Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 60
May 25, 2011
Cuti
Saya masih menerima pertanyaan untuk mengadakan ceramah, kuliah atau syarahan. Terima kasih. Saya sangat teruja dan memang menjadi hasrat hati untuk memenuhi setiap undangan.
Namun ruang masa saya sangat terbatas. Jadual Sabtu dan Ahad sehingga awal puasa telah dipenuhi. Manakala hari-hari biasa akan saya perguna sepenuhnya untuk berada di dalam kampus bagi menyiapkan kerja-kerja sebelum bersara.
Di celah-celah masa tersebut, terdapat permohonan kementerian atau jabatan kerajaan untuk sesi bersama mereka yang merupakan undangan yang disalurkan melalui ketua jabatan.
Dalam tempoh dua bulan ini juga merupakan tempoh kritikal bagi urusan perpindahan. Urusan visa yang mengandungi beberapa urusan lain yang kelihatan mudah tetapi mengambil masa seperti medical check-up, terjemahan sijil-sijil ke dalam bahasa Arab, mengesahkan sijil-sijil di Kementerian Pengajian Tinggi, sijil Kelakuan Baik yang perlu diperolehi dari Wisma Putra dan beberapa perkara yang lain.
Kemudian, urusan anak-anak yang perlu diberhentikan pengajian di sekolah masing-masing. Kami mahu rekod penamatan pengajian mereka dalam keadaan sempurna agar memudahkan kami berurusan semula di kemudian hari.
Saya perlu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PERKIM Segamat. Di antara kami, jumlah hutang terkumpul melebihi RM1 juta. Mengurus soal ini sahaja memerlukan tumpuan yang jelas.
Apakah yang perlu dilakukan ke atas harta-harta seperti rumah dan kereta?
Sebuah rumah di Puncak Alam telah kami jual kepada seorang sahabat. Ia harga murah, "apa yang saya bayar, itulah yang saya jual". Kereta Proton Exxora telah dibeli oleh adik sendiri dengan kaedah "sambung bayar". Agaknya beliau akan mendapat sedikit keuntungan kerana bayaran muka yang tinggi.
Dua buah kereta lain, "Wira dan Kancil" masih di dalam pertimbangan.
Ar-Raudhah – InsyaAllah – akan dijadikan homestay. Seorang pengurus akan dilantik dengan pembahagian pendapatan 50-50. Jika ada yang mahu menyewa terus pun tidak mengapa.
Rumah di Kondo Kemuncak di bawah pengawasan Sara. Beliau perlu menjadi anak dewasa. Perlu cepat berdikari. Saya sudah mengajar beliau untuk service kereta, menguruskan bila bateri kereta rosak di tengah jalan dan membayar kesemua urusan selenggaraan kedua-dua rumah tersebut.
Begitulah, penghijrahan bukanlah seumpama membaca 1-2 dan 3. Namun ia menjadi mudah apabila seluruh jiwa dan perasaan mahu melakukannya semata-mata kerana Allah, InsyaAllah.
Itu yang tertulis. Banyak lagi yang perlu kami urusankan. Jadi, saya mohon maaf jika tidak dapat lagi memenuhi undangan dalam tempoh sebelum berangkat ke Madinah.
May 24, 2011
Tidak di sini
Kariah saya adalah masjid Kampung Jawa.
Di sinilah tempat saya solat lima waktu jika berada di rumah. Saya sukakan majid ini kerana Imam dan Bilalnya sentiasa ada. Jemaah yang sama – berusia – sentiasa tekun solat di masjid.
Jika berada di dalam kawasan, pada setiap hari rabu saya akan mengikuti kuliah yang disampaikan oleh Tuan Haji Omar Abdullah.
Kenduri-kendara dan majlis bacaan yasin hampir 100% saya tidak dapat hadir. Jika ada yang berjumpa saya di masjid, memaklumkan majlis perkahwinan anak-anak mereka, saya akan terus memberi sumbangan dan memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi undangan.
Ia tentunya berkait rapat dengan jadual hujung minggu yang sudah tersusun sehingga bulan Ramadhan.
