Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 25

April 10, 2012

Pertemuan

Bertemu semula


Ada sesuatu yang menarik tentang FB, mempertemukan mereka yang telah berpisah buat sekian lama.


Roza juga tidak terkecuali!


Roza bercerita melalui Travelog Impian Abadi tentang kisah kakak angkat yang berkesan dalam hidup beliau di UiTM. Beliau selalu menyebut-nyebut nama tersebut.


Akhirnya ia muncul melalui FB.


Dan lebih 25 tahun mereka tidak bertemu muka sehinggalah mereka berpeluk di Tanah Haram, Madinah.


Tidak Muat


Saya juga teruja menunggu majlis kesyukuran dan pelancaran buku pada 14 Julai nanti. Alahai… mereka yang menyatakan sudi untuk hadir nyata di luar jangkaan.


InsyaAllah, kami tidak menyatakan TIDAK kepada mereka yang ingin hadir. Silalah!


Lalu tempahan di hotel UiTM terpaksa ditukar. Ia perlukan ruang yang lebih besar. InsyaAllah, kami sedang mencuba INTEKMA RESORT yang ballroomnya boleh memuatkan di sekitar 800 orang.


Terima kasih kepada mereka yang sudah mengesahkan kehadiran.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 10, 2012 09:59

April 9, 2012

Ingatan

Talib melawat Mudaris


Bila saya bercerita "tidak sihat", saya masih menyampaikan kuliah, solat di Haram dan banyak berehat di rumah. Tidur!


Kali ini berbeza. Anak-anak murid saya melawat di rumah setelah dua hari tidak hadir ke kuliah. Mereka mengajar saya dengan cara tradisional orang Arab padang pasir mengubat sakit.


"Dr ambil sudu teh, bakar sudu tersebut sehingga merah menyala. Sentuh pada hujung tumit kaki 2x setiap belah. Wallahi, baik sakit Dr".


Saya ketawa.


Mereka datang membawa bersama 4 – 5 botol besar jus. Saya fikir pandai juga budak-budak Arab ini mengambil hati guru mereka. Ia nyata berlawanan dengan apa yang diceritakan kepada saya sebelum berangkat ke Madinah.


"Saya ingin melawat Dr tetapi tidak berkesempatan. Saya doakan Dr cepat sembuh," telefon seorang pelajar yang lain.


Nanti, saya akan kehilangan dan kerinduan dengan mereka!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 09, 2012 09:24

April 8, 2012

Disiplin ll

Ada beberapa perkara asas yang benar-benar mahu saya berdisiplin.


Pertama, saya tidak mahu jatuh syirik. Ia bukan soal menyembah berhala semata-mata. Menduakan Allah melalui hati dan perasaan nyata sangat sukar.


Kadangkala – saya fikir – ia berlaku tanpa kita sedari. Mempercayai dan meyakini kehebatan diri sendiri – misalnya – sangat membahaya. Mempertikaikan rezeki orang juga nyata tidak berbaloi.


Menyesali jodoh pertemuan juga nyata tidak berfaedah.


Allahu Akbar, saya mahu berdisiplin memohon keampunan Allah, "Ya Allah jika aku berlaku syirik, menduakan Mu ya Allah, ampunilah daku. Aku tidak berniat begitu ya Allah. Jika ia berlaku kerana aku bodoh ya Allah, aku fakir ya Allah, aku tidak berilmu ya Allah. Bantulah aku ya Allah. Ampunilah daku ya Allah".


Akhirnya ia membawa manusia ke arah kebergantungan kepada Allah secara total. Ia membersihkan hati dan perasaan.


Kedua, saya mahu berdisiplin menunaikan solat berjemaah di masjid. Ia perkara asas. Solatlah yang pertama sekali akan dihitung. Saya mahu berdisiplin bangun malam, solat pada 1/3 hujung malam yang tersisa.


Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk daku melaksanakan solat-solat sunat yang lain secara berdisiplin ya Allah.


