Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 18
June 19, 2012
Ringkas
Kami mendarat di KLIA di sekitar 8 malam. Di Labuan, pihak Kolej Matrikulasi Labuan meraikan saya dengan menyediakan jamuan bersahur.
Di atas kapalterbang, pramugari menghidangkan makanan beberapa minit sebelum berbuka. Rupanya ia tidak terlalu sukar untuk melakukan amal ibadat walau di mana kita berada.
Ia dipermudah Allah.
Namun saya perlu akui yang ia tidak semudah semasa berada di Madinah. Ujiannya sangat berbeza. Begitu, saya tetap mahu mempertahankannya.
Amirul pula sudah membuat pengumuman, “Amirul hanya puasa Nabi Daud di Madinah”.
Saya ketawa melihat gelagat anak remaja ini. Dan saya langsung tidak membantah.
“OK… tetapi puasa Isnin-Khamis perlu diteruskan. Tiap-tiap hari kena membaca al-Quran dan solat berjemaah tidak boleh ditinggalkan”
Sekejap tadi kami sekeluarga mendengar kuliah Maghrib di masjid Negeri Shah Alam. Dr Musa membaca kitab Imam Ghazali. Mari saya ringkaskan kuliah tersebut dengan beberapa patah perkataan.
Pertama, jangan berbunga-bunga apabila mahu menyampaikan sesuatu maklumat. Biar ringkas dan mudah difahami.
Kedua, jangan terlalu berterus terang dalam soal-soal tertentu. Di dalam al-Quran misalnya menyebuh “menyentuh” apabila menghampir isteri.
Ketiga, tidak usahlah kita mencela kembali orang yang mencela kita.
Ia disandarkan dengan beberapa hadis.
Begitulah kami menghabiskan hujung hari ini setelah menguruskan pelbagai perkara di siang hari.
Usai solat subuh, saya menjemput kereta Exora untuk digunakan sepanjang percutian ini. Kereta yang sepatutnya berada di Kemaman, Terengganu sudah dua minggu dihantar ke Lembah Kelang.
Ia kereta yang pernah digunakan oleh kami setahun sebelum berangkat ke Madinah. Alahai, bila ia jadi milik adik sendiri, kelihatannya jauh lebih anggun dan bergaya.
Sah, mereka meminati kereta. Ia tidak seperti abangnya yang hanya mahu kereta bergerak ke hadapan.
Roza pula keletihan dan kepenatan menguruskan rumah yang bakal menerima tetamu. Rumah yang ditinggalkan setahun kepada anak-anak bujang (nota: mereka adalah kaum wanita) yang sibuk menghadapi saat-saat akhir pengajian nyata memenatkan.
Sehari suntuk pekerja yang diupah bekerja membersihkan rumah. Namun menjenamakan kembali suasana rumah agar ia Bukan Sekadar Tempat Tidur memerlukan kreativiti.
Konsepnya biar ringkas tetapi sedap mata dan hati memandang.
20 dan 22hb Jun adalah harijadi Azrai dan Amirul. Kami doakan mereka berdua dirahmati dan diberkati Allah.
June 17, 2012
Anjung Ketam
Jadual Kuliah
Tazkirah Pagi di Karangkraf, Shah Alam
20hb Jun, 9 hingga 11 pagi

Kuliah pertama di Masjid IOFC

Nama lokasi ini Anjung Ketam. Maka menu utamanya adalah ketam.Bersama Nur Solihah (kanan), adik ke 12.

Kuliah Subuh di Kolej Matrik Labuan
Alhamdulillah, kami – saya, Roza dan Mak – selamat sampai di Labuan. Penerbangan Malaysian Airlines terlewat hampir 40 minit. Namun ia penerbangan yang selesa.
Lawatan singkat ke sini sangat padat. Nur dan suami menyambut kami dengan mengadakan majlis kesyukuran. Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh dan Kuliah Dhuha di tiga tempat yang berbeza.
