Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 24
April 28, 2012
Tidak sabar
Ia perasaan yang sentiasa ada.
Bila kita mahukan sesuatu maka kita mahu ia segera tercapai. Tidak sabar akan menyusul – kebiasaan – dengan kekecewaan. Kita tidak sabar menunggu hasilnya.
“Hendaklah engkau sabar,” berulang-ulang saya jumpa kenyataan ini apabila membaca terjemahan al-Quran. Malah ubat menghadapi ujian, samada ujian suka atau duka bermula dengan sabar. Lebih nyata, “sabar dan solat”.
Sabar ini juga dikaitkan dengan tempoh masa. Berapa lama kita harus bersabar?
“Saya sudah lama bersabar, saya sudah lama berdoa malah seluruh kehidupan saya dipenuhi dengan kesabaran tetapi bila lagi Allah mahu membantu saya?,” terpantul kata-kata tersebut.
Maka itulah maknanya tahap kesabaran buat insan tersebut.
Sabar harus dibawa ke mati. Namun ia mudah menulis dan berkata berbanding dengan tubuh yang menanggung. Namun saya pasti sesuatu, ia akan jadi sangat mudah apabila manual sebahagian lagi menghadapi ujian dipatuhi.
Perbanyakkan solat-solat sunat. Bangun 1/3 malam tersisa. Bermunajat dan berdoa kepadanya. Biar ada air sejuk mengalir di pipi. Malah akan sampai masanya kita akan berkata, “ujian Allah tanda Dia sayangkan saya”.
Kenapa?
Ia menyebabkan kita sangat hampir denganNya tanpa berburuk sangka!
April 27, 2012
Ia bermula di sini
Itulah pesan saya kepada siswa baru Universiti Islam Madinah.
Saya juga bertanya, “apakah yang ingin anda lakukan bila pulang ke Malaysia?” Jika kita mempunyai perancangan asas ini, maka perjalanan kehidupan di Madinah akan berpaksi kepada apa yang kita cita-citakan.
Jika tidak, kita akan mengikut arus. Banyak implikasinya sebagai seorang ilmuan yang sepatutnya menjadi pemimpin masyarakat.
Saya juga membincangkan soal amalan dalam pembentukan diri. Ilmu tanpa amal sangat dimurkai Allah. Juga, ia harus bermula di sini. Mudah-mudahan mereka akan menjadi insan terpilih.
Saya hanya mahu mereka berfikir. Tidak sama orang yang berfikir dengan mereka yang tidak berfikir. Aturannya begitu.

Biar kita berbeza

Inilah hidangan mereka. Masakan orang bujang. Sedap!
April 26, 2012
Saprah Isnin dan Khamis
Semalam saya berbuka puasa berhampiran dengan tiang Malaysia. Ia tempat berkumpul pelajar-pelajar Malaysia. Alahai… mereka juga membuka saprah berbuka pada setiap hari Isnin dan Khamis.
Penuh saprah dari pelbagai negara yang datang berbuka.
“Berapa kos sekali berbuka?”
“SR50 prof…”
“Mahu saya carikan mereka yang mahu menyumbang? Saya mahu ia ditambah menjadi SR100 sekali berbuka. Maksudnya, kita tambah kualiti buah tamar yang kita sediakan dan….”
Jika tuan-puan mahu turut serta bersama mereka, maka jadilah 50 khalayak pertama yang menulis komen di bawah dengan menyatakan komitment anda. Bankin di Maybank 562106211166 RM90.
Jika anda orang yang pertama, tulis komen begini: Pertama, saya Muhd Kamil Ibrahim bersetuju menyumbang RM90 untuk majlis berbuka puasa yang dikendalikan oleh pelajar Malaysia di Masjid Nabawi kerana Allah Taala.
Jika anda orang yang kedua, tulis komen begini: Kedua, saya (tulis nama anda) bersetuju menyumbang RM90 untuk majlis berbuka puasa yang dikendalikan oleh pelajar Malaysia di Masjid Nabawi kerana Allah Taala.
Mohon pertolongan: Patuhi arahan ini. Tidak perlu menulis apa-apa selain daripada apa yang saya nyatakan di atas di dalam ruangan komen ini.
Wang yang dikumpulkan akan digunakan seperti berikut (Kutipan 4,500.00 MYR = 5,532.57 SAR berdasarkan kadar tukaran XE pada entri ini ditulis. Terlebih terkurang mohon dihalalkan).
1. Majlis berbuka puasa untuk sebanyak 50x dengan kadar SR100 sekali majlis
2. Baki SR532.57 (InsyaAllah saya tambah menjadi SR600 alan diserahkan sebagai hadiah kepada mereka yang mengendalikan sprah ini)
Kami memohon keampunan Allah dan moga-moga ia amal ibadat yang diterima Allah.
Menanti

