Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 27
March 20, 2012
Parking 11A
Malam tadi kami tidak menerima tetamu di Jabal Uhud. Juga malam ini. Namun pertemuan dengan beberapa jemaah terus terlangsung.
Saya luangkan masa selepas Asar untuk bertemu muka dengan beberapa jemaah yang bersungguh-sungguh untuk bertemu dan mendengar tazkirah.
Tentu sekali saya tidak keberatan.
Sebelum pulang, parking 11A juga menjadi kawasan pertemuan ringkas yang bermakna. Kami gembira melihat mereka teruja. Mudah-mudahan kesemuanya mendapat umrah yang mabrur.

Pesan saya, tiada satu pun yang Allah tidak boleh lakukan.

Janjinya di 11A
Kehidupan
Dulu saya tidak ambil berat dengan apa yang ingin saya lakukan. Kemudian, saya mahu melakukan sesuatu yang boleh diterima Allah. Saya tidak mempedulikan orang lain.
Ia kehidupan masing-masing.
Masa beredar. Saya jadi sebak bila orang berkata, "di Malaysia banyak cabaran, saya…..". Saya sangat tersentuh bila orang yang datang menunaikan umrah dan haji tidak mahu menuntut aurat.
Kehidupan ini rupanya dipenuhi dengan rasa sebak dan sayu. Ia dipenuhi dengan linangan air mata. Semakin tua, semakin saya mengerti.
Biarlah begitu.
Cuaca
Cuaca Madinah masih tidak menentu. Ada harinya ia sangat sejuk. Menusuk ke tulang.
Ia lebih mencabar bila mahu keluar solat subuh. Jadi, jika ada yang mahu terbang ke sini – dalam sehari dua ini – bekalkan sehelai jaket yang boleh membantu.
Ia hanya sedikit persiapan atas suasana yang tidak pasti.
March 19, 2012
Beramal dengan ilmu
Saya mula mencatat hadis-hadis yang saya dengar, belajar dan baca. Diam-diam ia beratus banyaknya. Tentu sekali saya berasa takut dan gentar.
Ilmu tanpa amal sangat-sangat dimurka Allah.
Semalam saya berbicara dengan Waled, guru quran saya di waktu sebelum fajar. "Awak lulusan hadis…. cuba kumpulkan hadis-hadis yang telah awak ketahui, kemudian bertanyalah kepada diri sendiri, berapa banyak yang telah awak amalkan?"
Saya tahu beliau tersentak dengan kata-kata tersebut.
Lalu saya sebut sepintas lalu, "pelajar luluan Madinah selalu menyebut mereka berbangga dengan "nas al-quran dan hadis" dalam melaksanakan amal ibadat.
"Waled, bila balik ke Somalia nanti, beramallah dengan "nas al-Quran dan hadis" tersebut. Cuba kumpulkan hadis-hadis yang menceritakan amalan "terbaik", "paling dicintai", "paling disukai" dan karanglah kitab bukan setakat menterjemah atau menyusun semula kitab lama.
Jika kita berjumpa dengan hadis yang menyatakan, "ia amalan yang paling dicintai Allah," tidak usah berdolak-dalih lagi. Lakukan, amalkan dan mudah-mudahan kita paling dicintaiNya.
Kemudian, mengajarlah kitab tersebut dengan hati dan perasaan kerana itulah amalan kita".
Allahu Akbar, Subhnallah, MasyaAllah, saya melihat beliau merenung jauh. Mungkin Profesor Perakaunan tidak layak menyampaikannya!
Dalam konteks yang berbeza, salah satu hadis – di antara beratus – saya terlintas di hati dengan satu hadis yang pernah saya baca menceritakan gambaran betapa pentingnya solat berjemaah. Hadis tersebut bermaksud,
Tidak ada sembahyang yang lebih berat kepada orang munafiqin (untuk dilakukannya secara berjemaah) lebih daripada solat isyak dan subuh. Kalaulah mereka mengetahui (ganjaran pahala) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang sekalipun dalam keadaan merangkak.
Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.
Malah dalam satu hadis yang lain, Rasulullah telah menyatakan dengan tegas tentang kepentingan berada di masjid. Hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim ini bermaksud,
"…sesungguhnya memang aku bercadang untuk menyuruh diiqamahkan sembahyang dan aku suruh seseorang untuk mengimami para jemaah, dan aku pula keluar dengan beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka beberapa ikatan kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak hadir kepada solat berjemaah, lalu aku bakarkan rumah-rumah mereka"
