Ipoh dan Wang Saku
Saya tidak pernah dijemput untuk menyampaikan kuliah di sekitar Ipoh.
Akhirnya, saya telah diundang oleh saudara Mohd Abas yang tinggal di Arab Saudi untuk memberi kuliah Maghrib di Surau Al Muhajirin, Taman Lapangan SSI, Ipoh. InsyaAllah saya dan Roza akan hadir pada hari Sabtu (besok), 4hb Jun 2011.
Jika ada yang berkelapangan dan mahu hadir, silalah hubungi saudara Abas di talian 0199858533. Saya doakan Abas selamat sampai ke Ipoh mengikut jadual.
Wang saku
Saya tinggal di asrama seawal usia 12 tahun. Ia bermula dengan MRSM Kota Bharu. Kehidupan di MRSM mengajar kami supaya berdikari. Keluarga saya pula bukannya daripada golongan yang berwang.
Ayah guru lepasan darjah lima tetapi mempunyai tanggungan yang ramai. Lalu wang saku yang diberi hanyalah RM10/sebulan. Saya tidak tahu sama ada ia jumlah yang besar atau tidak tetapi memadai untuk saya membeli Maggi dan Coke berselang setiap 3 hari.
Dan saya tidak pula bersungut.
Wang saku ini menerima kenaikan. RM20 dan kemudian RM30 sehinggalah saya menamatkan pengajian pada 1980. Di UiTM – sebelum menerima biasiswa – saya menerima RM200/sebulan. RM60 untuk membayar sewa bilik dan RM40 untuk urusan pengangkutan, photostat dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan keperluan akademik.
Maka yang tinggal untuk makan dan minum hanyalah RM100/sebulan.
Dicongak kiri dan kanan, agak mustahil untuk menikmati 3X makanan biasa-biasa, sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Apatah lagi jika mahu berangan minum pagi atau petang.
RM3/sehari, maka makan pagi dan tengahari disekalikan di sekitar jam 3.00 petang. Nasi bertimbun dengan lauk seekor ikan goreng yang garing tanpa sayur dan kuah. Sesekali hanya mencukupi nasi dan telur mata kerbau. Air kosong!
Kicap manislah menjadi penyedap yang utama.
Di sebelah malam, hidangan rutin ialah dua keping roti canai dan air suam.
Suasana menjadi sangat mewah apabila saya dianugerahkan biasiswa "tenaga pengajar muda". Biasiswa bersekali dengan elaun tutor mencecah RM1000/sebulan.
Rumah sewa kami dilengkapi empat keperluan asas utama, dapur, peti sejuk, mesin basuh dan TV. Rakan-rakan juga dapat merasai nikmat yang dianugerah Allah. Pastinya mereka tidak akan berlapar jika rajin memasak terutamanya jika mahu makan nasi dan sekurang-kurangnya berlaukkan telur atau ikan goreng.
Pagi ini, saya terkenangkan masa lampau yang dipenuhi dengan pelbagai ujian dan cabaran. Pada ketika itu, tidak pula saya bersungguh-sungguh berdoa, bersolat dan melafazkan rasa syukur di atas kecukupan yang Allah berikan. Tidak pernah ada istilah "solat malam" dan sebagainya.
Namun Allah tetap dengan sifat Maha Pengasih dan Maha PenyayangNya. Saya berjaya menjawat jawatan Profesor, mempunyai keluarga dan pelbagai nikmat lain yang tidak sepadan dengan amal-ibadat yang dilakukan.
Cukuplah…. saya tidak mahu membiarkan segala nikmatnya berlalu begitu sahaja. Saya fikir, biarlah masa yang tersisa ini digunakan sepenuhnya untuk merenung di atas segala nikmat yang dianugerah Allah dan benar-benar bersyukur dan berterima kasih.
Hanya satu cara yang disarankan, "menyembah dan beramal ibadat kepadaNya". Lakukan ia "semata-mata kerana Mu ya Allah, semata-mata kerana Mu, semata-mata kerana Mu ya Allah".
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
