Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 55
July 12, 2011
Ambang Ramadhan
Malam tadi saya dijemput untuk memberi kuliah Maghrib di Surau Kg Tengah, Segamat. Topiknya spesifik, Di Ambang Ramadhan.
Pada pandangan saya, ada dua keadaan yang boleh memudahkan seseorang berubah secara luar biasa. Pertama, ibadat haji. Mereka yang mahu menunaikan ibadat ini mempunyai aromanya yang tersendiri.
Ibadat haji boleh menyebabkan manusia bertaubat dengan sesungguh taubat. Menangis, merayu dan merintih agar dosa-dosa lampau diampun Allah. Ibadat ini juga boleh menjadikan manusia bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa untuk mengadapNya.
Banyak yang luar biasa tentang ibadat ini di sebalik keperluan "sekali seumur hidup" jika berkemampuan. Jika diperhalusi, ia menjadi penyebab kepada manusia diberi taufik dan hidayah olehNya.
Pastinya, ketika saat hati terdetik untuk melaksanakan ibadat ini, seluruh jiwa dan perasaan bergetar mahu menjadi manusia yang diterima Allah.
Kedua, ibadat puasa di bulan Ramadhan. Masjid-masjid sangat meriah. Mereka tidak pergi solat maghrib berjemaah (nota: ujian berbuka puasa yang gagal) tetapi berduyun-duyun hadir untuk menunaikan solat Isya dan terawih berjemaah.
Ketika belajar di Dundee, Scotland komuniti Islam (kebanyakannya orang Pakistan) memberhentikan segala maksiat dan beramai-ramai berkunjung ke masjid untuk berjemaah di bulan Ramadhan. Mereka yang "kaki minum" juga tidak terkecuali.
Ia sangat luar biasa.
Namun ia tidak menjadi luar biasa apabila tamat sahaja bulan Ramadhan. Kebanyakan di antara kita yang kembali kepada suasana asal sebagaimana bulan sebelumnya. Seumpama ibadat haji, kejayaan sebenar ibadat puasa – bagi saya – adalah amalan-amalan yang diteruskan pada bulan-bulan berikutnya.
Misalnya, seorang isteri yang bangun menyediakan sahur untuk suami dan anak-anak lalu mengambil kesempatan untuk solat tahajud dan solat sunat yang lain sebelum masuk ke dapur sepatutnya menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan mengubah sempadan iman.
Pada 11 bulan yang lain, mereka bangun awal untuk melaksanakan solat malam semata-mata kerana Allah dan bukan lagi sampingan kepada menyediakan sahur, InsyaAllah.
Bulan Ramadhan bulan yang sangat mulia. Hakikatnya, kita perlu bersedia untuk menyambut kedatangan bulan ini. Sambutlah dengan harapan ia akan menjadikan kita sebagai manusia yang lebih baik di sisiNya.
July 11, 2011
Nilai sekeping Sijil
Beberapa bulan yang lepas, Segamat dilanda banjir besar. Rumah saya tidak terkecuali. Air setinggi paras dada di dalam rumah. Tafsiran kasar, kerugian mencecah RM100,000.
Kereta NAZA tenggelam paras side-mirror. Bengkel mahu RM21,000 untuk menggantikan engin lama dengan yang baru termasuk upah. Saya write-offkan kereta tersebut dengan menghadiahkan kepada salah seorang Ustaz di UiTM Segamat. Beliau perlu mengeluarkan belanja untuk membaik-pulih kereta tersebut dan baki bank sebanyak RM45000 dijelaskan oleh saya.
Kitab-kitab juga turut musnah. Kebanyakan yang sering menjadi rujukan bagi menulis dan menyampaikan syarahan atau kuliah mingguan. Kesemuanya diletakkan di rak yang paling bawah. Nilainya hampir RM10,000.
Pakaian – jubah dan abaya – hampir 100% musnah. Perabut-perabut juga tidak terkecuali. Mana-mana yang asasnya berdasarkan papan lapis kembang dan tidak boleh digunakan lagi.
Barang-barang elektrik juga tidak terkecuali daripada menerima kesan banjir. TV dan home teaternya, oven yang sering digunakan untuk Roza membakar cheese cake, washing machine dan decorder ASTRO beyond semuanya musnah.
Ia kelihatan ujian terbesar dalam hidup kami sekeluarga. Nyata ia bertepatan sebagaimana firman Allah melalui surah Al-Baqarah ayat 155-156 yang bermaksud,
"Demi sesungguhnya!
Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali".
Saya sendiri tidak boleh memasuki bandar Segamat ketika air memenuhi rumah kami.
