Kemewahan
Malam tadi kami menerima tetamu yang sangat high profile. Saya percaya mereka sangat mewah. Wang ringgit bukan soal yang perlu dirisaukan.
Saya fikir begitu.
Namun mereka sekeluarga terpaksa meninggalkan Malaysia akibat keadaan tertentu yang tidak perlu saya ceritakan. Mereka diberi suatu ujian yang jika diberikan kepada saya mungkin tidak mampu saya tanggung.
Juga, ia merupakan agakan saya semata-mata.
Namun – hakikatnya – Allah memberikan sesuatu ujian kerana Dia tahu kita mampu menanggungnya. Malah Allah juga menyatakan, "di sebalik kesusahan pasti ada kemudahan".
Itulah pujukan kepada mereka yang sedang dilanda musibah.
Namun saya nyatakan selangkah lagi. Ujian duka merupakan satu nikmat Allah menanda Dia sangat sayangkan kita. Ketika inilah seluruh jiwa dan perasaan kusyuk kepadaNya.
Dia mahu memisahkan kita dengan mereka yang menjauhkan kita kepadaNya. Allah mahu mengingatkan kita yang kemewahan hanya bernilai jika ia digunakan ke jalan Allah. Kedukaan memberi ruang untuk kita bermuhasabah diri.
Ia bukan soal orang tetapi diri kita dengan Allah SWT.
MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Saya tidak mengenali mereka dan mereka tidak mengenali kami sekeluarga. Di bumi Madinah menjadi tempat pertemuan untuk saya menyatakan,
"Menghadapi ujian di sisi Allah sangat mudah, solat dan bersabar. Namun ia sangat sukar kecuali mereka yang kusyuk."
Kami doakan agar beliau sekeluarga menemui jalan damai di sisiNya.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
