Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 17
June 27, 2012
Tazkirah khas

Berapa kilo?

Meraikan Dr Khairul dan Dr Wan Adibah serta tetamu dari Madinah
“Terima kasih kerana sudi datang,” itulah kata-kata saya kepada Dr Khairul dan Dr Wan kerana sudi menerima jemputan kami ke Medan Ikan Bakar Pernu di Umbai.
Saya bercerita dengan Khairul, “semakin tua, semakin sensitif seseorang. Saya selalu terkenang tentang hubungan supervisor-supervisee. Semasa bersama, supervisee akan pastikan ajakan atau jemputan supervisornya dipenuhi. Selepas berjaya, ia mempunyai pilihan untuk menyatakan tidak”.
Dalam kebanyakan kes mereka akan menyatakan tidak!
Ia bukan sesuatu yang luarbiasa. Supervisee mahu membebaskan diri dari bayangan supervisornya. Malah ada supervisor yang masih menganggap bekas anak muridnya sebagai orang yang masih memerlukan panduannya (nota: agaknya saya termasuk dalam kategori ini).
Suatu perkara yang saya ulang-ulangkan ialah tentang rasa syukur yang perlu dinyatakan kepada Allah SWT. Ia perlu diterjemahkan melalui solat malam dan melakukan amalan-amalan sunat yang lain. Tidak perlulah menyombong diri. Selalulah memberi bantuan kepada pelajar di bawah seliaan sendiri.
Harapan saya tinggi. Saya mahu anak-anak murid saya berupaya menjadi pencetus, pemikir dan berada di atas segala puak dan kumpulan.
Namun ada sesuatu yang pasti apabila berhadapan dengan guru sendiri. Saya lebih suka mendengar bicara mereka. Benar atau salah tidaklah terlalu mustahak.
Ia tidak perlu dibahas dan diperdebatkan. Sekurang-kurangnya pada ketika dan saat tersebut.
Alahai….. tahniah kepada Khairul dan Wan kerana berjaya dengan cemerlang.
Masjid KRTS

Tapak asas dengan bilangan pekerja yang ramai
Masjid KRTS masih di peringkat pembinaan asas. Khabarnya ia akan berakhir dalam beberapa hari lagi. Mudah-mudahan ia berjalan lancar dengan doa yang tidak putus-putus dari pembaca dan penyumbang.
Jadual Kuliah dan Tazkirah
28hb Jun 2012
Motivasi Pagi di UiTM Segamat (8.30 pagi)
Kuliah Maghrib di Masjid UiTM Segamat dan Kuliah lepas Isya di Surau Madrasah Ibnu Mas’ud, Jalan Tasik Alai, Gemereh, Segamat.
June 26, 2012
Kembara ilmu

Nasi Arab, Nasi himpit, Mee Soto, Seri Muka dan pelbagai juadah lain menyambut kedatangan kami di Bangi

