Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 29

March 3, 2012

Jadual baru

Saya mempunyai dua guru Quran. Pertama, Al-Waled mengajar saya selepas Asar sehingga saya kata "dah cukup….." Kemudian, beliau sepatutnya mengajar bahasa Arab.


Kurang-lebih satu jam. Selebihnya saya cuba berjumpa dan melayani rakan-rakan KRTS, FB dan khalayak pembaca yang ingin berjumpa dan berkongsi fikiran.


Ia di sekitar jam 5.10 petang.


Kedua, di sebelah malam (selepas Maghrib), saya akan mengadap Tok Sheikh yang disediakan oleh pihak masjid. Kini hampir setiap hari proses ujian mengingat perlu dilakukan. Kebiasaannya, sayalah yang pertama perlu mengadap beliau.


Ujian pertama, surah al-Balad. Lulus! Tok Sheikh campakkan gula-gula tanda beliau berpuas hati. Saya lagi lega.


Roza pula lagi mencabar. Ramai yang bertanya saya, "Roza sihat?". Emmm…. beliau sangat stress kerana perlu menghafal banyak surah setiap hari. Ulang-ulang!


He… he… itulah orang tua belajar!


Kini saya menukar sedikit jadual. Sukanya hati saya apabila kelas bersama Al-Waled terpaksa dilakukan sebelum solat subuh, di sekitar jam 4.30 pagi. Jadi di sekitar jam 4.00 pagi saya sudah perlu bertolak dari Jabal Uhud.


Ia mengulangi kisah hidup saya di UiTM Segamat!


1000 tafsiran


Jam 4.00 pagi di parking Masjid Nabawi


6.12 pagi, sejurus solat subuh selesai


Parking ini – kebiasaannya – digunakan oleh penduduk tempatan. Logiknya begitu. Kenapa? Tiada kawasan perumahan di sekitar 2 km dari Haram. Mereka perlu datang berkenderaan.


Mungkin juga mereka parking di kawasan sekitar, free of charge!


Bagaimanapun, gambar di atas menggambarkan sesuatu yang boleh dijadikan proksi kedatangan jemaah tempatan ke Haram. Namun ia bukan satu kepelikan kerana masjid-masjid sangat hampir dengan rumah-rumah mereka.


Misalnya di kawasan saya, terdapat tiga atau empat masjid yang berbeza arah dalam lingkungan 100-150 meter. Setiap masjid sentiasa mempunyai jemaah di sekitar 2-3 saf waktu subuh.


Ia sesuatu yang sentiasa boleh dibuat kajian.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 03, 2012 02:14

March 1, 2012

Sibuk

Tidak pernah saya rasa sebegini sibuk semenjak berada di Madinah.


Kenapa?


Universiti Taibah sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan daripada badan persijilan untuk program perakaunan. Dalam konteks yang berbeza, ia juga usaha-usaha universiti untuk meningkatkan kualiti program yang ditawarkan.


Dulu… di UiTM, saya sentiasa mempunyai "dayang-dayang" yang sering membantu. Di sini, segalanya sendiri. Saya perlu menyediakan 2 teaching portfolio, 4 course specification dan review beberapa kerja yang dijalankan oleh rakan sejawat.


Cuma di sini ada sedikit perbezaan, satu tugasan di bayar SR1500… di sana free… ia tugas hakiki!


Namun saya lebih suka free tetapi saya tidak perlu melakukannya.


Itu tandanya sudah TUA!


Tetamu Umrah


Dinner di Movenpick


"Jom kita minum dan makan kebab," kami mempelawa Aida dan suami. Inilah pertama kali kami mengajak tetamu umrah yang mahu berjumpa untuk minum dan makan di luar.


"Minta maaf tidak dapat mengajak ke rumah. Ada kerja yang kami perlu selesaikan".


Di sebelah pagi kami sudah menerima tetamu dari Kemaman. Ya Allah terlupa mahu merakam pertemuan tersebut akibat sangat teruja menyampaikan tazkirah.


Kemudian, kami menikmati hidangan nasi lemak berlauk rendang yang dibawa oleh tetamu lain dari Malaysia. Alahai… sedapnya!


Di sebelah petang, saya menyampaikan tazkirah di dalam masjid Nabawi kepada "ayah dan anak" yang pertama kali hadir di Madinah. Sebelum maghrib, saya tunjukkan kawasan sekitar dalam masjid, bagaimana mahu bersolat di belakang imam, memasuki bilik jenazah, melalui makam RasululullahSAW.