Emmm…. tidak mahu saya jadi seumpama orang-orang munafiqin. Juga, saya tidak mahu Rasululullah datang membakar rumah besar yang indah tersergam. Biarlah saya solat berjemaah di masjid lima waktu. Mudah-mudahan Allah makbulkan.
Haji Mazlan
Haji Mazlan yang menunaikan umrah tanpa pakej menulis:
Salam Prof dan warga KRTS,
Terima kasih Prof diatas layanan dan tazkirah yang diberikan tempoh hari. Baru berkesempatan untuk melihat balik entri-entri yang tertinggal.
Kepada warga KRTS yang ingin mengtahui dengan lanjut pengambaraan adventure kami bolehlah menghantar emel pada saya ; alaqsa.pasarkurma@gmail.com
Terima kasih.
March 18, 2012
Pertanyaan
"Puan sudah memasuki Raudhah?"
"Sudah, semalam," nampak wajah ceria menjawab soalan ringkas tersebut.
"Kusyuk berdoa di sana?"
Mereka tersipu-sipu mahu menjawab soalan cepumas buat kaum wanita yang mengunjungi Raudhah. Ada yang tersenyum.
Suasana Raudhah buat kaum wanita sangat mencabar. Saya tidak tahu secara pasti keadaannya kerana tidak mempunyai kuasa ajaib memerhatikan keadaan.
Jika cerita-cerita Roza dan wanita yang lain dijadikan panduan, maka istilah kusyuk solat dan berdoa di Raudhah perlu diberi takrifan baru.
Saya bertanya lagi, "kenapa teruja ke Raudhah?"
"Ia dikatakan tempat yang mustajab berdoa. Dan ia taman syurga".
"Benar. Bila sampai di Madinah, berada di dalam masjid Nabawi pergilah ke permaidani hijau tersebut. Jangan tidak. Nanti bila pulang ke Malaysia, soalan pertama yang ditanya orang, dapat solat dan berdoa di Raudhah? Ia sangat penting".
Mereka tersenyum mendengar gurauan saya.
Lalu dengan nada yang lebih serius saya nyatakan, "namun jangan lupa beberapa perkara, pertama, doa ibu bapa sangat mustajab. Tidak kira ibu bapa berada di Madinah, Mekah atau Shah Alam, ibu tetap ibu. Ayah tetap ayah.
Ia tidak merujuk kepada tempat atau lokasi. Mustajab itu Allah anugerahkan kepada setiap individu. Gunakanlah peluang itu sepenuhnya.
Ia tidak bermodal.
Kedua, doa mereka yang berpuasa dikatakan sangat mustajab. Ia juga tidak bergantung kepada lokasi, Ia bergantung kepada amalan. Berpuasalah. Ia mempunyai banyak kelebiham.
Jangan pula kita beria-ia mencari orang berpuasa untuk mendoakan bagi pihak kita. Doa itu merupakan satu ibadat yang sangat menarik sifatnya.
Ketiga, bangunlah 1/3 hujung malam yang tersisa (nota: lihat entri terdahu). Allah berjanji akan memakbulkan doa, ampunkan dosa mereka yang bertaubat dan memberi apa yang diminta pada ketika ini.
Ia juga bukan menunjukkan tempat atau lokasi. Ia menunjukkan masa!
Allahu Akbar… ketiga-tiga keadaan berdoa ini dimiliki oleh setiap manusia yang mahu berfikir dan beramal dengan ilmu yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW.
Dalam konteks yang berbeza, mahu berada di dalam taman syurga? IsyaAllah, kita boleh membina taman syurga di rumah sendiri, di Malaysia! InsyaAllah juga, rumah saya adalah taman syurga.
Kenapa?
Saya amalkan sesuatu yang saya pelajari sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang direkodkan oleh Tirmidzi yang bermaksud,
"Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyaklah berzikir." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman syurga itu?" Beliau menjawab, "Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)"
Allahu Akbar, dikatakan juga ribuan para malaikat akan turut serta bersama-sama mengikuti majlis-majlis ilmu tersebut. Akal bodoh saya memikirkan dengan cara yang mudah dan ringkas, "rupanya ia tidak susah untuk menjemput para malaikat bertandang ke rumah".
Mudah-mudahan ia jadi begitu dengan kami mengadakan majlis tazkirah – di rumah – hampir setiap malam bersama tetamu-tetamu Allah.
Saya mohon keampunan Allah.
Nota: Tazkirah di atas saya sampaikan kepada Cik Puan Fauziah dan rombongan yang berkunjung ke rumah kami pada malam tadi. Mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang bermanfaat.

