Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 59

June 3, 2011

Selamat pengantin baru

Hari ini, cucu Wan dan Ayah serta anak saudara saya yang pertama akan diakad nikah di Cheras. Besok, majlis kenduri akan dilangsungkan di sebelah pihak pengantin perempuan.


Kalau mengikut usia, selepas Mat Ikram, maka Saralah [nota: anak pertama kami] yang akan menyusul. Mat Ikram cucu pertama, Sara pula cucu kedua dan cucu perempuan pertama. Sayang, Ayah dan Wan tidak sempat untuk menyaksikan majlis ini, apatah lagi untuk melihat "cicit-cicit" dilahirkan.


Mat Ikram, anak kakak yang tua. Cucu, anak dan anak saudara pertama ini pastinya mendapat layanan istimewa di kalangan ahli keluarga. Malah ia akan kekal begitu. Mat adalah kebanggaan keluarga.


Beliau adalah seorang anak muda yang berjaya. Melanjutkan pelajaran di Australia dalam bidang kejuruteraan dan terus kekal menetap di sana apabila menamatkan pengajiannya.


"Nantilah, Mat akan balik ke Malaysia," pernah beliau memberitahu saya. Saya pula sangat-sangat menggalakkan beliau menimba pengalaman di negara luar.


 "Kalau boleh kahwin dengan orang putih, Mat" .


Tidak. Jodohnya dengan orang Melayu, menetap di Lembah Kelang.  


Mak Mertua


Di utara - Nadiyah – rakan MRSM juga akan menerima menantu pada hari ini. Mak mertua hari ini sangat-sangat berbeza dengan mereka yang terdahulu. Mak Mertua sekarang masih sibuk berfacebook walaupun dalam keadaan sibuk-sibuk menguruskan majlis perkahwinan.


Agaknya cara dan kaedah berkomunikasi dengan anak-menantu juga akan berubah. Kita berada dalam window yang berbeza. Ia mungkin lebih ringkas, mudah tetapi tidak semestinya lebih baik.


Tahniah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 03, 2011 16:15

June 2, 2011

Ipoh dan Wang Saku

Saya tidak pernah dijemput untuk menyampaikan kuliah di sekitar Ipoh.


Akhirnya, saya telah diundang oleh saudara Mohd Abas yang tinggal di Arab Saudi untuk memberi kuliah Maghrib di Surau Al Muhajirin, Taman Lapangan SSI, Ipoh. InsyaAllah saya dan Roza akan hadir pada hari Sabtu (besok), 4hb Jun 2011.


Jika ada yang berkelapangan dan mahu hadir, silalah hubungi saudara Abas di talian 0199858533. Saya doakan Abas selamat sampai ke Ipoh mengikut jadual.


Wang saku


Saya tinggal di asrama seawal usia 12 tahun. Ia bermula dengan MRSM Kota Bharu. Kehidupan di MRSM mengajar kami supaya berdikari. Keluarga saya pula bukannya daripada golongan yang berwang.


Ayah guru lepasan darjah lima tetapi mempunyai tanggungan yang ramai. Lalu wang saku yang diberi hanyalah RM10/sebulan. Saya tidak tahu sama ada ia jumlah yang besar atau tidak tetapi memadai untuk saya membeli Maggi dan Coke berselang setiap 3 hari.


Dan saya tidak pula bersungut.


Wang saku ini menerima kenaikan. RM20 dan kemudian RM30 sehinggalah saya menamatkan pengajian pada 1980. Di UiTM – sebelum menerima biasiswa – saya menerima RM200/sebulan. RM60 untuk membayar sewa bilik dan RM40 untuk urusan pengangkutan, photostat dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan keperluan akademik.


Maka yang tinggal untuk makan dan minum hanyalah RM100/sebulan.


Dicongak kiri dan kanan, agak mustahil untuk menikmati 3X makanan biasa-biasa, sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Apatah lagi jika mahu berangan minum pagi atau petang.


RM3/sehari, maka makan pagi dan tengahari disekalikan di sekitar jam 3.00 petang. Nasi bertimbun dengan lauk seekor ikan goreng yang garing tanpa sayur dan kuah. Sesekali hanya mencukupi nasi dan telur mata kerbau. Air kosong!


