Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 61

May 17, 2011

Tembok Besar China

Saya sampai di sini


Tujuh benda ajaib di dunia.


Salah satunya di sini. Saya pula diberi peluang untuk melihat sendiri keajaiban tersebut. Namun saya tidak ada upaya untuk memanjat ke atas. Minda dan tenaga yang lemah.


Cukuplah saya dan Roza memerhati ke atas di samping mengenangi kegilaan manusia yang sanggup mempertaruhkan nyawa jutaan manusia lain untuk membina sesuatu yang kelihatan luar biasa.


Bayangkan, pembinaan tembok batu yang merentasi seluruh China sejauh hampir 6700 km, di tanah yang bergunung-ganang dan penyebab kepada kematian di antara 2 hingga 3 juta, keluarbiasaannya tersepit di antara darah dan air mata.


Terdapat kisah cinta, kesetiaan antara dua insan dan pengorbanan yang menyentuh hati. Sepasang suami-isteri yang baru beberapa hari berkahwin dipisahkan kerana paksaan untuk membina tembok ini.


Isteri mematah dua gelang tangannya sebagai satu tanda, satu disimpan sendiri dan sebahagian lagi diserahkan kepada suami. Akhirnya mereka berpisah tanpa berita hampir dua tahun lamanya.


Satu malam si isteri bermimpi yang suaminya kesejukan yang amat sangat. Lalu beliau menyediakan selimut untuk suami dan menyusur mencari suaminya. Ia tidak berhasil.


Ringkaskan cerita, sebahagian tembok yang berhampiran dengannya runtuh dan terdapat barisan mayat yang telah reput tertanam di dalamnya. Di antaranya terdapat mayat yang mempunyai separuh gelang.


Akhirnya, si isteri juga mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia ini dengan caranya sendiri.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 17, 2011 12:05

May 16, 2011

Awang Sariyan

"Saya lebih zuhud di sini"


Ia kenyataan di luar sedar di celah-celah beliau bercerita tentang pengalamannya membuat pelbagai kajian awal tentang kehidupan masyarakat Islam di sini.


Profesor Dr Awang Sariyan merupakan nama besar dalam bidang pengajian Melayu. Beliau merupakan pemegang Kursi Pengajian Melayu pertama di Beijing Foreign Studies University.


Saya lebih tertarik mendengar kenyataan tersebut berbanding dengan kejayaan-kejayaan beliau membuka program-program pengajian Melayu di beberapa universiti lain di China.


Kenapa?


Penghijrahan beliau ke China telah mengubah "jiwa dan perasaan"nya untuk lebih mendekati Allah. Saya mentafsir begitu berdasarkan kenyataan mudah yang dituturkan tanpa disedari oleh sebahagian besar khalayak.


Beliau melihat keindahan dan kebesaran Islam di China. Cerita beliau, "saf di masjid yang saya kunjungi kelihatan lebih penuh berbanding dengan masjid-masjid di Malaysia. Pengajian agamanya…. saya berjumpa dengan insan yang sangat komited dengan perkembangan Islam".


Saya fikir hijrah sementara beliau menjadikan beliau yang sudah sedia semerlang kepada manusia yang lebih cemerlang. Itulah tafsiran mudah saya dengan kenyataan "saya lebih zuhud di sini".


Kami doakan prof dan  keluarga sentiasa di Rahmati Allah hendaknya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 16, 2011 12:06

May 15, 2011

Jagung China

Segar.


Saya tidur semula selepas usai solat subuh. Ia tidur yang nyenyak. 6 pagi waktu Beijing, mataharinya sudah meninggi. Ini pula kelebihan waktu berbeza yang dianugerah Allah. Solat Dhuha dapat disempurnakan lebih awal.


Kami turun bersarapan di sekitar jam 6.30 pagi. Saya mengambil jagung, keledek manis, dua keping roti dan secawan air suam. Banyak lagi makanan lain yang nampak menyelerakan.