"Adib, tolong selamatkan tiga perkara. Pertama dokumen saya dan Kak Roza. Saya punya di atas meja makan. Kak Roza di dalam drawer almari bilik tidur, laptop di perpustakaan dan kalau boleh tolong alihkan kereta NAZA," saya mohon pertolongan jiran.
Sejam kemudian beliau maklumkan, "Prof semua OK kecuali NAZA. Jalan keluar semuanya sudah tidak boleh dilalui".
Subhanallah, kini saya merenung kembali ujian ini. Allah selamatkan sijil-sijil saya – melalui jiran yang sangat baik hati - kerana itulah yang sangat-sangat saya perlukan. Saya tidak perlukan NAZA. Kami langsung tidak memerlukan perabut-perabut atau barangan yang lain.
Kami perlukan sijil dan beberapa dokumen lain untuk berhijrah ke Madinah. Banjir telah membersihkan segala barangan yang perlu kami tinggalkan. Dan benar ia hanyalah ujian yang Allah mahu kami bersabar.
Pasca banjir, kami diberi rasa gembira yang amat sangat. Tanpa diduga, pihak insuran membayar RM17000, kooperasi UiTM menyumbang RM4000 dan bantuan ehsan kerajaan RM500.
Sebagai ganti kereta NAZA, saya mengguna kembali kereta Proton WIRA yang telah saya hadiahkan kepada arwah Abah. Dan hadiah yang paling mahal ialah tawaran bekerja sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah. Nilainya jauh daripada RM100, 000 yang dikembalikan kepada Dia yang Maha Berkuasa.
Malah saya sangat-sangat bersyukur jika dapat menyudahkan buku "Travelog Kehidupan: Bagaimana menghadapi Ujian" sebelum berangkat ke Madinah.
Maka surah Insyirah kita jadikan renungan,
"Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); (Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)".
July 10, 2011
Kalaulah…
Minggu kedua dan ceramah ketiga di Masjid Jamek Kg Jawa.
Saya menyebut, "kalaulah masuk syurga ini berdasarkan kelulusan akademik tertinggi universiti, maka saya fikir mereka yang berkelulusan PhD mempunyai peluang yang lebih cerah. Ini termasuklah saya.
Kalaulah masuk syurga ini berdasarkan hiriki jawatan, mungkin jawatan profesor yang saya sandang melayakkan saya untuk terpilih. Mengikut protokol, jawatan ini berada pada susunan 63 senarai keutamaan susunan kerajaan persekutuan jika berada di dalam majlis-majlis rasmi kerajaan selepas SPB Yang Dipertuan Agung".
Namun kekasih atau wali Allah tidak bergantung kepada jawatan atau kelulusan pengajian. Malah- mungkin – jawatan-jawatan kanan ini merupakan ujian Allah yang jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebab penyandangnya semakin jauh daripadaNya.
Benar, di dunia lagi manusia terpilih boleh disaksikan secara jelas. SPB Yang DiPertuan Agong hanya seorang sahaja. Dalam tempoh 50 tahun kemerdekaan hanya beberapa kerat sahaja yang bergelar begitu.
Perdana Menteri, setakat ini hanya 5 orang sahaja yang terpilih. Profesor di Malaysia pula tidak sampai pun 2500 dalam tempoh yang sama.
Hakikatnya, ia terpilih semata-mata (nota: jika tidak kena gayanya) untuk kehidupan dunia.
Kehidupan selepas kematian juga mempunyai ciri-ciri yang sama. Ada golongan terpilih yang telah dinyatakan oleh Allah SWT melalui surah Wa'qiah,
"Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);
Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah), (Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu; Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian."
Dan aturannya bukan berdasarkan kelulusan, pangkat dan darjat. Hanya mereka yang diangkat sebagai kekasih dan wali Allah yang akan mendapat imbuhan tertinggi.
Ia anugerah Allah berdasarkan rahmat dan kasih-sayangNya. Barangkali kenyataan "mereka yang berTAQWA" merupakan sesuatu yang perlu difikirkan. Saya sentiasa berdoa supaya dapat melonjak naik dalam senarai protokol keutamaan Allah SWT.
Subhanallah, ampunilah kami ya Allah!
July 9, 2011
Biarlah begitu….
Adik perempuan – salah satu watak utama Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman – akan melangsungkan perkahwinannya di Besut pada Hari Raya kedua nanti.
Saya walinya dan InsyaAllah bercita-cita untuk menikahkan beliau dengan pasangannya. Semalam saya bertanya,
"Na ada berjumpa dengan tunang?"