Semuanya wanita. Topik tazkirah khusus untuk mereka

Saya doakan NorAzlina dan keluarga dianugerahkan umrah yang Mabrur. Pertemuan singkat di Parking 11A
March 17, 2012
Ia sangat bermakna
Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: "Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya? (Terjemahan dari hadis sahih Bukhari dan Muslim)
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Saya mohon keampunan Allah.
Saya memilih hadis sahih Bukhari dan Muslim ini tentunya bersebab. Ia hadis pertama yang saya baca, fahami dan bersungguh-sungguh mengamalkannya.
Malah melalui pembacaan dan amalan hadis inilah – dengan izinNya – telah mengubah hampir seluruh corak kehidupan sebagai seorang individu muslim.
Malah saya panjangkan kepada mereka yang sering bertanya tentang kehidupan.
"Bangun malam, bersolat, berdoa, meminta dan mohon keampunanNya," adalah nasihat seragam, konsisten dan diulang-ulang untuk tempoh 6 tahu yang berlalu.
March 16, 2012
Cuti seminggu
Dr Rosmaini dan Dr Ariff pernah mendapat sedikit bimbingan semasa menuntut di UiTM.
Kedua-duanya mengikuti kuliah – rasa saya – Accounting Theory di peringkat sarjana. Kemudian, Ros mencari saya untuk menjadi penyelia PhD beliau.
Saya bukan pilihan pertama tetapi ketentuanNya menjanjikan beliau lulus dan dianugerah PhD bersama kami sekeluarga. Saya nyatakan, "kami sekeluarga" kerana sepanjang 3 tahun belajar di peringkat PhD, hubungan terjalin melangkaui semata-mata "penyelia – pelajar".
Mereka biasa bermalam di rumah kami. Malah saya seolah-olah "memaksa" Arif untuk solat subuh berjemaah di masjid. Saya memperkatakan kehidupan selepas kematian lebih acap daripada bercerita tentang internet reporting yang menjadi bahan kajian.
Saya berterus-terang dalam banyak hal.
Ada ketikanya, saya seolah-olah memarahi mereka bila ada sesuatu yang tidak kena, terutamanya apabila dikaitkan dengan sikap, pandangan atau tingkah laku hati dan perasaan.
Namun mereka berdua tidak pernah melarikan diri setelah berjaya bergelar PhD.
Mereka kini berada di UAE, bekerja di salah sebuah universiti di sana. Gajinya sangat lumayan. Agak saya berpuluh ribu sebulan. Saya sangat berbangga dengan kejayaan yang telah mereka lalui.
Ia kejayaan kerjaya. Pastinya, kami – saya dan Roza – berdoa ia bakal diikuti dengan kejayaan yang berkekalan.
Dan seminggu nanti mereka akan berada di Madinah, mensyukuri segala nikmat yang dianugerah Allah. Dan seminggu juga saya bercuti, melayani anak-anak murid yang saya kasihi.
Beliau akan bersama kami di Madinah, akan bersama-sama menunaikan umrah – InsyaAllah – dan terus bercuti di Taif dalam tempoh tersebut.
Saya teruja menunggu kedatangan mereka!
Hadis yang saya baca dan beramal dengannya
Saya bukan pakar hadis. Namun saya mengumpul hadis dan mahu beramal dengannya. Setiap satu yang saya baca, dengar dan amati akan saya catat dan bersungguh-sungguh melaksanakannya.
Bagi saya, itulah makna mencintai dan menyayangi Baginda SAW. Apatah lagi dengan mengambil kira suasana dan keadaan kota Madinah, rasa yang sangat hampir dengan baginda.
Ia proses yang berterusan. Malah – ada banyak ketika – pengorbanan terhadap sesuatu yang sudah sebati dengan amalan kebiasaan perlu dilakukan.
Misalnya, saya tertarik dengan satu hadis yang dinyatakan oleh Rasulullah seperti dilaporkan oleh sahih Bukhari dan Muslim yang bermaksud,
demi Tuhan yang rohku dalam tanganNya, tidak beriman sesiapapun antara kamu hinggalah dia inginkan kebaikan bagi saudaranya seperti mana dia inginkan kebaikan itu untuk dirinya sendiri
Alahai…. usah cemburu dan berdengki dengan saudara sendiri. Biar kejayaan mereka dianggap sebagai kejayaan sendiri. Saudara seislam perlu dibantu bukannya dikhianati.
Hakikatnya, ia mencuci hati dan perasaan.
Alahai… saya cuba amalkan, sedikit-sedikit dalam konteks yang termampu. Di sini – dalam konteks yang berbeza - saya mahu saudara-saudara saya melakukan ibadat umrah dan haji semata-mata kerana Allah.
Bila pulang nanti biar ibadat ini boleh mengubah sempadan iman.
Biar saya luangkan sedikit masa yang ada membantu saudara-saudara ku dengan memberi pandangan sisi yang sedikit berbeza.
Ia bukan perlu dituruti tetapi memadailah untuk berfikir dan membuat keputusan.
Alahai…
March 15, 2012
Pilihan mereka
Semalam Khamis.
Sebelumnya saya bertanya Sofea dan Amirul, "esok puasa?"
"Puasa!"
Itu pilihan mereka.
Maka saya sangat berbesar hati kerana mereka masih mampu meneruskan amalan yang sukar dilakukan.
Dua perkara yang menjadi kemarahan saya jika tidak dilakukan oleh Amirul ialah solat berjemaah dan membaca al-Quran. Puasa sunat tidak termasuk.
Selagi boleh berjalan, selagi itu kena solat berjemaah di masjid. Saya mengasuh beliau begitu. Mudah-mudahan ia menjadi amalan sehingga ke mati.