Ada orang bertanya saya, "prof memberi kuliah di Masjid Kg Jawa?".
Saya ketawa. "Tidak. Setiap bulan saya menyampaikan kuliah di Masjid Bukit Siput, jiran Masjid Kampung Jawa".
Ketika saya memilih untuk tinggal di Kg Jawa, saya pernah mengucapkan kata-kata berikut kepada Roza, "Yang, saya ingin mengabadikan diri saya kepada penduduk di kawasan ini. Saya tahu saya mampu memberi sumbangan fikiran kepada masyarakat setempat…"
Akhirnya, ia tidak jadi begitu. Saya menjelajah ke seluruh Malaysia menyampaikan syarahan dan kuliah termasuklah sesekali ke luar negara, namun tidak sekali pun saya berpeluang untuk menyampaikan pandangan di masjid sendiri.
Roza berkata, "ia baik untuk awak!".
Bantuan
Saya menginap di hotel Mayangsari, Dungun yang berhadapan dengan Laut China Selatan. Agaknya hotel UiTM sudah penuh. Saya tidak gemar menginap di sini kerana agak jauh daripada masjid UiTM.
Petang semalam saya mencari-cari nama penyarah UiTM Terengganu yang boleh saya pohon bantuan untuk membawa saya solat subuh di masjid UiTM. Hanya satu nama yang ada, "Kamil UiTM Trg".
Bayangan wajahnya sudah luput dari ingatan. Hanya satu yang saya ingat, beliaulah yang telah membawa saya solat subuh ke masjid hampir dua tahun yang lepas. Pertolongan itupun kerana rakan yang sepatutnya membawa saya terpaksa ke luar kawasan.
"Ini Encik Kamil?," saya bertanya. Beliau mengiakan. Agaknya beliau masih menyimpan nombor telefon saya.
"Mil, minta maaf. Wajah tuan pun saya tidak dapat mengingatinya, tetapi masih mahu meminta pertolongan. Boleh bantu saya ke masjid besok?," pertanyaan yang terus memberikan jawapan yang sangat positif.
Saya tersangat lega.
Akhirnya saya dapat bersolat subuh bersama-sama dengan 1300 orang siswa-siswi baru UiTM Terengganu. Encik Sazali, pensyarah yang mengimami solat merupakan kenalan saya. Beliau kelihatan berbisik-bisik dengan seseorang dan terus menghampiri saya dan berkata, "Prof, mohon sampaikan tazkirah….."
Ia kesukaan saya!
Cabarannya, saya melihat 80 peratus siswa-siswi sudah menjadi ahli fikir. Kepala tunduk ke bawah, tangan memegang sipi dahi dan tiada anak mata ke depan.
Saya mulakan dengan sedikit kisah, "dulu saya pelajar UiTM Dungun. Hostel saya di hadapan masjid ini. Bila azan, saya tutup telinga dengan bantal. Bising. Mengacau saya tidur. Dua minggu begitu… akhirnya… saya tidak perlu lagi menggunakan bantal. Allah tarik nikmat mendengar azan…"
Kelihatan, kepala mula terangkat sedikit demi sedikit. Mereka yang di hadapan saya mulai segar. Di akhir tazkirah saya nyatakan kepada mereka, "program sebenar saya dengan saudara-i di sebelah petang nanti, Bicara Tokoh…. jumpa nanti di dewan… mudah-mudahan mereka teruja untuk mendengar apa yang ingin saya sampaikan nanti…".
Alhamdulillah, pagi-pagi lagi Allah memberi nikmat bersolat subuh berjemaah dan dapat pula menyampaikan tazkirah. Terima kasih kepada Encik Kamil yang memberi bantuan dan terima kasih juga kepada Ustaz Khairul yang telah memberi laluan untuk saya mengambil tempatnya yang sepatut menyampaikan kuliah subuh.
Bantuan Allah ada di mana-mana.
May 23, 2011
Waitress yang membaca buku Haji
Saya berada di Golden Lounge, KLIA menunggu penerbangan KLIA-KT.