Bersama jiran tetangga

Hujan renyai-renyai di Putra Jaya
Hampir 12 hari di Shah Alam.
Kini bermulalah kembara ilmu dan cuti-cuti musim panas meliputi persinggahan dan perjalanan yang panjang.
Kami mengguna dua buah kereta. Kereta yang saya pandu diisi oleh Sheikh Khalid, Iman, Roza dan Mak. Sebuah lagi kereta dipandu oleh Azrai dan kesemua kanak-kanak remaja di dalamnya. Kereta yang dilengkapi dengan tayangan video.
Pertama, kami menuju Melaka Bandaraya Bersejarah. MasyaAllah, di dalam perjalanan saya terpandang Putra Jaya. Ia tidak termasuk dalam rangka lawatan.
Kami singgah di sana. “MasyaAllah Tabarakallah, MasyaAllah Tabarakallah, MasyaAllah Tabarakallah,” tidak putus-putus mereka menyebut apabila kereta kami memasuki kawasan utama Putra Jaya.
Mungkin rakyat Malaysia fikir ia biasa-biasa. Namun buat mereka yang datang dari kawasan yang pembangunan fizikalnya terlalu sukar berlaku, pemandangan ini mencipta kekusyukan.
Bagi mereka yang berfikir dan berfikiran positif, ia menjurus kepada bagaimana kebesaran dan kehebatan Allah meminjamkan ilmunya untuk manusia memberi inovasi kepada pembangunan sebuah wilayah.
Kemudian, kami singgah di Bangi. Haji Rashid – Bendahari UKM – dan isteri bersungguh melayani kami dengan pelbagai juadah makanan. Malah mereka menjemput jiran tetangga serta rakan-rakan yang hampir.
Ia majlis yang beliau rancang secara bersungguh-sungguh.
Saya melihat mikrofon. Sah saya kena bercakap. Hati menelah dan ia berakhir dengan tazkirah ilmu ringkas.
Tentu sekali saya memahami hasrat Tuan Haji Rashid. Jika majlis ilmu diadakan maka ia seumpama membina atau berada di taman syurga. Malah dikatakan berduyun-duyun malaikat akan mengisi ruang majlis tersebut.
Itulah yang saya sebut dan khabarkan kepada beliau ketika menunaikan umrah dalam beberapa bulan yang lepas.
Sheikh Khalid bertanya, “kenalan Dr?”
Sukar untuk saya memberi jawapan. “Mereka menziarahi kami di Madinah….. Kini, kiranya kami berkenalan dan bersaudara”
Wajahnya terkedu dan mungkin juga berfikir. Sudah tiga rumah yang meraikan kami dan beliau sudah dikunjungi. Beliau membuat kesimpulan mudah, “orang Malaysia sangat mesra dan ikhlas”.
Beliau membaca keikhlasan melalui bahasa badan. Ia rasa hati. Pastinya juga keikhlasan tidak berhak ditelah oleh manusia seumpama kita tidak boleh menuduh atau merasai orang berlaku riyak dan takbur.
Kemudian kami tiba di Melaka.
Kami disambut oleh Cik Ani dan Anuar, pasangan suami-isteri yang sudah bertahun-tahun kami kenali. Ia hubungan yang tidak pernah terduga.
Saya selalu berfikir, Allah menggerakkan hati seseorang untuk melakukan kebaikan kerana orang itu berminat dan mahu melakukan kebaikan tersebut.
Maka saya membiarkan pertanyaan sendiri, “kenapa pasangan ini sanggup menyusahkan diri memandu sejauh Cyber Jaya semata-mata mahu berjumpa dan menyerahkan kunci rumah untuk kami diami?”
Begitulah, kehidupan adalah sesuatu yang menarik untuk direnungi dan diamati. Ia terkandung pelbagai kebesaran, kehebatan dan kekuasaan Allah.
Mereka kembali ke Cyber Jaya di sekitar 1.30 pagi. Saya doakan mereka selamat di dalam perjalanan dan semoga dapat bertemu kembali, InsyaAllah.
June 25, 2012
Motivasi pagi
Rakaman Motivasi Pagi terbitan TV3 dilaksanakan di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur. Ia bersebelahan dengan Masjid Negara.
Penerbitnya kelihatan sangat muda bernama Nurul.
“Prof, mak saya pengikut setia prof. Dia baca kesemua buku prof malah KRTS selalu dilayarinya,” cerita Nurul.
“Saya akan menunaikan umrah – IsyaAllah – bulan dua, tahun hadapan,” itulah cerita puan muda beranak dua ini. Allah… ketika seusianya saya tidak pernah terfikir untuk ke Mekah dan Madinah.
Ada 10 siri yang perlu diisi. 5 siri khusus untuk bakal haji 2012. Ia akan disiarkan pada bulan September. Kemudian, 5 siri Bersyukur Saat Diuji
June 24, 2012
Masjid As-Sobirin
Masa berlalu begitu pantas.
1 1/2 jam rasanya terlalu singkat. Namun itulah rasa normal seorang penceramah yang suka pula bercakap. Saya terasa begitu.
Bagaimana pula dengan khalayak pendengar?
Saya tidak dapat meneka dengan tepat. Berada di hadapan mereka dengan rasa getar di hati nyata memberi kepuasan kepada diri. Mudah-mudahan ia merupakan amal ibadat yang diterimaNya lalu menjadi ilmu bermanfaat.
Jika ia menjadi penyebab untuk khalayak melakukan sedikit perubahan dalam kehidupan mereka, maka ia merupakan pendapatan sebenar sebagaimana yang dijanjikan.
Itulah satu-satunya harapan dan doa yang saya pohon dari Allah SWT.
Allah…. Allah…. Allah…. saya pulang dengan rasa lega dan damai di hati.
NotaMKI: Saya langsung terlupa untuk merakamkan keadaan khalayak. Ada sesiapa yang mengambil foto di sini?
Zoo Negara