Sofea dan Amirul menyiapkan bilik nenek, kakak dan abang Ngah
Di sini, kami tinggal di kaki bukit Uhud. Roza menamakannya Rumah Kecil di Jabal Uhud.
Kecil atau besar bersifat relatif. Ia mempunyai 4 bilik tidur, satu ruang tamu dan dapur. Saya fikir untuk kami 4 beranak, ruang sedia ada sudah lebih daripada memadai.
Kami hanya menggunakan tiga ruang sahaja. Jika tetamu yang tiba agak ramai, kami kumpulkan di ruang hadapan yang hanya diletakkan pemaidani. Mereka perlu bersila.
Jika tetamu 4-5 orang, kami bawa ke ruang tamu yang berhampiran dengan dapur. Juga mereka perlu bersila kerana sofa yang ditinggalkan oleh penyewa terdahulu sudah hampir terjerobos.
Satu ruang lagi dijadikan bilik tidur. Jika ada tetamu yang perlu tidur, maka di sinilah tempat mereka. Ia ruang terbaik yang kami ada.
Agaknya mereka yang pernah bertamu ke sini dapat membayangkan keadaan rumah kami. Ia rumah kosong tanpa perabut.
Hari ini, dua ruang kosong yang tidak dipakai sudah mulai berhias. Dua beradik – Sofea dan Amirul – membantu mamanya menyiapkan kedua-dua bilik bagi menyambut kedatangan nenek, abang Ngah dan Kakak Sara.
Ketiga-tiganya – InsyaAllah – akan bersama kami bila pulang ke Madinah pada 5hb Ogos nanti. Nampak cahaya di wajah Sofea dan Amirul!
PELANCARAN BUKU DI KUCHING
Terima kasih Alina kerana menguruskan kedatangan kami ke Kuching. InsyaAllah, Dia permudahkan. Jadual ringkas kami di Kuching seperti berikut,
9hb Julai, Kuliah Maghrib di Masjid Kg Gita. Ini kali kedua saya menyampaikan ceramah di sini. Saya sudah lupa bila tetapi masih terkenang dengan layanan masyarakat setempat. Alahai… Kuching rumah kedua saya!
10hb Julai, 8.30 pagi, kami akan melancarkan ketiga-tiga buku khas buat penduduk setempat diikuti dengan kuliah Dhuha. Ia akan berlangsung di Islamic Information Center, Kuching. Auditoriumnya boleh memuat 400 khalayak. Jemputlah, ia terbuka kepada orang ramai.
April 25, 2012
Damai
Dua hari lepas saya berkejar ke universiti. Kuliah saya bermula 1.00 tengahari dan berakhir 1.50 petang. Kemudian ia bersambung lagi pada jam 2.00 sehinggalah jam 2.50 petang.
Bangunan kelihatan sunyi sepi.
“Dr, semua kelas dibatalkan untuk hari ini dan besok,” rakan sejawat memaklumkan.
“Kenapa?”
“Cuaca terlampau panas dan penyaman udara tidak berfungsi”.
Saya senyum.
Lalu semalam saya mencari tempat yang lebih dingin dan mendamaikan. Di mana? Tentu sekali di Haram. Sudah lama saya tidak solat sunat Dhuha di Raudhah.
Saya memasuki pintu belakang. Mata saya memerhati keadaan.
Beginilah keadaan Masjid Nabawi pada jam 9.00 pagi. 90 peratus kawasan solat tidak berpenghuni.
Hampir keseluruhan bahagian depan dihadangi oleh kanvas putih-biru bagi memberi ruang jemaah wanita bersolat dan berdoa di Raudhah. Namun 4-5 saf depan masih lagi diuntukkan kepada kaum lelaki.

