Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 20
May 31, 2012
Sayangkan dia
Ada yang menulis, “saya sayangkan dia tetapi tidak mampu untuk menegur. Bagaimana prof?”
Ketidakmampuan untuk menegur juga dikaitkan kerana sayang. Kita takut mereka berasa hati. Seorang teman yang sangat baik tetapi tidak solat – misalnya – benar-benar menggusarkan rasa hati.
Kita takut kehilangan teman tersebut.
Ketidakmampuan untuk menegur juga kerana kita mempunyai kepentingan. Rakan yang membantu kita dalam urusan harian dan mereka yang berkuasa di atas penilaian prestasi kerja yang membawa kepada ganjaran kewangan juga menyebabkan perasaan tersebut.
Hakikatnya, kita sayangkan mereka tetapi takut ia menyebabkan kepentingan sendiri terjejas.
Kita sayangkan kedua-dua ibu bapa, ibu dan bapa mertua serta kaum keluarga yang hampir. Hakikatnya, merekalah yang paling sukar ditegur. Kita tidak sanggup melukakan hati mereka yang disayangi.
Itulah tafsiran kasih-sayang yang ada.
Jika begitu, marilah kita lakukan sesuatu untuk mereka yang tersayang. Kita tiada upaya untuk menyatakan. Kita uzur tenaga dan kudrat untuk melafazkannya.
Lalu saya memberi nasihat,
Bangunlah 1/3 malam tersisa. Mohonlah kepadaNya agar Allah bukakan pintu hati orang yang kita sayang supaya berubah. Perbanyakkan puasa-puasa sunat agar bila berdoa Allah akan makbulkan sebagaimana janji-janjiNya.
Hati orang yang kita sayang tidak akan terasa. Tidak, tidak, tidak…. mereka tidak tahu pun yang kita menangis merayu dan merintih agar mereka berubah!
Bukankah itu juga ciri-ciri doa yang baik?
Lalu akhirnya kita berkata kepada diri sendiri, benarkah aku sayangkan mereka?
May 30, 2012
Bercinta
Rasulullah SAW pernah menyatakan,
Semoga Allah merahmati seorang yang bangun malam dan membangunkan isterinya, bila isterinya menolak, maka dipercikkan air ke wajahnya. Semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun malam dan membangunkan suaminya, bila suaminya menolak, maka dipercikkan air ke wajahnya
Hadis ini direkod oleh Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad.
Bila usia semakin hampir ke penghujung – agak saya – inilah kaedah bercinta suami-isteri. Suami-isteri bermain-main air. Malah kelembutan panggilan misalnya, “Yang, bangun Yang… sudah tiga pagi…” mewarnai baki kehidupan.
Roza tidak pernah sempat merenjis air ke muka saya. Ketika terjaga, beliau akan mengejutkan saya. Sekali. Beliau akan terus bersolat. Jika masih dilihat suami enak berselimut, dikejutkannya sekali lagi. Dua kali.
Kali ketiga adalah had batasan. Saya sendiri tidak suka jika dikejutkan berulang kali. Ia waktu snooze yang mengambil 30 minit masa kualiti.
Jika sebaliknya, saya hanya perlu sekali kejut. Roza sangat mudah bangkit dari tidurnya.
Anak-anak pula sudah tahu, jika masuk kali ketiga dikejutkan untuk solat subuh, maka bergemalah satu rumah!
Saya selalu menasihati jemaah haji dan umrah agar suami-isteri sentiasa bersama ke masjid. Beramal ibadatlah bersama. Itulah yang akan dibawa pulang. Sukar untuk saya nyatakan tetapi memadai dengan rasa cinta yang mendalam diberi Allah kepada pasangan sendiri.
Saya fikir di Mekah dan Madinah, tidak perlulah rakan di sisi. Biarlah kita berseorangan di rumah Allah. Mengadap Dia yang satu.
Bukan kawan dan rakan yang akan mengejutkan kita di 1/3 malam yang tersisa.
Allahu Akbar, ia hanya pandangan saya semata!
Mashi Sudan

Di sebalik Mashi ini ada hati yang sangat lembut dan berperisa
Kami sekeluarga diberi nikmat oleh Allah untuk merasai banyak resepi makanan yang tidak pernah terfikir dek akal biasa. Saya hanya mencuba dan merasa.