Zoo Negara bersama AHA
Ahmad Haris Azrai (AHA) membawa keluarga ini ke Zoo Negara di Hulu Kelang, petang semalam.
Sengaja program diatur pada ketika ini bagi memudahkan saya menghantar mereka dan saya dan Roza dapat pula berehat di rumah adik Roza sementara menunggu kuliah Maghrib.
Raihan sekeluarga menyediakan steamboat untuk makan malam yang diawalkan usai lawatan ke Zoo Negara.
Saya selalu bersyukur menjadi orang Islam berbangsa Melayu. Kenapa? Tekak Melayu sangat fleksibel. Lidahnya lebih lembut berbanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
Diberi cheese, hanya beberapa ketika mereka boleh menjadi penggemar cheese yang hebat. Dihulur Kabsah, sekejap sahaja pelbagai restoran Arab muncul di Malaysia.
Qahwah atau kopi Arab yang teruk rasanya boleh ketagih. Allah… Allah…. pasta, bolognese atau apa sahaja akan mudah dicerna oleh majoriti masyarakat Melayu.
Jika belajar al-Quran, lidah Melayu menjadi lebih Arab daripada orang Arab sendiri. Ini diakui oleh Tok Syeikh ysng mengajar Quran di Masjid Nabawi.
Orang Arab tidak begitu. Saya lihat Tok Sheikh Khalid dan keluarga terkial-kial dengan makanan yang dihidangkan. Malah para pelajar Saudi saya sangat sukar menerima makanan yang bukan makanan ruji mereka.
Kami semua ketawa dengan memek muka apabila mencuba sesuatu yang baru. Saya fikir hadangan utama ialah soal kekangan minda untuk mencuba.
Prinsip utama ialah kebiasaan. Jika diberi makanan yang tidak pernah dicuba, saya akan cuba sedaya upaya untuk memakannya. Kebiasaan, rasa kali pertama tidak dapat diberi tafsiran yang baik oleh otak.
Soalannya mudah, kenapa mereka boleh makan, kenapa tidak kita?
Lalu percubaan kedua perlu dilakukan. InsyaAllah, ia akan memberi rasa yang berbeza. Akhirnya, itulah yang dikatakan “merasai nikmat” sebenar.
Jika diterjemahkan dalam konteks beramal ibadat, rata-rata manusia sukar untuk berpuasa sunat, bangun malam dan pelbagai ibadat lain. Dicuba sekali sudah mula mengeluh. Hati menolak dengan minda berkata, “ia sukar dilakukan”.
Hakikatnya, kita belum mencapai “merasai nikmat” sebenar dengan amalan tersebut. Tahap inilah yang perlu dilepasi.
Allah… Allah melalui makanan kita boleh merasai kebesaran dan kehebatan Allah. Ia mencungkil sifat diri yang perlu diperhati dan diperbaiki agar ia boleh diterjemah kepada ibadat khusus yang lain.
Konsep-konsep inilah yang saya sampaikan secara santai kepada Fadi – anak kedua Sheikh Khalid – anak muda yang baru berusia 14 tahun ketika kami bersama. Beliau anak yang baik, sangat bertimbang rasa dan begitu lembut hatinya.
Saya nyatakan, “berada di Malaysia bukan hanya untuk bercuti. Pelajarilah sesuatu agar kita menjadi insan yang lebih baik”
Semoga Allah merahmati dan memberkati percutian ini!
June 23, 2012
Berpesan
Jadual Hari Ini
Kuliah Maghrib di Masjid As-Sobbirin, AU5, Hulu Kelang
