Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 23
May 4, 2012
Maaf
Saya mohon maaf.
Ia hanya tiga patah perkataan. Menyebutnya setulus hati tidak seringkas patah perkataan tersebut. Ia menjadi lebih sukar jika kita merasai yang kita lebih tinggi dan mulia.
Namun saya tidak tahu kenapa Tuan Wan Azmi – Pengarah Jabatan Penerbitan Galeri Ilmu - menghantar e-mel memohon maaf kepada saya. Beliau menulis,
Berkenaan buku Prof – Bersyukur Saat diuji (BSDU) -sambutannya amat baik. BSDU menjadi antara 5 buku terlaris setakat hari ini di booth GI. Ini menjadikan buku tersebut antara yang cepat terputus bekalan.
Adakalanya buku BSDU habis langsung di booth, menyebabkan ada antara pengunjung rasa begitu kecewa dan mungkin kesal dengan pihak kami.
Sehubungan itu, saya bagi pihak syarikat memohon berbanyak-banyak maaf kepada yang berbahagia Prof atas perkara tersebut. Hal ini berlaku benar-benar di luar jangkaan kami.
Saya tidak fikir GI melakukan sebarang kesalahan kepada saya secara peribadi. Mungkin Tuan Wan Azmi membaca komen-komen khalayak KRTS dan FB yang bercerita tentang terputusnya bekalan buku tersebut.
Malah ada yang berkata, “janjinya pukul 11, kemudian selepas Jumaat, lepas itu pukul 6 petang” memungkinkan pihak Galeri Ilmu berasa amat bersalah.
Agak saya, pihak GI mahu saya memanjang “mohon maaf mereka” kepada khalayak KRTS dan FB saya.
E-mel beliau lebih panjang daripada itu. Namun memadailah jika saya katakan, ia berbekas di hati. Maka saya nyatakan kepada rakan-rakan semua, “Maafkan GI, hari ini – Sabtu dan Ahad – mereka sudah bersedia dengan tambahan stok baru”.
Memohon maaf sukar, menerima maaf juga sukar. Namun kedua-duanya adalah sifat insan terpilih!
Tegas
“Sofea mahu puasa? Hari ini 14hb… Rasululullah berpuasa pada 13, 14 dan 15hb”.
“Tidak mahu. Sofea hanya mahu puasa Isnin dan Khamis,”tegas beliau memberi jawapan walaupun bangun bersahur bersama abang Chik.
“Amirul?”
Beliau menganggukkan kepala.
“Nanti bila bercuti di Malaysia, Sofea kena teruskan berpuasa. Di sana cabarannya sangat hebat. Jika kita berjalan jauh, tidak payah. Boleh?,” saya sudah memulakan perang psikologi supaya mindanya bersedia ketika berada di Malaysia.
Beliau hanya tersenyum.
Terhibur

Terima kasih Nora kerana menghantar gambar ini. Roza tersenyum umpama di banner.
Bagaimana mahu digambarkan?
Kami menerima mesej bertalu-talu bertanyakan buku Travelog Kehidupan Abadi. Saya nyatakan, “buku Puan Ainon sendiri tidak sempat, maka tentulah kami kena bersabar”.
Lalu saya bergurau, “beli dua set buku Bukan Sekadar Resepi atau Bersyukur bila Diuji”.
“Tidak dua prof, saya sudah beli tiga,” beliau membalas gurauan saya.
Begitulah industri buku Melayu yang nampaknya sangat luar biasa. Penulis semakin ramai. Pencetak yang bagus-bagus mungkin tidak dapat menampung bilangan buku yang dikumpulkan pada saat-saat akhir menjelang pesta terbesar ini.
Berapakah nilai $ program yang terlangsung hampir dua minggu ini? Saya tidak dapat mengagak tetapi pastinya jutaan ringgit. Jikalah (nota: berangan) saya bercuti ketika ini, agaknya hampir setiap hari saya akan berada di booth Galeri Ilmu dan PTS.
Di antara keduanya kami sudah menerbitkan 6 judul dengan PTS dan 2 judul bersama Galeri Ilmu.
