Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 28

March 11, 2012

Kata Hati Suami

Saya berkira-kira bagaimana mahu memulakan kata-kata ini. Berulang kali.


Begitulah sukarnya menulis sedikit catatan khusus buat Bukan Sekadar Resepi. Hakikatnya, saya sangat teruja apabila diminta oleh Editor Galeri Ilmu untuk "mencatatkan sesuatu" di sini.


Roza adalah isteri saya. Bukan Sekadar Resepi merupakan perjalanan kisah hidup beliau yang sangat panjang. Lalu disatu persimpangan, saya turut bersama meneruskan perjalanan beliau, sama ada saya mendahului atau beliau mengikuti, ia tidak terlalu mustahak.


Saya tidak tahu bila kami akan berhenti. Siapa, saya atau beliau dahulu meninggalkan perjalanan ini juga tidak mustahak. Namun ada sesuatu yang pasti, saya berdoa agar kami – saya dan Roza – dapat bertemu kembali di syurga Firdaus.


Benar, Allah SWT telah berjanji untuk menganugerahkan bidadari namun tidak mengapa jika bidadari itu masih Roza, insan yang membekaskan seluruh kehidupan saya.


Mudah-mudahan – di sana – kami dapat menikmati hidangan enak dan istimewa yang benar-benar bukan sekadar resepi. Itulah kalau dapat saya simpulkan terhadap satu karya yang sangat-sangat bermakna buat saya secara peribadi.


Ia bukan karya agung, namun saya berdoa supaya ia jadi begitu.


Roza memasak dengan hati. Beliau merenung apa yang dimasak seolah-olah seluruh jiwa dan perasaannya ke situ. Akhirnya saya mengerti, di hati, beliau menyerahkan masakannya kepada Dia yang satu agar tertunai tanggungjawabnya.


Bukan pada suami atau anak-anak, juga bukan kepada keluarga atau rakan. Ia sebagai satu amal ibadat agar ia diterima Allah. Itulah makna Bukan Sekadar Resepi.


Muhd Kamil Ibrahim

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 11, 2012 22:55

March 9, 2012

Sekali-sekala

Bila orang bertanya, "Prof sudah berniaga?," saya dapat merasai ada sesuatu yang tidak kena. Apabila Amirul memaklumkan tentang iklan di FB tentang penampilan saya melalui ibadat umrah, maka barulah saya dapat mengaitkan dengan pertanyaan terdahulu.


Mereka yang baru mengenali saya tentunya tidak dapat merasai bagaimana pandangan rakan-rakan yang mengetahui saya memperjuangkan "tiada bayaran untuk berdakwah". Saya selalu menyatakan, "Nabi dan Rasul tidak pernah mengharapkan sebarang upah".


Mereka yang membaca al-Quran, memahami apa yang saya maksudkan. Ayat tersebut diulang-ulang dalam beberapa surah yang berbeza mengikut nabi-nabi yang diceritakan.


Malah surah Yasin ayat 20 dan 21 ada menyatakan dengan jelas manual dakwah yang paling selamat,


Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu. Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayat petunjuk.


Jadi, saya meletakkan syarat untuk menjemput saya berceramah, "tolongan jangan bayar saya," supaya ia memudahkan. Jika dibayar, saya terpaksa menerima (nota: mereka selalu menyebut, ini hadiah daripada kami dan Rasulullah tidak pernah menolak cenderamata)".


Lalu saya menjawab, "ok, ini hak saya, maka saya pulangkan kembali untuk tuan menjalankan kegiatan yang memerlukan perbelanjaan".


Akhirnya ia menjadi lebih mudah dengan kami tidak perlu berlakun "bagi dan bagi kembali".


Ia bukan soal benar atau salah, boleh atau tidak tetapi itu yang mahu saya lakukan berdasarkan premis-premis yang saya fahami melalui al-Quran.


Saya berlapang dada bila keluar berceramah, masjid besar atau kecil, kaya atau miskin kerana bayaran bukan menjadi faktor walau secalit pun.


Hanya satu faktor yang menjadi penghalang, MASA!


Seorang pelajar daripada universiti Jordan bertanya, "bagaimana mahu menjemput prof ke sini?". Jawab saya mudah, "tulis surat rasmi kepada universiti."


"Bagaimana perjalanan prof dari Madinah?"


"Saya naik kapalterbang!". Tentu sekali beliau berasa gusar dengan kos penerbangan. Lalu saya nyatakan, "jangan khuatir, kesemuanya saya tanggung".