Ahmad Haris Azrai – anak lelaki pertama - kami mengamanahkan kepadanya untuk menguruskan hampir kebanyakan program percutian anak-anak dan keluarga Sheikh Khalid.
Semalam merupakan tugas pertama beliau untuk membawa mereka ke Sunway Lagoon. Pesan saya,
“Jaga solat. Masuk sahaja waktu solat, pergi ke surau dan solat berjemaah. Jika tiada surau, solat sahaja di mana-mana tetapi perlu berjemaah bersama adik-adik”.
Fadi bertanya saya, “Amo tidak ikut serta?”
“Tidak, uncle dan untie ada kerja yang perlu dilakukan. Lagi pun uncle tidak suka Sunway Lagoon. Sudah acap kali Uncle pergi. Kamu pergi dan bergembiralah”
Beliau menganggukkan kepalanya.
Sebelumnya kami diraikan oleh DZ dan DS di Petaling Jaya. Malam tadi – MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar – kami diraikan oleh bos JM Briyani di kedai beliau di Subang Jaya.
Alhamdulillah juga kerana Sheikh Khalid dan keluarga dijemput oleh Alphard (alahai… saya suka menaiki kereta ini) salah seorang tetamu majlis pada malam ini yang turut tinggal di Shah Alam.
Namun yang lebih menarik ialah faktor yang mengambil kira solat berjemaah di masjid. Aturcaranya mudah, “kami ambil Sheikh Khalid dan keluarga serta Prof jam 8.00 malam, solat Isya di Masjid Subang Jaya dan kemudian baru bergerak ke JM Briyani”.
Begitulah, ia menjadi mudah dan ringkas apabila mengutamakan solat berjemaah. Paling penting ia boleh dilaksanakan.
June 22, 2012
Utamakan solat berjemaah
Solat berjemaah di atas segalanya.
Kami mengajar anak-anak lelaki kami begitu. “Amirul dan Azrai boleh bersuka, bermain komputer, berenang di kolam atau melakukan apa sahaja tetapi solat berjemaah tidak boleh ditinggalkan”.
Malah – kadang-kala – saya perlu membuat ugutan tertentu.
Ia ujian apatah lagi ketika mahu bersuka, bercuti atau meraikan tetamu. Namun setiap kali bercakap atau berbincang dengan apa yang akan dilakukan seharian maka soal inilah yang sentiasa kami tekankan.
Malam tadi kami diraikan oleh DZ dan isteri, DS di rumah mereka di Petaling Jaya. Saya nyatakan secara terus-terang yang kami akan tiba di rumah sebelum waktu Maghrib, memohon untuk berjemaah di masjid yang berdekatan, makan malam dan solat Isya berjemaah di masjid.
Ia menyelamatkan banyak perkara. Solat berjemaah di masjid tidak ditinggalkan dan masih lagi boleh diraikan. Malah kami boleh menyelamatkan banyak masa selepas Isya untuk berehat dan melakukan beberapa kegiatan lain.
MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar. Benarlah janji Allah,
Wahai anak Adam!
Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).
Akhirnya kami berasa mencapai sedikit kemenangan kerana ia masih boleh dilaksanakan dengan tenang dan masih dapat memperjuangkan apa yang ingin kami lakukan dalam kehidupan yang semakin hampir ke garis penamat ini.
Terima kasih DZ dan DS.
DS meraikan kaum wanita. Mereka diraikan dengan gulai kuning ikan dan telur ikan. Kami tersengeh melihat mereka terkial-kial dengan menu malam tadi.

