Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 21
May 22, 2012
Kagum
Manusia tidak berhak dikagumi.
Saya berpendapat begitu. Malah lebih kita mengkagumi seseorang maka lebih cepat kita berasa kecewa apabila semakin hampir dengannya.
Tambah-tambah lagi jika apa yang kita harapkan tidak menjadi kenyataan.
Tentu sekali ramai yang kecewa apabila saya menolak begitu banyak permintaan yang mahukan saya memungut derma bagi pihak mereka.
Jika saya mahu senaraikan – Subhanallah – rasanya ia melebihi semuka surat bersaiz A3.
Memungut derma sangat mudah. Naikkan notis, tunggu sahaja wang di akaun bank.Ia tidak memerlukan modal.
Mengurusnya yang sukar. Ia perlu sampai ke destinasi dengan selamat. Inilah yang tidak mahu dipikul oleh ramai orang. Saya juga tidak terkecuali.
Satu sen terjeluak, maka bebannya tertanggung sehingga ke Padang Masyar. Malah jika ia melibatkan wang atau harta anak yatim, ia nyata sangat besar bebannya.
Dalam konteks yang berbeza, tentu sekali ada yang kecewa bila saya menyatakan, “saya mohon maaf, saya tidak mahir dalam urusan ini. Tanyalah yang tahu” atau “mohon maaf, saya tidak mahu terlibat”.
Maka hilanglah rasa kagum. Ada yang menulis, “saya tidak sangka prof tidak mahu menolong saya. Saya sangkakan proflah tempat untuk saya meminta pertolongan”.
Saya bercakap benar malah sedikit berterus-terang dalam soal-soal yang tidak mampu atau tidak mahu saya lakukan.
Ada juga yang berkata, “hilang sudah kekaguman saya pada Prof. Ia tidak seperti yang saya sangkakan”.
Lalu saya menjawab, “alhamdulillah, saya tidak berhak dikagumi. Saya sendiri berasa hina, fakir dan ketakutan di dalam melayari kehidupan ini. Kagumlah kepada ALLAH SWT, malah jadilah Baginda SAW sebagai ikutan”.
Jangan terlampau hampir dengan seseorang kerana memujanya. Manusia sangat banyak kelemahannya.
Terlampau banyak sehingga boleh menyebabkan kita bersedih hati. Cuma sesekali kita harus berfikir, wajarkah kita begitu?
Akhirnya kita kembali kepada DIA yang satu!
22 hari
Tiba-tiba masa seolah-olah tidak mencukupi.
Banyak benda yang belum saya uruskan untuk kembali ke Malaysia. Urusan visa ziarah anak-anak dan mak belum sempurna sepenuhnya.
Saya fikir, Arab Saudilah negara yang paling sukar untuk dikunjungi. Namun saya sangat bersetuju jika sesebuah negara mempunyai peraturan imigresen yang ketat.
Jika kena caranya, ia semudah 1, 2 dan 3. Jika tidak pemeriksaannya sangat rapi.
Namun ada sesuatu yang pasti. Hidup perlu bergantung kepadaNya. Dia yang memudahkan segala urusan.
May 21, 2012
Jangan terpedaya
“Jangan sesekali menyebut iblis dan syaitanlahlah yang menyebabkan kita jadi begini. Iblis tidak berkuasa. Hanya Allah yang berkuasa. Menyatakan yang lain daripada Allah berkuasa boleh membawa kepada menduakan Allah”
Ia pesanan seorang hambaAllah yang tidak terkenal pada khalayak umum. Namun ribuan manusia Malaysia berkunjung ke rumahnya kerana ingin berubat.
“Saya hanya berikhtiar dengan kuasa Allah. Allah menyembuhkannya,” ia kenyataan yang sering diulang-ulang.
Namun saya fikir, sayalah yang satu-satunya bertanya, “Haji berubat pakai Jin?”.
“Kenapa?,” beliau bertanya saya kembali.
Lalu saya menerangkan agakan atau telahan yang bermain-main di fikiran.
“Kenapa saya perlu bergantung dengan Jin, hanya Allah yang kita sembah dan minta pertolongan”.
Barangkali kerana saya suka bertanya dan bersoal jawab, kami akhirnya menjadi kenalan yang boleh bergurau senda. Malah beliau sanggup bermusafir lebih 500 km apabila mendengar khabar saya diuji Bell’s Palsy pada awal 2011.