Usai solat Isya, penganjur membawa kami menjamu selera di Anjung Ketam. Sesuai dengan namanya maka menu yang dihidangkan berteraskan ketam.
Alhamdulillah.
Kemudian, sementara menunggu penerbangan pulang jam 5.20 petang – InsyaAllah – akan melawat pekan Labuan seketika.
Apa yang menarik di sini?
June 16, 2012
Ganjil
Barangkali ia hanya untuk seketika.
Hampir 10 bulan saya tidak terdedah dengan aurat wanita. Kalau ada sekali pun dengan kadar yang sangat minimum. Tentu sekali saya tidak dapat mengelak merasai kelainan tersebut apabila mendarat di KLIA.
Malah kelihatan gadis memakai seluar pendek dan t-shirt bermain tenis menyambut kami di Kondo Kemuncak.
Begitulah bagaimana suasana persekitaran mempengaruhi kehidupan. Dulu, saya merasai keganjilan melangkah masuk ke tempat kerja tanpa seorang wanita pun.
Terkebil-kebil melihat setiausaha seorang lelaki.
Ia sangat ganjil. Ia keganjilan berdasarkan kebiasaan tanpa mengambil kira soal boleh atau tidak.
Saya kembali memandu di sebelah kanan. Gerak automatik – sesekali – membawa saya ke arah berlawanan. Namun ia tidak terlalu sukar.
Di masjid negeri, saya bertanya, “di mana kapten?,” seorang insan yang sentiasa hadir solat subuh berjemaah tidak kelihatan.
“Sudah empat bulan beliau ditimpa stroke”
Saya juga sempat bertemu dengan rakan rapat yang disahkan positif SLE. Usianya lebih muda. Saya menghabiskan hampir 3 jam di Pelita Shah Alam mendengar pengalaman tersebut.
Akhirnya saya teruja mendengar beliau berkata, “alhamdulillah, aku tidak tahu jika aku tidak mahu lagi berubah”.

Pandangan dari tempat duduk kami
Namun perjalanan Jeddah – KL mempertemukan saya dengan seorang pramugari yang sentiasa membaca al-Quran di antara waktu rehatnya.
Ia juga pemandangan ganjil.
Tidak pernah saya terjumpa suasana begini. Saya tidak menahan diri daripada memohon kepada Allah agar beliau dirahmati dan diberkati Allah.
Boleh, ia boleh dilakukan!
Jika saya diberi pilihan, saya pasti memilih Saudi Airlines. Mereka memulakan perjalanan dengan Bismilah, membaca doa sebagaimana Rasulullah SAW memulakan perjalanan dan bertawakkal kepadaNya.
Alhamdulillah, saya tidak ternampak ada arak yang dihidangkan. Kapalterbangnya penuh juga!
Ketika mahu menaiki pesawat di Madinah, kelihatan pekerjanya – saya fikir kapten dan pembantunya – solat maghrib di kawasan landasan. Saya cuba merakamkan peristiwa tersebut tetapi tidak berkesempatan.
Ganjil buat mereka yang tidak biasa melihat pemandangan seumpama ini. Namun yang ini tidak ganjil. Saya menyaksikan 4 beradik di bawa Limo ke Kondo Kemuncak.
Tok Syeikh di hadapan!

Sengehnya boleh dilihat dari jauh
June 15, 2012
Labuan
Kuliah dan Tazkirah Pertama
17 Jun, Labuan, Kuliah Maghrib di Masjid Al-Muttaqin Taman IOFC Kerupang
18 Jun, Labuan, Kuliah subuh di Surau Al-Irfan, Kolej Matrikulasi Labuan
18 Jun, Labuan, Ceramah: Mengubah Sempadan Iman dan Menghadapi Ujian, 9 pagi di Multi Purpose Hall PETRONAS
“Abang janji dua malam di Labuan, kenapa hanya satu malam sahaja?”