Seorang waitress tersenyum-senyum melihat saya. Beliau beredar menguruskan kerjanya. Kemudian beliau muncul lagi. Gelas minuman saya sudah tidak berisi. Barangkali inilah peluang beliau menghampiri saya.
"Tuan, boleh saya ambil pinggan dan gelas ini?"
Saya tersenyum dan memberi isyarat boleh.
"Tuan penulis buku Travelog Haji?"
"Ya… kenapa?"
"Saya sudah menghabiskan bacaan buku tuan"
Terbit lintasan hati, "waitress membaca buku haji?". Begitulah manusia. Bisikan-bisikan jahat sering muncul walaupun tidak diundang. Benarlah kata Allah, "malam kau bertaubat, siang sudah melakukan dosa".
Saya segera memohon keampunan Allah. Namun tentu sekali beliau tidak tahu yang saya terlintas perasaan tersebut. Lalu saya bertanya,
"Sudah membaca buku tulisan isteri saya?"
"Belum tuan…"
Saya membuka zip beg galas dan mengeluarkan buku Travelog Cinta Abadi, menurunkan tandatangan dan menulis sedikit catatan, "semoga dirahmati Allah".
"Hadiah dari saya.."
Beliau tersenyum lebar memikirkan betapa bertuahnya beliau pada hari tersebut dapat bertemu dengan seorang penulis buku yang telah dibacanya. Kemudian, dihadiah pula senaskah buku yang akan menjadi kenangan seumur hidup.
Namun hakikat yang sebenar – mungkin kekal selamanya – hadiah tersebut adalah perlambangan memohon maaf betapa saya telah melakukan dosa yang tidak sepatutnya saya lakukan.
"Sudah lama bekerja di sini?"
"Baru tuan, saya belajar di UIA. Cuti semester, saya bekerja part-time".
Ekor mata saya melihat beliau pergi sambil mendoakan, "ya Allah berikanlah kejayaan di dunia dan akhirat kepadanya".
Allah ya Allah

Bilal mengalunkan azan di perkarangan masjid. Mereka tidak boleh menggunakan pembesar suara? Entah...
Pada hujung perjalanan kami di Beijing, saya berbisik [nota: tazkirah yang tidak dirancang] dengan Ustaz Nawawi betapa saya berjumpa dengan sesuatu yang lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ia pandangan sisi bagaimana mahu sentiasa hampir. tunduk dan patuh kepadaNya.
Lalu saya mula bercerita. Beijing adalah bandaraya ketiga terbesar di China. Jumlah penduduknya hampir 20 juta. Saya membayangkan perjalanan harian yang sukar. Kami pastinya akan berhadapan dengan kesesakan jalanraya yang melampau.
Mungkin kami lebih banyak berada di dalam kenderaan berbanding dengan masa-masa di tempat yang sepatutnya kami lawati.
Saya nyatakan pada Ustaz, "setiap hari saya bangun solat dan berdoa kepada Allah, ya Allah Kau permudahkan urusan kami, permudahkan perjalanan kami, jauhilah kami daripada kesesakan jalanraya, kemalangan, mara bahaya, mudahkanlah kami untuk beramal ibadat……. "
Cuba Ustaz perhatikan, kita melihat kesesakan tetapi kesesakan itu datangnya daripada arah yang berlawanan. Kita dinyatakan, perjalanan daripada bandar Tianjin ke lapangan terbang hanya 14 km tetapi akan mengambil masa hampir satu jam kerana kesesakan jalanraya.
Rombongan kita tidak begitu, perjalanan kita tidak sampai pun 30 minit. Saya memerhatikan soal sekecil ini dan berfikir, ya Allah Kau makbulkan doa-doa yang kami pohon kepada Mu.
Bila kelihatan ada tanda-tanda kesesakan akan berlaku, hati saya terus-terusan memohon doa, ya Allah permudahkanlah perjalanan kami, ya Allah permudahkanlah. Dan perjalanan kita tidaklah terlalu membebankan.
Dan doa dan harapan ini mungkin juga dilafazkan oleh beberapa orang yang lain".
Sekali pandang, kata-kata yang saya lafazkan itu membayangkan saya seorang yang riyak, takbur dan merasai sangat hampir denganNya. Saya tahu… itulah pandangan mungkin yang terlintas kepada khalayak pembaca jika saya berhenti menulis di sini.