DS membaca di FB yang saya teringin memakan pulut durian. Allah... Allah... beliau sediakan. Mampukah Tok Arab ini mengatasi ujian Durian?

Surprise... surprise... Amirul diraikan sempena usianya 14 tahun. Bergema di rumah DZ & DS lagu Selamat Hari Jadi dalam bahasa Arab.
Hidayah
DZ bercerita, “saya memberi offer kepada semua staf wanita yang belum menutup aurat 7 pasang tudung yang paling mahal dan insentif kenaikan gaji”.
Hanya dua atau tiga orang yang mengambil tawaran tersebut. Mungkin ada yang berkata, “kami hanya akan lakukan bila kami bersedia bukan kerana tawaran tersebut”.
Yalah tu….
Cuma satu kesimpulan, hidayah tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ia boleh jadi penyebab. Dan jika dilihat melalui pandangan sisi, ia penyebab yang bergaya.
Benar, jangan lupa, kita melakukan amal ibadat semata-mata kerana Allah.
Kuliah di Subang Jaya

Bergambar selepas kuliah fajar
Tuan Haji Sabtu bertanya, “Prof, bagaimana tidur di IOI?”
“Tidak, malam tadi kami tidur di Seksyen 3. Tuan rumah tidak tahu bila kami sampai dan saya fikir mereka tidak tahu bila kami keluar,” saya merujuk betapa lewatnya kami check-in dan betawa awalnya check-out untuk hari ini.
Alhamdulillah saya diberi kemudahan oleh DM suami-isteri. Malam sebelumnya saya tidur di IOl dalam keadaan yang sangat selesa.
Namun pertanyaan Tuan Haji Sabtu menyebabkan saya sangat sebak ketika menunaikan solat sunat. Saya terasa betapa benarnya janji-janji Allah melalui surah Al-Insyirah (ayat 5-6) yang bermaksud,
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Dua kali Allah tegaskan, di sebalik kesukaran akan ada kemudahan!
Saya terkenang, ketika saya mempelawa Tuan Sheikh Khalid sekeluarga menginap di rumah kami di Kondo Kemuncak, saya tidak pernah terfikir beberapa isu yang mungkin menyebabkan mereka tidak selesa. Kami bersedia dengan sedikit kesukaran tersebut.
Allahu Akbar, akhirnya saya baru tersedar (tertusuk di hati) yang saya serahkan sebuah rumah kepada tetamu kami dan dalam sekelip mata Allah pulangkan kembali dua buah rumah yang amat selesa untuk saya dan Roza tinggal.
Allah… Allah… tentu sekali mereka yang berkata, “saya meluat mendengar cerita prof” tidak dapat melihat apa yang sebenarnya yang ingin saya sampaikan.
Berikanlah keampunanMu ya Allah di atas kelalaian yang telah kami lakukan!
June 21, 2012
Melayani tetamu
Wan – ibu saya – hidupnya hampir sentiasa di rumah.
Kehidupannya di sekitar membesar anak-anak yang berjumlah 12 orang semuanya. Beliau dinikahkan ketika usianya 13 tahun. Tentu sekali saya tidak dapat membayangkan bagaimana Wan mengurus kehidupan tersebut.
Namun saya pasti Wan telah melakukan yang terbaik. Malah ketika beliau mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya, adik bongsu kami kelihatan sudah mampu menamatkan pengajian di universiti.
Hakikatnya, beliau membesarkan kami adik-beradik dengan penuh kasih-sayang. Tiada siapa di antara kami mempunyai kenangan pahit yang mahu disebut-sebut apabila berbicara tentang Wan.
Di mata, hati dan perasaan, Wan adalah ibu yang paling sempurna telah dianugerahkan Allah kepada kami 12 adik-beradik.
Wajah saya dikatakan seiras dengan wajahnya. Saya fikir hati saya juga selembut hatinya. Benar atau tidak, saya tidak dapat menelah dengan tepat. Namun sebagaimana Wan, saya juga mudah sebak dengan sesuatu perkara yang menyentuh hati.
Wan menyayangi anak-anaknya sehinggakan setiap rakan-rakan kami juga turut dianggap seumpama anaknya sendiri. Jika ada yang berkunjung ke rumah, maka layanannya nyata sangat hebat.
Beliau akan memasak dan menghidangkan makanan sepenuh hati. Setiap yang hadir pasti akan terasa kesungguhan tersebut. Malah, bila pulang akan ada sesuatu yang dibekalkan.
Ketika dewasa, saya ketawa melihat Wan membekalkan seguni beras siam kepada sahabat yang bermalam di rumah. Alahai…. saya fikir ia hadiah yang menyusahkan.
Wan juga suka menjamu orang. Jika ada sesuatu yang ditinggalkan buat saya untuk diwarisi, maka saya sangat berbesar hati untuk menerima wasiat ini.
Dan saya sangat bersyukur kerana ada Roza yang menyerupai Wan yang tidak pernah berkira masa dan tenaga untuk melayani tetamu di rumah.
Saya terkenangkan Wan. Mereka yang pernah hadir ke rumah jarang sangat yang tidak bertanya khabar Wan. Saya fikir pertemuan yang berbekas di hati.
Sekejap tadi saya menerima tetamu yang pertama kali berada di Malaysia. Mudah-mudahan kami mampu melayani mereka seumpama Wan melayani tetamu-tetamunya.
Mudah-mudahan juga ia menjadi satu amal yang diterima Allah.

Abang, ini Fadi... Amirul memperkenalkan...

