Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 19
June 9, 2012
Aturan
Setiap tahun – InsyaAllah – saya akan menamatkan bacaan terjemahan al-Quran untuk satu tempoh yang sistematik. Maksud saya, ia berlaku ketika saya menulis buku baru.
Ia berlaku hampir serentak. Usai menulis, selesailah bacaan tersebut. Rutin ini sangat besar faedahnya kerana proses penulisan itu sendiri berpaksi kepada ilmu yang diilham Allah.
Tiada tempat atau kitab yang paling sesuai untuk dirujuk melainkan Al-Quran itu sendiri. Begitulah, dalam keterbatasan memahami bahasa Arab, saya dapat merasai keseronokan dan ketenangan menulis sambil membaca terjemahan tersebut.
Acap kali saya berkata, “ya Allah, ia ada diceritakan di sini…” kepada Roza yang juga kerap memberi rujukan di atas apa yang telah beliau temui melalui pembacaan yang sama.
Dalam konteks bahasa terjemahan, saya sering berjumpa dengan kata-kata (mengikut aturannya). Ia diulang-ulang di pelbagai ayat.
Ia memberi kesan besar dalam kehidupan seharian. Kenyataan ini saya huraikan dengan memberi contoh yang boleh diterima akal. Misalnya saya sering menyampaikan kepada khalayak,
“Api itu sifatnya membakar. Letak tangan kita ke dalamnya, maka terbakarlah tangan kita. Itulah aturannya. Api membakar. Namun api yang menggunung tinggi, dicampakkan Nabi Allah Ibrahim ke dalamnya, ia tidak membakar.
Hukum api membakar tidak terpakai di sini. Itulah kekuasaan Allah. Namun kita orang biasa-biasa. Api akan membakar kita. Jadi aturan, jangan bermain api kerana ia boleh membakar kita kalau mengikut aturannya”.
Aturan inilah yang cuba saya jelaskan dalam konteks beramal ibadat. Bagaimana mahu menjadi insan terpilih “mengikut aturannya”. Aturannya sangat mudah, lakukan apa yang disuruh, tinggalkan apa yang dilarang.
Jika ada yang menyebut, “itu yang paling disukai Allah SWT”, maka lakukan kerana mengikut aturannya, tiada yang lebih baik lagi di sisi Allah.
Malah saya sangat-sangat mempercayai dan yakin dengan konsep memohon dan berdoa kepadaNya. Aturannya, Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia nyatakan, “bangun 1/3 malam….”. Dia nyatakan juga, “sabar dan solat….” .
Namun jangan sesekali berburuk sangka dengan Allah SWT. Aturannya, Dia lebih Mengetahui daripada hambaNya.
Kontrak
Mengikut aturannya, Universiti Taibah tidak mengambil pensyarah tanpa kelulusan PhD. Di sana-sini ada pengecualian. Alhamdulillah, pengecualian itu terpakai buat Roza.
Beliau ditawar sambungan kontrak selama setahun lagi.
Beliau juga diberi tambahan mata pelajaran yang perlu diajar. 12 jam seminggu dengan tambahan gaji. Itulah rezeki yang Allah kurniakan.
“Wah…. berat tu…..” saya ketawa kerana tambahan 100% berbanding semester ini. Roza tersenyum. Saya tahu beliau pula membandingkan dengan beban kerja 24 jam/seminggu di UiTM.
Chef Antara Benua
Kami menerima SMS yang ada tetamu dari XYZ ingin melawat kami di rumah. Rupa-rupanya Roza sangat teruja kerana sudah beberapa hari tidak memasak.
Akhirnya beliau mengambil kesempatan untuk mencuba beberapa resepi yang mahu dijadikan pengisian buku terbaru beliau. Allahu Akbar, inilah hasilnya.
Ia akan dimulakan dengan minuman selamat datang, Apple Cider.

Kesegaran yang memberi aroma antara benua
Kemudian, mengikut susunan menu, tetamu akan dihidangkan Irish Stew.