Itulah pertanyaan adik bongsu saya, Nor Solihah. Jarak kami berpuluh tahun. Entah, saya tidak tahu beza umur sebenar. Apalah yang hendak saya katakan dengan pertanyaan tersebut.
“Abang tersalah tekan, terfikir semalam-dua, semalam-dua. Lalu tertekan semalam….”.
Benar saya berkira-kira, semalam? Dua? Semalam? Dua?. Dan tiket murah MAS tidak boleh diubah lagi.
“Abang, janganlah tidur di hotel… Tidur rumah Nur, nanti boleh sembang lama sedikit…”
“OK… Nur bagi tahu penganjur yang abang batalkan hotel… tidur rumah Nur,” saya membuat keputusan serta merta.
Adik oh Adik!
Beliau juga membatalkan jamuan yang bakal disediakan oleh penganjur sejurus kami tiba ke Labuan.
“Makan tengahari rumah Nur sekali dengan penganjur,” beliau memaklumkan kepada saya.
Inilah kunjungan pertama saya ke rumah beliau…. MasyaAllah anaknya sudah dua! Ini juga kunjungan pertama saya ke Labuan. Patutlah… sesak benar jadual saya di sini.
Namun saya berterima kasih kepada Badan Kebajikan Petronas Labuan yang sudi menjemput saya sekeluarga. Mereka juga mahu membiayai tiket penerbangan pembantu saya (tentulah Roza).
Kata saya, “terima kasih, cukuplah bayaran tiket untuk saya, Roza datang atas urusan peribadi melawat adik iparnya yang bernama Nur Solihah”.
Dan, kami juga membawa bersama Mak ke sini.
Visa Ziarah Mak

Makan malam sebelum bertemu semula di KLIA
Kami menikmati makan malam di rumah Sheikh Khalid sebelum berangkat pulang.
Iman dan Khalid bertanya, “kenapa Roza diam sahaja malam ini?”.
Entah. Barangkali kepenatan. Barangkali juga memikirkan visa ziarah Mak yang belum diselesaikan. Hanya tinggal sehari lagi dan pegawai yang menguruskannya berkata, “dua hari lagi”.
Apa yang boleh kami lakukan? Bersabar, berdoa dan bersolat.
Pagi-pagi lagi saya bersiap mahu ke universiti. “Yang, ini percubaan terakhir sebelum pulang. Jika tidak berurusan dari Malaysialah nampaknya”.
Saya solat sunat dua rakaat sebelum beredar pergi. Berdoa agar dipermudahkan. Jika tidak, biarlah ia masih boleh dilakukan sekembali kami ke Malaysia.
Hari ini pejabat lengang. Saya fikir semua staf kontrak universiti sudah berada di rumah masing-masing di negara masing-masing.
Dari jauh saya melihat orang melambai-lambai tangan. Hati saya tersenyum. Ia petanda baik.
Benar, separuh perjalanan Mak ke Madinah sudah dapat diselesaikan.
Saya sujud syukur di dalam kereta!
Selamat mendarat
Perjalanan Jeddah - Kuala Lumpur

akhirnya bertemu di KLIA
June 14, 2012
Perjalanan
Kuliah dan Tazkirah Pertama
17 Jun, Labuan, Kuliah Maghrib di Masjid Al-Muttaqin Taman IOFC Kerupang
18 Jun, Labuan, Kuliah subuh di Surau Al-Irfan, Kolej Matrikulasi Labuan
18 Jun, Labuan, Ceramah: Mengubah Sempadan Iman dan Menghadapi Ujian, 9 pagi di Multi Purpose Hall PETRONAS

Perjalanan Madinah - Jeddah
Perjalanan pulang ini adalah kepunyaan Tok Sheikh Amirul. Banyak perkara yang digembiranya.
Pertama, bertemu kakak dan abang.
Kedua, beliau telah melepasi pengajian awal kaedah Nuraniah. Hampir enam bulan beliau tertekan kerana saya memaksa beliau bermula seumpama kanak-kanak kecil.
