Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 14
July 22, 2012
Maa Salama

Sehingga bertemu lagi

Pertama kali, di rumah inilah mereka diraikan dengan makanan Malaysia. Mereka termenung. Tuan rumah kecewa. Mereka diraikan semula pada hari kepulangan. Ia berbeza.
Mereka berlepas pulang.
Barangkali inilah percutian terhebat yang pernah mereka alami. Datanglah sekali lagi ke Malaysia, ia pastinya tidak akan serupa dengan laluan yang telah mereka tempoh selama sebulan di sini.
Saya fikir begitu.
Terima kasih kepada semua.
July 21, 2012
Nikmat Allah
I Ramadhan 1433.
Hampir semua adik-beradik Roza berkumpul di Jementah. Long dari Perak, Roza (kiranya kami dari Madinah), Tuti dari Puncak Perdana, Ratna dari Ampang, Raihan dari AU 5 dan Razif (kiranya dari Labenon) sudah berada di sini.
Mak nampak gembira. Bukan main sibuk lagi beliau menguruskan dapur. Akhirnya, sangat benar sekali apabila kembali berjumpa ibu bapa, soal makanan menjadi isu utama.
Ia kenduri.
Namun ada sesuatu yang sangat-sangat menyukakan hati dan perasaan. Masing-masing menjaga aurat. Sesuatu yang kelihatan sukar pada masa lampau, namun kini tidak lagi menjadi kepelikan.
Namun di sana-sini pasti ada keperluan untuk membuat teguran. Misalnya, Sara sendiri terlupa atau terkhilaf betapa sepupu lelakinya yang kelihatan masih remaja merupakan aurat kepadanya.
Ia adalah kisah yang perlu diamati dan diberi perhatian. Dan saya nyatakan secara jelas kepadanya. Ia tidak perlu berselindung.
Juga, ada kemudahan yang Allah kurniakan. Kami boleh jamak dan qasar. Namun Allah… Allah.., saya bersyukur melihat ipar dan biras beramai-ramai solat subuh di masjid.Itulah nikmat Allah.
Abah dan Ayu - mereka sahaja yang tiada - kami mungkin sudah terpisah di dunia. Jauh di sudut hati saya mengenangi mereka. Abah pergi ketika usianya 71 tahun. Ayu pula, 35 tahun seusia dengan adik kandung, Haniza.
Di Besut, Ayah dan Wan meninggal di sekitar 60 tahun. Ia menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.
InsyaAllah, kita berjumpa di Firdaus.
Ujian Puasa
Lapar dan dahaga adalah asas berpuasa. Namun lapar dan dahaga tidak lagi menjadi sifat fizikal bila berpuasa dilakukan semata-mata kerana Allah. Kita tidak makan dan minum bila berpuasa tetapi ia langsung tidak mempengaruhi rasa lapar dan dahaga sehingga terpaksa berbuka.
Agak saya begitu.
Lalu masa berpuasa berbeza-beza di antara satu negara dengan negara yang lain bukan lagi suatu kesusahan. Mereka yang tidak biasa berpuasa meletakkan cuaca, tempoh masa dan kegiatan sebagai sesuatu yang boleh menghalang dari berpuasa. Bagi mereka, ia kelihatan sukar!
Lalu jika ada yang berkata, “ujian berpuasa di negara sejuk lebih tinggi lagi,” maka beliau belum memahami sifat relatif ujian individu.
Benar juga akan ada kekecualian. Namun berpuasa atas kecintaan melaksanakan perintah Allah nyata berbeza. Lapar, dahaga, cuaca, masa dan pelbagai isu lain tidak membawa sebarang nilai yang signifikan.
Ujian tetap ujian.
Namun ujian terbesar dalam berpuasa adalah untuk mengekalkan ibadat lain yang berkait secara tidak langsung dengan ibadat ini. Berapa ramai di antara kita yang meninggalkan solat Maghrib berjemaah di masjid semata-mata kerana mahu berbuka di rumah.
Bagaimana mahu membersihkan hati, mulut, mata dan telinga bagi memastikan puasa kita berada pada tahap tertinggi? Mahukah kita tidur sepanjang hari kerana berpuasa?