Kicap manislah menjadi penyedap yang utama.


Di sebelah malam, hidangan rutin ialah dua keping roti canai dan air suam.


Suasana menjadi sangat mewah apabila saya dianugerahkan biasiswa "tenaga pengajar muda". Biasiswa bersekali dengan elaun tutor mencecah RM1000/sebulan.


Rumah sewa kami dilengkapi empat keperluan asas utama, dapur, peti sejuk, mesin basuh dan TV. Rakan-rakan juga dapat merasai nikmat yang dianugerah Allah. Pastinya mereka tidak akan berlapar jika rajin memasak terutamanya jika mahu makan nasi dan sekurang-kurangnya berlaukkan telur atau ikan goreng.


Pagi ini, saya terkenangkan masa lampau yang dipenuhi dengan pelbagai ujian dan cabaran. Pada ketika itu, tidak pula saya bersungguh-sungguh berdoa, bersolat dan melafazkan rasa syukur di atas kecukupan yang Allah berikan. Tidak pernah ada istilah "solat malam" dan sebagainya.


Namun Allah tetap dengan sifat Maha Pengasih dan Maha PenyayangNya. Saya berjaya menjawat jawatan Profesor, mempunyai keluarga dan pelbagai nikmat lain yang tidak sepadan dengan amal-ibadat yang dilakukan.


Cukuplah…. saya tidak mahu membiarkan segala nikmatnya berlalu begitu sahaja. Saya fikir, biarlah masa yang tersisa ini digunakan sepenuhnya untuk merenung di atas segala nikmat yang dianugerah Allah dan benar-benar bersyukur dan berterima kasih.


Hanya satu cara yang disarankan, "menyembah dan beramal ibadat kepadaNya". Lakukan ia "semata-mata kerana Mu ya Allah, semata-mata kerana Mu, semata-mata kerana Mu ya Allah".

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 02, 2011 14:15

June 1, 2011

Nasib baik

Tiada istilah nasib baik atau mujur buat mereka yang mempercayai kewujudan Allah SWT. Begitulah kepercayaan saya.


Setiap kejadian adalah di dalam pengetahuan dan kekuasaan Allah. Namun kata-kata seperti, "mujur aku kenal dia, nasib baik aku tidak ikut dia, kalau tidak aku pun akan mati sama" sering terlepas.


Ia lumrah betapa manusia tidak mengaitkan bagaimana Allah atas sifat "maha pengasih dan maha penyayangNya" memberikan rahmat kepada hamba-hambaNya.


Kalaulah mujur atau nasib baik diganti dengan sebutan "alhamdulillah" atau sekurang-kurangnya "syukur ya Allah kerana memperkenalkan aku dengannya atau alhamdulillah kerana tidak mengizinkan aku turut bersamanya," maka ia mengubah seluruh persepsi dan realiti kejadian dengan kebesaran Allah SWT.


Proses bersara awal saya berada di tangan JPA.


Dan ia bukan "mujur atau nasib baik" saya dijemput oleh pengurusan tertinggi JPA untuk menyampaikan Luncheon Talk semalam. Kesemua ketua-ketua jabatan JPA hadir di dalam majlis ini.


"Tuan-tuan, saya tidak kenal sesiapa di sini. Setiap malam saya memohon kepada Allah agar pegawai JPA yang menjaga proses bersara awal dilembutkan hati untuk mengasihani permohonan saya dan membantu untuk mempercepatkannya. Ya Allah, Dia temukan saya dengan tuan-tuan di sini".


Ia juga bukanlah "mujur dan nasib baik" kerana dapat menyelesaikan beberapa urusan lain yang melibatkan Putra Jaya dengan jemputan pengurusan JPA ini. Saya, Roza dan Amirul telah mempunyai sijil Berkelakuan Baik yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, salah satu syarat permohonan visa ke Arab Saudi.


Semalam juga saya telah dapat berjaya membuat pengesahan sijil PhD di Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Luar Negeri sebelum ia disahkan oleh Kedutaan British.