Kemudian, kami bersantai-santai melihat persiapan berbuka puasa.


Akhirnya, kami sama-sama menikmati juadah tamar, roti, cheese dan qahwah. Kami terpisah apabila mahu menunaikan solat maghrib.


Mungkin mereka bertanya, "siapakah dia yang bersemangat mengajak kita melakukan "itu dan ini"?"


InsyaAllah, kita jumpa lagi pada suatu ketika yang lain, mudah-mudahan di Jannah!


Begini sebenarnya.....


Kami menikmati ayam goreng dan roti di rumah Sheikh Khalid. Inilah cara "biasa-biasa" makan di rumah beliau. Saprah dihampar, roti dicampakkan ke atas saprah dan kesemua kami keliling menghadapi hidangan.


Ia malam minggu di Madinah bertamu ke rumah rakan baru yang kelihatan semakin melekat di hati.


Hadiah


Usai solat sunat sebelum Isya, beliau melihat saya dan berkata, "ini ada sedikit hadiah daripada kami untuk prof. Kami mahu prof dan Roza membeli baju dan pakai ketika belajar mengaji".


Hadiah? Ia hadiah yang unik dalam suasana yang luar biasa.


Saya tahu ia sejumlah wang.


Kemudian beliau berkata lagi, "jangan guna wang ini untuk membayar tambang teksi jemaah yang dibawa ke rumah".


Saya ketawa.


Dunia ini sangat pelik. Ketika saya mengeluarkan wang kepada yang lain, ada manusia lain yang menggantikan wang tersebut kepada saya walaupun dalam bentuk yang berbeza.


Di sisi Allah ia tidak begitu.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 01, 2012 23:42

February 29, 2012

Pertolongan

Jika saya mampu, maka sedaya upaya akan saya lakukan. Jika tidak, saya nyatakan secara berterus-terang yang saya tidak mampu melakukannya.


Jika tidak – biasanya - saya akan membantu memberi jalan alternatif.


Saya fikir ia sangat adil dan saksama. Misalnya ketika menjawat jawatan pengarah kampus UiTM, saya nyatakan kepada pembantu saya, "kumpulkan kesemua rayuan masuk UiTM, tidak kira siapa mereka untuk saya bawa ke Shah Alam".


Prinsip saya mudah, bantuan diberi kerana mereka membuat rayuan dan saya berada di dalam keadaan yang boleh membantu. Ada kursus-kursus yang tidak pernah cukup calon dan sentiasa memerlukan calon yang layak.


Ramai yang memohon pertolongan kerana saya berada di Madinah. Misalnya, "prof boleh tolong bookingkan hotel, carikan kenderaan dan carikan pemandu…"


Ada juga yang mohon saya bertanya sheikh-sheikh di sini beberapa hukum dan fatwa.


Malah ada juga yang mahu meminta pertolongan untuk mereka menjalankan perniagaan. Malah permohonan yang paling banyak diterima adalah untuk bekerja di Madinah.


Roza selalu ketawakan saya apabila membaca permintaan seumpama ini. Beliau tahu yang saya tidak mampu melakukanya. Malah beliau tahu yang saya tidak akan melakukannya.


Tidak. Saya akan membantu tetapi setakat mana saya terdaya.


Pertama, jika perlukan hotel, pemandu, kereta dan ….. yang berkaitannya maka saya akan menyatakan kepada mereka…. hubungilah Tuan Haji Arsyad……+966530388418. Beliau pakar dalam urusan ini.


Menarik, ada yang pertanya, "prof boleh percaya ke dia ni?". Allah… Allah… Allah…


Kedua, ada yang marahkan saya apabila saya nyatakan, "mohon maaf saya tidak dapat bertanya kepada tok syeikh di sini tentang hukum dan fatwa". Malah ada yang berkata, "kenapa tidak, ia hanya mengambil sedikit masa dr yang sangat berharga itu….".


Allah… Allah… Allah… Dengan Tok Sheikh saya sendiri pun saya tidak mampu berbicara apatah lagi mahu berhadapan dengan mereka yang lain.