Ia pemula untuk memanaskan badan
Akhir sekali, dua menu utama digabungkan sekali sebagai penutup kepada tetamu yang bakal hadir.
Ini makanan yang saya kenali ketika bekerja di Marakesh Restoran di Wales

Masa'ah dari Mesir
Seronok dan teruja saya melihat hasil masakan ini. Emmmm….. hampir tiga petang saya menerima SMS, “minta maaf kami tidak dapat hadir”.
“Mafi Mushkils, tuan meminta, tuan membatalkannya…,” saya dan Roza ketawa membaca alasannya.
Rupanya Allah telah menetapkan yang hidangan istimewa ini milik……..
June 8, 2012
Tiada yang sukar
Mustahil Allah mahu menyusahkan hambaNya. Segala suruhan dan laranganNya – secara hakikatnya – tidak sukar untuk dilaksanakan.
Allah….. Allah… itu yang saya sebut kepada tetamu kami dari United Kingdom.
Benarkah begitu?
June 7, 2012
Emmm….
Shopping di Madinah tiada bezanya berbanding dengan Kuala Lumpur.
Di sini, banyak shopping mall yang besar-besar dan menjual pelbagai jenama dunia yang terkenal. Di sebalik jubah hitam wanita Arab, kita akan terkejut dengan pakaian sebenar mereka.
Hanya tinggal beberapa hari lagi untuk kami berangkat. Baru saya sedar yang saya tidak mempunyai seluar dan baju kemeja. Amirul tiada t-shirt atau seluar sebagaimana yang dipakai oleh anak-anak di Malaysia. Malah Sofea mengadu mahukan seluar baru yang mempunyai poket.
MasyaAllah, kehidupan di sini melupakan kami sekeluarga kepada banyak perkara. Ia terlalu simple.
“Amirul mahu pakai baju apa bila pulang ke Malaysia?”
“Ini yang Amirul tengah fikir. Mama mahu Amirul pakai jubah, serban dengan igal?”
“Mesti Kakak Sara dan Abang Ngah terkejut tengok Amirul,” Roza memberi semangat.
“Kalau Amirul mahu begitu nanti kita beli jubah baru. Amirul pilihlah yang terbaik. Serban, pakailah yang masih ada dalam kotak. Itu ada orang hadiahkan pada ayah. Harganya dekat SR200″.
Lagi saya memberi lebih semangat.
Lalu semalam kami membeli-belah. Amirul membeli dua pasang jubah yang berharga hampir SR100 setiap satu. Selipar yang mahu dipadankan dengan jubah tersebut.
15-6-2012, jam 2.30 petang, jika ada remaja Arab yang keluar dari balai ketibaan antarabangsa KLIA, tolonglah jangan terkejut. Itu mungkin Sheikh Ahmad Amirul Imran.
Tiada Jemputan

Kenalan di Masjid Nabawi
Allahu Akbar – semalam - saya bertemu ramai kenalan di Masjid Nabawi. Dari subuh hingga ke Isya. Misalnya, saya bersama Ustaz Norhisham, pendakwah yang sering muncul di TV, kenalan wajah dari Jeddah, Junior UiTM Dungun, anak-anak dari Jordan dan ramai lagi.
Ada yang mengendeng mahu ke rumah. Saya diam buat muka kenyang. Keadaan rumah kami sangat tidak kondusif untuk menerima tetamu.
“Prof nanti balik ke rumah?,” tanya anak muda dari universiti Jordan. Tentu sekali sebutan “rumah” membawa makna tersirat. Saya senyum.
Lalu saya hulur SR100 dan berkata, “saya mahu bawa kamu semua ke rumah. Saya mahu jamu kamu makan. Namun keadaan tidak sesuai. Ambil duit ini dan saya belanja makan nasi Mandy. Pergi cari nasi ini…”
Anak tetap anak-anak. Mereka mendengar tazkirah saya hampir 1 jam di masjid Nabawi. Saya mahu dan berdoa agar mereka menjadi pendakwah sejati apabila pulang ke Tanah Air.
Selesai berceramah, mereka tetap anak-anak yang perlu dilayan sebagai anak-anak. Hadiah SR100 dari seorang ayah kepada 4 orang anak-anaknya yang jauh di perantauan.
Ia bukan jumlah yang besar tetapi sangat signifikan, InsyaAllah!
Laporan Masjid KRTS