Dalam kejauhan inilah kami dihiburkan oleh rakan-rakan KRTS dan FB. Malah sesekali, Puan Suraiya, editor kedua-dua buku melaporkan kepada kami perkembangan penerimaan buku tersebut.
Tidak sukar sebenarnya untuk menyentuh seseorang. Namun “sedikit yang signifikan” kesannya boleh menjatuhkan air mata.
Terima kasih semua!
May 3, 2012
VCD Motivasi Haji dan Umrah

Jutawan muda sedang memprosikan VCD Haji dan Umrah
Hampir 80 peratus tazkirah saya di Madinah dinyatakan melalui VCD ini. Mungkin penyampaiannya sedikit berbeza kerana ia dirakamkan.
Pemuda di atas namanya Amal, suami kepada AinMaisarah novelis remaja No1 di Malaysia. Beliau seorang jutawan. Jika berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, kunjungilah booth Pink AinMaisarah.
Agak saya beliau sedang mempromosikan VCD ini yang merupakan salah satu produk terbaru beliau.
Silalah… jika ada manfaat bagi mereka yang mahu menunaikan umrah dan haji, saya sangat gembira!
Nota: Buku Bersyukur saat Diuji dan Bukan Sekadar Resepi pula boleh di dapati di booth Galeri Ilmu atau Sinergy (wakil pengedar Telaga Biru).
PhD

Nasi Bukhari dan Mee Bandung, hidangan tengah malam
Roziani bekas pelajar sarjana perakaunan – saya fikir – di sekitar awal 2000 melakukan ziarah ke RKDJU. Saya cuba mengingati beliau namun gagal. Agak saya, 10 tahun yang lampau beliau seorang yang sangat pendiam.
Kini beliau di garis penamat untuk menyudahkan PhD di Universiti Sherfield, United Kingdom. Alhamdulillah – InsyaAllah – bertambah lagi lulusan PhD yang dapat menabur khidmat kepada manusia sejagat.
Saya tidak mengingati beliau secara spesifik. Namun aroma hubungan pensyarah – pelajar sangat kuat. Perasaan mahu beliau berjaya “dunia dan akhirat” nyata melintas deras.
“Yang, kita makan dulu,” saya memaklumkan kepada Roza. Saya tahu dan menelah yang malam tadi akan berakhir lebih lewat daripada hari-hari biasa.
“Boleh saya masak Mee Bandung,” tanya Roza.
“Boleh tetapi itu untuk saya. Tetamu, saya fikir mereka perlukan Nasi Arab. Tidak payah masak, nanti saya beli dua nafal”.
Begitulah, kami mahu menyambut beliau sekeluarga.
Beliau mempunyai seorang anak perempuan (sekolah menengah) dan tiga anak lelaki (sekolah rendah).
Lalu saya nyatakan, “didik anak-anak lelaki ini untuk solat berjemaah di masjid. Jangan jadi macam kebanyakan orang, ayah solat di masjid tetapi takut anak mengantuk ke sekolah dan membiarkan anak membesarkan tidur.
Biar anak-anak kita jadi golongan terpilih. Solat berjemaah adalah asas yang sangat penting”.
PhD – sebenarnya – mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Agak saya beliau memang mengamalkan bangun malam. Namun saya tetap menyatakan kepentingan solat malam, melakukan amalan-amalan sunat yang lain dan menjaga aurat.
Alahai… tidak lama nanti beliau akan bergelar Doktor - InsyaAllah – tetapi saya masih menganggap beliau anak murid yang pernah saya kuliahkan di dalam kelas.
Mereka beredar rumah kami bila jarum jam melewati angka 1.
Alarm I-PAD
Saya muat turun perisian jam dari Apple untuk permainan masa senggang saya, IPAD. Free of Charge!
Ujiannya bermula malam tadi. Tetamu kami pulang di sekitar 1.10 pagi. Lalu saya kuncikan jam tersebut dengan bunyi kejutan yang paling dasyat jam 3.15 pagi.