"Tak ada abang. Jumpa hari tulah… masa ada majlis di rumah Wan"
"Ada telefon?"
"Adalah sekali-sekala… bincang pasal buku… kalau ada yang spesifik pasal majlis nanti…"
"Baguslah… biarlah begitu. Jaga diri baik-baik".
Pertunangan hanyalah satu tanda yang mereka sudah berjanji – melalui keluarga – untuk bersama. Ia bukan tiket untuk ke hulu dan ke hilir atas nama suatu ikatan.
Pesan saya kepada adik yang satu ini sangat jelas, "kalau Na fikir ia berdosa, jangan lakukan. Biarlah apa orang kata, paling penting apa yang kita mahu lakukan. Dan biarlah ia kerana Allah semata-mata".
Saya juga bersyukur kerana bakal adik ipar juga mempunyai pendirian yang sama. Di FB, kawan-kawan beliau hampir 5000 ramainya. Beliau sendiri mempunyai peminat yang ramai.
Menariknya, beliau "mencari" saya untuk mencari jodoh. Begitulah, jodoh pertemuan di tangan Allah. Mudah-mudahan majlis akan berlangsung dengan damai sekali.
Jemputlah ke rumah kami pada 2 hari raya di Jalan Batu Tumbuh, Alor Lintang, Besut Terengganu. Sampai di Masjid Alor Lintang, berhadapan dengan Sekolah Menengah Tengku Mahmood, tanyalah saya di talian 0193154444.
Port Dickson
Malam tadi kami diraikan oleh Fakulti Perakaunan, UiTM Johor. Tempatnya di Hotel Selesa Port Dickson.
Terima kasih atas ingatan. InsyaAllah hubungan akan terus berkekalan. Pertama, mungkin sebagai penilai luar untuk proses kenaikan pangkat profesor atau profesor madya.
Kedua, mungkin juga sebagai pemeriksa luar kepada bakal-bakal calon yang sedang belajar di peringkat PhD.
Ketiga, saya menjemput mereka untuk berkunjung ke rumah bagi menikmati – sekurang-kurangnya – Teh Arab. Jika Roza sudah mahir dengan "nasi mandy", InsyaAllah mereka boleh merasainya di sana.
Maksud saya, hubungan ketika menunaikan fardhu haji dan umrah.
Keempat, saya katakan kepada mereka, "saya sudah tua. Sudah lama tidak mengajar banyak subjek… kalau saya minta nota, tolonglah hantar….".
Tentu sekali mereka tersenyum simpul.
RM12000
Jumlah sumbangan terkumpul untuk anak yatim yang kami kelolakan sempena idil-fitri tahun ini sudah mencecah jumlah tersebut. Apa lagi yang boleh kami ungkap kecuali, "terima kasih dan semoga ia mendapat redha Allah".
Sekali lagi kami ingin maklumkan yang jumlah tersebut sudah mencukupi dengan apa yang kami rancangkan.
July 8, 2011
Khutbah terakhir
Malam tadi, Masjid Bukit Siput mengadakan majlis meraikan penghijrahan kami ke Madinah. Saya terharu. Rasa sebak bukanlah kerana kami dijamu dengan nasi yang sedap tetapi mengenangi masjid inilah yang pertama memberi kepercayaan untuk saya menyampaikan kuliah secara berkala di daerah Segamat.
Saya tidak langsung berniat untuk menyampaikan kuliah perpisahan tetapi bersedia jika diminta. Topik yang saya sentuh secara ringkas ialah berkaitan dengan khutbah terakhir yang telah disampaikan oleh Rasulullah (selawat dan salam kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat) semasa menunaikan fardhu haji.
Itulah satu-satu fardhu haji yang dilaksanakan oleh baginda.
Khutbah ini banyak tergantung di rumah-rumah umat Islam, pejabat dan masjid. Salah satu para yang sentiasa menarik perhatian saya ialah sabda baginda yang bermaksud,
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu…".
Pesanan baginda berkisar kepada soal riba, peranan isteri dan tanggungjawab suami kepada isteri, dan perlunya berpandu teguh kepada rukun Islam yang lima.
Benarlah pesan baginda betapa orang yang terkemudian lebih memahami apa yang disabdakan oleh baginda. Hari ini, kita menyaksikan bagaimana soal-soal asas dalam Islam diketepikan begitu sahaja. Soal syirik, solat, berpuasa, zakat dan haji menjadi isu besar.
Namun kata-kata ini perlu diamati secara sungguh-sungguh,
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar. maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil".