Ujian Bell's Palsy awal 2011, bibir tidak jadi O....
Hampir dua jam beliau mengurut dan mengajar pelbagai senaman pipi.
Akhirnya saya mengerti betapa Allah memberi banyak kelebihan kepadanya. Malah saya fikir amalan bangun malam, berdoa, bersolat dan bermunajat kepadaNya menjadi sumber kekuatan dalaman yang tidak dapat dinyatakan.
Saya sentiasa berdoa agar beliau berada di atas landasan yang benar.
Namun isu sebenar yang ingin saya nyatakan ialah bagaimana manusia sering khilaf apabila berhadapan dengan ujian badan terutamanya apabila ditimpa dengan penyakit kronik.
Kita sering terdesak. Di mana ada pakar – moden atau tradisional – maka ia akan dituju. Di antaranya, ia pasti menguji akidah. Jangan terpedaya. Melalui surah Al-Luqman, ayat 33 ada dinyatakan,
“maka janganlah kamu sekali-kali terpedaya oleh kehidupan dunia, dan jangan sampai kamu terpedaya oleh penipu dalam (mentaati) Allah”
Setiap kali berubat – sembuh atau tidak – ia merupakan sebahagian daripada usaha dan ikhtiar manusia. Namun ia sekali-kali tidak boleh menggadai pergantungan kita kepada Allah SWT.
Sara oh Sara
Beliau lahir 21hb Mei, dua hari selepas tarikh kelahiran ayahnya. Mengikut jadual Doktor, Sara sepatutnya lahir pada tarikh yang sama.
Tali pusatnya membelit kaki. Bila keluar, seluruh tubuhnya biru, agaknya lemas. Tiga bulan pertama beliau tidak menangis.
Ketika usia babynya, beliau sering bersama saya. Saya sentiasa bercakap dengannya walaupun saya tidak fikir Sara memahami.
Alahai… anak pertama!
“Sara, kenapa tiada akaun FB?”
“Sara tidak suka,” beliau mempunyai pendirian sendiri.
“Mahu ayah belikan Ipad?,” saya bertanya.
“Sara tidak mahu. Sara tidak suka. Ia tidak perlu”.
OK… saya diam.
Semalam, hari ulang tahunnya yang ke 22.
“Sara ke mana?,” bila beberapa panggilan kami tidak berjawab. Beliau ketawa sambil memberi jawapan, “kami makan di Big Plate…”
“Dengan siapa,” risau ayah yang berjauhan.
“Atiqah…” saya lega. He… he… agaknya bagaimana mahu mengawasi anak-anak bila berjauhan. Itulah, hanya Allah SWT yang menjadi pelindungnya.
“Dulu ayah ada sebut mahu beli Ipad?”
“Betul….”
“Sara mahu PC, untuk kerja Sara….”
“OK…” saya tidak membantah. PC jauh lebih murah daripada Ipad. Saya memahami perangainya yang mahukan sesuatu yang perlu buatnya.
22 Jun, jangan ditanya pada yang satu lagi… he… he… pasti beliau mahu Ipad.
Begitulah, dari akar yang sama, namun buahnya berbeza. Itulah kehebatan dan kekuasaan Allah SWT. Kami moho perlindungan agar anak-anak yang berjauhan sentiasa patuh kepada suruhan dan laranganNya.
Selamat Hari Lahir, Sara! Ayah doakan agar bertemu jodoh dengan lelaki soleh yang boleh membawa mu ke syurga.
May 20, 2012
Bosan
Pernah kita menyebut bosan?
Bosan kerana tidak melakukan sesuatu. Mungkin ada yang pencen lalu kerana tidak tahu menghayati masa yang terluang maka timbul perkataan tersebut.
Wanita yang biasa bekerja dan perlu mengikut suami ke Luar Negara mungkin mengalami sindrom bosan.
Bosan juga boleh dikaitkan kerana tidak sukakan tempat bekerja. Bosan juga kerana sudah lama di sesuatu tempat. Bosan juga kerana kita diambil mudah.
Bosan dan jemu – agak saya – semacam adik-beradik.
Jika bosan kerana masa yang terluang bermakna ia rasa yang sia-sia. Nanti Allah akan bertanya, apa yang kamu lakukan di waktu terluang?
Saya juga kerap bosan. Jika menunggu terlampau lama atau lain yang dijanji, lain pula yang terkota. Saya bosan jika tidak dapat menunaikan janji.
Misalnya, saya mengupah seseorang mencuci kereta. Alahai hanya bahagian luaran. Jika kereta di cuci maka beliau akan menaikkan wiper ke atas.
Wiper dinaik, kereta tidak tidak dicuci.
Saya tidak marah tetapi bosan. Bila bosan, saya berterus-terang. Khalas!
May 19, 2012
19 Mei 1964
Saya dilahirkan di Bintang!
Dan saya selalu berbangga menyebutnya. Ia Kg Bintang, Besut, Terengganu. Kini – saya fikir – ia sudah diwilayahkan dalam daerah Setiu.
Ayah namakan saya sempena Nik Ahmad Kamil, speaker Dewan Rakyat yang berasal dari Kelantan. Agaknya beliau mahu saya menjadi seorang pemimpin.
Benar, saya bercita-cita begitu. Mahu terlibat dalam politik. Ketika di MRSM, saya di antara yang segelintir memilih subjek sejarah kerana memikirkan ia berguna apabila mahu menjadi Perdana Menteri.
Malah saya terlibat secara serius dalam perbahasan sehingga berjaya menjadi pemidato terbaik MRSM pada 1980. Saya dilantik sebagai JPP di MRSM, Bloh Kapten, Presiden Persatuan Perakaunan di UiTM, Presiden Persatuan Pelajar di North Wales…. seiring dengan cita-cita semenjak kecil.
Itulah perjalanan 40 tahun kehidupan.
Ia bertukar sejurus ketika Allah menjemput saya ke Tanah Suci. Ia hanya kenangan yang masih ada pada penjuru kecil minda.
Tadi, saya dikejutkan dengan sedikit ingatan tentang kelahiran – 19 Mei 1964.
MasyaAllah, saya fikir sudah terlalu tua untuk diraikan. Namun terima kasih semua. Khalayak FB, blog dan mereka yang hampir.

