Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 63

April 30, 2011

Indah

Sebahagian yang hadir


Alhamdulillah.


Kedua-dua buku, 50 Tips Motivasi Haji dan Travelog Impian Abadi dilancarkan oleh Dato' Zakee Hassan, rakan alumni UiTM Terengganu. Beliau pula telah sudi membeli 240 naskah buku tersebut dan diagih-agih kepada kesemua tetamu yang hadir.


Kami sangat berbesar hati dengan sokongan yang telah diberikan oleh rakan-rakan bloggers. Ada yang menanti di hadapan pintu bilik Johor sejak pukul 11.30 pagi. Ramai juga yang terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas. Ada yang terlewat sampai.


"Prof, saya lewat sampai. Saya termasuk dalam 60 orang yang patut menerima buku percuma".


Saya tersenyum tetapi terus menghulurkan naskah yang disediakan oleh Dato' Zakee.


Semalam majlis sangat ringkas. Imam Azrul, guru quran saya di UiTM Johor dan Imam masjid UiTM memulakan majlis dengan bacaan talbiah, bait-bait lagu yang memuji Rasulullah dan seterusnya memimpin doa kepada Allah SWT.


Ia sebutan yang indah. Airmata mengalir mendengar alunan suara beliau tanpa saya sedari.


Puan Ainon, pengerusi PTS berucap ringkas. Ucapan yang tersangat manis. Setiap kali saya terfikir mahu meninggalkan PTS dan menulis dengan syarikat lain, wajah "perempuan tua Jawa" ini menjadi penghalang.


"Buku Prof Kamil dan Puan Roza sudah terjual melebihi 100, 000 naskah. Saya suka. Saya semakin kaya," di antara kata-kata beliau.


Kemudian, Dato' Zakee  "jutawan senyap" atau "jutawan dalam diam" menyampaikan ucapan ringkas. Saya petik kata-kata beliau,


Hidup ini, penuh dengan perkara luar biasa. Banyak perkara ajaib yang berlaku. Ada yang kita sedari, ada yang berlalu begitu sahaja.


Juga, ada pelbagai peristiwa, yang berlaku tanpa kita rancang. Tentu sekali, kita terfikir-fikir kenapa ia terjadi, apatah lagi, ia bukan mempunyai hubungan langsung, dengan kehidupan harian.


Hari ini, saya berada di sini, di hadapan saudara-saudari, bagi melancarkan dua buah buku serentak. Ia sangat luar biasa buat saya, yang merupakan manusia "biasa-biasa".


Hakikatnya, Dato' Zakee bukanlah manusia biasa-biasa. Beliaulah saban tahun yang memberi sumbangan kepada kami untuk disalurkan kepada anak-anak yatim daerah Segamat.


Terima kasih Dato'!


Saya juga sangat teruja menyambut kedatangan Dato' Zaini yang sudi meraikan majlis pelancaran ini. Dulu, beliaulah yang telah melancarkan buku Travelog Haji dengan membeli 1000 naskah yang pertama dan diedarkan secara percuma kepada mereka yang terpilih menunaikan fardhu haji pada tahun 2006.


Namun di atas segala-galanya, saya katakan "terima kasih banyak-banyak. Saya doakan rakan-rakan semua dirahmati dan dikasihi Allah" kepada kesemua yang hadir.


Ada yang datang dari Selatan, Utara dan Timur semata-mata untuk meraikan saya dan Roza.


Ia majlis yang sangat indah. Alhamdulillah!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 30, 2011 16:39

April 29, 2011

Pelancaran buku

Hari ini saya sangat teruja.


Selain daripada buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, buku 50 Tips Motivasi Haji memberi kesan yang mendalam kepada saya dan Roza. Ia hasil penulisan yang dipinjamkan oleh Allah SWT. Ia lahir dari hati. Mudah-mudahan ia turun ke hati.