Saya telah melalui banyak fasa melaksanakan amalan ini. Setiap satunya mempunyai ragam dan ujian yang berbeza-beza. Namun saya selalu berdoa agar ia menjadi amalan yang diterimaNya.
Mudah-mudahan Allah memberi keampunanNya.
July 20, 2012
Anak kecil
Kenapa kita boleh gosok gigi setiap hari? Kenapa kita yakin – InsyaAllah – yang kita AKAN gosok gigi besok?
Mereka yang biasa bersama saya pastinya membaca suatu kenyataan yang sangat biasa didengar. Ia berkait dengan nikmat melakukan sesuatu. Dalam konteks ini, nikmat gosok gigi.
Malah ia juga merupakan analogi mudah menjelaskan proses ISTIQAMAH.
Jawapannya sangat mudah dan masuk akal. Kita manmpu menggosok gigi setiap hari kerana kita sudah merasai nikmat gosok gigi dan telah diasuh begitu semenjak kecil lagi.
Begitu juga dengan amal ibadat khusus. Saya fikir, kita perlu merasai nikmat beramal ibadat untuk konsisten sepanjang masa. Lalu ia juga perlu diasuh semenjak kecil. Aturannya begitu. Inilah yang dikatakan usaha berserta dengan keinginan walaupun akhirnya ia merupakan anugerah Allah SWT.
Lalu saya sering bertanya kepada khalayak, mampukah kita menjadi anak kecil balik ketika usia kita melewati 1/2 abad? Masing-masing mengeleng-ngelengkan kepala.
“Boleh,” saya cuba menarik perhatian.
“Namun kerap kali kita tidak menyedari anugerah Allah tersebut. Ia berlalu begitu sahaja. Peluamg untuk menjadi anak kecil kembali tidaklah terlalu kerap tetapi ada”.
Pada ketika inilah saya berupaya – dengan izin Allah – menarik perhatian khalayak terutama buat jemaah haji dan umrah yang bertandang ke rumah kami di Jabal Ohud.
“Bila? Pertama ketika tuan-tuan menunaikan ibadat haji dan umrah. Allah memberi peluang untuk kita menjadi anak-anak kecil kembali. Ia bukan soal usia tetapi perbuatan yang boleh kita lakukan seumpama anak-anak kecil.
Bayangkan, jika setiap hari selama 12 hari berada di Madinah dan Mekah, kita bangun malam. Kita tidak memerlukan 15 tahun sebagaimana anak kecil belajar gosok gigi untuk merasai nikmat gosok gigi. Memadailah 12 hari tersebut.
Namun kita masih memilih untuk lebihkan tidur. Bangun 15 minit sebelum solat subuh. Umrah dan Haji memberi ruang untuk kita merasai nikmat beramal ibadat yang sebenarnya.
Kedua, Allah memberi peluang untuk kita menjadi anak-anak kecil kembali di bulan Ramadhan. Setahun sekali, suasananya begitu. Allah… kita boleh bangun bersahur. Awalkan sedikit untuk solat malam. InsyaAllah jika ia diamalkan, di hujung Ramadhan - InsyaAllah – kita akan merasai nikmat bangun malam.
Ibu-ibu yang memasak untuk bersahur, mulai dengan solat tahajud terlebih dahulu. Latihlah diri kita seumpama anak-anak diajar bergosok gigi semenjak mereka kecil. Bezanya kita sudah berusia dan bulan Ramadhan memberi kita peluang secara semulajadi.
Kita berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, apalah sangat berpuasa Nabi Daud yang hanya selang-sehari?”
Akhirnya, tidak perlulah kita bersoal-soal, tidak habis-habis dengan soalan, “bagaimana mahu istiqamah, saya mahu tetapi tidak berupaya, dan banyak lagi….. Bulan Ramadhan, sebaik-baik bulan untuk memulakan dan bukannya tempat persinggahan.
Ia bukan soal ganjaran tetapi kerana kita mahu beramal ibadat semata-semata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah.
July 19, 2012
Berakhirlah…