Berniaga? Saya tidak minat. Full stop. Malah saya menerima banyak pelawaan untuk menggunakan KRTS bagi mengiklankan barangan mereka. Jawapan saya, "saya mohon maaf, biarlah KRTS kelihatan mudah dan ringkas. Ia ada konsep yang perlu saya pertahankan".


Jika ada komen-komen tertulis mempunyai link ia perlu berada di kawasan moderator. Hanya link yang releven dengan konsep KRTS akan dilepaskan.


Malah jika ada yang cuba mengiklankan perniagaan mereka melalui FB atau Blog, kesemuanya akan saya block dan delete daripada menjadi rakan dan diganti dengan yang lain.


Biarlah saya berterus-terang dalam soal ini.


Namun jika mahu memanggil saya menyampaikan sedikit ilmu, FREE of CHARGE! Itulah pertolongan yang mampu saya berikan.


Menyatakan, "saya mohon maaf tidak dapat membantu tetapi insyaallah saya memberi jalan" tidak menyukakan hati orang yang meminta pertolongan.


Dalam kebanyakan kes, tiada terima kasih untuk "memberi jalan". Mereka diam membisu tanda protes!


Mereka mahu saya menyatakan "YA!". Jika begitu, sekali lagi – secara terbuka – saya mohon maaf!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 29, 2012 09:23

February 28, 2012

Bolehkah begitu?

 Berdosa atau tidak? Boleh atau tidak?


Itulah soalan yang saya tanya kepada Roza. Isunya mudah. Universiti memberi peruntukan tambang business class kepada kami sekeluarga untuk pulang bercuti.


Ramai yang mengajar kami supaya berpakat dengan pihak travel agent supaya mereka mengeluarkan kelas ekonomi. Lebihan wang boleh digunakan untuk anak-anak yang lain, misalnya untuk membawa Azrai dan Sara ke Madinah.


Hadis sahih Muslim ini memberi jawapan yang sangat tepat.


An-Nawwas bin Sam'an Al Anshari berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang makna kebajikan dan dosa.


Baginda bersabda: "Kebajikan itu ialah akhlak yang baik. Sedangkan dosa ialah  sesuatu [perbuatan dan seumpamanya] yang menyebabkan kegelisahan dada, dan engkau sendiri benci jika perbuatanmu itu diketahui orang lain".


Rakaman


Posing di Haram


Sofea bergaya di hadapan kamera.


Jalilah, jurukamera majalah ANIQAH (nota: saya harap ia nama yang tepat) sangat bertuah kerana dapat menunaikan umrah sambil menjalankan tugasnya.


Inilah pertama kali kami sekeluarga posing untuk majalah di sekitar Haram. Malu juga….


Sheikh Amirul


Amirul mahu memakai serban bersekali dengan igalnya.


Bila mendapat tahu yang beliau dikehendaki bergambar untuk majalah, beliau memilih sendiri pakaian. Serbannya digosok sampai betul-betul mempunyai side yang tepat.


Kemudian dikenakan dengan igal yang dibeli sendiri beberapa minggu yang lepas. Beliau mahu bergaya. Dan yang lebih penting, beliau tidak malu menggayakanya.


Usai solat Isya – sementara menanti masa ceramah di salah sebuah hotel – kami menikmati kebab daging di salah sebuah kiosk di salah sebuah hotel di sekitar Haram.


Inilah kebab Madinah yang terbaik pernah kami rasa. Roza, Sofea dan Amirul turut bersetuju. Saiznya besar. Satu kebab boleh dimakan berdua, selera orang Malaysia.


Namun harganya sedikit mahal. SR20 sebiji!


Saya fikir ia sangat berbaloi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 28, 2012 08:50

February 27, 2012

69

"1/2 tahun di Madinah, apa yang prof dapat?," tanya seorang kenalan di Masjid Nabawi.


Saya ketawa. Lalu saya memberi jawapan yang sangat signifikan, "berat badan saya 69 kg".


Ketinggian saya di sekitar 5 kaki 5 inci. Bertahun-tahun berat badan saya di sekitar 80 hingga 85 kg. Saya tidak mampu untuk menurunkan berat badan hampir kepada apa yang dicadangkan oleh pakar-pakar kesihatan.


Akhirnya di Madinah ia hampir menjadi kenyataan.


