Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 26

March 31, 2012

Taif

Menuju ke puncak, hampir 35 km perjalanan berliku


2007, saya menolak ajakan rombongan yang mahu ke Taif.


Pada ketika itu saya sangat konservatif, berhati-hati dan sangat fokus dengan apa yang mahu saya lakukan semasa menunaikan fardhu haji. Saya langsung tidak mahu meninggalkan Masjidil-Haram.


Lima tahun kemudian saya dan anak-anak diizin Allah untuk bermalam di sini.


Ia suasana yang berbeza. Kami lebih tenang. Malah kerana kami memandu sendiri, perjalanan sejauh – kurang lebih – 90 km dari Mekah langsung tidak terasa. Ia tempat baru, pengalaman baru dan kerana ada sejarah di belakangnya maka lawatan ini mempunyai nilai tertentu.


Ia juga sebahagian daripada percutian anak-anak.


Taif, cuacanya sangat nyaman. Khabarnya sejuk sepanjang tahun. Suasana hijaunya memang nampak berbeza berbanding Mekah dan Madinah. Namun tidak cukup hijau berbanding Malaysia.


Di sebelah malam, kami menikmati makan malam yang sempurna. Berada di tingkat 29 – restoran berpusing - hotel Intercontinental nyata memberi perasaan yang menakjubkan.


Saya merenung jauh. Melihat menu open buffet, menyaksikan keseluruhan bandar Taif, mengenangi tindakan Baginda SAW yang tidak mahu menghukum Taif, malah tersentuh hati dengan kata-kata pengurus restoran, "kami kenakan bayaran untuk 2 1/2 harga sahaja"  dan terkenang, "aku berada di sini".


Ya Allah, perlukah kami berdusta dengan segala nikmat yang telah Engkau kurniakan?


Laham


Laham, harganya sangat berbeza berbanding ayam


Jika diberi pilihan, saya lebih gemar Nasi Mandy Laham (kambing) berbanding Ayam. Namun harganya sangat-sangat berbeza. Satu nafal (satu bekas) nasi Mandy dan seekor ayam, harganya di sekitar SR19. Nasinya boleh dimakan untuk kami sekeluarga.


Satu nafal laham, harganya di antara 35 – 40 SR. Di Taif, saya membayar SR50 untuk hidangan sekeluarga. Saya tidak tahu sama ada ia satu bekas ataupun tidak.


Alhamdulillah, ia sangat lazat. Ia makan tengahari di puncak bukit!


Masjid KRTS


Jumlah terkumpul melebihi RM550 ribu. Kita akan memberhentikan kutipan setelah ia mencecah RM600 ribu. Saya fikir ia akan tercapai dalam tempoh beberapa bulan lagi.


Ramai yang menunaikan janji-janji untuk menyalurkan kutipan RM100/sebulan. Ramai juga yang telah membayar RM2400 sekali bayar. Malah ada yang menderma dengan jumlah yang besar.


Jumlah RM550,000 ini juga termasuk mereka yang menderma RM10 – RM50. Akhirnya , tiada nilai yang besar atau kecil apabila disebut jumlah keseluruham.


Allahu Akbar, marilah kita berdoa agar rancangan ini menjadi kenyataan tanpa halangan besar.


Tapak pembinaan juga sudah disahkan! Bayaran pertama berjumlah US500 sudah dikeluarkan. Ia bayaran untuk arkitek yang akan melakarkan bentuk bangunan masjid.


Allahu Akbar, bermakna projek ini sudah bermula secara fizikal. InsyaAllah, melihat kepada standard di Somalia, ia mampu disiapkan dalam tempoh 8 – 12 bulan bermula bulan Julai nanti. 


Sekali lagi, marilah kita berdoa pada 1/3 malam tersisa memohon Allah meredhai amalan ini.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 31, 2012 20:16

March 29, 2012

Tawaf

[image error]

Saat yang sangat hening dan kusyuk


 


Berdoa di kala bertawaf terutamanya di kala 1/3 malam tersisa tersangat syahdu.


Jumpa lagi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 29, 2012 23:42

March 28, 2012

Berbahagialah

Di dunia, cinta suami-isteri berpenghujung. Bila tiba masanya, maka terpisahlah dengan tibanya kematian.


