Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 57

June 23, 2011

Notis

InsyaAllah, malam ini saya akan berada – kuliah Maghrib – di Masjid Paya Bungor. Saya dimaklumkan masjid ini 30 minit perjalanan di antara Gambang - Maran di Pahang.


Hubungi Cikgu Fazlin Idris di talian 0139847606.


Pagi Sabtu, jam 9.00 pagi, saya akan bersama para pelajar, ibu bapa dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, Melaka. Katanya di kawasan Durian Tunggal.


Hari Ahad, 20 orang pelajar EMBA dan keluarga melakukan kunjungan ke Ar-Raudhah barangkali mahu mengucapkan selamat jalan kepada saya dan keluarga. Di sebelah malam, majalah I akan mengadakan sesi temubual untuk slot keluarga pilihan.


Bulan Julai adalah bulan perpisahan. Ada 22 majlis yang perlu saya hadiri tidak termasuk tazkirah mingguan UiTM Johor. Ramai yang telah membuat jemputan tetapi terpaksa ditolak.


Namun dua program utama yang sangat-sangat saya teruja ialah slot 4 jam ceramah khas haji di Surau Al-Furqan, Puncak Alam. Ia akan diadakan pada 23hb Julai bermula jam 8.00 pagi. Kemudian di sebelah petang, saya akan menghadiri rakaman slot Ramadhan TV Al-Hijrah, terbitan Karyawan Bistari.


Slot kosong?


Pada 19-20hb Julai saya akan berada di UiTM Tapah. 19hb malam, jika ada masjid atau surau di kawasan Tapah (hanya kawasan Tapah) mahu menjemput saya untuk menyampaikan kuliah Maghrib, InsyaAllah saya sudi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 23, 2011 10:23

Tempahan Buku

Saya mohon maaf kerana tempahan buku ditutup buat sementara waktu. Jika ada kelapangan, saya akan buka semula selepas menguruskan tempahan yang telah diterima.


Proses penghantaran buku-buku ini akan bermula pada hari Isnin ini.


MKI

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 23, 2011 00:14

June 22, 2011

Dr Zuraeda

[image error]Tahniah buat Dr Zuraeda yang berjaya mempertahankan tesisnya semalam.


Beliau yang sedang berada di Glasgow, Scotland merupakan rakan sejawat yang akrab walaupun berbeza umur. PhD hanyalah permulaan kepada suatu perjalanan yang tersangat panjang.


Namun ia tetap anugerah Allah yang perlu disyukuri.


Tahniah sekali lagi. 


Aircond


Semasa menuntut di MRSM – ketika remaja – kebanyakan kami suka tidur di lantai. Tilam akan diangkat dari katil. Terus di bawah kipas. Kipas pula berputar dengan kelajuan maksimum 5.


Kerapnya kami tidak berbaju.


Bila bekerja, pejabat disediakan dengan penyaman udara. Jika ia rosak, sehari suntuk sukar bekerja. Saya fikir ramai yang mengeluh kerana tidak tahan dengan cuaca panas.


Di rumah, ramai yang sudah mampu menyediakan penyaman udara. Ia seolah-olah satu keperluan. Anak-anak saya sendiri seolah-olah tidur di dalam bilik beku. Suhu yang diset pada skala 16 darjah celsius. Kemudian, mereka akan berselimut tebal.


Jika kesemua anak-anak di rumah, bil elektrik melonjak di antara 400 – 500 sebulan. Pastinya akibat pemasangan penyaman udara.


Kini umur saya 47 tahun. Ada perubahan besar apabila dikaitkan dengan kipas dan aircond. Saya sudah tidak sukakan aircond di pejabat. Aircond yang terus ke kepala menyebabkan tubuh saya lesu. Terasa mahu deman. Jadi kerapnya, saya tidak memetik suis aircond apabila sampai awal pagi di pejabat.


"Prof, saya buka aircond?," pembantu saya bertanya. Barangkali beliau fikir saya seorang yang pemalas membuat tugas-tugas rutin tersebut. "Emmm… OK," dan saya pastikan hanya satu sahaja yang dibuka. Itu pun yang berjauhan dengan meja kerja saya.