Mudah-mudahan ia berjalan lancar

Pengurus Projek berada di tapak masjid KRTS di Galkayo
02.06.2012 bermulalah projek pembinaan Masjid KRTS di Galkayo, Somalia.
Ia rumah Allah. Hanya padaNya kita memohon supaya segalanya dipermudahkan. Itu sahaja yang mampu kita lakukan di kala ini.
June 6, 2012
Ia terkesan di hati
Di Madinah, di tengah-tengah lapangan inilah hukuman dijalankan. Ia sangat hampir dengan RKDJU.
9.15 pagi, rabu, 6-6-2012.
Pagi tadi saya bergegas mahu ke pejabat. Ada satu kepelikan yang tidak pernah berlaku di kawasan perumahan kami. Kereta bersusun-susun. Orang awam juga kelihatan ramai sekali.
Saya ternampak tiga ambulan. Kereta polis dan pasukannya tersusun di kawasan lapang tersebut. Hati saya terus berkata, “QISAS”.
Saya tidak mempedulikan urusan segera di pejabat dan terus mencari tempat untuk parking kereta. Saya tidak fikir peristiwa seumpama ini kerap berlaku.
Benar, pengalaman menyaksikan bagaimana hukuman ini dijalankan mengundang getaran di hati. Automatik bibir dan hati menyebut-nyebut, “subhanallah, subhnallah…,” memikirkan masih ada kawasan yang mahu melaksanakan hukum Allah yang dinyatakan secara jelas melalui al-Quran.
9.40 pagi, kenderaan membawa pesalah tiba. Kelihatan unit kesihatan memasuki kendenderaan tersebut. Kemudian, anggota polis meletakkan beberapa keping kertas kotak di tengah-tengah kawasan.
MasyaAllah, hati saya sangat berdebar. Barangkali mereka yang berhadapan dengan ajal yang kelihatan pasti tentu sekali lebih lagi debarnya.
2-3 minit sebelum jam 10, pesalah dibawa turun dan diletakkan di atas kertas kotak. Kelihatan tangan diikat kebelakang tubuh setelah beliau duduk di antara dua sujud.
Allah.. Allah… seseorang menghulurkan pedang yang disambut oleh petugas yang lain.
Szzzzap…. kepala terpelanting ke sebelah kiri hadapan dengan darah memancut keluar. Allahu Akbar, kesannya menusuk nun jauh di hati.
Jika ada lagi orang berkumpul di sini, cukuplah, saya tidak akan menoleh lagi. Sekali sudah memadai!
June 5, 2012
Hukumnya tidak begitu
Keikhlasan adalah mainan hati. Pada wajah ia mungkin kelihatan berbeza. Lalu mentafsir keikhlasan orang lain – saya fikir – ia perbuatan sia-sia dan tidak berfaedah.
Cukuplah dengan menjaga hati sendiri.
Begitu juga dengan berkawan. Berkawanlah dengan ikhlas. Jika tidak, acap kalilah kita akan berkecil hati atau memendam rasa. Kadangkala kita berfikir beliaulah yang paling rapat dengan kita. Di hati, rupa-rupanya tidak.
Hakikatnya, orang lain muncul memberi pertolongan ketika kita memerlukannya.
Hampir setahun di universiti Taibah. Tidak pernah saya menyangka yang beliaulah rakan sejawat pertama yang akan menjemput kami sekeluarga ke rumahnya untuk makan malam.
Realitinya begitu.
Lalu malam tadi kami dihidangkan dengan makanan istimewa negara asalnya, Jordan. صاديه , harap-harap benarlah saya menulis jawi dengan nama makanan yang sebegini lazat.
Sedulang penuh khusus untuk saya, Amirul dan tuan rumah, Dr Hussin! MasyaAllah, saya angkat tangan.

Makanan Jordan, nasi dan ikan....