July 7, 2011
Titipan
Setiap peserta persaraan diminta menulis sedkit tentang "apa sahaja yang mahu ditulis" untuk dibacakan kepada kumpulan yang akan datang. Titipan saya ringkas,
Saya sendiri yang memohon untuk bersara pilihan. Namun apabila UiTM menyatakan "ia diluluskan dan keputusan ini muktamad", hati saya terus sebak, sayu, terharu dan pilu. Tentu sekali saya tidak dapat mendustakan segala nikmat yang diberi Allah melalui UiTM.
Zalimlah saya untuk terus bertanya, "apa lagi yang boleh disumbangkan oleh UiTM semasa kami di alam persaraan?".
Terima kasih UiTM.
July 6, 2011
Sumbangan Hari Raya Anak Yatim
Hendak atau tidak?
Lama juga saya berfikir sama ada mahu terus menguruskan sumbangan amal hari raya buat anak-anak yatim setempat. Saya fikir masa sangat terhad. Takut-takut tidak mampu saya dan Roza "berkejar" atas banyak perkara.
Namun akhirnya, hadis yang sering saya baca kepada khalayak memberikan kami semangat,
Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat kepadaKu, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan, dan aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja, dan aku tidak menutup kemiskinanmu! [Riwayat Ahmad].
Kami masih terkenang bagaimana seorang anak yang petah berkata, "Cikgu, tahun depan cikgu belilah baju pula. Kita asyik pakai baju kakak sahaja".
Buat kali terakhir – sebelum meninggalkan Segamat – sesiapa yang ingin membantu kami menyediakan sumbangan menyambut hari raya kepada anak-anak yatim di sekitar Segamat, saya mempelawa khalayak KRTS memberi sumbangan tulus ikhlas.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam: 01078010017163 dengan memaklumkan "Sumbangan Anak Yatim". Jika tidak keberatan, mohon SMS kepada 0193154444 untuk memudahkan saya merekod kesemua derma yang telah disumbangkan.
7.9.11
Itulah tarikh perlepasan KUL – MED. Menarik, ia angka ganjil yang menaik!
Semalam, sebahagian lagi urusan telah dapat disempurnakan. Lembaga Hasil Dalam Negeri Shah Alam telah mengeluarkan Surat Perlepasan Cukai. Kemudian, kami telah membuat tempahan penerbangan dengan Saudi Arabian Airlines dan menyerahkan surat tempahan tersebut kepada pihak kedutaan Arab Saudi.
Penerbangan terus KLIA – Madinah akan berlepas jam tiga petang.
Kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang telah sudi untuk mengucapkan selamat jalan di KLIA. InsyaAllah, kami akan bermalam di Hotel Pan Pasific KLIA sebelum berlepas. Mudah-mudahan kita dapat bertemu di sekitar jam 12 – 1 tengahari di kawasan terminal check-in.
Forum Bakal Bersara
Perbincangan banyak berkisar kepada pengalaman tiga pesara UiTM menghadapi dunia persaraan. Isu-isu besar yang disentuh berkisar kepada soal kewangan. Misalnya persoalan bagaimana mahu mencukupkan kembali pendapatan yang susut akibat bersara, penjagaan kesihatan dan realiti emosi pesara.
Ketika majlis dibuka kepada khalayak, saya cuba mengingatkan diri sendiri dan mereka yang hadir betapa isu yang sering dipinggirkan ialah bagaimana kita mengurus diri sendiri untuk berhadapan dengan Allah SWT dengan baki masa yang sedikit.
Katanya, ia isu sensitif yang tidak mahu dibincangkan.
Jika umur kematian 74 tahun sebagaimana purata yang dikira oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diambil kira, maka bakal-bakal pesara yang berada di dalam dewan termasuk dalam kumpulan "masa yang tinggal lebih sedikit daripada masa yang telah dilalui".
Saya fikir, maka sesuai agaknya untuk menilai kembali amalan lampau yang telah kita lakukan semasa sedang berkhidmat. Dengan sedikit refleksi, mungkin ia boleh membantu kita membuat perancangan persaraan berdasarkan keutamaan yang hakiki.
July 5, 2011
Sentiasa muda
"Saya tersilap kursus," terdengar gurauan salah seorang peserta kursus pra persaraan.
Ia mungkin kata-kata spontan tetapi barangkali juga ia merupakan rasa dalaman yang enggan menerima betapa usia mereka benar-benar menghampiri 58 tahun, usia persaraan wajib hampir kebanyakan yang hadir.
Ramai juga yang tidak dapat menerima hakikat tersebut. Mereka kelihatan sangat cergas, sihat tubuh badan dan masih boleh melakukan sesuatu yang mencabar.
