Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 31
February 11, 2012
Kemewahan
Malam tadi kami menerima tetamu yang sangat high profile. Saya percaya mereka sangat mewah. Wang ringgit bukan soal yang perlu dirisaukan.
Saya fikir begitu.
Namun mereka sekeluarga terpaksa meninggalkan Malaysia akibat keadaan tertentu yang tidak perlu saya ceritakan. Mereka diberi suatu ujian yang jika diberikan kepada saya mungkin tidak mampu saya tanggung.
Juga, ia merupakan agakan saya semata-mata.
Namun – hakikatnya – Allah memberikan sesuatu ujian kerana Dia tahu kita mampu menanggungnya. Malah Allah juga menyatakan, "di sebalik kesusahan pasti ada kemudahan".
Itulah pujukan kepada mereka yang sedang dilanda musibah.
Namun saya nyatakan selangkah lagi. Ujian duka merupakan satu nikmat Allah menanda Dia sangat sayangkan kita. Ketika inilah seluruh jiwa dan perasaan kusyuk kepadaNya.
Dia mahu memisahkan kita dengan mereka yang menjauhkan kita kepadaNya. Allah mahu mengingatkan kita yang kemewahan hanya bernilai jika ia digunakan ke jalan Allah. Kedukaan memberi ruang untuk kita bermuhasabah diri.
Ia bukan soal orang tetapi diri kita dengan Allah SWT.
MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Saya tidak mengenali mereka dan mereka tidak mengenali kami sekeluarga. Di bumi Madinah menjadi tempat pertemuan untuk saya menyatakan,
"Menghadapi ujian di sisi Allah sangat mudah, solat dan bersabar. Namun ia sangat sukar kecuali mereka yang kusyuk."
Kami doakan agar beliau sekeluarga menemui jalan damai di sisiNya.
February 10, 2012
Kebaikan
Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya), – Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga).
Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, -Serta ia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;
February 9, 2012
Cikgu Fatanah

Tetamu visa umrah yang pertama, bekas guru MRSMKB
Beliau (dua dari kiri) adalah guru saya semasa menuntut di MRSM Kota Bharu pada 1976 – 1980.
Dr Fatanah, bekas pengetua MRSM Jasin yang pernah tergelar sekolah terbaik, Tokoh Maal Hijrah negara dan kini bertugas di salah sebuah universiti negara meriakan hujung minggu saya di Madinah.
"Cik gu tidak mahu menyusahkan tetapi berubah fikiran mahu berjumpa Kamil apabila berjumpa dengan Tuan Haji Mokhtar dan isteri. Orang tua begitu teruja mahu berjumpa Kamil…. "
Guru adalah guru. Bila saya memberitahu tunggu di parking 11A, beliau memberitahu yang beliau nampak parking nombor 10. "OK cikgu, tunggu di situ…"
Itulah anak murid sentiasa mengalah dengan gurunya.
Tidak. Bukan mengalah tetapi rasa hormat yang amat sangat kepada mereka terutamanya guru-guru saya di SRTM dan MRSM. Budi baik mereka mengajar terasa-rasa sehingga ke hari ini.
Alhamdulillah, berada di Madinah memudahkan saya bertemu dengan ramai orang. Di antaranya Cikgu Fatanah yang sentiasa diingati oleh anak-anak muridnya!
February 8, 2012
Parking
Beratur panjang untuk keluar daripada kawasan letak kereta. Saya melihat kereta di sebelah sisi hadapan juga ingin keluar dan mahu berada di dalam barisan utama. Beliau terpaksa berundur ke belakang.
Ia tugas sukar.
Pada ketika ini misi tersebut hanya akan berjaya jika saya memberi sedikit peluang. Persoalannya, mahukah saya menghadiahkan beberapa minit masa yang ada untuk melakukan sedikit kebaikan.
Lintasan pertama, "jangan bagi, cepat himpit ke hadapan…. cepat himpit ke hadapan!".
Ia bukan rasa pelik dengan suasana pada ketika itu. Hampir semua tidak sabar dengan barisan yang panjang. Masing-masing mahu cepat keluar.
Jika saya melayan lintasan atau bisikan tersebut maka gagallah saya sebagai seorang manusia yang sering mengajak isteri, anak-anak, kaum keluarga, rakan-rakan dan khalayak tentang konsep "menjadi manusia terpilih".
Konsep ini bukan hanya dalam soal-soal melakukan amal-ibadat khusus seperti bangun malam, berpuasa sunat, membaca al-Quran atau lain-lain amal ibadat.
Lalu mohonlah keampunan Allah dan lapangkanlah dada untuk memberi sebarang pertolongan semata-mata ingin mendapat keredhaan Allah. Mudah-mudahan hati kita akan menjadi lebih bersih, aman dan damai.
Dalam sudut yang berbeza – kadang-kadang – saya terfikir tentang konsep pembalasan syurga dan neraka dengan analogi "sedikit kebaikan yang diberikan kepada sesama manusia".
Bayangkan begini, setiap kebaikan walaupun sebesar zarah akan digandakan oleh Allah SWT atas sifat Maha Pengasih dan Maha PenyayangNya.
Jika sekali kita membenarkan orang di sisi mengundurkan keretanya ke belakang, bayangkanlah 10X ganda kita akan mendapat laluan yang sama ketika berhadapan dengan situasi yang sama.
Atau mungkin anak perempuan kita nun jauh di perantauan yang diberi bantuan dan pertolongan.
Begitulah, kebaikan-kebaikan lain yang dilakukan dan dipandang Allah akan diberi pembalasan serta-merta di dunia (serta di akhirat). Di luar sedar, kita merasai yang Allah sering mempermudahkan kehidupan sehari-harian.
Itulah munculnya istilah keberkatan.
Agaknya begitu. Cuma yang saya pasti, jika mahu dipandang Allah, lakukan sesuatu semata-mata keranaNya, semata-mata keranaNya dan semata-mata keranaNya.
Ganjaran akan datang tanpa kita sedari dan aturannya memang begitu!
Keluarga Ayub