Roza pula mencatat dan melihat dari perspektif yang berbeza. Barangkali kisah Bukan Sekadar Resepi: Aroma antara Benua akan melahirkan isi hati beliau menikmati perjalanan kehidupan beliau di bumi Allah yang sangat luas.
Kali ini beliau sangat berahsia.
May 29, 2012
Hak Cipta dan Carta
Semalam Ida dan suami membawa sekotak bungkusan kiriman Galeri Ilmu. Terkandung di dalamnya 10 naskah buku Bersyukur Saat Diuji, 10 naskah buku Bukan Sekadar Resepi, majalah ANIS dan 4 salinan perjanjian penerbitan buku.
Paling seronok saya melihat fasa 1 yang menyebut secara jelas yang pengarang memegang hak cipta yang sah dan memberi lesen yang sah kepada penerbit untuk menerbitkan buku tersebut dengan BERTEMPOH.
Ia dinyatakan secara jelas yang tempoh pemberian lesen tersebut bermula 2hb April 2012 sehingga 1hb April 2015. Dengan memberi notis 14 hari dari tarikh lupus perjanjian, penulis boleh mengambil kembali hak penerbitan tersebut. Jika tidak ia akan bersambung secara automatis untuk selama tiga tahun berikutnya.
Saya fikir ia perjanjian yang sangat adil. Penerbit yang menjaga kebajikan penulis-penulisnya – termasuk kebajikan hati dan perasaan – tidak akan berasa gusar dengan perjanjian seumpama ini walaupun ia hasil karya yang laku keras dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.
Penulis bukan penerbit. Masing-masing mempunyai peranan dan kepakaran tertentu. Jarang benar seorang penulis mahu menerbit dan mengedar sendiri buku-buku mereka.
Hubungan profesional antara penulis dengan penerbit merupakan salah satu faktor keseronokan menulis dan menerbitkan hasil tulisan tersebut dari sudut seorang penulis. Saya tidak terkecuali.
Sehingga saat ini, saya berterima kasih kepada Galeri Ilmu kerana memberi ruang untuk kami menulis dan tidak perlu memikirkan perkara remeh-temeh untuk menjadikan hasil tulisan itu diterbitkan.
Carta
Pasca Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Minggu lepas, Bersyukur Saat Diuji menduduki tangga ke 12 carta buku popular MPH. Bukan Sekadar Resepi tidak termasuk dalam carta.
Seminggu kemudian, BSD sudah naik enam anak tangga, menduduki tangga ke 6. BSR pula berada di tangga ke 12.
Saya membacanya apabila google kedua-dua tajuk untuk melihat komen-komen pembaca. Walaupun ia tidak membawa gambaran sebenar suasana keseluruhan pasaran, saya bersyukur kepada semua khalayak yang telah memilih untuk membeli kedua-dua buku tersebut.
Terima kasih kepada semua.
Kek Ceri Llanfairfechan

Kek Ceri Llanfairfechan.
Bila Roza menyebut, “salah satu resepi yang akan saya utarakan dalam buku terbaru ialah kek Ceri Llanfairfechan,” minda saya pantas berputar kepada kisah 10 tahun yang lampau.
Saya bukanlah penggemar kek sejati. Kek yang benar-benar menjadi minat saya hanya dua, Kek Dundee dan Hati Pari. Namun kek Ceri terpahat di hati kerana kaitannya dengan sebuah kampung kecil di Wales.
Di sanalah kami bermukim jauh daripada masyarakat Melayu Malaysia hampir setahun. Saya tidak tahu sudut mana yang mahu dicatatkan oleh Roza tetapi sesuatu yang pasti – InsyaAllah – ia sesuatu yang saya nanti.
Ceritanya belum pasti, namun resepinya sudah kami kecapi. Saya, Amirul dan Sofea – penilai masakan Bukan Sekadar Resepi – berkata, “OK, ia melepasi tahap piawai untuk dibukukan”.
Seperti biasa, Chef tersenyum – letihnya tiada lagi di hati!
May 28, 2012
Asas
Jika barangan letrik tidak berfungsi, apakah langkah pertama yang perlu kita lakukan?