Tidak lagi supervisor....
Dr Arun dan Dr Radziah adalah kumpulan terakhir yang mendaftar sebagai pelajar PhD ketika saya bertugas di UiTM. Mereka lulus PhD ketika saya sudah berada di Madinah.
Kalau dulu mereka membuat temu janji untuk berjumpa penyelia. Ia tidak terlalu sukar. Kini, mereka perlu membuat temu janji untuk “belanja kami makan”. Ia kelihatan lebih sukar.
Lalu saya membuat pengistiharan, “mulai hari ini… you berdua tidak lagi supervisee saya. Jangan lagi sibuk-sibuk mahu belanja saya dan Roza makan”.
Saya gembira melihat wajah-wajah mereka ceria. Muka mereka lebih bercahaya. Agaknya beban sebeban dibahu dan minda tercampak jauh. Ia terpancar di wajah.
Namun saya lebih gembira dengan kehadiran Arun di Madinah tempoh hari. Begitu juga Radziah yang berkunjung ke sana ketika dalam tempoh pengajian.
PhD kepunyaan mereka. Namun – saya fikir – pesanan agar mereka sentiasa hampir dengan Allah akan sentiasa melekat di hati. Ia perlu diterjemahkan melalui amalan seharian.
Saya tahu mereka bangun malam sepanjang tempoh pengajian. Berdoa dan bermunajat kepadaNya. Ketika buntu, lebih kusyuk mereka bersolat. Lalu kejayaan yang dicapai boleh menghapuskan rasa berharap kepadaNya.
Jangan begitu. Biar kita melihat ujian kesukaan dan keriangan sebagai cabaran yang lebih besar.
Saya sentiasa berdoa kepada mereka yang pernah bersama. Dan ia termasuk Arun dan Radziah!
Kabsah dari Madinah

Inilah Kabsah dari Madinah hasil tangan Iman

Roza pula memasak Bolognise. Kak Ma membawa tapai daun getah dari Besut
Di antara tetamu yang hadir mendengar Bicara Buku, IKIM.FM