Chef kembali ke dapur
Malam tadi giliran rakyat Sudan merasai masakan Chef Roza Roslan. Ia tetamu istimewa, keluarga Ayub yang masih menetap di Madinah. Ia perancangan sebelum Ayub dihantar pulang ke Sudan.
Mereka yang hadir, Lucy (isteri Ayub) dan Tis'am (kakak Ayub) serta anak-anak beliau, Fatimah dan Mohamed.
Menu malam tadi agak complicated. Ketibaan mereka disambut dengan jus orange dengan karipap kentang dan ayam.
Kemudian, kami hidangkan kesemua sekali, nasi ayam berlaukkan ayam panggang madu, Mee daging, Lasagne, ikan masam-manis, pulut kuning berlaukkan rendang daging dan diakhiri dengan cheese cake, kueh ketayap dan teh nak-nak.
Kami tidak tahu bagaimana tekak mereka menghadapi menu di atas.
Alhamdulillah, secara keseluruhannya mereka boleh menerima masakan Roza kecuali rendang daging dan kuih ketayap. Namun yang paling mereka sukai ialah ikan masam-manis.

Termenung kerana sudah tidak larat menghabiskan makanan
Benar, kami kesedihan kerana Ayub tidak dapat turut serta. Majlis ini – sebenarnya - dirancang sebagai tanda terima kasih kami sekeluarga kepada beliau yang telah memudahkan kehidupan kami di awal-awal ketibaan di Madinah.
Ketika kami sedang enak menjamu selera, beliau membuat panggilan dari Sudan, "Dr, jemputlah ke Sudan… saya menunggu Dr, Roza, Amirul dan Sofea".
InsyaAllah, akan sampai masanya!
February 7, 2012
Selamat bertugas
Semalam, Roza melaporkan diri bertugas di Universiti Taibah. Ia dikenali sebagai "Girls Section". Tugas beliau mengajar anak-anak gadis Saudi.
Saya yakin beliau akan enjoy dan menghargai pengalaman baru ini.
Pertama, jadualnya agak santai. Roza mengajar 6 jam seminggu, dua kelas yang berbeza dengan mata pelajaran yang sama. Beliau perlu hadir dua hari seminggu.
Kedua, saya tidak fikir yang beliau pernah berangan untuk mengajar di negara asing tanpa kelulusan PhD. Ia kelihatan agak mustahil di sini namun kasih-sayang Allah mengatasi segala-galanya.
Melihat ke belakang, saya terkenang saat-saat awal Roza memilih untuk berhijrah walaupun baru setahun disahkan jawatan sebagai pensyarah UiTM.
"Rezeki Allah yang tentukan. Saya sudah bersedia untuk ke Madinah".
Saya pula ditugaskan mengajar 400 minit seminggu, 2 mata pelajaran (International Accounting dan Accounting Information Systems) dengan kumpulan pelajar yang sama.
Jumlah pelajar 9 0rang. Pasti, kesemuanya lelaki. Dan mereka merupakan kumpulan sama yang telah saya ajar pada semester sebelumnya.
Bila pulang bercuti dan bertemu di kelas, mereka meminta izin untuk bersalam cara mereka. Peluk, cium kepala, cium pipi kiri dan kanan sesama mereka.
"Jika di Malaysia, orang kata kamu gay," saya bercerita. Mereka ketawa kerana mengetahui hakikat tersebut. Malah ia perkara lumrah melihat lelaki jalan berpegangan tangan di universiti dan di Haram.
Ia budaya mereka.
"Dr, ikut kami BBQ di kebun tamar," salah seorang pelajar mengajak saya.
"Boleh saya bawa isteri?," saya bertanya.
"No… no… no… lelaki sahaja. Dr boleh bawa Amirul," cepat-cepat mereka membuat keputusan. Itu juga budaya mereka yang perlu dipelajari.
February 6, 2012
Berpatah balik
Berpatah selangkah ke belakang untuk bergerak beberapa tapak ke hadapan.
Saya biasa mendengar ungkapan tersebut. Dan kini ia perlu dilaksanakan dalam pengajian al-Quran saya. Beberapa rakan pelajar yang memang mahir dan saya fikir sudah pasti berjaya melepasi juzu Amma jika diuji.
Mereka pulang dengan wajah sedih.
Saya bertanya, "mengapa?". Mereka menunjukkan kertas ujian, 86/100 dan GAGAL!
Barulah kami tahu yang markah lulus untuk Juzuk Amma 90/100. Saya tidak fikir akan berjaya dengan sebutan Ain dan Ha (seumpama makan cili pedas) yang masih sekali betul dan sekali salah.
