Muhd. Kamil Ibrahim's Blog, page 53
August 1, 2011
Hari Pertama
"Petang nanti mama masak apa?," soal Sofea.
"Kenapa? Sofea mahu makan apa?," soal Roza kembali.
"Steak"
"Mama, boleh Amirul makan bubur lambuk macam nenek masak," Amirul pula yang bertanya.
Kami ketawa.
"Sofea, Amirul tahu bagaimana para nabi berpuasa? Mereka tidak kisahkan juadah berbuka. Tidak mengapa… hari ini Amirul dan Sofea berpuasa tahap 2. Kita singgah di Restoren Hartinie, Sofea dengan Amirul pilihlah apa yang hendak dimakan," saya memberi respons dengan sedikit mendidik.
Mereka telah solat terawih di masjid negeri, bangun bersahor dan solat subuh, juga di Masjid Negeri dengan wajah yang ceria. Tiada susah-payah. Ketika seusia mereka, saya sendiri belum mengenal soal berjemaah di masjid secara bersungguh-sungguh.
Berbeza dengan mereka, ia rutin kehidupan seumpama makan dan minum.
Lalu saya singgah di Restoran Hartinie – Seksyen 10 Shah Alam – yang menjadi meja makan semenjak tahun 1986. Wan Hartinie – anak towkey (rakan FB) - menghulurkan RM100 kepada Roza sambil berkata, "derma untuk anak yatim Segamat".
Alahai…. rezeki anak-anak yang sedang kami uruskan. Di Brunei, seorang hamba Allah bertanya Roza, "prof masih uruskan derma anak yatim?". Roza mengiakan. Keesokkannya, beliau menghulurkan RM1700.
Begitulah. Rezeki anak-anak yatim ada di Brunei dan Shah Alam. Dua tempat yang berbeza.
Malam tadi kami solat terawih di UiTM Segamat. Dewan solat dipenuhi jemaah terutamanya para sisiwi. Seronok melihat anak-anak muda ini beramai-ramai mengerjakan solat sunat walaupun secara relatifnya ia merupakan peratusan yang sangat kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan pelajar.
Di Masjid Kg Jawa, solat subuh hampir tiga saf panjang. Ia luar biasa berbanding dengan hari-hari biasa. Itulah kelebihan ramadhan. Selepas bersahur, mereka tidak lagi tidur dan terus bersiap untuk ke masjid.
Emmm…. marilah kita berdoa supaya Allah memberikan kekuatan untuk meneruskan amalan-amalan mulia di bulan ini untuk 11 bulan yang akan datang. Ia tidak sukar sebenarnya.
InsyaAllah!
July 31, 2011
Bergetar
Jika ada ketika saya tidak mahu imam menamatkan bacaan, maka solat subuh di Masjid Negeri Shah Alam sekejap tadi merupakan salah satu detik dan ketikanya.
Aneh, saya tidak tahu surah apa yang dibaca, apatah lagi makna yang tersurat dan tersirat, ia menyelinap masuk terus ke hati, menggetarkan jiwa dan perasaan. Air mata menitis nipis, mengalir membasahi pipi.
Itulah kekurangan diri yang ketara. Mendengar tetapi tidak mengerti apa yang dituturkan oleh Imam. Tinggal lagi Allah kasihankan saya, melembutkan hati supaya tersedu dengan hanya mendengar kemerduan dan keindahan ayat-ayat Dia yang dibaca oleh Imam.
"Ya Allah, izinkan aku untuk mempelajari bahasa Arab ya Allah. Ya Allah, jadikanlah aku seorang yang fasih berbahasa Arab, memahami ayat-ayat suci al-Quran serta dapat mengingati ayat-ayat Mu ya Allah".
NotaMKI: Mungkin ada di antara pembaca KRTS yang berada di Masjid Negeri dan mengetahui surah mana yang dibaca Imam. Saya mahu membaca terjemahannya.
Mereka yang Hampir
"Tuan Haji, bagaimana kita boleh berkenalan?," ia soalan yang saya kemukakan kepada Tuan Haji Sabtu. Beliau menyatakan detik-detik awal pertemuan kami ketika majlis pelancaran buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, hampir 4 tahun yang lampau.