Saya cintakan Roza. Dan saya fikir Roza juga mencintai saya. Malah saya tersenyum mendengar Sheikh Khalid berkata, "Iman mencintai saya melebihi saya mencintainya".


Begitulah, rasa cinta isteri yang dirasai suami. Mungkin – walaupun tidak dinyatakan – Iman juga akan menyatakan, "Khalid mencintai saya dan keluarga lebih daripada saya mencintai beliau".


Saya berani berkata begitu kerana kerap kali Khalid menyatakan kepada saya, "saya hanya mahu Iman dan anak-anak saya bergembira. Mereka happy, saya akan happy".


Begitulah wajah hubungan yang tidak perlu dinyatakan. Ia terpancar dalam kehidupan sehari-harian.


Malah kami tersenyum bila Arif menyatakan, "satu-satunya rakan dan sahabat di dalam kehidupan saya adalah Ros". Ia tidak perlu dinyatakan kerana sejak dulu lagi saya sudah mengerti dan memahaminya.


Kisah hubungan suami-isteri yang akrab menjadi sebahagian daripada kisah kehidupan yang diidamkan.


Malah saya sangat teruja membaca satu hadis direkodkan oleh Abu Daud yang menjadikan amalan bangun malam seolah-olah sebagai pengikat kasih-sayang di antara suami-isteri.


Allahu Akbar, mudah-mudahan kita dan pasangan kita akan bertemu kembali di syurga Firdaus sebagai balasan atas  ikatan kasih-sayang dan saling cinta-mencintai di dunia dalam konteks beramal ibadat kepada Allah SWT. Baginda Rasululllah SAW menyatakan,


Allah SWT sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.


Di sana, cintanya tiada lagi penghujung. Ia kekal buat selama-lamanya.


Di sini, berada di dataran Masjidil-Haram saya mendoakan pasangan suami-isteri khalayak KRTS, FB dan pembaca buku-buku saya dianugerahkan perasaan saling cinta-mencintai dan sama-sama berusaha menghampirkan diri kepadaNya.


Kami mohon keampunan Allah.


NotaMKI: Tulisan ini berdasarkan kadar perceraian yang sangat tinggi di negara-negara Teluk. Malah sudah menjadi tren untuk suami dan isteri mempunyai bilik yang berasingan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 28, 2012 09:08

March 27, 2012

Anak muda

Anak muda di Haram


Semalam, saya menyampaikan tazkirah di Masjid Nabawi dalam keadaan yang sangat tidak selesa. Lapan anak muda ini mengadap saya di satu penjuru tempat saya membaca al-Quran.


Kenapa?


Ia tidak mengapa jika 3 atau 4 orang  berada pada satu tempat dan kelihatan seseorang sedang menyampaikan sesuatu. Bagaimanapun saya pernah ditegur – ketika musim haji – kerana yang mendengarnya mencecah 20 – 30 orang.


Saya juga tidak mahu begitu.


Namun saya bertahan kerana melihat wajah-wajah mereka yang benar-benar mengharapkan sesuatu. Alahai…. ketika saya berusia seperti mereka, saya langsung tidak memikirkan soal umrah dan haji.


Apatah lagi untuk memikirkan soal solat malam, berpuasa sunat, membaca al-Quran, menjaga hati atau solat berjemaah di masjid.


Mereka jauh lebih baik daripada saya.


Chinese Food


Ia makan malam keluarga yang mengujakan


Malam tadi kami di bawa mengembara nun jauh ke negara China oleh Chef Bukan Sekadar Resepi.


Tetamu makan malam kami ialah Ros dan Arif dari UAE. Juga, Sheikh Khalid dan Keluarga. Kedua-duanya memang hidup dengan makanan Arab, maka Roza melakukan perubahan terhadap menunya. Ia gabungan masakan Thai dan Chinese.


Pertama, sup kesukaan kami sekeluarga, Sup Ketam panas-panas yang kelihatan tidak dapat diterima oleh Sheikh Khalid. Emm… Iman kelihatan berbeza. Beliau dapat menghirup hingga ke titisan terakhir.


Begitulah budaya yang berbeza.


