Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 13
July 30, 2012
Anal Fussier

Sejurus selepas pembedahan. Mengantuk kesan ubat bius, barangkali!
Alhamdulillah.
Pembedahan anal fussier yang dijalankan oleh Dr Luqman (DEMC) terhadap Azrai selamat dijalankan. Mudah-mudahan ia cepat sembuh sepenuhnya bagi memudahkan perjalanan pulang ke Madinah.
Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kepada kesembuhan segera Azrai.
Update
Alhamdulillah, Azrai dibenarkan pulang.
July 29, 2012
Perkahwinan
Usia perkahwinan kami 23 tahun.
Ia akan terus bertambah sehinggalah salah seorang dari kami dipanggil Allah. Ia bernokhtah. Dulu, saya selalu bertanya, “bolehkah kami berjumpa semula selepas hari kematian?”
Malah ia bukan sahaja dikhususkan kepada isteri tetapi melangkaui ibu bapa, anak-anak dan sanak saudara yang hampir. Ada ketika-ketikanya ia merentasi rakan-rakan yang mulia sifatnya.
Namun kita berdoa agar kesemua muslimin dan muslimat diampuni Allah dan bertemu semula di syurga Firdaus.
Saya pernah menulis melalui buku Bukan Sekadar Resepi,
“Roza adalah isteri saya. Bukan Sekadar Resepi merupakan perjalanan kisah hidup beliau yang sangat panjang. Lalu disatu persimpangan, saya turut bersama meneruskan perjalanan beliau, sama ada saya mendahului atau beliau mengikuti, ia tidak terlalu mustahak.
Saya tidak tahu bila kami akan berhenti. Siapa, saya atau beliau dahulu meninggalkan perjalanan ini juga tidak mustahak. Namun ada sesuatu yang pasti, saya berdoa agar kami – saya dan Roza – dapat bertemu kembali di syurga Firdaus.
Benar, Allah SWT telah berjanji untuk menganugerahkan bidadari namun tidak mengapa jika bidadari itu masih Roza, insan yang membekaskan seluruh kehidupan saya”.
Benar, ia datangnya dari hati nurani yang berpandukan surah Al-Waqiah ayat 35-40 yang bermaksud,
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan; Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu, Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.
July 28, 2012
Solat dhuha
“Solat dhuha punca rezeki”
“Jika mahu dimurahkan rezeki, laksanakan solat dhuha atau bacalah ayat seribu dinar”
Begitulah saya menyaksikan bagaimana solat dhuha dengan rezeki dikaitkan. Ia pertalian yang sangat kuat. Mungkin juga ia ada kaitan dengan intipati doa selepas dhuha yang sangat popular,
“Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha ini adalah waktu dhuha-Mu, keagungan ini adalah keagungan-Mu, kehebatan ini adalah kehebatan-Mu, kekuatan ini adalah kekuatan-Mu, kekuasaan ini adalah kekuasaan-Mu, penjagaan ini adalah penjagaan-Mu.
Ya Allah, apabila rezeki kami masih di langit, Kau turunkanlah, bila rezeki kami masih di bumi, Kau keluarkanlah, bila ia sukar, Kau permudahkanlah, bila haram, Kau sucikanlah, bila jauh, Kau dekatkanlah, dengan hak waktu dhuha, keagungan, kehebatan, kekuatan dan kekuasaan-Mu.
Berilah kepada kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang terdahulu yang beriman dan bertaqwa”
Allah… Allah… jika orang bertanya saya, “benarkah solat dhuha punca rezeki?”. Maka jawapan saya sangat mudah,
“Tidak, Allah yang memberi rezeki kepada saya. Benar sudah bertahun-tahun saya mengamalkan solat dhuha tetapi ia dilakukan kerana saya mahu menyembah dan beramal ibadat kepadaNya.
Saya memohon kepadaNya kerana Dialah yang satu-satunya saya sembah dan mohon pertolongan”
Kita hanya menyembah dan beramal ibadat kepadaNya. Lalu kita membuat pelbagai permohonan, siang dan malam, pagi dan petang – juga – sebagai satu amal ibadat kerana kita mengetahui Dialah satu-satunya yang perlu disembah dan minta pertolongan.
