Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 64

April 21, 2011

Banyak caranya….

OK... mendengar sampai habis


Mereka belajar di sekolah menengah Vokasional. Ia kumpulan kemahiran. Maksudnya, tumpuan kepada akademik sangat sukar diperolehi. Khabarnya, ada segelintir yang sudah berjinak-jinak dengan minuman keras dan sangat bebas lakunya.


Aneh, mereka tidak pula tergambar seperti yang dimaklumkan kepada saya. Hampir 98 peratus tekun mendengar. Ada dua-tiga orang yang melelapkan mata. Saya fikir ia normal bagi kumpulan yang sentiasa bebas bergerak.


Pertama sekali saya kisahkan bagaimana keadaan abah yang sakit menyatakan kepada saya, "Mil, abah suka orang pegang tempat yang sakit, hilang kesakitannya".


Lihat, sentuhan tidak memerlukan PhD atau ijazah berjela. Ia hanya perlu kasih-sayang sahaja. Marilah kita menjaga ibu dan ayah dengan cara kita.


Kemudian, saya kisahkan bagaimana Ayu yang baru berusia 35 tahun meninggalkan kami. Ia kisah kematian yang disampaikan secara halus untuk menyedarkan mereka ada sesuatu yang perlu difikirkan selain daripada bersuka ria.


"Ada di antara kita yang cukup solat lima waktu?"


Ketika suasana sunyi sepi, saya ketawakan mereka dengan kisah pengembaraan saya di padang pasir – di Doha – bersama pemandu Arab bernama Ibrahim. Beliau memandu dengan cara ganas tetapi hanya dengan sebelah tangan.


Pemanduannya cukup sempurna. Ia lebih baik daripada pemandu yang memandu di lebuh raya. Kenapa? Ia kerana Ibrahim mempunyai kemahiran tahap tinggi. Ia pemandu profesional.


Kata saya, "anda semua belajar kemahiran. Jadi, belajar betul-betul supaya kita mahir dalam bidang yang kita pelajari".


Bila masa bercakap hampir sejam, nampak tanda-tanda mereka hilang fokus. Lalu saya tanya mereka, "boleh bagi saya 15 minit lagi?"


"Boleh," jawab mereka serentak. Mereka fikir 15 minit sangat pendek berbanding dengan 1 jam yang telah mereka lalui. Saya berhenti 30 minit kemudian sebagaimana masa yang diminta untuk saya bercakap.


Itulah teknik mudah untuk menarik perhatian khalayak.


Saya meninggalkan majlis dengan rasa syukur yang amat sangat. "Ya Allah muliakanlah anak-anak kami ini. Pandulah mereka sehingga ke pintu syurga".

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 21, 2011 08:02

April 20, 2011

Berpisah

Sebelum berpisah. Kenangan bersama AJK Surau


Bila sudah biasa, ia melekat di hati.


Begitulah kisah saya dengan sekumpulan pelajar KTPM cawangan Kuantan. "Prof, bolehkah prof memberi kuliah Maghrib dua minggu sekali selama 3 bulan di tempat kami?," pertanyaan penuh harapan daripada AJK surau.


Saya terfikir tempoh perjalanan 2 1/2 jam yang perlu dilalui antara Segamat – Kuantan. Jumlahnya 5 jam. 6X dalam tempoh tiga bulan.


Aneh. Saya bersetuju!


"Beginilah, Segamat-Kuantan agak jauh. Biar saya hadir tiga kali sahaja tetapi saya akan sampaikan Kuliah Maghrib dan Subuh".


Rupanya ia berbaloi. Surau sentiasa penuh pada kuliah Maghrib. Namun ia menurun di waktu subuh. Secara keseluruhannya ia satu program yang tidak menghampakan.


Malam tadi berakhirlah tempoh tiga bulan tersebut. Kami berpisah. Barangkali untuk jangka waktu yang lama. Kata saya, "you all semua adalah anak murid saya. Saya berdoa setiap malam agar anak-anak murid saya dirahmati Allah dan diberi kemudahan dunia dan akhirat. Doakan saya".


Saya terlihat anggukan kecil!


Proses Pindah


Saya dan Roza membuat pilihan untuk bersara awal. Bahagian UiTM yang bertanggungjawab sudah mengarahkan kami menyediakan dokumen-dokumen wajib. Malah mengisi borang-borang bersara bukanlah satu tugas yang boleh selesai sejam-dua. Senarai semaknya sangat panjang. Namun ia perlu diselesaikan agar pihak pengurusan boleh membuat keputusan segera.


