Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 66
April 3, 2011
Keruh di Muara, di mana puncanya?
Ini adalah ceramah keibubapaan yang dianjurkan oleh Surau Madrasatul Iman Taman Puchong Utama.
Maklumat lain seperti berikut,
Tarikh : 9 April 2011 (Sabtu)
Masa : 8.00 malam (lepas solat maghrib)
Tempat : Surau Madrasatul Iman, Taman Puchong Utama (Landmark : Sek. Keb Puchong Utama 1, Carrefour)
Jika ada kelapangan jemputlah untuk bersama saya melalui program ini.
Belajar sedikit, dapat banyak
Tuan Penceramah yang terkenal
Ia satu tajuk yang menarik. Apatah lagi ia sudah dipersembahkan di banyak buah sekolah.
Inilah satu lagi projek PERKIM Segamat kepada komuniti yang berhampiran. Seminar motivasi 4 jam ini akan dikendalikan oleh Cik gu Razali Kamaruddin, penulis buku yang mempunyai tajuk yang sama.
Program ini akan diadakan pada hari Sabtu, 9hb April 2011, bermula jam 8.45 pagi bertempat di Sekolah Menengah Agama Segamat. Ia terbuka kepada pelajar sekolah menengah yang mempunyai kelapangan masa pada hari tersebut.
TIPS Favourite
Ada dua tips yang menjadi kesukaan saya apabila dikaitkan dengan ibadat haji. Pertama tentang "jangan ubah waktu tidur. Tidurlah waktu Malaysia kerana Mekah atau Madinah lewat 5 jam daripada Malaysia". Waktu bangun malam di sana bersamaan waktu jaga atau bekerja di Malaysia.
Kedua, tips tentang kekuasaan dan kehebatan Allah.
Kenapa?
Bila saya usulkan supaya kita membayangkan apakah wajah dan tingkah laku kita apabila pulang daripada menunaikan fardhu haji yang boleh dikaitkan dengan haji mabrur, ia menerima pelbagai respons.
Ketika saya nyatakan, kita bayangkan solat berjemaah di masjid, membaca al-quran setiap hari, puasa sunat Isnin dan Khamis, menjaga hati dan bangun malam terdapat mereka yang mula memikirkan kesukaran betapa ia tidak boleh dilakukan.
Sekadar contoh, apabila disebut solat berjemaah lima waktu, isu yang selalu disebut ialah, suasana kerja yang tidak membantu untuk melaksanakan keinginan tersebut. Ada yang berfikir "tidak boleh, tidak boleh, tidak boleh" atau "sukar, sukar, sukar".
Dalam konteks yang lain, seorang pramugari yang ingin melaksanakan fardhu haji, siang-siang lagi sudah memberitahu,
"Prof, saya tidak fikir yang saya boleh menutup aurat apabila pulang daripada menunaikan fardhu haji. Kerja saya tidak membenarkan saya memakai tudung"
Lalu saya bertanya kembali, "puan benar-benar mahu menutup aurat? Benar-benarkah puan?"
Apakah yang sebenarnya berlaku apabila kita memikirkan yang kita akan gagal melakukan suatu kebaikan? Hakikatnya, kita menggunakan akal fikiran yang terbatas. Kudrat dan kuasa Allah tidak begitu. Kehebatan Allah tidak sampai dek akal fikiran manusia.
Maka saya tumpukan kuliah di Masjid Bandar Baru UDA – siri kedua – bagi menerangkan tentang tips yang menjurus kepada pembentukan akidah dan tauhid manusia, iatu kepercayaan yang sungguh-sungguh Allah itu Maha Berkuasa, Allah itu mampu memberi yang terbaik kepada hambaNya, sesuatu yang tidak terjangkau dek akal manusia.
Ibadat haji memberi peluang untuk kita memikirkan soal ini dengan cara yang bersungguh-sungguh.
Apalah sangatnya dengan niat dan keinginan untuk solat berjemaah dan kemahuan untuk menutup aurat. Jika kita bersungguh dan mahu melakukannya, InsyaAllah Dia akan memberi keizinan.
Jadi tipsnya bagaimana?
Mulai sekarang, ketika bangun bersolat malam, mohon, rayu dan rintih kepadanya keinginan yang telah kita gambarkan. "Ya Allah aku ingin bersolat malam ya Allah, aku ingin menutup aurat ya Allah, aku ingin sentiasa solat berjemaah di masjid ya Allah. Namun aku manusia yang lemah ya Allah, aku tidak upaya ya Allah, aku bergantung kepadaMu, Kaulah yang Maha Berkuasa, ……… Kaulah satu-satunya penolong dan pembantuku. Kau bantulah daku ya Allah, bantulah daku ya Allah"
Sepanjang di Mekah dan Madinah, teruskan usaha-usaha meminta pertolongannya. Kita benar-benar bersungguh dan ikhlas mahu melakukannya semata-mata kertana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah. Allah sudah berjanji yang Dia akan membantu mereka yang benar-benar mahu beramal ibadat keranaNya.