Bersiap untuk ke Haram, laban, roti dan kurma. Berbuka puasa Khamis.
Tetamu selepas subuh!

Puan Norela dan keluarga dari Batang Berjuntai, Selangor
March 14, 2012
Kuliah di hotel
Tazkirah di hotel bunyinya sangat canggih.
Realitinya tidak begitu. Hampir kebanyakan Hotel di Madinah tidak menyediakan ruang untuk majlis tazkirah. Jika ada sekalipun, ia hanya mengambil ruang dewan makan.
Jadi, majlis perlu menunggu selesai waktu makan malam. Jika janjinya selepas Isya, maka kurang-lebih ia hanya boleh dimulakan di sekitar 9.45 malam.
Sudah dua malam berturut-turut saya menyampaikan tazkirah di hotel. Ia terbuka kepada sesiapa yang lalu-lalang di kawasan sekitar.
Malah ia juga berlawan dengan bunyi sudu dan garfu yang sedang dikemas oleh pekerja hotel.
Hanya mereka yang pakar boleh mengawal keadaan seumpama ini. Saya? 45 minit yang sangat-sangat mencabar!
Mendarat
Kami dijangka mendarat di Malaysia pada 16 atau 17 Jun, dan terbang kembali ke Madinah pada 3 Ogos menghabiskan cuti musim panas.
Allah… Allah… kami melewatkan kepulangan ke Madinah atas beberapa sebab yang kami sendiri setujui. Begitu, ia menyelesaikan banyak perkara.
Hakikatnya, kami tidak dapat berpuasa sebulan di Madinah.
Sheikh Khalid dan keluarga akan menuruti kami pulang bercuti. Mereka akan tiba seminggu lewat. Dan sudah pasti ia memerlukan kami meraikan tetamu yang pertama kali berada di Malaysia.
Sebulan lebih – saya fikir – masa akan dihabiskan dengan menjelajah di beberapa negeri, Johor, Selangor dan Terengganu. InsyaAllah akan saya maklumkan masa terluang untuk menyampaikan sedikit kuliah ketika berada di kawasan berhampiran.
March 13, 2012
Ziarah
Hersi, rakan berbangsa Somalia yang tinggal di Canada memarahi saya, "Islam menggalakkan ziarah mereka yang tidak sihat".
"Saya mahu tidur dan tidak mahu diganggu," jawab saya.
Beliau sudah bersedia untuk mengambil teksi dan mahu menuju ke rumah. Saya sempat melihat SMS dan menjawab, "saya di Haram. Saya tidur di Haram".
Dan itulah kata-kata yang dikeluarkannya apabila melihat saya tersandar di tiang biasa kami belajar Arab dan al-Quran.
Ia menarik berbanding dengan satu kenyataan, "nanti saya pergi ke rumah Dr bila Dr sudah sihat".
Peminat No 1
Semalam saya berada di Haram. Mereka sekadar ingin berjumpa dan bertanya khabar. Wan dari Sabah berkata, "peminat nombor 1 prof berkirim salam".
[Nota: 3 tahun lepas ada orang yang sangat benci dengan saya menulis, "tulisan berlagak macam selebriti". He... he... terima kasih Wan kerana memberitahu yang saya ada peminat nombor 1 (ia perlu dibaca dengan nada bergurau dan berseloka)]
Saya senyum. Wah…. jadi Wan peminat nombor berapa?
Dari jarak beberapa meter saya dapat menyaksikan airmata mengalir di pipi. Mereka berjalan jauh dari Hotel di kawasan pintu 1 menuju pintu di belakang.
Allahu Akbar, agaknya berapa laju beliau berjalan bersama beg tarik besar mahu menepati janji bertemu jam 3.45 petang.
Jika ada nombor, tentunya beliau jauh daripada peminat nombor 1. Ia tentunya ada kisah menarik di sebalik rasa tersebut.
Parking 11A menyaksikan peristiwa berbekas di hati buat kami sekeluarga.