Maksud saya, jika saya mampu dan mempunyai kelapangan masa, InsyaAllah saya cuba permudahkan. Namun ramai orang kaya-kaya yang membayar kos penerbangan. Ia wang yang tidak boleh dibawa pulang ke rumah.


Lain-lain, saya tidak kisah. Tumpangkanlah saya di rumah sesiapa, ia hanya tempat untuk kami melelapkan mata sejam-dua.


Kini saya mengerti dengan kenyataan, "jika kita lakukan semata-mata kerana Allah, InsyaAllah, DIA akan memberi kekayaan". Benar, kini saya sangat kaya. Allah ganti kesemua perbelanjaan yang telah saya tanggung kerana berdakwah di merata tempat di Malaysia.


Pada bulan pertama di Madinah, saya diberi SR25000. Di bulan kedua, SR50000. Di bulan ketiga, SR50000. Saya mengira-ngira pendapatan yang saya perolehi, barangkali boleh mencecah jutaan ringgit dalam tempoh yang singkat.


Ia kiraan yang sangat mudah. Hampir setiap bulan kami mengunjungi Mekah. Kebiasaannya 2X sebulan. Jika saya di Malaysia, pakej yang biasa saya ambil di sekitar RM24000 = SR25000. Kini ia hampir-hampir percuma. Maka itulah pendapatan yang telah Allah anugerahkan buat kami sekeluarga.


Sekali-sekala, saya merenung dengan apa yang telah kami lalui. Satu perkara yang sangat saya yakini, janji Allah sentiasa benar. Biarlah saya kekal berceramah tanpa menerima bayaran. Dan tidak usahlah menggambarkan saya sudah mula menerima bayaran.


Ia tidak berbaloi!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 09, 2012 10:16

Saya tidak terlibat

Salam sejahtera,


Inilah iklan umrah yang paling tidak beradab, kurang ajar tidak sopandan tidak beretika yang pernah saya hadapi. Saya tidak pernah bersetuju untuk terlibat dalam sebarang bentuk perniagaan hatta permintaan anak murid saya yang sayangi untuk mengiklankan kegiatan umrahnya melalui KRTS saya tolak.


Persetujuan untuk saya berjumpa dengan tetamu Allah bukan untuk orang lain mengambil kesempatan mendapat keuntungan.


Kepada mereka yang mendaftar atas terpengaruh dengan iklan ini, saya mohon maaf saya tidak mahu terlibat dengan mereka yang sangat-sangat tidak beradab ini.


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 09, 2012 04:27

March 8, 2012

Meraih syukur saat diuji

Itulah tajuk buku terbaru yang akan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd. Tajuk asal manuskrip, Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian.


Ia tajuk yang dipersetujui bersama.


Buku terbaru Roza juga akan diterbitkan bersekali – saya fikir – dengan buku di atas. Galeri Ilmu mengekalkan tajuk utama, Bukan Sekadar Resepi dengan diberi flash 50 Resepi Pemanis Hati.


Kami berpendapat ia sangat wajar dan menambah seri. Mudah-mudahan khalayak akan menerima perubahan di atas dengan memaklumkan kepada rakan-rakan hampir mereka.


Juga, buku Travelog Kehidupan Abadi: Kedewasaan terbitan PTS Publications akan menemui khalayak pembaca.


Nanti bila kami pulang bercuti, kami mahu melancarkan semula…. opps sesi bertemu dengan rakan-rakan KRTS dan FB yang terasa sangat hampir dengan kami, hati dan perasaan.


InsyaAllah, kami berdoa agar ia menjadi kenyataan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 08, 2012 08:01

March 7, 2012

Taufik dan Hidayah

Hampir setiap malam menyampaikan tazkirah di rumah. Ada beberapa perkara yang diulang-ulang. Salah satunya ialah puasa sunat Isnin dan Khamis.


Saya percaya – InsyaAllah – di antara mereka ada yang terus mengamalkannya. Malah ada juga yang terus mengamalkan puasa Nabi Daud.


Tagline saya mudah dan menarik, "itulah puasa sunat yang dicintai Allah. Tidak mahukah kita menjadisalah seorang manusia yang paling dicintai Allah?". Ia nampak logik dan merangsang dengan gabungan premis yang golongan terpilih amat sedikit daripada kumpulan akhir zaman.


Namun ada sesuatu yang lebih menarik berlaku. Ada penghuni rumah kecil di Jabal Ohud bertanya mamanya, "mama, boleh tak Sofea puasa sunat?".


Semalam dan seterusnya orang Madinah berpuasa hari 13, 14 dan 15. Sofea bertanya saya, "kenapa orang berpuasa?". Lalu saya terangkan tentang puasa sunat tersebut walaupun ia tidak jatuh pada hari Isnin dan Khamis.