Jika solat di rumah, saya memerlukan kipas tetapi kelajuannya sangat minimum. Cukup dengan kelajuan 1. Saya lebih suka membuka tingkap dan membiarkan angin hutan memasuki ruang tamu kami. Ia nyaman apatah lagi ketika awal pagi.


Apa maksud yang ingin saya sampaikan?


Di dalam kipas dan aircond ada unsur-unsur kematian. Tubuh kita semakin lemah. Tuhan mengajar kita supaya mengingati soal kematian yang semakin hampir.


Ketika remaja, kipas kelajuan skala 5, kini memadai dengan kelajuan 1. Ia perubahan yang sangat besar. Selepas 1 pastinya menjadi 0. Bila 0, kita tidak memerlukan kipas lagi.


Begitu juga dengan aircond. Ia masih lagi wajib. Cuma, saya perlu kawal suhunya mengikut kemampuan tubuh badan sendiri. Saya tidak mampu menerima 16 darjah celcius seumpama Azrai dan Amirul.


Saya lega. Ramai orang menyangka itulah sebahagian daripada nikmat Allah yang sudah ditarik balik. Tidak. Sifat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang – sebenarnya – memberi nikmat untuk kita mengingati soal kematian.


Nikmat untuk bersiap ke alam yang kekal abadi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 22, 2011 14:05

June 21, 2011

Segalanya hampir

Orang kampung, rakan kepada kakak di Besut akan menemani anak remajanya ke Doha, Qatar. Anaknya terpilih mewakili Malaysia bagi memperdengarkan bacaan Al-Quran di sana.


"Mil ada kenalan di Qatar? Kawan saya ni tidak pernah keluar jauh-jauh. Beliau risau bila berada di sana," Kakak menjadi orang tengah bertanya. Barangkali memikirkan yang saya boleh membantu setelah dua kali ke Doha.


Lalu saya membuat panggilan ke Doha, "Aim, masih di Doha?". "Tidak, saya di Austria.. kenapa prof?"


Alamak.


Akhirnya Zaim memberi nombor kenalan yang lain di Doha. Saya bercerita dengan Khairil tentang kegelisahan orang kampung yang akan mendarat di Doha pada malam besok.


Dan dalam ria Khairil menyatakan, "prof bagi nombor telefon beliau, nanti saya uruskan di sini".


Tentu sekali orang kampung saya akan berasa selamat, lega dan selesa. Sekurang-kurangnya beliau akan kurang berdebar apabila mendarat di Doha. Beliau mempunyai seseorang yang boleh dihubungi ketika di sana.


Dan saya terhutang budi dengan rakan-rakan di Qatar yang sudi membantu. Begitulah, teknologi mendekatkan hubungan. Saya terasa sangat hampir.


Berbuat baik sesama manusia sangat menarik implikasinya. Tentu sekali ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Namun perasaan saya begitu.


Pertama, jika kita sering memberi makan atau bahasa mudah "belanja orang makan", bukan orang itu yang akan belanja kita balik. Orang yang lain pula yang kerap melakukan perkara yang sama kepada kita.


Bila kita memudahkan urusan orang, pada satu ketika yang lain, orang lain pula akan memudahkan urusan kita. Ia berlaku berulang-ulang hatta orang yang paling dibenci ramai masih boleh menyukakan hati kita.


Jika kita membantu anak orang, bukan ibu bapa anak tersebut yang membantu anak kita kembali. Ia suku sakat yang berbeza.


Begitulah kehairanan saya terhadap Khairil yang sudi membantu menguruskan "orang kampung" tersebut. Suara dan kata-katanya tidak menggambarkan sebarang kesusahan memberi bantuan. Ia terasa walaupun kami jauh beribu batu.


Akhirnya, itulah kebijaksanaan Allah mengatur dan memberi kasih-sayangNya kepada seluruh hamba yang melakukan sesuatu perkara dengan penuh rasa ikhlas.