Ia menjadi sangat signifikan kerana saya mempunyai risiko kesihatan tinggi kerana mengidap diabetes. Ia bukan soal ajal-maut kerana penyakit hanyalah penyebab. Masa dan ketika kita dipanggil Allah tidak akan cepat dan lewat sesaat.


Namun saya gembira kerana tidak lagi "pening-pening" apabila bertukar antara sujud dan qiam. Malah saya rasa bersyukur kerana terasa-terasa yang tubuh semakin ringan.


Susut 11 kg bukan soal main-main. Ramai yang sanggup membayar ribuan ringgit untuk mencapai angka tersebut. 


Jika ada yang bertanya, "apakah rahsia yang telah Dr lakukan?," maka jawapan saya, "entah, saya tidak pernah terfikir untuk mengurangkan berat badan. Agaknya kerana saya berpuasa selang-sehari dan ia hasil fizikal yang diberikan Allah tanpa saya sedari".


Saya bersyukur dengan nikmat ini.


Tetamu Allah


Ramainya wanita


Inilah kumpulan yang melawat kami di Rumah Kecil di Jabal Ohud. 9 wanita dan 3 lelaki. Ia dua kumpulan yang berbeza.


"Jaga aurat. Ia bukan soal menutup rambut sahaja. Tanda aras yang kita sempurna berpakaian apabila ia boleh di bawa solat. Cabaran kita bukan soal menutup aurat di pejabat tetapi apabila di rumah.


Ia ketika saudara-mara bertandang ke rumah. Ketika bersama abang ipar, apabila berkemas di halaman atau ketika menjemur kain. Ia sukar kerana kita berada dalam masyarakat yang tidak apa"


Ini dugaan atau ujian paling hebat buat seorang wanita yang mahu mendapatkan umrah atau haji yang mabrur. Ia tidak mengapa bagi mereka yang datangnya "suka-suka" sebagaimana hadis akhir zaman, "mereka datangnya semata-mata melancong….."


Ia kelihatan kenyataan yang sangat pahit tetapi mudah-mudahan ia menjadi penawar hati yang berbekas.


Saya mohon keampunan Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 27, 2012 19:25

February 26, 2012

Terkini

Ada perkembangan menarik yang mahu kami kongsi bersama.


Tabung Masjid KRTS


Selain daripada tanah yang ditawarkan, kami juga sedang mengenalpasti beberapa pilihan lain yang bakal memudahkan urusan pembinaan masjid di Galkayo, Somalia.


Jumlah kutipan setakat ini sudah menghampiri RM500,000, melebihi separuh daripada kos keseluruhan masjid. Sasaran awal RM300,000 sudah dipenuhi dan kami akan memaklumkan kepada khalayak apabila ia sudah mencecah USD200,000 (kos keseluruhan masjid).


Projek ini dijangka akan dimulakan pada bulan Jun atau Julai tahun ini juga, awal dua tahun daripada perancangan asal.


Buku Bukan Sekadar Resepi


Alhamdulillah, kami menerima maklum balas berikut, "Sekadar makluman semasa, BUKAN SEKADAR RESIPI kini sedang menunggu giliran untuk di lay out. BSR memang seronok dibaca dan banyak pengajaran dapat dikutip daripada tulisan puan. Doakan kami dapat menjayakannya dengan baik".


Buku Travelog Kehidupan Abadi: Kedewasaan


Buku ini juga sedang diperingkat semakan akhir. Roza baru sahaja selesai membuat pembetulan kecil sebelum pihak penerbit membuat keputusan untuk dicetak.


Buku Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian


Alhamdulillah, saya fikir ia juga berada di peringkat akhir kerja-kerja pra-cetak. Mudah-mudahan ia berjalan lancar.


VCD Motivasi Haji dan Umrah


Ia juga nampak bergerak setelah heboh dengan grafik depan yang telah dibuat pilihan oleh para pembaca. Ia telah dirakamkan beberapa hari sebelum kami berlepas ke Madinah. Kini, hampir 1/2 tahun berlalu.


Satu projek yang saya jangka dapat disiapkan sebulan dua menjadi sangat sulit dan rumit.


Ketiga-tiga buku dan VCD ini akan dilancarkan serentak – InsyaAllah – ketika kami pulang bercuti ke Malaysia di sekitar pertengahan bulan Jun nanti.


Kami mengintai masa dan ketika untuk mengadakan sesi bertemu rakan-rakan KRTS dan FB. Saya berfikir-fikir bagaimana mahu mengendalikannya daripada kejauhan ini.