Yatie mengambil kesempatan meminta tandatangan buku-buku yang habis diborong di MPH SACC
Kak Ma dari Besut melakukan ziarah. Iman bersetuju untuk masuk dapur dan menyediakan nasi Kabsah. Ia tiada dalam agenda. Lalu saya membawa mereka ke pasar Seksyen 6.
Di pasar, mereka dilayani dengan baik oleh peniaga di situ. Lalu saya terus bercerita,
“Orang Malaysia sangat baik dengan tetamu luar. Namun mereka cepat pula memalingkan muka jika kita mengambil kesempatan di atas kebaikan mereka. Jangan terlalu berkira bila tawar-menawar”.
Konsep saya sangat mudah apabila membeli. Saya mohon pada Allah agar melembutkan hati penjual. Lalu saya berkata, “tuan, tolong pilih buah yang baik-baik untuk tetamu saya ini”.
Ia dipanjangkan dalam urusan jual-besi besar ataupun kecil. “Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah yang terbaik dalam urusan jual-beli ini”.
Mudah-mudahan Allah mengerakkan kaki saya untuk berada di gerai yang terbaik.
Begitulah. Ingatlah Allah sepanjang masa, berdiri, berjalan, duduk, bangun, malam dan siang. Di kedai atau di rumah. Mudah-mudahan ia sebati dalam jiwa sanubari.
Mula-mula Iman dan Roza memasak kerana meraikan Kak Ma. Kemudian, “kita jemput Khairul dan Arif, Shaiful…..” akhirnya melebihi 30 orang termasuk anak-anak kami.
Ia makan malam yang istimewa!
Selamat Berpuasa
Saya menulis melalui ANIS betapa ibadat ini terbahagi kepada tiga tahap iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.
Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Inilah yang dikatakan tahap terendah dan dikatakan puasa orang awam.
Manakala puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.
Sementara puasa tertinggi ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sepenuhnya. Sepatah kesimpulan, ia puasa semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah dan semata-mata kerana Allah.
Bolehkah kita mencapai tahap amalan tertinggi? Rata-rata di kalangan kita tidak mempedulikan nilai puasa yang bakal mereka laksananakan. Setiap tahun ia datang dan berlalu begitu sahaja.
Mudah-mudahan tahun ini berbeza.
July 18, 2012
Puasa
Semalam hari terakhir menyempurnakan puasa sunat Nabi Daud sebelum tibanya bulan Ramadhan 1433.
Ia pengalaman yang sangat menakjubkan. Malah kami berkongsi pengalaman indah ini dengan ramai jemaah haji dan umrah yang bertandang ke rumah di Jabal Uhud.
Malah saya bersungguh-sungguh mengajak dan menyeru mereka yang sihat tubuh badan untuk sama-sama melaksanakan ibadat ini. Premis saya sangat mudah, berpandukan kepada hadis Nabi SAW – riwayat Muslim - yang bermaksud,
“Sesungguhnya puasa yang lebih disukai Allah ialah puasa Nabi Daud a.s. dan sembahyang yang lebih dikasihi Allah ialah sembahyang Nabi Daud a.s. Dia tidur setengah malam, sembahyang sepertiga malam dan tidur lagi seperenam malam . Dia puasa sehari dan berbuka sehari”
Ia puasa sunat yang lebih disukai… jika itu yang disukaiNya, kenapa tidak lakukan? Ia konsisten dengan keinginan untuk menjadi golongan akhir zaman yang segelintir bersama Rasulullah SAW apabila dibangkit pada hari kiamat.
Puasa nabi Daud mengajar erti mencintai Allah SWT dengan sesungguhnya. Ia tidak boleh dilakukan dengan cara “main-main”. Besar ujiannya.
Malah – akhirnya – saya dapat nyata dan jelaskan istilah, “ingat Aku di waktu malam, Ingat Aku di waktu siang, sakit dan sihat adalah serupa” melalui kenyataan “lapar dan kenyang” yang bersatu melalui amalan puasa ini.
Kami menyambut Ramadhan dengan nada yang sangat berbeza. Mudah-mudahan ia membawa kita menjadi manusia yang lebih mencintaiNya.
Masjid KRTS

Alhamdulillah, moga Allah permudahkan pembinaan masjid ini.

Bahagian atas masjid dijangka akan dinaikkan dalam tempoh 2-3 minggu lagi
Saya lupa seketika kisah Masjid KRTS setelah menyerahkan tambahan RM125,000. Jika saya menulis kisah-kisah pembinaan masjid ini tentu sekali ia boleh menjadi buku menarik.
Mengumpul dana lebih mudah daripada menyerahkannya.
Tadi, saya terkenangkan Al-Walid yang berada di Somalia menguruskan projek ini. Hati saya berdetik, “sudah dua minggu beliau tidak menghubungi saya menceritakan perkembangan terkini….”
Lalu saya mencari HP. Allah… Allah… lega hati saya melihat e-mail beliau yang berserta dengan 4 keping gambar terkini. Hilang gundah gulana.
Marilah kita berdoa agar Allah permudahkan segalanya.
Tupai-Tupai