Ahmad Amirul Imran


Beliau dilahirkan di Bangor, Wales pada 22hb Jun 1998. Berat kelahirannya 4 kg. Barangkali ia ada kaitan dengan pemakanan Roza semasa mengandung. Hampir setiap pagi – disekitar 1 pagi – saya pulang bekerja dari sebuah restoren Pizza membawa cheese pizza. Itulah yang dimakan Roza.


13 tahun berlalu. Amirul masih montel sebagaimana ia dilahirkan. Dia sangat berbangga dengan kelainan tempat kelahirannya. Namun Amirul lebih berbangga kerana bersiap untuk ke Madinah bersama saya dan Roza.


"Amirul doa hari-hari supaya Amirul dapat belajar di Madinah," terkeluar kata-kata tersebut.


Saya masih kelabu dengan persekolahan beliau di sana dan sebagaimana beliau nyatakan, saya juga berdoa supaya Allah memberi jalan terbaik untuk beliau dan Sofea.


Selamat Hari Lahir Amirul.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 21, 2011 11:43

June 20, 2011

Cuti

Istiqamah adalah proses penting beribadat. Lalu persoalan "bagaimana mahu istiqamah?" sering ditanya.


Tentu sekali saya senyum-senyum bila mereka yang berkelulusan universiti bertanya soalan tersebut. Menarik, bila lepasan PhD juga bertanya soalan yang sama.


Kenapa?


Saya fikir mereka sudah mempunyai jawapan terhadap soalan tersebut tetapi berpura-pura tidak tahu untuk memberi justifikasi kenapa mereka tidak boleh istiqamah terhadap sesuatu perkara.


Bagaimana kita boleh gosok gigi setiap pagi?


Bagaimana kita boleh makan tengahari setiap hari?


Bagaimana kita boleh "punch-card" atau e-jari sebelum jam 8.00 pagi setiap hari?


Kita istiqamah melakukan contoh-contoh di atas. Kenapa ia boleh dilakukan? Dan jawapan yang sama akan ada pada persoalan istiqamah yang dikemukakan.


Saya tidak fikir akan ada orang yang akan bertanya, "bagaimana aku mahu istiqamah solat lima waktu sehari semalam?" atau bertanya "bagaimana mahu istiqamah melaksanakan puasa di bulan ramadhan?".


Dalam kebanyakan kes, kita bertanya "bagaimana mahu istiqamah" apabila dikaitkan dengan puasa-puasa sunat, bangun malam, solat berjemaah di masjid dan amal-amal sunat yang lain.


Hakikatnya kita hanya bertanya soal istiqamah apabila dikaitkan dengan amal ibadat sunat kepada Allah.


Kenapa begitu? Jawapannya ada dalam setiap individu. Bagaimanapun, asas kepada apa sahaja amal-ibadat, proses kepada amal ibadat dan hasil akhirnya merupakan soal akidah, kebergantungan kepada Allah SWT.


Hakikatnya, manusia tersangat lemah. Pertama, mohonlah kepadaNya dengan sungguh-sungguh. Ambil contoh yang paling mudah, "ya Allah bangunkan saya pada jam 3.00 pagi, ya Allah Kaulah yang Maha Berkuasa. Aku ingin solat malam ya Allah".


Lalu kita kunci jam pada jam tersebut. Pengalaman saya, kita akan terjaga sedikit awal sebelum loceng jam berbunyi. Kenapa? Saya fikir – buat diri saya yang tersangat kerdil – Allah ingin tunjukkan yang bukannya loceng jam yang mengejutkan saya. Itu adalah kuasa, rahmat dan kasih-sayang Allah kepada hambaNya.


Soalnya, kita terkelip-kelip dan mengajak diri sendiri dengan kata-kata "10 minit lagi, 10 minit lagi, 10 minit lagi". Ia berakhir di situ!


Logiknya, di mana perlunya soalan "bagaimana mahu istiqamah?" kalau kita sendiri bertindak untuk tidak istiqamah.