“Ayah, Amirul lulus….”
Malam tadi saya diminta oleh Tok Sheikh beliau untuk ke pejabat bagi proses penyediaan sijil kelulusan. Nanti, bila pulang bercuti Amirul akan mula menghafal Juzuk 30.
Ketiga, beliau gembira untuk berjumpa dengan sepupunya di Malaysia. Di sini, hidupnya hanya bersama Sofea. Itulah kawan, itulah adik, itulah tempat beliau bergaduh.
Keempat, Amirul gembira untuk show-off Malaysia kepada Fadi dan Lara, kawan-kawannya yang akan bercuti ke Malaysia.
Beliau bersiap lama untuk perjalanan ini. Berbulan lampau. Setiap kali bertemu Fadi dan Lara, Amirul akan menceritakan tentang Sunway Lagoon, Berjaya Time Square dan apa sahaja yang boleh diceritakan tentang Malaysia.
Kegembiraannya terpancar melalui tindakan. Rumah divakuum. Sampah-sampah dibersihkan. Malah pakaian pulangnya bergosok rapi.
Itulah harga bila berjauhan.
Saya dan Roza tersenyum dalam perjalanan ini. Kami sentiasa berdoa agar jalannya lurus dan berpandu… menghadapi jalan yang lebih panjang dan berliku!
June 13, 2012
Di mana kami tinggal?
Kuliah dan Tazkirah Pertama
17 Jun, Labuan, Kuliah Maghrib di Masjid Al-Muttaqin Taman IOFC Kerupang
18 Jun, Labuan, Kuliah subuh di Surau Al-Irfan, Kolej Matrikulasi Labuan
18 Jun, Labuan, Ceramah: Mengubah Sempadan Iman dan Menghadapi Ujian, 9 pagi di Multi Purpose Hall PETRONAS
“Sheikh, jika tuan mahu melawat Malaysia, usahlah tinggal di hotel. Rumah saya bertaraf hotel,” itulah gurauan saya.
Saya serius dan ikhlas mengajak Sheikh Khalid dan keluarga tinggal di Kondo Kemuncak. Bagaimanapun, tentu sekali saya bergurau tentang rumah kami yang bertaraf hotel.
Rumah saya tiada penyaman udara. Kami hanya memakai kipas angin. Namun kerana kami tinggal di tingkat 12, angin Shah Alam dan Kuala Lumpur lebih daripada memadai.
Kadang kala, tiupan angin mendayu-dayu seolah-olah menyaksikan filem seram.
Alahai… saya orang kampung. Ketika santai, tidur saya di ruang tamu beralaskan papan pergo dengan membuka sliding door seluas mungkin. Cukup begitu!
Namun ia kondo yang luas. Jika di tanah, selayaknya rumah sebuah yang lega. Kami beli dengan harga RM275,000 walaupun ketika dilancarkan harganya hampir RM 350,000.
Kondo tersebut mempunyai pemandangan yang cantik. Mengadap Kelab Golf Sultan Abdul Aziz. Sayup-sayup – jika udaranya tidak berkabus – kami dapat menyaksikan KLCC.
Di bawah – di depan mata - kami dapat melihat kolam mandi.
Dan kolam mandi inilah yang banyak menyelamat tetamu dan kaum keluarga dari kampung bila berkunjung ke rumah kami. Kanak-kanak tidak perlu ke mana-mana lagi. Ia ibarat hotel.
Mereka sukakannya!
Di sinilah kami akan menempatkan Sheikh Khalid dan keluarga. Tidak pernah terfikir bagaimana pula kami sekeluarga – enam beranak – akan menginap.
Asalnya kami mahu tinggal bersama. Lama-lama mempertimbang dan memperhalusi, biarlah mereka selesa menjaga aurat, tidak perlu bersusah-susah dan tidak perlu terlebih menjaga adat dan adab.