Mereka memilih Tupai-Tupai bagi mendapatkan tandatangan

Kami diraikan oleh Puan Saripah dan keluarga di Tupai-Tupai. Mereka yang sentiasa tersenyum.
Ramai yang SMS dan E-Mail mahukan tandatangan buku yang mereka beli. Tentu sekali kami tidak upaya untuk melayani kesemuanya. Namun setiap kali saya berkunjung ke tempat awam akan saya maklumkan di KRTS.
Tersirat, janganlah malu untuk menegur saya. InsyaAllah, saya akan senyum dan mengucap salam bila mata bertentang mata.
Malam tadi, sekeluarga makan malam di sini apabila mengetahui kami akan diraikan ditempat yang sama.
“Prof, saya bawa buku untuk prof tandatangan….”
“OK… OK… kejap lagi saya datang…”
Itulah yang mampu saya lakukan, memberi khabar pergerakan harian.
Besok, sudah ada yang berjanji mahu berjumpa di Masjid Negeri, usai solat subuh untuk menandatangani buku Bersyukur Saat Diuji yang mahu dihadiahkan kepada rakan-rakan rapat.
InsyaAllah, jika diizinNya, saya gembira menggembirakan rakan-rakan semua!
Gembira Seksyen 3

Tandatangan di Gembira Seksyen 3
Temu janji di Seksyen 3.
Jika tidak berpuasa, saya suka bersarapan di Gembira Seksyen 3 usai solat subuh berjemaah. Lazimnya di sekitar 6.30 pagi. Hari ini kami menangguhkan sarapan pagi ke pukul 8.00 kerana temujanji menandatangani buku-buku.
Namun saya diajak bersarapan di rumah tempat kami menginap sejurus pulang dari masjid.
Juga, saya tidak dapat menolak.
Kedua, saya bersarapan dengan Haji Mustafa Yen dan Hajah Norizan yang sudah lama saya kenali. Ketika itu saya bertugas sebagai Dekan dan Mus menjawat jawatan sebagai Timbalan Dekan.
Nama beliau saya catat – melalui Travelog Haji – sebagai salah seorang yang banyak membantu ketika menunaikan fardhu haji. Beliau banyak dihubungi kerana catatan tersebut.
Kebanyakannya rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemui.
Persahabatan kami sangat unik. Saya mampu membezakan hubungan antara Timbalan Dekan dengan sahabat keluarga. Saya fkir begitu. Itulah yang saya amalkan dan mahu dimengertikan.
Dan ia seharusnya akan kekal lama, InsyaAllah.
July 17, 2012
Che

Che masih mengenali kami berdua
Itulah panggilan kami kepada beliau. Kini usianya melebihi 82 tahun.
Kisah keluarga Che diceritakan oleh Roza melalui Travelog Impian Abadi dan Travelog Kehidupan Abadi. Di rumah beliaulah Roza ditumpangkan ketika mula-mula mencari perkerjaan di Lembah Kelang.
Ia kisah 25 tahun yang lampau. Roza dan Che tiada hubungan saudara. Roza berasal dari Johor manakala Che pula datangnya dari Kelantan. Kalau pun ada sedikit pertalian, dua pupu Roza mengenali anak Che.
Itu sahaja.
Namun Che dan keluarga banyak memberi bantuan kepada Roza. Hubungan yang terlangsung dalam kepelikan. Ia sangat berbekas di hati Roza. Ia lambang “kasih-sayang Allah” melalui satu keluarga yang berhati tulus.
Maka tidak hairanlah jika setiap kali berada di Lembah Kelang, Roza mahu melawat dan bertemu muka dengan Che.
“Mil makan nasi… masak nasi… masak nasi,” ia menceritakan sifat beliau yang tidak berubah. Saya pula tidak pernah menolak apabila diajak makan di rumah beliau.
Malam tadi saya dan Roza menikmati nasi berlauk ikan singgang, ikan rebus goreng dan telur dadar yang dimakan dengan budu. Ia mula dimasak sejurus kami tiba.
Begitulah Che melayani kami berdua. Ia tetap sama kerana itulah sifat Che yang tidak pernah berubah.
Tupai-Tupai Shah Alam