InsyaAllah, Dia akan memberi jalan!


Tetamu Umrah


Pembeli 1000 pertama buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman


Semalam mereka muncul di Madinah.


Dato' Zaini dan Datin Norasyikin pastinya mempunyai ingatan hubungan yang sangat kuat buat saya dan keluarga.


Merekalah yang telah membeli 1000 naskah buku Travelog Haji dan mengedarkan secara percuma kepada mereka yang telah menghadirkan diri ke majlis pelancaran buku tersebut pada 2007.


Ketika dalam perjalanan pulang – usai majlis pelancaran – beliau telah membuat panggilan, "Prof, jika ada seorang sahaja yang terbuka hati dan pergi menunaikan fardhu haji selepas membaca buku you, l rasa lega dan berpuas hati".


Kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Taufik dan hidayah anugerahNya. Namun penyebabnya boleh datang melalui pelbagai cara.


Pada ketika itu ramai yang berterima kasih kepada saya kerana mendapat buku percuma dan terkesan dengan bacaan mereka. Saya nyatakan, "berterima kasihlah kepada Dato' Zaini dan jika boleh e-mellah kepada beliau".


Kami menerima berpuluh-puluh e-mel. Ada di antaranya berkata, "saya telah keluarkan kesemua simpanan saya di bank dan telah membuka akaun Tabung Haji. InsyaAllah saya mahu menunaikan fardhu haji secepat mungkin".


Mudah-mudahan insan ini sudah berjaya mencapai cita-citanya. Mudah-mudahan juga Dato Zaini dan Datin sudah boleh berasa lega dan berpuas hati dengan sumbangan yang telah mereka berikan pada tahun 2007 tersebut.


Malah mereka yang diberi percuma buku tersebut – dikhabarkan – telah membeli semula dengan kuantiti yang banyak untuk dihadiahkan kepada raka-rakan mereka.


MasyaAllah, Allahu Akbar!


Namun kami sekeluarga memperolehi sesuatu yang lebih bermakna.  Kami berjumpa sekali-sekala namun persahabatan ini terus kekal di hati dan perasaan. Ia bukan soal "Dato atau Datin", "kaya atau miskin", namun saya sering tersentuh dengan tindakan kecil mereka yang sangat signifikan.


Misalnya saya jadi sebak bila Datin bercerita, "Prof, l contact Sara dan bertanya, Untie mahu ke Madinah, apa yang  Sara hendak pesan. Allah, sayu hati bila Sara memberitahu, tidak ada apa untie, kirim salam pada ayah dan mama".


Ia berbekas di hati.


Kembara rohani yang mencabar


Mereka menunaikan umrah dengan cara sempoi, rugged dan beradventure.


Menarik. Tuan Haji Mazlan dan isteri menetap di Kuantan. Kos Visa, RM200, beli tiket kapalterbang dan terbang ke Jeddah. Kemudian, naik bas ke Madinah.


Di Madinah, cari bajet hotel dan kosnya RM70 semalam. Sangat hampir dengan Haram.


Allahu Akbar, kami suka mendengar kisah beliau dan isteri.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 26, 2012 19:34

February 25, 2012

Artikel ANIS

Artikel ini telah disiarkan oleh Majalah ANIS di bawah tajuk Ia tidak Berbeza (agak saya). Setiap bulan, saya dan Roza menulis di sini.


Madinah tidak asing buat saya dan Roza. Sudah dua kali kami berada di sini. Pertama kali pada 2007, menginap di sebuah hotel berhampiran dengan kawasan perkuburan Baqi'.


Kami tinggal selama 8 hari termasuk hari perjalanan. Kali kedua pada 2009, menginap di kawasan yang sangat bertentangan dengan kedatangan kali pertama. Tempoh tinggal pula hanya 3 hari sahaja. Kedua-dua hotel sangat hampir dengan masjid.


Kedatangan kami kerana ibadat khusus, ziarah selepas (sebelum) menunaikan fardhu haji dan umrah. Sepanjang masa – dunia kami – berada di Masjid Nabawi.


Solat lima waktu, mencari-cari ruang di Raudhah, berikhtiar mencari saf hadapan, membaca al-Quran dan terjemahan, berpuasa sunat dan beriktiqaf di masjid.