Ia dimakan bersama salad

Penutup dengan Qahwah Turki dan Bakhlava
Masjid Saudi

Ia satu pengalaman
Mungkin ini pengalaman pertama dan terakhir. Ia berlaku di masjid Fayha, Jubail, Arab Saudi.
Berkelah di Mall

Berkelah
“Kita bertemu di Rasyid Mall selepas solat Isya,” saya menerima SMS daripada Sheikh Khalid.
Solat Isya menjadi pemisah atau pemula kegiatan malam di Madinah. Malam tadi beliau mahu memperkenalkan ibu mertuanya dengan kami sekeluarga.
“Shahad memberitahu neneknya, nenek kena jumpa kawan Shahad dari Malaysia. Ajaklah Amo’ Mohammad….,” terang Iman.
Roza tersenyum mendengar jawapan Shahad apabila Neneknya berkata, “kamu kecil lagi… tidak mengapa jika tidak memakai tudung”.
“Sofea pakai tudung. Tidak buka pun, OK,” petah anak yang berumur lima tahun berhujah.
Kami tahu yang idola Shahad adalah Sofea.
Pertemuan keluarga seumpama ini banyak membantu kami mengenal budaya Arab. Kami belajar. Mereka juga belajar budaya Malaysia.
Namun ada asas-asas yang mahu saya pertahankan melangkaui budaya Arab. Mereka mudah solat berjemaah di mana-mana. Dengan izin Allah, saya tetap mahu ke masjid.
Ia bukan soal benar ataupun salah!
June 4, 2012
Lawak
Ada orang suka berlawak. Semua benda mahu dilawaknya.
Namun saya fikir berlawak mesti bertempat. Itu pun perlu sangat berhati-hati. Jika kita kali pertama bertemu dengan seseorang tidak perlulah kita berlawak sangat. Jenaka bagi kita tidak bagi yang lain. Kita tidak tahu apa yang ada difikiran mereka.
Saya pernah membaca satu tulisan yang menyebut, “lawak yang melampau menyebabkan sibodoh berani terhadapmu”.
Malah saya fikir lawak tidak bertempat mengundang bahu kiri tersenget. Misalnya, ada yang gemar melawak dengan status ibu tunggal. Ramai yang tidak tahu bagaimana perasaan mereka yang kehilangan suami terutamanya ketiga usia yang sangat muda.
Alahai… keseronokan atau kelucuan bagi kita, kesakitan atau kepedihan bagi mereka yang lain.
Namun saya rasa sangat dan lebih berdukacita serta bersimpati dengan mereka yang melawak-lawak apabila disampaikan sedikit peringatan tentang kebesaran dan kehebatan Allah SWT.
Kenapa ia berlaku? Tidak lain dan tidak bukan kerana sifat rutin yang suka “melawakkan” kesemua benda. Akhirnya, tiada satu pun yang boleh menyebabkan kita berasa sebak dan terharu hatta mendengar ayat-ayat suci al-Quran.
Mungkin firman Allah SWT melalui Surah An-Najm, ayat 59-61 boleh dijadikan pengajaran,
“Adakah kamu hai Musyrikin rasa hairan dengan ayat-ayat suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai”
Namun saya sangat tertarik dengan pesanan Rasululullah SAW yang dilaporkan oleh Iman Ahmad dan Ibnu Majah bermaksud, “Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati”.
Mudah-mudahan kita mampu menangis di malam hari setelah berdekah-dekah ketawa di siang hari. Jika tidak, lembutkanlah hati dengan mengurangkan ketawa yang melampau-lampau.
Carta Buku Popular MPH
Buku Bukan Sekadar Resepi terus mendaki anak tangga dalam carta buku senarai buku popular MPH. Minggu sebelumnya ia menduduki tangga ke 11. Bagi minggu berakhir 3 Jun, BSR berada pada kedudukan tangga ke 6.
Buku Bersyukur Saat Diuji hilang anak tangga!
Tutup Kedai