Ia tidak "mujur dan nasib baik" kerana tidak perlu beratur atau menunggu lama di Kementerian Pengajian Tinggi kerana kedatangan saya ketika mereka bersiap-siap untuk berpindah ke bangunan baru. Allah gerakkan hati mereka untuk tidak berkata, "datang semula, kami sibuk berpindah".


Natijahnya, jika kita mengaitkan setiap kejadian "baik dan buruk di sisi manusia" dengan kebesaran dan kehebatan Allah, maka akhirnya kita akan sujud syukur, melafazkan rasa kegembiraan dan keredhaan kepada Dia yang Maha Berkuasa.


Sekecil mana pun kejadian, ia akan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita termasuk di dalam golongan yang sentiasa bersyukur.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 01, 2011 14:35

May 31, 2011

100

100 naskah lagi buku 50 tips Motivasi Haji diedarkan secara percuma. Kali ini kepada jemaah Masjid Bukit Siput, Segamat. Inilah pelancaran kali ke3  buku yang sama dalam tempoh sebulan yang lepas.


Saya umumkan kepada mereka,


"Tuan-tuan dan puan-puan, buku ini percuma. Hanya satu bagi setiap keluarga, Ia bukan dari saya. Ada seorang hamba Allah, entah di mana tempat tinggal beliau, membeli buku ini dan berkata, prof bagilah kepada sesiapa sahaja yang prof ingin hadiahkan.


Tuan-tuan, doakan beliau dirahmati Allah, dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik".


Begitulah, ramai orang ingin melakukan kebaikan. Dan kebaikan ini pula datangnya melalui pelbagai cara.


Ada orang bertanya saya, "prof saya hanya membayar pos biasa tetapi prof hantar melalui pos laju, adakah saya perlu membayar pembezaan harga?"


Saya biarkan soalan itu berlalu begitu sahaja.


Kebanyakan yang hilang bungkusan buku yang dibeli adalah mereka yang menempah secara pos biasa. Akhirnya, ia kembali menjadi tanggungjawab saya apabila ada yang memberitahu, "prof buku yang saya pesan belum sampai…".


Maka sebab itulah penghantaran kali kedua akan menggunakan pos laju supaya ia benar-benar sampai kepada mereka yang telah membayar harga buku tersebut.


Saya malas pening kepala.


Hakikatnya, saya tidak pernah menanggung perbezaan kos akibat penghantaran melalui pos laju. Di sana-sini sentiasa ada manusia yang mahu melakukan kebaikan dengan membiayainya.


Caranya? Biar ia menjadi rahsia saya. Cuma doakan mereka supaya sentiasa diberi rezeki yang halal dan dirahmati Allah sentiasa.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 31, 2011 11:14

May 30, 2011

Tan Sri PTU

Tan Sri PTU berasal dari Besut, Terengganu


Tan Sri Dato Sri Panglima Tentera Udara (PTU) sendiri turun bersama-sama anak buahnya mendengar saya berceramah di markas TUDM KL.


Beliau sendiri yang memperkenalkan saya. Kemudian, ada pegawai beliau yang bertanya, "sudah berapa lama prof mengenali PTU?"


"Inilah kali pertama saya berjumpa dengan beliau. Namanya saya tahu kerana dijemput hadir ke sini. Barangkali Tan Sri pembaca buku saya".


Akhirnya pertanyaan tersebut berjawab apabila Tan Sri berkata,


"inilah kali pertama saya berjumpa dengan prof Kamil. Namun saya rasa sudah lama berkenalan dengan beliau.


Bila saya mahu menunaikan fardhu haji, ada orang mencampakkan buku beliau kepada saya dengan berkata, baca buku ini semuanya ada di sini. Mustahil.


Saya sudah baca banyak buku haji, takkanlah ia terkandung dalam satu buku sahaja. 


Akhirnya, saya menghabiskan bacaan dalam tiga kali bacaan sahaja. Saya mahu tuan-tuan dan puan-puan mendengar apa yang ingin disampaikan oleh prof!"


Saya teruja. Bukan senang bos tertinggi mahu ikut serta dalam program seumpama ini. Ia memberi impak besar kepada anak-anak buah yang hadir.


