Tetamu
Cara orang Sarawak menyambut tetamu tidak berubah sebagaimana yang saya ketahui semenjak 18 tahun yang lampau. Mereka sangat-sangat menghormati jemputan mereka. Ia terasa sampai nun jauh ke sudut hati.
Apa bezanya?
Entah. Ia sukar di ceritakan. Malah saya ketandusan idea untuk menyampaikan apakah yang membezakan cara orang Sarawak menyambut tetamu. Ia bukan sesuatu yang dipaksa-paksa. Ia ada dalam jiwa mereka yang sentiasa segar dan menyegarkan mereka yang menerima.
Saya sudah menetap di Sarawak. Lama dulu. Ia tempoh yang pendek, hanya tiga tahun bermula hujung 1993 hingga pertenghan 1996. Namun kenangannya sangat berbekas di hati.
Dulu, secara umumnya mereka menggelarkan orang Semenanjung yang bekerja di Sarawak sebagai orang Malaya. Perlambangan negatif. Ia seolah-olah mereka tidak suka dengan kedatangan orang luar.
Namun realiti di peringkat individu nyata berbeza. Kami sekeluarga diterima sepenuhnya. Malah keputusan untuk tinggal di kawasan kampung, di pinggiran bandaraya Kuching nyata memberi impak yang luar biasa. Kami mempelajari hati-budi penduduk setempat.
Ketika kami bergelap, ada jiran tetangga yang datang menghulurkan lilin takut-takut orang Malaya kesusahan. Malah ketika Roza perlu bertugas di Kuala Lumpur selama enam bulan, ada di antara mereka yang membenarkan anak mereka untuk ikut serta membantu mengurus anak-anak yang masih kecil.
Malah di kalangan penduduk tempatan, saya di panggil "pok" tanda penerimaan mereka.
Banyak lagi. Dan nolstagia hidup di Sarawak muncul kembali. Pastinya yang indah itu selalunya melekat di hati. Sampai bila-bila.
Kuliah Magrib dan Subuh
Alhamdulillah, program rasmi dengan Jabatan Pendidikan Daerah Mukah selesai pada sebelah petang semalam. Program "Sepetang Bersama Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim" menyegarkan keletihan perjalanan.
Tiga jam kemudian saya menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Setia Raja. Ia adalah permintaan saya kepada pihak penganjur. Fikiran saya mudah, lebih baik berada di masjid menyampaikan kuliah berbanding berehat-rehat di hotel.
Setakat ini, bagaimana letih pun tubuh-badan, ia hilang serta merta apabila pengacara majlis mempersilakan saya untuk bercakap. Maksud saya, itulah kekuasaan Allah. Letih dan lesu, sihat dan ceria atau apa sahaja yang dikaitkan dengan "kerja-kerja" Allah akan diberi bantuan yang setimpal.
Bila pulang ke hotel, sekelip mata saya sudah dapat melelapkan mata. Itu juga merupakan nikmat Allah yang tidak terhingga. Saya terjaga tepat pada pukul 3.00 pagi, bersiap untuk menyampaikan kuliah subuh di Masjik Jamek Kampung Permai, Mukah.
"Allah bagi nikmat buat orang Sarawak. Subuh awal, jam lima sudah masuk waktu. Jadi bila bangun jam tiga pagi, saya tidak perlu menunggu lama ke masjid".
Saya cuba memberi motivasi kepada hadirin.
Sekejap lagi saya akan meninggalkan Mukah menuju Sibu, kemudian menaiki pesawat jam 12.15 tengahari. Ada sesuatu yang menjadi kenangan di sini. Ia satu lagi catatan dalam kehidupan yang kelihatan ringkas tetapi benar-benar signifikan.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