Pada sudut yang lain, Kementerian Pengajian Tinggi Arab Saudi sudah meluluskan permohonan universiti Taibah untuk mengambil saya sebagai staf mereka. Dalam masa yang singkat, nombor rujukan VISA dan nombor rujukan tiket kapalterbang telah dikeluarkan. Malah tarikh lapor diri jelas dinyatakan, 4hb September, 2011.


Jika UiTM membenarkan saya pergi, proses pindah akan terus bermula. Saya perlu ke Wisma Putra untuk mengesah sijil-sijil kelulusan. Ia RM10/sekeping. Kemudian, saya perlu memohon sijil berkelakuan baik juga dari e-konsulat. Sijil nikah perlu dialih bahasa. Pengakuan berkanun yang saya dan Roza beragama Islam juga perlu diperolehi.


Namun ia tidaklah terlalu sukar berbanding dengan kegembiraan dapat solat lima waktu di Masjid Nabi!


Sumbangan 50 Tips Motivasi Haji


Ada sesuatu yang unik dengan buku ini. Sekurang-kurangnya saya rasa begitu. Semalam saya menerima sumbangan agar mereka yang hadir ke majlis pelancaran diberi harga luar biasa. "Bayar hanya RM10/senaskah, bakinya akan dibiayai oleh hamba Allah yang tidak mahu dikenali".


Petang tadi, seorang hamba Allah yang lain memberitahu saya, "Prof saya beli 50 naskah buku 50 tips…. dan prof bawa ke ceramah dan hadiahkan kepada mereka yang sudah mendapat tawaran haji. Hanya mereka yang sudah mendapat tawaran".


Kemudian ada individu tertentu yang bertanya saya, "bolehkah saya memberi sumbangan buku tersebut kepada…..,".


InsyaAllah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 20, 2011 05:02

April 18, 2011

Hakimi

"Saya ingatkan umi akan sembuh tetapi tidak. Itulah kerja Allah"


Kami tentulah tidak menduga kenyataan yang keluar dari mulut Hakimi, anak yang baru berusia 7 tahun mengulas pemergian ibunya. Namun semenjak kecil beliau sudah mengeluarkan kata-kata yang tidak sepadan dengan usianya.


Semalam, saya mengajak Hakimi ke masjid. Di dalam kereta beliau bertanya saya, "Ayah, betulkah roh manusia masih hidup walaupun orangnya sudah mati?"


Pada masa yang lain beliau berkata, "Hakimi mahu kiamat cepat supaya umi tidak lama di dalam kubur".


"Nanti Hakimi doakan untuk Umi," ajar Azrai. "Kalau kita doa, umi akan hidup balik?," soal Hakimi kembali. "Ya…. tetapi di syurga. Nanti Umi tunggu Hakimi di sana".


Tentu sekali saya tidak dapat menelah apakah yang bermain-main di fikiran anak sekecil itu yang baru kehilangan ibunya.


Roza membeli dua pasang baju bole Chelsea kepada Hakimi dan Rafiqi. Saya tahu beliau mahu menghiburkan mereka berdua. Jersey bernombor 11 untuk Rafiqi dan 8 untuk Hakimi.


Hakimi berkata kepada Roza, "mama, mama tidak tahu yang Hakimi suka warna merah?".


"Chelsea warna wiru. Ini jersi Frank Lampard. Hebat," jawab Roza.


Dua beradik itu nampak tabah. Namun jauh di sudut hati pastinya masih terasa kehilangan orang yang paling mereka sayangi.


Hari ini mereka bertiga akan pulang ke Kuala Nerang. Terputuskah hubungan kami?

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 18, 2011 15:25

April 17, 2011

Kenalan

Kini saya mempunyai ramai kenalan. Ada kenalan sebelah pihak. Saya mengenali nama atau nama samaran sahaja. Ada juga yang mengenali saya tanpa saya tahu kewujudan mereka. Ada juga yang saya kenal nama dan fizikal mereka.


Secara peribadi, saya mempunyai beberapa teman yang sangat rapat. Ada yang sangat kaya. Terdapat juga yang berkedudukan tinggi. Saya juga mempunyai kenalan yang sangat berilmu, terkenal dan glamor, selebriti dan pelbagai lagi.


Misalnya, terdapat kenalan saya yang tidak tahu membaca dan menulis yang akan saya hubungi sekurang-kurangnya setahun sekali. Ia tidak mempunyai apa-apa kepentingan zahir dan batin.