Biarlah kami mencari alternatif lain. Kami sudah bertekad, nanti bergilir-gilirlah kami tinggal di rumah adik-beradik yang sangat ramai di Lembah Kelang.
Ziarah dan tumpang tidur!
Apatah lagi masa kami lebih banyak di jalan berbanding di kondo ini. Kami akan menjelajah Labuan – Melaka – Johor – Terengganu – Perak dan Sarawak sebelum kembali semula ke Shah Alam.
“Mil, satu malam you kena tidur di rumah kami,” Dato’ dan Datin (Pa dan Shidah) menulis di FB. Dalam konteks UiTM, masyarakatnya melihat kami sebagai satu kroni (ha… ha…).
Kami tahu mereka memiliki rumah yang banyak bilik!
“Boleh jika tidur banyak malam?,” saya menjawab dan membuat permohonan.
“Alhamdulillah. We are most honoured. duduk ssining sokmo pong dok apa. Ajok lah tok sheikh and family tu sekali. Dah balik dari US 19 June. Tapi masa kita takdok pon, u r all welcome. Make it yours..”
Allahu Akbar.
Semalam ada sesuatu yang lebih menarik.
“Prof boleh tolong saya. Serikan rumah saya di Putra Jaya. Rumah itu terjaga tetapi sudah setahun tiada penghuni. Gunalah untuk Prof dan keluarga berehat ketika berada di Lembah Kelang. Nanti saya suruh staf saya serahkan kunci”.
Di sinilah tempat yang ditawarkan:

De Palma, IOI Putra Jaya. Gambar dari mudah.com.
Apa yang saya pelajari:
Kami hanya mempunyai satu rumah di Lembah Kelang, kekayaan Allah tiada batasannya. Apa lagi yang hendak kami dustakan?
Limosuine
“Nanti Sara dan Azrai jemput ayah dan mama di KLIA,” saya membuat permintaan kepada anak-anak kami di Shah Alam. Tentu sekali saya mahu melihat mereka seawal mungkin.
“Kakak OK bawa kereta ke sana?,” saya bertanya lagi. “OK… boleh… boleh,” jawapan segera dari Sara.
“Jangan, ambil teksi… nanti balik dengan Pak Cik Pu dan ada satu lagi kereta yang menunggu ayah”.
Satu lagi kereta dirujuk kepada tuan punya Mercedes (beliau sudah dianugerah dengan kereta Mazda6) Merz S320L plate no. AAAA yang mahu saya menggunakan kereta tersebut sepanjang saya berceramah di seluruh Malaysia.
Dan beliau mahu menyerahkannya di KLIA.
Dua hari lepas, Shaiful – adik lelaki saya – membuat panggilan,
“Abang ada orang mahu sponsor dua Limosuine untuk perjalanan KLIA ke Shah Alam”. Tentu sekali saya ketawa. Manalah saya terfikir begitu.
“Boleh simpan satu untuk menyambut Sheikh Khalid nanti,?” saya cuba memohon.
Allah…. Allah… itulah saya menangis padaNya di Raudhah semalam melihat pelbagai nikmat yang telah Dia anugerahkan. Kecil, besar, penting atau tidak mustahak, perlu atau tidak perlu, ada atau tiada adalah anugerah Allah.
Allah, dungu benarlah saya jika masih mahu berkira untuk menyeru manusia lain menghampiriNya.
Jahat dan bodoh sangatlah saya jika masih berkira tenaga, masa dan wang ringgit untuk mengabadikan diri kepadaNya.
Allahu Akbar, kami mohon keampunanMu!
Global Peace Index 2012

Ia dikorek mengguna tenaga manusia. Allah... Allah

Kami hanya berdoa ya Allah...
Allahu Akbar!
Somalia adalah negara yang paling tidak selamat di dunia. Kita pula sedang mengorek tanah di Galkayo untuk mendiri rumah Allah.
Maka kita berdoa kepadaNYA supaya segalanya selamat.