Dan saya benar-benar berdoa agar Allah memudah dan memperkenankan permohonan ini.


Ketiga, saya mahu berdisiplin menunaikan ibadat puasa sunat. Ia latihan agar puasa wajib saya termasuk dalam kumpulan puasa para nabi dan anbia. Ia puasa semata-mata kerana Allah.


Keempat, Allah ya Allah, janganlah daku termasuk dalam golongan yang fakir, bakhil lagi kedekut dengan harta dunia. Ya Allah disiplinkan daku untuk bersedekah, berzakat dan menyampaikan ilmu. Janganlah daku bakhil dengan waktu luang dan tenaga ku.


Kelima, saya mahu berdisiplin mempertahankan ibadat haji yang telah saya laksanakan pada tahun 2006-2007. Haji, haji, haji bukan semata-mata soal berada di Mekah atau Madinah tetapi perlu dihayati konsep dan amalannya sehingga ke akhir hayat.


Ia perlu memenuhi tuntutan disiplin yang sangat tinggi!


Mudah-mudahan juga Allah membersihkan hati supaya sentiasa mencintaiNya. Allahu Akbar!


Kami mohon keampunan Mu ya Allah.


Ayah dan Anak


Solat zuhur di Masjid Nabawi.


Saya berada di belakang mereka. Ayahnya sudah tua. Agaknya melebihi 70 tahun. Anaknya pula – saya fikir – sudah melebih 30 tahun.


Sang ayah bercakap perlahan. Ia tazkirah. Seorang ayah menasihati anaknya di dalam masjid Nabawi. Saya tumpang dengar. Saya tidak tahu samada anaknya mendengar sepenuh hati atau hanya melayan ucapan ayah.


Saya bayangkan memberi tazkirah kepada Azrai!


Alahai… saya sukakan mereka berdua. Usai solat, kami berkenalan ringkas.


"Sudi datang ke rumah saya malam ini?," bibir saya mempelawa. Mereka sangat teruja. "OK, lima orang masih OK," mengesahkan jemputan tersebut.


Masa suntuk. Tentu sekali Roza tidak sempat memasak. Lalu saya singgah di restoran membeli 3 ekor ayam panggang dan 3 nafal nasi Bokhari untuk meraikan tetamu yang "saya dan mereka" saling tidak kenal mengenali.


3.45 petang.


Saya mendapat SMS yang mereka tidak dapat hadir. Firasat saya benar. Saya sudah nyatakan pada Roza, "orang lelaki sangat mudah bersetuju dengan pelawaan orang. Bila balik nanti, berbincang dengan isteri maka bersedialah untuk kita makan sekeluarga 3 ekor ayam tersebut".


Serentak dengan SMS tersebut, saya menerima satu lagi SMS daripada Sheikh Khalid, "Dr, lepas Isya free? Kita makan murtabak". Saya tersenyum dan terus membalas SMS, "Bawa murtabak ke rumah saya, kita makan kabsa…."


Begitulah aturan Allah SWT.


Kami dapat merasai murtabak krim, pisang dan sayur.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 08, 2012 09:59

April 7, 2012

Disiplin

Ada seorang tua berkerusi di saf hadapan, bahagian sebelah kanan Masjid Nabawi.


Saya fikir beliau dan keluarga sudah berkampung di situ sejak berbelas tahun menyediakan juadah berbuka puasa pada setiap hari Isnin dan Khamis, 13-14hb setiap bulan Islam dan hari-hari puasa sunat yang lain misalnya pada hari wuquf di Arafah.


Saya fikir mereka juga akan terus melaksanakan amalan tersebut sepanjang bulan Ramadhan.


Entah mengapa, saya tertarik untuk berada bersama mereka. Kaki saya sering melangkah ke sana walaupun hampir keseluruhan masjid dipenuhi dengan saparah berbuka puasa.


Saya memerhati.


Alahai, ia tugas rutin yang sangat mudah. Saya fikir begitu. Namun orang tua ini tajam memerhatikan anak-anak atau pekerja beliau melakukan tugas-tugas tersebut.