Malah ada kenalan yang entah kenapa saya akan singgah seminit-dua apabila pulang ke Besut melalui Kuala Terengganu. Ada juga kenalan yang sangat unik sifatnya.


Bila Sultan Selangor melancarkan buku Menyingkap Pengurusan Universiti, beliau pula yang menghadiahkan sebuah telefon bimbit Samsung siap dengan nombor 019-3096999. Kata beliau, "aku gembira melihat member berjaya".


Bila saya dianugerah jawatan profesor beliau pula yang mahu belanja makan saya dan keluarga. Nombor telefon yang saya pakai  019-3154444 – adalah difdaftar atas nama beliau. Bayaran internet hanyalah RM50/sebulan penggunaan tanpa had. Beliau melahirkan kegembiraan di atas kejayaan orang lain.


Seorang kenalan yang lain pernah bertanya saya, "Mil apa yang boleh saya bantu untuk pelancaran buku you," soalan yang ditanya ketika mahu melancarkan buku PhD kecil tapi Signifikan. "Biayai kos pelancaran…," saya memberi jawapan.


"Berapa?"


"Di antara RM8000 hingga RM15000, bergantung dengan jumlah jemputan dan jamuannya"


Pada hari yang lain, bersaksikan beberapa teman rapat yang lain, beliau mengeluar cek kosong yang sudah bertandatangan dan menyatakan kepada saya, "tulislah berapa banyak yang perlu".


Tanpa segan silu saya menulis "sepuluh ribu ringgit sahaja". Ia diguna sepenuhnya buat tetamu yang hadir.


Beberapa bulan kemudian bos saya menunjuk sekeping surat dari Badan Pencegah Rasuah (BPR), "Mil, ada orang membuat laporan yang you membuat kutipan tanpa izin. Berhati-hatilah dengan orang yang hampir dengan you". Mungkin ia juga datangnya dari kenalan saya.


Saya terkejut kerana saya tahu apa yang dilakukan adalah dengan kelulusan Naib Canselor. 


"Sebagai tanda sokongan, saya akan membeli 100 naskah buku untuk diedar secara percuma," kenalan sama yang pernah menyerahkan cek kosong beberapa tahun yang lampau.


Itulah buku-buku yang akan diterima oleh 60 pembaca KRTS yang telah mendaftar untuk hadir dan HADIR pada hari pelancaran buku 50 tips haji & Umrah dan Travelog Impian Abadi. Ia dianjurkan oleh PTS. 40 naskah lagi akan diberi kepada beberapa jemputan khas.


Jemputlah hadir dan berkenalanlah dengan seorang anak muda yang bertaraf jutawan, sekampus dengan saya di UiTM Dungun ketika belajar di peringkat diploma.


Saya beri penghormatan kepada beliau untuk menyebut, "dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan buku 50 tips motivasi Haji dan Umrah serta Travelog Impian Abadi…."

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 17, 2011 15:31

April 16, 2011

18 tips

Tutur kata seperti sediakala, alhamdulillah.


Pendengar setia, sudah 3X kuliah


Udang, Lala, tauhu telur, kangkung belacan, ikan siakap dan Tomyam menjamu penceramah. Ia menjadi rezeki Azrai dan Amirul yang ikut serta. Saya? Hanya sekadar menjamah sahaja. Satu usaha menjaga kolestrol.

 •  1 comment  •  flag
Share on Twitter
Published on April 16, 2011 13:34

April 15, 2011

Hadiah buat pembaca KRTS

Majlis pelancaran buku 50 Tips Motivasi Haji dan Umrah bersekali dengan Travelog Impian Abadi akan diadakan mengikut maklumat berikut:


Tarikh : 30hb April 2011

Masa : 2.00 petang/Sabtu

Tempat : Bilik Seminar Johor PWTC


Majlis berlangsung ketika Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur.


60 pembaca blog ini yang mendaftar dan hadir ke majlis tersebut akan menerima sebuah buku pilihan sama ada 50 Tips Motivasi Haji atau Travelog Impian Abadi.


Hanya yang menulis nama sebenar di ruang komen di bawah akan direkodkan untuk menerima buku tersebut pada jam 1.45 – 2.00 petang, sebelum majlis bermula.


Mereka yang lain akan menerima diskaun hebat daripada PTS dan akan mendapat tandatangan penulis, InsyaAllah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 15, 2011 23:00

Tok Syeikh

Amirul dan rakan-rakan


Bila mendengar Aciknya meninggal dunia, Amirul terus berjumpa warden memohon keizinan untuk pulang. Saya tiba ketika mereka bersiap-sedia untuk solat maghrib berjemaah.