Akhirnya ia pasti menguatkan pertalian antara hamba dengan Pencipta. Di tangan yang mengerti, ia tidak apa-apa untuk menyatakan “solat dhuha punca rezeki, di tangan yang lain ia boleh membawa implikasi yang sangat besar”.
Ia umpama kisah seorang jemaah haji yang galak bercerita bagaimana beliau dapat menunaikan fardhu haji. Kata beliau, “Mengikut giliran saya lambat lagi. Bagaimanapun saya dapat pergi lebih awal kerana kenal dengan Menteri Besar”.
Allah… Allah… “Haji, itulah yang bahayanya apabila bergantung dengan manusia. Tidak salah untuk meminta permohonan sesiapa tetapi kesan besar ialah kita beranggapan Menteri Besarlah yang telah membolehkan kita menunaikan fardhu haji. Tidak, Allahlah yang menjemput kita. Ia dilakukan melalui Menteri Besar”.
Subhanallah, ia senipis bawang!
Kami mohon perlindunganMu ya Allah.
Adik-Beradik
Minggu terakhir ini kami mahu bersama keluarga yang hampir, InsyaAllah. Malam tadi, kami bersama Khamisah dan keluarga (Adik No. 8). Mereka tinggal di Kelang.
Pagi-pagi lagi saya sudah menyatakan kepada beliau,
“Kak (adik tetapi dipanggil kak), nanti buat jemput-jemput ikan…”
Opps… saya sudah menyatakan keinginan kepada adik kandung. Ia permintaan spontan apabila mahu mengesahkan kehadiran kami ke rumah beliau.
Ia permintaan yang mudah buat adik-beradik kerana ia resepi arwah Wan yang menjadi kegemaran seisi keluarga. Mereka semua boleh melaksanakannya mengikut resepi dan rasa asal sebagaimana yang disediakan oleh arwah Wan.
Tinggal lagi ia dipohon ketika berpuasa, sesuatu yang paling saya cuba elakkan. Saya mohon keampunan Allah.
Lusa, kami akan berada di kawasan Taman Tun Hussin Onn, Cheras. Shaiful – adik lelaki kedua – tinggal di kawasan ini. Saya ketawa bila Kak bercerita, “Abang Pu juga minta Kak goreng Jemput-Jemput Ikan”.
InsyaAllah, seisi keluarga akan berkumpul di sini.
July 27, 2012
Perlarasan

Kuliah penutup di Telaga Air, Kuching
Roza menyampaikan ceramah hanya sekali-dua setahun. Sekali itu di Kuching Sarawak. Khusus buat muslimah Sarawak.
7 hari berbaki daripada 50 hari cuti di Malaysia.
Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur kerana diberi tenaga dan masa yang mencukupi untuk melaksanakan apa yang telah dirancang. Pelbagai perkara dapat dilakukan dalam tempoh tersebut.
Kami dapat bertemu dan bertentang mata dengan kaum keluarga walaupun dalam ruang waktu yang terbatas. Malah, saya fikir Allah mengizinkan kami melayani tetamu Luar Negara dengan cara yang terbaik (setakat kemampuan kami) walaupun dihambat dengan kekangan yang lain.
Namun saya teruja kerana dapat memenuhi banyak undangan di masjid dan organisasi, melancarkan buku, menghadiri rakaman TV dan “sedikit-sedikit” menyiapkan buku terbaru.
Ia terlaksana dan dipermudahkan dengan izin Allah. Ramai yang membantu.
Minggu ini adalah minggu perlarasan. Kunci rumah di IOI telah kami serahkan. Tempat menginap utama kami di seksyen 3 telah di “check-out” sejurus keluarga Sheikh Khalid berangkat ke Madinah.
Malam tadi, saya menyampaikan tazkirah khas kepada sahabat ini bersama keluarga, anak-anak dan menantu selepas usai solat terawih.
Sekejap tadi saya telah menyerahkan kunci kereta yang membawa kami ke seluruh pelusuk tanah air bercuti dan menyampaikan ceramah. Kereta dihantar, ia juga diambil sendiri.