Beliau dan isteri mempelawa saya ke rumah. Tiga hari saya memikir-mikir mencari celah di antara perjalanan ke Brunei, ceramah di Taman Melati, urusan jual-beli rumah di Shah Alam dan mahu solat terawih di Shah Alam.
Semalam, Allah lapangkan masa kami. Alhamdulillah, saya dapat berjumpa dengan isteri beliau yang selalu "berkirim salam" kepada saya dan Roza. Orangnya sentiasa tersenyum. Ceria!
Saya fikir beliau seorang yang menguruskan hal rumahtangga. Kenapa? Tuan Haji Sabtu tidak tahu membezakan di antara pinggan soto dengan pinggan nasi! Saya mahu makan nasi, dihulurnya pinggan soto.
Minta maaf Tuan Haji… saya doakan tuan sekeluarga sentiasa dirahmati Allah, bahagia selalu dan dimurahkan rezeki.

Tuan Haji Sabtu dan Imam Masjid Subang Jaya meraikan kami sekeluarga
Ramadhan
Ramadhan tiba lagi. Saya doakan agar semua pembaca KRTS dapat beramal ibadat sepenuhnya. Berpuasa dengan cara para nabi dan kekasih Allah melaksanakannya.
Ibarat kata Imam Ghazali, puasa khusus al khusus, puasa yang dilakukan semata-mata kerana Allah.
Saya memulakan ibadah puasa dengan mahu berterawih di Masjid Negeri Shah Alam. Ia ruang solat yang banyak menimbulkan kenangan luar biasa. Bersahor, beriktiqaf dan berqiamullail sebelum mahu berangkat ke Tanah Suci pada 2005/2006.
Malam ini, hampir keseluruhan dewan solat dipenuhi dengan jemaah. Ruang wanita penuh sesak. Pakaian putih memenuhi ruang belakang masjid. Bacaan Imam Sheikh Mahmood dari Mesir (nota: jika tidak tersilap) bergema. Ia benar-benar memberi rasa kusyuk.
Saya teruja melihat Sofea dan Amirul tidak bermasalah. Mamanya berkata, "Sofea kena berlatih. Nanti di Madinah, banyak masa kita di masjid".
Saya sendiri tidak sabar menanti saat-saat tersebut.
Dan pagi tadi, saya menamatkan siri ceramah di Masjid Sallahuddin Al-Ayubi, Taman Melati di sekitar Hulu Kelang. Alhamdulillah, penuh dewan kuliah dengan para ibu dan anak-anak daripada sekolah berhampiran.

Semoga berjaya dunia dan akhirat

Anak dan ibu memenuhi ruang kuliah
Pastinya saya akan terkenang suasana berceramah yang telah saya lalui selama hampir 4 tahun. Saya toleh ke belakang dan melihat kisah lampau yang tidak pernah terduga. Ia kisah kehidupan yang tak terjangkau dek fikiran manusia yang serba kekurangan.
Ya Allah aku mohon keampunan Mu. Jika ada salah silap ku, ampunilah daku. Semoga Ramadhan ini yang terbaik berbanding dengan yang terdahulu.
July 29, 2011
Yang Mulia

Terima kasih
Mereka bersusah payah "melayarkan" saya ke Brunei. Tempat tinggal kami di "premier" hotel Rizqun, hotel lima bintang bertaraf antarabangsa. Sanggup pula mereka mengambil 5 hari cuti tahunan semata-mata untuk menjadi pegawai pengiring.
Setiap kali solat subuh, merekalah yang akan menjemput kami ke masjid. Dapatlah kami merasa solat di Masjid Jame' Asri' Hassanal Bolkiah. Juga, merasai kenyamanan Masjid Sultan Omar Shaifuddin di tengah-tengah bandar Seri Begawan.
Misi mereka mudah, "Mahu bawa Prof Kamil ke Brunei supaya orang Brunei dapat dengar Prof bercakap".
Saya berceramah sebanyak lima kali. Kecuali di Kuala Belait, tuan rumah terpinga-pinga bagaimana saya boleh hadir di tempat mereka. Mereka tidak tahu siapa yang membiayai kehadiran saya.