Kemudian kami menghidangkan somtam betik, daging goreng bergajus, ayam goreng lemon, ikan masam-manis, butter prawn dan sayur campur. Kemudian, ia diakhiri dengan coklat kek dan kek keju. 


Dan pada penghujung malam, Sheikh Khalid berkata, "biar kami hantar Dr Arif dan Dr Siti ke hotel".


Lihatlah, ia benar-benar bukan sekadar resepi. Makanan yang dihidangkan mempertemukan Keluarga Khalid dan Arif serta Ros. Mereka menjalin ukhwah dengan begitu selesa sekali.


Alhamdulillah.


Ilmu


Menulis merupakan sebahagian daripada proses pencarian dan penyebaran ilmu. Ada penulisan berdasarkan pemikiran dan pengalaman kehidupan. Ia dipanggil tacit knowledge. 


Ada penulisan berdasarkan pembacaan dan rujukan terdahulu. Dalam konteks akademik ia dipanggail kajian atau tulisan berdasarkan kajian kepustakaan.


Menulis dan bercakap sangat berbeza. Bercakap – benar atau salah – jika tidak dirakam akan menyebabkan kesukaran untuk membuat rujukan kembali.


Mereka yang menulis, bertanggungjawab dengan tulisannya perlu bersedia untuk menerima sanggahan di atas tulisan tersebut. Di dalam dunia akademik ia bukan satu kepelikan.


Kemudian, proses ini berterusan untuk mencari kebenaran. Akhirnya, ilmu sebenar akan ditemui.


Dalam konteks ini, KRTS banyak bertumpu kepada pengalaman kehidupan yang telah saya lalui, amati dan disampai dalam keadaan yang sangat santai. Targetnya begitu.


Ada masanya, saya menulis berdasarkan pembacaan dan rujukannya dinyatakan secara jelas.


Dalam kedua-dua keadaan, saya sangat berlapang dada menerima kritikan atau teguran. Namun seni mengkritik juga sangat menarik. Kita merasai keikhlasan seseorang yang mengkritik apabila ia dimulai dengan salam dan diakhiri dengan kata-kata yang menyejukkan hati walaupun tulisannya sangat tajam dan pedas.


Kritikan juga tidak boleh berlindung di sebalik nama samaran. Ia memberi gambaran yang salah. Kita harus belajar sebagai seorang yang budiman dengan bertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan.


Mudah-mudahan kita menjadi manusia yang lebih baik di sisiNya.


Terima Kasih


Doa-doa yang dipanjatkan kepada Allah dimakbulNya.


Saya berterima kasih kepada Ustaz Abdul Rahman Jamaan yang telah menyatakan secara terbuka terhadap penjelasan yang telah saya tulis melalui tulisan yang terdahulu.


Saya doakan agar kita bertemu di Jannah!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 27, 2012 20:49

March 26, 2012

Tangisan

Tok Sheikh dari UAE belanja Tok Sheikh Madinah... itulah bila anak murid lebih banyak Dirham


Kehilangan menyebabkan kita kerinduan.


Semalam, hampir sepanjang hari Dr Arif bersama saya di dalam masjid Nabawi. Kami mengaji al-Quran, solat dan berbuka puasa bersama-sama. Juga beliau mendengar tazkirah yang sangat spesifik khusus untuk beliau dan Ros.


"Nanti sampaikan pada Ros," saya mengingatkan Arif.


Matanya sentiasa bergenang dengan air mata. Bila kami mahu berbuka, beliau berdoa dengan kusyuk sekali. Matanya cepat merah.


"Prof, saya teringatkan kedua-dua ibu bapa saya. Mereka tiada ketika saya dianugerah nikmat kesenangan"


"Rif, mereka tinggalkan tiga perkara. Salah satunya anak yang soleh dan solehah yang mendoakan mereka. Itu yang masih ada. Mereka telah pergi dan ujian buat anak-anak yang tinggal adalah untuk menjadi anak yang soleh dan solehah"


Saya turut sebak mengenangkan Wan, Ayah dan Abah yang telah pergi. Lalu saya nyatakan lagi kepada Arif,


"Anak yang soleh dan solehah adalah anak yang tidak tinggalkan solat berjemaah, anak yang menutup aurat, anak yang membaca al-quran, anak yang melakukan segala kebaikan,…," saya sebut apa yang terlintas di minda.