Lihat punca kuasa. On atau tidak. Ia soal asas.
Ketika di MRSM – pada satu ketika - kami tidak dibenarkan menggunakan kuasa elektrik untuk pelbagai barangan harian termasuklah radio-kaset. Tentu sekali pengetua yang mengeluarkan arahan tersebut tidak popular.
Sangat tidak popular. Beliau menerima pelbagai nama gelaran.
Manalah budak-budak tahu yang sekolah perlu berjimat cermat. Alahai… ia tidak masuk akal.
Sesekali pengetua akan membuat pemeriksaan mengejut. Hakikatnya, ia tidak jadi mengejut kerana kami akan dimaklumkan kedatangan beliau oleh guru disiplin yang juga seorang warden.
Maklumat ini disampaikan secara pantas kepada saya – misalnya – yang dilantik sebagai blok kapten.
Logiknya begitu.
Warden tentunya mahu asrama yang dibawa pengawasan beliau sentiasa tip-top mengikut peraturan. Dalam sekelip mata kami dapat menyediakan suasana yang bersih dan kemas, malah barang-barang terlarang pastinya tidak mudah terdedah.
Namun ada sesuatu yang pasti. Para pelajar merancang sesuatu untuk “bermain-main” dengan pengetua yang membuat peraturan tidak masuk akal dek para pelajar.
Setiap bilik akan mengeluarkan radio-kaset mereka. Semuanya akan memasang lagu yang rancak. Radio ini pula akan diletakkan benar-benar berhampiran dengan punca kuasa yang diONkan suisnya.
Logiknya juga, pengetua dan warden dengan penuh “panas hati” akan memasuki bilik. Warden merenung wajah saya barangkali geram kerana tidak menggunakan maklumat yang dibekalkan.
Pengetua pula akan membebel dan terus menampar suis elektrik berhampiran dengan radio-kaset tersebut.
Ha.. ha… ia masih berbunyi!
Tiada wayar yang menyambungkan radio dengan punca kuasa tersebut. Kami menggunakan bateri!
Warden tersengih dan mengenyitkan mata kepada saya. Dan kami tidak tersenyum dan tetap berwajah serius. Allah… Allah, sesekali saya mengenangi kisah nakal di asrama.
Ya Allah ya Tuhan kami, temukanlah kami di Jannah dengan kesemua guru-guru kami yang telah banyak memberi kebaikan di atas ilmu yang telah kami manfaatkan.
Ampunkan dosa-dosa mereka ya Allah.
Syif Zuhur

Pertama kali bertemu di alam nyata. Komen-komen mereka di FB ada terpandang.
Hari ini RKDJU menerima tetamu selepas solat Zuhur. Chef Bukan Sekadar Resepi ikut sekali menyambut mereka di Haram. Lalu sayalah yang menjadi Chef.
Menu kali ini – Nasi Bukhari – hasil tangan restoran Zomorod Bukhara, jiran kami yang paling hampir. Namun Roza membuat sedikit ubah-suai supaya sesuai dengan pelbagai peringkat umur yang muncul.
Alhamdulillah, habis dua dulang!
Di sebelah malam, kami menerima tetamu rakyat Jordan. Resepi di sebelah malam khusus untuk mereka yang pertama kali bakal merasai makanan Malaysia.
Mudah-mudahan mereka boleh “telan dan enjoy” sesuatu yang baru.
Bukan Sekadar Resepi: Resepi antara Benua

Cerita di sebalik epal goreng yang menarik
Apple Goreng Snowdonia.
Ia tidak perlu menunggu buku terbaru Roza. Namun cerita di sebalik resepi ini yang sentiasa saya kenang. Ia saat-saat Roza mahu melahirkan Amirul di Wales, UK.
Ia kisah anak di dalam kandungan dan ibu yang sedang mengandungkannya.
Entah… bagaimana Roza mahu bercerita, saya sendiri menanti-nanti saat tersebut!
Tetamu istimewa
Selam hampir setahun di Madinah, semalamlah saat-saat yang paling sibuk menyambut tetamu Allah. Serentak mereka membuat panggilan. Dan di sisi jalan keluar-masuk Haram, ramai yang berselisih dan bertegur sapa.
Agaknya kesemua penerbangan cuti sekolah Malaysia menuju ke Jeddah atau Madinah.