"Kenapa? Sofea nak puasa?"


"Hendak tetapi Sofea hendak puasa Isnin dan Khamis macam Sofea dengar ayah cakap-cakap".


Allah… Allah… Allah , itulah anugerah Allah yang sangat menilai. Hampir setiap malam saya menyampaikan ilmu pada tetamu Allah tetapi (dan) Allah menganugerahkan taufik dan hidayah kepada sekecil itu.


Saya percaya, sicomel dan tembam - yang satu lagi - akan ikut serta. Mudah-mudahan juga ia singgah di Shah Alam dan Pulau Pinang membuka hati kakak dan Abang Ngah yang sangat dirinduinya.


Malah mungkin juga ia akan membuka hati emak-emak saudara yang Sofea sangat-sangat sayangi.


Mudah-mudahan juga Sofea menjadi penyebab kepada ramai yang lain yang membaca KRTS dan FB.


Daku bersyukur kepada Mu ya Allah.


Nota: Dan subuh ini kami akan bersahur dengan cara yang lebih teratur bagi meraikan beliau.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 07, 2012 08:43

March 6, 2012

Pahala

Saya tidak pernah mengajar diri untuk mengejar pahala. Begitu jugalah dengan tulisan-tulisan saya. Namun di dalam quran dan hadis sering diceritakan tentang pahala.


Melakukan kebaikan pahalanya berganda. Melakukan kejahatan tidak begitu. Niat membuat kebaikan pastinya diterima Allah, dan hadiahnya diberi pahala. Berniat untuk melakukan kejahatan tidak membawa apa-apa erti terhadap jumlah dosa yang terkumpul.


Namun – saya fikir – jika manusia berharap dan bergantung kepada amal-ibadat yang dianugerahkan pahala untuk memasuki syurga tertinggi, maka ia pastinya sukar. Syurga hanya boleh dimasuki dengan rahmat Allah.


Namun setiap satu mempunyai aturan. Jika begini, begitu jadinya. Api yang panas boleh membakar. Itu kebiasaan. Namun apabila Nabi Allah Ibrahim dicampak ke dalam api yang menggunung tinggi, ia tidak membakar baginda.


Allah Maha Berkuasa. Ia boleh melakukan sesuatu yang luar biasa pada akal manusia.


Maka saya berpegang kepada premis, lakukanlah sesuatu semata-mata kerana Allah. Kita bersyukur dengan segala nikmat yang diberiNya. InsyaAllah, mengikut aturannya, pahala akan dikurniakan Allah sebagaimana janji-janjiNya.


 Maka saya memilih untuk tidak menyatakan, "solat dhuha sebagai punca rezeki" atau berasa cuak jika buku saya mahu diberi tajuk, "meraih pahala saat diuji" yang menggambarkan kepentingan pahala mengatasi tujuan asal manusia dicipta, "menyembah dan beramal kepadaNya".


Tidak.  Saya lebih teruja… jika tidak mahu menggunakan tajuk "Menghadapi Ujian", gunalah tajuk-tajuk yang menggambarkan kebergantungan dan rasa rendah diri kepada Allah SWT, misalnya "Bersyukur bila di uji" atau "Ujian hadiah Cinta Allah" atau fikirkanlah apa sahaja yang tidak mengajar manusia menyimpang daripada asas asal kita diciptakan.


Percayalah, menulis buku, menerbit buku atau apa sahaja yang kita lakukan perlu dilakukan semata-mata kerana Allah. Hatta memilih tajuk buku perlu memohon kepadaNya.


Tetamu Umrah


Towkey MUSTREAD


Saya meraikan tetamu Allah, juga seorang rakan kongsi penerbit buku yang sedang meningkat naik, MUST READ. Beliau bersama isteri yang sedang mengandung (nota: agak saya beliau mengandungkan anak perempuan).


Juga, puan Salmah dan keluarga.


Syarikat beliau sedang mencari penulis-penulis baru. Beliau mempelawa saya untuk ikut serta. "Nantilah saya fikirkan. Saya tidak berani berjanji".


Lalu saya tunjukkan manuskrip yang sedang saya usahakan, "50 Hadis, Baca dan Amal". Saya tidak berani berjanji kerana di fikiran saya sudah ada penerbit lain yang ingin saya tuju.


Namun ia bergantung kepada beberapa faktor semasa yang perlu saya fikirkan.


Tangisan 11 A


Beliau menangis teresak-esak apabila ternampak kami sekeluarga. Lalu Roza memeluk dan memujuk. Kami tidak bertanya kenapa.