Ada tetamu yang meraikan saya
May 18, 2012
48
Terima kasih kepada yang mengingatkan saya.
Malah lagi berterima kasih kepada yang mendoakan kesejahteraan dan kesalamatan. Umur saya bertambah (berkurang) setahun lagi.
Dua tahun lagi – InsyaAllah – akan genap 50 tahun. Ia sangat signifikan kerana akan menerima gaji pencen.
Terima kasih sekali lagi!
Ia satu kenangan

Tuan Haji Abdullah dan Haspa menjadi hos kami selama satu malam
Kami selamat kembali ke Madinah setelah hampir 40 jam di Jubail, Timur Arab Saudi.
Alhamdulillah, saya telah menyampaikan dua perkongsian. Pertama ia bertempat di sebuah masjid. Meskipun khalayaknya 100 peratus Melayu, saya fikir pengalaman bercakap di salah sebuah masjid di Arab Saudi tetap menjadi kenangan yang kekal abadi.
Kedua, program hari keluarga dilakukan di dalam sebuah kem rekreasi yang sangat kondusif. Bercakap di hadapan khalayak yang bersama anak-anak kecil sentiasa mencabar.
Benar, ia sebahagian daripada ujian bersyarah. Lulus atau tidak ujian tersebut hanya khalayak yang dapat menilai.
Namun saya menghargai jemputan yang telah dihulur. Ia kenangan manis bersama masyarakat Malaysia di Jubail.

