Sehingga bertemu lagi
Kami pasti Ayu – adik Roza – akan mengikuti jejak Abah. Seminggu lepas, beliau sudah membayangkan untuk disemadikan di sebelah abah. Malah keizinan suami sudah pun dipohon. Kami akur.
Hari ini, masa untuk berpisah terjadi jua. Nun jauh di situ hati, saya sendiri sudah mengucapkan selamat tinggal kepada beliau sejurus meninggalkan Kuala Nerang pada hari ketiga pemergian Abah.
Di tengah perjalanan pulang, beliau SMS saya, "Ayu sudah maafkan Abang Ngah di atas segala kesalahan. Maafkan Ayu".
Saya menjawab ringkas, "Ayu adik Abang Ngah dunia dan akhirat. Ayu tidak pernah melakukan sebarang kesalahan. Terima kasih kerana memaafkan Abang Ngah".
SMS beliau yang terakhir hanya simbol senyum yang dihantar.
Besok, beliau akan disemadikan di sisi Abah sebagaimana kemahuannya. Pastinya besok, ketika 1/3 malam yang terakhir nama-nama keluarga yang telah pergi – Ayah, Wan, Abah dan Haniza – yang disebut kepadaNya akan bertambah.
Ia akan disebut, "Ampunilah dosa-dosa mereka ya Allah terutamanya Ayah, Wan, Abah, Haniza dan Ayu yang telah pergi meninggalkan kami. Kumpulkan kami di syuga Mu……"
Ayu, rehatlah dengan tenang dan damai, InsyaAllah.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