Saya melihat dari perspektif yang berbeza. Persaraan wajib dalam konteks penjawat awam merupakan satu tanda jelas masa yang tinggal semakin hampir tidak kiralah sama ada mereka berasa masih muda atau tua.
Jika sihat, alhamdulillah Dia masih memberi nikmat kesihatan untuk terus melakukan amal ibadat kepadaNya. Ia menjadi sedikit sukar jika persaraan yang disertai dengan kesihatan yang baik tidak menyebabkan manusia hampir kepadaNya. Ia menyebabkan manusia lalai dan masih meneruskan rutin 58 tahun yang lalu.
Seorang rakan sejawat akan menghadapi usia persaraan dengan berjuang menghadapi kanser hidung. Nampak benar beliau tidak bertenaga, badan yang sangat susut dan tutur kata yang berhati-hati.
"Saya ingin menunaikan fardhu haji".
Seorang kenalan lain bertanya, "benar prof akan ke Madinah?".
"InsyaAllah, September nanti. Doakan saya dipermudahkan".
Saya mendiamkan diri apabila beliau menyambung kata, "saya mendapat khabar ini dari XYZ, katanya Prof ingin mencari Tuhan di sana".
Ia persepsi yang sukar diterima. Agaknya Tuhan hanya ada di Mekah atau Madinah. Begitulah, saya sering teruja untuk memberi pandangan kepada rakan-rakan yang baru pulang daripada menunaikan umrah dan haji yang menyebut, "Ya Allah prof, saya mula rindukan Mekah dan Madinah".
"Jika kita rindukan Mekah dan Madinah, kedua-duanya tiada di Malaysia. Kumpul duit dan InsyaAllah pergilah lagi menunaikan umrah. Terubatlah rindu pada Kaabah dan Masjid Nabawi. Jika rindu dengan amalan kita di sana – rindu pada Allah -, marilah kita solat berjemaah di masjid. Itulah rumah Allah yang ada di Malaysia. Marilah kita solat malam….".
Ironinya, amalan-amalan yang sepatutnya mengubat rindu dan melahirkan rasa cinta kepada Dia diketepikan. Disebut-sebut sesuatu yang pasti tidak tercapai dalam sekelip mata. Malah ia mempunyai kekangan yang pelbagai.
Di celah-celah sekumpulan manusia yang usianya menghampiri 60 tahun, saya melihat Roza tersangat muda. Bagaimanapun ia sudah cukup tua untuk mengingatkan diri sendiri betapa jalan yang bakal dilalui akan menghampiri nokhtah.
Persaraan mengingatkan kami kepadaNya tempat kembali yang hakiki.
July 4, 2011
Tiga hari di Melaka
Hari-hari yang semakin menarik.
Kesemua bakal pesara UiTM 2011 (barangkali hanya saya dan Roza) dan 2012 dikumpulkan di hotel Emperor Melaka. Kami semua akan dikursuskan. Kami turut serta bagi mendapat maklumat-maklumat yang mungkin berkait secara langsung dengan hari-hari sebagai seorang pesara penjawat awam Malaysia.
Semalam, kami menerima kad pesara daripada JPA. Tertulis jelas pada kad yang kami dibenarkan menginap di wad kelas 1 apabila dimasukkan ke mana-mana hospital kerajaan. Ia kemudahan yang sangat-sangat kami hargai.
Juga, disertakan jumlah pencen yang akan saya terima setiap bulan mulai 19hb Mei 2014. Roza pula akan menerima pencen pertamanya pada tahun 2023, 12 tahun lagi.
Jika saya pergi dahulu, Roza akan memperolehi pencen awal yang lebih lumayan. Emmmmm…. !!!!
JPA juga sudah memberi penyata pampasan yang bakal kami terima. Seharian, inilah topik yang kami bincangkan ketika waktu terluang. Menjadi seorang PESARA.
Anehnya, semalam juga VISA ke Madinah telah diluluskan oleh pihak Kedutaan Arab Saudi. Maka proses seterusnya ialah menempah tiket penerbangan yang perlu dilakukan melalui Saudi Cultural Mission.
Saya melihat penerbangan Saudi Airlines pada 2hb September masih banyak yang kosong. Barangkali itulah tarikh kami berlepas.
Banyak lagi peristiwa semalam yang melegakan kami berdua. Dan pastinya kami berterima kasih kerana ramai yang sudi berdoa agar kami dipermudahkan.
Ia nikmat Allah yang tidak mahu kami dustakan!
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