Ia tidak begitu. Ada isu yang lebih besar yang Allah ilhamkan setelah melalui peristiwa-peristiwa tersebut yang boleh dikongsi pula dengan mereka yang berfikiran terbuka dan mahu menjadi manusia yang lebi hampir denganNya, InsyaAllah.
Lalu saya menyambung kata,
"Ustaz, tentu sekali kesemua rombongan kita menikmati kemudahan yang sama. Tiada kesesakan. Cepat sampai ke lapangan terbang. Terasa bahagia kerana tiada sebarang kemalangan, tiada mara bahagia.
Apa yang ingin saya sampaikan? Sepanjang perjalanan saya terasa-rasa Allah memakbulkan doa saya. Saya rasa Allah sangat Mendengar. Saya rasa Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Saya rasa perasaan dipermudahkan adalah kerana Allah. Secara lebih tepat, Allah ada di Beijing.
Bagaimana dengan Ustaz? Bagaimana dengan yang lain? Apakah ada perasaan yang sama? Adakah ia berlaku seolah-olah "rutin biasa", berlaku secara mujur dan kebetulan? Dan kemudian, ia berlalu begitu sahaja. Adakah kita menyebut-nyebut, "alhamdulillah, aku bersyukur di atas segala kemudahan yang telah engkau berikan".
Hakikat sebenar, kekuasaan Allah itu terlalu luas. Berdoa atau tidak, memohon atau tidak, Allah boleh memberi segala kemudahan tanpa sedikit pun mengurangkan apa yang Dia ada. Allah boleh memberi kepada hambaNya tanpa perlu kita merayu-rayu. Boleh… Dia Maha Berkuasa.
Bezanya, adakah kita akan menjadi manusia yang bersyukur? Apakah kita mengaitkan setiap kejadian itu dengan sifat-sifat Allah?
Perasaan seumpama ini nyata terkesan apabila menunaikan fardhu haji. Saya fikir, saya menangis memohon agar dipermudahkan semasa ingin melakukan ibadat melontar pada hari pertama – di waktu dhuha – di Jamrahtul Aqabah. Sesuatu yang kelihatan sukar menjadi terlalu mudah di sisi Allah.
Pastinya, ia pengalaman yang telah mengubah seluruh kehidupan saya.
Akhirnya, saya ucapkan kata-kata berikut kepada Ustaz Nawawi, "berdoa bukanlah soal doa itu dimakbulkan atau tidak, ia soal pergantungan kita kepada Allah SWT. Ia soal tauhid. Itulah yang mendekatkan kita dengan Dia, setiap saat, sepanjang masa, tidak kira kita berada di Mekah, Madinah, Malaysia ataupun di Beijing".
Pada satu ketika yang lain, Ustaz Nawawi memeluk saya sekemas-kemasnya. Ada getar di sebalik pelukan tersebut. Mungkin kami berdua mendapat banyak ilmu "pengalaman" sepanjang 6 hari 5 malam di satu kawasan yang penduduknya - lebih 1 bilion – tidak mempercayai kewujudan Allah SWT.
Saya mohon keampunan Allah atas tulisan ini.
NotaMKI: Khas buat Ustaz Nawawi, apa yang saya tulis di sini mungkin tidaklah sama 100% seperti yang saya ucapkan. Inilah rasa hati sebenar yang ingin saya sampaikan.
May 22, 2011
Ini yang tinggal
Ia membawa seribu makna.

Kami tinggalkan musim bunga di Tianjin

Kami tinggalkan secebis kenangan sebelum berangkat pulang
Dua hari yang bermakna.

Hari guru di Padang Terap

Dua jam bersama mereka

Bergunakah apa yang ditutur kepada mereka?
Akhirnya, kami berdoa kepadaNya agar ia menjadi ilmu yang bermanfaat.
Notis: Semak Semula
Saya selamat sampai di Segamat.