Saya fikir umur beliau di sekitar 20an. Juga, saya fikir ada sesuatu yang menyentuh hati sehingga beliau begitu. Mudah-mudahan beliau dan keluarga selamat di dunia dan akhirat.


Dunia semakin Dekat


Semalam ia masih di Brunei


Wallahi, tidak tertanggung rasanya kami menerima budi daripada teman-teman dan khalayak pembaca KRTS dan FB. Banyak sungguh bahan makanan yang dihantar dan dikirim kepada kami sekeluarga.


Hanya Allah yang membalasnya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 06, 2012 20:09

Mohon Bantuan

Tajuk asal buku Roza, Travelog Masakan: Bukan Sekadar Respi.


Penerbit mahu menukar tajuk kepada 50 Resepi Pemanis Hati.


Anda semua yang bakal membeli buku ini. Mana satu yang anda minati?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 06, 2012 04:21

Masa yang tinggal

Ketika muda, impian saya mahu cepat-cepat naik pangkat. Sebagai pensyarah, tentu sekali saya bercita-cita mahu menaiki tangga kerjaya, pensyarah kanan, profesor madya dan seterusnya profesor dengan langkah yang tidak terhalang.


Namun ia tidak begitu. Pertama, ketika rakan-rakan sebaya menjawat jawatan pensyarah kanan, saya tertinggal gerabak kerana usia perkhidmatan yang tidak mencukupi.


Hanya dua minggu lebih muda daripada mereka.


Kedua, saya melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dengan harapan akan dinaikkan pangkat semasa belajar. Dunia gawat. UiTM membekukan kenaikan pangkat.


Tiga tahun saya memerhatikan rakan-rakan sejawat meninggalkan jumlah gaji yang sangat ketara. Begitulah – saya fikir – bagaimana rezeki yang berbeza di antara individu dengan individu yang lain.


Kemudian, sejurus saya mahu menamatkan pengajian diperingkat PhD, satu team UiTM mengadakan temuduga kenaikan pangkat di London. Saya mengembara 5 jam untuk menghadiri temuduga tersebut.


"Bila VIVA?," mereka bertanya.


"Minggu ini…," dan saya menerangkan yang ia hanya 30 bulan tempoh pengajian. Ia dengan niat supaya saya dipertimbangkan atas dasar kecemerlangan akademik.


"Wah… bagus. Kesemua yang lain melebihi tempoh masa minimum. You awal 6 bulan. OK, deal, you dapat kenaikan pangkat dengan syarat lulus VIVA tampa syarat".


Akhirnya ia menjadi sejarah. Saya dianugerah pensyarah kanan ketika rakan-rakan yang lain sudah menghampiri siling gaji. Namun ada sesuatu yang ajaib berlaku.


"ITM bertukar nama kepada UiTM dan hampir seluruh pensyarah kanan dinaikkan pangkat kepada Profesor Madya". Begitulah Allah mengatur kehidupan manusia. (bersambung)


Tetamu Umrah


Rombongan dari Taman Melawati


Rombongan dari Pulau Pinang

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 06, 2012 01:53

March 4, 2012

Wuduk

Ia antara impian yang hampir menjadi kenyataan. Saya berdoa agar ia kekal begitu dan mudah-mudahan ia dipermudahkan. Malah saya sangat-sangat berharap agar Allah meringankan hati untuk terus mengamalkannya.


Ya, saya mahu saat-saat akhir kehidupan sentiasa dalam keadaan berwuduk. Alhamdulillah, di sini suasananya begitu. Bila terbatal sahaja wuduk, ia bukan satu keberatan atau kesusahan untuk memperbaharuinya.


Bila begitu, banyak perkara lain akan membantu. Misalnya, Roza sudah lama tidak bermake-up. Ia sudah tidak jadi satu keperluan sebagaimana masa lampau yang telah berlalu. Di antara memperbaharui wuduk dengan bermake-up buat wanita – kadangkala – menjadi satu beban besar. 


Jika saya dipanggil mengejut, mudah-mudahan saya pergi dalam keadaan paling bersih di sisi Allah.


Takdir


Saya memahami satu perkara, tidak ada mereka yang terlepas dengan menyatakan, "Ya Allah aku tidak solat kerana Engkau telah menetapkan begitu. Kaulah yang Maha Berkuasa, kenapa tidak gerakkan aku untuk solat?"


Saya juga tahu, bekas staf saya di UiTM Johor tidak boleh menipu Allah dengan menyatakan, "saya tidak solat di masjid UiTM kerana Dr Kamil mengadakan mesyuarat pada ketika azan dilaungkan".