Setiap satu kesalahan akan ditolak dua markah. Jika terlupa…. balik!
Allahu Akbar.
Kini saya kembali kepada yang asas. Selepas asar, saya mula belajar kembali menyebut huruf-huruf yang sukar buat saya dengan guru yang lain. Selepas Maghrib, barulah mengadap Tok Sheikh. Agaknya beginilah bila usia tua belajar. Perlu bekerja keras.
Tiada lagi jalan pintas seumpama belajar di kala muda!
Rasuah Haji
Sesiapa yang membaca buku Road to Mecca pastinya akan berjumpa dengan kisah-kisah di sesetengah negara yang perlu memberi rasuah untuk menunaikan fardhu haji.
Tentu sekali saya terperanjat apabila mendapat khabar yang ia juga berlaku di Malaysia. Haji menjadi satu bisnes yang lumayan. Hukum asas ekonomi, permintaan melebihi penawaran maka akan berlaku kenaikan harga.
Dalam konteks menunaikan haji, harga dikawal oleh kerajaan tetapi ia terdedah kepada rasuah memotong giliran jika kawalan dalamannya lemah.
Ramai juga yang pergi menunaikan fardhu haji kerana semata-mata mahu mengambil upah haji. Bila tidak dilakukan semata-mata kerana Allah pasti akan berlaku kesulitan jiwa dan perasaan.
Kenapa perlu hairan, bukankah dunia sudah sampai ke penghujung?
February 5, 2012
Mustajab
"Dr, masa berbuka sudah hampir. Jangan lupa berdoa," itulah pesan Al-Walid ketika kami berbincang tentang nama-nama yang mahu dipertimbang untuk Masjid di Somalia.
Lalu beliau menyebut hadis yang menyatakan bagaimana doa yang mustajab. Doa orang yang berpuasa, ibu bapa yang mendoakan anak-anak dan mereka yang dizalimi.
Tiada satu pun yang mengaitkan doa mustajab dengan tempat atau lokasi. Maksudnya, setiap orang yang berpuasa, mereka yang bergelar ibu dan ayah serta mereka yang berasa dizalimi mempunyai keistimewaan dalam aspek berdoa.
Bayangkan pula bagaimana ibu bapa yang berdoa pada ketika 1/3 malam tersisa. MasyaAllah, Allahu Akbar! Bayangkan juga ibu bapa yang berpuasa dan berdoa buat anak-anak mereka.
Ia untuk kita berfikir.
"Boleh kita biarkan penyumbang KRTS memilih nama masjid?," saya memberi cadangan. Sebenarnya saya tidak berminat untuk menamakan masjid tersebut.
Saya hanya teruja dan suka jika ia menjadi realiti dalam waktu terdekat. Dan itulah doa saya ketika berbuka puasa.
February 4, 2012
Tidak semua orang suka
Benar sekali.
Apa sahaja yang kita dilakukan akan ada yang tidak berpuas hati. Ada dua kemungkinan. Pertama kekurangan diri kita dan keduanya kerana kekurangan diri mereka.
Manusia tidak sempurna.
Dalam konteks saya, saya fikir dalam kebanyakan kes ia kerana kekurangan atau kelemahan diri. Saya seorang berhadapan dengan ribuan khalayak.
Namun saya terus belajar, bermuhasabah dan memikirkan untuk menjadi manusia yang lebih baik. Akhirnya ia kembali kepada prinsip utama, mencari keredhaan Allah.
Saya tidak boleh lagi berfikir sebagai seorang Malaysia kerana khalayak saya ada hadirnya dari Brunei, Singapura dan Indonesia. Bila saya menulis, "sungguh dermawan rakyat Malaysia," ada rakan bukan rakyat Malaysia menulis dengan lemah-lembut, "Alhamdulillah Prof.. tentu sekali ramai yang menyumbang, mereka mungkin datang dari Brunei, Singapura dan Indonesia".
Hati saya cepat terasa maksud ayat tersebut. Opps… tentu sekali saya terkhilaf. Saya mohon maaf!
Di sana-sini, terdapat khalayak yang tidak dapat saya layani sebagaimana kehendak mereka. Ada beberapa batasan dan halangan yang tidak mungkin dapat saya nyatakan.
Itulah kekurangan diri saya.
Namun jika ada yang menyatakan, "tidak semua yang suka" maka ia bermakna "ada yang suka". Di sebelah mana kita menyaksikan kenyataan ini, ia tetap memberi motivasi untuk saya terus hadir bersama khalayak pembaca KRTS.
Cara mereka makan