Mudah-mudahan Allah memberikan rezeki yang berkat kepada keluarga ini.

Tazkirah malam di seksyen 3. Baby berusia sebulan turut mendengar dalam mimpinya...
Nama pemiliknya terukir pada nombor pendaftaran kereta.
Kami juga perlu mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kesemua pihak yang telah meraikan kami dan tetamu dengan jamuan yang sangat istemewa. Malah ramai juga yang memberi pelbagai kemudahan yang tidak dapat kami hitong.
Kami menghargainya.
Malah kepada mereka yang telah menjemput kami untuk berceramah, terima kasih kerana memberi peluang untuk saya menyampaikan sedikit ilmu yang mungkin menjadi ilmu yang bermanfaat.
Jika jadi begitu, ia pendapatan yang sangat signifikan, InsyaAllah.
Akhirnya, terima kasih kepada semua yang mendoakan kami sekeluarga. Angin Madinah sudah memanggil kami pulang. Rasa rindu mulai terasa! Allahu Akbar.
July 25, 2012
Segar di Kuching

Majlis anjuran pejabat Setiausaha Persekutuan Kuching

Bersama Tuan Haji Zahari (Timb SU Persekutuan dan anak-anak buahnya)

Terima kasih
Awal pagi sudah ada dua buah kereta menunggu.
“Kenapa dua buah?,” saya bertanya dalam kehairanan.
“Kami ingat anak-anak Ustaz akan ikut serta… ,” begitu sekali mereka mengaturkan program.
“Tidak… hanya kami berdua.. wah… Yang, awak satu, saya satu,” saya bergurau.
Negeri Sarawak terkenal dengan kesungguhan menyambut tetamu. Mereka melayani tetamu hinggakan ia berbekas di hati. Lama mana sekalipun ia akan tetap menjadi kenangan abadi.
Begitulah. Kedatangan awal kami di sekitar hujung 1993, kira-kira 20 tahun yang lampau masih ada ruang imbas kembali. Kami masih mahu memijak kaki ke sini.
Di sebelah pagi saya bertemu dengan penjawat awam persekutuan di bangunan Sultan Iskandar. Mereka yang hadir penuh sesak. Kerusi ditambah.
Agak saya mudah. Khalayak dihantar oleh majikan sebagai sebahagian daripada jam kursus. Namun – saya berdoa – biarlah ia berbekas di hati. Mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
Di sebelah malam, saya menyampaikan tazkirah ringkas di masjid “singgah” bersebelahan dengan bangunan persekutuan. Ia majlis penyampaian sumbangan pihak persekutuan kepada masjid dan anak yatim terpilih.
Tugas saya bersambung usai sahaja solat terawih. Ia ziarah teman-teman hampir. Kami bertemu di Top Spot kawasan kesukaan untuk makan-makan makanan laut.
Ia moreh yang lebih dari biasa.
Hari ini – Jumaat – hari kepulangan. Pagi, saya berkunjung ke Telaga Air untuk memberi ceramah motivasi kepada para pelajar di kawasan sekitar. Ia satu-satunya pertemuan khusus dengan golongan remaja sepanjang tempoh percutian ini.
Saya menanti dengan rasa teruja.
Kami dijangka – InsyaAllah – mendarat di KLIA di sekitar jam 5.30 petang. Opps… ada satu lagi tazkirah yang perlu disampaikan di Shah Alam selepas selesai solat Terawih.
Saya sudah berjanji untuk hadir dan mudah-mudahan ada sedikit sisa tenaga yang boleh digunakan. InsyaAllah, Dia akan membantu.
Allah… Allah.. saya rasa sangat berbaloi berada di sini hampir 72 jam. Ia masa yang dipenuhi dengan kegiatan yang bermanfaat.
Berbuka di Masjid

Bersama menaiki belon ke Sarawak. Sofea bertanya, "bolehkah kita makan?" apabila melihat makanan diagihkan. Ujian untuk anak-anak.
Lain yang ditembak, lain yang kena. Lain maksud, lain tafsiran.
Itulah risiko menulis. Ia selamanya begitu. Dalam konteks yang berbeza, perbezaan sasaran mengundang perbahasan.