Shahad paling teruja melihat Sofea menanti di balai ketibaan
Free
“Prof, saya lihat prof free pada….. boleh prof datang ke masjid kami untuk menyampaikan sedikit kuliah…”
Semalam sahaja saya menerima lebih daripada 10 pertanyaan yang hampir serupa. Pastinya mereka melihat jadual yang tertera di laman web ini. Di antaranya kelihatan ada ruang yang masih boleh dicuba.
Saya mohon maaf banyak-banyak. Jadual yang saya paparkan di sebelah tidak menunjukkan kegiatan-kegiatan yang bersifat keluarga, majlis-majlis persendirian yang perlu kami hadiri dan juga ruang untuk kami melayani tetamu.
Program sehingga 23hb Julai telah disusun hampir dua bulan sebelum saya berangkat pulang ke Madinah. 10 hari terakhir (bulan Ramadhan) memang sengaja saya kosongkan kerana saya sendiri belum mengetahui di mana tempat kediaman kami.
Terima kasih banyak-banyak di atas sokongan rakan-rakan semua. Allah… Allah…. saya rasa dihargai, namun sekali lagi saya mohon maaf kerana tidak dapat memenuhi undangan dan permintaan.
June 20, 2012
Cahaya
Masjid Negeri Shah Alam tentu sekali tidak akan sama aromanya dengan Masjid Nabawi. Jadi tidak usahlah membuat perbandingan. Jika rindukan masjidnya, maka ia tidak mungkin terubat.
Namun jika rindukan amalan di dalam masjid Nabawi, InsyaAllah ia masih boleh dilakukan di sini. Malah ada di antaranya jauh lebih baik diantara satu individu dengan individu yang lain.
Misalnya kuliah Maghrib. Saya sangat tekun mendengarnya di sini. Misalnya kuliah kitab Hikam yang disampaikan oleh Dr Zul nyata sangat mudah difahami. Malah saya boleh berfikir, bersifat kritis dan melihat dari pelbagai pandangan sisi yang berbeza.
Ia isu mudah. Ilmu yang diajar melalui bahasa ibunda meresap ke jiwa.
Saya ulas secara ringkas kata hikmat yang dibaca dan diterangkan, “sesuatu yang diamalkan semenjak kecil akan membawa kesudahan yang baik”.
Ia kelihatan logik. Malah dalilnya ada pada beberapa hadis. Misalnya, anak perlu diajar solat semenjak berusia 7 tahun. Jika tidak solat ketika umur 10 tahun maka ia perlu dirotan.
Diterangkan juga tentang proses mendapat nikmat beramal ibadat. Amalan yang dituruti semenjak kecik, nikmat amalan tersebut hanyalah (kebiasaannya) dapat dinikmati sepenuhnya apabila tiba pada peringkat benar-benar dewasa.
Maka dihujahkan mereka yang terlewat memulakan amal ibadat kemungkinan sukar merasai nikmat tersebut dalam tempoh yang singkat.
Saya berfikir serta merenung hujah-hujah yang dikemukakan dalam konteks manusia yang ingin berubah. Benarkah ia sukar? Benarkah ia lebih mudah begitu?
Bagaimana pula jika kita mahu mengembalikan proses amalan ketika muda walaupun ketika usia tua? Tidak sempatkah kita merasai nikmat tersebut?
Bolehkan kita menjadi muda kembali walaupun kita sudah berusia? Bolehkah kita menjadi kanak-kanak balik agar proses untuk mendapatkan nikmat beramal ibadat itu dapat dikecapi?
Isu-isu inilah yang pernah saya kemukakan kepada khalayak yang bertandang ke rumah di Madinah. Dan hampir kesemuanya menyatakan TIDAK BOLEH.
Saya pula berhujah, BOLEH! Insyaallah kita boleh menjadi umpama kanak-kanak kembali agar proses yang diungkapkan melalui kata-kata hikmat tersebut dapat diberi nafas baru.
Dan sebahagian besar daripada khalayak telah mendapat jawapan tersebut, malah telah mengamalkannya dengan jayanya. InsyaAllah ia terkandung di dalam buku yang sedang ditulis bertajuk, Tazkirah dari Madinah.
Nasi Arab di Kondo Kemuncak