Solat berjemaah selepas ceramah

Kaum ibu sentiasa bersemangat
May 17, 2012
Membaca
Ramai orang menyangka yang berkelulusan tinggi – misalnya PhD – menjadikan seseorang itu berilmu. Sama sekali tidak benar. Ilmu hanya boleh diperolehi dengan terus-terusan menimba ilmu.
Ia hanya permulaan kepada perjalanan hidup yang panjang.
Ilmu bersifat dinamik.
PhD zaman ini hanya menjurus kepada satu titik pengkhususan pengajian. Itu pun akan hilang maknanya jika tidak teruskan dengan usaha-usaha penyelidikan, penulisan dan pengajaran.
Ia tetap dalam ruang-lingkup yang sangat sempit.
Namun berkelulusan PhD itu sendiri merupakan proses pencarian ilmu yang sangat menarik sifatnya. Ia mengajar manusia berfikir supaya pintar mencari ilmu, mentafsir ilmu dan bersedia berhadapan dengan perbezaan ilmu.
Satu premis yang perlu difahami, “sesiapa sahaja boleh atau berhak menjadi manusia berilmu”.
Sejak akhir-akhir ini saya selalu berpesan kepada para pelajar sendiri,
“ramai orang berilmu tetapi tidak ramai yang mengamalkan ilmu yang mereka ketahui. Ilmu setinggi langit akan tercela di sisi Allah jika mereka tidak mengamalkan apa yang telah diketahui. Apatah lagi kita sepatutnya menjadi pencetus dan bukannya pengikut. Ia memerlukan kekuatan yang sangat luar biasa”.
Misalnya dalam konteks amal ibadat khusus, bagaimana mahu menjadi pendahulu? Ujian untuk mereka yang berilmu – sepatutnya – bukan lagi berkisar kepada soal-soal wajib.
Kita harus menjadi insan terpilih. Allahu Akbar.
Bagaimana mereka mahu mengajak masyarakat solat berjemaah, jika kita sendiri gagal melaksanakannya pada setiap waktu? Atau bagaimana mahu mengajak khalayak solat malam, jika kita sendiri tidak mampu atau enggan melakukannya.
Mereka yang benar-benar berilmu bukan setakat “cut and paste” ilmu. Allah telah nyatakan secara jelas supaya kita berfikir, misalnya dalam surah Al-Imran ayat 190 – 191, Allah menyebut betapa setiap kejadian itu merupakan tanda-tanda kebesaran Allah.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
Maka individu yang mahu berilmu perlu membaca dan terus membaca. “Bacalah dengan nama TuhanMu,” adalah simbol kepada proses pencarian ilmu yang sebenarnya. Membaca nyata merupakan satu elemen kehidupan yang sangat besar.
Ia tidak boleh dipinggirkan.
Dodge Durango

Ia juga ada peminat
“Prof, boleh kami bergambar dengan kereta prof? Suami saya sukakannya,” MasyaAllah, saya tidak fikir ada yang mahu bergambar dengan kereta.
“OK… OK… biar saya ambil,” walaupun kedua-dua pintu sudah sedia terbuka untuk membawa mereka je Jabal Uhud.
Puan R dan dua anak perempuannya kelihatan ceria walaupun beliau jatuh sakit semasa di Mekah. Alhamdulillah, di rumah kami mereka sangat berselera menjamah hidangan malam.
“Saya sudah beberapa hari tidak makan. Hanya dapat jamah semulut dua”.
Lebih nyaman lagi mereka membawa dua set buku Bukan sekadar Resepi dan Bersyukur Saat Diuji.
Kami berkenalan. Kali ini ia bersama Dodge Durango!
May 16, 2012
Dua wajah