June 12, 2012
10 bulan yang berlalu
Hari Raya 2011
Anak-anak lelaki semuanya semakin membesar. Saya pula menyongsang turun. Ketika meninggalkan KLIA pada 7 September 2011, berat badan saya di sekitar 79-80 kg.
Kali terakhir saya berdiri di atas timbangan, jarumnya bergerak-gerak antara 68-69 kg. Bila orang bertanya, kenapa? Saya kurang makan.
Saya tidak sabar mahu menyaksikan bagaimana dua anak, Sara dan Azrai yang ditinggalkan di Malaysia. Cukupkah makan mereka?
Amirul dan Sofea, dagunya semakin berlapis. Agak saya penangan nasi Arab yang dihidangkan kepada jemaah yang berkunjung ke rumah.
June 11, 2012
Last minute
Saat-saat akhir.
Ia selalunya menarik!
Exit Visa perlu dikeluarkan sebelum setiap orang dibenarkan keluar daripada Arab Saudi. Visa ini dipakai untuk keluar dan masuk kembali.
Universiti pula hanya akan mengeluarkan dokumen ini setelah urusan rasmi selesai. Di sini, maksud selesai urusan ialah pada hari terakhir takwim akademik, 9 Jun.
Maka, ramai staf kontrak dari pelbagai negara mula (mahu) meninggalkan Madinah secepat mungkin dan pulang ke Tanah Air setelah hampir 10 bulan di sini.
Ia soal kerinduan pada kaum keluarga. Tidak kecil jumlahnya yang hadir di bumi Madinah ini bersendirian. Isteri dan anak-anak ditinggalkan di kampung halaman.
Ia tidak terlalu sukar untuk ditelah. Hampir kebanyakan staf yang bertugas di sini berada pada penghujung usia kerjaya. Saya sendiri di kira termasuk dalam golongan “orang muda” dalam konteks tersebut.
Ramai di antara mereka yang anak-anak berada di peringkat pengajian akhir sekolah menengah ataupun awal universiti. Lalu pilihan yang ada hanyalah berhijrah berseorang terlebih dahulu.
Jadi, 10 jun ramai yang berpusu-pusu mengambil exit visa mereka. Ia bukan isu besar. Saya sendiri telah memohon visa ini sebulan yang lampau.
Bagi ID, dipulangkan pasport dan disertakan dokumen tersebut. Khalas!
“Kenapa exit visa saya hanya ada tiga?,” saya melihat hanya tiga keping yang tertera nama Raudzah, Ahmad Amirul dan Farah Sofea. Nama saya tercicir.
Di sini, jika ada sedikit halangan, ia akan menjadi kesukaran yang besar. Saya terpaksa menunggu hampir sejam bersama dengan seorang yang lain.
Akhirnya, “Dr ada kesalahan trafik…. kena bayar dahulu”. Hati kecil saya berbisik, “kenapa tidak dimaklumkan terlebih awal?”. Namun saya OK-OK sahaja kerana memikirkan masih ada masa.
11 jun, semalam… 7.30 pagi saya sudah kembali ke pejabat.
“Ha… Dr Mohd Kamal, sudah bayar? (angguk) 30 minit….,” walaupun sayalah yang terawal sampai. Saya sudah menjangka dan bersedia dengan komputer dan buku untuk menulis dan membaca.
Sejam berlalu. “Dr sudah bayar? Boleh datang semula besok?”
“Saya sudah bayar. Please, saya mahu pulang ke Malaysia,” saya bercakap menggunakan bahasa Isyarat.
Menunggu lagi. Alahai… bukankah saya penulis buku Bersyukur Saat Diuji? Lalu saya teringat sesuatu, “sabar dan solat”. Saya hanya bersabar dan berdoa tetapi tidak melakukan solat
Lalu saya tinggalkan pejabat dan mencari tempat solat. Saya solat dua rakaat dan di dalam sujud saya nyatakan kepadaNya, “Ya Allah ya Tuhan ku, permudahkanlah urusan ku. Kaulah yang boleh memudahkan urusan hambaMu ini. Mudahkanlah”.