Malah buku Travelog Impian Abadi: Itu yang Tertulis yang dirakamkan oleh Roza mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi buat saya. Sekurang-kurangnya buat saya!


Saya berterima kasih kepada PTS yang memberi ruang untuk buku ini dilancarkan di Pesta Buku Kuala Lumpur. Ia sangat dalam maknanya. Besar atau kecil majlis pelancaran ini, ia sentiasa meninggalkan kenangan buat penulis.


Saya mempunyai pengalaman pelbagai apabila dikaitkan dengan pelancaran buku. Misalnya, buku Menyingkap Pengurusan Universiti dilancarkan oleh Sultan Selangor, PhD Kecil tapi Signifikan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu dan Travelog Haji oleh Yang Berbahagia Dato' Zaini. Kesemuanya memberi memori yang kekal dalam ingatan.


Saya fikir, hari ini juga tidak terkecuali. Mohon doa agar ia berjalan lancar dan diberkati Allah.


Nota: Majlis akan berlangsung pada jam 2.00 petang di Bilik Selangor, PWTC. Program hanya 1 jam. Ia akan tepat bermula pada masanya, InsyaAllah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 29, 2011 14:25

April 28, 2011

Kisah Lebai Malang

Ia kisah yang sangat menarik. Cerita Melayu klasik.


Malam tadi, sayalah lebai malang.


Ketika berbuka puasa, saya hanya makan seulas kurma, minum segelas air kosong dan segenggam nasi. Saya memang bercadang ingin menikmati hidangan di rumah Ustaz Azrul – Imam UiTM Johor – yang mengadakan doa selamat di atas kelahiran cahayamata ke3.


Ketika majlis baru bermula, bilal membisikkan kepada saya, "prof, isteri prof telefon. Katanya prof ada majlis di Hotel Pegasus".


Ya Allah, saya tersilap tarikh. Saya fikir majlis Maulidur Rasul (nota: Orang Johor menyambut Maulidur Rasul selama setahun) yang dianjurkan oleh persatuan peniaga pasar tani Segamat sepatutnya berlangsung malam ini. Alahai… saya pula tertinggal telef0n.


Tentu sekali penganjur "mati akal", gelisah dan gundah-gulana kerana penceramah jemputan tidak dapat dihubungi (nota: bila pulang saya melihat lebih 10 missed call). Roza jarang menyambut panggilan telefon bimbit saya. Semalam terkecuali. Panggilan yang tidak henti-henti - gerak dari Allah – beliau menjawab panggilan tersebut.


"Yang, telefon penganjur yang saya dalam perjalanan," saya tinggalkan majlis Ustaz Azrul. Saya pecut 130-150 km/sejam. Alhamdulillah, 3-5 lampu trafik light kesemuanya hijau. 


Akhirnya, saya rasa teruja kerana tidak menghampakan mereka yang telah begitu lama mahu menjemput saya untuk menghadiri majlis mereka.


Tinggal lagi, ketika saya tiba mereka telah selesai menikmati hidangan istimewa. Bila saya pulang ke rumah – 11.39 malam – saya nyatakan kepada Roza, "hari ini saya Lebai Malang. Saya hadir dua majlis, kedua-duanya saya tidak sempat makan".


Ia hanya satu gurauan. Saya cuma ingin kaitkan dengan kisah Lebai Malang klasik. Ia masih boleh berlaku dalam kehidupan seharian. Maksudnya, rezeki itu Allah yang menentukannya. Kita hanya b0leh merancang.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 28, 2011 16:10

April 27, 2011

Jemputan

Saya mohon maaf kerana terpaksa menolak banyak undangan.


Hampir setiap hari saya menerima undangan untuk menyampaikan kuliah. Barangkali ramai yang memikirkan masa yang tinggal hanya sehingga bulan Julai.


Bulan Ogos berpuasa dan di sekitar 1 atau 2hb September – insyaAllah – kami akan berhijrah ke Madinah.


