Taif

Menuju ke puncak, hampir 35 km perjalanan berliku
2007, saya menolak ajakan rombongan yang mahu ke Taif.
Pada ketika itu saya sangat konservatif, berhati-hati dan sangat fokus dengan apa yang mahu saya lakukan semasa menunaikan fardhu haji. Saya langsung tidak mahu meninggalkan Masjidil-Haram.
Lima tahun kemudian saya dan anak-anak diizin Allah untuk bermalam di sini.
Ia suasana yang berbeza. Kami lebih tenang. Malah kerana kami memandu sendiri, perjalanan sejauh – kurang lebih – 90 km dari Mekah langsung tidak terasa. Ia tempat baru, pengalaman baru dan kerana ada sejarah di belakangnya maka lawatan ini mempunyai nilai tertentu.
Ia juga sebahagian daripada percutian anak-anak.
Taif, cuacanya sangat nyaman. Khabarnya sejuk sepanjang tahun. Suasana hijaunya memang nampak berbeza berbanding Mekah dan Madinah. Namun tidak cukup hijau berbanding Malaysia.
Di sebelah malam, kami menikmati makan malam yang sempurna. Berada di tingkat 29 – restoran berpusing - hotel Intercontinental nyata memberi perasaan yang menakjubkan.
Saya merenung jauh. Melihat menu open buffet, menyaksikan keseluruhan bandar Taif, mengenangi tindakan Baginda SAW yang tidak mahu menghukum Taif, malah tersentuh hati dengan kata-kata pengurus restoran, "kami kenakan bayaran untuk 2 1/2 harga sahaja" dan terkenang, "aku berada di sini".
Ya Allah, perlukah kami berdusta dengan segala nikmat yang telah Engkau kurniakan?
Laham

Laham, harganya sangat berbeza berbanding ayam
Jika diberi pilihan, saya lebih gemar Nasi Mandy Laham (kambing) berbanding Ayam. Namun harganya sangat-sangat berbeza. Satu nafal (satu bekas) nasi Mandy dan seekor ayam, harganya di sekitar SR19. Nasinya boleh dimakan untuk kami sekeluarga.
Satu nafal laham, harganya di antara 35 – 40 SR. Di Taif, saya membayar SR50 untuk hidangan sekeluarga. Saya tidak tahu sama ada ia satu bekas ataupun tidak.
Alhamdulillah, ia sangat lazat. Ia makan tengahari di puncak bukit!
Masjid KRTS
Jumlah terkumpul melebihi RM550 ribu. Kita akan memberhentikan kutipan setelah ia mencecah RM600 ribu. Saya fikir ia akan tercapai dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Ramai yang menunaikan janji-janji untuk menyalurkan kutipan RM100/sebulan. Ramai juga yang telah membayar RM2400 sekali bayar. Malah ada yang menderma dengan jumlah yang besar.
Jumlah RM550,000 ini juga termasuk mereka yang menderma RM10 – RM50. Akhirnya , tiada nilai yang besar atau kecil apabila disebut jumlah keseluruham.
Allahu Akbar, marilah kita berdoa agar rancangan ini menjadi kenyataan tanpa halangan besar.
Tapak pembinaan juga sudah disahkan! Bayaran pertama berjumlah US500 sudah dikeluarkan. Ia bayaran untuk arkitek yang akan melakarkan bentuk bangunan masjid.
Allahu Akbar, bermakna projek ini sudah bermula secara fizikal. InsyaAllah, melihat kepada standard di Somalia, ia mampu disiapkan dalam tempoh 8 – 12 bulan bermula bulan Julai nanti.
Sekali lagi, marilah kita berdoa pada 1/3 malam tersisa memohon Allah meredhai amalan ini.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