Otak kecil saya berhempas pulas mengingati nama-nama ketika sedang mengawas peperiksaan. Namun kami sangat teruja. Lalu dari sebelum asar sehingga jam 12 malam adalah masa meraikan mereka yang hadir sama ada di 11A ataupun dirumah kecil kami di Jabal Ohud.
Di antara mereka, Ustazah Zaiton guru sekolah agama negeri Johor di Jementah. Beliau adalah guru Roza, Sara, Azrai, Amirul dan Sofea.
Paling lama Amirul. Saya terkenangkan beliau yang datang ke rumah Abah dan Mak memaklumkan perkembangan Amirul di sekolah.
Juga, hadir sama pasangan penulis suami-isteri Mohamad Kholid Hamzah dan Saripah Bakar yang tinggal di Cameron Highland. Mereka menyampaikan undangan, “nanti di Cameron Highlands, makam malam di rumah kami,” sesuatu yang tidak mahu saya tolak.
Ada juga Reyana dan suami yang menghulurkan VCD Motivasi Haji. Beliau juga membawa dua naskah buku BSDU dan BSR.
Apel Hijau, saya pelawa ke rumah cuma di celah-celah Zuhur dan Asar. Ada yang datang di parking 11A, “saya mahu bertemu prof sekejap sahaja,” lalu bersalam dan cepat mereka pergi.
Ada lagi, saya lupa. Berpeluk dan terus beredar.
Alhamdulillah, kami tidak kesunyian. Sekejap lagi, Ida dan suami membawa buku-buku kiriman Galeri Ilmu. Naskah penulis. Saya fikir 10 naskah setiap satu tajuk.
Ada juga tetamu dari Terengganu yang saya kirim majalah ANIS bulan Jun. Kesemuanya sudah tiba di Madinah!
Allahu Akbar, terima kasih semua.

Ustazah Zaiton dan keluarga, Saripah dan Reyana.

Apel Hijau bersama anak-anak saudara dan kakak ipar.

Hanya mahu menyatakan, "saya baca buku prof".

Saya percaya beliau dari Johor Bharu
May 27, 2012
Semakin Panas

Buah tamar di kawasan yang sama, tanah yang sama, air yang sama, kepanasan yang sama tetapi rupa dan rasanya berbeza.
Saya menyatakan ia sangat panas. Mereka menyatakan ia baru permulaan.
Namun ada yang lebih panas. Gambarannya begini (hadis ini pernah dipetik sebelumnya),
Dari Abu Hurairah r.a. Nabi SAW menyatakan: “Kepanasan api kamu yang digunakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah sepertujuh puluh kepanasan api Neraka Jahanam”.
Sahabat-sahabat Baginda berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyeksa. ”
Baginda SAW menerangkan: “Meskipun demikian, kepanasan Neraka jahanam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak enam puluh sembilan bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini”.
Hadis ini direkodkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi.
Kesan panas kepada kami di sini ternyata ada. Sudah seminggu saya berkahak, berdarah cair dan suhu badan yang berubah-ubah. Sofea juga mengalami kesan kepada perubahan cuaca yang saya fikir sangat berbeza.
Kini, kesan tersebut semakin tiada. Ia reda. Kami juga boleh menerima rasa panas tersebut sebagai sebahagian daripada proses untuk melihat kebesaran Allah.
Kenapa?
Misalnya pohon-pohon kurma memerlukan suhu seumpama ini. Katanya begitu. Dan benar sekali, hampir di semua tempat buah-buah muda sangat menawan.
Khabarnya juga, nanti di bulan Ramadhan kita dapat merasai buah kurma baru yang segar dan lazat.
Patutlah, Mejdol yang saya tempah menjadi sangat kecil berbanding sebelumnya. Ia stok lama, hujung musim sebelumnya.
Kalau begitu, biarlah suhu ini hadir sebagai anugerah Allah. Tidak perlu kami bersungut atau berkeloh kesah. Setiap satunya – sejuk dan panas – mempunyai nilai yang sama di sisi Allah.
Namun untuk mereka yang mengerti.
Tetamu Allah
Di sana-sini saya mulai merasai kehadiran rakyat Malaysia.