Tips saya, "jangan berburuk sangka dengan Allah".
Saya berdoa agar maksud sebenar "kekuasaan Allah" menyerap masuk ke seluruh jiwa dan perasaan. Jika begitu, kita akan terus berdoa dan berusaha meskipun ia mengambil masa yang panjang!
Nota: Alhamdulillah, terima kasih kepada jemaah Masjid Bandar Baru UDA yang telah melaksanakan solat hajat memohon kepada Allah agar saya disembuhkan daripada penyakit yang sedang saya hadapi. InsyaAllah, saya semakin selesa.
April 1, 2011
Pelik
Ia sangat pelik. Sekurang-kurangnya di sisi saya. Kuasa Allah tidak begitu. Dia Maha Berkuasa.
Semalam, saya menerima rawatan doktor pakar di salah sebuah pusat rawatan swasta yang terkemuka di Lembah Kelang. Ia adalah sebahagian daripada pemeriksaan yang tidak dapat dilakukan oleh Hospital Segamat akibat kekurangan fasiliti.
Lalu Hospital Segamat merujuk saya kepada Hospital Muar bagi melakukan pemeriksaan E&T secara menyeluruh. Namun saya terpaksa menunggu giliran. Lebih dua minggu lamanya.
Hampir 45 minit saya ditemuduga, diperiksa dan diberi khidmat nasihat. Peralatannya canggih. Saya dapat melihat sendiri suasana dalam hidung. Kata doktor,
"Pembahagi hidung senget…"
"Dr apa treatment yang perlu dilakukan?," saya bertanya spontan.
"Selagi boleh bernafas, tidak usah buat apa-apa," beliau ketawa.
Kemudian saya dapat menyaksikan apa yang ada di dalam telinga. Ada gegendang telinga. Tahi telinga pun boleh dilihat dengan jelas.
"Gegendang OK, tahi telinga pun OK…"
Seterusnya, beliau menayangkan suasana di dalam mulut sehingga ke anak tekak.
"Segala-galanya OK…."
Perbincangan selepas pemeriksaan menjadi rahsia di antara saya dan beliau.
"Terima kasih Dr…..," lalu saya beredar meninggalkan bilik beliau menanti jumlah bil yang perlu dibayar. Saya fikir ratusan ringgit.
Tiba-tiba nurse bertugas memanggil nama saya dan menyebut, "Dr memberitahu saya yang encik tidak perlu membayar apa-apa". Saya terdiam sejenak tidak dapat "compute" dengan apa yang berlaku.
Ia satu lagi kejadian menarik yang mewarnai hidup saya.
PRIMEWORKS

Saya cuba mempengaruhi mereka....
Temujanji ini sudah lama terancang. Sebelum saya jatuh sakit. Lalu saya tidak mahu membatalkan pertemuan dengan manager – Cik Nura – Bahagian Majalah dan Dokumentari Primeworks.
Ia salah satu jabatan di Prima Media yang membekalkan rancangan kepada TV3 dan TV9. Turut serta bersama kami ialah penerbit Al-Kulliyyah, TV3.
"Cik Nura, buku baru saya berkaitan dengan beberapa petua menunaikan fardhu haji dan umrah yang jarang difikirkan. Saya rasa buku ini banyak manfaat kepada masyarakat," tanpa segan silu saya memulakan perbualan.
Saya tahu Cik Nura akan menunaikan umrah pada minggu hadapan. Lalu saya sebut beberapa tips yang sangat relevan dengan beliau. Beliau lebih mudah memahaminya.
Akhirnya – saya menjangkakan – buku 50 Tips Motivasi Haji ini akan ke udara menemui masyarakat. Mudah-mudahan begitu!
March 31, 2011
Hijrah

Perbincangan bersama pelajar PhD di Hotel UiTM, Shah Alam. Mereka berada di garis penamat. Turut serta Dr Haslinda dari HEA.
Salah satu impian yang tidak pernah surut ialah keinginan untuk berhijrah ke Mekah atau Madinah. Jika diberi pilihan, Madinah yang utama, diikuti dengan Mekah.