Ia ruang tengah berhampiran dengan Raudhah dan masjid asal
Pada waktu inilah kelihatan begitu ramai krew Masjid Nabawi bertungkus-lumus bekerja. Ada yang membersihkan karpet, tiang-tiang dan tempat letak al-Quran serta menukar-ganti tong zam-zam.
Malah urusan menjaga bahagian tinggi juga dilakukan pada waktu yang paling tidak sibuk ini.

Mereka sangat bersungguh bekerja
Saya berjalan terus ke Raudhah. Tentu sekali saya tahu yang ia tidak akan sunyi sebagaimana perjalanan masuk. Namun saya juga tahu yang pastinya ada ruang kosong untuk saya bersolat dua rakaat dan sujud berdoa kepadaNya.
Inilah satu-satunya laluan yang dibenarkan untuk kaum lelaki memasuki Raudhah ketika di kawasan belakang ditutup untuk kaum wanita. Ia kelihatan sibuk, namun pengalaman lalu mengajar saya tentang “ruang dan peluang” yang diuntukkan oleh Allah SWT melangkaui pandangan zahir manusia.

Masihkah ada ruang di dalam?
Benar sekali, bila saya memasuki Raudhah, seorang jemaah diminta oleh polis bertugas untuk keluar daripada kawasan tersebut. Barangkali beliau sudah agak lama solat dan berdoa.
Ruangnya diambil-alih oleh saya. Cukuplah saya solat sunat dua rakaat dan sujud berdoa. Bila saya mengangkat muka, polis yang sama tersenyum dan saya menganggukkan kepala. Maksudnya, “saya akan beredar!”.
Benar, berada di dalam Haram akan terasa dingin dan damai. Ia perasaan yang sangat luar biasa. Ketika berpeluang, saya mohon kepadaNya agar tidak diberi rasa “tidak apa-apa” dengan Haram.
Biar ada getar di jiwa meskipun saya sangat hampir dengan Haram.
Allahu Akbar, saya mohon keampunan dariNya.
April 24, 2012
Bila tiba di Mekah dan Madinah
Tempoh melaksanakan ibadat umrah dan ziarah sangat pendek. Kebiasaannya, 12 hari +2 hari perjalanan. Berada di sini perlukan perancangan.
Perancangan adalah satu petua. Tips kami, rancanglah apa yang hendak dilakukan semasa di Mekah dan Madinah. Perancangan perlu berdasarkan premis mahu beramal ibadat sebaik mungkin semata-mata kerana Allah SWT.
Rancanglah dengan sentiasa memohon kepadanya agar ia dapat dilaksanakan. Jika tidak, mohonlah agar Allah memberi ilham agar kita dapat melakukan sesuatu yang lebih baik di sisinya.
Malah – kami fikir – merancang untuk melaksanakan ibadat merupakan ajaran penting dalam Islam. Pertimbangkan bagaimana Allah menyatakan melalui ayat 47-49, surah Yusuf,
Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan dibulirnya kecuali sedikit untuk kamu makan.
Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.
Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur
Pertama, pertimbangkan untuk tidur seawal mungkin selesai usai solat Isya di Masjidil Haram atau Mekah. Katalah jam 9 atau 10 malam waktu Madinah bersamaan jam 2 – 3 pagi waktu Malaysia. Ia sepatutnya waktu tidur yang sesuai.
Kemudian, bangunlah di sekitar 1.30 pagi waktu Mekah/Madinah bersamaan 6.30 pagi waktu Malaysia]. InsyaAllah ia boleh dilakukan.
Dua pagi, kita mula bergerak ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Bila bertemu dengan tong air zam-zam, ambilah segelas dan berselawatlah sambil berdoa agar Allah menjadikan air tersebut sebagai penawar kepada segala penyakit.
Kemudian – jika di Mekah - lakukan tawaf sunat sebanyak tujuh pusingan. Pengalaman kami, ia dapat disudahkan di antara 25 hingga 35 minit. Jika di Madinah, terus sahaja ke Raudhah (nota: wanita mempunyai jadual tersendiri untuk memasuki Raudhah) atau saf-saf hadapan di belakang Imam.
Pada ketika ini jam menunjukkan jam 3.00 pagi di Mekah.
Kemudian, lakukan solat sunat, bermunajat, membaca al-Quran, solat sunat, bermunajat, berzikir, solat sunat dan…. akhirnya azan pertama dilaungkan menandakan sejam lagi masuklah solat subuh.
Masa akan bergerak pantas sehinggalah selesai solat solat subuh. Jika berkemampuan, sebelum meninggalkan masjid, lakukan tawaf sunat sekali lagi.
InsyaAllah ia masa yang bermanfaat dan tidak membosankan.
Saya terkenang saat-saat pulang ke hotel sekitar jam 7.00 pagi sambil membeli makanan untuk sarapan pagi. Pada ketika inilah rakan-rakan sebilik berkumpul sambil menikmati juadah yang dikongsi bersama. Saya terkenangkan Wak Daud secara sukarela membacuh teh O buat kami semua.
Jam menunjukkan 8.30 pagi waktu Mekah.
Bayangkan waktu di Malaysia. Pada ketika ini kita sedang bersiap-siap menamatkan urusan pejabat sebelum memenuhi waktu rehat tengahari. Apakah yang paling seronok yang dapat dilakukan pada ketika ini? Bagi saya, jika dapat melelapkan mata sekejap, alangkah bahagianya.
Begitulah, di Mekah atau di Madinah berehatlah seumpama di Malaysia bagi mengumpul kembali tenaga yang telah digunakan sepanjang malam di masjid. Bezanya, kita berehat jam 8.30 pagi di Mekah yang bersamaan jam 1.30 tengahari di Malaysia. Cukuplah tidur ringkas selama sejam.
Jadi biarkan suasana tersebut. Biarlah suasana malam di sana seumpama siang di Malaysia. Ia masa yang sangat mengasyikkan untuk beramal ibadat. Barangkali 4 -5 jam waktu tidur sehari semalam sudah mencukupi.
Di sekitar 10 – 11 pagi bergeraklah kembali ke Haram. Allah… Allah…. jangan terlalu berfikir tentang berehat. Masa sangat singkat. Dan ia bukan tiap-tiap hari kita boleh berada di Haram.
Ini adalah satu cadangan yang telah kami amalkan selama hampir 45 hari di Mekah dan Madinah. Lakukan sedikit ubah-suai apabila melakukan ibadat umrah dan ziarah.
Isu yang lebih besar ialah membuat perancangan dan berdoa supaya perancangan itu dimakbul Allah jika ia terbaik di sisiNya.
Ia sangat sesuai buat kami sekeluarga tetapi mungkin tidak sesuai buat yang lain.
Cuma, ia boleh dipertimbangkan!
NotaMKI: Artikel ini telah ditulis pada 2010 dengan sedikit pindaan.
Kami sangat teruja