Pelbagai generasi berada di RKDJU

Tiga kumpulan yang berbeza
Dapur kami mempunyai dua tong gas. Setiap satu harganya hanya SR15.
2-3 minggu sekali ia perlu berganti untuk setiap tong. Maksudnya, setiap 6 minggu (maksimum) saya perlu membeli gas baru. Di sini, lori gas akan menjaja keluar-masuk kawasan perumahan.
Mereka akan membunyikan hon atau memperdengarkan musik yang sangat unik. Soalnya, ketika kami memerlukan gas baru mereka tidak muncul.
“Yang, gas habis. Alhamdulillah saya selesai memasak sambal ikan bilis,” Roza memaklumkan kepada saya. Itulah masakan yang terakhir untuk tetamu yang berkunjung ke sini sebelum pulang bercuti.
Kami masih menerima tetamu tetapi Restoran di RKDJU ditutup sehingga dimaklum semula. Dan semalam merupakan kumpulan pertama yang menikmati juadah bukan dari dapur restoran ini.
June 3, 2012
Asimilasi
10 hari lagi – InsyaAllah – kami akan pulang bercuti.
Genaplah 10 bulan kami bertugas di Universiti Taibah. 2 bulan lagi adalah cuti yang terkandung di dalam kontrak. Kami, suami-isteri dan dua orang anak yang belum melepasi 18 tahun dibayar tiket penerbangan pergi dan balik.
Ia cuti bergaji penuh.
Menoleh ke belakang, ia hari-hari yang pantas berlalu. Saya masih belum pandai berbahasa Arab, masih belum menamatkan juzu’ 30 dan banyak lagi perkara yang tidak dapat disempurnakan.
Namun jika dilihat perkara yang dapat dilakukan, ia juga boleh dikira banyak berbanding dengan kehidupan di Malaysia. Saya sangat bersyukur kerana secara purata dapat beriqtikaf di masjid Nabawi melebihi 1/4 masa sehari semalam.
Kami tidak dapat memenuhi keinginan untuk lebih kerap mengunjungi Mekah namun ia jauh lebih banyak jika berbanding ketika hampir 47 tahun hidup di Malaysia.
Kami kerinduaan anak-anak, sanak-saudara dan sahabat handai di Malaysia. Namun di sini, ia sentiasa terubat dengan kunjungan ramai jemaah yang seolah-olah bertahun-tahun saling kenal-mengenali.
Sesekali, saudara hampir, rakan-taulan dan mereka yang tidak terduga muncul mewarnai kehidupan kami. Lalu kehidupan 10 bulan yang lampau sangat manis untuk kami kenangi.
Jika ada yang bertanya, bagaimana Madinah mengubah saya, maka secara bergurau akan saya nyatakan,
“Jambang dan Janggut”
Sejak 7/9/2011 saya tidak pernah membuang janggut dan jambang. Ia kelihatan sangat berserabut – mengikut pandangan Sofea -kerana ia kelihatan jarang-jarang.
Jambang dan janggut Melayu!
“Pemakanan!”
Saya suka berbuka dengan tamar, roti Arab dimakan dengan cheese serta rempah, Qahwa dan air teh nak-nak. Malah saya menggemari susu masamnya.
Ayam goreng Madinah sangat berbeza. Kami sekeluarga membelinya berulang-ulang.
Ia kehidupan yang simple. Dan saya juga akan menyatakan,
“Bersabar”
Ada sesuatu yang saya pelajari. Jangan terlalu sistematik dalam mengendalikan kehidupan jika ia perlu atau kelihatan bergantung kepada yang lain. Banyakkan senyum dan berfikirlah seperti tiada apa yang berlaku.
Jangan merayu kepada manusia tetapi mohonlah kepada Allah SWT.
Misalnya, jika mahu pulang ke Malaysia, jangan terlalu awal menguruskannya. Akhirnya 2-3 minggu terakhir sahaja yang bermakna.
Alih-alih, segalanya teratur apabila sampai masanya!
Saya fikir memandu di sini paling tertib dan bersopan. Kita tidak boleh berasa panas hati jika ada pemandu di lorong keempat (di sebelah kanan) yang mahu membuat U-Turn di sebelah kiri. Ingat, kami memandu di sebelah kiri.