Janganlah berhelah dengan pilihan yang kita lakukan.


Begitulah, ibu-bapalah yang membentuk anaknya menjadi Majusi atau Nasrani. Namun Allah Maha Berkuasa, Dia sudah mengetahui apa pilihan yang dibuat oleh manusia sebelum kita dilahirkan lagi.


Kita? Ia bukan dalam pengetahuan kita!


Allah tidak pernah berlaku zalim terhadap hambaNya. Ia ada aturan dan peraturan tertentu yang perlu dipelajari dan diamati. Jangan kita terkhilaf dalam soal ini.


 Ia konsep yang sangat membuntukan kepala. Lalu dinasihatkan kepada kita, "bab ini jangan difikir-fikirkan sangat!".


Tetamu Umrah


Kusyuk.... makan!


Jaga aurat tanda awal umrah atau haji mabrur buat wanita


"Jangan banyak ketawa, suka-suka atau terlalu bergurau senda," salah satu pesan saya kepada mereka dan diri sendiri.


"Masa yang telah kita lalui lebih panjang daripada masa yang tinggal. Apa yang telah kita lakukan pada masa lampau? Hampirkah kita kepada Allah?"


Ia kenyataan untuk kita serius dalam melaksanakan ibadat umrah atau haji. Biar kita lakanakan yang terbaik, hati dan perasaan supaya ada perubahan signifikan dalam kehidupan seharian selepas pulang ke Tanah Air.


Dan ia bermula di sini.


Haji Ruslin berasal dari selatan Semenanjung. Kini menetap di Sabah kerana bertugas di sana. Saya ingat-ingat lupa berdasarkan pertemuan tiga tahun lampau ketika berceramah di Kota Kinabalu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 04, 2012 19:45

March 3, 2012

Luangkan masa

"Prof, boleh luangkan masa untuk sahabat saya. Mereka suami-isteri akan menunaikan umrah," lebih-kurang begitulah permintaan seorang kenalan yang sangat saya hormati.


Saya fikir suami-isteri tersebut memang mahu berjumpa kami sekeluarga di rumah kecil di Jabal Ohud. Namun saya mengambil masa untuk menyatakan "ya, InsyaAllah" atas beberapa sebab.


Saya menerima SMS kali kedua, mengulangi pertanyaan yang sama. Saya melihat kalendar dan terus memaklumkan masa yang kelihatan sesuai dan lapang di antara kami dan pasangan suami-isteri tersebut.


Bila tiba masanya, mereka tidak muncul. Langsung tidak memaklumkan yang mereka "tidak dapat hadir". Saya tidak perlukan sebab, cukuplah dengan menyatakan, "maaf, kami tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan".


Ramai yang berkata, "saya tidak mahu menyusahkan prof dan Roza". Tidak, ia tidak susah buat kami sekeluarga, cuma ia menjadi susah dan sukar bila berjanji tidak ditepati.


Susah, memikirkan makanan yang telah disediakan. Susah, memikirkan permintaan mereka yang lain yang terpaksa ditolak. Susah, memikirkan mahu meninggalkan parking 11A. Terbuang masa hampir sejam dalam keadaan angin sejuk sampai ketulang.


Ia tidak susah bila saya melihat mereka yang berjanji tiba dengan senyum simpul. Allah… Allah.. Allah, ia tidak susah menghantar mereka pulang ke hotel. Kami teruja berpeluk, bersalam dan saling doa mendoakan kesejahteraan masing-masing.


Akhirnya, susah atau tidak susah ia ujian yang perlu ditempuhi. Akhirnya juga…. he… he…. ia perlu berakhir dengan ada sebab di sebalik kejadian!


Maksudnya, susah atau tidak susah ia menjadi satu buat kami sekeluarga.


Nota: Tetamu kami malam ini sudah melaporkan diri sebelum solat subuh, "kami sudah sampai di Madinah, Prof".


Tetamu Umrah


Hanya mereka berdua. Terpaksalah saya menemani Tuan Haji Adli dan isteri.


Tuan Haji Adli dan isteri tinggal di Kelana Jaya. "Saya pernah mendengar ceramah prof di rumah seorang sahabat," beliau mengaitkan hubungan kami berdua.


Allah ya Allah, daya pengecaman saya sangat menurun. Kadang-kala saya melihat-lihat seseorang dan bertanya, "di mana ya….". Mohon maaf jika tidak berupaya mengingati rakan-rakan semua.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 03, 2012 20:57

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.