Ada membawa kebaikan. Ia membawa tambahan kepada ilmu baru.
Namun ada yang terus menyimpang sehingga kita terlupa soal pokok yang mahu diutarakan.
Berbuka puasa di masjid bukanlah isu utama. Berbukalah di mana-mana, ia tidak mustahak.
Apa yang mahu dinyatakan, “jangan tinggal soal berjemaah di masjid”. Itu pun hanya untuk lelaki.
Wanita? Solat mereka lebih afdhal di bilik tidur tetapi jangan dihalang jika mereka mahu ke masjid. MasyaAllah, Allah memberi keistimewaan kepada kaum ini.
Pergilah ke masjid jika berkemampuan dan jangan risau jika tidak berupaya. Ada hikmah besar buat wanita!
Jika rumah hampir dengan masjid tetapi tidak sempat untuk solat berjemaah jika berbuka di rumah, maka memadailah membawa 3 ulas tamar dan air mineral.
Berbuka, solat dan kembalilah ke rumah untuk menyambung hidangan secara berpatutan.
Agak saya Allah tidak marah begitu!
Anak-anak dan isteri ada hak terhadap mereka. Jika sukar, penyelesaiannya – mungkin – bawalah kesemuanya ke masjid!
Saya nyatakan begitu dan ada orang bertanya, “kenapa 3 ulas prof?”. Lalu saya menjawab, “bawalah 5 ulas…”. “Kenapa 5?”
“Bawalah sekotak dan agih-agihlah kepada jemaah yang lain,” sambil tersenyum dan berharap agar mereka memahami yang ia bukan isu utama. Mungkin saya tersilap menyebut secara spesifik jumlah tamar yang dibawa.
Namun Di Malaysia sudah ada masjid yang menyediakan makanan untuk berbuka bukan semata-mata untuk mereka yang bermusafir. Jadi usahlah bertelagah soal bawa makanan sendiri atau tidak.
Kita mempunyai mata, lihatlah bagaimana masjid kariah beroperasi. Kita mempunyai pemikiran, fikirlah yang terbaik tetapi soal solat berjemaah di masjid tidak boleh dipinggirkan.
Misalnya, semalam saya berbuka di dalam kereta ketika menuju ke masjid/surau kariah “Prof Madya Dr Rashidee dan Prof Madya Dr Halimahton” di Kuching.
Alhamdulillah, bila sampai, jemaah hampir selesai berbuka ringkas. Makanan mencukupi. Berlebihan berbanding dengan mereka yang hadir “berbuka dan solat”.
Jika bermusafir, jamak dan qasar merupakan hadiah daripada Allah SWT. Banyak perkara yang dipermudahkan dalam kita bermusafir. Ia juga memainkan peranan dalam urusan berbuka puasa dan solat berjemaah.
Islam adalah agama berfikir. Ia ringkas tetapi tidak sampai mengambil mudah. Ia kelihatan payah bila kita menyukarkannya. Ia sangat mudah dan ringan jika ia dilakukan atas dasar semata-mata keranaNya, semata-mata keranaNya dan semata-mata keranaNya.
Ada sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah dalam setiap amalan yang dianjurkan kepada hambaNya.
Allahu Akbar, saya mohon keampunan Allah.
July 24, 2012
Mencari Cinta Abadi, Redha Ilahi
Jika berkesempatan dan berada di sekitar Kuching, jemputlah ke Auditorium STIDC berhampiran dengan Stadium Petra Jaya, Kuching. Roza dijemput untuk menyampaikan pandangan beliau khusus kepada kaum wanita.
Program bermula jam 8.00 pagi dan dijangka berakhir 3 jam kemudian pada hari Jumaat, 27hb ini.
Jika ingin bertanya, dail Alina, 0138012302.
Saya pula mempunyai jadual yang berasingan.
26 Julai 2012 (Khamis)
9.00 hingga 11.30 Pagi – Program Ceramah Agama kepada Penjawat Awam di Sarawak bertempat di Auditorium Tingkat 17, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, Kuching.