Roza menyediakan tiga dulang nasi Arab seumpama ini

Juga Couscus serta Pasta Arab istimewa

30-40 tetamu yang hadir
Kami membawa pulang 2 beg besar dan 2 beg kecil. Dua beg besar dipenuhi dengan makanan. Di antaranya beras Arab dan berpuluh-puluh rempah kabsah.
Hari ini kami menjamu sanak-saudara yang tinggal di Lembah Kelang dengan Nasi Arab hasil tangan Chef Bukan Sekadar Resepi: Aroma antara Benua.
Barangkali juga hadiah khas buat anak-anak yang berada di Malaysia, Sara dan Azrai yang sudah lama tidak merasai hasil tangan mamanya.
Hilang penat memasak bila melihat tetamu bersungguh-sungguh menjamu selera. Malah ia lebih menyukakan hati ibu bila anak yang tinggi PRnya berkata, “Oooh mama, first class!”.
Saya sendiri kekenyangan tanpa sempat menjamah hidangan. Melayani tetamu lebih teruja!
Sentiasa begitu
Dulu saya tidak memahami bagaimana mahu mengingati Allah sepanjang masa. Ia sesuatu yang kelihatan terlalu sukar.
Bagaimana seorang yang sedang kusyuk memberi syarahan teringat kepada Dia? Atau bolehkah seorang ketua jabatan yang sedang mempengerusikan mesyuarat mengingati sang Penciptanya?
Lalu saya mencuba sesuatu yang sangat praktikal. Lakukan sesuatu keranaNya. Semata-mata kerana Allah. Namun untuk menterjemahkannya kepada amalan atau perbuatan memerlukan kesungguhan.
Misalnya amalan berdoa. Mulakan sebarang kegiatan, tidak kira rutin atau sesekali, istimewa atau tidak dengan memohon keampunan Allah. Mintalah agar ia menjadi satu amal ibadat yang diterimaNya.
Berdoa perlu dilakukan sepanjang masa. Memasak, berdoa, memandu berdoa, keluar rumah berdoa, melihat orang tidak menutup aurat berdoa….. dan senarainya berkajang-kajang.
Doa tidak perlu mengangkat tangan. Biar ia menjadi sebutan, malah sampai ketikanya ia menjadi mainan hati. Bukan mulut yang berkata tetapi hati yang mentafsir permohonan yang mahu disampaikan kepadaNya.
Pilihan di antara menyanyi di dalam kereta berbanding berzikir menyebut-nyebut nama Allah nyata tindakan yang membosankan bagi sesetengah orang.
Jika begitu pandangan hati maka mengingat Allah sepanjang masa akan menjadi lebih sukar.
Ketika berjalan-jalan – misalnya – apakah yang kita lakukan? Kosong. Ada yang membayangkan sesuatu. Ada yang memutar kembali kisah-kisah silam.
Saya fikir, alangkah baiknya jika kita menyebut nama Allah secara berulang-ulang sehingga sampai masanya kita tidak perlu lagi berbuat begitu.
Kenapa?
Bila sampau masanya – pada satu saat dan ketika – hanya hati yang berkata-kata dan menyebut-nyebut namaNya.
InsyaAllah, ia boleh dilakukan. Biar ia sentiasa begitu!
Karangkraf

Alhamdulillah, saya sangat teruja bersama mereka
Mungkin mereka tidak mengetahuinya tetapi Karangkraf sentiasa mempunyai tempat di hati saya. Kenapa? Dulu-dulu – sebelum menunaikan fardhu haji – saya ada menyebut kepada Roza,
“Yang, bila saya mahu jadi cover majalah….. bila gambar saya akan ada – besar – di lebuhraya? Wow… best kalau nama saya Dato’ Prof Dr Muhd Kamil…,” dan pelbagai impian keduniaan semata.
Tiba-tiba Majalah i menjadikan kisah saya sebagai cover story. Gambar saya besar sekali di muka hadapan majalah mereka. Alahai… masa beredar. Cukuplah sekali. Kini saya menolak banyak permintaan untuk menjadikan kami sekeluarga sebagai cover story majalah kekeluargaan.
Entah… impian yang tidak mahu saya teruskan.
Hari ini saya membuka rahsia tersebut sebelum menyampaikan tazkirah kepada staf Karangkraf. Juga saya ceritakan, “saya kecil hati apabila diminta berhenti menulis di Majalah MIDI, saya terasa hati kerana ditamatkan khidmat saya di l Luv Islam… dan…”.
Namun saya ketawa kerana kecil atau terasa hati saya tidak berpanjangan. Ia tidak menjadi luka yang meninggalkan parut. Tidak. Saya bukan begitu.
Lalu bila Majalah i mahu saya menjadi kolumnis mereka, saya langsung tidak fikir untuk menolak walaupun sudah sekian lama menulis untuk majalah ANIS.
Hari ini saya dikenalkan dengan ramai editor di pelbagai jenama majalah keluaran Karangkraf. Bertimbun business card yang dibekalkan.
Namun di antaranya, saya sangat teruja bertemu muka dengan insan yang bernama Sri Diah……
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