Bila ia berpayung di kala panas terik waktu zuhur

Selepas solat subuh

Pertama kali menyaksikan batu tempat sujud sesetengah jemaah
Hari ini kami berlepas ke Jubail, sebelah Timur Madinah. Jika perjalanan darat, jaraknya melebihi 1300 km. Agak saya berbelas jam baru sampai kalau saya yang memandu.
Saya memilih untuk menaiki pesawat Saudi Airlines. Penerbangan terus Madinah – Damman lokasi lapangan terbang terdekat mengambil masa 1 jam 45 minit.
Damman – Jubail pula – agak saya – di sekitar 1 jam berkereta.
Ia kembara menyampaikan ilmu. Doakan kami sekeluarga selamat pergi dan kembali.
Mimpi
Saya hampir tidak pernah bermimpi. Maksudnya, dengan umur yang menghampiri 50 tahun, bilangan mimpi yang hadir semasa tidur terlalu tidak signifikan.
Namun saya mempunyai banyak impian.
Ada seorang khalayak FB mimpikan kematian. Dan yang pergi itu adalah saya. Beliau menulis,
“Alhamdulillah, syukur saya dapat menjenguk blog dan FB Prof hari ini. Ini kerana semalam saya bermimpi - maaf kalau Prof tak suka - yang Prof meninggal dunia.
Allah.. saya sampai tersedu2 dalam mimpi itu dan hingga terbangun tidur sebab rasa kehilangan yang amat sangat dan menyesal kerana tidak dapat menziarahi Prof semasa hidup”
Jawapan saya, mimpi mainan tidur!
Ada orang yang belajar tentang mimpi berkata (Nota: Ustaz Omar pernah mengajar di Segamat). Ada mimpi yang mungkin boleh diambil apabila datangnya selepas kita berqiamullail dan tertidur sebelum waktu subuh.
Itu pun tidak boleh dijadikan hujah.
Tidur itu sendiri merupakan kematian sementara. Bermimpikan kematian, tidak kira siapa wataknya, untuk kita mengenangi yang saat itu pasti tiba.
Alhamdulillah, saya masih di sini.
May 15, 2012
Asas pendirian
Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.
Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah, (Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu.
Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.
Begitulah yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui surah Waqiah – ayat 10 hingga 14 – tentang kumpulan manusia yang akan dibangkitkan di Padang Masyar. Implikasinya sangat jelas.
Jika sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian dirujuk kepada kumpulan akhir zaman maka bilangan yang sedikit itu mungkin sudah dapat dikesan pada zaman yang sedang kita lalui.
Jika proksi solat diambilkira, maka solat subuh berjemaah di masjid nyata amat sedikit bilangannya.
Jika proksi berpuasa dihujahkan, maka mereka yang berpuasa lapar dan dahaga – agaknya - jauh lebih ramai daripada mereka yang berpuasa semata-mata kerana Allah (tahap 3 – puasa khusus al khusus) sebagaimana yang dikelaskan oleh Imam Ghazali.
Jika proksi akidah (mengucap dua kalimah syahadat) dinyatakan, maka ramai yang menduakan Allah dalam kehidupan sehari-harian. Malah ia lebih menggusarkan jika ia berlaku tanpa sedar.
Jika proksi membayar zakat pula dikenalpasti, agaknya berapa ramai yang mengambil berat soal ini. Entah, saya tidak dapat nyatakan.
Dan jika proksi menunaikan ibadat haji mahu dijadikan ukuran, maka bilangan mereka yang benar-benar berubah sekembali daripada Tanah Suci nyata tidak signifikan. Agak saya, jika ia berlaku maka masjid-masjid tidak lagi kesunyian.
Ia belum lagi mengira bagaimana keadaan wanita-wanita yang memakai pakaian dengan sempurna. Jelas, bilangan yang sedikit itu timbul satu persatu.
Proksi di atas dilihat dari sudut TIDAK Melakukan dan bukan Melakukan.
Misalnya, berapa ramai yang bangun malam beramal ibadat, berapa ramai yang melakukan puasa sunat yang paling di sukai oleh Allah SWT, membaca dan memahami al-Quran dan mahu melaksanakan pinjaman kepada Allah SWT?
Ia sesuatu yang boleh kita fikirkan…..
Berakhirnya Kuliah
Selesai satu babak dalam kisah kehidupan kami di Universiti Taibah, Madinah. Dua semester dan satu tahun pengajian telah kami sempurnakan.
Begitulah masa berlalu.
Beban kerja tahun pengajian baru juga telah diagih-agihkan. Saya diamanahkan untuk mengajar – masih – 6 jam seminggu.
Seronoknya, kami mengira hari untuk pulang bercuti ke Malaysia. Ia juga satu nikmat yang tidak dapat kami dustakan.
May 14, 2012
Masa
Sesungguhnya masa berlalu sangat pantas.
Masa dikaitkan dengan kerugian. Masa menjanjikan keuntungan hanya untuk mereka yang beriman dan beramal soleh. Malah kita perlu berpesan-pesan dengan kebenaran dan ia perlu dilakukan dengan sabar.
Beramal jika tidak dilakukan dengan sabar akan menghilangkan istiqamah. Perasaan jemu dan letih pasti akan muncul. Apatah lagi jika amalan itu tidak didasari atas sebab “semata-semata kerana Allah”.
“Prof tidak penat?,” ramai yang bertanya melihat jadual harian yang tersusun bila pulang ke Malaysia.
Ia pilihan yang diizin Allah. Bila saya menerima undangan, rutinnya sangat mudah. Saya melihat kalendar google, bertanya pada diri samada ia mampu diselit dikala saya mempunyai program yang lain.
Satu misalan yang benar ialah apabila berada di Dungun. Ada yang bertanya, “kami ingin menjemput prof memberi tazkirah kepasa staf wanita… kami ingin sangat…”
Lalu saya melihat jadual. Kami akan bertolak ke Kuala Terengganu pada jam 10 pagi. Maka saya nyatakan, “boleh… tetapi saya hanya dapat luangkan 45 minit sahaja, 9.00 hingga 9.45 pagi”.
Saya tahu pada ketika ini Roza dan anak-anak serta Sheikh Khalid dan keluarga akan bersiap-siap sambil minum pagi. Eloklah saya lari sekejap ke dalam kampus memenuhi permintaan bekas rakan sejawat.
Allahu Akbar, saya menerima balasan e-mel, “prof, bolehkah prof bercakap 2 jam..”
Saya ceritakan kepada Roza, “tengok Yang…. belum selesai lagi….”
Bila menjawab e-mel tersebut begini jadinya, “OK… kita mulakan jam 8.00 pagi. Jangan lewat!”
Begitu banyak undangan yang tidak dapat saya penuhi. Saya cuba mencari-cari masa dan saat untuk bersetuju. Kadang-kala sehingga terlupa untuk membalas e-mel tersebut.
Malah ada masanya saya belum pasti di masa saya akan berada.
Saya mohon maaf banyak-banyak jika ada yang merasai yang saya tidak melayani permintaan mereka. Jika ada yang tidak menerima balasan e-mel, mohon fowardkan semula walaupun mungkin jawapanya tidak dapat hadir.
May 13, 2012
Segak bergaya dan cabaran