Lain tempat, lain rasa. Jagung yang kami makan nyata berbeza. Ia seolah-olah memakan pulut. Saya rasa kelainan. Benar-benar berbeza. Bertambahlah satu lagi pengalaman baru yang sangat signifikan walaupun ia kelihatan kecil.


Jagung tetap jagung. di bawah kehebatan dan kekuasaan Allah, DIA boleh memberi pelbagai rasa yang berbeza.


Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai nikmat Allah yang pelbagai.


Facebook


Facebook ban di China. Patutlah….

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 15, 2011 16:25

Tianjin

Selamat mendarat di Tianjin


Kami mendarat di negara China melalui Tianjin.


Alhamdulillah, akhirnya sampai jua. Ia salah satu negara yang ada dalam perancangan kami untuk berkunjung. Bezanya, ia kian terhakis setelah kembali dari menunaikan fardhu haji.


Saya sering terfikir, lebih baik saya ke Mekah atau Madinah daripada menghabiskan RM yang sama. Ia soal keinginan dalaman. Saya tahu tidak salah untuk melawat bumi Allah yang terbentang luas. Namun ia harus disusuli dengan berfikir yang bersungguh-sungguh bagi melihat kebesaranNya.


Beijing hari pertama nyata tiada bezanya dengan Kuala Lumpur. Perjalanan Tianjin – Beijing hampir dua jam tidak menemukan kami dengan "roh dan semangat" luar biasa. Lebuhrayanya nampak lengang. Hujung minggu. Malah bangunannya bersusun-susun dalam keadaan yang sangat kemas.


Itu sahaja. Kami dipesan, "berhati-hati dengan pengedar wang palsu".


Barangan di pasar terbuka harus pandai menawar. Jangan segan-silu untuk meminta sehingga 80 peratus.


Tamat hari pertama yang ringkas!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 15, 2011 06:01

May 14, 2011

Mudahkan mereka ya Allah

Tiga pelajar PhD saya yang telah menaiki pentas dan bergelar Dr kelihatan sangat cemerlang. Dr Zaleha di UKM, Dr Ridzwan di TM dan terbaru, Dr Rosmaini di UNITEN.


Dr Rosmaini dan suami, insyaAllah akan mula berkhidmat di salah sebuah universiti UAE bersekali – insyaAllah – ketika saya melaporkan diri di Universiti Taibah, Madinah. Khabarnya pada bulan September.


Dr Ridzwan juga dipinjamkan ke Universiti MultiMedia bagi menguruskan pengajian di peringkat pasca-siswazah. Beliau juga sangat aktif menulis dan sehingga kini sudah menerbitkan tiga tajuk, Haji Muda, Bila Pintu Hati Terbuka dan terakhir yang dilancarkan serentak dengan buku 50 Tips Motivasi Haji, Rinduku pada Baitullah.


Dr Zaleha pula sedang mendaki kerjaya sebagai seorang ahli akademik perakaunan di UKM.


Saya tidak kisahkan sangat dengan mereka bertiga. Mereka sudah boleh berdikari malah boleh menjadi manusia yang jauh lebih baik daripada saya.


Hakikatnya, saya masih mempunyai beberapa pelajar PhD - Halim, Radziah, Shatari, Arun, Junaidah, Azwan dan Shima – yang tentu sekali berdebar-debar memikirkan betapa saya akan meninggalkan mereka.


Saya fikir, saya sudah memaklumkan kepada mereka kemungkinan saya akan meninggalkan UiTM tiga bulan yang lepas. Alhamdulillah, reaksi mereka sungguh-sungguh melegakan saya. Halim, Radziah dan Shatari bersedia untuk di VIVAkan.


InsyaAllah, tiga yang lain akan dapat menyiapkan tesis mereka dalam masa yang terdekat. Hampir setiap 1/3 hujung malam yang tersisa saya berdoa buat anak-anak murid saya supaya dipermudahkanNya.