"Mari kita berdoa supaya kita dan ibu bapa kita akan bertemu di Jannah," dan kami berdiam diri merasai dan melayani rasa sebak di dada.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 26, 2012 21:46

March 25, 2012

Penjelasan

Ia bergantung kepada niat. Niat itu ada di dalam hati.


Begini, jika ada seseorang mendaftarkan e-mail mereka dengan nama osamaobama@gmail.com maka Osama Obama (nota: otak melayang bila menulis) yang menjawat jawatan presiden Amerika – secara dasarnya – tentu sekali tidak berhak untuk murka.


Begitulah, bila ada yang mendaftar e-mel mereka dengan nama [prof.kamil prof@abdrahman.com.my] maka saya tidak berhak menyangka yang ia adalah saya walaupun satu Malaysia berfikir begitu.


Kemudian ia menjadi lebih hebat bila pemilik e-mel tersebut berjual e-book bertajuk "Panduan Haji".


Lalu ada yang menghantar e-mel kepada saya di muhdkamiltaibah@gmail.com dan berkata "Prof, hentikan e-mel ini. Saya tidak suka" maka saya dengan senang hati menjawab, "saya juga tidak senang! Kenapa hantar kemarahan ini kepada saya. Jawablah e-mel yang awak terima".


Jika ada yang bertanya saya, "Prof terlibat dengan…..?"


Maka saya menjawab, "TIDAK".


Sekali lagi, ia bergantung kepada niat.


Persahabatan dan kepercayaan


Ramai orang melakukan sesuatu tindakan berdasarkan persahabatan. Ia atas dasar kepercayaan. Namun ada sahabat yang mempunyai agenda yang melangkaui perkara tersurat.


Lagi-lagi kalau sahabat itu seorang peniaga yang sentiasa mencari keuntungan. Dan harga yang perlu dibayar ialah nilai persahabatan tersebut.


Saya memikirkan isu ini dengan mendalam.


Tazkirah


Semalam saya menyampaikan dua tazkirah. Setiap satunya terlangsung selama sejam. Tazkirah pertama dengan seorang pemuda berusia 32 tahun pada satu sudut di masjid Nabawi.


Beliau bertanya saya, "bagaimana saya mahu  ada kekuatan untuk melakukan amal ibadat?". Ia seperti yang ditanya ramai, "bagaimana mahu bangun malam?".


Saya merenung wajah beliau. Mulut saya menyebut sesuatu yang tidak pernah saya sampaikan selama ini. Maka saya ingin mencatatkannya di sini sebagai satu ingatan.


"Saya tidak mempunyai jawapan terhadap pertanyaan tersebut. Ia sedia ada pada diri mereka yang bertanya. Jika you berjumpa dengan 10 ustaz sekalipun, you akan bertanya soalan yang sama. Agak saya begitu.


Jika orang bertanya, "bagaimana mahu solat, maka ia berbentuk teknikal. Kita boleh mengajar satu persatu. Jika orang bertanya, "berapa kali kita perlu solat sehari semalam," maka jawapannya sangat spesifik. Ia boleh dijawab dengan mudah.


Kemudian, selepas mengetahui bagaimana cara-cara bersolat, tahu waktunya dan jika ia bertanya lagi dengan soalan "bagaimana saya mahu solat lima waktu?" maka jawapannya menjadi lebih mudah, "ambil wuduk dan solat".


Atau jika ada yang bertanya bagaimana mahu bangun malam, maka jawapannya juga menjadi mudah, "pasang jam loceng. Jika satu tidak mencukupi, pasang dua, pasang tiga atau pasang penggera kecemasan biar runtuh bangunan".


Benar, saya tidak mempunyai jawapan.


Namun secara perlahan-lahan saya memperjelaskan pelbagai konsep yang berkaitan dengan kehidupan, kehidupan selepas kematian, cara yang praktikal untuk melaksanakan perintah dan larangan Allah yang akhirnya tersimpul dalam rutin kehidupan harian.


Allah… Allah… Allah…. akhirnya saya menerima SMS, "tolong doakan saya dan isteri diberi kekuatan….."