Bertemu di Parking 11A
"Prof Kamil?"
"Ya, puan dari mana?"
Alahai…kesemuanya wanita. Mereka mahu bergambar. Saya tidak selesa. Akhirnya muncul saudara lelaki yang menyelamatkan keadaan.
Saya terlupa mahu bertanya nama.

Siapa nama mu?
Malam tadi saya berceramah di Hotel Dyar Taibah. Niat hati, "sekejap, sekejap, sekejap". Akhirnya saya sampai ke rumah di sekitar jam 11.30 malam.
Lapar.
Agaknya itulah tanda tubuh mulai kebah.

Tetamu dari Kuala Terengganu
March 12, 2012
Buruk sangka
Jangan buruk sangka. Kita perlu bersangka baik.
Itulah kenyataan yang sering saya dengar apabila memperkata sesuatu yang kelihatan salah di mata. Dan kenyataan di atas dituturkan dengan begitu mudah sekali.
Jangan buruk sangka tidak berlaku dalam semua keadaan. Ada masanya kita perlu berburuk sangka. Namun istilahnya berubah mengikut keadaan dan situasi.
Misalnya, "mencegah lebih baik". Dua orang – lelaki dan perempuan – berdua-duan di dalam bilik dilarang dalam Islam. Orang yang berfikir akan mengerti dengan konsep "menghampiri zina" yang mahu dihindari oleh Islam.
Hakikatnya ia menggambarkan kita seolah-olah "berburuk sangka" kepada kedua-duanya.
Menegur bukan bererti kita berburuk sangka. Mereka yang tidak menepati masa lalu ditegur bukanlah bererti kita tidak bersangka baik. Tidak menepati janji adalah satu kesalahan. Ia mungkin bersebab. Dan sebab itu mungkin boleh menghalalkan keadaan tersebut.
Namun bagaimana dengan kesalahan yang berulang?
Paling menarik juga bila orang dengan mudah sekali berkata, "segalanya dalam ketentuan Allah". Esok, jika Allah bertanya, "kenapa tidak bangun solat subuh?" dan berilah jawapan, "ia di dalam ketentuanMu ya Allah".
Mudah-mudahan Allah menerima jawapan tersebut dan terlepaslah kita daripada azab api neraka.
Ada konsep lain yang perlu dipelajari dan diamati.
Ganti
Semalam saya tidak menulis.
Biasa juga saya tidak sihat. Namun setakat menulis blog ia tidak menjadi hal. Malah solat di Haram juga – InsyaAllah – masih dapat digagahi.
Begitulah, petang semalam saya masih berjemaah di Haram. Usai solat Asar, saya rasa melayang-layang. Terasa mahu muntah. Alhamdulillah, ada sepupu di sisi.
"Syam, boleh Abang Mil tidur di hotel?"
Lalu tidurlah saya dengan nyenyaknya di hotel. Usai solat maghrib, saya hanya berteleku di Haram dengan rasa yang sangat tidak selesa.
Kematian.
Itulah ingatan yang satu. Itulah rasa sebak yang pasti setiap kali berhadapan dengan situasi tubuh badan yang tidak sihat.
Jika tidak kerana masa yang suntuk, mahu rasanya saya membatalkan janji bertemu Khairizah dan keluarga. Alahai… tidak sampai hati saya menyatakan, "puan saya minta maaf tidak dapat membawa puan ke rumah. Saya sangat-sangat tidak sihat. Saya mahu tidur".
Keceriaan wajahnya bertemu saya mengubat rasa loya. Malah di rumah, airmatanya bercucuran menceritakan kesan kami dalam kehidupan beliau.
Namun saya mohon maaf kerana tidak dapat menyampaikan tazkirah kerana keadaan saya yang sangat-sangat tidak mengizinkan.
Di sebelah pagi, keadaan masih tidak berubah. Ia makin teruk apabila ia turut disertai dengan muntah-muntah. Kecuali Sofea, kami semua berada di dalam keadaan lemah dan tidak bertenaga.
Mohon maaf banyak-banyak kepada Tuan Fakharuddin dan Tuan Norhisham kerana terpaksa membatalkan pertemuan kita pada malam ini.
Saya mohon maaf kerana tidak berupaya untuk menunggu di parking 11A.
Wan dan Cik Su