Impian merupakan satu doa. Doa yang berterusan bersekali dengan usaha akan dimakbul Allah, InsyaAllah.
Hijrah kerana Allah sentiasa membawa kebaikan. Itulah janjiNya. Rasulullah (salawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat) berhijrah ke Madinah ketika usianya 53 tahun. Ia mengambil kira selepas 13 tahun berdakwah di Mekah.
Saya pernah menyuarakan impian ini kepada para pelajar PhD saya. Tujuannya satu. Saya mahu mereka bersedia, tidak main-main dan tekun menyiapkan tesis PhD mereka bagi menghadapi kemungkinan tersebut.
Mereka bertanya, "bila prof?"
Ia tidak berjawab.
March 30, 2011
Magik
Jika saya mempunyai tongkat sakti, terdapat beberapa perkara yang ingin saya lakukan serta merta. Salah satunya, menghafal al-Quran. Seterusnya, menjadi imam di Masjidil Haram dengan suara bergema melewati kawasan sekitarnya.
Banyak lagi angan-angan saya yang mahu saya capai melalui tongkat sakti tersebut.
Realitinya, tiada magik dalam kehidupan sebenar. Ketika saya buta huruf, saya merayu dan merintih hampir setiap malam mengadu kepada Allah betapa saya "tidak pandai membaca al-Quran". Malah saya memohon kepadaNya, "Ya Allah, bantulah daku, berikanlah ilham kepada ku, aku jahil ya Allah, aku bodoh ya Allah…"
Tidak pula saya terjaga keesokkan harinya dan terus boleh menyebut, "Alif, Laaaaaaaam, Miiiiiiiiiim" dan terus membaca surah sajadah sehingga tamat.
Tiada magik. Ia tidak begitu!
Namun Allah memberi pertolonganNya. Seorang Hafiz muncul di rumah, kemudian menjadi guru saya, dan seterus mengajar saya bermula daripada Alif, ba, ta dan seterusnya sehinggalah saya mengenal huruf.
Tiada jalan singkat meskipun di atas kekuasaan dan kehebatan Allah, ia boleh berlaku.
Semalam, saya didatangi oleh seorang guru yang risaukan anak-anak muridnya yang terlalu menyimpang daripada jalan Allah. Mereka sudah pandai minum arak, menghisap rokok dan pelbagai gejala sosial yang lain.
Ringkaskan cerita, mereka memohon untuk saya mengadakan ceramah motivasi kepada anak-anak ini supaya pulang ke pangkal jalan. Barangkali, ini juga salah satu magik yang ingin saya miliki.
"Betul cikgu serius mahu menangani isu ini?," saya mengemukakan satu pertanyaan.
"InsyaAllah saya sanggup mengusahakan tetapi saya tidak ingin berjumpa dengan pelajar. Biar saya berjumpa dengan ibu bapa mereka. Kita mulakan di situ. Ada cara yang boleh kita cuba. Kita guna pendekatan yang telah diajar oleh Allah SWT. Kaedah motivasi biasa hanya sedap didengar….."
Apakah yang ingin saya sampaikan kepada ibu bapa?
Pertama, saya akan ceritakan isu-isu yang sedang anak-anak mereka hadapi. Lalu saya akan bertanya, "tuan-tuan sayang anak-anak tuan? Benar-benar sayang? Dan pastinya tuan-tuan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan anak-anak tuan. Tiada kos, tiada wang yang perlu dikeluarkan".
Kemudian, saya akan memberi manual penyelesaian.
Pertama, mari kita mulakan dengan melakukan solat malam…. Allah sudah berjanji dengan kita begini…. Barangkali pada saat dan ketika ini, saya berharap mereka masih menyayangi anak-anak mereka!
Ia bukan magik. Namun ia logik dan sangat praktikal. Dan tugas saya – barangkali – mengajak mereka untuk kembali hampir dengan Allah SWT.
Kedua-dua guru tersebut pulang memikirkan saranan saya!
March 29, 2011
Berehat

Inilah diet yang dihadiahkan oleh mereka yang mendengar kuliah, pembaca buku dan blog. Terima kasih banyak-banyak. Semuanya saya akan makan dan minum sampai habis!
Bila sakit kita disarankan untuk berehat.
"Rehatlah, tubuh badan juga mempunyai hak," nasihat seorang rakan. Malah ada yang menyatakan, "berehatlah, Sofea dengan Amirul masih kecil," memberi andaian yang jika saya meninggal maka yang akan merana dan menderita adalah anak-anak tersebut.
Malah saya mendapat e-mel daripada rakan sejawat yang menulis, wah ganas betul!