Terima kasih Tuan...
Malam ini – InsyaAllah – kami akan diraikan di sini. Saya excited kerana sepanjang tinggal di Shah Alam saya tidak mengetahui kewujudannya. Lokasinya hampir dengan kediaman kami.
Malah steamboat selalunya mengujakan.
July 16, 2012
Dua sisi

Mendarat dengan selamat
Azrai menunggu Pak Su, Haji Norizan menunggu menantu, Nurul menunggu suami, Ibrahim menunggu Ayah, Sofea mahu melihat siapa yang peluk siapa, Pak Su atau Mak Su dan Roza menunggu adiknya. Zul pula menunggu adik ipar. Alahai ia ikatan kekeluargaan yang sangat menarik.
Bintang Walk
Dunia Arab berpesan-pesan, “jika melawat Malaysia, pergilah ke Bintang Walk, China Town dan Genting”. Inilah maklumat yang disampaikan. Mereka sukakan tempat-tempat yang dinyatakan.
“Sepanjang jalan ini adalah Bintang Walk, lihatlah sendiri…. ramai pak-pak Arab di sini. Saya minta maaf, saya mengantuk dan tidak dapat bersama,” saya mohon izin untuk kembali ke service apartment yang letaknya di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur, bersebelahan Bintang Walk.
China Town
“Di sini bermulanya China Town. Hujungnya berakhir di sana. Sekarang pukul dua, empat petang tunggu kami di sini,” saya membebaskan mereka shopping di kawasan yang menjadi sebutan Arab-Arab terdahulu yang pernah berkunjung ke Malaysia.
Kemudian, saya, Roza dan anak-anak beredar mencari kawasan yang lebih selesa. Menghabiskan masa sejenak menikmati makan tengahari di Kota Raya.
Allah… Allah.. Allah, saya sudah tua. Tidak rasa teruja dengan kesibukan kota besar. Saya benar-benar terasing dalam iklim yang pernah menjadi kegilaan.
Genting
Akhir sekali Genting.
“Ia tempat berjudi,” saya menjelaskan.
“Bukankah ada tempat permainan kanak-kanak?”
“Ya…”
Sekali lagi saya memohon maaf, “kami tidak tidur di sini. Saya perlu pulang,” tanpa memberi penjelasan.
Begitulah perasaan “serba-salah” yang sentiasa ada apabila berhadapan dengan suasana yang tidak sesuai dengan rasa hati. Ia bukan soal benar ataupun salah.
Kami sudah tidak mahu ke sana!
Lalu kami sekeluarga tidur di IOI, menikmati makan malam di JW Merriot. Hadiah untuk Sara yang telah menamatkan pengajiannya. Saya nyatakan kepadanya,
“Ayah dan Mama menunggu lama untuk meraikan Sara bersama adik-adik. Alhamdulillah, akhirnya Sara berjaya. Malah sudah ditawarkan pekerjaan belum pun mendapat keputusan akhir”.
Di sini juga saya berpesan, “jika kita menjaga solat, InsyaAllah, Dia akan menjaga kita. Bagaimana jagaannya, tidak mampu ayah jelaskan”.
Tentu sekali saya terkenangkan kenyataan pembaca blog yang pernah berkata, “Anak profesor pun hanya dapat 3A……” . Ia kenyataan beberapa tahun yang lampau yang tidak pernah saya ulas.
Saya rasa lega dapat bersolat subuh di Masjid Putra, Putra Jaya. Ia masjid yang lapang. Luas ruangnya. Tiada tiang yang menyekat pemandangan. Malah ia lebih nikmat rasanya apabila seisi keluarga bersama-sama mengunjungi rumah indah ini.
TUDM
“Tidak sangka Abang Ngah pun datang,” terkeluar kata-kata tersebut daripada bibir Nurul.
“Abang Ngah tidak letih?,” Zul bertanya. Kedua-duanya adik ipar Roza (nota: tentulah biras saya. Namun hakikatnya, kedua-duanya seumpama adik kandung saya sendiri).
Saya ketawa. Kami sekeluarga – sebenarnya teruja – menyambut kepulangan Major Rahmat Syah Razif, adik Roza yang baru pulang dari Labenon. Hampir setahun beliau bertugas sebagai pasukan pengaman PBB di sana.
Saya lihat Roza menitiskan airmata melihat wajah satu-satunya adik lelaki beliau. Alahai, kasih kakak kepada adiknya. Mak juga begitu. Rindu pada anak lelakinya tidak kepalang lagi.
Allah… Allah… saya melihat pelbagai kisah kehidupan dalam tempoh 24 jam sehari semalam. Ia kisah biasa-biasa, namun ia sangat signifikan apabila dikaitkan dengan kebesaran Allah SWT.
Kami mohon keampunanMu!
Komen dari Sani
Saya rasa terharu, sebak dan teruja membaca komen saudara Sani melalui entri yang terdahulu. Anak-anak tentunya tidak dapat berbohong apatah lagi Fadi yang baru berusia 14 tahun. Saya petik semula tulisan Sani,
“Alhamdulillah, saya berkesempatan berbual dengan Fadi (Anak lelaki Tok Sheikh)
“Fady, After about 2 weeks in Malaysia, what will be the top 3 things you will tell to your friends in Madinah?”
Jawapan beliau, “1. I really learn about Priority of Performing Solat when it is the time. 2. I love Malaysian Food. (Azrai menyampuk, tidak rugi mengajak Fady Makan, He can eat all! haha) 3. Malaysian are good people.”
Alhamdulillah… saya yakin kesan didikan (tegas) langsung MKI tentang solat berkesan! untuk remaja berusia 14 tahun itu”.
Majlis Pelancaran di U-Tube
No 1 http://youtu.be/EFWJjGXTWkQ
No 2 http://youtu.be/HRr1Q_SnRBo
No 3 http://youtu.be/dBJ8N9cj_B8
July 15, 2012
Ia umpama Qahwah