Jadual kuliah undangan untuk Mei, Jun dan Julai sudah penuh. Di tambah lagi dengan tugas-tugas rasmi dan persiapan lain, terasa batas waktu yang sangat terhimpit.


Namun Allah telah menjanjikan secara jelas, "kelapangan masa adalah milik Allah".


Misalnya, saya telah berjanji dengan mereka yang berada di Kuala Nerang untuk menyampaikan ceramah kepada seluruh guru-guru di daerah tersebut pada 21hb Mei ini, di sebelah petang pertemuan dengan Persatuan Ulamak Kedah, di sebelah malam memberi kuliah di salah sebuah masjid di sana dan beberapa kuliah lain sebelum berangkat pulang.


Sebelumnya, saya berada di Beijing. Tiba-tiba penganjur telah menunda penerbangan pulang. Saya dijangka mendarat di KLIA pada 21hb Mei jam 12.30 pagi.


Tiada penerbangan MAS atau AirAsia selepas waktu subuh ke Alor Setar. Apa pilihan yang ada?


Akhirnya, ada insan yang bersetuju untuk mengambil saya di KLIA dan terus memandu ke Kuala Nerang. Mudah-mudahan saya sempat sampai sebelum majlis bermula.


Namun pengembaraan sebenar ialah menghadiri jemputan Pejabat Pendidikan Daerah Mukah, Sarawak pada 10hb Mei. Ia bermula dengan penerbangan 2 jam KLIA-Sibu.


Sampai di Sibu, kami akan menempuh jalan darat ke Mukah selama dua jam. Kemudian, sesi perjumpaan dengan warga pelajaran sekolah-sekolah di sana.


Terlanjur ada di sana, saya memohon supaya dapat menyampaikan kuliah Maghrib dan Subuh. Akhirnya, pihak penganjur memilih dua buah masjid yang berbeza.


Masjid pertama – kuliah Maghrib – di Masjid Setia Raja. Subuh pula di Masjid Jamek Kampung Penakub Permai.


Ulangan perjalanan Mukah-Sibu dan Sibu-KLIA akan terlangsung pada 11hb Mei.


Saya bersyukur kerana pihak UiTM memberi perlepasan untuk saya berlepas ke Sarawak. Ia ulangan tahun 1993-96 ketika berkhidmat di Sarawak di mana hampir seluruh pelusuk negeri telah saya jelajahi.


Namun ia berbeza "cara dan sebab". Ya Allah permudahkanlah perjalanan dan urusan kami!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 27, 2011 20:09

April 26, 2011

Hidup baru

Arwah Abah dan Mak merupakan pasangan intim.


Mereka sentiasa berdua. Di antara keduanya, abahlah yang lebih bergantung kepada mak. Rasanya, jika mak tiada, goreng telur pun abah tersangat kekok. Sebaliknya, tanpa abah, mak lebih suka berdiam diri di rumah.


Mak telah melalui dua peristiwa besar. Pertama kehilangan suami dan kedua kehilangan anak perempuan bongsu. Ia berselang bulan. Mak redha. Namun pastinya perasaan sayu dan sebak sentiasa ada apabila berseorangan. Ia sifat semula jadi.


"Mak, kami ingin berhijrah. Abang Kamil dapat offer ke Madinah," Roza memecah rahsia tersimpan sepanjang Mak menjaga Abah dan Ayu walaupun seisi dunia yang lain sudah mengetahui. Ia rahsia hanya untuk mak.


"Kami ingin bawa mak sekali. Bukankah ini impian mak? Agaknya, inilah yang Allah kata, di sebalik kesusahan ada kesenangan," kata-kata yang mungkin tersusun beberapa minggu yang lepas.


Emak diam. Akhirnya air mata mak tidak tertahan lagi. Kuat sedunya. Kami tahu yang beliau dapat membayangi suasana Masjid Nabi dan kawasan sekitarnya yang aman dan damai. Malah ia bukan satu rahsia betapa Madinahlah yang mahu beliau tuju sebagai destinasi akhir.