Saya terkenangkan Wan, ibu yang telah melahir dan membesarkan saya
Cik Su, satu-satunya mak saudara di sebelah Wan – mak saya – tiba di rumah kami semalam. Turut serta, anak-anak mereka, Syam dan Ros serta Kak Mah, sepupu Ayah Su.
Saya menyampaikan sedikit tazkirah. Ia tazkirah dalam linangan airmata di hati. Pertama, Cik Su ibarat Wan kepada saya. Saya terkenangkan Wan yang menunggu lama mahu mengajak anak lelakinya menunaikan fardhu haji. Bertahun beliau menunggu.
Mungkin pengalaman pertamanya menunaikan fardhu haji bersama ayah menyebabkan Wan berasa rindu kepada Mekah dan Madinah. Namun keadaan kesihatannya memerlukan beliau bergantung kepada seseorang. Dan ia sepatutnya menjadi tanggungjawab saya.
Ia tidak kesampaian.
Kedua, Ayah dan Cik Su kelihatan semakin uzur. Ayah Su sudah tidak boleh berjalan jauh walaupun tubuh badannya masih segak dan bergaya.
Itulah ketentuanNya. Alahai… kami mempunyai hubungan yang sangat rapat. Dan Roza menyediakan hidangan yang sangat istimewa.

Hidangan tengahari
Terima kasih

Mereka membawa kiriman
Zaidah dan anak saudaranya membawa sekotak bahan makanan kiriman Junita Musliha, adik kami yang berada di Kemaman. Cikgu Azam dan isteri juga membawa kiriman Kak Yah dari Besut, Terengganu.
Malah setiap kali kami menerima tetamu, kebanyakan mereka membawa satu atau dua plastik buah tangan. Saya faham, itulah tanda mereka sangat-sangat menghargai kesudian menerima kedatangan mereka.
Acap kali saya berfikir untuk menyatakan, "jangan menyusahkan…. nanti barang-barang tersebut tidak boleh dibawa ke Haram. Kita perlu beredar segera selepas solat isya".
Namun hakikat sebenar, kami sekeluarga sudah tidak lagi memasak makanan Malaysia. Hampir setiap hari kami menyediakan nasi Arab untuk hidangan tetamu.
Ikan bilis menggunung banyaknya. Kini ia diagih-agih pula kepada rakyat Malaysia yang lain. Em… rezeki yang dipanjang-panjangkan.
InsyaAllah, jika kami memerlukan sesuatu akan kami mohon bantuan. Ketika sampai saat tersebut, permudahkan diri. Kami tidak apa-apa!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