Malah TV Brunei membuat liputan pada salah satu ceramah dan disiarkan melalui Berita Nasional. Gembira saya melihat jurukamera TV Brunei yang sepatutnya hanya datang mengambil beberapa shot dan pulang.
Beliau kekal bersama kameranya dan terpaksa pula menukar bateri dan menunggu sehingga ceramah selesai.
Di sini, bahasa Melayunya sangat indah. Mereka memanggil saya, "Yang Mulia Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim". Di sana-sini terpampang kata-kata "Daulat Ke bawah Duli Tuan Patik" sempena dengan keputeraan Sultan Brunei.
Namun yang paling mulia – di antaranya – pasangan yang hanya mahu berdiam diri di atas kerja-kerja amalnya. Semoga Allah memuliakan mereka di dunia dan akhirat.
NotaMKI: Berlayar digunakan untuk menaiki kapalterbang!
Jemputan
Sekretariat Percambahan Ilmu & Keintelektualan, UiTM Cawangan Johor dengan hormatnya mempelawa tuan/puan untuk menyertai Program Syarahan Intelektual Siri 11 dengan tajuk "MENGHADAPI UJIAN".
Syarahan ini akan disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Muhd Kamil bin Ibrahim, Tokoh Motivasi Agama/Penulis Bestseller Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.
Program tersebut akan diadakan seperti butiran berikut:
Tarikh : 6 Ogos 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi – 11.30 pagi
Tempat : Dewan Kuliah I & II, Blok Karyawan, UiTM Cawangan Johor
Sekiranya tuan/puan berminat untuk menghadiri majlis ilmu ini, sila hubungi pihak sekretariat di talian 07-935 2479/2293. Pihak kami juga sangat berbesar hati sekiranya jemputan ini dapat disebarkan kepada keluarga dan sahabat handai tuan/puan.
Semoga penganjuran majlis ilmu ini mendapat keberkatan dari-Nya. Kehadiran tuan/puan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
Azura bt Abdul Jamil @ Kamarudzzaman
Pensyarah Kanan
Koordinator Korporat
UiTM Johor
July 28, 2011
22 tahun
Itulah usia perkahwinan kami, saya dan Roza.
Dan berapa tahun lagi kami bersama, biarlah Allah yang menentukannya. Namun saya sering berdoa, temukanlah kami di syurgaMu, syurga yang paling istimewa, ya Allah.
Saya bersyukur kerana ditemukan dengan Roza. Ia anugerah Allah yang tidak mahu saya dustakan.
July 27, 2011
Sebabnya begitu

Ia hanya kamar tidur. Kami diberi peluang untuk tidur di sini. Moga ia tidak melalaikan kami. Terima kasih kerana bersusah-payah!
Setiap kejadian ada sebabnya. Jika dipermudahkan, ia adalah nikmat Allah yang tidak pernah bernokhtah.
Barangkali – seingat saya – setahun lebih yang lalu saya pernah membuat catatan. Kisah penyewa rumah di Kondo Kemuncak. Ahmad dan Isteri merupakan pelajar pasca-siswazah di UiTM berasal dari Arab Saudi. Mereka menyewa rumah kami.
Setelah hampir setahun menyewa, mereka memberi notis mahu mengosongkan rumah tersebut.
"Ahmad, sudah tamat pengajian?," saya bertanya sambil mata memerhati kotak-kotak yang sudah tersusun kemas di tepi dinding.
"Belum tetapi kami bercuti 6 bulan. Isteri saya mahu bersalin di Saudi"
"Habis barang-barang ini?"
"Kami tumpang di rumah kawan. Kami tidak mampu untuk membayar sewa untuk enam bulan semasa kami balik ke Saudi".
Saya mengerti kesukaran yang bakal dialami mereka. Saya juga pernah belajar di luar negara.
"Begini….. kamu teruskan menyewa rumah saya. Sewa untuk enam bulan RM0. Satu syarat, kunci saya pegang dan izinkan saya untuk tidur di sini bila saya berada di Shah Alam".
Muka merah padam barangkali tidak menyangka yang saya akan memberi tawaran yang sangat luar biasa. Dan ia telah menyelesaikan masalah besar buat mereka.
Kini mereka sudah berpindah rumah apabila Sara memulakan pengajian di Shah Alam. Isteri Ahmad pula dijangka melanjutkan pengajian di peringkat PhD.