Bila berjalan masuk dan keluar masjid, sangat jelas mereka yang memakai kopiah berlambang yang menjadi pilihan rakyat Malaysia. Malah di luar masjid amat mudah melihat tulisan jawi “Malaysia” di belakang telekung putih wanita-wanita.
Alhamdulillah, semalam sahaja diizin Allah untuk menyampaikan tazkirah – dua kali – kepada tiga jemaah muda dan pertama kali hadir di sini.
Ada perbezaan signifikan apabila bercakap dengan orang muda berbanding dengan mereka yang berusia, mereka yang pertama kali dengan mereka yang berkali-kali datang atau mereka yang sudah mengenali atau yang bertanya-tanya siapakah gerangan di sisi mereka.
Namun saya percaya, akhirnya nanti – InsyaAllah – mereka mampu melihat ibadat umrah atau haji yang sedang mereka lalui melalui pandangan sisi yang berbeza. Sekurang-kurangnya – dengan izin Allah – ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan.
Soal seterusnya terpulanglah kepada mereka untuk berfikir dan mengamati apa yang telah disampaikan terutamanya dalam konteks membawa diri apabila pulang ke Malaysia.
May 26, 2012
Meraikan

Mereka datang awal. Duduk di saf hadapan. Di tangan ada al-Quran. Tiada siapa yang menghalang!
Kanak-kanak di sini sangat-sangat diraikan bila hadir di masjid.
Mereka tidak dipisahkan dengan orang dewasa. Jika sampai awal, saf hadapanlah hak mereka. Mereka akan duduk dan berdiri bersama bapa.
Ia perbezaan yang sangat ketara berbanding di Malaysia. Hampir kebanyakan masjid ada pemisah antara saf dewasa dengan saf kanak-kanak.
Maka berkumpullah mereka di suatu kawasan. Alahai…. ia mungkin jadi taman permainan!
Lalu ia menyebabkan saya mencari nas dan dalil tentang bagaimana layanan Rasululullah SAW kepada golongan ini.
Benarkah mereka yang belum berkhatam tidak boleh sebaris dengan mereka yang dewasa?
Benarkah terputus saf solat berjemaah dengan adanya kanak-kanak di antara barisan?
Akhirnya, saya berdoa supaya anak-anak kita diraikan selayaknya apabila mereka di rumaNya!
Meraikan Amirul dan Sofea

Big breakfast
Kami tidak pernah tinggalkan Amirul dan Sofea apabila berkunjung ke Mekah. Mereka tahu yang sampai sahaja di hotel, berehat sekejap – tidak kira pukul berapa – dan akan bergerak ke Masjidil Haram.
Mereka tahu, tawaf, solat sunat tawaf, minum air zam-zam, saei dan bertahlul.
Kami mengajar mereka untuk sentiasa berdoa. Mintalah apa sahaja dengan Allah SWT.
Kadangkala saya menyebut sesuatu yang sangat spesifik, “doakan agar nenek, abang ngah dan kakak dapat datang ke Madinah” atau mereka sendiri menyebut, “Sofea doakan agar kakak kahwin dengan….”
Kami ketawa.
Di Mekah kami cuba meraikan keduanya agar tidak menjadikan perjalanan ke Mekah sebagai sesuatu yang mahu dielakkan. Kami cuba seimbangkan kisah dunia dan akhirat.
Salah satu yang menjadi kegembiraan mereka berdua ialah menikmati sarapan pagi ala Arab. Makanan yang disediakan sangat-sangat berbeza berbanding dengan pakej umrah atau haji.
Sofea dan Amirul sentiasa menunggu untuk bersarapan. Ia sesuatu yang mengujakan.
Visa
Permohonan nombor visa di sini telah selesai. Namun ia tidak 100% kerana nama mak hilang daripada permohonan kami. Hanya muncul Ahmad Haris Azrai dan Sara Fateha.
Biasalah, saya diminta untuk mengisi semula borang permohonan. Ia boleh dilakukan secara on-line, print dan bawa ke Jeddah.
Namun saya mengambil jalan mudah dengan memberi upah kepada mereka yang kerjanya menguruskan soal ini.
Cuma, kami hanya mempunyai kurang-lebih 3 minggu sahaja.