Dunia kami di sekitar Haram (nota: panggilan penduduk tempatan kepada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi). Kedai-kedai yang dipandang hanya berada selang beberapa meter daripada hotel.


Kalau adapun tempat yang sedikit jauh – pada pandangan kami – adalah pasar kurma. Di antaranya, program-program ziarah dan lawatan yang diatur sebagai pengisi antara ibadat di Haram adalah aturcara rutin buat mereka yang menunaikan ibadat haji dan umrah. Namun ia sangat minimum.


Kesimpulannya, seluruh kehidupan berpaksi dengan amal ibadat di sekitar Haram, masjid Nabawi yang telah dijanjikan 1000x lebih baik daripada mana-mana masjid kecuali Masjidil Haram.


"Prof, hidup di Madinah tidak sama dengan sesekali datang menunaikan haji dan umrah," sebut seorang kenalan yang lebih lama tinggal di sini. Agaknya benar!


Barangkali beliau merujuk kepada amal-ibadat di masjid. Mungkin juga beliau melihat mereka yang datang menunaikan haji dan umrah tidak perlu memikirkan apa-apa selain daripada beramal ibadat secara khusus kepada Allah SWT.


Pemikiran seumpama inilah yang menyebabkan banyak perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan tertangguh ketika jemaah menunaikan fardhu haji.


Misalnya, seorang pelajar PhD tidak dapat meneruskan kerja-kerjanya apabila penyelia menunaikan fardhu haji. "Jangan kacau saya semasa saya di Mekah dan Madinah," arahan ringkas yang boleh memberi kesan besar sedangkan dengan hanya 3-5 minit berkomunikasi boleh menyelesai kebuntuan pelajar.


Jika kita menganggap kerja-kerja penyeliaan bukanlah satu amal ibadat, maka tentu sekali arahan seumpama itu akan keluar daripada bibir seorang penyelia. Saya teringat ayat 198 surah al-Baqarah yang bermaksud,


Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.


Tinggal lagi ia tidak boleh dilakukan sehingga mengganggu amal ibdat wajib yang lain.


Kini, saya menghuni di Madinah. Jika orang berkata, ia tidak sama dengan umrah dan ziarah, maka saya berharap Allah memberikan kekuatan untuk saya melaksanakan amal-ibadat seolah-olah saya berumrah dan ziarah sepanjang tahun. Mungkin konteksnya berbeza tetapi pengisiannya tetap sama.


Pertama, ia berkisar kepada satu pertanyaan ringkas, "kenapa kita berada di dunia?". Saya fikir, jawapannya juga ringkas sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui Surah Adh-Dhariyat ayat 56.


Ia ayat yang diulang-ulang dibaca dan disebut melalui ceramah dan kuliah agama dipelbagai pentas. Maksud saya, ia ayat popular di pasaran ceramah. Terjemahan ayat tersebut bermaksud,


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu


Inilah satu-satunya objektif kehidupan dunia yang perlu dicapai. Tidak dua dan tiga. Ia hanya satu dan kelihatan sangat mudah untuk dipatuhi, hanya menyembah dan beribadat kepada Allah SWT.


Maknanya, seluruh kehidupan manusia di dunia perlu menuju kepada tujuan ini. Akhirnya, apa sahaja yang kita lakukan di dunia merupakan satu bentuk ujian sama ada ia ujian duka atau ujian suka yang sepatutnya membawa kita kepada objektif yang satu iaitu menyembah dan beribadat kepadaNya.


Ia tidak kira sama ada di Madinah ataupun di Shah Alam. Malah sama ada ketika menunaikan fardhu haji atau umrah, ia bukan lagi waktu-waktu yang kita pilih untuk melebih atau mengurangkan amal ibadat. Ia patut konsisten sepanjang masa.


Namun ada sesuatu yang menarik apabila berada di bumi Madinah. Solat berjemaah – seolah-olah – wajib. Mereka solat di mana-mana sahaja. Di lapangan terbang, ruang kosong pejabat, jalanraya dan masjid kelihatan berada dalam lingkungan 100 – 150 meter di kiri dan kanan. Soal pokoknya mereka berjemaah.


Di kawasan rumah kami, sekurang-kurangnya ada 4 masjid yang boleh didengari azan sahut-menyahut. Ia bukan masjid besar tetapi memadai untuk penduduk setempat segera bersolat tanpa membebankan mereka. Subhanallah, Allahu Akbar, bagi saya ia agak ganjil jika masih tidak mahu berjemaah di sini.