"Ya Allah ya Tuhan Kami, jadikanlah anak-anak murid kami sebagai anak murid yang tunduk dan patuh kepadaMu. Jadikanlah mereka sebagai anak-anak murid yang tahu bersyukur dan mencintai Mu.


Ya Allah mudahkanlah urusan pengajian mereka, mudahkanlah penulisan mereka, mudahkanlah VIVA mereka dan mudahkanlah segala-galanya".


DIAlah tempat kami berserah dan memohon perlindungan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 14, 2011 10:16

Buku 50 Tips Motivasi Haji

1. Penduduk di sekitar Kemaman boleh memperolehi buku ini di Pustaka Munirah.


2. Penduduk di sekitar Kampung Baru di JAYA-ISS FARMASI, Jalan Raja Alang.


3. 20% diskaun melalui on-line di book Cafe PTS


4. Jika mahu bertandatangan, tunggu saya balik dari China dan Kuala Nerang pada 24hb Mei nanti….

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 14, 2011 02:54

May 13, 2011

Kami solat tahajud

Dr Rosmaini, pelajar ketiga bergelar Dr. Tahniah! Gambar dari Utusan Malaysia


SHAH ALAM 12 Mei – Sepasang suami isteri, Dr. Mohd. Ariff Kasim dan Dr. Siti Rosmaini Mohd. Hanafi menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Perakaunan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-74, di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), di sini hari ini.


Pasangan berusia 35 tahun itu mengakui mula menjalin hubungan cinta sejak mengikuti program Diploma Perakaunan di UiTM Machang, Kelantan dan berkahwin selepas tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Arau, Perlis pada 2000.


Kedua-duanya yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muadzam Shah, Pahang juga melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana di UiTM dan seterusnya ke peringkat PhD.


Pasangan sehati sejiwa itu antara 704 graduan yang menerima anugerah masing-masing daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Canselor UiTM.


Mohd. Ariff berkata, walaupun terpaksa berulang-alik dari Muadzam Shah ke UiTM di sini selama 40 bulan, tetapi dia bertuah kerana dapat melakukannya bersama isteri.


"Dengan sentiasa bersama, kami berasa bersemangat dan mendapat galakan meskipun masing-masing berada dalam keadaan tertekan untuk melengkapkan tesis kami.


"Selain mengulang kaji, kami turut bangun malam melakukan solat tahajud bersama-sama agar berjaya dalam pengajian," katanya.


(Sumber: Utusan Malaysia, ruangan pendidikan, 13hb Mei 2011).


Nota MKI: Arif dan Ros, ingat pesan saya, "Dekati Allah ketika senang dan susah," insyaAllah kita akan selamat dunia dan akhirat!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 13, 2011 09:06

May 12, 2011

Beijing

Besok, kami – saya, Roza dan 20 yang lain – akan berangkat ke China. Saya hanya menumpang program pelajar-pelajar "International Business" UiTM Johor yang berusaha gigih semenjak 6 bulan yang lampau.


Selama beberapa hari di sana, kami akan berpeluang – InsyaAllah – bersolat di Masjid Niujie, Nandouya dan Madian. Khabarnya, masjid Niujie merupakan masjid yang tertua di China. Ia telah dibina pada 996 dan menjadi pusat kegiatan Islam kepada 10,000 muslim di kawasan sekitar.



Ini pula Masjid Nandouya yang pada asalnya telah dibina oleh Dinasti Yuan pada tahun 1200an. Kini, ia ditempatkan 100 meter daripada tapak asal akibat pembangunan semula Beijing.


Masjid Nandouya


Masjid ketiga ialah masjid Madian. Dicatatkan melalui www, beijingtoursguide.com, ia masjid yang dibina pada tahun 1600an semasa zaman Dinasti Qing. Pengalaman melihat bumi Allah yang luas ini – InsyaAllah – boleh memberi manfaat kepada hati dan perasaan.



Program yang diatur nampak padat dan menarik. Mudah-mudahan ia berjalan lancar.