Beliau mahu susunan antara bekas kurma kemas dan teratur. Beliau menegur bagaimana memotong roti. Beliau mahu pastikan setiap orang yang berada di saprahnya mendapat teh atau Qahwah.


Benar, beliau tidak dapat bergerak. Namun beliau mahu turut serta dengan memberi arahan. Sesuatu yang pasti, kesemua yang berada di sekitar beliau cuba sedaya upaya mematuhi apa yang disarankan.


Ia disiplin yang sentiasa dipatuhi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 07, 2012 10:28

April 6, 2012

Hari itu

Saya selalu terkenang ketika saat-saat memulakan kerjaya sebagai seorang pensyarah, 24 tahun yang lampau.


Apa yang saya kenangkan?


Pertama, saya bandingkan harapan pada hari tersebut dengan apa yang telah saya lalui dan capai 24 tahun kemudian. Hampir keseluruhannya tidak sepadan.


Maksud saya begini. Ketika saya mendaftar diri sebagai pensyarah UiTM, saya tidak terfikir dan bercita-cita mahu terus belajar sehingga ke tahap PhD. Benar, saya ingin menyambung pelajaran di peringkat sarjana dan itulah titik akhir. Rasanya, saya fikir begitu.


Alih-alih – 4 tahun kemudian – saya berjaya memperolehi ijazah sarjana.   8 tahun kemudian saya sudah memulakan pengajian di peringkat PhD. Dalam tempoh 2 1/2 tahun pengajian saya telah dianugerah dengan ijazah tersebut.


Nyata, kehidupan kita dipenuhi dengan unsur-unsur luar jangka. Lalu jika kita berfikir dan mengaitkan kehidupan dengan kebesaran, kehebatan dan kasih-sayang Allah, maka dimensi lampau itu akan sentiasa disyukuri sebagai nikmat yang tidak dapat kita dustakan.


Namun realitinya tidak begitu. Kejayaan tidak diraikan dengan nada keinsafan. Ia tidak membawa manusia hampir kepada pemberi nikmat tersebutwalaupun – saya fikir – ia perlu dikaitkan dengan ibadat khusus.


Misalnya, bagaimana dengan amalan solat lima waktu? Apakah ia menjadikan kita semakin kusyuk? Adakah kita berusaha dan bertekad untuk solat lima waktu di masjid kerana mensyukuri nikmat tersebut.


Lalu mengenangi masa lampau, saya perlu memohon keampunan Allah! 


Kedua, saya mengenangi masa lampau – sekurang-kurangnya – untuk saya menginsafi masa hadapan. Apakah saya mahu meneruskan rutin masa lalu?


Hari semalam berlalu. Hari esok juga akan berlalu. Alih-alih kita terpandang anak-anak yang semakin membesar. Misalnya, dua hari lepas Sofea berkata, "Mama. Sofea hendak tidur sendiri".


Adakah kita masih mahu meneruskan amalan tidak konsisten solat berjemaah di masjid, bangun malam, membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya atau amalan-amalan sunat yang lain?


Semalam saya nyatakan kepada salah seorang jemaah umrah,


 "Haji, umur haji 62 tahun. Nanti bila balik dari menunaikan umrah, apakah haji sudah memikirkan apa yang bakal haji lakukan setelah sampai di KLIA? Masa sangat singkat. Masa yang tinggal terlalu suntuk.


Jika kita mengenangi masa lampau dan memikirkan masa di hadapan, ia memadai untuk kita sentiasa menangis dan berasa sayu dan sebak".


Masa di hadapan – hari itu – adalah hari KEMATIAN.


Jemputan


Jika rakan-rakan sudi, jemputlah ke majlis di atas. Jika buku tidak siap, saya akan sampaikan tazkirah (he… he…). Imran PTS sudah brjanji yang Travelog Kehidupan: Kedewasaan akan masuk kilang cetak pada minggu hadapan.