Hujung minggu yang lepas saya berselisih dengan Ahmad di Kondo Kemuncak.
"Ahmad, saya akan meninggalkan Malaysia. Saya akan ke Madinah," ringan mulut saya bercerita.
"Berapa lama Prof?"
"Lama, saya tidak mahu balik. Saya bekerja di Universiti Taibah".
Matanya bulat memandang saya dan terus berkata, "Prof, ayah saya bekerja di sana. Ambil nombor telefon beliau. Saya akan bagi tahu yang prof akan ke sana".
Beliau kelihatan sangat teruja. Kemudian beliau terus berkata dengan penuh perasaan, "Prof, sebenarnya, kaum keluarga saya ramai di sana. Saya akan calling-calling mereka seorang-seorang dan akan meminta mereka membantu prof. Saya akan pastikan prof OK di sana. Kalau prof hendak bantuan carilah mereka".
Apa lagi yang hendak saya katakan. Kita berbudi bukan mengharapkan balasan. Namun bila sampai masanya, kita mengerti kenapa Allah temukan saya dengan Ahmad dan keluarga.
Ia bersebab.
July 26, 2011
Sehingga sampai masanya
"Abah, bolehkah saya bercerita tentang kisah haji yang telah lalui? Bolehkah saya menceritakan apa yang saya lakukan di Mekah dan Madinah? Bukankah ramai yang menyatakan ia adalah rahsia kita dengan Allah?"
Itulah antara pertanyaan dan perbualan di sekitar tahun 2007 antara saya dengan arwah abah. Pertanyaan yang membayangkan rasa hati yang bercelaru di antara ingin berkongsi kebesaran dan kekuasaan Allah dengan pantang-pantang yang terbina dan memagari minda masyarakat.
"Ampunkanlah daku ya Allah jika apa yang aku sampaikan ini bersalahan dengan perintah Mu ya Allah. Ampunkanlah daku ya Allah," itulah yang saya mohon daripada Allah SWT setiap kali melangkah keluar apabila dijemput untuk berceramah. Saya sangat takut tetapi bersemangat dengan dunia baru yang sedang saya hadapi.
Jawapan Abah sangat jelas, "Mil, kita orang biasa-biasa. Orang awam yang mahu menceritakan sesuatu yang tidak dicerita orang. Abah tengok ramai yang mendapat manfaat. Teruskan Mil. Sehingga sampai masanya, pada ketika dan masa yang sesuai, Allah akan membawa Kamil pada satu keadaan yang lain pula".
Kini, hampir lima tahun saya berjumpa dengan masyarakat. Saya selalu menulis perkara yang indah-indah dalam perjalanan tersebut. Namun di celah-celah perjalanan tersebut terdapat seribu rahsia yang telah saya temui. Benarlah kata satu hadis yang bermaksud,
"Daripada Anas ra berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api".
Saya pernah menerima SMS yang mengejutkan saya daripada tidur,
"setiap kali saya membaca kisah tuan, menyebabkan saya susah hati. Tuan berdosa mencerita aib sendiri kepada masyarakat. Tunggulah pembalasan Tuhan"
Pembalasan Tuhan? Ia mengundang untuk saya menulis,
"Aib apakah yang telah saya ceritakan?"
"Kisah-kisah tuan tidak solat, tidak tahu membaca Quran…."
"Barangkali tuan tidak membaca kisah Saiyidna Omar. Beliau menangis di masjid menceritakan kisah lampau beliau yang membunuh anak perempuan"
"Beliau lakukan sebelum memeluk Islam… Tuan orang Islam".
"Bila saya menceritakan saya tidak pandai membaca al-Quran? Bila saya sudah khatam al-Quran dan terjemahan. Bila saya ceritakan saya lalai solat? Bila saya sudah mula merasai nikmat bersolat. Tuan tidak nampak mesej sebenar yang ingin saya sampaikan".
"Tuan memberi isyarat yang salah kepada anak-anak murid saya. Tidak mengapa untuk melakukan dosa….."