6.15 Ptg hingga 10.00 Mlm – Majlis Berbuka Puasa / Solat Maghrib / Sesi Tazkirah / Solat Tarawikh (8 Rakaat) bertempat di Masjid Darul Al-Ithihad, Kenyalang
27 Julai 2012 (Jumaat)
9.00 hingga 11.30 Pagi – Program Ceramah Agama kepada Pegawai dan Kakitangan JAKIM SWK, JAIS dan Pelajar-pelajar Diploma Pengajian Islam Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan penduduk sekitar kawasan Telaga Air, Kuching.

Ia berbuka yang ringkas namun masih ala Malaysia. Bubur lambuk masjid dan Kuey Tiaw goreng.
Salah satu nikmat berpuasa yang tidak mahu kami tinggalkan ialah solat Maghrib berjemaah di masjid.
Bertahun-tahun saya ditipu dengan ujian berbuka puasa. Pertama, berbuka dengan juadah yang melampau-lampau. Ia sering dikaitkan dengan keinginan (nafsu) akibat memikirkan yang seharian sudah berlapar dahaga. Maka ia pembalasan apabila berbuka.
Maka hampir setiap tahun kami memperuntukkan berbuka secara mewah di hotel-hotel. Separuh dibiayai oleh rakan-rakan yang menggunakan elaun keraian syarikat dan selebihnya menggunakan wang gaji.
Kedua, menunaikan solat dalam keadaan perut kekenyangan yang melampau sangat berbeza dengan berbuka yang ringkas dan mudah. Saya merasai kedua-dua keadaan.
Tentu sekali saya boleh bercerita. Dan ramai yang mengetahuinya. Akhirnya, soal makanan mengatasi soal solat. Maksud saya, kita berbuka – makan – dan apabila selesa barulah menunaikan solat.
Kemudian, kita akan bersegera kembali ke meja makan untuk menyambung makanan hotel yang tersangat lazat, sekurang-kurangnya mengikut nafsu mereka yang berpuasa.
Tertipu dengan ujian berbuka tidak hanya berkisar apabila menjamu selera di hotel atau restoran. Ramai yang memilih berbuka di rumah, meninggalkan masjid yang dikunjungi sepanjang tahun terutamanya solat maghrib berjemaah.
Begitulah, ujian yang tidak kita sedari. Nampak kecil tetapi kesannya signifikan. Agak saya begitu!
Mencari Cinta Abadi, Redha Illahi
Jika berkesempatan dan berada di sekitar Kuching, jemputlah ke Auditorium STIDC berhampiran dengan Stadium Petra Jaya, Kuching. Roza dijemput untuk menyampaikan pandangan beliau khusus kepada kaum wanita.
Program bermula jam 8.00 pagi dan dijangka berakhir 3 jam kemudian pada hari Jumaat, 27hb ini.
Jika ingin bertanya, dail Alina, 0138012302.
Saya pula mempunyai jadual yang berasingan.
26 Julai 2012 (Khamis)
9.00 hingga 11.30 Pagi – Program Ceramah Agama kepada semua Penjawat Awam di Sarawak bertempat di Auditorium Tingkat 17, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, Kuching.
6.15 Ptg hingga 10.00 Mlm – Majlis Berbuka Puasa / Solat Maghrib / Sesi Tazkirah / Solat Tarawikh (8 Rakaat) bertempat di Masjid Darul Al-Ithihad, Kenyalang
27 Julai 2012 (Jumaat)
9.00 hingga 11.30 Pagi – Program Ceramah Agama kepada Pegawai dan Kakitangan JAKIM, Swk, JAIS dan Pelajar-pelajar Diploma Pengajian Islam Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan penduduk sekitar kawasan Telaga Air, Kuching.
July 23, 2012
Notis: Tempahan Buku

Tempahan sebelum ke Kuching
Alhamdulillah, kesemua tempahan yang telah dibuat pada 24hb telah dihantar sebelum kami berlepas ke Kuching pada 25hb. Beberapa e-mel susulan telah saya hantar memaklumkan penghantaran ini.
Mudah-mudahan ia ada dalam penerimaan.