Kita hanya senyum dan biarkan ia berlaku. Kita perlu berfikir, mereka tersilap lorong. Pada hari yang lain ia mungkin berlaku kepada kita. Pemandu yang lain juga tidak kisah dan bermasam muka.
10 bulan sudah lebih daripada memadai untuk mengalami pelbagai perubahan drastik dalam kisah kehidupan.
Banyak lagi yang boleh saya perkatakan, namun akhirnya saya akan berkata,
“Saya memiliki Masjid Nabawi dan saya sangat hampir dengan Masjidil Haram”.
Ia mengubuh struktur kehidupan kami sekeluarga. Barangkali kesimpulan terbaik yang boleh saya sandarkan pada kehidupan 10 bulan yang lepas sesuai dengan hadis yang dilaporkan oleh Muslim yang bermaksud,
Sesiapa yang bersabar dengan kesukaran tinggal di Madinah, maka aku akan memberi syafaat dan menjadi saksi kepadanya pada hari kiamat.
Manakala dalam hadis yang lain – riwayat Bukhari – Rasulullah SAW telah menyatakan, “sesungguhnya iman akan berkumpul di Madinah sebagaimana berkumpulnya ular ke sarangnya”.
Ia benar-benar melupakan segala sisa-sisa kenangan semalam sama ada yang berbentuk kedukaan atau kegembiraan.
Raudhah oh Raudhah
“Ustaz tentu sekali senang memasuki Raudhah,” nadanya kesedihan. Beliau kelihatan seorang yang tidak berkeyakinan.
Lalu saya berpaling dan menerangkan konsep Raudhah yang sentiasa kosong.
“Haji boleh memasuki dan berdoa di Raudhah sepanjang masa kecuali 30-40 minit sebelum waktu solat,” saya terang satu persatu apa yang diilhamkan kepada saya.
Tiba-tiba saya berkata, “lepas solat nanti saya bawa haji ke sana…”
Subhanallah, ramainya manusia yang berdiri-diri di luar permaidani hijau tersebut. Namun keyakinan saya padaNya tidak terganggu dengan keadaan tersebut.
Formula Raudhah sentiasa kosong memang menjadi pegangan saya.
“Ya Allah, aku hanya ingin membantu hambaMu ini ya Allah. Berikanlah ruang untuknya bukan untuk ku. Kaulah yang Maha Berkuasa”
Saya menyelinap masuk ke tengah Raudhah. Allahu Akbar, tiba-tiba seorang jemaah bangun dan beredar. Namun kelibat haji yang mengikut saya tidak kelihatan.
Seminit, dua minit saya menunggu. Akhirnya beliau muncul. Saya tarik tangannya dan mengosongkan tempat yang saya isi. Saya bisikkan kepadanya,
“Berdoa dengan cara bersujud, saya pergi dulu”.
Saya tahu beliau tidak terduga dengan apa yang telah berlaku. Barangkali juga ia akan menjadi kenangan umrah yang tidak dapat dilupakannya.
Saya mohon keampunanMu ya Allah.
June 2, 2012
Buku ini sangat istimewa….
Tiba-tiba sahaja ada yang berkata, "Prof boleh beli buku ini?". Saya ketawa sambil memandang Haslinda yang barangkali ketakutan bukunya diambil orang.
“Saya mahu hadiahkan kepada rakan-rakan dan kakak saya,” begitulah bersungguhnya Haslinda Omar dari Melaka.
Beliau menerbangkan beberapa naskah buku Bersyukur Saat Diuji, Travelog Haji dan 50 Tip Motivasi Haji ke Madinah. Niatnya mahu berjumpa dengan saya, meminta tandatangan dan menghadiahkannya buat rakan dan kaum keluarga.
Begitulah kesungguhan beliau. Lalu saya mengalih pandangan ke tempat lain apabila beliau menitiskan airmata kerana permintaan kecil beliau dimakbul Allah.
Jadi buat yang menerima hadiah buku ini, ketahuilah betapa sukarnya Haslinda menggalas naskah-naskah ini ke Haram sambil menanti pertemuan dengan saya di parking 11A.
Juga, ia sangat istimewa kerana ditandatangani di Dataran Masjid Nabawi.
Kereta ini juga Istimewa