Saya sering mendengar orang berkata, "sekarang saya sibuk menyiapkan tesis, nanti bila semuanya OK, saya akan ke masjid". Akhirnya, bila tesis siap sempurna, masjid masih jauh lagi.


Saya fikir, salah satu prinsip asas istiqamah yang perlu dipatuhi ialah "tiada cuti" dalam amal ibadat. Tentu sekali tidak molek untuk meletakkan Allah sebagai prioriti kedua dalam apa keadaan sekali pun. Hadis Qudsi ini sangat menarik untuk dibaca, diamati dan diresapi terus ke hati sanubari,


Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu!


Dalam konteks istiqamah, berapa lama agaknya semangat "umrah atau haji" boleh bertahan?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 20, 2011 14:30

June 19, 2011

PR

"Terima kasih mama kerana melahirkan Azrai, 20 tahun yang lalu," Roza tersenyum membaca SMS yang dihantar oleh anak keduanya.


Ayat yang mengandungi 10 patah perkataan tersebut meriakan hati seorang ibu. Benar, anak merupakan anugerah Allah yang dikurniakan melalui perhubungan suami-isteri. Amanah untuk mengandungkan bayi tersebut diserah pula kepada seorang wanita yang bakal bergelar ibu.


Ikatan hubungan anak-ibu pastinya tersangat erat. Seorang anak dikandung selama 9 bulan dengan hubungan langsung melalui tali pusat. Secara simbolik, hubungan melalui tali pusat ini menggambarkan ikatan tersebut. Bila lahir sahaja ke dunia, hubungan ini diputuskan melalui potongan tali pusat tersebut.


Namun hubungan emosi di antara keduanya sentiasa kekal. Perasaan ini akan terus menebal dengan PR yang baik di kalangan anak-anak dengan kedua ibu bapanya.


Dan jika mereka menjadi anak yang soleh atau solehah, hubungan ini akan terus kekal selamanya.


Papan tanda PERKIM


Ia sudah dibiayai. SMS beliau menyebut "rahsiakan nama saya!".


Begitulah, orang yang berlapang dada akan melihat sesuatu yang kelihatan kecil sebagai bernilai. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada "Tuan Haji" yang sudi membantu PERKIM Segamat.


Ceramah Perpisahan


Ceramah khas "Haji dan Umrah" akan diadakan pada Sabtu, 23hb Julai, 2011 di Surau Al-Furqan, Puncak Alam. Jam 8.00 hingga 12 tengahari. Ia bukan semata-mata soal umrah dan haji tetapi meliputi "kehidupan ringkas tetapi signifikan".


Pertanyaan: Tuan Halim, 0192298395


InsyaAllah, kita bertemu di sana.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 19, 2011 14:23

June 18, 2011

Jasamu dikenang

27 Julai, majlis Jasamu diKenang UiTM.


Ia majlis ingatan dan penghargaan UiTM kepada staf yang sudah berkhidmat 20, 25 tahun (rasanya) dan mereka yang akan bersara. Beberapa tahun yang lampau, sayalah yang menyediakan teks ucapan VC merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang akan dan sudah bersara pada tahun yang diraikan.


Kebiasaannya, pengerusi UiTM merupakan tetamu kehormat yang akan hadir ke majlis ini.


Kini, saya menerima jemputan untuk diraikan. Sebagai bakal pesara yang diraikan, saya menerima kemudahan pengangkutan rasmi perjalanan Segamat – Shah Alam – Segamat, penginapan twin-sharing di Intekma Resort, makan pagi dan makan tengahari.


Saya pasti – insyaAllah – kami akan menerima cenderamata persaraan ketika berlangsungnya majlis. Majlis ini pula dipenuhi dengan protokolnya yang tertentu. Lapor diri di sebelah pagi, berpakaian lengkap baju Melayu dan akan diatur untuk menaiki pentas menerima sijil dan cenderamata tersebut.


Merenung surat jemputan ini mengingatkan kata-kata yang pernah saya lafazkan. "Tidak mungkin saya meninggalkan UiTM sebelum waktu persaraan". Pada ketika yang berbeza, saya juga pernah ucapkan, "satu hari nanti abang hendak menginap di sini, Mekah atau Madinah. Nantilah..".