Khairul merakamkan saat ini. Apa yang ada di hati hanya Allah sahaja yang Mengetahui....
Bangsa Arab sangat sukar menerima perubahan.
Saya fikir begitu setelah 10 bulan di Madinah. Misalnya soal makanan. Mereka sangat berkira. Malah pandangan awal sesuatu yang diperkenal sangat-sangat mempengaruhi tindakan segera selepas juadah itu tersentuh pada deria rasa.
Raut wajah mereka menyatakan begitu.
Itulah pengalaman saya bersama Sheikh Khalid dan keluarga. Hampir dua minggu saya melayani soal makanan. Secara keseluruhan saya dapat merasakan mereka sukar menerimanya.
Apabila sampai masanya, saya berterus-terang dengan menyatakan,
“Qahwah Arab (kopi) adalah minuman paling teruk yang pernah saya jumpa. Ia minuman yang tidak masuk akal untuk disukai. Kali pertama saya merasainya, mahu saya semburkan keluar. Namun saya bertahan. Saya kawal kerana ia rezeki Allah. Saya bertanya, kenapa orang Arab boleh menyukainya, kenapa tidak saya?
Kali kedua, saya cuba lagi. Minda saya sudah dapat membayangkan rasa yang tidak senonoh itu. Allah.. Allah… rasa itu hilang hampir 50 peratus. Kali ketiga, saya cuba lagi. Allah… Allah hampir hilang rasa buruk tersebut…
Seterusnya… ia jadi sejarah. Di dalamnya ada nikmat yang tidak ternilai”
Allah memberi ilham untuk saya bercakap selancar itu. Lalu saya ambil kesempatan untuk mengaitkan dengan amal-ibadat,
“Orang Arab suka tidur. Kuat tidur. Lalu mereka merasai nikmat tidur. Tidur umpama berlian yang berharga. Islam mengajar kita agar kurang tidur. Tidur sedikit sahaja. Ia kelihatan sukar. Namun jika diasuh seumpama saya belajar minum Qahwah, InsyaAllah akan ada nikmat tidur yang sedikit. Akhirnya, banyak tidur akan menjadikan kita bosan”.
Seminggu yang lepas saya dan Roza berpakat. Kami tidak lagi mempedulikan soal makanan kepada tetamu kami. Saya bisikkan kepada semua yang mengundang atau meraikan kami sekeluarga dan tetamu dengan satu kenyataan, “hidangkan kami dengan makanan yang biasa kita makan, jangan pedulikan samada mereka boleh atau tidak boleh makan”.
Kini – benar - ia seumpama Qahwah. Ia tidak mengambil masa panjang untuk merasai nikmat masakan Malaysia. Malah anak remaja Lara berkata, “saya tidak kisah jika jodoh saya dengan orang Malaysia”.
Ia sangat-sangat bertentangan pada saat-saat awal di sini!
Kenangan