SOFEA BERTANYA


"Kenapa bila kakak dan Abang Ngah balik mama buat lamb chop? Special banyak. Bila Abang Chik balik Mama buat Kuey Tiow special?. Special sikit. Sofea makan telur sahaja"


Agaknya begitu fikiran kanak-kanak. Roza menjawab balik, "mama hantar Sofea ke sekolah, kita selalu makan di hotel. Kakak, Abang Ngah, Abang Chik selalu tak dapat"


Sofea tersengih. Beliau menyakat mamanya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 12, 2011 13:59

May 11, 2011

Ingatan

Saya menghabiskan bacaan terjemahan Al-Quran ketika berada di Madinah. Lebih 1200 muka surat. Ia bacaan yang penuh kusyuk, hampir 24 jam minus waktu tidur dan kegiatan lain di sekitar 3-5 jam.


Ada dua ingatan Allah yang melekat di dalam minda. Ia disebut berulang-ulang. Pertama, kataNya manusia adalah lemah sifatnya. Pagi minta ampun, petang sudah melakukan kesilapan.


Malam bertaubat, pagi sudah melakukan dosa-dosa baru. Namun Allah tegaskan juga yang kerana itulah sifat manusia maka kita sentiasa perlu memohon keampunanNya.


Kedua, Allah menyebut secara jelas betapa kebanyakan manusia akan mengingatiNya ketika susah tetapi lupa ketika senang.


Malam tadi UiTM meraikan siswa-siswinya yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD di hotel Grand BlueWave. Ia mengembalikan ingatan lama, kira-kira 12 tahun yang lampau ketika pemeriksan luar bangun dan bersalam dengan saya sambil menyebut "Congratulation Dr Ibrahim".


Ia penamat kepada suatu perjalanan yang dipenuhi dengan pelbagai rasa. Bukan semua yang memulakan pencarian ini berjumpa dengan garis penamat. Mereka yang gagal akan menyebut pelbagai alasan. Dan ramai yang gagal terdiri daripada mereka yang "bijak-bijak" belaka.


Jika ditanya dengan mereka yang berjaya, maka kisah onak dan duri selama lebih tiga tahun belajar di peringkat PhD akan sentiasa bermain-main di bibir. Ramai yang mengenal Allah ketika berhadapan situasi yang sebegini rumit. Solat malam, berdoa dan bermunajat menjadi rutin harian.


Tiada siapa yang dapat memahami sepenuhnya gelora pengajian di peringkat ini kecuali yang telah melaluinya. Maka Allahlah yang menjadi tempat untuk mencurahkan isi hati.


Semalam, mereka diraikan. Hilang segala kesusahan dan penderitaan. Nampak benar wajah ceria Dr Rosmaini, Dr Arif, Dr Jamaliah, Dr Aliza, Dr Syarifah dan beberapa nama yang lain daripada fakulti perakaunan.


Tahniah, ini adalah ujian kegembiraan yang telah Allah berikan. Jangan pula kita termasuk di dalam golongan "ingat semasa susah, lupa ketika senang", InsyaAllah.


UJIAN BUAT SAYA


Semalam juga merupakan hari gembira. Selangkah lagi laluan untuk berhijrah ke Madinah telah saya tempuhi.


 Di pentas, ketika menerima sijil penghargaan kerana menyelia Dr Rosmaini, TNC (Akademik) membisikkan kepada saya, "Prof, UiTM telah meluluskan permohonan bersara awal".


Saya terawang-awang. Mahu rasanya saya khabarkan kepada semua orang. Cepat-cepat saya memohon keampunan Allah dan mengucap syukur kepadaNya. Ia rasa gembira yang tidak dapat dikhabarkan.


Kini, urusan JPA, SPRM, Cukai dan VISA sudah boleh dimulakan. Saya berdoa agar urusan di JPA dapat diselesaikan secepat mungkin. Rasanya mengikut kebiasaan, proses bersara memerlukan 6 bulan untuk disempurnakan.


"Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan kami. Hanya kepada Mu tempat kami meminta pertolongan".

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 11, 2011 15:30

May 10, 2011

Tetamu

Cara orang Sarawak menyambut tetamu tidak berubah sebagaimana yang saya ketahui semenjak 18 tahun yang lampau. Mereka sangat-sangat menghormati jemputan mereka. Ia terasa sampai nun jauh ke sudut hati.


Apa bezanya?


Entah. Ia sukar di ceritakan. Malah saya ketandusan idea untuk menyampaikan apakah yang membezakan cara orang Sarawak menyambut tetamu. Ia bukan sesuatu yang dipaksa-paksa. Ia ada dalam jiwa mereka yang sentiasa segar dan menyegarkan mereka yang menerima.


Saya sudah menetap di Sarawak. Lama dulu. Ia tempoh yang pendek, hanya tiga tahun bermula hujung 1993 hingga pertenghan 1996. Namun kenangannya sangat berbekas di hati.


Dulu, secara umumnya mereka menggelarkan orang Semenanjung yang bekerja di Sarawak sebagai orang Malaya. Perlambangan negatif. Ia seolah-olah mereka tidak suka dengan kedatangan orang luar.


Namun realiti di peringkat individu nyata berbeza. Kami sekeluarga diterima sepenuhnya. Malah keputusan untuk tinggal di kawasan kampung, di pinggiran bandaraya Kuching nyata memberi impak yang luar biasa. Kami mempelajari hati-budi penduduk setempat.


Ketika kami bergelap, ada jiran tetangga yang datang menghulurkan lilin takut-takut orang Malaya kesusahan. Malah ketika Roza perlu bertugas di Kuala Lumpur selama enam bulan, ada di antara mereka yang membenarkan anak mereka untuk ikut serta membantu mengurus anak-anak yang masih kecil.


Malah di kalangan penduduk tempatan, saya di panggil "pok" tanda penerimaan mereka.


Banyak lagi. Dan nolstagia hidup di Sarawak muncul kembali. Pastinya yang indah itu selalunya melekat di hati. Sampai bila-bila.


Kuliah Magrib dan Subuh


Alhamdulillah, program rasmi dengan Jabatan Pendidikan Daerah Mukah selesai pada sebelah petang semalam. Program "Sepetang Bersama Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim" menyegarkan keletihan perjalanan.


Tiga jam kemudian saya menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Setia Raja. Ia adalah permintaan saya kepada pihak penganjur. Fikiran saya mudah, lebih baik berada di masjid menyampaikan kuliah berbanding berehat-rehat di hotel.


Setakat ini, bagaimana letih pun tubuh-badan, ia hilang serta merta apabila pengacara majlis mempersilakan saya untuk bercakap. Maksud saya, itulah kekuasaan Allah. Letih dan lesu, sihat dan ceria atau apa sahaja yang dikaitkan dengan "kerja-kerja" Allah akan diberi bantuan yang setimpal.


Bila pulang ke hotel, sekelip mata saya sudah dapat melelapkan mata. Itu juga merupakan nikmat Allah yang tidak terhingga. Saya terjaga tepat pada pukul 3.00 pagi, bersiap untuk menyampaikan kuliah subuh di Masjik Jamek Kampung Permai, Mukah.


"Allah bagi nikmat buat orang Sarawak. Subuh awal, jam lima sudah masuk waktu. Jadi bila bangun jam tiga pagi, saya tidak perlu menunggu lama ke masjid".


Saya cuba memberi motivasi kepada hadirin.


Sekejap lagi saya akan meninggalkan Mukah menuju Sibu, kemudian menaiki pesawat jam 12.15 tengahari. Ada sesuatu yang menjadi kenangan di sini. Ia satu lagi catatan dalam kehidupan yang kelihatan ringkas tetapi benar-benar signifikan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 10, 2011 13:46

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.