Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 10
August 25, 2012
Jangan bersusah hati

Bersama Dekan, lapor diri!
Lain padang lain belalang.
Begitulah. Kontrak saya hanya setahun di universiti ini. Tidak pernah dinyatakan secara jelas samada tenaga saya diperlukan lagi atau tidak. Saya hanya berdoa, “Ya Allah, kekalkan aku di Madinah ya Allah”
Namun ramai yang berkata, “Jika tiada khabar maknanya kita kekal di sini”.
Lalu saya kembali ke Madinah kerana ada tiket pulang untuk seisi keluarga. Saya bertanya lagi, “apa yang perlu saya lakukan?” Masing-masing memberi jawapan seragam, “besok datang ke fakulti, jumpalah dekan dan ucaplah Eid Mubarak. Cukup, itu tandanya kita sudah melaporkan diri”.
Maka itulah yang saya lakukan. Tinggal lagi saya bergambar dengan dekan. Maka benarlah istilah lain padang…. Tenanglah…. hidup di sini sangat santai sekali.
Alhamdulillah.
Ruang solat waktu Isya di blok sebelah Perkuburan Baqi
Beginilah Masjid Nabawi usai bulan Ramadhan. Tiada lagi mereka yang berkampung di dalam masjid. Buat penduduk Madinah – terutamanya kami sekeluarga – ia ruang untuk ke Raudhah dan beriktiqaf dalam suasana yang berbeza.
Ia mendamaikan.
August 24, 2012
Rutin Madinah
Bayangkan nikmat 70 hari cuti terus-menerus bergaji penuh dengan tiket penerbangan pergi dan balik. Nanti, cuti musim haji selama 10 hari. Dua kali cuti antara semester. setiap satunya selama seminggu.
Mengingati soal ini sahaja sudah cukup untuk saya melupakan kemudahan lain yang sepatutnya diperolehi sebagai seorang profesor di Malaysia.
Rakan UiTM tersenyum melihat kemudahan bilik saya di universiti. Bilik yang 1.25 keluasan bilik saya di UiTM Johor dihuni oleh 5 pensyarah di sini, bercampur dengan pembantu profesor, profesor Madya dan profesor.
Saya pula tidak malu menunjukkan bilik tersebut kerana keutamaan saya berbeza. Saya fikir ia sangat berpatutan kerana ruang tersebut hanya digunakan antara 1 – 3 jam sehari berbanding 8 jam di Malaysia.
Pejabat pentadbiran universiti hanya beroperasi sehingga jam 2 petang.
Ofis saya sebenarnya di Masjid Nabawi. Kurang-lebih 6 jam kami sekeluarga berada di sana. Maka jika ada tetamu yang mahu melawat ofis, saya lebih gemar membawanya ke masjid. Pertama, berjumpa dengan Sheikh yang mengajar quran.
Lalu saya akan perkenalkan dengan berkata, “Sheikh ini rakan dari Malaysia, tolong dengar bacaan fatihah beliau….”. Kedua, saya akan tunjukkan saprah KRTS yang beroperasi setiap hari.
Di sini, Sheikh Ridzuan juga akan melayani tetamu saya dengan bersungguh. Lainnya, minumlah air zam sepuasnya. Saya belanja!
Moga bertemu lagi

Mudah-mudahan Allah lembutkan hati anak-anak ini
Kami meninggalkan Mekah pulang ke Madinah.
Berakhirlah cuti 70 hari musim panas. Besok, saya dan Roza akan melaporkan diri tanda mula bertugas. Amirul dan Sofea akan memulakan sesi baru persekolahan pagi dan di sebelah petang – agak saya – perlu pula meneruskan pengajian al-Quran di Haram.
Mak, Sara dan Azrai juga sudah sampai ke penghujung waktu berada di Madinah dan Mekah. Merea akan berlepas pulang pada 2hb September ini. Mudah-mudahan mereka dapat merasai kedamaian dan ketenangan bumi Madinah.
Saya berdoa begitu. InsyaAllah.
Kak Mie

Ia hidup.... membesar
Alhamdulillah. Beliau selamat menjalani pembedahan. Moga Allah memberi kesembuhan supaya dapat beramal ibadat kepadaNya.