Ia kenyataan yang bertentangan.


Realiti kehidupan sangat mudah, kita menyebut sesuatu, merancang dan berusaha untuk mendapatkannya, akhirnya Allahlah yang akan menentukan segala-galanya.


Nun jauh di sudut hati, semakin hampir dengan tarikh untuk meninggalkan UiTM, rasa sayu dan sebak nyata tidak dapat dikawal. Ia tidaklah terlalu pelik kerana hampir 30 tahun (3/5 usia) dihabiskan di dalam perkarangan UiTM.


Saya tidak meninggalkan ramai "sahabat". Sahabat UiTM yang paling hampir akan ikut serta bersama saya. Sahabat inilah yang bersedia untuk menyosang turun ketika saya mendaki kerjaya di UiTM. Beliaulah sahabat sejati yang tidak mengira waktu "susah dan senang" menyokong perjalanan kehidupan saya.


Namun kenangan lain yang bakal ditinggalkan di UiTM tidak terkira banyak. Ketika UiTM menyatakan "jasamu dikenang", hakikat sebenar, UiTMlah yang berjasa kepada saya dan keluarga.


Semoga Allah merahmati UiTM dan seluruh ahli keluarganya.


Rumah PERKIM


Di sini juga ada kenangan manis


Hari ini operasi memotong daun-daun kering yang menghiasi laman rumah. Nanti, bila Ar-Raudhah diserahkan secara rasmi kepada PERKIM Segamat, biarlah ia dalam  keadaan subur, hijau, bersih dan kemas.


Kini, di waktu malam, Ar-Raudhah harum sekali. Setelah hampir dua tahun, bunga Kesidang, Melor dan Kenanga muncul. Bunganya sedikit tetapi memadai untuk merasai keharumannya. Apatah lagi ketika hampir waktu subuh.


Kami ingin meletakkan papan tanda "RUMAH PERKIM SEGAMAT, 2 Taman Murni 2, Jalan Murni 3, 85000 Segamat". Ada sesiapa yang mahu membiayai kosnya?.


Jangan tulis di sini, emel saya di mkamil@johor.uitm.edu.my. Ia sumbangan kecil untuk PERKIM Segamat.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 18, 2011 18:12

Keputusan

Hani, pelajar MACC saya SMS dengan nada yang tersangat gembira mengucapkan terima kasih kerana memperolehi A untuk tesisnya. Syarifah, pelajar EMBA juga menulis perkara yang sama. Syed Ismail, pelajar sarjana muda juga menyatakan "thank you".


Ketiga-tiga mereka mempunyai ciri yang sama, mendapat A dalam peperiksaan yang mana saya merupakan guru mereka. Saya menunggu-nunggu mereka yang mendapat B atau B+ membuat panggilan atau SMS dan menyatakan "saya mendapat B dan terima kasih prof".


Ia bukan soal berterima kasih kepada saya tetapi lebih kepada gambaran "rasa syukur" dengan apa yang dianugerah Allah. A, B atau C bukanlah soal utama (nota: ia hanya penting sebelum keputusan dikeluarkan) tetapi bagaimana kita menerima sesuatu keputusan dan mengaitkan ia dengan nikmat Allah.


Seorang pelajar yang lain membuat panggilan, "prof, saya hanya dapat A-". Saya tidak dapat membiarkan beliau meneruskan kata-katanya dan terus berkata, "kenapa tidak menyebut, alhamdulillah, saya dapat A-".


Sara pula membuat panggilan, "ayah keputusan sudah keluar. GPA 3.53″. Saya tahu beliau gembira dengan keputusan tersebut. Mamanya berpesan supaya bersyukur dan solat sunat menyambut kegembiraan tersebut.


KLUANG


Pagi-pagi lagi saya dan Roza bertolak ke Kluang. Saya berceramah di Pejabat Pendidikan Agama Kluang. Khalayaknya guru-guru di tiga buah sekolah agama daerah tersebut.