Jika ada yang TELAH membuat tempahan dan bayaran buku dan sehingga ke hari ini buku-buku tersebut tidak sampai, saya mohon tulis di ruangan komen dengan nama, alamat dan tajuk dan jumlah buku yang telah ditempah dan belum diterima.
Jangan lupa POSKOD dan Tolong jangan buat tempahan baru. Buku sudah kehabisan stok. Saya akan buka balik tempahan setelah saya menerima buku-buku tersebut dari penerbit.
May 21, 2011
Tidak mengerti
Semalam sambutan Hari Guru dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap dengan kerjasama beberapa pihak. Dewan Kolej Mara Kuala Nerang dipenuhi dengan pentadbir sekolah dan guru-guru.
Alhamdulillah, Allah izinkan saya menyampaikan syarahan dalam dua slot yang berbeza, "transformasi diri" dan " Menghadapi Ujian". Saya fikir perjalanan panjang tidak menjejaskan tumpuan dan semangat untuk menyampaikan sedikit ilmu yang saya harap boleh dimanfaatkan.
Kemudian, saya dijamu dengan makan tengahari. Saya senyum melihat tuan rumah sudah hampir selesai dengan hidangan mereka apabila masuk ke ruang makan. Opps.. saya terpaksa melayani beberapa "peminat" yang ingin bergambar, menandatangani buku-buku dan melayani beberapa pertanyaan.
Tidak mengapa, saya tetap mahu ikut makan bersama mereka. Ia hidangan yang lazat setelah seminggu berperang "kembang tengkuk dan leher" dengan restoran yang dikatakan "muslim" di Beijing dan Tianjin.
Bila nasi dipinggan saya hampir habis, saya dengan sopan berkata, "sedap…. masakan ini sesuai dengan selera saya".
Mereka tidak mengerti dan tidak pula bertanya, "prof hendak tambah nasi?".
Barangkali mereka semuanya sudah kenyang!
He… he… he…. he… (saya ketawa dan senyum yang lebar).
Masjid Pokok Sena
Selepas Asar, saya menyampaikan sedikit tazkirah di masjid yang sangat saya sukai. Ia masjid lama, terbuka dan seolah-olah tidak akan siap sampai bila-bila. Jemaahnya golongan tua, melepasi 37 tahun benchmark tua yang seriang saya uar-uarkan di dalam ceramah.
Kemudian, saya berpeluang berceramah di Masjid Yayasan Al-Bukhari di Alor Setar. Kuliah Maghrib selama 1 1/2 jam meninggalkan kenangan yang sangat manis. Ia ceramah pertama di kawasan Alor Setar.
Khalayaknya sangat tekun mendengar. Barangkali separuh daripada mereka pernah mendengar atau membaca buku Travelog haji: Mengubah Sempadan Iman.
Akhir sekali – sekejap lagi – saya akan berjumpa dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Datuk Syed Ahmad. Ia ceramah motivasi yang saya nanti-nantikan.
InsyaAllah, kunjungan 2 hari 1 malam e sini kmelengkapkan pakej percutian yang telah saya lalui.
May 20, 2011
Menulis di Kuala Nerang
Pagi semalam di Tianjin, malam di Sepang dan pagi ini di Kuala Nerang. Ia jarak beribu batu. Namun masa yang biasanya panjang untuk menghubungkan antara dua jarak kini nyata terlalu singkat.
Begitulah relatif masa yang bakal dialami oleh setiap manusia.
Kehidupan di dunia, alam kubur, padang Masyar dan syurga atau neraka mempunyai masa yang bersifat relatif. Ia tidak mutlak. Lambat atau bangat perjalanan masa bergantung kepada amalan seseorang.
Di Beijing, hampir setiap pagi saya menyampaikan tazkirah selepas solat subuh berjemaah. Pendengar tazkirah, hati nurani sendiri, Fizi (tour leader) dan Ustaz Nawawi. Tazkirah yang disampaikan seawal jam 3.30 pagi.
Semalam, tazkirah disampaikan di dalam bas, di dalam perjalanan kami meninggalkan Beijing menuju Tianjin dengan rombongan akan berangkat pulang.