Gambar hiasan dari laman web Lelong
Alhamdulillah…. pagi-pagi lagi saya menerima e-mel berikut:
Justeru itu, dengan penuh rasa kesyukuran dan dengan doa/dan harapan untuk ‘mencuri’ saham kebajikan yg Prof lakukan; saya ingin menawarkan kereta Merz S320L plate no. AAAA saya itu untuk kegunaan Prof sepanjang percutian di Malaysia nanti… tapi minyak dan T&Go sendirilah…
Tidak, saya tidak menolak malah saya nyatakan, “saya terima tetapi tuan tolong service betul-betul kerana saya fikir tidak mampu untuk membaikinya jika berlaku apa-apa”
Jadi jika saya tiba di masjid dengan kereta Mercedes ini bukanlah kerana saya membawa banyak duit dari Arab Saudi. Ia kereta yang dipinjamkan oleh seseorang yang kasihankan kami sekeluarga.
Allah… Allah… Allah terima kasih kerana memudahkan urusan kami!
Ini juga istimewa

Somtam istimewa
Hampir setiap hari kami menikmati hidangan istimewa. Malah ada tetamu yang berkata, “banyaknya Kak Roza masak,” maknanya mereka diberi Allah merasai sendiri resepi yang bakal diterbitkan nanti.
Itulah, Roza sedang menulis buku BSRnya yang terbaru.
June 1, 2012
Siapa tidak berdosa?
Rasulullah pernah bersabda sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Al-Tirmizi,
”Semua keturunan Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang bertaubat”
Bertaubat pula bukanlah perkara main-main. Jika bertaubat ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh. Hati dan perasaan.
Misalnya, kita bertekad untuk tidak mahu mengulangi perkara lalu atau mula mahu melakukan suruhannya.
Bertaubat atas perkara rutin nyata sukar. Apatah lagi jika menganggap ia tidak apa. Semua orang begitu.
Saya ambil contoh mudah, ramai rakan-rakan golfer tidak tinggal solat. Mereka bersolat berjemaah di tengah lapangan. Namun – ironinya - permainan mereka disulami dengan pertaruhan.
Kecil atau besar bukan nilainya. Tidak kira 50 sen selubang atau RM1000 selubang. Tidak kisah 15-5-5 atau 30-10-10. Judi adalah dosa besar. Lalu ramai yang memberi pelbagai justifikasi untuk menghalalkan perbuatan tersebut.
Saya pernah berkata kepada teman-teman yang mahu menunaikan fardhu haji, “cabaran golfer yang mahu menunaikan fardhu haji adalah meninggalkan pertaruhan di padang golf. Ia dosa besar”.
Ada yang tersentak dengan ingatan tersebut. Bila pulang, “roh dan semangat haji” mengawal kegiatan tersebut. Namun sifat lemah manusia terserlah. Biasanya ia tidak bertahan lama.
Ada yang berkopiah bila menghayun pukulan. Namun kopiah di kepala tidak menjadi ingatan. Kusyuk mahu menang atas pertaruhan yang dianggap “suka-suka”. Hanya secalit dari pendapatan beribu.
Barangkali bertaubat bukan satu perkara yang dipandang serius. Ia semudah menyebut 1, 2 dan 3.
Tiada airmata mengalir, perlambangan ia taubat nasuha!
Teruja dengan Tetamu

Breakfast di RKDJU
Minggu yang baru berlalu nyata sangat menguji. Jemaah Malaysia cukup ramai. Maka – logiknya – saya menerima banyak panggilan yang mahu bertamu ke rumah kami.
Ujiannya bukan kerana bilangan tetapi bagaimana mahu menyusun jadual.
Malamnya tersangat pendek. Saya lebih gemar menerima tetamu selepas solat zuhur atau di sebelah pagi. Alhamdulillah, pagi semalam kami melayani pasangan Faridah dan Abas dari Sarawak, Haji Rashid dan isteri dari Bangi serta Zul dan keluarga dari Jeddah.
Menu kami juga sedikit bertukar. Nasi lemak Madinah – ia seumpama nasi Arab – yang menggunakan beras panjang dan besar nyata sangat berbeza.
Gembira melihat mereka teruja. Mudah-mudahan ia menjadi kenangan terpahat di hati sanubari.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