Tazkirah kedua terlangsung di sebuah hotel selepas waktu Isya. Roza, Amirul dan Sofea turut serta. Ketika berjalan pulang saya bergurau dengan isteri sesuatu yang saya fikir biasa-biasa sahaja.


Tiba-tiba Sofea berkata,


"Ayah ni… tadi baru sahaja bercakap ayah mahu hati ayah baik. Kenapa ayah cakap perkara mengarut dengan mama?".


MasyaAllah, mereka mendengar ceramah saya. Ada sesuatu yang sampai ke hati anak kecil tersebut!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 25, 2012 18:50

March 24, 2012

Kemenangan

Masjid Nabawi sentiasa tenang walaupun berpusu-pusu jemaah mahu keluar masjid usai solat


Kemenangan dan kekalahan.


Ianya bersebab. Misalnya peperangan Badar dan Uhud, dua peristiwa yang berbeza. Perang Badar, Allah menganugerahkan kemenangan mutlak.


Diceritakan bagaimana tentera Islam dibantu oleh para malaikat yang menyebabkan tertewasnya 1000 tentera kafir berbanding dengan 313 tentera Islam. 


Perang Uhud berbeza. Pasukan berkuda yang ditempatkan di Bukit Permanah melanggar arahan utama Panglima Perang kerana berebut harta rampasan perang.


Maksudnya, Islam sudah hampir dengan kemenangan mutlak tetapi akhirnya ia menghadapi kekecewaan yang besar. Di sinilah gugurnya puluhan para syuhada.


Ada pengajaran di sebalik peristiwa tersebut.


Begitulah kehidupan sendiri. Pagi tadi saya berasa menghadapi kekalahan. Saya "terjaga" hanya 50 minit sebelum waktu solat fajar walaupun telah dikejutkan dengan "dua loceng" seawal jam 3 pagi.


Kesilapan saya sangat mudah, "lima minit lagi…..". Ia menjadi 75 minit yang pendek!


Kami – saya dan Amirul – berkejar ke Haram. Saya selalu berdoa, "permudahkanlah…. permudahkanlah" kerana semakin hampir waktu solat semakin ramai pejalan kaki di sekitar Haram.


Memandu bukanlah kaedah terbaik pada ketika dan waktu ini.


Alhamdulillah, kami berjaya menekan hand-brake ketika selesai azan. Allahu Akbar!


Namun ada sesuatu yang sangat manis setiap kali berjalan keluar dari Masjid Nabawi (atau mana-mana masjid) apabila selesai solat. Rasa kemenangan. Tambah-tambah lagi jika solat-solat yang disebut sebagai kesukaran bagi orang munafik atau yang mempunyai sifat tersebut.


Ia perasaan yang datang secara semulajadi.


Kekalahan dan kemenangan tercipta di dalam ruang kelemahan manusia. Hanya kepadaNya tempat kita bergantung dan memohon perlindungan.


YaAllah, aku bersyukur di atas segalanya!


Tetamu Allah


Dua kumpulan yang berbeza. Kesemuanya mencari redha Allah

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 24, 2012 22:13

March 23, 2012

Cuti di Malaysia

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan berurusan dengan pihak universiti akhirnya tiket pulang bercuti ke Malaysia sudah ada di tangan.


Kami akan meninggalkan Madinah pada 14 Jun – InsyaAllah – dan akan tiba di KLIA keesokan harinya, jam 2.00 petang. Kami dijangka meninggalkan KLIA dan pulang semula ke Madinah pada 3hb Ogos. 


Tentu sekali kami rindukan anak-anak dan keluarga di Malaysia. Malah – saya secara peribadi – sangat merindui untuk menyampaikan kuliah ketika berada di Malaysia.


Namun percutian kali ini tidaklah seperti yang saya atur sebelumnya. Ikut pulang ke Malaysia, sahabat keluarga kami di sini – Sheikh Khalid, Iman, Fadi, Lara, Shahat dan Mohamed – yang akan berada sebulan di Malaysia.


Mereka adalah tetamu kami.


Banyak undangan yang telah saya terima dan mohon maaf kerana tidak dapat menghadirkan diri. Mohon maaf banyak-banyak.