Pandangan pertama yang mengujakan
Manusia berbeza pendapat.
Namun kami sekeluarga jatuh cinta dengan kaver buku terbaru Roza. Pandangan pertama begitu. Terasa sangat aman dan damai. Mudah-mudahan ia juga begitu dipandang mata khalayak pencinta buku.
InsyaAllah ia akan berada di Pesta Buku KL pada hari-hari terakhir. Itu pun jika sempat.
Dan kami sangat-sangat berterima kasih kepada Tim PTS Islamika yang bertungkus lumus menyudahkan apa yang tertangguh. Kami bersyukur kepada Allah SWT dan berdoa – mudah-mudahan – ia akan diterima khalayak.
April 23, 2012
Cuaca
Madinah semakin hari semakin panas.
“Dr, ini cuaca yang paling baik,” kata para pelajar saya. Panas dan sejuk hanya bersifat relatif. Kedua-duanya nikmat yang perlu disyukuri. Namun saya lebih selesa bila cuacanya ke arah musim sejuk.
Ia bukan soal “lebih baik” tetapi bagaimana tubuh badan bertindak balas dengan keadaan cuaca tersebut.
Namun secara hakikatnya - nanti – panas merupakan satu pembalasan. Misalnya dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi, baginda ada menyatakan:
“Kepanasan api kamu yang digunakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah sepertujuh puluh kepanasan api Neraka Jahanam”. Sahabat-sahabat Baginda berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyeksa. ” Baginda SAW bersabda: “Meskipun demikian, kepanasan Neraka jahanam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak enam puluh sembilan bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini”.
Membayangi kepanasan di hari akhirat dengan ketidakselesaan kepanasan dunia tentunya tidak terbanding. Ia sudah cukup untuk kita memikirkan apakah yang bakal kita hadapi di alam kubur, padang masyar dan suasana selepas penghakiman.
Bagaimana agaknya kepanasan yang bakal di terima? Atau mampukah kita terus memasuki syurga yang mengalir anak-anak sungai di bawahnya tanpa dihisab?
Cuaca di dunia adalah secalit (?) gambaran untuk kita berfikir.
Cukup mama!
Sejuk hati saya mendengar Sofea berkata, “mama, Sofea rasa sangat kenyang berbuka dengan kurma dan air zam-zam”.
Anak 9 tahun ini sudah mulai merasai nikmat berpuasa. Beliau dan Amirul sentiasa berpuasa Isnin dan Khamis kecuali dipaksa tidak berpuasa bila kami berjalan jauh yang jatuhnya pada hari tersebut.
Begitulah juga yang saya nyatakan kepada mereka yang berkunjung ke rumah, “cubalah berpuasa….. sampai ketikanya kita akan dapat merasai sesuatu yang luar biasa yang tidak mampu kita tuturkan”.
Benar ia tidak wajib. Jika tidak mahu berpuasa sunat pun tidak mengapa. Namun ia ajakan yang sentiasa saya sebut-sebut di blog ataupun secara berhadapan.
Ada sesuatu nikmat yang mahu saya kongsi bersama. Tidak lebih dan tidak kurang!
Pertemuan