Bukan Sekadar Resepi dan Bersyukur ketika diuji juga "seolah-olah" akan siap. VCD Motivasi Haji, khabarnya sudah OK sepenuhnya.


Jika mahu hadir, e-mel pada saya dengan menyatakan  nombor telefon dan bilangan mereka yang dijangka hadir. Mohon e-mel ke alamat berikut:


muhdkamiltaibah@gmail.com


NotaMKI: Mereka yang telah menghantar e-mel dipersilakan hadir (saya tidak membalas e-mel tersebut)


Aturcara majlis seperti berikut:


MAJLIS KESYUKURAN


Muhd Kamil Ibrahim dan Keluarga


14hb Julai 2012


8.30 pagi hingga 12.30 tengahari


Hotel UiTM Shah Alam


 


 08.50    Ketibaan jemputan


09.00    Bacaan al-Quran


09.15    Jamuan Pagi


09.30    Tazkirah "Khabar dari Madinah"


10.00    Pelancaran buku dan VCD


             1. Bukan Sekadar Resepi


             2. Travelog Kehidupan: Kedewasaan


             3. Bersyukur bila diuji


             4. VCD Motivasi Haji


         Pelancar dan tetamu istimewa: Prof. Dr Hatta Azad Khan


10.30    Sesi pertemuan dan tanda tangan buku serta VCD


12.00    Majlis tamat

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 06, 2012 09:16

April 5, 2012

Jemputan makan

Lebih 10 jemputan makan dan 25 kuliah, tazkirah atau ceramah - InsyaAllah - akan saya hadiri sepanjang hampir 50 hari bercuti musim panas di Malaysia.


Jika perjalanan dihitung maka kami akan mengembara dari Madinah – Jeddah – Shah Alam – Labuan – Shah Alam - Melaka – Segamat – Dungun – Kuala Terengganu – Besut – Machang – Kota Bharu – Cameron Highland – Kuala Lumpur – Shah Alam – Jeddah – Madinah.


Kami sebenarnya bercuti. Hampir setiap persinggahan – minus Cameron Highland - akan disertai dengan majlis ilmu. Itulah yang telah saya amalkan sebelum meninggalkan Malaysia pada September, 2011.


Banyak aktiviti lain yang telah kami rancang buat keluarga Khalid dan anak-anak sendiri. Kami dijangka melihat pantai, air terjun, gunung, ladang, kebun, makanan, budaya dan pelbagai kegembiraan kanak-kanak dan remaja yang menjadi tumpuan utama.


Alahai, setiap kali bertemu, mereka akan berbincang tentang keseronokan yang bakal mereka tempuhi di Malaysia.


Saya juga berterima kasih kepada rakan-rakan yang telah sudi menjadi hos makan-makan. Saya fikir tetamu yang saya bawa dari Madinah pastinya teruja dengan pelbagai pengalaman makanan yang akan mereka tempuh, InsyaAllah.


Senarai panjang yang kami rancang bermula dengan Restoran Muhibah di TTDI, Serai di Shah Alam, Ikan Bakar Paresmeswara di Melaka, Nasi Ayam Gemas di Segamat, Ketupat Sotong Junita di Kemaman, Fish and Chips Dungun, Nasi Dagang di Besut, Nasi Padang di Kota Bharu…. dan sayur-sayuran di Cameron Highland – mudah-mudahan – akan meninggalkan kenangan yang terpahat di hati.


Tentu sekali ia tidak termasuk "makan-makan" di rumah rakan-rakan yang mahu meraikan kami sekeluarga dan berkenalan dengan keluarga Sheikh Khalid.


Malah, kami berpeluang untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di antara hari-hari tersebut.


Kesemuanya sudah berjadual. Malah jadual puasa sunat juga perlu diatur mengambil kira hari-hari perjalanan yang dimakruhkan berpuasa.


Allahu Akbar… kami sangat teruja menunggu 14 Jun.


