Nilai sekeping Sijil

Beberapa bulan yang lepas, Segamat dilanda banjir besar. Rumah saya tidak terkecuali. Air setinggi paras dada di dalam rumah. Tafsiran kasar, kerugian mencecah RM100,000.


Kereta NAZA tenggelam paras side-mirror. Bengkel mahu RM21,000 untuk menggantikan engin lama dengan yang baru termasuk upah. Saya write-offkan kereta tersebut dengan menghadiahkan kepada salah seorang Ustaz di UiTM Segamat. Beliau perlu mengeluarkan belanja untuk membaik-pulih kereta tersebut dan baki bank sebanyak RM45000 dijelaskan oleh saya.


Kitab-kitab juga turut musnah. Kebanyakan yang sering menjadi rujukan bagi menulis dan menyampaikan syarahan atau kuliah mingguan. Kesemuanya diletakkan di rak yang paling bawah. Nilainya hampir RM10,000.


Pakaian – jubah dan abaya – hampir 100% musnah. Perabut-perabut juga tidak terkecuali. Mana-mana yang asasnya berdasarkan papan lapis kembang dan tidak boleh digunakan lagi.


Barang-barang elektrik juga tidak terkecuali daripada menerima kesan banjir. TV dan home teaternya, oven yang sering digunakan untuk Roza membakar cheese cake, washing machine dan decorder ASTRO beyond semuanya musnah.


Ia kelihatan ujian terbesar dalam hidup kami sekeluarga. Nyata ia bertepatan sebagaimana firman Allah melalui surah Al-Baqarah ayat 155-156 yang bermaksud,


"Demi sesungguhnya!


Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.


(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali".


Saya sendiri tidak boleh memasuki bandar Segamat ketika air memenuhi rumah kami.


"Adib, tolong selamatkan tiga perkara. Pertama dokumen saya dan Kak Roza. Saya punya di atas meja makan. Kak Roza di dalam drawer almari bilik tidur, laptop di perpustakaan dan kalau boleh tolong alihkan kereta NAZA," saya mohon pertolongan jiran.


Sejam kemudian beliau maklumkan, "Prof semua OK kecuali NAZA. Jalan keluar semuanya sudah tidak boleh dilalui".


Subhanallah, kini saya merenung kembali ujian ini. Allah selamatkan sijil-sijil saya – melalui jiran yang sangat baik hati - kerana itulah yang sangat-sangat saya perlukan. Saya tidak perlukan NAZA. Kami langsung tidak memerlukan perabut-perabut atau barangan yang lain.


Kami perlukan sijil dan beberapa dokumen lain untuk berhijrah ke Madinah. Banjir telah membersihkan segala barangan yang perlu kami tinggalkan. Dan benar ia hanyalah ujian yang Allah mahu kami bersabar.


Pasca banjir, kami diberi rasa gembira yang amat sangat. Tanpa diduga, pihak insuran membayar RM17000, kooperasi UiTM menyumbang RM4000 dan bantuan ehsan kerajaan RM500.


Sebagai ganti kereta NAZA, saya mengguna kembali kereta Proton WIRA yang telah saya hadiahkan kepada arwah Abah. Dan hadiah yang paling mahal ialah tawaran bekerja sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah. Nilainya jauh daripada RM100, 000 yang dikembalikan kepada Dia yang Maha Berkuasa.


Malah saya sangat-sangat bersyukur jika dapat menyudahkan buku "Travelog Kehidupan: Bagaimana menghadapi Ujian" sebelum berangkat ke Madinah.


Maka surah Insyirah kita jadikan renungan,


"Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); (Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?


 Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,


(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)".

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 11, 2011 15:35
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.