Ini prof kamil?
Saya bersandar di tiang masjid. Menguit-nguit Ipad baru. Tiba-tiba saya terdengar, “ini prof Kamil?”.
Agaknya beliau was-was dengan jambang dan janggut yang tidak pernah dicukur semenjak memijakkan kaki di Madinah. Mungkin kehilangan 11 kg juga menambah kesangsian.
Saya tidak merasai perbezaan ketara namun buat mereka yang berjumpa sekali-sekala ia sangat signifikan.
Dan orang yang paling anti dengan janggut dan jambang saya sudah mula menerimanya. Tiada lagi komen nakal dari Sofea!

Datangnya dari Rawang
Saya fikir, ada sedikit ruang dalam hidup beliau terhadap kami sekeluarga.
Alahai…. saya selalu terlupa nama. Bila pulang ke rumah, menatap wajah-wajah yang dirakamkan di parking 11A nyata meletihkan daya ingatan. Mungkin saya tidak memberi tumpuan yang sewajarnya.
Namun dari mana mereka datang lebih melekat di minda. Ah…. biarlah pertemuan singkat ini berbekas di hati.

Memperdengarkan al-Fatihah kepada Tok Sheikh
“Haji, mari ikut ke halaqah saya,” saya mempelawa Tuan Haji Sabtu.
Tok Sheikh Mutuollah merupakan guru quran di Haram. Setiap kali saya membawa teman dari Malaysia, beliau pasti – InsyaAllah – memberi layanan yang istimewa.
“Friend?,” beliau bertanya.
Lalu diminta Tuan Haji Sabtu ke hadapan. Beliau mendengar Tuan Haji melafazkan 7 baris ayat permulaan yang menjadi asas bacaan solat.
“Cemerlang,” dihulurnya gula-gula sebagai hadiah.
Ia mungkin pertemuan bermakna buat Tuan Haji Sabtu!
April 22, 2012
Pelancaran buku
Majlis akan tetap berlangsung – InsyaAllah – 14 Julai 2012, 8.30 pagi.
Asalnya mahu diadakan di hotel UiTM. Jumlah yang perlu dihadkan setakat 200. Namun e-mel yang diterima jauh daripada jumlah tersebut.
Mudah-mudahan ia benar kerana saya telah menukar lokasi majlis di BALLROOM INTEKMA RESORT Shah Alam. Ia masih di kawasan tersebut bagi menyatakan “terima kasih” kepada semua yang telah menghantar mesej “Ya, kami ingin datang”.
Dan jemputlah semuanya (termasuk mereka yang belum menghantar e-mel). Jika pada ketika itu ada hal yang tidak disangka-sangka, tidak mengapa, tuan-puan tidak berhutang apa-apa dengan kami sekeluarga. Aturcara majlis seperti berikut:
8.30 pagi Ketibaan (ada program untuk khalayak)
9.00 pagi Bacaan Al-Quran
9.05 pagi Tazkirah “Khabar dari Madinah”
9.35 pagi Pelancaran “Travelog Kehidupan: Kedewasaan, Bersyukur Saat Diuji dan Bukan Sekadar Resepi” oleh Prof. Hatta Azad Khan
10.05 pagi Sesi Pertemuan KRTS
(Nota: Hanya minuman pembasah tekak disediakan)
Tetamu Umrah