Agaknya berapakah kos mengeluarkan ketumbuhan di dalam rahim sebesar ini?
August 23, 2012
Kesimpulan
Genap setahun putaran kehidupan di Madinah.
Hari ini – InsyaAllah – kami berangkat meninggalkan KLIA, kembali semula ke rumah kami di Jabal Uhud. Saya bersyukur kerana diberi izinNya untuk meneruskan kehidupan kami di sini.
Ia setahun lagi yang bakal sangat bermakna, InsyaAllah.
Allahu Akbar, impian saya biarlah kehidupan saya berakhir di sini. Dan saya masih berdoa begitu.
Diam-diam, enam tahun sah berlalu semenjak pulang dari menunaikan fardhu haji 2006-2007. Episod haji ini menjadikan saya dikenali ramai, sekurang-kurangnya buat khalayak pembaca buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman dan blog KRTS.
Ia suasana yang bukannya ditelah dengan teliti. Malah saya tidak pernah terfikir sampai ke situ. Namun – suka atau tidak - ia melewati satu fasa penting dalam hujung kehidupan. Ia ujian Allah yang sangat besar.
Saya fikir, ia makin membantu saya semakin hampir denganNya. Melihat perspektif kehidupan yang kekal abadi melangkaui kehidupan dunia yang sangat rapuh sifatnya.
Enam tahun bersama masyarakat mengajar saya banyak perkara. Tidak pernah terfikir untuk melihat insan yang tidak pernah dikenali “mengalirkan airmata” kerana saya.
Tidak pernah terfikir pengaruh kehidupan yang telah saya lalui meresap dalam ribuan jiwa manusia lain. Apa pun yang dikata orang, saya tahu ia adalah penyebab yang bukan olok-olok.
Pada satu ketika, saya berasa sangat bertanggungjawab kepada setiap orang.
Saya mahu mengajak, “marilah solat berjemaah, marilah membaca al-Quran semuka sehari dengan terjemahannya, marilah bangun malam, marilah berpuasa Nabi Daud, marilah kita menjaga hati kita…” dan beberapa perkara lain yang membolehkan kita menjadi manusia terpilih.
Buatlah kebaikan! Mudah-mudahan ia meresap kepada kehidupan lain di dunia ini. Maksudnya, biar segalanya menjadi amal ibadat.
Biar dengan rahmatNya, kita masuk syurga tanpa dihisab.
Lalu kunci di atas segala-galanya, “lakukan apa sahaja semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah”.
Ia ajakan yang berulang-ulang dalam keadaan yang berbeza.
Saya merenung diri. Mencari sesuatu yang pasti. Menginsafi jalan yang telah saya lalui.
Berapa langkah lagi saya perlu menapak? Ia soalan yang tidak berjawab. Pasti juga, ia nyata tidak terlalu lama.
August 22, 2012
Tazkirah Syawal
August 21, 2012
Kehidupan

Menunggu solat Maghrib di Masjidil Haram
“Ayah, kita solat di tingkat 2,” pinta Amirul.
Lalu saya melayani mereka – Sara, Azrai, Amirul dan Sofea – melihat Masjidil Haram dari pandangan mata yang berbeza. Ikut saya mudah, tempat solat di dataran dan sehampir mungkin dengan imam.
Roza pula menghabiskan masa dengan Mak. Mudah-mudahan ada manfaatnya.
Masa yang singkat ini saya pergunakan sepenuhnya untuk bersama Sara dan Azrai, cuba mengisahkan kisah kehidupan yang bakal mereka lalui.
Misalnya, saya bersama Sara ketika bertawaf. Memegang tangannya sepanjang tujuh pusingan yang tidaklah terlalu panjang. Saya sebak. Ia hubungan emosi yang mendalam.
Pada hari yang lain – sambil berjalan pulang – saya nyatakan, “kakak kena jaga aurat. Aurat bukan hanya menutup rambut…”. Diam. Saya sambung lagi, “ayah mahu kita bertemu di syurga. Semua sekali anak-anak ayah”.
Tentu sekali ia mengambil masa untuk anak-anak remaja memahami sehingga ke lubuk hati. Saya bayangkan ketika usia sebaya dengannya. Namun saya perlu nyatakan tanpa jemu. Ketika terluang.
