Jasamu dikenang
27 Julai, majlis Jasamu diKenang UiTM.
Ia majlis ingatan dan penghargaan UiTM kepada staf yang sudah berkhidmat 20, 25 tahun (rasanya) dan mereka yang akan bersara. Beberapa tahun yang lampau, sayalah yang menyediakan teks ucapan VC merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang akan dan sudah bersara pada tahun yang diraikan.
Kebiasaannya, pengerusi UiTM merupakan tetamu kehormat yang akan hadir ke majlis ini.
Kini, saya menerima jemputan untuk diraikan. Sebagai bakal pesara yang diraikan, saya menerima kemudahan pengangkutan rasmi perjalanan Segamat – Shah Alam – Segamat, penginapan twin-sharing di Intekma Resort, makan pagi dan makan tengahari.
Saya pasti – insyaAllah – kami akan menerima cenderamata persaraan ketika berlangsungnya majlis. Majlis ini pula dipenuhi dengan protokolnya yang tertentu. Lapor diri di sebelah pagi, berpakaian lengkap baju Melayu dan akan diatur untuk menaiki pentas menerima sijil dan cenderamata tersebut.
Merenung surat jemputan ini mengingatkan kata-kata yang pernah saya lafazkan. "Tidak mungkin saya meninggalkan UiTM sebelum waktu persaraan". Pada ketika yang berbeza, saya juga pernah ucapkan, "satu hari nanti abang hendak menginap di sini, Mekah atau Madinah. Nantilah..".
Ia kenyataan yang bertentangan.
Realiti kehidupan sangat mudah, kita menyebut sesuatu, merancang dan berusaha untuk mendapatkannya, akhirnya Allahlah yang akan menentukan segala-galanya.
Nun jauh di sudut hati, semakin hampir dengan tarikh untuk meninggalkan UiTM, rasa sayu dan sebak nyata tidak dapat dikawal. Ia tidaklah terlalu pelik kerana hampir 30 tahun (3/5 usia) dihabiskan di dalam perkarangan UiTM.
Saya tidak meninggalkan ramai "sahabat". Sahabat UiTM yang paling hampir akan ikut serta bersama saya. Sahabat inilah yang bersedia untuk menyosang turun ketika saya mendaki kerjaya di UiTM. Beliaulah sahabat sejati yang tidak mengira waktu "susah dan senang" menyokong perjalanan kehidupan saya.
Namun kenangan lain yang bakal ditinggalkan di UiTM tidak terkira banyak. Ketika UiTM menyatakan "jasamu dikenang", hakikat sebenar, UiTMlah yang berjasa kepada saya dan keluarga.
Semoga Allah merahmati UiTM dan seluruh ahli keluarganya.
Rumah PERKIM

Di sini juga ada kenangan manis
Hari ini operasi memotong daun-daun kering yang menghiasi laman rumah. Nanti, bila Ar-Raudhah diserahkan secara rasmi kepada PERKIM Segamat, biarlah ia dalam keadaan subur, hijau, bersih dan kemas.
Kini, di waktu malam, Ar-Raudhah harum sekali. Setelah hampir dua tahun, bunga Kesidang, Melor dan Kenanga muncul. Bunganya sedikit tetapi memadai untuk merasai keharumannya. Apatah lagi ketika hampir waktu subuh.
Kami ingin meletakkan papan tanda "RUMAH PERKIM SEGAMAT, 2 Taman Murni 2, Jalan Murni 3, 85000 Segamat". Ada sesiapa yang mahu membiayai kosnya?.
Jangan tulis di sini, emel saya di mkamil@johor.uitm.edu.my. Ia sumbangan kecil untuk PERKIM Segamat.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