Tetamu Umrah, Ustazah Hasni dan keluarga

Pertemuan di 11A. Bila pulang ke rumah, jenuh saya berfikir, siapa namanya? Namun orangnya sangat ceria!

Kata Raja, saya terdengar suara Prof.... pertemuan di dalam Haram
April 21, 2012
Rektor baru
Kami menerima rektor baru.
Perjumpaan dengan staf nyata menggembirakan. Setiap lima minit hadirin bertepuk tangan. Pertama, pasport antarabangsa yang disimpan universiti akan dikembalikan. Multiple exit visa akan dilaksanakan.
(Nota: mudahlah saya menerima undangan ke negara jiran pada hujung minggu).
Kelulusan keluar masuk negara hanya diluluskan di peringkat jabatan.
Kedua, tambahan gaji pokok akan diseragamkan. Khabarnya setiap pensyarah akan menikmati tambahan 60% daripada gaji pokok. Maksudnya, saya akan mendapat tambahan 25% gaji bermula tahun hadapan.
Alhamdulillah, ia rezeki yang tidak disangka-sangka!
Cabaran
Namun hidup ini sentiasa penuh dengan warna-warni.
Agihan beban kerja sesi baru telah saya terima. Saya masih lagi diperlukan mengajar 6 jam/seminggu. Menariknya - salah satu kelas – saya perlu mengajar pelajar wanita.
Ia pengalaman baru yang saya fikir sangat menarik.
Saya tidak boleh melihat wajah mereka. Mereka boleh melihat wajah saya jika saya menekan punat wajah. Atau mereka boleh melihat apa yang ada di skrin komputer. Juga mereka boleh melihat apa yang saya tulis di ruang penjelasan.
Bagaimana saya mahu berjenaka dengan mereka?
Mungkinkah ia lebih baik dan sesuai dengan kaedah pengajaran saya?
Saya tidak sabar menunggu sesi 2012-2013 yang akan bermula pada bulan September ini.
Tidak terlalu Ramai