Ia sangat penting kepada organisasi. Dan saya fikir Tan Sri PTU sangat-sangat merendah diri. Beliau melayani saya dengan penuh adat-istiadat tentera.


Semoga Allah merahmati hidup beliau, puan sri dan setiap anggota TUDM.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 30, 2011 19:35

Gila?

Tan Sri Dato Sri Panglima Tentera Udara (PTU) sendiri turun bersama-sama anak buahnya mendengar saya berceramah di markas TUDM KL.


Beliau sendiri yang memperkenalkan saya. Ada pegawai beliau yang bertanya saya, "sudah berapa lama prof mengenali PTU?"


"Inilah kali pertama saya berjumpa dengan beliau. Namanya saya tahu kerana dijemput hadir ke sini. Barangkali Tan Sri pembaca buku saya".


Akhirnya pertanyaan tersebut berjawab apabila Tan Sri berkata,


"inilah kali pertama saya berjumpa dengan prof Kamil. Namun saya rasa sudah lama berkenalan dengan beliau.


Bila saya mahu menunaikan fardhu haji, ada orang mencampakkan buku beliau kepada saya dengan berkata, baca buku ini semuanya ada di sini. Mustahil.


Saya sudah baca banyak buku haji, takkanlah ia terkandung dalam satu buku sahaja. 


Akhirnya, saya menghabiskan bacaan dalam tiga kali bacaan sahaja. Saya mahu tuan-tuan dan puan-puan mendengar apa yang ingin disampaikan oleh prof!"


Saya teruja. Bukan senang bos tertinggi mahu ikut serta dalam program seumpama ini. Ia memberi impak besar kepada anak-anak buah yang hadir.


Ia sangat penting kepada organisasi. Dan saya fikir Tan Sri PTU sangat-sangat merendah diri. Beliau melayani saya dengan penuh adat-istiadat tentera.


Semoga Allah merahmati hidup beliau, puan sri dan setiap anggota TUDM.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 30, 2011 19:35

May 29, 2011

Godaan


"Macam hendak pergi majlis kahwin"


Ia satu kenyataan yang mengaitkan cara masyarakat Melayu melaram yang kelihatan sangat berbeza berbanding dengan hari-hari biasa. Godaan untuk kelihatan anggun, bergaya dan menarik perhatian orang lain nyata sukar dielakkan.


Malam tadi saya menghadiri majlis kahwin. Maka tidak hairanlah kalau majoriti yang pergi bergaya cara majlis kahwin. Ia memang majlis kahwin!


Namun ada sesuatu yang menyebabkan saya berfikir sejenak. Khalayak yang bertudung (nota: ia berbeza dengan menutup aurat) dan tidak bertudung kelihatan terbahagi dua. Ia bukan sesuatu yang ganjil.


Maksud saya begini, di UiTM misalnya, para pelajar yang tidak bertudung merupakan golongan minoriti. Ia agak ganjil untuk melihat yang tidak bertudung di dalam kelas. Sekurang-kurangnya dari sudut bilangan.


Di pejabat juga begitu. Rata-rata staf wanita memakai tudung terutamanya di jabatan kerajaan.


Suri rumah tangga juga kebanyakannya bertudung apabila keluar rumah pada hari-hari biasa. Sekurang-kurangnya skaf menutup kepala.


Tiba-tiba – malam tadi – bilangan yang tidak bertudung kelihatan begitu ramai sekali. Agaknya mereka yang bertudung di pejabat, membuka tudung mereka untuk majlis perkahwinan ini.


Mungkin juga ada siswi yang sedang menuntut di universiti juga membuka tudung mereka seumpama kita tidak kisah dengan anak-anak yang bertudung ke sekolah dan membenarkan mereka tanpa tudung apabila shopping di Giant.


Alahai… majlis kahwin, ia bukan selalu!


Bahasa mudah untuk godaan adalah ujian. Kehidupan adalah ujian Allah. Majlis kahwin juga sebahagian daripada kisah kehidupan. Ia ujian yang kelihatan tidak mengapa untuk diabaikan.


Ia tidak apa-apa bila ramai tidak mengapa. Tidak apa di sisi manusia.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 29, 2011 14:22

May 28, 2011

Perkahwinan

Tiga hari di Shah Alam.