Masalah belum selesai tetapi hati menjadi sangat lega. Sungguh, sangat lega!
Saya kembali ke pejabat. Terdengar nama saya dipanggil, “Dr Mohd Kamal, pasport?”. Allahu Akbar, tidak pula saya mengetahui yang saya perlu membawa pasport.
Dengan wajah yang paling sedih saya tuturkan, “minta maaf, saya tertinggal di rumah”.
Beliau senyum dan menyerah dokumen tersebut. Allah… Allah… saya boleh pulang bercuti ke Malaysia!
Raudhah dan Solat Jenazah

Jenazah diusung keluar dari bilik Jenazah Masjid Nabawi
9.30 pagi usai urusan exit visa. Saya terus ke masjid Nabawi. Saya fikir Roza sedang kusyuk berdoa di Raudhah setelah berada di sana sejak jam 7.45 pagi.
Kaki saya terus melangkah ke Raudhah. Saf untuk lelaki hanya tinggal separuh kerana selebihnya ditutup untuk kaum wanita. Orang ramai. Bersesak-sesak di luar pemaidani hijau tersebut.
Namun saya yakin yang ia masih kosong. Sentiasa kosong. Sambil berjalan saya berdoa, “Ya Allah ya Tuhan ku, izinkan daku bersolat dua rakaat dan menyatakan sesuatu kepada Mu ya Allah, di Raudhah ya Allah. Aku akan pulang bercuti ya Allah…”.
Benar. Saya mencelah-celah masuk hingga ke ruang tengah. Ada ruang kosong yang ditinggalkan oleh jemaah terdahulu.
“Ya Allah, aku bersyukur di atas segala nikmat yang telah Kau berikan. Kau ampunkanlah dosa-dosa kami ya Allah. Ya Allah, kami ingin pulang bercuti ke Malaysia. Kau permudahkanlah.
Ya Allah, ramai yang memohon agar aku berdoa kepada Mu. Mungkin ada yang tidak aku ucapkan tetapi Kau Maha Mengetahui permohonan mereka. Kau makbulkanlah. Kau penuhilah hajat-hajat mereka.
Ya Allah, nanti bila berada di Malaysia, aku telah dijemput untuk berceramah, memberi kuliah dan menyampaikan tazkirah.
Lembutkanlah lidahku, mudahkanlah tutur kata ku, campakkan ilmu Mu kepada ku dan biarlah khalayak yang mendengarnya terkesan di hati supaya lebih hampir kepada Mu.
Ya Allah, kami mohon keampunan Mu”.
Saya beredar ke saf-saf hadapan. Hati saya berdetik mahu solat jenazah di dalam bilik jenazah. Maka saya memilih untuk solat zohor di kawasan ini.

Inilah pintu bilik jenazah. Ia terletak 10 meter di sebelah kanan Imam mengadap kiblat. Tali merah itu penanda kawasan ahli keluarga.
Alhamdullillah, saya diizinkan Allah untuk bersama-sama imam berada di dalam bilik ini. Saya terfikir, “mungkinkah ini solat terakhir ku di sini?”
Allah… Allah… ajal maut di tangan Allah. Sememangnya saya mahu dikebumikan di Baqi’, bangkit bersama Rasulullah SAW dan bergerak bersama baginda di Padang Masyar.
Namun tempat, tarikh dan ketika kita dijemput pulang adalah milik Allah. Mudah-mudahan kepulangan singkat ke Malaysia bukan meninggalkan Madinah buat selama-lamanya.
Saya sebak.
Unta, Kambing dan Ayam

Dua jenis nasi dan 3 jenis lauk. Saya sepatutnya meraikan mereka....
Dua hari lepas saya menerima tetamu, Kamal dari Dubai serta Zul dan Yazid dari Yanbo. Saya tidak berkesempatan untuk membawa mereka ke rumah.
