Last minute

Saat-saat akhir.


Ia selalunya menarik!


Exit Visa perlu dikeluarkan sebelum setiap orang dibenarkan keluar daripada Arab Saudi. Visa ini dipakai untuk keluar dan masuk kembali.


Universiti pula hanya akan mengeluarkan dokumen ini setelah urusan rasmi selesai. Di sini, maksud selesai urusan ialah pada hari terakhir takwim akademik,  9 Jun.


Maka, ramai staf kontrak dari pelbagai negara mula (mahu) meninggalkan Madinah secepat mungkin dan pulang ke Tanah Air setelah hampir 10 bulan di sini.


Ia soal kerinduan pada kaum keluarga. Tidak kecil jumlahnya yang hadir di bumi Madinah ini bersendirian. Isteri dan anak-anak ditinggalkan di kampung halaman.


Ia tidak terlalu sukar untuk ditelah. Hampir kebanyakan staf yang bertugas di sini berada pada penghujung usia kerjaya. Saya sendiri di kira termasuk dalam golongan “orang muda” dalam konteks tersebut.


Ramai di antara mereka yang anak-anak berada di peringkat pengajian akhir sekolah menengah ataupun awal universiti. Lalu pilihan yang ada hanyalah berhijrah berseorang terlebih dahulu.


Jadi, 10 jun ramai yang berpusu-pusu mengambil exit visa mereka. Ia bukan isu besar. Saya sendiri telah memohon visa ini sebulan yang lampau.


Bagi ID, dipulangkan pasport dan disertakan dokumen tersebut. Khalas!


“Kenapa exit visa saya hanya ada tiga?,” saya melihat hanya tiga keping yang tertera nama Raudzah, Ahmad Amirul dan Farah Sofea. Nama saya tercicir.


Di sini, jika ada sedikit halangan, ia akan menjadi kesukaran yang besar. Saya terpaksa menunggu hampir sejam bersama dengan seorang yang lain.


Akhirnya, “Dr ada kesalahan trafik…. kena bayar dahulu”. Hati kecil saya berbisik, “kenapa tidak dimaklumkan terlebih awal?”. Namun saya OK-OK sahaja kerana memikirkan masih ada masa.


11 jun, semalam… 7.30 pagi saya sudah kembali ke pejabat.


“Ha… Dr Mohd Kamal,  sudah bayar? (angguk) 30 minit….,” walaupun sayalah yang terawal sampai. Saya sudah menjangka dan bersedia dengan komputer dan buku untuk menulis dan membaca.


Sejam berlalu. “Dr sudah bayar? Boleh datang semula besok?”


“Saya sudah bayar. Please, saya mahu pulang ke Malaysia,” saya bercakap menggunakan bahasa Isyarat.


Menunggu lagi. Alahai… bukankah saya penulis buku Bersyukur Saat Diuji? Lalu saya teringat sesuatu, “sabar dan solat”. Saya hanya bersabar dan berdoa tetapi tidak melakukan solat


Lalu saya tinggalkan pejabat dan mencari tempat solat. Saya solat dua rakaat dan di dalam sujud saya nyatakan kepadaNya, “Ya Allah ya Tuhan ku, permudahkanlah urusan ku. Kaulah yang boleh memudahkan urusan hambaMu ini. Mudahkanlah”.


Masalah belum selesai tetapi hati menjadi sangat lega. Sungguh, sangat lega!


Saya kembali ke pejabat. Terdengar nama saya dipanggil, “Dr Mohd Kamal, pasport?”. Allahu Akbar, tidak pula saya mengetahui yang saya perlu membawa pasport.


Dengan wajah yang paling sedih saya tuturkan, “minta maaf, saya tertinggal di rumah”.


Beliau senyum dan menyerah dokumen tersebut. Allah… Allah… saya boleh pulang bercuti ke Malaysia!