Pertama, kami meraikan perkahwinan Bukhari dan Atiqah di Kuala Kubu Baru. Bukhari adalah rakan sekumpulan UiTM Dungun. Mereka berdua adalah junior saya. Saya dan Bukhari pula berkawan ketika saya berkhidmat sebagai pengarah kampus dan beliau pula sebagai pengurus Bank Rakyat. Segamat terlalu kecil untuk tidak mengenali di antara satu sama lain.


Namun beliau mempunyai ingatan yang jelas terhadap saya. Kata beliau, "abang senior yang paling sukar untuk mendapatkan tandatangan". Beliau merujuk kepada minggu orientasi di mana semua pelajar baru perlu berjumpa dan berkenalan dengan kesemua pembantu minggu silaturrahim.


Ia kisah lampau. Dulu, hidup saya bermula jam 11 pagi. Saya dikenali sebagai abang biasiswa. Kesemua pelajar baru beratur panjang untuk mem0hon biasiswa sambil ditemuduga oleh saya. Jika pelajar siswi, temuduganya agak panjang. Jika siswa saya percepatkan soalan-soalannya.


Bukhari adalah di antara yang beratur panjang. Saya ketawa besar apabila dikenangkan peristiwa tersebut. Ia satu jenaka yang membawa saya dan Roza bertemu dan kekal sehingga ke hari ini.


"Anak-anak bagaimana?," saya bertanya.


"Semua ada kecuali yang tua"


"Dia belum boleh menerima, insyaAllah akan sampai masanya".


Dalam perjalanan pulang saya mengusik Roza, "jika awak meninggal dulu, saya ingat sukar untuk saya berkahwin lagi".


"Alah… lelaki tidak begitu… paling lama dua tahun… alasannya menjaga makan minum"


Ameen.


Tahniah Bob dan Atiqah semoga kekal bahagia!


Kedua, saya mahu menghadiri perkahwinan anak sahabat – Tuan Haji Nawi – yang akan berlangsung pada malam ini di Hotel De Palma, Shah Alam. Jodoh pertemuan di tangan Allah. Namun saya sering berdoa supaya Sara ditemukan jodohnya seawal mungkin.


Semalam saya bertanya beliau, "berapa umur Sara?"


""21″


"Mama kahwin ketika usianya 22 tahun. Kalau ada 0rang meminang Sara, OK tak?"


Sara senyum sahaja.


"Sara ada boyfriend?"


"Tak ada"


Saya sering menasihati pelajar-pelajar saya supaya sentiasa berdoa agar dipertemukan jodoh dengan orang yang baik-baik, soleh dan solehah. Ia perlu sentiasa dipohon.


Ketiga, saya diundang oleh TUDM untuk menyampaikan syarahan pada hari Isnin ini. Ia atas permintaan Panglima Tentera Udara sendiri. Jika Tan Sri PTU yang turun ke dewan kuliah, maka secara semulajadi bos-bos yang lain juga akan hadir sama. Saya harap begitu.


Di sebelah petang, saya akan berjumpa dengan anak-anak remaja mereka dalam satu sesi khusus. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segalanya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 28, 2011 14:08

May 27, 2011

Pertemuan terakhir?

Kenangan bersama Ros dan Ariff


Kami tidak sempat bergambar semasa majlis konvokesyen yang baru berlalu. Semalam, mereka berkunjung ke UiTM Segamat membawa bersama jubah PhD mereka.


"Prof, Ros sedih sebab beliau tiada gambar dengan supervisor," mengadu Ariff.


Memang, saya tidak sempat bergambar dengan mereka kerana terpaksa bergegas pulang ke Segamat. Mereka pula sibuk bergambar dengan SPB Dipertuan Agong. Kemudian, mereka ditemuramah oleh Utusan Malaysia kerana dilihat agak istimewa. Sepasang suami-isteri bergelar Dr.


Hanya Ros pelajar seliaan saya. Ariff pula diselia oleh penyelia yang lain. Namun kedua-duanya seolah-olah pelajar seliaan saya terutamanya dalam konteks mempelajari kisah-kisah kehidupan.