Kluang terkenal dengan kopi railwaynya. Akhirnya terbocor rahsia yang ia mengandungi bahan berasal dari babi. Dulu-dulu, saya salah seorang yang pernah merasai kopi tersebut, Pergh….!!!


Dulu juga saya tidak kisahkan tempat makan minum. Kini saya sangat memilih. Kalau ada tanda halal "southeast asia" pun saya tidak masuk. Jika ada restoren yang nampak "Islam" tetapi hati nurani "geli geliman", saya terus keluar.


Saya mengikut rasa hati. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk untuk menjaga makan minum supaya tidak sampai menjadi darah daging .

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 18, 2011 01:14

June 16, 2011

Bantuan

Ketika menyampaikan kuliah maghrib bulanan di Masjid Bukit Siput bibir saya spontan bertanya, "sepanjang usia kita, berapa kali agaknya kita melakukan sujud syukur? Jika umur kita 70 tahun, ada 70x? Jika usia kita 60 tahun, ada 60x?"


Saya perlu akui, sehingga umur saya 40 tahun, saya tidak pernah melaksanakan sujud syukur. Malah tidak tahu pun istilah dan kaedah untuk sujud syukur.


Memang ramai yang bersyukur dengan menyebut-nyebut "alhamdulillah" selepas solat lima waktu. Ramai juga yang menyebutnya spontan selepas berasa gembira dengan sesuatu khabar.


Namun sujud syukur ini lebih spesifik dilakukan apabila terselamat daripada sesuatu musibah atau mendapat sesuatu nikmat daripada Allah SWT.


Menurut Imam Shafie kaedahnya seperti berikut: (a) Berniat (b) Takbiratul Ihram (c) Sujud satu kali sahaja (d) Duduk selepas sujud dan (e) Memberi salam. Ketika sujud bacalah bacaan ketika sujud pada ketika solat dan berdoalah. Namun pandangan imam-imam lain sedikit berbeza.


Nikmat Allah terlalu banyak. Semalam, saya mendapat khabar yang JPA telah meluluskan permohonan bersara awal. Alhamdulillah, Allah permudahkan. 


Kesannya besar.


Maka bermula 1hb September 2011, saya akan digelar pesara. Pada tarikh tersebut – saya jangka – akan menerima wang pampasan persaraan, wang hadiah cuti rehat dan beberapa kemudahan lain sebagai seorang pesara. Ketika umur saya 50 tahun, saya akan mendapat bayaran pencen bulanan.


Kedua, saya berhubung dengan PTS agar urusan pembayaran royalti – saya dan Roza – disegerakan sebelum berhijrah. Juga dipermudahkan. Kemudian, ada pula sahabat yang mahu membeli rumah saya di kondo kemuncak dan terus membayar deposit.


Hakikatnya, saya mahu meninggalkan Malaysia dalam keadaan kesemua hutang-hutang saya dilunaskan. Saya mahu hidup di Madinah tanpa hutang. Kami mahu membebaskan diri daripada beban ini. Kami mahu aman damai di sana. Dan hijrah ini memungkinkan ia berlaku.


Mengurus hijrah bukan semata-mata "meninggalkan Malaysia dan menetap di Madinah". Hijrah menyebabkan kita semakin hampir denganNya.


Paling penting, saya boleh mendarat di Madinah dalam keadaan yang lebih selesa dengan selesainya pelbagai urusan di Malaysia. Tidak wajar jika saya tidak melaksanakan sujud syukur setiap hari dengan segala bantuan yang diberiNya.


Allahu Akhbar!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 16, 2011 14:26

June 15, 2011

Gerhana bulan

Sebahagian daripada siswi. Mereka berada sejak jam 3.30 pagi


Hampir (nota: saya tidak berani untuk menyata300 siswa-siswi UiTM kampus Segamat berkumpul di Masjid As-Syakirin untuk solat sunat gerhana bulan. Ramai yang tidur di masjid. Itulah keseronokan berada di dalam kampus.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 15, 2011 15:25

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.