Ia hubungan semulajadi. Anak-anak Somali ini sangat mudah menghampiri Roza, Amirul dan Sofea
Niat membina masjid di Somalia mengundang kami bertemu dan bermesra dengan rakyat Somalia. Semalam kami berada di rumah rakyat Somalia di Mekah yang berasal dari Galkayo.
Lebih banyak maklumat yang saya dan Roza perolehi.
Kita tinggalkan kisah masjid KRTS. Kami makan bersama. Hidangan petang sebelum kembali ke Madinah ialah Nasi Mandy berlaukan Kambing dan Nasi Bukhori Ayam.

Nasi Mandy Kepala Kambing!
Saya teringat kisah memberi ceramah di sebuah kampung di Melaka. Mereka menyembelih kambing dan kepalanya dihidangkan kepada saya sebagai tetamu kehormat.
Lazat sekali!
Namun ada yang lebih menarik tentang cara orang Somali makan. Di sisi mereka ada beberapa sikat pisang. Setiap orang mengambil sebiji pisang dan dimakan dengan nasi. Opps… lauk mereka semasa di Somali…. saya fikir begitu. Ke mana-mana mereka pergi ia tetap begitu.
Jika berjumpa dengan orang yang makan nasi dengan pisang masak pergilah bertanya…. "tuan dari Somalia?".
Saya mencuba dan sangat OK… apa bezanya dengan Roza memasak sayur pisang muda atau orang Kelantan makan nasi dengan tembikai atau juga makan budu dengan durian.
Ia menarik sekali!
Bahasa Malaysia
Sofea dan Amirul akan kehilangan Bahasa Malaysia. Masa akan menentukannya.
Lalu saya bertanya Sofea, "Sofea mahu menulis di blog?". Jawapannya, "ya". Saya tidak tahu berapa lama ia boleh bertahan tetapi sekurang-kurangnya beliau perlu menulis.
Dan kami mahu ia ditulis dalam bahasa Malaysia. Lahirlah FARAH SOFEA…..
February 3, 2012
Waqaf
Allahu Akbar!
Kami tidak tahu apa yang ingin diucapkan melainkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas segala kemudahan yang telah diberikan oleh Allah SWT.
Tiga hari kami di Mekah. Projek membina masjid di Somalia benar-benar menjadi agenda utama. Tidak putus-putus kami berdoa agar Allah permudahkan.
Kami mahu ia benar-benar berjaya.
Di dalam perjalanan pulang – Mekah – Madinah - kami mendapat khabar yang sudah ada individu di Somalia telah mewakafkan sekeping tanah untuk mendirikan masjid ini. Kami memerhatikan keluasan dan lokasi sebenar.
MasyaAllah, Allah Maha Mendengar.
Bila tiba di Madinah, saya onkan internet dan melihat jumlah kutipan terkini.
Masyaallah, subhanallah, Allahu Akbar.
Jumlah terkini RM341 000!
February 2, 2012
Signifikan

Inilah tugas beliau
Posisi imam di Masjidil Haram berubah-ubah ketika bukan musim haji. Saya berada hampir di belakang imam pada tiga posisi atau tempat yang berbeza.
Pertama, tepat di kawasan pintu kaabah. Kedua, di belakang makam Ibrahim dan ketiga di kawasan dalam masjid bertentangan arah dengan Hijir Ismail.
Bagaimana huru-hara sekali pun suasana di kawasan sekitar iman, 20 minit sebelum waktu solat ia kelihatan aman dan damai. Tenang. Setiap petugas menjalankan tugas rutin mereka tanpa tekanan.
Dan salah satu petugas yang sentiasa menarik perhatian saya ialah Tukang Pasang Mikrofon. Ia tugas yang signifikan!
Setiap kali solat, mereka perlu memasang mikrofon pada dua tempat yang berbeza, solat fardhu dan kemudiannya solat jenazah. Alahai… tugas di hadapan Kaabah!

Inilah kawasan solat jenazah di Masjidil Haram
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