Hampir setiap kali pertemuan, saya cuba menyampaikan kepentingan bersikap merendah diri, sudi membantu orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri. Janganlah kerana kita bergelar Dr, kita sanggup memandang rendah kepada yang lain. "Tidak hilang kelulusan PhD hanya kerana orang tidak memanggil kita Dr".


"Bangun solat malam dan mintalah pada Allah. Janji Dia begitu. InsyaAllah, kejayaan PhD yang lebih besar ialah apabila kita berjaya hampir denganNya"


Ros dan Ariff akan berhijrah. Beliau akan meninggalkan Malaysia dan akan memulakan tugasnya di salah sebuah universiti di UAE beberapa hari – insyaAllah – selepas saya melaporkan diri di Universiti Taibah.


Semalam mereka menunjukkan tawaran universiti. Sukanya hati saya melihat tawaran gaji yang jauh lebih tinggi daripada profesor mereka. Kata saya, "Nanti bila saya berkunjung ke UAE, you kena membiayai pembelanjaan saya dan kak Roza. Saya profesor yang miskin berbanding dengan anak muridnya, he…. hee".


Saya benar-benar gembira dengna kejayaan mereka. Moga-moga ia bukan pertemuan yang terakhir.


Pening


Pengumuman hijrah kami ke Madinah membawa kesan yang sangat besar kepada pelajar seliaan PhD yang lain.


Tiba-tiba sahaja Halim, Radziah, Shatari dan Arun menghantar tesis mereka. Mereka bersedia untuk di VIVAkan. Hijrah saya membina sifat "segera" di dalam tubuh dan minda mereka. Masa bekerja berganda.


Saya pula yang pening kepala memikirkan 12 calon pemeriksa dalam dan luar serentak. Namun saya sangat gembira dan teruja untuk menerima 6 anak murid bergelar Dr sebelum berlepas pergi!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 27, 2011 17:04

May 26, 2011

Sebak

Bersiap untuk mendengar kuliah


Ashraf menulis satu perkataan "sebak" di ruangan komen.


Saya juga begitu.


4.15 pagi, saya sudah meninggalkan Ar-Raudhah menuju ke masjid As-Syakirin, salah dua masjid kesayangan di Malaysia. Sepanjang perjalanan, saya merenung kembali tempoh perkhidmatan di UiTM Johor. Dua tahun sebagai pengarah dan 1 3/4 tahun sebagai profesor perakaunan.


Sebak mengingati saat-saat mahu menjadikan As-Syakirin sebagai pusat solat berjemaah, lima waktu sehari semalam. Saya terkenang betapa "solat berjemaah" merupakan tema utama tutur kata sepanjang tempoh tersebut. Kemudian, mengajak warga kampus untuk bangun solat malam yang saya fikir menjadi kunci kekuatan dalaman.


Hujah saya mudah, kita perlu mengajak tetapi taufik dan hidayah adalah milik Allah. Mereka yang bangun malam mengadap Allah ibarat pohon yang merimbuni kawasan sekitarnya. Jika ada 10 pohon, maka rimbunannya semakin melebar. Jika ada 100 pohon, memadailah untuk merimbuni UiTM Johor.


Pagi ini, saya mengulangi tema yang sama kepada 1300 pelajar baru UiTM Segamat. Ia disampaikan melalui "cerita-cerita" yang telah saya lalui. Doa saya ketika turun rumah, "ya Allah, kau jadikanlah khalayak ku tekun mendengar, dapat merasai kebesaran dan kasih-sayang Mu, jadikan mereka manusia yang hampir dengan Mu".


Itulah kuliah subuh terakhir sebelum mereka berdikari. Tiada lagi kejutan dan paksaan untuk mereka. Tiada abang-abang atau kakak-kakak yang merengus marah kerana lambat bersiap.


Hakikatnya, mereka perlu sentiasa diingatkan. Saya "sebak" kerana mungkin tidak lagi menjadi sebahagian daripada yang dapat "mengingati" mereka secara berdepan.


Saya doakan mereka berjaya di dunia dan akhirat.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 26, 2011 16:42

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.