Menulis di Kuala Nerang
Pagi semalam di Tianjin, malam di Sepang dan pagi ini di Kuala Nerang. Ia jarak beribu batu. Namun masa yang biasanya panjang untuk menghubungkan antara dua jarak kini nyata terlalu singkat.
Begitulah relatif masa yang bakal dialami oleh setiap manusia.
Kehidupan di dunia, alam kubur, padang Masyar dan syurga atau neraka mempunyai masa yang bersifat relatif. Ia tidak mutlak. Lambat atau bangat perjalanan masa bergantung kepada amalan seseorang.
Di Beijing, hampir setiap pagi saya menyampaikan tazkirah selepas solat subuh berjemaah. Pendengar tazkirah, hati nurani sendiri, Fizi (tour leader) dan Ustaz Nawawi. Tazkirah yang disampaikan seawal jam 3.30 pagi.
Semalam, tazkirah disampaikan di dalam bas, di dalam perjalanan kami meninggalkan Beijing menuju Tianjin dengan rombongan akan berangkat pulang.
"Apakah lawatan kita ini diterima Allah?, jika kita diminta menceritakan apakah pengalaman bermanfaat yang telah kita lalui selama 6 hari 5 malam di sana, mampukah kita menulis sebuah buku?"
Saya bertanya diri sendiri sambil mengharapkan rombongan membuka minda sejenak. Pertanyaan ini tentu sekali boleh dijawab dengan berkesan. Lalu saya memberi pendapat, "lawatan ini pastinya diterima Allah jika ia menyebabkan kita terus menyembah dan beramal ibadat kepadaNya sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT".
"Pertama, apakah lawatan ini menyebabkan kita meninggalkan solat? Tentu sekali tidak. Kita masih lagi solat berjemaah. Ehem… Allah memudahkan kita. Solat hanya 3X sehari.
Subuhnya awal. Jam 3 pagi. Kita bangun jam 2 pagi, solat malam dan terus solat subuh. Lalu kita tidur semula. Bila bangun jam 6.00 pagi, kita sudah boleh bersolat duha. Mataharinya sudah meninggi.
Lihatlah kebesaran dan kekuasaan Allah. Lihatlah perubahan masa. Lihatlah cuaca yang menyebabkan ketiak kita tidak cepat hangit berbanding cuaca di Malaysia".
Ia tazkirah yang panjang.
Bakal Menantu
Pada suatu ketika yang lain saya mengusik seorang pelajar, "mahu jadi menantu saya?". Beliau kelihatan sangat manis bila bertudung ketika ingin memasuki masjid.
"Awak cantik memakai tudung, Kenapa tidak pulang nanti terus bertudung?"
Beliau tersenyum dan nampak bersetuju. Saya menambah kata, "saya mahu menantu yang bertudung, menutup aurat. Nanti saya hadiahkan tudung Aryani.."
"Janji prof…."
Di lapangan terbang, ayah beliau menyambut anaknya. Kami berkenalan dan Roza menyebut, "dia boleh dibuat menantu". Ayahnya mengangkat tangan dan menyebut "Ameen…"
Siapa tahu, jika itu jodoh Azrai?
Saya sangat berkenan!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