MasyaAllah, saya dan Roza memang terjaga. Mata sangat berat. Saya biarkan bunyi tersebut mengganggu saya. Roza terus bangkit.
“Yang, bangun yang… 3.30,” alahai masih lagi terlelap!
“Saya tidak tahan dengan bunyi loceng tersebut. Jadi saya ambil keputusan untuk terus bangkit,” Roza bercerita.
Lalu saya kejut Amirul dan Sofea, “bangun… bangun…. bersahur… kita mahu ke Haram”.
Kedua-duanya bangun dengan penuh kesukaran. Minum teh O dan makan seulas dua kurma dan sekeluarga kami beredar ke Haram.
“Jangan tidur, nanti kena ambil wudhu balik,” saya berpesan.
Allah… Allah… ia pagi yang sukar. Namun mata menjadi sangat segar setelah usai solat berjemaah.
Saya fikir, ia kemenangan yang sangat besar!
Allah mengejutkan Roza melalui alarm IPAD yang ganas!
Sofa

Sudah beratus-ratus yang menyandar pada sofa ini
Mereka yang pernah berkunjung ke rumah kami tentu sekali tersenyum-senyum apabila saya berkata,
“Silalah, rumah kami kena bersila. Sofa itu hanya untuk menyandar sahaja”.
Ia sofa yang ditinggalkan. Saya sangat risau ada yang terjerobos apabila duduk di atasnya. Namun ada ketikanya ia terpaksa digunakan juga apabila menerima tetamu yang sudah berusia.
Mereka tidak boleh bersila.
Wah… semalam ada sedikit perubahan buat tetamu yang hadir. Mereka duduk di atas sofa “baru yang lama”. Sofa cantik ini dihadiahkan oleh Sheikh Khalid untuk digunakan buat tetamu yang hadir ke rumah kami.
Emmmm… mereka telah membeli sofa baru. Mana mahu dibuang sofa yang lama?
Hakikatnya, kami tidak mahu sofa. Kami mahu hidup “simple-simple”, bersila dan meraikan tetamu dalam keadaan yang santai.
Jemputlah, jika mahu merasai sofa baru yang lama kami. Namun bila dihidangkan makanan, kita masih perlu bersila!
May 2, 2012
Pada pendapat saya
Berbicara soal umum lebih mudah. Namun sesekali saya ada menghantar mesej peribadi kepada individu tertentu. Kenapa? Entah. Ada masanya ia naluri yang tidak dapat ditahan-tahan.
Misalnya, dulu (barangkali setahun yang lepas) saya menghantar mesej kepada anak muda yang merindui ibunya yang telah dipanggil Allah SWT.
Beliau menyatakan rasa rindunya dengan mengupload gambar-gambar lama arwah ibu yang tidak menutup aurat. Lalu saya nyatakan, “anakanda tidak mengenali uncle tetapi ibu anakanda mengenali uncle. Jika sayang dan rindukan ibu usahlah membiarkan gambar-gambar ibu yang tidak menutup aurat di FB. Jawab rasa rindu dengan berdoa kepadaNya”.
“Terima kasih uncle,” dan beliau memahami apa yang saya sarankan.
Semalam, saya menghantar mesej ringkas kepada rakan FB yang linkkan berita sensasi akhbar ke ruang public FB. Beliau sangat marah dengan pendedahan yang sebegitu rupa.
Saya juga memahami. Bagaimanapun, kemarahan yang dijawab dengan menunjukkan berita tersebut kepada khalayak umum menyebabkan ia terdedah kepada jutaan pembaca yang lain.
Apa bezanya kita dengan pengarang akhbar tersebut?
FB, adalah akhbar kita. Kita adalah pengarang, kita jualah yang akan menentukan maklumat yang mahu kita siarkan. Jika sesuatu berita atau rencana tidak kita sukai, kenapa pula kita mahu masukkan ke dalam akhbar kita.
Fikirlah, betapa banyak dosa yang perlu kita tanggung. Saya fikir tidak tertanggung!