Hanya kepada Mu kami mohon pertolongan.
May 25, 2012
Jarak

Ia sangat hampir dengan Pintu 1
Secara perbandingan, inilah kawasan paling hampir dengan Masjidil Haram. Di dalamnya terdapat banyak hotel beroperasi. Ia kelihatan sangat mewah dan berprestij.
Di kawasan ini juga beroperasa D’Saji, restoran yang menyediakan masakan Malaysia. Logiknya, ia menjadi tempat temuan rakyat Malaysia.
Dalam konteks perniagaan, ia menjadi salah satu faktor pemasaran utama. “Hotel kami hanya 50 meter dari pintu 1,” kenyataan yang menunjukkan satu kelebihan.
“Berapa jauh hotel dengan Masjidil Haram?”
Ia soalan lazim. Ia satu perlambangan. Malah ia – sesekali – menjadi kebanggaan sesetengah jemaah.
Bagaimana dengan kadar sewa? Mahal atau murah?
Hampir kebanyakan hotel meletakkan harga berdasarkan harga sebilik. Ada peraturan limit penghuni namun mereka tidaklah terlalu berkira. Harganya berbeza-beza.
Bilik yang sama pernah berharga SR450 dan pernah juga mencecah SR1200 semalam. Ia sangat bergantung kepada musim dan ketika tempahan dibuat.
Namun ada sesuatu yang lebih menarik. Jarak 50 meter tidak semestinya menjadi pendorong untuk sebahagian daripada mereka solat di dalam masjid.
Allah… Allah… ramainya yang menghampar sejadah di dalam kawasan utama bangunan. Jaraknya dekat, masanya masih ada tetapi mungkin ada sesuatu yang tidak pasti.
Jarak dan masa tidak lagi bererti!
May 24, 2012
Erti Masjidil Haram
Ia tidak menjemukan. Saya sukakan pandangan ini.
Setiap kali melangkah masuk di sini, saya pastinya tewas dengan perasaan sendiri. Ia seolah-olah baru semalam berlalu. Dulu, ia bukan tempat yang mahu saya singgah.
Agaknya ramai orang mempunyai perasaan ketakutan untuk menunaikan fardhu haji. Saya tidak terkecuali. Kenapa ia begitu bergantung kepada laluan kehidupan masing-masing.
Saya misalnya, tidak mahu ke Mekah dan Madinah kerana memikirkan saya seorang yang sangat jahil. Tidak tahu membaca al-Quran, tidak pandai berdoa dalam bahasa Arab malah amal ibadat harian yang sangat tidak memadai berbanding dengan nikmat yang dianugerah Allah.
Maksudnya, saya masih belum bersedia.
”Saya takut tidak nampak Kaabah,” juga terlintas di fikiran. Ramai orang bercerita tentang pembayaran tunai terhadap kesalahan dan kesilapan yang berlaku di Tanah Haram. Saya khuatir Allah akan menghukum saya di sana.
Malah cerita-cerita sesat di Masjidil Haram, Arafah dan Mudzalifah menjadi perbualan mereka yang pulang daripada menunaikan fardhu haji. Natijahnya, saya yang jahil akan sentiasa berfikir betapa segala yang buruk itu akan tertanggung di bahu saya.
Kenapa?
Sayalah yang layak dibalas sedemikian rupa sesuai dengan sikap dan amalan lampau yang tidak langsung menggambarkan saya bersyukur kepadanya.
Malah, sifat angkuh dan sombong dengan tidak mengaitkan setiap kejayaan yang dicapai dengan kekuasaan Allah menyebabkan saya terfikir yang sayalah salah seorang calon yang akan menerima segala pembalasan apabila berada di Tanah Suci.
Segala perasaan ketakutan ini diterjemahkan melalui kata-kata sinikal kepada isteri – Roza – yang sentiasa mengajak saya menunaikan fardhu haji – ketika usia muda – semenjak tahun 2000 ketika berusia 36 tahun.
Ajakan-ajakan yang dipandang remeh malah tidak langsung mahu saya pertimbangkan.
”Yang, kita muda lagi. Mati lambat lagi,” kata-kata yang disambut dengan wajah pilu oleh Roza. Cuma beliau tidak berbalas cakap, apatah lagi untuk mengutuk atau menghina kejahilan saya.