Jemputan Majlis Kesyukuran dan Pelancaran Buku


Jika rakan-rakan sudi, jemputlah ke majlis di atas. Jika buku tidak siap, saya akan sampaikan tazkirah (he… he…). Imran PTS sudah brjanji yang Travelog Kehidupan: Kedewasaan akan masuk kilang cetak pada minggu hadapan.


Bukan Sekadar Resepi dan Bersyukur ketika diuji juga "seolah-olah" akan siap. VCD Motivasi Haji, khabarnya sudah OK sepenuhnya.


Jika mahu hadir, e-mel pada saya dengan menyatakan  nombor telefon dan bilangan mereka yang dijangka hadir. Mohon e-mel ke alamat berikut:


muhdkamiltaibah@gmail.com


Tolong saya dalam soal ini!


Aturcara majlis seperti berikut:


MAJLIS KESYUKURAN


Muhd Kamil Ibrahim dan Keluarga


14hb Julai 2012


8.30 pagi hingga 12.30 tengahari


Hotel UiTM Shah Alam


 


 08.50    Ketibaan jemputan


09.00    Bacaan al-Quran


09.15    Jamuan Pagi


09.30    Tazkirah "Khabar dari Madinah"


10.00    Pelancaran buku


             1. Bukan Sekadar Resepi


             2. Travelog Kehidupan: Kedewasaan


             3. Bersyukur bila diuji


             4. VCD Motivasi Haji


         Pelancar dan tetamu istimewa: Prof. Dr Hatta Azad Khan


10.30    Sesi pertemuan dan tanda tangan buku serta VCD


12.00    Majlis tamat


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 05, 2012 00:35

April 4, 2012

Pulanglah….

Apa agaknya yang terlintas di hati? Hanya 7 rakyat Malaysia yang berpeluang dan dibayar untuk berada di Madinah


Semalam, kami – saya dan Roza -  bersama 6 yang lain menghadiri pertemuan dengan konsulat Malaysia di Saudi.


Sangkaan saya ia berkait dengan pilihanraya yang bakal menjelang. Opps… saya terkhilaf. Ia pertemuan kerana mahu menguar-uarkan program "kepulangan pakar" yang berada di Luar Negara ke Malaysia.


Jika cukup syaratnya, terdapat beberapa kemudahan yang diberi, misalnya:


1. pilihan dikenakan cukai hanya 15% pada kadar tetap


2. Perlepasan cukai 100% untuk barangan persendirian yang dibawa pulang.


3. Perlepasan cukai untuk dua buah kereta yang dibeli di Malaysia


4. Status PR kepada pasangan yang bukan warganegara


5. Kemudahan belajar di sekolah antarabangsa bagi anak-anak yang lahir di Luar Negara.


"Tuan, ada kekosongan jawatan VC?," saya bergurau di meja makan bertanya Tuan Mohd Khalid, Consul General. Beliau ketawa sambil berkata, "nanti mungkin ada VC yang akan dilantik sebagai KSN".


Apa pilihan yang saya ada? Tiada!


Saya tidak akan meninggalkan Madinah – InsyaAllah – walaupun diberi gaji 100,000/sebulan. Keinginan berada di Madinah langsung tidak berkait dengan jumlah atau kemudahan pendapatan.


Saya hanya pergi – barangkali dengan linangan airmata – jika tenaga saya sudah tidak diperlukan di sini. Ia boleh berlaku atas beberapa sebab. Jika ia diberi pilihan untuk saya membuat keputusan, maka pilihan itu tidak lagi menjadi pilihan.


Kami sentiasa berdoa untuk terus kekal di sini, dengan rahmat dan kasih sayang Allah!


Di Pasaran


Inilah produk terakhir menggunakan gambar sendiri di hadapan!


Cuba hubungi Ferhard Ahmad di Facebook beliau!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 04, 2012 09:19

April 3, 2012

Bila sampai masanya

Salah satu tanggungjawab besar terasa di bahu ialah memastikan projek Masjid KRTS terlaksana.