"Tuan memikirkan hanya satu golongan sahaja di dunia ini. Golongan yang baik-baik. Apa yang tuan lakukan terhadap mereka yang tidak tahu membaca quran, lalai dengan solat, orang yang cukup solat lima waktu tetapi tidak mahu berjemaah.."
"Ikut tuanlah… tetapi tunggulah pembalasanNya, baru tuan tahu".
Melalui nombor hpnya, saya tahu beliau seorang yang terlibat dengan Maahad Taafiz. Orang yang hampir dengan Allah SWT.
Saya terkenang pesan abah, "sehingga sampai masanya", moga Allah membantu saya meneruskan kehidupan ini di atas landasan yang lurus! Mohon Ampun ya Allah!
July 25, 2011
Gunalah…..

Roza menurunkan tandatangannya.....

Saya menjadi saksi
Malam tadi AJK PERKIM mengunjungi Ar-Raudhah. Pertama, mereka berniat untuk melaksanakan doa selamat di atas hijrah kami sekeluarga ke Madinah.
Kedua, Ustaz Nawawi (Timbalan Yang DiPertua) mahu penyerahan Ar-Raudhah dilakukan dalam suasana yang sedikit bermajlis. Maka ada perjanjian, ada tandatangan dan sebagainya. Ia bukanlah perjanjian yang complicated.
Ketika menyampaikan sedikit kata-kata, saya berterus-terang, "Ar-Raudhah dibeli oleh Roza dengan satu niat, akhirnya ia akan diwakafkan untuk kegunaan anak-anak yatim. Jika tidak berhijrah sekalipun, rumah ini akan berakhir begitu.
Dan apabila kami menyerahkan rumah ini untuk kegunaan PERKIM, maka gunalah ia tanpa rasa takut. Jika ada barang yang hilang, kami tidak akan tuntut kembali. Jika tuan-tuan tidak mahu menjaga rumput dan pohon-pohon di sekitarnya, juga tidak mengapa. Cuma, bayarlah cukai pintu dan cukai harta.
Kami serahkan dan kami tidak mahu memikirkan soal-soal tersebut.
Para pendakwah sering menyatakan, kami ingin melakukan ini, kami mahu melakukan itu tetapi sayangnya kami tidak bertempat. Tiada ruang dan tidak mampu kerana sumber kewangan yang terhad.
Dalam konteks PERKIM Segamat, kita sering menyatakan yang kita mahu mengadakan kelas-kelas mempelajari al-Quran kepada orang-orang dewasa, saudara baru dan sebagainya. Kita mahu mengadakan kuliah-kuliah agama kepada mereka. Itulah kalau ada tempat.
Agaknya selepas ini kita tidak boleh berlindung lagi dengan pelbagai alasan. Atau mahukah kita mencipta alasan baru?
Ia memerlukan pengorbanan. Dan ia tidak berbayar!

Ia persinggahan yang bermakna
Menarik!
Kami diraikan sebagai pesara UiTM Johor. Menarik kerana majlis ini dimulai dengan satu ceramah khas. Jadi, jadilah majlis persaraan ini sebagai majlis ilmu yang – InsyaAllah – turut dihadiri oleh para malaikat.
Menarik kerana pihak pengurusan UiTM meminta saya untuk menyampaikan ceramah tersebut. Tentu sekali saya suka dan teruja. Ia satu penghormatan yang merupakan "hadiah" persaraan yang sangat bermakna.
"Jika ada satu ilmu yang dimanfaatkan oleh khalayak, maka itulah hadiah yang paling bermakna".
Terima kasih UiTM Johor, saya doakan Rektor, pengurusan dan seluruh staf dirahmati Allah sentiasa. Ingat Allah, Dia sentiasa hampir dengan kita!
Sebak
Saya membiarkan air mata mengalir apabila mendengar Roza menyebut, "saya pernah berdoa, ya Allah jika pandai itu menjadi keperluan ke Luar Negara, aku tidak pandai ya Allah. Jadi, temukanlah aku dengan suami yang pandai supaya dia dapat membawa saya ke Luar Negara.
Namun setiap kali suami saya ke Luar Negara, sudah pasti saya terpaksa berhenti kerja. Itulah aturan. Namun biarlah hijrah kali ini hijrah yang terakhir. Hijrah yang paling bermakna.
Itulah, nikmat Allah yang mana satu yang hendak saya dustakan".