May 1, 2012
Tunggulah
Bab 30: Penutup buku Bersyukur Saat Diuji
Saya mengarang buku ini dengan ilham dan bantuan Allah setelah mengalami pelbagai ujian duka yang Allah kurniakan secara berturut-turut dalam tempoh yang sangat hampir. Saya mengalami kemusnahan harta-benda, kehilangan orang tersayang dan bencana badan yang serius.
Saya fikir Allah sengaja memberi isyarat yang ajal saya semakin hampir. Ia bukan satu kepelikan. Tanda-tanda saya menerima stroke serentak dengan kematian abah dan Ayu nyata memberi kesan emosi yang mendalam. Saya mengingati kematian.
Kita akan mati. Allahu Akbar. Roza selalu menegur saya kerana menggunakan perkataan mati. Meninggal dunia, katanya lebih sopan. Mati bunyinya kasar dan menakutkan. Itulah bezanya antara orang Terengganu dengan Johor.
Bangsa Melayu yang sama tetapi tutur kata yang berbeza. Namun mati atau meninggal dunia akan membawa orang yang dipanggil Allah ke alam kubur. Ia rumah baru setelah sekian lama menjalani kehidupan yang mengasyikkan.
Jika mereka takut dan mahu melarikan diri daripada kematian, nyata mereka melakukan pekerjaan yang sia-sia. Kematian tidak akan lambat atau cepat sesaat. Ia tidak mengira sama ada Perdana Menteri atau tukang sapu sampah di jalanan. Jika kita berada di Malaysia ataupun di Madinah. Allah telah berfirman melalui surah al-Baqarah ayat 243 yang bermaksud,
Tiadakah engkau perhatikan orang-orang yang keluar dari rumahnya, beribu-ribu banyaknya, kerana takut mati, lalu Allah mengatakan kepada mereka: “Matilah” Kemudian mereka itu dihidupkan Allah kembali, sesungguhnya Allah itu Pemurah terhadap manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih
Secara relatif, lama atau sekejap berada di alam kubur berbeza-beza di antara individu dengan individu yang lain. Keluasan kubur juga dikatakan tertakluk kepada amal mereka di dunia. Ada yang teruja dan pasti ada yang berdukacita. Malah – secara statistik – hampir 80 peratus penduduk dunia bukan beragama agama Islam.
Pada ketika dan saat ini mereka adalah golongan kafir yang akan berdukacita. Mereka adalah golongan yang ingkar tetapi yang saya takut dan berfikir-fikir bagaimana dengan mereka yang beragama Islam tetapi menyerupai golongan yang tidak beragama Islam.
Allahu Akbar, mudahan-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi. Allah menyatakan kehidupan yang sempit – ditafsirkan sebagai azab kubur oleh para ulamak – melalui surah al-Taha ayat 124 yang bermaksud,
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.
Kemudian dibangkitkan di hari pembalasan. Saya impikan masuk syurga tanpa dihisab. Hampir setiap malam saya berdoa agar isteri dan anak-anak juga ikut serta bersama ayah dan wan, abah dan mak, adik-beradik, ipar-duai, guru-guru, anak-anak murid dan seluruh kaum muslimin dan muslimat.
Saya tidak mempedulikan jika orang berkata, “siapalah kita yang mahu meminta-minta dengan Allah, biarlah Allah yang menentukan segalanya. Tugas kita hanya beramal-ibadat kepadaNya”.
Saya fikir dan berpendapat, meminta kepadaNya juga merupakan amal ibadat yang sangat signifikan. Ia menjauhkan diri daripada amalan syirik atau menduakanNya. Malah jika manusia bergantung dan bertawakal kepadaNya (mengikut aturanNya), ia boleh membawa manusia ke arah syurga tanpa dihisab.
Tentu sekali – sekurang-kurangnya 17x sehari semalam – secara wajib saya berikrar dan beriktikad, “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”. Malah surah al-Ikhlas yang sering di bibir juga mengajar kita supaya meminta sebarang hajat kepadaNya.
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
Benar, saya sangat-sangat berhajat untuk memasuki syurgaMu tanpa dihisab ya Allah. Sungguh ya Allah, aku sungguh-sungguh mahu bersama dengan Rasululullah, para sahabat, alim ulamak dan mereka yang berjuang mempertahankan agama Islam ya Allah.