Bell's Palsy tu adik kepada stroke. It's a matter of time yang prof akan diserang major stroke. From now on, prof kena jaga makan khususnya, dan jaga kesihatan secara amnya. Dietnya sama mcm org sakit darah tinggi/ jantung.
Akhirnya, e-mel yang panjang lebar diakhirkan dengan kata-kata berikut,
Kesimpulannya, we love you prof. That's why we keep telling you to take care of yourself. Prof jangan marah ye. Kalau prof tak kisahkan diri prof, kasihanlah pada Kak Roza yang sentiasa risaukan kesihatan prof tu. She loves you more than we do! Cuba tengok muka Kak Roza, mesti lately berkerut-kerut je dahinya. Tudung pun dah senget-senget.
Saya sangat menghargai nasihat-nasihat yang telah dikemukakan. Malah memang saya berehat. Tinggal lagi ada beberapa perkara yang saya "suka untuk melakukan" tetap diteruskan. Ada rasionalnya. Ia terapi atau seolah-olah itulah yang menyegarkan tubuh badan.
Rasionalnya begini.
Di Mekah – apabila menunaikan fardhu haji – hampir keseluruhan jemaah akan ditimpa sakit. Paling kurang batuk atau seram-sejuk. Deman atau tidak? Ia persoalan yang berlegar-legar di fikiran jemaah. Berehat atau meneruskan amal ibadat di masjid?
Maka ia terbahagi kepada dua golongan. Akhirnya, yang tidak mahu berehat meneruskan amal ibadat di Masjidil Haram, yang mahu penyakitnya sembuh akan berehat di hotel. Alih-alih masa kian suntuk. Masa untuk berangkat pulang pun tiba.
Mereka yang sakit-sakit tetapi tidak mahu berehat akan berkata, "Ya Allah, Dia Maha Berkuasa, Dia Maha Pengasih, Dia Maha Penyayang, terima kasih ya Allah, dalam keadaan begini aku masih boleh beramal ibadat kepadaMu ya Allah".
Mereka melihat kebesaran Allah.
Kadangkala saya terkenang dengan kisah-kisah saat-saat kematian Rasululullah yang dipapah untuk menunaikan solat berjemaah. Saya tidak mampu begitu tetapi saya mahu jadi begitu.
Saya dapat membayangkan bagaimana Rasululullah (selawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat) menjawab kepada Aisyah betapa baginda bersolat malam hingga bengkak kaki bukan kerana mengharapkan balasan syurga tetapi, "tidak bolehkah aku bersyukur kepadaNya?".
Sakit adalah ujian Allah. Allah telah memberi panduan bagaimana mahu menghadapi ujian. Ia sangat asas dan mudah sebagaimana sarananNya melalui surah Al-Baqarah ayat 45,
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
Tentulah saya berterima kasih dengan rakan-rakan yang sangat prihatin. Malah saya berusaha – makan ubat, diet dan berurut - berdoa dan bertawakal agar kesulitan sementara ini lebih mendekatkan diri kita kepadaNya.
Terima kasih!
March 28, 2011
Urut
Mengurut adalah satu kerjaya.
Diurut pula satu kesedapan. Ia boleh ketagih. Saya suka diurut. Hampir 5 tahun saya mempunyai tukang urut yang sama, di Shah Alam. Ketika bertugas di sana, setiap dua minggu beliau akan berkunjung ke rumah.
Bila saya berpindah ke Segamat, maka setiap kali saya bertugas di Shah Alam, saya akan mencari masa supaya dapat diurut.
Di peringkat awal, kadar upahnya mengikut pangkat. Profesor RM30, Profesor Madya RM25, Pensyarah atau pegawai RM20 dan seterusnya sehinggalah RM10 untuk pemandu dan jaga. Itulah kadar yang beliau mahu. Tidak lebih, tidak kurang.
Pada ketika itu beliau masih bertugas di UiTM Shah Alam.
Beliau sangat bersungguh, tekun dan mengurut sepenuh hati. Jika beliau mengurut saya, ia mengambil masa hampir dua jam. Ia satu terapi yang menyegarkan.
Bila bersara, struktur upahnya berbeza. Beliau tidak lagi menetapkan kadar upah. Ikhlas. Saya menilai hasil kerjanya, kesungguhan dan ketekunan melaksanakan kerjanya, lalu saya membayar RM100 setiap sesi. Kadangkala, bila wallet saya masih ada banyak $$, saya bayar lebih.
Kami mempunyai perhubungan yang baik!