Dulu - ketika memulakannya – saya fikir ia hanya "kumpul dan serah" agar ada pihak ketiga yang akan menyempurnakanya.


Ia tugas mudah.


Namun ia tidak jadi begitu. Perasaan mahu ia menjadi suatu realiti, nyata membangkit perasaan mahu ambil tahu sehingga ia terbina dan digunakan. Banyak perancangan kehidupan bersandar kepada projek ini.


Lalu saya perlu memandu satu persatu urusan pentadbiran agar ia menjadi kemas dan teratur. Ia menjadi sebahagian isu yang sentiasa bermain-main di benak fikiran.


Maka Allahlah tempat saya mengadu dan bercerita!


Arwah Abah selalu berpesan, "Mil, bila sampai masanya, Kamil tahu bila kita akan berhenti dan menumpukan perhatian pada sesuatu yang lain. Kita orang awam. Jadi sehingga sampai masanya, lakukan apa yang Kamil lakukan ini dengan ikhlas, semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, kita akan terjaga".


Saya terkenangkan UiTM. Pada masa lampau, saya terfikir "hidup dan mati" kerjaya saya di sana. Tidak terlintas untuk bertukar tempat kerja. Namun bila sampai masanya, perancangan, rasa dan kemahuan sendiri tidak jadi begitu.


Kini, hari-hari bergerak terlampau pantas. Terlalu pantas.


Rasanya baru semalam saya berada di KLIA di kelilingi oleh rakan-rakan yang mahu mengucapkan "selamat jalan, sehingga bertemu lagi". Kini, saya bersiap-siap untuk pulang bercuti. Maksudnya, setahun hampir berlalu.


Saya menduga masa yang tinggal. Berapa lama lagi?


Namun ada sesuatu yang pasti, ia tidak terlalu lama. Saya perlu bersiap untuk melakukan sedikit perubahan dalam kehidupan sendiri.


Bila? Bila sampai masanya!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 03, 2012 09:06

April 2, 2012

Jujur

Menghadapi ujian kehidupan sangat mencabar.


Hati sering bergolak dengan ilmu yang ada dengan keinginan keduniaan yang melampau. Misalnya, mereka yang rasional akan memilih RM1000 daripada RM100.


Ia hampir pasti begitu.


Namun dengan sedikit ilmu, mungkin kita tidak mempunyai pilihan. Kita perlu memilih RM100 walaupun RM1000 tersangat besar nilainya jika RM1000 itu nyata tidak bersih di sisi Allah SWT.


Kekeliruan jiwa mula timbul apabila hati sendiri tidak jujur dalam membuat pilihan. Biasanya jika ia melibatkan soal-soal kewangan.


Tetamu Allah


Saya Mohamed dari Sungai Petani


Musim orang Kedah.


Pertemuan di tempat biasa, parking 11A. Saya menunggu Roza dan Sofea. Beliau pula menunggu isteri dengan harapan dapat berjumpa kami sekeluarga.


Hampir setiap hari Allah mempertemukan kami dengan kenalan baru di perkarangan Masjid Nabawi. Kami bersama hampir 30 minit di kawasan tersebut.


Lalu saya sampaikan beberapa pandangan sisi tentang umrah dan kehidupan pasca umrah yang boleh difikirkan. Biar pertemuan singkat menjadi signifikan, InsyaAllah.


Kami doakan Mohamed dan isteri dirahmati dan dikasihi Allah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 02, 2012 19:26

April 1, 2012

Teori

Berteori lebih mudah daripada mengamalkannya.


Bahasa mudah, memberi cadangan lebih senang dari melaksanakan cadangan. Memberi komen tidak memerlukan modal yang besar. Menyatakan "jika lakukan ini lebih baik dari melakukan itu" juga – agaknya – tidak terlalu sukar.


Namun teori perlu. Cadangan juga sangat penting. Komen juga mustahak.