Ia impian, doa dan harapan yang datangnya jauh dari hati sanubari. Saya percaya hari kiamat pasti datang sebagaimana surah al-Haj ayat 7 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya kiamat pasti datang, tiada keraguan padanya, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan orang yang dalam kubur”.
Saya sangat-sangat yakin betapa padang Masyar itu benar-benar wujud. Saya yakin majoriti manusia akan dihisab sebelum di bawah ke syurga atau neraka. Hanya mereka yang benar-benar istimewa akan terus ke syurga tanpa dihisab. Allahu Akbar. Ia penentuan yang tiada mempunyai hari-hari belakang yang boleh ditoleh.
Saya ketakutan memikirkan bagaimana penerimaan Allah terhadap tingkah-laku saya semasa menghadapi ujian kehidupan. Perlukah saya beratur panjang? Luluskah saya? Cemerlangkah saya? Tangan manakah yang akan menerima keputusan yang bakal menentukan syurga atau neraka?
Allahu Akbar, memikirkan soal-soal ini sahaja sudah cukup untuk membuat jiwa dan perasaan bergetar. Lalu ia diterjemah melalui doa-doa yang menggambarkan perasaan bergantung harap kepada Dia yang Maha Berkuasa.
Menulis buku ini dilakukan bersekali dengan saya membaca terjemahan kisah-kisah yang dijadikan iktibar oleh Allah SWT melalui terjemahan al-Quran. Berulang-ulang Allah memujuk Nabi Muhammad SAW betapa tugas baginda hanyalah untuk mengkhabarkan berita kegembiraan buat mereka yang beriman dan memberi peringatan kepada mereka yang ingkar dengan perintah Allah.
Akhirnya Dialah yang akan menentukan sesiapa yang akan diberi taufik dan hidayahNya (mengikut aturan tertentu). Malah banyak surah menceritakan secara berulang-ulang bagaimana kaum musyrik tidak atau sengaja berpura-pura tidak mempercayai hari pembalasan dan hari akhirat.
Ia menjadi lebih mendukacitakan lagi kerana mereka mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan Baginda SAW. Malah melalui surah Yasin ayat 77 – 78, Allah telah menjawab ejekan seorang kafir yang menghancurkan tulang-tulang di hadapan baginda dan seterusnya menaburkannya ke udara sambil bertanya, “apakah Allah akan membangkit semula tulang ini?”. Ayat tersebut bermaksud,
“Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahawa Kami menciptakannya dari setitik air (mani), Maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata! Dan ia membuat perumpamaan bagi kami; dan Dia lupa kepada kejadiannya; ia berkata: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang, yang telah hancur luluh?”.
Hakikatnya, suasana seperti ini masih wujud di kalangan umat Islam akhir zaman yang mengambarkan seolah-olah mereka tidak mempercayai hari pembalasan.
Inilah ujian terbesar buat mereka yang mengaku Islam Saya fikir, begitulah hakikatnya mereka yang secra sengaja tidak mahu menunaikan solat, tidak mahu menutup aurat, berlaku khianat sesama manusia, melakukan perzinaan, seks di luar tabie, tidak berlaku adil bila diberi kuasa dan melakukan pelbagai kezaliman terhadap perintah Allah.
Sebenarnya - pada hakikatnya – mereka sedang mengejek-ngejek dan mempersendakan perintah-perintah Allah SWT. Nafsu jahat menguasai pemikiran dan tindakan.
Saya berhenti sejenak apabila membaca terjemahan Surah Taha, ayat 135 yang bermaksud,
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk”.
Tunggulah…. Kita semua sedang menunggu. Apakah keputuan ujian kehidupan yang telah kita lalui? Bagi mereka yang tidak mengetahui yang mereka sedang diuji, ia tidak membawa sebarang erti yang signifikan.