Tukang urut mempunyai tren yang hampir sama. Agaknya kerjaya mereka begitu. Pertama, mereka akan bercerita tentang kejayaan yang telah dilakukan kepada pelbagai pesakit. Misalnya, orang lumpuh sudah mula boleh bangun, tangan yang tidak bergerak sudah mula berhayun, leher yang sudah boleh dipusing dan pelbagai lagi.
Dalam proses bercerita mereka akan memperkenalkan identiti orang yang diurut.
"Haji, tidak baik kita bercerita kisah orang. Nanti bila haji berurut di rumah orang haji akan bercerita pasal saya, saya ada urut profesor yang tulis buku Travelog Haji… Jangan begitu, tidak baik"
Kedua, apa pun masalah yang kita sedang hadapi, akhirnya tukang urut akan mencadangkan urutan yang condong untuk menguatkan tenaga batin. Mereka tersangat suka untuk memberi petua dan pelbagai tunjuk ajar. Selalunya, ramai yang lemah telah mereka pulihkan. Kata mereka.
Saya bergurau dengan Tukang Urut saya, "Haji, sudah tiga-empat tahun saya berurut dengan haji, sakit belakang saya tetap sama sahaja. Baik sekejap, datang balik… baikkan yang ini dulu…"
Beliau ketawa.
Kini saya sedang melakukan urutan muka. Sudah tiga sesi bersama dengan Tukang Urut di sini. Fokus utama ialah untuk menyamakan kedudukan wajah terutamanya di sebelah bawah hidung. Bibir masih sukar untuk dikawal terutamanya apabila minum, berkumur, gosok gigi dan yang berkaitan.
Ia nyata ada perubahan. Alhamdulillah.
March 27, 2011
Minta 5 dapat 10
Beberapa bulan yang lampau saya didatangi oleh seorang perempuan Cina dewasa ketika singgah di 7-11 Jementah.
"Tuan orang sini? Bag saya diragut. Saya hendak pulang ke Tangkak. Lapar, masih belum makan. Boleh bagi saya RM5.00?"
Saya hulurkan RM10.00.
Selepas beberapa bulan beliau melakukan perkara yang sama, di kawasan yang sama dengan orang yang sama.
"Masuk kereta saya, saya hantar awak ke Tangkak…"
Beliau melarikan diri.
Di Mekah dan Madinah, kita akan temui mereka yang kelihatan "alim dan warak" menyebut nama Allah dan menceritakan kesusahan mereka.
Saya berpesan, bila orang meminta atas nama Allah, jangan dipertikaikan mereka. Jika mahu menderma, serahkanlah seikhlas hati. Jika tidak, berdiam diri sahaja.
Kesihatan
Tinggal dua hari lagi untuk saya menghabiskan ubat yang dibekalkan oleh doktor. Mengambil kira ubat sedia ada, saya menelan 17 biji ubat sehari semalam.
Selang sehari, saya melakukan urutan muka dan badan.
Saya semakin pulih. Ramai yang mendoakan "kesembuhan yang tidak berbekas". Terima kasih yang tidak terhingga. Ingatan dan doa inilah yang dimakbul Allah. Saya dan keluarga juga mendoakan kesemua pembaca KRTS agar dirahmati Allah sentiasa.
Khatam Quran
Pak Nizam membantu saya pada hujung minggu yang baru berlalu. Beliau bekas pembaca meter TNB. Pencen bulanannya hanya RM250.
Saya tidaklah mengenali beliau "zahir dan batin".
24 jam bersama beliau, ada sesuatu yang saya pelajari. Beliau khatam al-quran hampir setiap bulan. Paling lewat pun 1 1/2 bulan. Ketika saya memberi kuliah di UiTM, beliau tidak mahu tinggal di hotel. Pak Nizam menghabiskan masa di masjid yang berhampiran. Membaca al-Quran.
Rutin tidur beliau di sekitar 1-3 pagi. Masa sebelum tidurnya dihabiskan dengan membaca al-Quran.
Beliau berpuasa setiap hari khamis dan Isnin.
Di antara waktu solat Maghrib dan Isya beliau menghabiskan masa dengan solat-solat sunat. Jika tidak, beliau mengikut dan mendengar Tuan Haji Omar mengajar di masjid-masjid yang berhampiran.
Sesuatu yang unik, beliaulah yang membawa beg kitab Tuan Haji Omar ke meja kuliah.
Sepatah kata beliau, "kisah perjalanan kehidupan kita tentu berbeza. Prof dengan cara prof, saya dengan cara saya. Bagaimanapun masing-masing ada sejarah tersendiri. Kita mahu yang akhir sekali…"
Orangnya kelihatan sangat tidak luar biasa!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