InsyaAllah, kami akan membuka tempahan kepada khalayak KRTS yang mahu memiliki 4 naskah buku Roza yang masih ada dalam simpanan kami. Maklumat lanjut adalah seperti berikut:
1. Travelog Cinta Abadi – Roza Roslan
2. Travelog Impian Abadi - Roza Roslan
3. Travelog Kehidupan Abadi - Roza Roslan
4. Bukan Sekadar Resepi - Roza Roslan
5. Bersyukur Saat Diuji - Muhd Kamil Ibrahim (out of stock)
Jika ada yang berminat untuk mendapatkan buku-buku di atas beserta dengan tandatangan penulis, sila e-mel kepada mki@muhdkamil.org
Harganya mengikut harga di kulit dan bayaran pos laju. Masa tempahan dan jumlah naskah sangat terhad.
Sila sertakan maklumat berikut:
1. Nama penerima dan alamat penuh
2. Nombor telefon untuk dihubungi oleh pos
2. Tajuk buku dan jumlah naskah
InsyaAllah, kesemua tempahan akan dihantar pada hari ISNIN, 30hb. Saya akan menghubungi semula setelah menerima e-mel tersebut secara peribadi. Selamat berpuasa.
MKI
Urusan
Kita sentiasa sibuk dengan urusan dunia dan akhirat.
Namun, pengasingan dunia dan akhirat menyebabkan imbangannya tidak sepadan. Misalnya mudah. Saya akan pastikan kerja-kerja pejabat disempurnakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Saya akan bersekang mata. Kegagalan menyiapkan tugasan mengikut waktunya melambangkan prestasi tidak cemerlang. Jika ia kerap kali berlaku maka label tertentu akan tertacap di dahi.
Semua orang tahu yang kita begitu.
Saya juga ingin pastikan bangun malam setiap hari. Ia hubungan dengan Allah SWT. Ia sedikit berbeza dengan kaedah bekerja. Amal atau tidak ia tidak jelas dengan hasil akhirnya. Ukuran prestasi hanya atas dasar keyakinan dan kepercayaan.
Lalu jika diasingkan dunia dan akhirat, ramai yang memberi tumpuan kepada dunia kerana ia bersifat jelas dan nyata. Cemerlang dalam dunia pekerjaan – lumrahnya – disokong dengan kenaikan pangkat, bonus dan makin berkuasa.
Namun ada juga yang benar-benar yakin dengan ganjaran beramal ibadat secara khusus. Mereka kuat melaksanakan pelbagai amal namun selekeh dengan kerja-kerja yang dikatakan “urusan dunia”.
Kehidupan bercelaru.
Pengasingan dunia dan akhirat ini terserlah dalam tindakan seharian. Ada jua yang tidak disedari. Ia semacam biasa-biasa sahaja. Bila bekerja, bersungguhnya bukan main sehingga tiada masa untuk solat berjemaah di masjid.
Pernah dengar orang berkata, “masa saya terlalu sempit, kerja di pejabat tidak pernah berakhir…..”. Lalu saya petik sekali lagi hadis yang menjadi panduan saya,
Wahai anak Adam!
Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! (Hadis Qudsi, riwayat Ahmad).
Saya diberi ilham untuk berkata, “seimbang tetapi tidak sama” untuk dunia dan akhirat. Maksudnya, dunia ada nokhtah, syurga tiada hujungnya.

Berbuka bersama Mahasuria dan Naha di Masjid Negeri
Banyak perkara yang boleh dilakukan serentak.
Berbuka puasa, solat Maghrib di Masjid dan bertemu kenalan. Meskipun ia sangat singkat namun cukup signifikan.
Ketika Sultan berbuka bersama rakyat jelata di bawah khemah, kami memilih untuk berasingan bertanya khabar di ruang bawah masjid. Makanan tidak perlu bermewah-mewah.
Hari ini, saya berjanji dengan Eda dan keluarga untuk bertemu muka. Juga kenalan yang hampir setahun tidak ditemui. Jika ada yang berselisih dengan kami dan mahu turut serta, silalah…
Besok, kami akan berbuka puasa di Pusat Islam UiTM Sarawak, Samarahan. Lusa, di Masjid Al-Ithihad, Kuching.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