Kami diraikan dengan makan tengahari oleh Dato' Zakee usai majlis pelancaran. Ia tidak termasuk dalam agenda. Terima kasih tuan...

Dahlia, wajahnya secantik namanya. Inilah editor buku-buku Roza di PTS. Beliau menunggu lama untuk berjumpa kami berdua.

Roza memeluk gadis ini bersama titisan airmata....
Breakfast, Makan tengahari dan Dinner

Makan pagi di Kondo Kemuncak. Ia pengalaman baru buat keluarga Khalid
Makan tengahari di Bangi, hubungan yang sentiasa berkekalan, InsyaAllah.

Makan malam di sini....
Semalam, sarapan pagi kami lewat. TV3 melakukan rakaman untuk siri Al-Hidayah. Ingat saya, mereka hanya mahu merakamkan kami sekeluarga makan pagi bersama tetamu. Fokusnya bagaimana keluarga Sheikh Khalid menerima makanan Malaysia.
Ia tidak jadi begitu. Isu-isu lain juga diketengahkan. Ia jadi sesi rakaman yang panjang. Kemudian, kami diraikan oleh Dr Nizam dan keluarga di Bandar Baru Bangi.
Mereka adalah rakan keluarga.
Di sebelah malam kami dihidangkan dengan nasi lemak, mee dan kuih-muih di surau Al-Husna, Seksyen 20 Shah Alam usai menyampaikan kuliah Maghrib.
TV3 turut membuat liputan. Alahai… pastinya ia menjadi kenangan manis buat kami dan jemaah surau ini.
July 14, 2012
Dari Lensa Khairul Anuar A. Rahim

Khalayak dari pandangan pelancar dan ketika menyampaikan tazkirah

Bukan senang menyampaikan tazkirah kepada Dato-Dato dan Profesor-Profesor. Dato Zaini melancarkan buku Travelog Haji dan Dato Zaki pula melancarkan buku 50 Tips Motivasi Haji. Kini giliran Prof Hatta Azzad Khan.

Inilah wajah insan yang membenarkan saya menjelajah berceramah menggunakan kereta kesayangannya. Terima kasih tuan....

Khairul merakamkan wajah kusyuk mendengar tazkirah

Lagi rakaman khalayak. Sokongan yang tidak dapat kami sangkal

Kami sentiasa berdoa, "Ya Allah, jadikanlah ia sebagai ilmu yang bermanfaat".

Di sini yang lama. Banner di belakang adalah sumbangan Arif, pelajar Bachlor saya di UiTM Johor. MasyaAllah, beliaulah yang menjaga parking dan pelbagai isu lain.

TV3 membuat liputan melalui siri NONA dan Al-HIDAYAH

Mak dan Ratna (adik Roza)
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
