidak baiki. Abang gantikan dengan DVD yang mempunyai tiga skrin. Kira OKlah tu…”


Kami singgah hanya seketika tetapi memadai untuk menghilangkan rasa rindu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 30, 2012 13:55

Dungun

Kami selamat tiba di Hotel UiTM Dungun di sekitar jam 2.30 petang.


Idea asalnya solat subuh di masjid UiTM Segamat dan terus beredar pergi. Bila Iman Azrul bertanya, “Prof, boleh bagi tazkirah selepas subuh?,” maka tentu sekali saya memhon maaf.


Namun ia tidak jadi begitu. Bila beliau mahu ke ruang Iman, saya terus berkata, “OK Ustaz, sekejap boleh”.


Allah… Allah… saya terasa ada sesuatu yang boleh saya sampaikan kepada mereka.


“Saya percaya di dalam kampus ini ada lebih 5,000 pelajar. Saudara-i merupakan golongan terpilih. Tidak sampai satu saf yang sanggup hadir ke masjid. Maka benarlah janji Allah apabila memperkatakan tentang kumpulan akhir zaman”.


Maka tazkirah selepas subuh, sebelum bertolak ke Terengganu adalah untuk memberi motivasi betapa ia merupakan nikmat Allah kerana terpilih untuk berbeza dengan yang lain.


Saya menerangkan secara ringkas perbezaan di antara mereka yang berdoa dengan tidak berdoa. Mengulas kejayaan yang turut dicapai oleh mereka yang tidak mengaku dan mempercayai kekuasaan Allah SWT.


Mudah-mudahan mereka akan istiqamah untuk hadir ke masjid!


Shima


Kami doakan agar Shima dirahmati dan diberkati Allah sentiasa


Semalam adalah hari ziarah.


Pagi-pagi lagi Khairul dan Wan Adibah meraikan kami dan keluarga Sheikh Khalid makan murtabak Hindustan. Kemudian, mereka juga menjamu makan tengahari – Briyani Gam – di rumah mereka.


Tentu sekali Sheikh Khalid kepelikan. Lalu saya terangkan, “mereka berdua adalah bekas pelajar saya. Khairul tinggal bersama saya ketika mahu menyudahkan tesis sarjananya. Dan Wan juga supervisee saya di peringkat yang sama… agaknya mereka gembira kerana berjaya mendapat PhD dan mahu berkongsi kegembiraan bersama saya dan tuan”.


Hakikat sebenar, hubungan saya dan mereka melangkaui hubungan bekas pelajar, rakan sejawat atau kenalan. Saya merasakan seluruh keluarga dari anak-anak, mak dan arwah abah serta kaum keluarga saya di Besut mengenali Khairul dan Wan.


Ketika Sheikh Khalid dan keluarga bersama anak-anak saya menjelajah Gunung Ledang, saya pula melayani rakan-rakan yang sudi melawat saya di rumah mak.


Di sebelah petang, kami diraikan oleh Ustaz Sidek dan keluarga. Agak saya, Sheikh Khalid dan keluarga terkedu dan tersedu melihat kesungguhan keluarga ini meraikan kami.


Kami dijamu dengan nasi briyani, sate dan lompat tikam.


“Mereka nyatakan minum petang. Itu bukan minum petang,” kata Sheikh Khalid. Saya tersenyum. Tidak perlulah saya membuat sebarang alasan.


Saya tinggalkan mereka kerana mahu berkunjung ke rumah Shima. Beliau pelajar seliaan, jiran yang paling hampir dan rakan sejawat. Malah suaminya Adib banyak membantu kami ketika banjir besar melanda Segamat.


Di Madinah, saya dikhabarkan yang Shima diuji dengan ujian badan yang hebat. Salur darahnya di kawasan otak abnormal. Saya tidak pandai bercerita tetapi memadailah jika saya khabarkan ia sesuatu yang kronik.


Apa yang boleh kami lakukan? Berdoa agar beliau disembuhkan agar penyakitnya tidak berbekas lagi.


Allah… Allah… sayunya hati saya melihat keadaan beliau. Shima kelihatan biasa-biasa sahaja di mata umum. Namun saya tahu beliau sedang berhadapan dengan ujian yang sangat besar. 


Benar, ia hari bertemu rakan-rakan.


Akhir sekali, saya menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Bukit Siput. Di sinilah tempat saya menyampaikan kuliah bulanan hampir dua tahun sebelum berlepas ke Madinah.


Mereka juga adalah rakan-rakan saya perlu saya ziarahi. Kini, pantai Dungun menyambut kedatangan kami sekeluarga. Saya damai dan bahagia di sini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 30, 2012 01:32

June 28, 2012

Syahad

Usia Syahad enam tahun.


Setelah hampir dua minggu bersama kami, anak comel ini mempunyai keinginan yang sangat luar biasa. Beliau mahu memakai tudung seumpama Sofea.


Lalu dicuba-cubanya tudung orang dewasa kepunyaan ibunya. Budaya Arab pula tidak begitu. Anak-anak perempuan yang belum akil-baligh digayakan dengan pakaian moden yang biasa-biasa dipakai oleh kebanyakan orang.