Hakikatnya, beliau tahu yang impian tersebut hanyalah satu hasrat yang terlalu sukar untuk dilaksanakan. Tiba-tiba jalannya terbuka luas.


"Cuma Mak, kami perlukan kelulusan UiTM. Doakan supaya ia dipermudahkan". 


Pada hari yang lain, saya nyatakan pada mak, "Mak boleh tinggal di sana bersama kami secara berterusan, boleh tinggal sebulan-dua dan balik ke Malaysia sebulan, kemudian datang balik dan begitulah… Saya cuba cari kediaman yang paling hampir dengan masjid Nabi supaya mak boleh berjalan kaki ke sana"


Kisah Madinah ini benar-benar menceriakan Mak. Hampir setiap hari kami membicarakan topik ini. Ia ubat kesegaran yang paling berkesan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 26, 2011 16:05

April 25, 2011

Menyukakan hati

Saya menerima rawatan dengan seorang doktor.


Ketika memeriksa saya, beliau mendapat panggilan yang kelihatan perlu disegerakan untuk menjawabnya. Ia panggilan yang salah. Saya terdengar beliau berkata:


"Tuhan tidak menjadikan panggilan ini tanpa sebab. Saya gembira dapat bercakap dengan tuan. Saya doakan tuan selamat".


"Bagus PR Doktor," komen spontan.


Beliau tersenyum dan memberi jawapan, "jika kita dapat menyukakan hati orang, seorang sehari pun sudah memadai untuk melatih diri kita sendiri menjadi manusia yang lebih baik.


Sekali-sekala, cuba lakukan ini, bila sampai di tol yang tidak mahal harganya, misalnya RM1, bayarkan kepada kereta yang di belakang kita. Lihat betapa seronoknya mereka.


Saya suka lakukan begitu di hadapan anak-anak bagi menunjukkan bagaimana mudahnya untuk menggembirakan hati orang lain. Ia suka-suka sahaja".


Dengan sedikit senyuman, kita boleh menyukakan hati orang. Tidaklah terlalu sukar.


Petang semalam saya berada di PWTC. Singgah sekejap untuk melihat lokasi dan suasana bilik Johor, tempat pelancaran buku 50 tips Motivasi Haji dan Travelog Impian Abadi. Lalu saya ternampak kedai Pink Ain Maisara.


"Ain di mana booth PTS?"


"Biar Ain bawakan prof ke sana"


Tindakan kecil yang memberi kesan besar kepada penerimanya. Terima kasih Ain!


Saya pernah menulis, bila kita membuka pintu, lihatlah ke belakang, mungkin ada orang yang memerlukan bantuan. Berilah laluan kepada mereka terlebih dahulu".


Mungkin ada mereka yang membawa anak-anak kecil, ibu yang mengandung atau orang tua yang memerlukan bantuan. Alahai… tidak kira sesiapa pun di belakang kita, bukalah pintu untuk menyukakan hati mereka. Ia melatih diri sendiri.


Kadangkala kita tidak menyukai apa yang dilakukan oleh orang lain. Lalu kita memberitahu, "saya tidak suka kamu melakukan perkara ini". Ia tidak dinyatakan kenapa, apa sebabnya dan di mana buktinya. Ia boleh menyebabkan orang berkerut dahi bertanya-tanya kenapa. Ia tidak melahirkan senyuman di bibir.


Menerima teguran itu pahit tetapi teguran yang disampaikan dengan cara yang betul sangat manis. Ia boleh menyukakan hati penerima.


Misalnya, malam semalam tiga JK Masjid berkunjung ke rumah Mak. Sukarnya mereka ingin menyatakan tujuan kedatangan. Cakapnya sangat berlapik. Akhirnya, dengan patah-patah penuh sopan mereka menyatakan ada perbezaan penyata kewangan Masjid yang tidak dapat diselaraskan.