Buat mereka yang tidak mempercayai atau berpura-pura tidak mengetahui yang adanya kehidupan selepas kematian, mereka tidak akan menunggu hari tersebut. Jika ada yang menyangka mereka belum diuji, mungkin ujian tersebut berlalu tanpa mereka sedari.
Tunggulah…. Tunggulah…. Tunggulah. Hari itu pasti tiba. Dan buat saya dan Roza, ia sangat hampir. Biarlah kami lulus ujian kehidupan ini dengan bergaya di sisi Allah. Moga-moga kita dibangkitkan bersama dalam barisan yang panjang mengikut kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
Kami juga Teruja

Mereka tidak minat buku masakan... he.. he..

Beli, baca, cuba dan amal....
Puan Suraiya, editor Bukan Sekadar Resepi dan Bersyukur Saat Diuji menghantar dua keping gambar untuk tatapan kami di sini.
Beliau sendiri kami tidak pernah berjumpa. Perhubungan hanya melalui e-mel dan alhamdulillah ia berhasil dengan dua tajuk buku yang kini berada di pasaran.
Alhamdulillah juga, komen-komen pembaca sudah memenuhi kotak e-mel saya dan Roza. Cepat mereka membaca. Salah satu komen awal yang saya terima menyebut:
Saya sudah membaca Bersyukur Saat Diuji. Alhamdulillah.
Saya mahu mengucapkan terima kasih kpd prof. Terima kasih sangat-sangat. Walaupun ia pernah prof ceritakan di KRTS, tulisan-tulisan prof sentiasa relevan…. biarpun dibaca berulangkali.
Banyak sangat pengajaran di dalamnya. Insyaallah, semoga Allah permudahkan untuk saya dan keluarga serta muslimin-muslimat yang lain dalam usaha menyertai golongan yang sedikit itu.
Semoga Allah merahmati prof dan keluarga jua.
Saya juga terbaca komen ini di FB Roza,
Disarankan semua ibu-ibu, bacalah buku Bukan Sekadar Resepi hasil nukilan Raudzah Roslan. Jalinan kasih ibu dan anak-anak digambarkan dgn indah melalui resepi yang ada.
Benarlah seperti tajuknya, ia bukan sekadar resepi. Saya umpama dibawa kembali imbauan kenangan bersama arwah emak. Dulu tak mampu beli makanan yang sedap dan mahal, tapi emak berusaha untuk cari resepi yang baik bagi hidangan yang serupa.
Air mata, rasa sebak, senyum sendirian itulah reaksi ketika dibaca. Tahniah di atas penulisan yang sungguh indah.
Kami selalu berdoa agar ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
April 30, 2012
Saprah Berbuka Puasa Wanita (Sudah di Tutup)
Update
Alhamdulillah, dalam tempoh 41 minit kita berjaya mengumpul RM4500, kurang-lebih SR5600. Janji kerana Allah Taala ini sudah memadai buat saya menyerah jumlah tersebut kepada Roza untuk diserahkan kepada jemaah yang menguruskan saprah ini pada malam ini.
Jemaah ini akan menyediakan jamuan berbuka puasa Isnin dan Khamis serta pada 13, 14 dan 15 bulan Hijrah.
Mudah-mudahan Allah menerima ini sebagai suatu amal ibadat yang dipandangNYA.
NotaMKI: 7 nombor terakhir adalah sumbangan kami sekeluarga.
ENTRI TERDAHULU
Alhamdulillah, KRTS membantu menguruskan bantuan kepada 2 saprah di Masjid Nabawi. InsyaAllah, ia akan diteruskan dari semasa ke semasa. Saprah yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Malaysia, saya telah serahkan SR5600 untuk 50x majlis berbuka.
Saprah yang dikendalikan oleh Sheikh Ridzuan saya serahkan SR1000/sebulan berserta dengan tambahan-tambahan tertentu mengikut keadaan berdasarkan lebihan kadar tukaran asing.
Kini, saya membuka peluang – dengan izin Allah – untuk rakan-rakan KRTS menyumbang khusus Saprah Berbuka Puasa di bahagian wanita. Baca arahan di bawah dengan teliti. Hanya yang mengikut arahan sahaja yang saya bertanggungjawab di atas kutipan ini.