July 24, 2011
Kg Jawa

Bergambar kenangan bersama Imam-Imam, pengerusi dan jemaah Masjid Kampung Jawa.
Kami telah membeli sekeping tanah di Paya Jakas. Ia kawasan tinggi. Tepi jalan. Dan ia sangat sesuai untuk dijadikan tapak rumah kediaman. Dan itulah yang kami rancangkan untuk membina rumah sendiri di sini apabila menamatkan tempoh sebagai pengarah UiTM Johor.
Perancangan manusia dan ketetapan Allah berbeza. Dalam sekelip mata kami membuat keputusan untuk membeli rumah di hujung taman-taman Kampung Jawa. Ia kelihatan tenang, redup dan dipenuhi dengan kehijauan. Lebih penting, ia hampir dengan masjid yang kelihatan sangat aktif.
Malah saya bercita-cita untuk menyampaikan kuliah – jika diizinkan – pada setiap minggu. Saya fikir, itulah yang mampu saya sumbangkan kepada masyarakat setempat. Juga, harapan dan cita-cita manusia tidak selalunya menjadi realiti. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.
Saya diizin Allah untuk menyampaikan kuliah di merata-rata masjid, surau dan organisasi dalam tempoh 4-5 tahun yang lampau. Kesemua negeri telah saya kunjungi. Malah beberapa kali dijemput untuk menyampaikan ceramah di Singapura.
Saya pernah sampai ke Qatar dan United Kingdom. Namun sekali pun saya tidak berpeluang bercakap di Masjid kariah sendiri.
Benarlah, Allah menyusun kehidupan manusia dengan penuh kasih-sayang. Akhirnya, ketika saat-saat saya mahu meninggalkan daerah ini, saya dipelawa untuk menyampaikan syarahan Israk-Mikraj. Kemudian, pengerusi masjid meminta saya untuk memberi kuliah setiap minggu.
Ya Allah, sukanya hati saya. Saya katakan pada Roza, "doa saya dimakbul Allah. Inilah tujuan sebenar kenapa saya memilih untuk tinggal di sini".
Malam tadi merupakan kuliah saya yang ke lima dan terakhir di masjid ini. Dua saf penuh yang berjemaah. Kaum wanita juga ramai yang hadir, Selepas solat Isya, mereka mengikut imam mendoakan agar kami sekeluarga selamat dalam kehidupan pasca Kampung Jawa.
Tentu sekali saya terkesan apabila pengerusi masjid berkata, "perkenalan kita singkat, namun ia sangat-sangat berkesan. Bagi seluruh kariah masyarakat Kampung Jawa, kami berterima kasih kerana Profesor bersungguh-sungguh mengajak kita untuk dekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara yang tersendiri".
Kemudian, kami bersalaman. Ada seorang pemuda yang tidak saya kenali menangis teresak-esak dan memeluk saya. Butir patah perkataan yang dibisik ke telinga tidak dapat saya fahami. Mudah-mudahan beliau bertemu dengan apa yang dicarinya, insyaAllah.
Saya memohon ampun dan maaf jika ada salah dan silap kami sepanjang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Kg Jawa, Segamat.
Kekasih Allah

Kekasih Allah
Saya berdoa agar telahan saya tepat.
Orang tua di atas sering menjadi bahan penceritaan saya ketika berceramah. Saya fikir umurnya menghampiri 100 tahun. Beliaulah salah seorang bilal di masjid Kg Jawa.
Solat lima waktu sehari semalam berjemaah. Sepanjang 2 tahun berjemaah di sini, saya tidak pernah hampa melihat wajahnya di masjid kecuali beberapa hari ketika beliau diuji Allah dengan keuzuran.
Allah memberi kekuatan kepadanya untuk mengayuh basikal ke masjid. Ya Allah, beliau mencabar saya untuk berfikir, "kenapa tidak aku yang masih mempunyai kekuatan untuk ke rumah Mu".
Hampir setiap waktu beliau di belakang imam. Dan saya cuba sedaya upaya untuk berada di sebelahnya.
"Ya Allah, Kau berkatilah beliau dan masukkanlah beliau ke syurgaMu tanpa dihisab ya Allah"
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