InsyaAllah, mereka akan mengerti erti kehidupan sementara ini.

Bersama bos D'Saji Mekah
Kali ini saya berkenalan dengan Tuan Syed Fadil, bos D’Saji Madinah.
Beliau mempunyai kisah kehidupan di Mekah. Tentu sekali begitu. Isteri dan anak-anak tidak bersama beliau di sini. Saya fikir ia ujian emosi yang besar.
Diam-diam sudah 4 tahun beliau melihat Masjidil Haram dari jarak yang sangat hampir.
Saya mengkagumi dan mendoakan beliau.
August 20, 2012
Pilihan
Kami – saya dan Roza – tidak dapat menahan ketawa mendengar jawapan Sofea. Abang Ngahnya bertanya,
“Jika Sofea diberi pilihan suami yang putih tetapi perangainya tidak elok berbanding dengan suami yang hitam tetapi baik… Sofea pilih yang mana?”
“Sofea pilih orang putih dan Sofea doakan supaya dia jadi baik macam mama doakan ayah”.
Wah… letih tu!
Pertemuan
Mengikut tradisi – pasca kepulangan ayah dan Wan – kesemua adik-beradik berkumpul di rumah pada petang atau malam 2 Syawal. 1 Syawal dikhususkan untuk bersama keluarga mertua.
Diam-diam ia sudah hampir 10 tahun berlalu, usia pemergian Wan mengikuti Ayah yang 8 tahun lebih awal pergi. Lalu hari raya ke tiga dikhususkan untuk menjalankan kegiatan keluarga di rumah Wan dan Ayah.
Tahun lepas kami mengadakan majlis kesyukuran meraikan perkahwinan Adik Azlina dengan pasangannya, Cikgu Razali Kamaruddin. Tahun ini majlis aqiqah.
Hampir setiap tahun acara hari keluarga turut diadakan bagi meraikan anak-anak saudara yang jumlahnya bertambah setiap tahun.
Hakikatnya, pertemuan ini menjadi majlis rasmi bagi mengekalkan hubungan adik-beradik. Bukan sedikit keluarga yang membawa haluan sendiri setelah ketiadaan ibu bapa.
Apatah lagi jarak dan faktor pekerjaan memisahkan.
Ada perumpamaan yang menyatakan, “carik-carik bulu ayam….” atau “air dicincang tidak akan putus” yang memberi perlambangan hubungan adik beradik.
Namun dunia akhir zaman terkecuali. Teknologi telah menghasilkan air menjadi kiub-kiub ais 7-11. Begitu ramai yang sudah tidak mampu tersenyum sesama sendiri.
Malah kedatangan atau kehadiran ipar-ipar yang berbeza pandangan, didikan dan latar belakang turut menyumbang kepada hubungan yang semakin renggang.
Alhamdulillah, kami tidak begitu. Semoga ia kekal begitu. Simpanlah ego pangkat dan darjat sesama adik-beradik. Hormatilah sesama sendiri dengan masing-masing merendah diri.
Adik menghormati abang atau kakak. Mereka yang tua melayani adik-adik dengan penuh rasa kasih sayang. Sesekali jika berlaku pertentangan pendapat, ambil jalan yang paling mudah – mengalah!
Inilah zuriat Ayah dan Wan.
Marilah kita berkasih di dunia, semoga 12 adik-beradik – Kak Yah, Kak Mie, Kak Ma, Shaiful, Haniza, Suhaili, Khamisah, Afzan, Junita, Azlina dan Nur Solihah – ini berkumpul kembali di Firdaus bersama Ayah dan Wan bersama kaum keluarga dan rakan-rakan yang lain.
Kami merindui suasana ini dan InsyaAllah tahun hadapan kami seisi keluarga akan bersama.
August 19, 2012
Perjalanan: Mencari Damai Di Hati
Saya suka menulis. Banyak perkara yang boleh ditulis. Namun memilih isu yang mahu dibukukan agar ia memberi manfaat kepada khalayak nyata sukar.
Sekurang-kurangnya buat saya.