"Berapa?," tanya saya.


"RM986.oo"


"OK, kita jelaskan," saya membuat keputusan tanpa mahu membuat semakan. Saya gembira dan teruja dengan tutur kata yang disampaikan oleh mereka.


Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua, di dunia dan akhirat.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 25, 2011 14:13

April 24, 2011

Dundee

Benludin mengusik hati saya.


Kenangan setahun di Dundee, Scotland sangat-sangat bermakna dalam hidup saya. Meskipun ia tidaklah seindah Mekah dan Madinah, namun ia mempunyai ruang tersendiri.


Saya sayu kerana hampir kesemua gambar-gambar yang terakam di sana habis berlumpur dek banjir besar yang melanda Segamat. Biarlah, kenangan di minda – mudah-mudahan – kekal selama-lamanya.


Saya pernah ucapkan kepada Roza, "inilah hadiah berbulan madu saya buat awak". Hadiah tertangguh hampir tiga tahun. Buat Roza, lintasan hati hati anak kecil ketika bersekolah di darjah lima terjawab. Melalui Travelog Cinta Abadi beliau nyatakan,


"Ya Allah, jika pandai itu menjadi syarat ke Luar Negara, aku tidak pandai ya Allah. Aku ingin ke Luar Negara ya Allah. Kau temukanlah aku dengan suami yang pandai agar dia boleh membawa aku ke Luar Negara".


Saya berhijrah mencari ilmu. Di Dundeelah Roza belajar menjadi suri rumah sepenuh masa. Menjaga kedua-dua anak yang masih kecil. Belajar memasak. Alahai…. belajar berdikari di negeri asing.


Dundee, catatan kebesaran Allah tertulis melalui buku Roza yang ketiga, InsyaAllah.


ILMU BERMANFAAT


EMBA 2011


Inilah 13 orang pelajar sarjana pengurusan yang baru sahaja menamat kuliah bersama saya selama sebulan. Mereka pelajar hujung minggu. Cabarannya besar. Saya sering ingatkan mereka, "ingat Allah, Dia sangat hampir. Sangat hampir".


Saya bertanya selepas mereka menamatkan peperiksaan, "ada sesiapa yang solat malam memohon kepada Allah supaya permudahkan peperiksaan ini?"


Saya juga bertanya, "ada sesiapa yang bersyukur dengan Allah selepas menjawab soalan peperiksaan?"


Jika ada 1/13 yang melakukannya, alhamdulillah. Jika tidak, pun tidak mengapa. Mereka boleh amalkan untuk subjek lain pada masa hadapan.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 24, 2011 17:04

April 23, 2011

Manusia baik

Ramai orang ingin menjadi manusia yang lebih baik.


Kita berdoa, biarlah hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini dan seterusnya. Keinginan ini tidaklah mudah untuk diterjemahkan dalam kehidupan harian. Manusia kekal dengan cara-cara kebiasaan mereka malah dalam keadaan tertentu seolah-olah berjalan ke belakang.


Malam tadi saya menamatkan 4 kuliah selepas Isya di Masjid Jamek Bandar Baru UDA. Topik yang dibincangkan berkisar kepada "bagaimana mahu menghadapi ujian". Salah seorang khalayak berkata kepada saya, "apa yang prof cakap semuanya betul tetapi saya tidak mampu untuk melaksanakannya".


Itulah realitinya. Kita tahu yang bersolat malam itu baik tetapi kita "rasa" kita tidak mampu melakukannya. Anehnya, kita mampu berjaga malam untuk menyaksikan "world cup".


Lalu kita katakan, "saya tidak mampu untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Cabarannya banyak". Logik akal berkata, sebulan di bulan Ramadhan kita berupaya untuk menahan lapar dan dahaga, kenapa hanya 2 hari/seminggu kita terasa terlalu sukar.