Itulah yang berlaku. Syahad tidak dibenarkan memakai tudung ibunya. Ia kelihatan berserabut. Kami memahami.


Kesannya mudah. Syahad menangis. Roza memeluknya dan memujuk, “nanti untie belikan Syahad tudung kanak-kanak. Jamilah (cantik)!”.


Tentu sekali ia berkait dengan cara hidup. Ramai juga di kalangan kita yang menghantar anak-anak ke sekolah agama. Bila pulang ke rumah, auratnya juga tidak lagi menjadi keutamaan.


Pakaian ke sekolah, GIANT atau TESCO berbeza. Alasannya mudah, mereka belum akil-baligh. Hakikatnya, mendidik anak bukan bersempadankan akil-baligh. Lihat bagaimana nasihat Baginda Rasulullah SAW agar anak-anak disuruh bersolat seawal usia 7 tahun dan dirotan jika tidak mahu melakukannya ketika usia 10 tahun.


Anak-anak sebenarnya keliru. Ia dikelirukan oleh ibu bapa mereka sendiri.


Lalu pada ketika yang terluang , pada saat yang paling baik dan dalam keadaan yang sangat santai, saya ungkapkan kata-kata yang sukar,


“Iman, alhamdulillah Allah anugerahkan Syahad, anak yang ingin memakai tudung. Ramai orang Malaysia tidak mampu menyuruh anak mereka menjaga aurat. Lihatlah keadaan ini. Di mana-mana begitu. Anak-anak remaja tidak apa-apa menggayakan rambut mereka”


Saya sangat berhati-hati dalam soal ini. Namun saya perlu menyatakan begitu. Mudah-mudahan ia menjadi pandangan yang boleh memberi manfaat.


Lalu petang semalam kami ke Jakel Segamat. Roza hadiahkan tiga tudung kanak-kanak kepada Syahad. Malah ada jurujual di sana juga menghadiahkan sehelai tudung kepada beliau.


Biarlah Syahad bermain-main dengan tudung tersebut!


Kuliah dan Makan


Mereka yang menunggu usai tazkirah Motivasi Pagi UiTM Segamat


Saya tinggalkan Sheikh Khalid bersama AHA di Malim Jaya, Melaka. 


Motivasi Pagi di UiTM Segamat bermula jam 8.30 pagi. Saya tidak mahu menyusahkan mereka. Kata saya pada AHA, “bergerak di sekitar 11.00 pagi dan singgah di rumah nenek. Kita berjumpa di sana”,


Alhamdulillah, seronoknya kami berdua kerana dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan yang sudah 10 bulan ditinggalkan. Malah saya rasa dihargai apabila motor pengiring polis Bantuan UiTM mengiring saya sehingga ke dewan kuliah.


Usai kuliah kami beredar menuju Masjid As-Syikirin untuk menunaikan solat Dhuha. Allah… Allah… Allah… di sinilah tempat saya mengabadikan diri kepadaNya hampir tiga tahun.


Saya membayangi anak-anak UiTM yang bersama-sama kami berbuka puasa Isnin dan Khamis, mengenangi majlis berbuka puasa di bulan Ramadhan dan melaksanakan solat berjemaah bersama-sama.


Ia perasaan unik yang tidak mampu saya catatkan.


Di sebelah petang saya menjadi pemandu pelancung. Pertama, kami melawat Ar-Raudhah. Ia tidaklah terlalu teruk. Saya tidak dapat memasuki rumah tersebut kerana tidak mempunyai kunci. Cukuplah, ia mengubat rindu. Ada kenangan manis di sini.


Kedua, kami memperkenalkan nasi ayam terbaik yang pernah kami rasa. Dan ia sangat benar. Lidah Arab dapat merasai dan menukmati hidangan ini dengan sempurna.


Jika anda berkunjung ke Segamat, cubalah nasi ayam Gemas


Di sebelah malam, saya menyampaikan kuliah Maghrib kepada siswa-siswi UiTM Segamat di masjid UiTM. Saya tidaklah terlalui serius. Bercerita pengalaman di Madinah dan cuba mengaitkannya dengan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.


Tazkirah ringkas kepada anak-anak muda UiTM


Usai solat Isya saya beredar untuk menyampaikan kuliah di Madrasah Ibnu Mas’ud di Gemerej, juga dalam daerah Segamat. Ia bukan surau atau masjid. Ia ditubuhkan oleh sekumpulan manusia yang cintakan ilmu pengetahuan.


Kuliah- kuliah disampaikan secara berterusan setiap malam selepas solat Isya. Mereka datang dari pelbagai tempat. MasyaAllah, ialah satu-satunya tempat seumpama ini di daerah ini.


Alhamdulillah, saya menyampaikan pandangan dari pengalaman hampir 1 1/2 jam.


Pengajian seumur hidup


Di Jementah, Mak dan Roza meraikan Sheikh Khalid dengan sate, mee mamak, kuey tiow mamak dan roti canai. Kali ini – seumpama Nasi Ayam Gemas – mereka dapat menikmati hidangan tersebut dengan tekun sekali.


Akhirnya, saya menoleh ke belakang melihat bagaimana masa yang dianugerah Allah telah dimanfaatkan. Ia hari yang sangat bermakna.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 28, 2012 15:29

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.