Usai solat Isya
Hari ini saya agak lewat bertolak ke Haram untuk menunaikan solat subuh. Saya mula bergerak ketika bilal masjid di sekitar rumah sudah mula memanggil-manggil penghuni untuk ke masjid.
Ia panggilan yang bersahutan di antara satu masjid dengan masjid yang lain.
Begitu juga di sepanjang perjalanan. Saya tidak mengira jumlahnya tetapi memadai jika saya katakan ia menghampiri 10 buah (nota: saya fikir ia melebihi jumlah tersebut).
Alhamdulillah, ia tidak mungkin secara kebetulan tetapi pastinya ia bantuan Allah kerana kesemua lampu isyarat berwarna hijau.
Saya sempat solat sunat. Kemudian bergerak ke hadapan. Saya fikir ia melangkaui lebih daripada 100 saf. Begitulah di Haram (masjid Nabawi), saf-saf hadapan masih ada walaupun masa ketibaannya nyata lewat.
Namun ramai yang terpengaruh dengan kesesakan di bahagian belakang.
Emmmm….. saya mahu bercerita tentang saf di hadapan tetapi mungkin ada yang bertanya, “kenapa lewat?”.
April 11, 2012
Peminat
"Saya mengikuti blog prof," di antara susunan SMS yang saya terima.
"OK"
"Boleh saya ziarah ke rumah prof lepas waktu Zuhur?"
"Tidak boleh. Hari ini saya tidak menerima tetamu selepas zuhur"
"Bila boleh kami jumpa?"
"InsyaAllah, besok malam selepas Isya".
Lalu saya atur pertemuan di parking 11A. Alahai… rutin biasa.
Semalam – selepas Asar – saya menerima satu lagi SMS.
"Prof, saya ingat tidak dapat jumpa prof malam ini. Rombongan saya akan pergi ke Tanah Halal untuk buat umrah kali ke 2″.
Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena.
"You di mana, Mekah atau di Madinah?"
"Mekah… prof di Mekahkan? Boleh kita jumpa selepas Isya, minum-minum dan bertukar-tukar cerita"
Saya mendiamkan diri sambil senyum-senyum di dalam hati. Tidak lagi saya membalas SMS tersebut.
Lepas Isya saya menerima panggilan. Saya tidak dapat bercakap lantaran riuh-rendah jemaah yang keluar masjid.
"Prof, saya tidak dapat dengar suara Prof. Prof di mana?," saya menerima SMS.
"Masjid Nabawi"
"Prof di Madinah?"
"Di sini saya tinggal…"
"La… saya ingat prof tinggal di Mekah…."
Lalu beliau menghantar dua-tiga SMS lagi memberi justifikasi kenapa beliau tersilap maklumat. Agaknya istilah "peminat" sudah tidak relevan lagi.
InsyaAllah, saya menanti kunjungan "peminat" ini di Madinah.
Angka 600,000
Inilah jumlah terbesar yang pernah singgah di dalam akaun saya dan Roza.
Ia jumlah yang dikumpulkan dalam tempoh 2 bulan 22 hari untuk Tabung Masjid KRTS yang akan dibina di Galkayo Somalia. Allahu Akbar, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana membuka hati khalayak KRTS dan rakan FB untuk menyumbang dengan agak pantas.
Ia di luar jangkaan pemikiran saya yang terbatas. Kekuasaan Allah mengatasi agakan manusia. Sekali lagi saya mengajak khalayak KRTS terutamanya mereka yang telah menyumbang agar sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah supaya dipermudahkan peringkat seterusnya.
InsyaAllah…. InsyaAllah….. InsyaAllah…. ia akan menjadi kenyataan!
Angka 6000
Semalam, saya naikkan notis di sini dan FB untuk membuat kutipan majlis berbuka puasa di Masjid Nabawi bagi bulan Julai – Disember 2012. Ia juga berserta dengan tambahan kutipan untuk bulan Ramadhan.
Alhamdulillah, 200 rakan-rakan telah (bersetuju) menyumbang RM30/6 bulan atau RM5/sebulan. Ia tercapai dalam tempoh 5-6 jam sahaja.
Moga Allah menerima ini sebagai satu amal yang diredhaiNya.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami. Kau permudahkanlah kehidupan kami di dunia dan akhirat. Temukanlah kami semua di syurga Mu ya Allah.
Nota: Sumbangan sudah ditutup!
Permainan Baru
[image error]
Leka juga....
Mohamed Hearsi – rakan di Haram – pulang bercuti di Canada. Sudah lebih enam bulan beliau meninggalkan isteri dan anak-anak di sana.
Kemudian saya menerima e-mail,
"Saya mahu beli Ipad, prof mahu?"
"OK…," saya memberi persetujuan. Saya bukanlah tahu sangat dengan latest technology IT tetapi menyedari yang Ipad menjadi kegilaan ramai orang. Lalu beliau bertanya tentang GB, 32 atau 64. Tentulah 64 lebih baik daripada 32. Itulah congakan mudah saya.
Kemudian saya memberi arahan, "beli yang paling baik… full spec"
3-4 hari lepas beliau selamat mendarat kembali di Madinah. Lalu saya bertanya, "berapa harga?". Diambilnya calculator dan mula mengira.
SR3700!
Di sebelah saya, Ipad ini sedang memuat turun al-Quran. Malah ia sudah membantu saya membaca final Version buku "Bersyukur Saat Diuji" dan menyebabkan saya ralit meneroka pelbagai kegunaan yang boleh dimanfaatkan.
Saya rasa ia mahal…. tetapi saya bersyukur kerana tidak bertanya harganya terlebih dahulu. Jika tidak – agaknya – ia bukan menjadi keutamaan saya!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