Tahniah Dr Halim, Dr Arun dan Dr Radziah
Tahniah.
Mereka menerima ijazah kedoktoran (Perakaunan) daripada SPB Dipertuan Agong. Terasa sebak apabila melihat photo yang dihantar kepada saya semalam.
Pertama kali dalam sejarah hidup saya sebagai penyelia tidak dapat bersama-sama pelajar yang bergraduat. Ia hari yang sangat signifikan dalam hidup mereka.
Namun saya sentiasa berdoa agar mereka yang lulus bersama saya sentiasa tunduk patuh kepada Allah SWT. Lulus PhD merupakan anugerah Allah. Ia juga merupakan satu ujian.
Sekali lagi tahniah. InsyaAllah saya ingin bersama mereka bila pulang ke Malaysia nanti.

Mereka juga akan bergraduat, InsyaAllah
Inilah wajah anak-anak murid yang akan menamatkan pengajian – InsyaAllah – daripada Universiti Taibah Madinah. Mereka akan dianugerah Bachelor Science (Accounting).
Dalam tempoh setahun, saya telah mengajar tiga subjek semasa mereka di tahun akhir. Ia kenangan yang tidak dapat saya lupakan.
Lain padang lain belalang. Lain negara lain budaya. Itulah kekuasaan dan kehebatan Allah SWT.
Kesungguhan
Kemahuan disertakan dengan kesungguhan. Begitulah. Ramai di antara mereka yang melangkah ke alam PhD terkejut dengan cabaran yang terpaksa mereka ikuti.
Ada yang menangis. Juga ada yang sebak kepenatan.
Setelah berjaya, meniti semula jalan yang telah mereka tinggalkan, maka ada sesuatu yang sepatutnya melekat di hati. Ia pertolongan Allah SWT.
Namun kaitan antara Pencipta dengan hambaNya hanya terurai jika ia dilihat dengan mata hati. Bukan hati biasa. Jika tidak, kejayaan yang diperolehi tidak akan menjadikan kita manusia yang lebih baik di sisiNya.
Begitu juga dalam beramal ibadat. Ia perlukan kemahuan dan kesungguhan. Bezanya, PhD tempoh masanya sangat singkat. 3-5 tahun akan terserlah berjaya atau gagal. Dan ukuran kejayaan dilakukan melalui pemeriksaan.
Ambil satu contoh yang mudah, “saya mahu puasa sunat Isnin dan Khamis”. Adakah ia sukar berbanding perjuangan PhD? Ia berbeza pandangan, terpulang bagaimana ia dilihat.
Tentu sekali ia sukar kerana ia bukan perkara wajib. Manusia akan cepat mengalah apabila pilihannya “perlu atau tidak”.
Ia mudah kalau dilihat dengan pandangan, “sebulan berpuasa di bulan Ramadhan OK, apalah sangat dua hari seminggu”.
Begitulah. Mereka yang “terjebak” di dalam PhD – jika diberi pilihan – mahu menghabiskannya. Mereka yang gagal pasti ada luka tercalar.
Katalah apa sahaja, orang hanya tersenyum diam.
Amal ibadat khusus tidak begitu. Ia antara kita dengan Allah. Ia kemahuan dan kesungguhan kerana Dia menyuruh kita begitu. Dan pemeriksaannya setelah kita tiada di sini.
Dan di sana, PhD juga akan disemak semula sama ada ia diterima sebagai satu amal ibadat atau sebaliknya.
Cuma keputusanya sangat besar, syurga atau neraka!
Selamat berjaya semua!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