Inilah rakan-rakan Amirul. Mereka kelihatan serasi. Saya fikir Amirul sendiri sudah dapat menerima yang beliau terpaksa tinggal di asrama. Namun yang pasti, setiap minggu beliau mahu pulang ke Segamat.


Dulu-dulu, saya acap menasihati beliau supaya tidak terlalu kerap pulang. Namun ia berakhir dengan wajah dan suasana yang redup. Kini saya tukar strategi.


Setiap kali tiba di asrama pada hujung minggu, saya nyatakan kepada beliau, "jangan lupa balik minggu depan… nanti ayah atau mama datang ambil. Telefon dulu…"


Habis cerita!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 15, 2011 09:42

Syukran

Jenazah tiba di sekitar jam 2.00 pagi. Ia diiringi oleh Mak, suami dan anak-anak yang bertolak dari Kuala Nerang selepas solat Asar petang semalam. Di Kuala Lumpur adik-beradik yang lain turut serta.


Ia perjalanan yang panjang.


Pagi tadi, Ayu selamat disemadikan. Terima kasih buat semua. Kami doakan budi baik kesemua yang prihatin dirahmati Allah sentiasa.


Di sini Ayu disemadikan


Rakan sekelas Ayu memberi penghormatan terakhir


Di antara rakan sejawat yang hadir

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 15, 2011 02:12

April 14, 2011

Sehingga bertemu lagi

Kami pasti Ayu – adik Roza – akan mengikuti jejak Abah. Seminggu lepas, beliau sudah membayangkan untuk disemadikan di sebelah abah. Malah keizinan suami sudah pun dipohon. Kami akur.


Hari ini, masa untuk berpisah terjadi jua. Nun jauh di situ hati, saya sendiri sudah mengucapkan selamat tinggal kepada beliau sejurus meninggalkan Kuala Nerang pada hari ketiga pemergian Abah.


Di tengah perjalanan pulang, beliau SMS saya, "Ayu sudah maafkan Abang Ngah di atas segala kesalahan. Maafkan Ayu".


Saya menjawab ringkas, "Ayu adik Abang Ngah dunia dan akhirat. Ayu tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Terima kasih kerana memaafkan Abang Ngah".


SMS beliau yang terakhir hanya simbol senyum yang dihantar.


Besok, beliau akan disemadikan di sisi Abah sebagaimana kemahuannya. Pastinya besok, ketika 1/3 malam yang terakhir nama-nama keluarga yang telah pergi  – Ayah, Wan, Abah dan Haniza – yang disebut kepadaNya akan bertambah.


Ia akan disebut, "Ampunilah dosa-dosa mereka ya Allah terutamanya Ayah, Wan, Abah, Haniza dan Ayu yang telah pergi meninggalkan kami. Kumpulkan kami di syuga Mu……"


Ayu, rehatlah dengan tenang dan damai, InsyaAllah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 14, 2011 06:33

April 13, 2011

Maaf, saya tersalah

"Saya datang untuk memohon maaf dengan prof. Saya salah sangka dan tersilap"


Ia kisah 8-9 tahun yang lampau. Ia zaman di mana saya dianugerahkan jawatan profesor perakaunan. Ia lantikan termuda yang pernah dilakukan oleh UiTM.


Zaman itu juga barisan pelapis UiTM "positioning" diri masing-masing supaya dilihat sebagai bakal pemimpin UiTM.


Malah pada ketika itu pelbagai peristiwa "menarik" berlaku pada sisi yang berbeza. Ia adalah politik organisasi.


Saya senyum dan ketawa dengan permintaan tersebut. "Tuan bukan orang pertama yang datang memohon maaf. Ia sebahagian daripada kisah kehidupan saya".


Saya juga manusia biasa. Penuh dengan kekhilafan.


Lalu saya maklumkan kepada beliau, "Saya telah diajar sebelum tidur, kita harus maafkan kesemua orang yang telah melakukan kesalahan kepada kita. Kita mohon Allah ampunkan dosa-dosa mereka dan kita berharap orang lain juga memaafkan kesalahan yang telah kita lakukan".


Itulah yang telah saya amalkan. Saya fikir, kita tidak semakin muda. Masa kian suntuk. Kemaafan sesama manusia sangat-sangat dituntut!


Dan di sisi Allah, beliau yang datang memohon kemaafan termasuk di kalangan insan yang tersangat mulia.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 13, 2011 20:08

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.