Saya sudah berjanji dengan Galeri Ilmu untuk menulis TAZKIRAH DARI MADINAH sebagai buku kedua bersama mereka. Bahannya ada. Isunya ada. Malah ia topik yang kerap disampaikan kepada khalayak yang berkunjung ke rumah kami di Jabal Ohud.
Namun bila saya mahu dan memulakan penulisan ini nyata ia sangat kaku. Roh penulisannya tidak sampai ke hati. Ia akhirnya menjadi khutbah yang membosankan. Lalu saya nyatakan pada Roza, “Yang…. saya perlu memohon kepadaNya agar diberi panduan yang lebih jelas”.
Sungguh, setiap penulisan memerlukan penulisnya memohon kepada Allah yang memberi pinjaman ilmu. Ia tidak sampai secalit daripada ilmuNya yang Maha luas.
Tidak. Setiap ilmu yang ditulis bukanlah atas dasar kehebatan manusia. Allah… Allah… Kaulah yang berkuasa di atas segala-galanya. Dan pada satu detik tertentu, saya nyatakan kepada Roza: “Yang…. Agaknya tajuk PERJALANAN: MENCARI DAMAI DI HATI lebih sesuai untuk buku baru saya”.
Dan sepagi saya memberi syarahan kepada mereka yang bersama saya – usai solat Idul-Fitri – dari Masjid Nabawi ke Rumah Kecil di Jabal Ohud.
Mereka terpaksa mendengar framework buku tersebut!
August 18, 2012
Kemenangan

1 Syawal, usai solat zuhur di Masjid Nabawi. Sudah hilang kemeriahan bulan Ramadhan.
3.45 pagi.
Perjalanan biasa hanya mengambil masa 8 minit. Subuh tadi, ia seumpama perjalanan Shah Alam – Seremban. Begitulah sesaknya manusia di Tanah Haram Madinah.
“Rabbi Yassir, Wala Tuassir… subhanallah, permudahkanlah kami ya Allah. Berikanlah ruang solat untuk kami sekeluarga,” tidak henti-henti saya memohon kepadaNya.
Lautan manusia melimpah ke dataran masjid. Saya tidak tahu tetapi menjangkakan ramai jemaah berada di bumbung masjid. Ia jauh mengalah ketika solat mingguan, solat Jumaat.
Begitulah. Ujian pertama menyambut idil-fitri bagi kaum Adam, menunaikan solat subuh berjemaah di masjid. Hari ini, solat bermula jam 5.00 pagi, diikuti dengan solat sunat idil-fitri sejam kemudian.
Saya tidak mahu tewas.
Usai khutbah solat sunat idil-fitri masing-masing berpelukan, saling mengucap selamat dan – saya fikir – terlepaslah ujian pertama yang maha besar dalam konteks mahu menjadi insan terpilih di sisiNya.
Alhamdulillah, kemudahan parking merupakan anugerah Allah yang sangat besar nilainya terutama pada bulan Ramadhan dan di pagi Syawal ini.
Ia memudahkan kami.
“Mak, saya mohon maaf jika ada salah dan silap,” saya memeluk Mak dengan penuh rasa sebak. Pertama, saya teringatkan Ayah dan Wan yang tidak dapat merasai berpuasa di Tanah Haram, solat terawih di Masjid Nabawi dan menyambut hari raya di bumi Madinah bersama anak lelakinya.
Allah… Kau ampunilah dosa-dosa mereka ya Allah. Perluaskan kubur mereka. Pancarkan Nur kasih-sayangMu. Izinkanlah mereka menjadi penghuni di syurgaMu. Dan temukanlah kami di sana ya Allah.
Kedua, saya rasa sebak kerana mampu menyukakan hati mak di kala beliau masih sihat sejahtera. Mudah-mudahan kami semua dilindungi dan dirahmati Allah.
Ya Allah, ya Tuhan kami, temukanlah kami semua di syurgaMu ya Allah terutamanya kedua ibu bapa, isteri dan anak-anak kami, adik-beradik, sanak-saudara, rakan-rakan yang kami kenali ataupun tidak kami kenali dan seluruh muslimin dan muslimat, ya Allah.
Moga bertemu kembali 1 Syawal, 1434.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