Kita berpusing sejenak ke arah perilaku negatif. Kita tahu merokok itu tidak baik untuk kesihatan tetapi kita sanggup menghabiskan wang ringgit untuk memastikan perkara yang tidak baik itu kita lakukan.


Begitulah, kehidupan ini dipenuhi dengan keanehan. Saya telah melalui banyak keanehan dalam kehidupan. Itulah tandanya kita terlalu lemah. Ketika ingin menjadi manusia yang lebih baik dari semalam, ia perlu dipohon kepada Dia yang Maha Berkuasa.


Jangan cepat mengalah.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 23, 2011 15:36

April 22, 2011

Notis Ringkas

Malam ini: Kuliah Isya minggu terakhir di Masid Jamek Bandar Baru UDA


25hb: Berada di sekitar booth PTS, 2 hingga 4 petang


30hb: Pelancaran buku 50 tips motivasi haji dan Travelog Impian Abadi, 2 hingga 3 petang, Dewan Johor, PWTC. Jemput semua yang berkelapangan


30hb: Kuliah Maghrib di Bagan Lalang, Sepang


MEI


3hb: Saya berada di Shah Alam, ada yang nak jemput untuk kuliah Maghrib (hanya di sekitar Shah Alam)?


6hb: Sepetang di UIA Kuantan, 3 petang


7hb: Kuliah Maghrib di Masjid Sepang


9hb: Mukah, Sarawak


13hb – 18hb, Beijing, China


21-22hb: Kuala Nerang, Kedah. Kuliah Maghrib di Masjid Al-Bukhori dan beberapa program lain.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 22, 2011 18:03

Kekayaan

Pagi tadi saya menyampaikan tazkirah mingguan di UiTM. Ia bermula dengan inisiatif dan minat sendiri. Kini, sesiapa yang menghadiri tazkirah ini dikira sebagai jam latihan UiTM.


Alhamdulillah.


Jumlah kehadiran sangat konsisten. 15 hingga 25 orang setiap minggu. Mereka datang bukan kerana jam latihan tetapi semata-mata mencari ilmu. Kenapa? Mereka adalah insan yang sama, sebelum dan selepas pengiktirafan UiTM.


Topik minggu ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Manusia diberi kekayaan. Saya nyatakan ia sebagai satu ujian. Realitinya hanya sedikit yang berjaya melepasi ujian ini. Bila ada kekayaan, ia berkait pula dengan amal jariah yang lain. Pertama zakat. Ini wajib. Kedua, sedekah. Ini sunat.


Manusia sukakan kekayaan. Wang RM10 lebih baik daripada RM1. Ia jelas. Namun mengejar yang lebih boleh menyebabkan mudarat yang lain. Hasad dengki, tikam-menikam, fitnah dan buruk-memburuk menjadi lumrah. Maka ujian yang sepatutnya lebih menguntungkan menjadi sebaliknya.


Namun, kita harus mencari kekayaan. Kekayaan itulah yang akan kita pinjamkan kembali kepada Allah. Nanti Allah pulangkan kembali ketika masa yang sangat-sangat diperlukan. Itu adalah janji-janji Dia.


Emmm… pagi tadi seorang Haji membeli 200 naskah buku "50 tips Motivasi Haji". Kata beliau, ia 1% daripada hasil pendapatannya bulan ini. MasyaAllah, Subhanallah, begitulah kekayaan yang diperolehi boleh membantu beliau melakukan kebajikan kepada orang lain.


"Prof sampaikan kepada mereka yang confirm menunaikan fardhu haji pada tahun ini". Itulah permintaan beliau. Ia bukan tugas yang sukar, InsyaAllah.


Lalu saya mengira semula, berapa agaknya pendapatan beliau pada bulan ini? 


Wah… saya mengira duit orang!

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on April 22, 2011 05:08

Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.