"Apakah lawatan kita ini diterima Allah?, jika kita diminta menceritakan apakah pengalaman bermanfaat yang telah kita lalui selama 6 hari 5 malam di sana, mampukah kita menulis sebuah buku?"
Saya bertanya diri sendiri sambil mengharapkan rombongan membuka minda sejenak. Pertanyaan ini tentu sekali boleh dijawab dengan berkesan. Lalu saya memberi pendapat, "lawatan ini pastinya diterima Allah jika ia menyebabkan kita terus menyembah dan beramal ibadat kepadaNya sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT".
"Pertama, apakah lawatan ini menyebabkan kita meninggalkan solat? Tentu sekali tidak. Kita masih lagi solat berjemaah. Ehem… Allah memudahkan kita. Solat hanya 3X sehari.
Subuhnya awal. Jam 3 pagi. Kita bangun jam 2 pagi, solat malam dan terus solat subuh. Lalu kita tidur semula. Bila bangun jam 6.00 pagi, kita sudah boleh bersolat duha. Mataharinya sudah meninggi.
Lihatlah kebesaran dan kekuasaan Allah. Lihatlah perubahan masa. Lihatlah cuaca yang menyebabkan ketiak kita tidak cepat hangit berbanding cuaca di Malaysia".
Ia tazkirah yang panjang.
Bakal Menantu
Pada suatu ketika yang lain saya mengusik seorang pelajar, "mahu jadi menantu saya?". Beliau kelihatan sangat manis bila bertudung ketika ingin memasuki masjid.
"Awak cantik memakai tudung, Kenapa tidak pulang nanti terus bertudung?"
Beliau tersenyum dan nampak bersetuju. Saya menambah kata, "saya mahu menantu yang bertudung, menutup aurat. Nanti saya hadiahkan tudung Aryani.."
"Janji prof…."
Di lapangan terbang, ayah beliau menyambut anaknya. Kami berkenalan dan Roza menyebut, "dia boleh dibuat menantu". Ayahnya mengangkat tangan dan menyebut "Ameen…"
Siapa tahu, jika itu jodoh Azrai?
Saya sangat berkenan!
May 19, 2011
Masa

Sumbangan untuk masjid Nandouya
Kassy, pemandu pelancong kami tinggal sejauh 2 jam perjalanan daripada hotel kami. Pemandu bas pula tinggal dalam lingkungan yang hampir sama. Dan kedua-duanya mempunyai sifat yang serupa. Mereka tiba 10 – 20 minit lebih awal daripada masa yang telah dijanjikan.
Masa sangat penting. Allah berpesan, "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".
Mereka yang berdisiplin dengan masa – saya fikir – tidak akan menghadapi masalah menghadapi perubahan masa. Di sini, waktu solat subuhnya bermula di sekitar 3.00 dan berakhir di sekitar jam 5.00 pagi. Ia waktu tidur kebanyakan orang di Malaysia.
Mengikuti rombongan atau berada dalam kelompok ramai, penjagaan masa menjadi lebih penting. Mereka yang tidak menjaga masa akan menyusahkan ramai orang dan akan kelihatan seperti mementingkan diri sendiri. Apatah lagi jika mereka yang sama sahaja yang kelihatan tidak menjaga masa.
Ada sesuatu yang ganjil berkaitan manusia dan masa. Jika kita berkata, "kita berkumpul di sini pada jam 8.00 pagi," maka akan ada yang tiba pada jam 8.05. Kemudian, jika kita menyebut, "besok kita berkumpul jam 9.00 pagi di sini," maka ada juga yang datang pada jam 9.05 pagi.
Ia kelihatan seolah-olah mereka istiqamah dengan lewat lima minit dan bukannya awal lima minit!
Menjaga masa – saya fikir – salah satu tanda mereka adalah orang yang beriman. Masakan tidak, bukankah orang yang tidak berpegang kepada janjinya di kelompokkan sebagai tanda-tanda orang munafik?
Pulang
6 hari 5 malam terasa sangat panjang.
Malam nanti di sekitar 10.30 malam – InsyaAllah – kami akan mendarat di Sepang. Namun perjalanan saya dan Roza masih belum terhenti. Kami akan terus ke Kuala Nerang. Mudah-mudahan ada baki tenaga untuk saya menyampaikan kuliah seperti yang telah dirancang.