Namun saya telah bersetuju untuk hadir ke beberapa program awal yang telah diatur. Misalnya,


17 – 18hb Jun, saya akan berada di Labuan melawat adik bongsu yang sudah lama menetap di sana. Saya telah menawarkan diri kepada saudara Amir Hamzah dan kumpulannya untuk mengaturkan kuliah-kuliah di masjid sekitar. Nanti saya maklumkan maklumat terperinci.


23hb Jun, Kuliah subuh di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya.


24hb Jun, Kuliah Maghrib di Masjid As-Sobirin, AU 5, Hulu Kelang.


25-26 Jun, Rakaman TV 9 untuk slot Motivasi Pagi.


28hb Jun, Tazkirah di UiTM Johor (pagi, InsyaAllah). Di sebelah malam di Surau Madrasah Ibnu Mas'ud, Jalan Tasik Alai, Gemereh, Segamat (Kuliah lepas Isya, InsyaAllah)


1-6hb Julai kami akan berada di Besut, Terengganu.


8hb Julai, Kuliah Maghrib di Masjid Puchong (InsyaAllah… mohon hubungi saya)


14hb Julai, MAJLIS PELANCARAN BUKU DAN PERTEMUAN DENGAN RAKAN KRTS DAN FB di Shah Alam (maklumat terperinci akan dimaklumkan kemudian)


15hb Julai, Kuliah Maghrib di Surau Al-Husna, Seksyen 20, Shah Alam.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 23, 2012 05:21

March 22, 2012

Kain Basahan

Saya pernah hidup pada zaman mandi di telaga.


Ingat-ingat lupa bagaimana caranya saya mandi ketika zaman tersebut. Agak comel sekali. Mandi tanpa rasa malu.


Di rumah Mak – Roza – terdapat kain basahan. Ia kegunaan mak dan abah ketika mandi. Di rumah kami di Jabal Ohud juga mempunyai kain basahan.


Dua helai. Satu untuk kegunaan saya dan Amirul. Sehelai lagi kegunaan Roza dan Sofea. Tentunya ada rahsia kenapa ia berbeza kain. Ia tidak boleh diceritakan pada umum.


Kain basahan ini menjadi signifikan apabila saya membaca wasiat Nabi Muhammad SAW kepada menantunya, Saiyidina Ali melalui buku Biografi Nabi Muhammad SAW terbitan MUSTREAD.


Ia buku yang dihadiakan oleh tuan punya syarikat tersebut ketika berkunjung ke rumah kami. Salah satu wasiat tersebut berbunyi:


Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).


Saya bertanya tetamu umrah ini, "ada bawa kain basahan ke sini?"


Kenapa semuanya senget ke kanan....

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 22, 2012 23:29

March 21, 2012

Ajaib

Ada sesuatu yang ajaib tentang puasa, lapar, dahaga dan kenyang.


Puasa sunat nampak sukar dan penuh dengan cabaran. Jika bekerja, cabarannya semakin besar apabila melihat mereka yang lain tidak berpuasa.


Apatah lagi dengan suasana "makan-makan" yang hebat. Pukul 7,30 makan, 10.00 juga perlu minum, 1.00 tengahari juga begitu dan seterusnya.


Hidup seolah-olah sentiasa dipenuhi dengan rasa lapar dan dahaga.


Namun ada sesuatu yang ajaib bagi mereka yang berpuasa. Kata-kata berikut sering muncul, "alahai… kenapa hari yang tidak berpuasa terasa lapar sangat…. hari berpuasa OK-OK sahaja".


Saya fikir, itulah kekuatan yang dianugerah Allah. Maksudnya, lapar atau kenyang bukanlah atas jumlah makanan yang disalurkan ke dalam tubuh badan.


Malah dalam keadaan tertentu, "lapar dan kenyang" sudah menjadi satu. Ia merupakan nikmat yang perlu disyukuri.


Salah satu hadis penting yang saya baca, dengar dan mahu amalkan adalah berkait dengan amalan berpuasa.


Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda Rasullullah SAW: "Puasa yang paling disukai oleh Allah SWT ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah SWT ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari"


(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Amalan yang paling disukai Allah ini tentunya bersebab. Ada rasa ajaib yang sukar diterjemahkan. Cubalah - InsyaAllah – Dia akan memberi ilmu yang sangat dalam.


Ilmu kerana amalan!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 21, 2012 18:40

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.