Namun dalam konteks tertentu, teori, cadangan atau komen memberi implikasi yang sangat tidak perlu. Misalnya, bila kita melihat orang acap kali menunaikan umrah, maka keluarlah kenyataan "kalau banyak sangat duit, memberi sedekah kepada anak yatim lebih baik" atau "lebih baik membiayai orang yang tidak mampu melaksanakan ibadat tersebut".


Ia membayangkan orang yang melaksanakan umrah tersebut tidak bersedekah kepada anak yatim. Banyak perkara boleh dilakukan serentak. Jumlah sedekah itu bergantunglah kepada mereka sendiri.


Seorang teman, hampir setiap tahun menunaikan umrah. Beliau berwang. Hampir setiap tahun juga beliau menghantar seseorang menunaikan haji. Jika saya melaksanakan projek "anak yatim" atau "orang asli", beliaulah yang memberi sumbangan terbesar.


Ia hanya sebahagian daripada "hak pendapatan" yang perlu diagihkan.


Misal yang lain, "kenapa membina masjid di Somalia, ramai lagi orang Malaysia yang susah". Jawapan saya mudah, "kami mahu membina masjid, maka kami pilih Somalia. Tuan mahu membantu mereka yang susah, silalah…. saya tidak akan bertanya, kenapa di Besut dan tidak di Kedah?"


Namun saya sangat gemar berkata, "lebih baik bangun malam daripada tidur yang banyak" atau "lebih baik berpuasa daripada tidak berpuasa". Itu pun bergantung kepada banyak syarat.


Lebih baik sangat relatif. Baik bagi kita, tidak perlu bagi yang lain.


Sesuatu yang pasti, tidak baik bila hanya bercakap dan tidak melakukan apa-apa! Maksud yang tersirat, pemberi teori, cadangan atau komen perlu mengamalkan ilmu di dada.


 Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita.


Breakfast for 2


Menginap di hotel – biasanya – bersekali dengan makan pagi. Di Mekah dan Madinah – kebiasaannya – harga hotel dirujuk kepada harga sebilik bukan bilangan orang di dalamnya.


Namun ia bergantung kepada polisi hotel.


Amirul dan Sofea menginap bersama kami. Jika polisi hotel tidak membenarkan begitu, maka saya akan membuat bayaran tambahan. Namun hampir kebanyakan hotel membenarkan mereka menginap bersama tanpa mengenakan caj tambahan.


Isu yang lebih besar ialah apabila makan pagi. Ramai yang terkhilaf dengan menyeludup masuk anak-anak untuk makan bersama. Alahai… pihak hotel sering tidak bertanya. Mereka membiarkan begitu sahaja.


"Tuan, ini anak-anak saya. Bilik saya xyz. Makan pagi hanya untuk dua orang. Berapakah yang perlu saya bayar?," saya bertanya. Maka terpulanglah kepada hotel untuk menyatakan kepada saya.


Hati saya berasa lapang. Ia kelihatan kecil. Namun saya fikir, cukuplah untuk mencari keuntungan sesen dua yang tidak membawa sebarang kebaikan.


Tetamu Umrah


Puan Asiah omar dan rombongan dari Kedah


Malam tadi kami menerima tetamu dari Kedah. Dulu-dulu beliau menggunakan nick-name Misi. Jadi saya tahu beliau petugas di hospital. Tiba-tiba nama Misi sudah tidak muncul lagi.


Opps… agaknya beliau sudah bersara dari jawatan tersebut.


Begitulah, ada rakan-rakan KRTS yang sering muncul melalui komen-komen yang ditulis terpahat pada suatu sudut di minda saya. Jika ada orang berkata, "saya selalu masuk blog prof menggunakan nama….," cepat – InsyaAllah – saya dapat mengingati gaya dan corak penulisan mereka.


Roza menghidangkan nasi Bukhori berlaukan ayam dan kambing. Kemudian, ia turut serta dengan kebab ringkas yang telah diubahsuai mengikut selera sendiri.


Terima kasih kerana membawa bersama Majalah i dan Majalah Anis kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah, ia sangat bermakna.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 01, 2012 20:42

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.