Secara peribadi, di sini amalan puasa sunat Isnin dan Khamis juga sangat-sangat menggembirakan. Sekurang-kurangnya di Masjid Nabawi. Majlis-majlis berbuka puasa ada di setiap penjuru masjid. Benar, ia hanya dengan beberapa ulas buah tamar, air zam-zam, sedikit roti, kopi Arab dan jika ada rezeki dihidangkan dengan sedikit kuih.


Ya Allah, nikmatnya berbuka puasa di sini hanya Allah sahaja yang tahu. Saya sering bercerita kepada jemaah haji Malaysia, "cubalah…. cubalah berpuasa sunat semasa menunaikan fardhu haji atau umrah, ada satu rasa yang luar biasa yang tidak mampu saya ceritakan. Rasalah sendiri".


Hakikatnya, di sini kita berpuasa bukan puasa lapar dan dahaga. Segalanya ala kadar. Tiada bazar Ramadhan yang memanggil-manggil. Tiada masa untuk bergossip dan mengumpat. Malah tidak perlu khuatir terpandang aurat yang terlarang. Ia kelihatan terkawal.


Malah di atas segalanya, ada rasa damai yang tidak dapat diceritakan. Namun – bagi saya – ia boleh dicapai di mana-mana sahaja kaki dipijak atau bumi mana yang dijunjung.


Jika diri mahu memahami kenapa kita dilahirkan, kenapa kita hidup di muka bumi ini dan ke mana tempat akhir yang bakal di tuju, maka pergantungan dan pengharapan hanya kepada Allah SWT. Ia mampu melahirkan mereka yang kusyuk beramal ibadat kepada Allah SWT tidak kira sama ada di sini ataupun di Malaysia.


Bukankah Allah ada di mana-mana?


Salam sejahtera dari Madinah Al- Munawwarrah. Jika ada kesempatan untuk hadir ke sini, jemputlah ke rumah untuk menikmati teh pudina yang segar, Mungkin – jika ada rezeki – Roza (Chef Travelog Masakan: Bukan sekadar resepi) akan memasak nasi Arab yang lazat.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 25, 2012 20:44

February 24, 2012

Ia tidak berbeza


Setakat ini, Movenpick Mekah hotel terbaik yang pernah kami diami. Qahwah dan kurma tidak boleh dipisahkan.


Kami selamat sampai di Madinah di sekitar jam 8 malam setelah mengharungi perjalanan hampir 5 jam termasuk dua kali berhenti rehat yang panjang.


Ia perjalanan yang sangat memenatkan. Namun kepuasan rohani tidak dapat diungkapkan. Masjidil Haram mempunyai segala-galanya. Misalnya - dalam kepenatan - duduk saja-saja mengadap Kaabah di pagi hari nyata mempunyai aroma yang tidak dapat diceritakan.


Pagi-pagi lagi saya melayari internet, mengadap www.booking.com dan membuat tempahan kembara Masjidil-Haram seterusnya. Setiap kali berkunjung ke Mekah, kami memilih hotel yang berbeza-beza sebagai hadiah kepada - anak-anak remaja – Sofea dan Amirul.


Setiap hotel di Mekah mempunyai surprise tersendiri. 


Umrah kali ini sangat-sangat berbeza dengan kunjungan kami sebelumnya. MasyaAllah, ia seumpama menunaikan fardhu haji pada 2006. Jemaah sangat ramai.


Kami tiba di Haram ketika azan subuh berkemundang. Allahu Akbar, laluan melalui pintu 1 sudah tidak boleh sampai ke dataran. Ia luar biasa berbanding hari-hari sebelumnya.


Saya terdorong ke tingkat atas.


MasyaAllah, pusingan tawaf menjadi sangat besar. Hampir-hampir ke tangga. Kami berempat hanya dapat menyempurnakan tawaf umrah selepas lebih sejam berjalan perlahan-lahan mengikut arus.


Usai saei, saya tertidur di bukit Marwah. Ia tidur yang nyenyak sehingga sayup-sayup saya terdengar, "itu prof Kamil…..". Kini, di kiri-kanan, depan dan belakang, jauh dan dekat, wajah-wajah Melayu sudah mula kelihatan dengan jelas.