Semalam kami melakukan sedikit pembelian untuk anak-anak. Sara mengirim jaket, Azrai dan Amirul kasut Nike dan Sofea kasut Croc. Secara spesifik Azrai berpesan, "mama jangan beli yang tulis NIQE. Pastikan betul-betul NIKE".
Ia pengalaman yang menarik. Kesemua barangan berjenama hebat ada di sini. Ia original "made in China". Ada yang berkualiti, ada yang tidak. Namun proses tawar-menawar sangat luar biasa. Jaket Sara bermula dengan harga Y1350. Ia berakhir dengan Y100. Kasut Nike bermula dengan Y500 tetapi akhirnya kami membayar dengan harga Y100.
Perempuannya sangat kasar. Mereka akan memegang kita bersungguh-sungguh. Jika menyentuh barangan dan berakhir dengan "tidak jadi membeli", penutupnya akan dipenuhi dengan sumpah seranah.
May 18, 2011
Masjid Madian

Remaja yang ceria
Setiap pagi mereka bergilir-gilir membaca doa selamat agar urusan kami dirahmati, dipermudah dan dikasihi oleh Allah SWT. Di sebelah malam, bila sampai di hotel kami menutup hari dengan tasbih kifarah dan membaca surah Al-Ansr.
Saya seronok bersama mereka – siswa-siswi UiTM Johor – di sini. Mereka manusia yang sangat ceria. 99 peratus masa yang dirancang tepat. Jadual yang disediakan kesemuanya dapat dilaksana dengan jayanya.
Hiidup kami lebih mudah dengan adanya Hajar yang fasih berbahasa Mandarin. Sangat fasih dan pasti lebih tinggi bahasanya berbanding dengan penduduk tempatan. Beliau belajar Mandarin di sekolah rendah dan menengah. Di UiTM beliau memilih bahasa Arab.
Saya sentiasa kagum dengan mereka yang pandai berbahasa. Sesuatu yang sukar saya capai!

Menyerahkan sedekah dan hadiah kepada AJK Masjid Madian
Semalam hari yang sangat menggembirakan hati saya. Kami solat berjemaah di Masjid Madian. Terasa sangat syahdu.
Pertama, saya berfikir mereka yang beragama Islam di sini dan menunaikan tanggungjawab bersolat di masjid benar-benar merupakan golongan terpilih. Cabaran mereka lebih kuat berbanding dengan masyarakat yang sekitarnya beragama Islam.
Emmmm…. benarkah begitu?
Kedua, masjid itu sendiri mempunyai roh yang jauh berbeza berbanding dengan "paksaan" untuk saya melawat kilang sutera, ubat-ubatan China, mutiara dan jade serta pelbagai tempat lain. Saya OK tetapi masa dan keadaannya sudah jauh berbeza.
47 Tahun
Bertambah lagi umur saya. Makin hampirlah saya menuju ke fasa seterusnya, kematian. Dulu, harijadi hari untuk diraikan. Hari ini, ia hari untuk saya mengingati kenapa saya dilahirkan di dunia.
Lihat, saya berada di China ketika usia genap 47 tahun. Saya tidak merancang begitu. Ia adalah kuasa Allah. Agaknya begitulah apabila dikaitkan dengan kematian.
Nun jauh di sudut hati saya berharap di kebumikan di perkuburan Baqi'. Hakikatnya, ketetapan Allah lebih hebat daripada perencanaan dan kemahuan Allah. Pastinya, kita tidak mungkin menelah dengan yakin di mana dan bila kita akan dipanggilNya.
Harijadi saya jatuh pada hari Khamis, hari yang disunatkan berpuasa. Roza menyediakan Milo panas dan secubis roti China dan saya berdoa, "ya Allah berikanlah kekuatan untuk aku berpuasa……"
Saya doakan khalayak pembaca KRTS dirahmati Allah sentiasa. Doakan kesejahteraan dan kerahmatan Allah kepada saya dan keluarga.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