Raudhah dan Solat Jenazah


Jenazah diusung keluar dari bilik Jenazah Masjid Nabawi


9.30 pagi usai urusan exit visa. Saya terus ke masjid Nabawi. Saya fikir Roza sedang kusyuk berdoa di Raudhah setelah berada di sana sejak jam 7.45 pagi.


Kaki saya terus melangkah ke Raudhah. Saf untuk lelaki hanya tinggal separuh kerana selebihnya ditutup untuk kaum wanita. Orang ramai. Bersesak-sesak di luar pemaidani hijau tersebut.


Namun saya yakin yang ia masih kosong. Sentiasa kosong. Sambil berjalan saya berdoa, “Ya Allah ya Tuhan ku, izinkan daku bersolat dua rakaat dan menyatakan sesuatu kepada Mu ya Allah, di Raudhah ya Allah. Aku akan pulang bercuti ya Allah…”.


Benar. Saya mencelah-celah masuk hingga ke ruang tengah. Ada ruang kosong yang ditinggalkan oleh jemaah terdahulu.


“Ya Allah, aku bersyukur di atas segala nikmat yang telah Kau berikan. Kau ampunkanlah dosa-dosa kami ya Allah. Ya Allah, kami ingin pulang bercuti ke Malaysia. Kau permudahkanlah.


Ya Allah, ramai yang memohon agar aku berdoa kepada Mu. Mungkin ada yang tidak aku ucapkan tetapi Kau Maha Mengetahui permohonan mereka. Kau makbulkanlah. Kau penuhilah hajat-hajat mereka.


Ya Allah, nanti bila berada di Malaysia, aku telah dijemput untuk berceramah, memberi kuliah dan menyampaikan tazkirah.


Lembutkanlah lidahku, mudahkanlah tutur kata ku, campakkan ilmu Mu kepada ku dan biarlah khalayak yang mendengarnya terkesan di hati supaya lebih hampir kepada Mu.


Ya Allah, kami mohon keampunan Mu”.


Saya beredar ke saf-saf hadapan. Hati saya berdetik mahu solat jenazah di dalam bilik jenazah. Maka saya memilih untuk solat zohor di kawasan ini.


Inilah pintu bilik jenazah. Ia terletak 10 meter di sebelah kanan Imam mengadap kiblat. Tali merah itu penanda kawasan ahli keluarga.


Alhamdullillah, saya diizinkan Allah untuk bersama-sama imam berada di dalam bilik ini. Saya terfikir, “mungkinkah ini solat terakhir ku di sini?”


Allah… Allah… ajal maut di tangan Allah. Sememangnya saya mahu dikebumikan di Baqi’, bangkit bersama Rasulullah SAW dan bergerak bersama baginda di Padang Masyar.


Namun tempat, tarikh dan ketika kita dijemput pulang adalah milik Allah. Mudah-mudahan kepulangan singkat ke Malaysia bukan meninggalkan Madinah buat selama-lamanya.


Saya sebak.


Unta, Kambing dan Ayam


Dua jenis nasi dan 3 jenis lauk. Saya sepatutnya meraikan mereka....


Dua hari lepas saya menerima tetamu, Kamal dari Dubai serta Zul dan Yazid dari Yanbo. Saya tidak berkesempatan untuk membawa mereka ke rumah.


Alahai… mereka pula yang membawa saya dan Amirul ke sebuah restoran yang tidak pernah saya ketahui di Madinah. Mereka yang order, bayar dan makan!


Kami menikmati dua jenis nasi dan tiga jenis lauk (dicampurkan dalam satu hidangan).


“Hadiah untuk Amirul,” kata saya. Kenapa? Beliau telah lulus pengajian di peringkat kaedah Nuraniah – sebutan huruf, ejaan dan tajwid – dan dibenarkan memulakan hafalan Quran.


Kami doakan saudara Kamal (terutamanya) dan rakan-rakan dari Yanbo dipermudahkan Allah dengan segala ujian yang sedang mereka hadapi, InsyaAllah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 11, 2012 19:40
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.