Musim haji dan umrah – agaknya – sudah tidak berbeza lagi. Manusia sudah mampu menunaikan umrah tanpa halangan yang sukar. Ia tergambar di dataran Kaabah.


Alhamdulillah. Itula rezeki Allah yang perlu disyukuri.


Si buta dengan Tongkatnya


Saya berada di saf paling hadapan bagi menunaikan solat subuh. Tiba-tiba datang Arab buta yang bertongkat duduk di hadapan saya. Hati saya berkata, "tempat ini agaknya bukan milik saya".


Benar, apabila askar mahu "membersihkan" saf hadapan yang bertindih maka sayalah yang ditujunya supaya beredar. Dalam keadaan biasa, mereka yang tidak berada di dalam saf akan diminta pergi.


"OK… Maa Fii Musykil," saya senyum dan bangun. Askar itu ketawa melihat saya begitu mudah mengalah. Namun hakikatnya saya sangat bersedih hati.


Saya mahu solat di situ. Saf paling hadapan (orang awam), benar-benar di belakang iman dan ia di pintu Kaabah. Saya sudah di situ, dilapangkan tempat dan sepatutnya ia menjadi milik saya.


Hakikatnya, jika Allah menyatakan "TIDAK", maka ia pasti tidak berlaku.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 24, 2012 20:48

February 23, 2012

Nikmat yang ditangisi

 


Di luar masjid. Mereka bersolat di sini.


Hidup itu sendiri merupakan satu nikmat.


Bila manusia berkata, "sakit dan sihat adalah nikmat yang serupa", "lapar dan kenyang juga nikmat yang sama" atau "riang dan duka juga nikmat seiras," maka mereka sudah selangkah lagi hampir menjadi kekasih Allah.


Saya selalu terkenang kata-kata Abah mengulas kedatangan penyakit kanser ketika usianya di sekitar 70 tahun. "Mil, Abah tidak pernah menerima sakit yang teruk. 70 tahun! Jadi, abah redha dengan ujian Allah ini".


Ia patah-patah perkataan yang menggambarkan Abah melihat sakit atau tidak sakit sudah tidak mempunyai kesan negatif kepada kehidupan beliau.


Sihat, kita bersyukur kerana dapat beramal ibadat kepadaNya.


Sakit, kita bersyukur kerana ia menyebabkan kita semakin hampir denganNya.


9.00 malam semalam, kami sekeluarga di Madinah meraikan rakan-rakan yang berkunjung ke rumah kami. MasyaAllah, Subhanallah, 5.40 pagi kami sudah berada di Masjidil Haram menunaikan solat subuh berjemaah.


Ia nikmat Allah yang tidak dapat kami dustakan. Airmata mengalir perlahan mengenangi nikmat Allah ini ketika melaksanakan tawaf umrah. Ia suasana yang sangat syahdu.


Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga. InsyaAllah, saya tidak lupa rakan-rakan semua. "Ya Allah ampunilah dosa-dosa sanak saudara kami, sahabat-sahabat kami, khalayak KRTS, FB. Kau perkenankanlah segala impian dan harapan mereka". 


Saya meyakini suatu hal yang pasti, segala nikmat yang dianugerah Allah tidak boleh dipersia. Mudah-mudahan kami sentiasa termasuk dalam golongan mereka yang sentiasa bersyukur.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 23, 2012 08:29

February 22, 2012

Masjidil Haram

Quran tajwid kami selamat sampai di Madinah. Terima kasih!


Rumah kecil kami di Jabal Ohud berhenti rehat daripada menerima tetamu selama dua malam. Kami sekeluarga akan berada di Mekah selama dua hari satu malam bagi menunaikan umrah.


Sekejap tadi kami dikunjungi oleh 6 tetamu. Saya selesai menghantar kesemua mereka ke hotel di sekitar jam 11.30 malam. Pada pukul 1.00 pagi kami akan bertolak ke Mekah dengan harapan dapat menunaikan solat subuh di sana.


Doakan kami selamat pergi dan kembali.


Bertemu di 11A


Terima kasih..... ada yang mahu diucapkan. Cukup sekadar bertemu di 11A


 


Prof tidak jawab e-mel saya... saya belikan juga buku tajwid. MasyaAllah... syukran.


 


Anak muda


Mereka pembaca buku Travelog Haji

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 22, 2012 12:50

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.