Alahai… mereka pula yang membawa saya dan Amirul ke sebuah restoran yang tidak pernah saya ketahui di Madinah. Mereka yang order, bayar dan makan!
Kami menikmati dua jenis nasi dan tiga jenis lauk (dicampurkan dalam satu hidangan).
“Hadiah untuk Amirul,” kata saya. Kenapa? Beliau telah lulus pengajian di peringkat kaedah Nuraniah – sebutan huruf, ejaan dan tajwid – dan dibenarkan memulakan hafalan Quran.
Kami doakan saudara Kamal (terutamanya) dan rakan-rakan dari Yanbo dipermudahkan Allah dengan segala ujian yang sedang mereka hadapi, InsyaAllah.
June 10, 2012
Komen Pembaca Lelaki
Bukan sekadar buku…
Itulah yang saya boleh rumuskan setelah membaca buku Bukan Sekadar Resipi tulisan Puan Roza Roslan.
Kenapa tidak!
Hendak dikatakan buku resipi, bukan sekadar resipi yang terkandung di dalamnya. Hendak dikatakan buku cerita, bukan cerita rekaan yang dituliskan.
Hendak dikatakan biografi, bukan kisah seorang individu yang diceritakan. Hendak dikatakan travelog pula, bukan sekadar kisah perjalanan yang dikongsi.
Membaca hasil tangan Puan Roza Roslan ini tidak pernah membosankan. Setelah membuka buku ini, terlalu sukar untuk menutupnya.
Hati terasa tidak sabar hendak membelek hingga ke muka surat yang terakhir. Namun, tidak pula sanggup hendak melompat bab.
Bahkan, saya terpaksa membulatkan tekat untuk menangguhkan pembacaan setelah membaca hampir satu per tiga daripada buku tersebut.
Itu pun kerana malam yang telah semakin lewat dan keesokan harinya pula, saya perlu bekerja. Malu pula rasanya kerana lebih membesarkan buku ini dari solat malam yang selalu dipesan oleh Puan Roza Roslan sendiri.
Gambar-gambar masakan yang terdapat di dalam buku Bukan Sekadar Resipi juga amatlah menggiurkan. Dalam kes saya, gambar Seri Kaya Labu sememangnya menambat hati.
Terasa seperti ibu mengandung sedang mengidam pula. Terbayang-bayang semasa mata hampir terpejam. Mujurlah tidak sampai mengalirkan air mata.
Gambar-gambar resipi yang lain juga tidak kurang menambat hati dan perasaan. Nafsu meminta-minta untuk menjamahnya. Begitulah, syaitan sememangnya pandai mempengaruhi nafsu walaupun semasa membaca buku yang banyak membawa rasa keinsafan.
Kisah-kisah di sebalik resipi yang diceritakan juga amat menarik. Ceritanya biasa-biasa sahaja kerana ia adalah kisah benar. Tiada unsur-unsur fantasi dan ajaib yang dikisahkan.
Namun, kebenaran itu sebenarnya lebih ajaib dan menakjubkan jika dilihat dari sudut yang sepatutnya. Kadang kala, saya berasa malu sendiri kerana tidak pernah terfikir untuk berfikir dari sudut yang diceritakan.
Pengalaman sendiri yang dianggap biasa-biasa, rupanya tersimpan beribu rahsia andai dilihat dari sudut yang sama. Sebagai kesimpulan, Bukan Sekadar Resipi mengajar banyak perkara tentang kehidupan.
Jika ahli Kimia mengatakan Ilmu Kimia berasal dari dapur, maka saya mengatakan kehidupan yang bahagia berasal dari dapur yang diuruskan oleh isteri, ibu dan wanita yang berhati mulia.
Dan sememangnya wanita itu mulia, oleh itu kemuliaannya perlu dipelihara….
Diawan Sabtu, 9 Jun 2012
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