Notis Pelawaan
Jika tuan-puan mahu turut serta bersama menyumbang, maka jadilah 50 khalayak pertama yang menulis komen di bawah dengan menyatakan komitment anda. Bankin di Maybank 562106211166 HANYA RM90.
Jika anda orang yang pertama, tulis komen begini:
1. saya Muhd Kamil Ibrahim bersetuju menyumbang RM90 untuk majlis berbuka puasa bahagian WANITA di Masjid Nabawi kerana Allah Taala.
Jika anda orang yang kedua, tulis komen begini:
2, saya (tulis nama anda) bersetuju menyumbang RM90 untuk majlis berbuka puasa bahagian Wanita di Masjid Nabawi kerana Allah Taala.
Satu komen, satu sumbangan dan satu nama sahaja.
Mohon pertolongan: Patuhi arahan ini. Tidak perlu menulis apa-apa selain daripada apa yang saya nyatakan di atas di dalam ruangan komen ini. Tidak perlu tulis, “terima kasih Prof…”. Dan tidak perlu juga e-mel kepada saya setelah membuat bayaran.
Wang yang dikumpulkan akan digunakan seperti berikut (Kutipan 4,500.00 MYR = 5,578 SAR berdasarkan kadar tukaran XE pada entri ini ditulis. Terlebih terkurang mohon dihalalkan).
1. Majlis berbuka puasa untuk sebanyak 50x dengan kadar SR100 sekali majlis di Masjid Nabawi
2. Baki SR578 (InsyaAllah saya tambah menjadi SR600 akan diserahkan sebagai hadiah kepada mereka yang mengendalikan sprah ini)
Kami memohon keampunan Allah dan moga-moga ia amal ibadat yang diterima Allah.
Tetamu Umrah
Akhir-akhir ini saya sering terlupa merakamkan gambar tetamu yang hadir ke rumah.
Mungkin faktor masa. Solat Isya selesai di sekitar 9 malam. Mereka akan berkumpul di parking 11A di sekitar 9.30 malam.
Akhirnya, jam melewati 11.00 malam barulah saya dapat menghantar mereka kembali ke hotel.
Minggu ini kami berkenalan dengan Puan Shelly dan suami yang sering menulis komen di KRTS. Bersekali dengan staf UiTM yang sedang menuntut di peringkat PhD.
“Siapa nama puan?,” saya bertanya.
Beliau memberitahu tetapi kini saya tidak dapat mengingatnya. Ah.. lebih mudah saya memanggilnya adik Suria!
April 29, 2012
Besok
Istilah besok merupakan satu gurauan di sini.
Bila berurusan dan dinyatakan besok maka besok itu mungkin melewati beberapa kali besok. Akhirnya besok itu mungkin tidak muncul sehinggalah sampai dan ketikanya.
Itulah kisah-kisah yang sering saya dengar.
Saya juga melalui keputusan “besok”. Maka besoknya saya akan hadir mengikut masa dan ketika yang ditetapkan. Jika dinyatakan “besok” lagi, maka saya akur juga. Besoknya saya – InsyaAllah – akan muncul.
Bagaimanapun setelah lapan bulan di sini, saya perlu akui yang bilangan “besok” itu tidak sampai sebelah jari. Sangat sedikit. Malah jika saya kaji-kaji, hampir kesemua mereka yang saya berurusan sangat-sangat membantu.
Saya lebih mudah dilayani jika datang berseorang berbanding dengan teman yang pandai atau fasih berbahasa Arab. Mereka lebih simpati bila saya nyatakan “Bahasa Arab saya sangat lemah”.
Mereka berbahasa ARAB, saya tidak faham. Saya berbahasa Inggeris, mereka tidak faham. Aneh, urusan akhirnya selesai.
Barangkali saya mempunyai wajah sedih yang memerlukan mereka membantu!
Namun di atas segalanya saya sentiasa bergantung dengan pertolonganNya.
Berada di PWTC
[image error]
Membayangi kemeriahan Pesta Buku
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