Biasanya, perbualan tentang fardhu haji berakhir begitu sahaja tanpa sebarang nilai yang bermakna.
Pada masa yang lain, saya boleh mengeluarkan kata-kata yang bernada main-main, ”Yang, kalau kita menunaikan fardhu haji pada usia muda, balik nanti sukar untuk kita melakukan dosa”.
Roza hanya berdiam diri. Langsung tidak menjawab dengan kata-kata apabila dimain-mainkan permintaannya.
Namun jauh di sudut hati, saya sebenarnya berada di dalam ketakutan. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana saya mahu menunaikan rukun Islam yang ke lima dan kembali semula ke Malaysia dalam suasana baru bergelar haji.
Saya fikir ibadat haji memerlukan manusia bertukar menjadi insan yang lebih baik, lebih hampir dengan Allah dan menjadi contoh kepada mereka yang lain. Perasaan ini – sebenarnya – bermain-main di fikiran ramai manusia biasa-biasa seperti saya.
Namun kekuasaan Allah mengatasi akal fikiran manusia. Saya dan Roza menunaikan fardhu haji pada 2006. Ia menjadi titik permulaan baru dalam kehidupan.
Hari ini, saya mengulang-ulang tempat yang menjadi ketakutan luar biasa pada suatu masa dahulu!
Ampunkan daku ya Allah.
May 23, 2012
Saudara
Ada perumpamaan, “carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum kembali”.
Barangkali ia merujuk kepada pergaduhan saudara-mara atau lebih hampir lagi adik-beradik. Namun ada yang cariknya tidak bertakup kembali.
Ada prinsip yang lebih besar. Pada asasnya, setiap muslim adalah bersaudara. Misalnya dalam surah Al-Hujurat (49:10) Allah ada menyebut,
“Orang-orang beriman (mukmin) itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”
Lalu konteks saudara itu menjadi lebih luas. Dan di sinilah ujian kehidupan menjadi lebih ketara. Jika berlaku sengketa, carik-carik bulu ayam sangat sukar bercantum.
Saya merenung ke dalam diri.
Salah satu elemen besar untuk menjadi golongan terpilih ialah menjaga hubungan sesama manusia. Ia tidak pula – semata- mata – melibatkan hubungan fizikal dengan mereka yang lain.
Maksud saya mudah. Pertama ia terletak pada hati sendiri. Ia langsung tidak berkait dengan individu lain. Jika beliau naik pangkat, tidak perlulah hati kita memberontak.
Jika beliau disayangi bos, tidak perlulah hati kita mengata-ngata ia hasil bodekan yang menggila.
Kalaulah beliau menyombong diri, doakanlah supaya beliau berubah.
Ia berkait dengan hati sendiri!
Kedua, mereka adalah saudara sendiri. Tidak kisah kerana saudara DNA ataupun saudara seagama.
Jadi, kita sayangkan saudara dan menangis kerana mereka tidak patuh dengan suruhanNya. Mungkin juga ingkar dengan laranganNya.
Konsep sayangkan saudara ini menjadi lebih sukar.
Misalnya, anak-anak yang sedang membesar perlu dididik supaya cintakan Allah. Jangan takut anak lelaki mengantuk ke sekolah hanya kerana kita mahu mereka solat subuh berjemaah di masjid.
Alahai, sukarnya menyatakan kepada ipar-duai, “aurat kita terbatas walaupun kakak mu adalah isteri ku”.
Mungkin sangat sukar untuk menyatakan kepada rakan terhampir, “aurat kita bukan setakat menutup rambut, tidak usahlah upload gambar yang tidak menutup aurat ke Facebook….”
Maka menjadi golongan terpilih adalah dengan menyayangi saudara sendiri tetapi ia boleh menyebabkan berlaku carik-carik bulu ayam. Mudah-mudahan ia bertakup kembali.
Ia – saya fikir – akan berlaku apabila setiap orang mengerti yang saat kematian semakin pasti.
Mekah
Kami selamat menunaikan umrah sejurus azan Maghrib berkumandang. Alahai…. Sebak rasanya mendengar bacaan Imam Sudays.
Ia kenangan menunaikan fardhu haji pada 2006-2007.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
